Cerpen: Bola Berbulu dan Aku

Jual2! Sapa nak beli?

P/s: Kalau perasan, cerpen ni lebih kurang sama dalam beberapa situasi dengan cerpen yang sebelum ni. Dua2 cerpen bertemakan kucing sememangnya diadaptasi daripada kisah benar dan dua kucing berbeza. Jadi persamaan itu memang disengajakan memandangkan tujuan dua cerpen ini dihantar ke dua saluran yang berbeza.

Cerpen ini dihantar bertulisan jawi ditulis secara manual bersempena penyertaan 'Pertandingan Menulis Cerpen Jawi Peringkat Antarabangsa' anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris. Walaupun tidak berjaya menjadi pemenang, tapi tidak pernah salah mencuba kan? 

Nak baca versi jawi? Sila download pdf di bawah. Selamat membaca!😊

Cerpen Bola Berbulu dan Aku


Setelah hampir tiga tahun tidak pulang ke tanah air yang dirindui,  akhirnya aku menjejakkan kaki semula di teratak yang menjadi saksi aku dan adik beradik membesar dengan penuh ragam. Tidak sangka terik yang digembar-gembur sepanjang berada di perantauan sangat membakar kulit tubuhku. Tidak lama, semakin legamlah warna kulitku yang sedia sawo matang itu. Sudahlah semakin melekit tubuhku dek peluh yang bercucuran. Namun, memikirkan letih yang tidak terdaya kerana perjalanan pesawat yang terlalu lama, aku langsung menuju ke bilik. Tidak pedulikan kiri dan kanan, aku terus menghempas tubuhku di atas katil yang sudah lama ditinggalkan berharapkan lelah yang mengulit langsung hilang. Tapi..

“Meowwww!!”

Refleks tubuhku bertindak saat suara nyaring itu berteriak ditambah pula penangan dicakar kuku kecil entahnya dari mana. Pedihnya umpama dibakar. Segera pandanganku jatuh pada bebola bulat penuh bulu dicemari tompok-tompok hitam seperti bola sepak mengembang berdiri atas empat kakinya. Melihatkan bola berbulu itu, langsung hilang rasa amarah yang menjentik tadi malahan mataku pula bersinar-sinar bagai menemui sebutir mutiara di dasar lautan dalam. Bulunya yang terpacak memarahiku tidak menghalang aku untuk menerpa bola gebu itu, langsung tubuh berbulu itu dipeluk erat biarpun teriak nyaringnya sangat menyakitkan telinga. Tapi itulah kepuasan, terasa hilang segala lelahku melihat hidupan penuh ragam ini.

“Ah! Rindunya aku pada kau Gebu." 

Biarpun keluargaku semua memanggil bola berbulu itu Tompok, tapi bagiku sandaran Gebu sangat sesuai dek ketebalan bulunya yang sangat mendatangkan selesa jika dibuat bantal tidur. Itulah pekerjaan aku setiap kali mahu beradu. Seperti tahu dia akan dijadikan alat untuk aku menggamit mimpi, pasti kelibatnya hilang daripada pandangan. Tapi selicik Gebu bersembunyi, licik lagi aku mencari. Untuk sekian kalinya, malam yang hening itu digempar dengan suara jeritan Gebu. Sudah puas aku dimarahi adik-adik aku kerana sering membuli Tompok mereka. Ah! Pedulikan. Aku hanya punya tiga bulan untuk dihabiskan waktu bersama Gebu. 

Walaupun setiap malam begitu, teriaknya sebenarnya hanya sementara. Waima usahaku untuk menjadikannya bantal tidur tidak pernah berjaya malah pasti cakaran kukunya berbekas pada kulitku, tapi setelah puas menjauh, Gebu akan kembali kepadaku bergumpal menjadi bola lalu dadaku pula dijadikan bantal tidurnya. Licik kan dia! Biarpun begitu, Gebu sangat memahami jikalau aku sedang dilanda duka. Dia pasti datang mencium aku. Kadang-kadang menjilat pipi aku yang dibasahi air mata. Oh Gebu! Sayangnya aku pada Gebu kerana dia bola hidup yang garang dan nakal, tapi sangat penyayang dan memahami. Oh tak lupa juga, Gebu bencikan aku. 

Ragam Gebu, walaupun figuranya sangat menarik hati untuk dipeluk namun nakalnya tak pernah hilang. Lagi-lagi aku ini sudah dianggap sebagai musuh utamanya. Ada sahaja lakunya yang mengundang murkaku. Salah satunya, pantang larangku jangan diganggu aku saat sedang bersantap mengisi perut yang berdendang, ketika itulah Gebu bersiap siaga memasang perisai, mengasah kukunya yang kontot, mengebar  megah ekornya yang  berkembang bagai merak lalu membuat lompatan tinggi memecah rekod kepantasan dunia mencuri ayam goreng masak kicap dari genggaman tangan aku. Belum sempat lidahku mencicip keenakan masakan umi, ayamnya sudah dicerna licin di dalam perut Gebu. Lalu untuk entah ke berapa kalinya, teratak kami digempar dengan segala macam hentakan periuk belanga. Kucing nakal! 

Mendapatlah penangan hukuman kejamku dikurung di dalam sangkar lalu dengan megahnya aku menayang masakan enak umi di hadapan Gebu setiap kali mahu makan. Untuk membalas karma dendam kesumanya, Gebu akan mewajibkan rutin hariannya mengejutku di dua per tiga malam demi melunaskan perutnya  yang berkeroncang. Mahu makanan, lapar katanya! Kalau hajatnya dipandang enteng, maka pertambahlah parut baru penangan kukunya yang tidak pernah lupa diasah. Lebih menyakitkan hati aku, Gebu sememangnya menyasar wajahku yang putih gebu. Raksasa kecil! Kalau cemburu katakan saja. 

Walaupun keluarga aku memelihara Gebu, tapi tidak pernah Gebu disangkar –kecuali ketika aku makan– atau dikurung di dalam rumah. Gebu dibiarkan bebas mahu berkeliaran di kampung ini kerana kami tahu, sampai waktu sirih pulang ke gagang. Tapi tidak aku sangka bebasnya membawa kecelakaan. Memang malang tak berbau. Satu petang yang biasa, anak jiranku datang membawa khabar buruk. 

“Lekas Acu, Tompok sudah mahu mati!” 

Bergegar jantungku mendengarkan itu. Tak menunggu, selipar disarung langsung Gebu yang dikatakan nazak dicari. Membulat mataku saat terpandangkan bola berbulu aku disimbahi darah. Walaupun lega melihatkan Gebu masih bernafas namun aku segera membawanya pulang. Aku mahu menghantarnya ke doktor haiwan tapi tak punya kenderaan malah aku dilema kewangan. Aku tahu ayahku tak mampu membiayai rawatan memikirkan kemungkinan kos yang mahal. 

Tak berputus asa, peti kecemasan aku ambil. Gebu aku bersihkan sebaik mungkin. Aku fikir Gebu luka parah kerana bergaduh, ternyata tidak. Kakinya lebam dan patah bahana dilanggar kereta.  Matanya luka dalam kerana tertusuk benda tajam. Geram dan sedih bercampur baur, tangisan aku tahan sedaya mungkin. Dengan bantuan internet, aku cuba membuat anduh pada kakinya. Walaupun begitu, perasaan risauku tidak menyirna melihatkan darah tiada tanda mahu berhenti. Mujur ayahku memahami, Gebu dibawa juga ke klinik haiwan. 

Aku fikir setelah dirawat dan mengikut saranan doktor, Gebu akan segera sembuh. Tapi, kalau Gebu sudah ditakdirkan pinjaman sementara buat kami. Begitulah takdirnya. Setelah tiga hari, Gebu semakin hilang seleranya. Makanan kering dan ikan rebus semakin tidak luak ditelan lalu aku gantikan dengan susu. Awalnya, Gebu masih boleh minum sendiri. Tapi seleranya terus hilang kerana itu aku terpaksa menggunakan picagari untuk membantunya minum.

Keadaan Gebu terusan begitu beberapa hari sehinggalah ke petang itu. Setelah Zohor, aku menghampiri Gebu yang ditempatkan di dalam kotak. Sekilas pandang, Gebu kelihatan normal bergumpal seperti bola ketika tidur. Berbezanya Gebu semakin kurus. Tapi saat aku mahu mengusap bulu gebunya, tanganku langsung kaku. Keras, sejuk tak bergerak. Ketika itu, tahulah aku Gebu sudah tiada. Tangisan yang ditahan akhirnya tumpah.

Gebu, walaupun sebentar cuma kau dipinjamkan. Kau sentiasa aku rindui. Itu kisah Gebu dan aku. Namun, kala duka kehilangan itu terlalu mengulit, aku didatangkan bola kecil berbulu yang bentuk dan rupanya sangat menyerupai Gebu. Kala itu, umi bersuara.

“Allah ambil yang kita sayang tapi Allah tak lupa gantikan sebagai pengubat duka. Begitulah kehidupan. Setiap ciptaan untuk kita jadikan pedoman sebagai panduan hidup. Seperti mana Qabil belajar mengebumikan Habil dengan melihat gagak menanam lawannya yang mati."

-TAMAT-
Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan