E-Novel: Maroc Love Footprint 8



Usai mengisi perut yang kosong setelah menunaikan Solat Asar sebentar tadi, Hilda dan Sharqawi seiring berjalan di pinggir Jalan Boulevard Zagora membisu sambil berpimpin tangan. Hilda hanya membiarkan Sharqawi yang semakin lama semakin erat genggaman tangannya. Sepertinya Hilda akan larikan diri jika Sharqawi melepaskan genggaman mereka. Petang yang menyengat dengan panahan mentari langsung tidak mengganggu mood santai Sharqawi dan Hilda melenggang seperti tiada arah tujuan. Mahu sahut kempen 1000 langkah sehari kononnya, omel si Hilda. Padahal itu cadangan Sharqawi apabila Hilda mengadu senak perut kerana terlalu banyak makan. 


Mengenangkan itu, Hilda tersenyum sendirian memikirkan perilakunya yang tidak sopan sebentar tadi. Bersantap dia seolah-olah bertahun tidak bertemu makanan. Gelojoh! Mahunya tidak, bayangkan Hilda seorang sahaja mampu habiskan Dajjaj Mhammar Kamil(1). Diulang KAMIL. Asalnya dipesan dua rubu'(2) Dajjaj Mhammar sahaja. Untuk Hilda satu dan untuk Sharqawi satu. Tapi, setelah selesai baca doa makan Hilda langsung tidak pandang kiri kanannya. Apatah lagi Sharqawi di hadapannya yang perlahan mengunyah makanan sambil memerhatikan Hilda. Tidak sampai 10 minit, juadahnya sudah selesai dimakan. Sedar perutnya masih meronta mahu diisi, wajah Sharqawi dipandang mohon simpati. Mahu meminta dia malu tapi mengenangkan perutnya yang sangat kelaparan Hilda hanya membuat mimik muka kasihan. 


Dajjaj Mhammar Kamil-Kredit gambar: Google Image-
Dajjaj Mhammar Kamil
-Kredit gambar: Google Image-

Reaksi Sharqawi? 


Dipesan Dajjaj Mhammar Kamil tanpa sempat Hilda bersuara. Hilda apa lagi, pucuk dicita ulam mendatang! Disambung santapannya setelah mengucapkan terima kasih. Sharqawi pula hanya tersenyum lucu sambil asyik memerhati laku Hilda tanpa lepas. Tidak langsung dihalang mahupun dimarah, hanya sekadar berpesan supaya jangan gelojoh makannya. Nanti tersedak! Juga dipesan kalau sudah kenyang berhenti dulu. Nanti benak perut! Sakit perut siapa yang susah. Suami jugak! Eh..


Dengarkan bebelan Sharqawi, Hilda angguk endah tak endah. Padanya, Dajjaj Mhammar di depan mata lebih menarik nafsunya untuk dihabiskan. Melihatkan laku Hilda itu, hanya gelengan beserta senyuman lucu diberikan. Dibiarkan sahaja Hilda dengan dunianya. Mahu diajak berbual pun belum tentu dilayan. Hai la isteri. Bagaimana makan minummu sayang? Pasti terlalu walang hatimu hingga terabai makan minummu. 


Nasihat yamg tak didengar, mendapatlah karmanya. Perutnya benak kerana terlalu kenyang. Semua gara-gara terlalu ikutkan nafsu makannya. Penangan ayam panggang yang diperap rempah ratus dan bawang kisar bersama halia dan lada hitam, mahunya Hilda tak seperti wanita mengandung mahu lahirkan anak. Benak perutnya hingga mual dirasa. 


"Maafkan saya ye awak.Seminggu tak ada selera makan. Tiba-tiba membuak-buak selera datang sekarang ni. Kesian awak, saya buat tak tahu je macam awak tak wujud. Tapi, memang saya dah tak ingat dunia makan tadi. Lapar sangat. Sorry." Itu jawapan Hilda apabila Sharqawi bertanyakan soal makan minumnya sepanjang minggu itu. 


"Tak apalah Hilda. Sudah datang seleranya, Alhamdulillah. Abang risau tak datang-datang je seleranya. Housemate Hilda mengadu Hilda tak makan. Makin kurus isteri abang nanti. Sudah la kecil. Sebab abang kan Hilda tak lalu makan ni?" Jawapan yang sudah tahu, tapi sengaja mahu ditanya. Menagih jawapan daripada mulut Hilda sendiri. Tapi mengenali Hilda, gadis itu memang pandai mahu mengelak. Dibukanya topik lain untuk dibual. Sharqawi yang memahami tidak bertanya banyak, dilayan sahaja kerenah Hilda.


Setelah agak lama berbual, Sharqawi beritahu dia mahu membawa Hilda menemaninya ke Madinah Qodimah atau The Old Medina. Katanya mahu menemui teman lamanya dari Belgium yang datang ke Morocco. Tanpa bertanya banyak, Hilda hanya menurut. Yang penting teman serumahnya harus dikhabarkan. Kalau tidak, meroyan mereka nanti mencari Hilda. 


Tapi mengenangkan perut yang sebu, Hilda minta waktu untuk berehat sebentar. Kerana itu diajaknya Hilda berjalan di pinggir jalan demi membantu perutnya mencerna makanan. Dalam kemalasan Hilda mengikut. Itupun kerana ditarik Sharqawi dari kerusi yang seperti ada gam gajah di situ. Mujur juga Sharqawi sangat budiman melayannya, jadi rasa bebal dan tak puas hati hilang sendiri dengan usikan dan jenaka Sharqawi. 


Faham akan mentari yang semakin membakar, Sharqawi singgah belikan topi jenis Panama putih hitam untuknya dan Fedora merah jambu dihiasi reben warna krim untuk Hilda. Siap pakaikan lagi dengan senyuman manisnya. Aduh, hati wanita Hilda tersentuh. Saat mata bertembung, lekas Hilda mengalihkan pandangannya lalu meneruskan langkah. Mahu sembunyikan senyuman dan rentak jantungnya yang luar biasa!

 Mahu sembunyikan senyuman dan rentak jantungnya yang luar biasa!
Panama Hat + Fedora Hat
-Kredit gambar: Google Image-

"Awak nak naik teksi soghir(3) ke teksi kabir(4). Kalau nak naik bas, bas nombor 4 atau 81 saja yang terus ke madinah tapi dua-dua bas tu tak lalu kawasan sini. Kalau nak juga kena jalan jauh lagilah. Macam mana?" Wajah Sharqawi dipandang menanti jawapan.


Teksi Kabir + Teksi Soghir-Kredit gambar: Google Image-
Teksi Kabir + Teksi Soghir
-Kredit gambar: Google Image-

"Hilda selalu naik teksi kabir ke kalau nak ke mana-mana?" Soalan yang ditanya tidak berjawab, lain pula soalan yang diaju. Dingin pula reaksi mukanya. 


"Selalunya naik teksi kabir. Lebih murah dan lebih jimat. Melainkan kalau saya nak cepat, terpaksalah naik teksi soghir. Kenapa?" Tanpa mengesyaki apa-apa Hilda menjawab. Tapi lain pula reaksi Sharqawi, semakin dingin raut wajahnya tanda tidak suka.


"Lepas ni jangan naik teksi kabir. Abang tak suka." Tegas suruhan Sharqawi. Hilda mengerut dahi tanda tidak puas hati.


"Kenapa pula?"


"Kenapa Hilda tanya? Disumbat enam orang satu teksi. Sukalah kalau berhimpit macam ikan sardin. Bersentuh sana, terpegang sini. Kalau perempuan sahaja abang tak kisah. Kalau lelaki? Abang tak suka isteri abang kena sentuh dengan lelaki lain. Faham?" 


"Kalau bersentuh pun bukan sengaja. Selalunya, saya akan naik teksi kosong. Kalau dah penuh saya tak naik. Dan selalunya saya pilih duduk sebelah pemandu. Lagipun saya akan letak beg sebelah saya sebagai penghadang." Hilda masih tak puas hati.


"Duduk depan lagilah bahaya. Dua orang untuk satu seat walaupun lebar tempat duduk tu. Kalau naik teksi kosong pula, lepas tu kalau ada orang yang naik teksi, dah tak kosong teksi tu. Berhimpit juga. Seronok kena sentuh? Jamin sangat lah beg Hilda tu mampu jadi penghadang daripada menyentuh Hilda?" 


 Seronok kena sentuh? Jamin sangat lah beg Hilda tu mampu jadi penghadang daripada menyentuh Hilda?"
Teksi kabir yang Sharqawi maksudkan yang jenis ni. Teksi jenis ni, tempat duduk sebelah pemandu lebar jadi penumpang boleh duduk dua orang dan tempat duduk belakang ada empat empat duduk tapi bukan 2 row punya. Jadi memang agak menghimpit kalau duduk.
-Kredit gambar: Google Image-

Amboi sinis! Semua alasan Hilda dicantas Sharqawi dengan lancar. Serius air mukanya. Hilda pula terkelu lidahnya mahu menyerang balas kerana apa yang dikatakan Sharqawi betul belaka. Hendak pula perlian itu tanda amaran Sharqawi sebagai suami. Cemberut wajah ceria Hilda mendengarkan suara tegas Sharqawi. Perjalanan mereka sudah lama terhenti sedari Hilda bertanya lagi. 
 
"Kalau terdesak, tak akan tak boleh?"


"Tak boleh."


"Kalau tak ada duit sangat. Cukup-cukup makan saja. Tak boleh juga?"


"Tak boleh. Lagipun, abang tak lupa lagi nak sempurnakan nafkah isteri abang. Jangan nak berjimat dan jangan nak berkompromi kalau dah kena berhimpit lelaki perempuan. Kalau tak ada duit cakap dengan abang. Disebabkan sebelum ini Hilda bukan hak abang dan keadaan mendesak, abang terima alasannya. Lepas ni jangan buat lagi. No grand taxi anymore. Jelas sayang?" 


Suaranya dikendur lembut cuba meredakan keadaan yang agak tegang. Anak mata Hilda ditenung dalam-dalam mohon pengertian. Masalah Sharqawi, dia sangat tidak boleh berkompromi kalau wanita kesayangannya disentuh yang lain. Tak kisah lah sengaja mahupun tidak, baginya tetap tidak boleh. Kerana itu tegang air mukanya mendengarkan jawaban Hilda tadi. 


Hilda pula tak menjawab, dilepaskan genggaman Sharqawi lalu mendahului langkah.


"Kalau cemburu cakap saja lah." Sempat mulut mugil itu mengomel tanda geram dengan arahan Sharqawi.


"Cemburulah. Awak tu isteri saya. Sebab tu saya tak bagi. Cemburu saya buta tau. Jangan main-main dengan saya." Eh, tiba-tiba berawak-saya pula. Hilda menjeling mendengarkan kata-kata Sharqawi yang berunsur usikan itu.


"Auch, sakit jantung saya dengan jelingan awak. Menggoda." Sharqawi mengenyitkan matanya. Hilda pula segera mengjulingkan matanya tanda menyampah. Dia mula dah!


"TAXI!!" Kerana geram, tak teragak-agak Hilda melantangkan suara memanggil teksi yang lalu lalang. Dalam beberapa saat, beberapa buah teksi merah berhenti betul-betul di hadapan Hilda. Sharqawi sudah terbongkok ketawa melihatkan itu. Sekali jerit, sepuluh datang kau. Menarik! Hilda pula kelam-kabut memohon maaf kepada teksi yang lainnya hingga semuanya berlalu hanya tinggal satu untuk mereka naiki.


"Awak, sudahlah. Tak kelakar tahu! Saya turun tahan teksi kabir baru tahu." Terhenti ketawa Sharqawi serta-merta. Dia yang berpaut pada pintu teksi tajam menikam wajah Hilda yang berani mengugutnya.


"Tahu pun diam. Cepatlah naik, nanti sampai sana dah Maghrib. Sudahlah sekarang waktu orang balik kerja. Lambat sampai nanti." 


Mendengarkan bebelan Hilda, segera Sharqawi memboloskan tubuhnya ke dalam perut teksi. Seperti biasa, Sharqawi menarik tubuh Hilda supaya rapat dengannya. Pinggang gadis itu dipeluk, bahu Hilda menjadi alas kepalanya. Hilda pula tak menghalang seperti sebelum ini. Dibiarkan walaupun kekok, cuba membiasakan diri dengan suasana baru itu. Pemandu teksi yang melihat di cermin pandang belakang dibalas dengan senyuman nipis. Pertama kali dipandang, Hilda boleh terima. Tapi berkali-kali mereka dijeling pemandu itu, sudah kenapa? Peliknya bukan mereka berdua yang dipandang, tapi bermain mata dengan Hilda pula. Dikenyit menggoda lagi. Eh pak cik ni, sudah terang lagi bersuluh aku dipeluk suami aku, mahu main mata dengan aku lagi ke? Jelingan tajam diberi tanda dia tidak senang dengan renungan pemandu itu. Tapi boleh pula pemandu itu menyungging senyuman seram. Apakah? Cuba menghalang ditenung pemandu itu, ray ban yang sentiasa disangkut pada baju Sharqawi dicapai lalu ditenggek pada batang hidungnya.


"Kenapa?"


"Nak selindung mata bengkak saya. Nanti pak cik tu syak awak dera saya pula. Haa, dia serang awak baru tahu." Helah Hilda. Tak akan nak cakap pemandu tu goda pula. Tak fasal-fasal tak sampai ke destinasi nanti. Hospital pula yang dikunjung mereka. Mendengarkan Hilda sering menggunakan khidmat teksi kabir sahaja sudah tegang wajahnya. Konklusinya Hilda tahu, suaminya ini seorang yang mudah cemburu. Jadi, tak mahulah Hilda mengundang cemburu yang membawa bencana padanya. Lebih baik dia elak daripada perlu menanggung risiko.


Tiba-tiba, tak semena-mena hidung Hilda ditarik tinggi. 


"Sakitlah! Suka betul tarik hidung. Tercabut awak nak ganti ke?" Tangan Sharqawi ditampar geram.


"Itulah, mulut tu main sedap je nak cakap. Siapa suruh hidung comel sangat. Kan dah mendapat."

Malas mahu melayan kerenah Sharqawi, Hilda buang pandang ke luar. Tubuh yang letih menjemput kantuk di matanya. Sharqawi yang memahami menarik kepala Hilda ke bahunya pula. Dibetulkan duduk agar isterinya itu selesa. 


Hilda pula tidak membantah, sememangnya matanya sangat berat untuk dibuka tika ini. Mungkin kerana terlalu banyak menangis hari ini, pasti tubuhnya juga keletihan. Jadi dia mahu tidur sebentar.

Sharqawi menepuk lembut pada bahu Hilda hingga isterinya itu lena dibuai mimpi. Bukan dia tidak perasan mata nakal pemandu itu, tapi dia sengaja diamkan diri kerana mahu melihat reaksi Hilda. Topi yang ditanggal kembali dipakaikan ke kepala Hilda lalu ditarik menutupi wajah polos isterinya daripada menjadi santapan. Mata nakal itu ditenungnya tajam sebagai isyarat amaran. Jika mahu, boleh sahaja dia bertikam lidah. Tapi mengenangnya sikap Arab yang sangat suka meninggi suara dan ego tinggi melangit, Sharqawi tanamkan niatnya itu. Habiskan air liur saja kalau bergaduh dengan Arab, sebab Arab akan menangkan dirinya walaupun tahu salah dia. Pipi Hilda diusap lembut. Susah juga ada isteri cantik, semua mahu pandang. Sharqawi tersengih dengan bicara sendiri.

Setelah hampir 25 minit perjalanan, teksi berhenti di Old Medina Clock Tower. Dalam keadaan yang masih terpisat-pisat, langkah Hilda dipimpin Sharqawi masuk ke dalam kota lama Casablanca yang dikelilingi tembok besar seperti tembok istana lama bewarna oren yang mempunyai empat pintu gerbang utama pada asalnya. Tapi kini hanya ada dua yang tinggal iaitu Bab Marrakesh atau kini sudah jadi Marché Bab Marrakech iaitu Pasar Gerbang Marrakesh dan Bab Al-Jadid atau Marché Bab Al-Jadid iaitu Pasar Gerbang Al-Jadid. 


Sekitar permandangan Old Medina Clock Tower-Kredit gambar: Google Image-
Sekitar permandangan Old Medina Clock Tower
-Kredit gambar: Google Image-
Sekitar permandangan Old Medina Clock Tower-Kredit gambar: Google Image-
Bab Marrakech, Old Medina
-Kredit gambar: Google Image-
Tembok yang merupakan sisa peninggalan sejarah, masih kukuh hingga kini merakamkan kegiatan jual beli yang sangat sibuk berjalan ketika ini. Kota yang seperti kompleks membeli-belah ataupun bazar gergasi penuh dengan kedai-kedai yang menjual beraneka jenis barang dan juga rumah-rumah lama. Jika tidak merancang perjalanan dan tidak punya peta sebagai penunjuk arah, tidak mustahil mereka akan sesat di dalam kota lama yang sangat terasa tradisi tulen Morocco dan atmosfera jual beli orang Morocco di dalamnya. Terasa seperti berada di zaman silam ditambah lagi jika melalui gerai-gerai yang menjual barangan antik. Memang seperti berada di kurun-15.

Sharqawi singgah sebentar di Mahlaba(5) untuk membeli jus. Jus tropika dipesan lalu diberikan kepada Hilda. Mereka duduk sebentar di meja yang disediakan sementara mengembalikan semula kesegaran mereka. 


Contoh gambar Mahlaba di Morocco
Contoh gambar Mahlaba di Morocco. Dia cafe kecik jha. Aku suka cari yogurt buah dekat sini.
-Kredit gambar: Google Image-
Setelah itu, Sharqawi mula membawa Hilda ke hotel yang didiami rakan yang ingin ditemui itu. Memandangkan tujuan mereka tidak terburu-buru, mereka tenang berpimpin tangan sambil memerhatikan gelagat manusia yang riuh seperti pasar malam. Tidak kurang juga komen diberi setiap apa yang menarik perhatian mereka mahupun sesuatu yang melucukan. Sepanjang perjalanan, gerai menjual barangan tradisional Morocco lebih banyak mendominasi, namun tak kurang juga saingan produk-produk moden yang semakin mengambil tempat masyarakat tempatan. Pakaian tradisional dan fesyen terkini sama laris mendapat sambutan daripada pelanggan untuk berbelanja. Disebabkan sekarang ini Morocco sedang memasuki fasa musim panas yang masih panjang. Pakaian renang dan bikini tergantung di mana-mana, bola pantai, topi, papan luncur dan layang-layang menguasai pasaran ketika ini. Pastilah sangat mendapat permintaan daripada pelanggan kerana masing-masing sibuk merancang percutian musim panas, ingin berjemur di pantai-pantai indah di Morocco ini tentunya. 
 


Sekitar suasana jual beli di Old Medina-Kredit gambar: Google Image-
Sekitar suasana jual beli di Old Medina
-Kredit gambar: Google Image-

Hilda dan Sharqawi tidak termasuk di kelompok pengunjung Old Medina untuk membeli-belah, melainkan hanya melenggang sekadar mencuci mata melihat produk-produk baru. Window shopping orang kata, selain memenuhi memori telefon dengan gambar mereka berdua. Hilda berkongsi pengetahuannya serba sedikit tentang barangan Morocco yang kebanyakkannya berasaskan kulit. Beg sandang, kasut, sandal, jaket dan lain-lain. Hingga terdapat satu tempat memproses kulit untuk dijadikan produk yang diproses dengan casa tradisi boleh dilihat di Fes. Aslinya produk kulit di sini, hingga memerlukan waktu berhari-hari untuk dijemur demi menghilangkan bau kulit dan agar lebih lembut untuk keselesaan pengguna. Selain itu, produk Morocco kegemaran Hilda iaitu kain selendang tenunan tangan yang bewarna warni. Sangat selesa jika dipakai ketika musim sejuk sebagai pemanas tubuh. Tidak kurang juga minyak Argan yang merupakan minyak terbaik untuk sebarang kegunaan seperti kecantikan dan kesihatan, sememangnya menjadi barang wajib setiap pelancong untuk dibeli dan dibawa pulang sementelah Morocco merupakan pengeluar argan terbesar samada bio, kosmetik mahupun natural. Cumanya kalau membeli di bazar begini, perlulah lebih berhati-hati. Maklumat tentang ciri-ciri minyak argan itu sendiri perlu diketahui agar tidak tertipu dengan argan tiruan dan campuran yang semakin laris kerana tawaran harga yang terlalu murah. 


Setelah lama berjalan, mereka melalui lorong sunyi sebelum tembus ke satu kawasan jauh dari hiruk-piruk suasana bazar yang terletak jauh di belakang Old Medina. Rata-rata kawasan itu lebih banyak motel dan hotel serta beberapa buah cafe dan kedai makan. Akhirnya mereka berhenti di depan Hotel Central. Bangunan empat tingkat sederhana rekaannya, bercat putih dindingnya manakala setiap tingkap bilik berbalkoni bercat biru rapat-rapat jaraknya, pintu masuk pula semuanya bercat kuning. Tidak terlalu mewah tetapi sangat menarik. 


Hotel Central, Old Medina-Kredit gambar: Google Image-
Hotel Central, Old Medina
-Kredit gambar: Google Image-

Tiba sahaja di pintu utama, seorang lelaki berkulit putih cerah, tinggi lampai, bermata amber, berpakaian kasual menegur Sharqawi. Rashid namanya, lelaki itu juga kelihatan baru tiba di situ melihatkan bagasi kecilnya masih dipegang. Setelah bertanya khabar, bertukar cerita, Sharqawi mengenalkan Hilda sebagai isterinya kepada Rashid. Gasak jugalah Hilda mahu menahan usikan Rashid yang boleh tahan 'dewasanya'. Hilda yang masih 'bawah umur' ni, akhirnya hanya mampu menyorokkan wajahnya di belakang Sharqawi menyembunyikan wajahnya yang sudah merah padam. Sharqawi pula bukan mahu ditolong, lagi tumpang sekaki ketawakan Hilda adalah! Bertuah punya suami!
 
"Hilda." Hilda digamit Sharqawi setelah Rashid masuk ke dalam hotel untuk check in.


"Kita stay sini untuk satu malam ye. Rashid minta temankan dia sampai esok. Lagipun malam esok dia dah nak balik ke Belgium." Sharqawi meminta walaupun sebenarnya lebih kepada beritahu. 


"Tapi kita tak bawa apa-apa persalinan untuk pakai esok." Hilda menjelaskan situasi mereka yang sehelai sepinggang sekarang ini.


"Tak apa. Nanti kita singgah bazar beli apa yang perlu. Abang pun tak rancang nak tidur sini sebenarnya. Rashid tu kawan rapat abang zaman univeriti dulu. Sekarang dah sibuk dengan kerja masing-masing, susah nak jumpa macam selalu. Dia jauh abang pun jauh. Dia datang Morocco pun ada urusan dan kami jumpa malam ni pun sebab dah janji dengan seseorang. Dia minta luangkan masa dengan dia sampai esok, abang pun keberatan nak tolak. Hilda okey ke? Letih?" Lembut Sharqawi bertanya serba salah. Jemari Hilda dielus.


"Saya okey. Jangan risau. Malam ni kita ke mana? Macam kelam kabut je saya tengok Rashid tu. Dari tadi asyik dengan telefon." Hilda memuncungkan mulutnya ke arah Rashid yang tergesa-gesa menarik bagasinya. Langkahnya tidak diam, sekejap memandang ke arah mereka, sekejap jamnya dilihat. Telefonnya pula tak lepas daripada telinga sibuk berbicara dengan seseorang.


"Malam ni ada program dengan Sheikh Zakaria. Guru Rashid dari Syiria datang ziarah Morocco. Lepas Maghrib nanti ada kuliah ringkas oleh Sheikh Zakaria di Masjid Moulay Driss 1er. Tak jauh pun dari sini. 10  minit naik teksi, insyaAllah sampai. Em, abang check in kejap ea, lambaf karang marah pula Rashid tu. Hilda duduk kejap ye." Hilda sekadar mengangguk menghantar Sharqawi ke kaunter reception. Kerusi yang disediakan diduduki Hilda sebentar sementara menanti Sharqawi.

Tidak lama selepas itu, Sharqawi seiring bersama Rashid keluar dari hotel lalu segera mendapatkan teksi. Langit sudah semakin kelam, bila-bila sahaja malam bakal berlabuh. Andai sudah malam, susah nanti untuk dapatkan pengangkutan awam. Mujur senja begini jalan raya masih sibuk, jadi mudah mereka menahan teksi dan menuju ke destinasi. Hilda lebih banyak diamkan diri kerana Sharqawi dan Rashid lebih banyak berbual dalam Bahasa Perancis. Bukan tidak faham, tetapi kemampuan Hilda dalam memahami dan menutur bahasa asing itu belum ketahap fasih. Kefahamannya biasa-biasa sahaja memandangkan Hilda hanya pernah belajar ketika di tahun pertama ijazah, itupun tahap pembelajaran yang masih terlalu asas. Walaupun begitu, rasa terkejut mendengarkan kefasihan suaminya itu tak terbendung membuatkan Hilda teruja memerhati laku Sharqawi tanpa berkutik sepanjang perjalan mereka.





1) KAMIL: Seekor/Seluruh

2) RUBU': 1/4

3) SOGHIR: Kecil

4) KABIR: Besar

5) MAHLABA: Café yang menjual barangan daripada tenusu seperti susu, yogurt dan lain-lain/ Berasal daripada perkataan Halib iaitu susu.




Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan