E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 18 - Tohmahan




18: TOHMAHAN

“Abang ni kenapa!?”

Tinggi suara Nur Husna membentak sambil bercekak pinggang menghadap Fadli yang sedang santai menghirup teh panas yang baru disediakan Puan Senah sebentar tadi. Sebal hatinya memikirkan kelakuan Fadli yang tiba-tiba mengaku Nur Husna bakal isteri dia. Masih terbayang-bayang di benaknya wajah bengis Azam yang bagai mahu menelan Nur Husna hidup-hidup saat mendengar pengakuan Fadli itu.

Lebih buatkan hati Nur Husna walang, mengenangkan Qalbi yang ditinggalkan masih teresak-esak menangis. Mahu memujuk bayi itu sehingga dia tenang, Azam pula yang tiba-tiba diserang puting beliung. Masih berdebar-debar jantung Nur Husna ketika ini dek kecut perut mengenangkan Azam yang mengherdiknya tadi supaya segera pergi. Malah, usahanya mahu tetap di situ sampai Qalbi tenang juga tidak diterima. Apatah lagi, apabila Fadli semakin menggesanya untuk pulang bersama Fadli. Masih terasa sengal bahunya ditolak kasar oleh Azam tadi. Tanpa pamitan, laju keretanya meluncur pergi diiringi tangisan Qalbi yang semakin sayup.

Semuanya gara-gara abang angkatnya yang.. yang.. yang.. arghh! Kenapa Fadli tiba-tiba buat perangai macam orang tak bertamadun tadi. Masih tak tercapai dek akal Nur Husna memikirkan asbab Fadli berkelakuan begitu.

“Ha! Mulalah tu nak bela tunang sendiri.”

“Masa bila pula Ateh nak bela tunang Ateh. Abang tu yang kenapa? Abang tahu tak perbuatan abang tu boleh menimbulkan salah faham.”

“Ah, Husna tak perlu kisahkan dialah. Abang tahulah apa abang buat.”

“Apa yang abang nak buat? Abang jangan nak sembunyi-sembunyi dengan Ateh. Abang tu sebenarnya saja je kan nak kasi Encik Azam mengamuk. Sengaja nak buat dia salah faham dengan Ateh.”

“Eh, busuknya hati tuduh abang macam tu. Husna tu ha, dah malam macam ni pun masih dekat luar. Dengan lelaki bukan mahram pula tu. Bagus sangatlah buat perangai macam ni. Husna sedar tak Husna tu perempuan, belum berkahwin, keluar dengan lelaki tanpa ditemani mahram, waktu malam pula tu. Lepas tu Husna tanya kenapa abang buat perangai tak masuk akal tadi. Kalau abang tak datang tadi entah mana pula dia bawa Husna pergi, entah-entah sampai ke sudah dia tak hantar Husna pulang.”

“Abang!” Membulat mata Nur Husna tidak percaya dengan tohmahan Fadli tidak berasas itu.

“Hei! Hei! Hei! Apa ni dah malam macam ni pun bertengkar macam nak roboh rumah ni. Ateh? Fadli?”

Terdiam kedua-dua mereka apabila suara Puan Senah bagai halilintar itu mencelah. Nur Husna menjeling geram Fadli yang mempamerkan riak tidak bersalah. Siap tersenyum sinis lagi membalas jelingan Nur Husna lalu enaknya bersantap jemput pisang yang digoreng Puan Senah. Dek sebal dengan laku Fadli, Nur Husna menghentak kaki menghampiri Puan Senah lalu melabuhkan punggung di sisi maknya. Lengan Puan Senah yang sedang duduk itu dipeluk erat. Puan Senang menggeleng kepala. Tahu sangat kalau anak bongsunya itu berperangai begitu, merajuklah tu. Merengek minta perhatian supaya Puan Senah menyebelahinya.

“Apanya Ateh? Kenapa tinggi suara macam tu dengan abang? Tak manis.” Semakin panjanglah muncung Nur Husna apabila ditegur begitu.

“Abang tu mak, tuduh Ateh yang bukan-bukan. Mak pun tahu kan Ateh keluar dengan Encik Azam pergi klinik tadi. Kitaorang singgah kejap je dekat restoran. Nak makan. Itu pun salah ke? Encik Azam tu bukannya tak tahu nak hantar Ateh balik. Sebelum ni okay je Ateh keluar dengan dia. Sampai juga Ateh ke rumah. Tak akanlah Encik Azam ada niat tak baik dekat Ateh. Ye dak mak?” Cemberut bibir Nur Husna bercerita sambil memintal hujung baju yang dipakai Puan Senah.

“Apa? Ateh selalu keluar dengan dia?” Membuntang mata Fadli mendengarkan rengekan Nur Husna itu. Panas sahaja telinganya mendengarkan ini bukan kali pertama Nur Husna keluar dengan Azam.

“Fadli, betul lah cakap Ateh tu. Azam tu baik budaknya, selalu minta izin dekat mak dulu sebelum keluar dengan Ateh. Siap tentukan waktu lagi pukul berapa dia akan hantar Ateh balik. Kalau lambat sikit, dia hubungi mak cepat-cepat tau bagitahu lambat. Tak baik kamu menuduh dia macam tu. Kamu tu, dari mana? Mak Ingatkan Azam yang hantarkan Ateh, ni kamu pula yang mucul dengan Ateh.”

“Makk..” Keluh Fadli apabila wanita itu menyebelahi Nur Husna.

Nur Husna simpan senyum melihat reaksi kelat Fadli. Menyedari laku Nur Husna itu, Fadli menjegilkan matanya sambil mengetap bibir geram.

“Seronoklah, ada orang bela!”

“Eh, mana ada.”

“Sudah. Kerja nak bergaduh je kamu berdua ni.” Sekali lagi Puan Senah mencelah apabila kedua-dua anaknya itu kembali mahu bertikam lidah.

“Fad bukan apa mak, Ateh tu anak dara lagi. Tunang ke tak ke, bukan tiket lelaki tu nak usung Husna ke hulu ke hilir. Tak manis orang tengok. Lagipun, lelaki tu–”

“Lelaki tu ada nama abang. Nama dia Azam.” Bentak Nur Husna geram, tirus matanya tajam menikam wajah abang angkatnya. Botol kicap pun ada nama lah!

“Ikut suka abang nak panggil dia apa. Sekarang ni abang cuma nak tahu, apa hak dia rampas telefon Husna waktu Husna tengah bercakap dengan abang tadi? Kalau abang tak datang tadi, entah ditangankan pula Husna mana tahu.”

Membesar mata Nur Husna mendengarkan pertanyaan Fadli. Tidak menyangka sketsa Azam diserang puting beliung tadi disaksikan Fadli. Tak hairanlah Fadli tiba-tiba buat perangai luar alam mengaku bakal suami Nur Husna.

“Tak baiklah abang cakap macam tu. Dia ada masalah tadi tu. Lagipun dia dah minta maaf dekat  Atehlah.”

“Eh, abang pula tak baik. Lelaki macam tu ke Husna nak buat suami. Naik angin sikit dah mula nak berkeras suka hati. Tu baru tunang, nanti dah kahwin melingkup hidup Husna baru padan muka. Dah, lepas ni kalau nak keluar pergi mana-mana biar abang je yang hantarkan. Lelaki zaman sekarang ni bukan boleh percaya. Tunang ke, bujang ke, bini orang ke, semua dia bedal. Silap hari bulan, belum lagi Husna nikah dah hilang semua…”

“Astaghfirullahalazim, abang! Mulut abang tu jangan nak memfitnah yang bukan-bukan. Untuk pengetahuan abang, Encik Azam tu bukan Azami yang abang maksudkan. Apatah lagi tunang Ateh. Encik Azam tu dah kahwin, dah ada isteri, dah ada anak pun! Abang jangan nak pukul rata kalau tak tahu apa-apa. Siasat dulu sebelum menuduh.” Berdecit suara Nur Husna tidak tertahan lagi meluahkan rasa amarah di hati. Sedih hatinya apabila tohmahan busuk begitu dilontarkan semberono oleh keluarganya sendiri.

Tanpa pedulikan balasan Fadli yang bungkam ditempelak Nur Husna, Nur Husna terus meninggalkan ruang tamu berlari masuk ke biliknya. Panggilan Puan Senah juga tidak dipedulikan. Pintu dihempas kasar meluahkan rasa geram. Nur Husna terus melemparkan tubuhnya ke katil lalu menekup wajahnya dengan bantal. Entah mengapa, hatinya sangat sakit seolah-olah dia yang dituduh melakukan perbuatan tak baik yang dikatakan Fadli. Dia tidak suka Fadli melabel Azam dengan sikap yang tidak baik kerana dia tahu lelaki budiman itu tidak begitu. Azam tidak pernah berkasar dengannya apatah lagi mahu melakukan perkara tak senonoh terhadap Nur Husna. Mustahil!

‘Tak guna punya abang. Sampai hati abang tuduh Ateh macam tu. Tuduh Encik Azam yang bukan-bukan.’

Bisik hati Nur Husna yang berdongkol geram sambil menumbuk-numbuk bantal yang tidak bersalah.  Sedang Nur Husna asyik meluahkan rasa sakit hati dengan bantal busuknya, bunyi notifikasi berkali-kali masuk ke Xpedia menarik perhatiannya untuk mencapai telefon bimbitnya yang tersadai di meja.

“Who’s he?”

“How dare you lie to me!?”

“Aku tak pernah tahu kau perempuan macam ni.”

“……”

Berkerut dahi Nur Husna melihat previu sorotan mesej yang muncul di skrin Xperia. Lebih aneh, mesej itu dihantar oleh nombor yang tidak dikenali Nur Husna. Siapa pula ni?




Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan