E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan
17: IBU SUSUAN
Sambil menepuk-nepuk Qalbi
yang pulas tertidur dalam baby carrier yang dipakainya, matanya tak
lepas melihat video yang sedang dimainkan di Iphone yang dipinjamkan Azam.
Tangan kiri menepuk Qalbi, tangan kanan pula memegang sudu yang penuh berisi
nasi goreng yang sudah sejuk dek tidak bersuap ke mulut kerana terlalu fokus
untuk memahami isi kandungan video tentang Supplemental Nursing System itu.
Sedang dia ralit melihat,
tiba-tiba terasa benda sejuk menyentuh bibirnya. Langsung dipanggung kepalanya
meninggalkan fokusnya pada video, melihat pemilik tangan yang sedang cuba
menyuapkan nasi ke mulutnya. Azam menjogket keningnya memberi isyarat supaya
membuka mulutnya.
“Eh tak apa Encik Azam.
Maaf, ralit pula saya tengok video ni. Encik Azam makanlah. Nasi saya pun
banyak lagi.” Nur Husna berkata sambil menolak sudu yang disua Azam.
Tapi Azam masih statik
berdegil tidak mahu menuruti kemahuan Nur Husna. Malah dahinya pula dikerut
serius tanda tidak menerima penolakan Nur Husna. Melihatkan wajah dingin bagai
mahu menelannya itu, teragak-agak Nur Husna membuka mulutnya menerima suapan
Azam mengalah dengan kemahuan lelaki itu. Azam pula langsung ceria air wajahnya
saat Nur Husna menuruti kemahuannnya. Satu sudu berganti dua sudu, dua sudu
berganti tiga sudu dan begitulah seterusnya hingga pinggan Nur Husna yang
tadinya penuh dengan nasi goreng licin tidak bersisa. Walaupun tidak selesa
dengan keperihatinan Azam yang begitu janggal padanya itu, Nur Husna hanya
biarkan sambil menyambung melihat video yang tergendala tadi. Lagipun mahu
mengelak dari bertemu mata dengan pandangan Azam yang sedari tadi tidak lepas
memerhatinya. Entah apa lah yang diperhatikan Azam pada wajahnya.
“You tak penat ke, dari
tadi ulang video yang sama?” Suasana yang tadinya sepi dan harmoni tiba-tiba
dicelah dengan pertanyaan Azam.
Malah bukan sahaja lelaki
itu sekadar bertanya, tubuhnya juga diangkat untuk duduk rapat di sisi Nur
Husna kerana turut mahu melihat video yang sedang dilihat Nur Husna sedari tadi
tanpa pedulikannya. Melihatkan laku Azam itu, Nur Husna lekas menekan butang ‘pause’
lalu ditekupkan tangannya pada skrin Iphone.
“Orang lelaki tak boleh
tengok.”
“Kenapa pula?”
“Ye lah. Video dia ada
tunjuk aurat orang perempuan.” Azam menahan senyum melihat riak gelabah Nur Husna.
“Habis tu awak tengok boleh
pula?” Soalan apakah yang tidak cerdik sangat ni? Bisik hati Nur Husna bersama
kerutan di dahi serta wajahnya yang kian membahang.
“Sa.. say.. saya nak
belajar. Kenalah tengok. Bukan saja-saja.”
“I pun nak belajar
juga. Bukan saja-saja. Lagipun ini Iphone I wahai cik Nur Husna.” Pantas
Azam membidas sambil matanya semakin galak melihat wajah putih kian ditambah
percikan merah jambu itu. Menawan!
Tanpa menanti balasan Nur
Husna, Iphone yang dipegang Nur Husna dicapai. Video yang sedang ‘pause’
itu ditekan butang ‘play’.
“Jangan!”
Tegahan Nur Husna
disertakan tindakan. Entah bila masanya tangannya bergerak menutup kedua-dua
mata Azam. Yang dia tahu video yang sedang dimainkan itu perlu ditutup daripada
pandangan Azam. Dia tidak mahu mendedahkan aurat wanita lain kepada lelaki itu.
Walaupun kata Azam untuk tujuan belajar sekalipun, jangan dengan Nur Husna.
Kalau mahu dilihat, lihat saja dengan orang selain Nur Husna atau seorang diri
di rumah. Yang penting bukan ketika dia ada bersama. Sebab Nur Husna malu!
Wajahnya usah dikata, sudah panas membahang ketika ini.
“Nur Husna, lepaskan mata I.”
Perlahan Azam meminta. Seperti mengugut pun ada juga.
“Tak nak. Nanti awak nak
tengok video tu juga.”
“Kenapa pula tak boleh?”
“Se.. seb.. sebab tak
boleh! Kalau awak nak tengok, balik rumah nanti awak tengoklah.”
“Nur Husna!” Bentak Azam
sekali lagi sebagai amaran.
Jemari yang sedang menekup
matanya itu digenggam tiba-tiba buatkan Nur Husna tersedar dengan kelakuannya
tadi segera mahu menarik tangannya. Tapi tidak terus dilepaskan Azam. Kaku
kedua-duanya saat mata mereka saling bersabung sebelum tangisan Qalbi
menyedarkan mereka. Nur Husna pantas menjauhi Azam yang dekatnya bagai mahu
dipeluk langsung diangkat tubuhnya berdiri menjauhi situ sambil mendodoikan
Qalbi yang terganggu lenanya. Jantung yang berdetak hebat bagai mahu pecah cuba
ditenangkan sedaya mungkin. Wajahnya yang semakin terasa panasnya dikibas-kibas
tanpa arah. Oh Tuhan, maaf aku tidak sengaja.
Azam pula yang terpinga-pinga
dengan tindakan pantas Nur Husna, memandang tangan sendiri yang masih terasa
kehangatan mulus jemari itu. Tanpa sedar ada senyuman kecil terjongket pada
bibirnya lalu memandang tubuh genit yang sedang berusaha memujuk anak di kendongan.
Apa kau buat ni Azam? Tergeleng Azam dengan laku sendiri sebelum mencapai botol
susu Qalbi lalu bangun mendapatkan Nur Husna. Tanpa suara meminta, Azam
langsung mengambil Qalbi dari baby carrier dibawa ke dukungan lalu botol
susu disua ke mulut comel itu. Nur Husna yang kaku di sisinya itu diberi
isyarat supaya kembali duduk di meja makan. Tidak menunggu, Nur Husna kembali
ke meja dengan detak jantung yang kembali mengganas diikuti Azam dari belakang.
“I am sorry. I did’t mean
to touch you.”
Sekali lagi Azam memecah kebisuan mereka.
“Tak apa. Saya yang patut
minta maaf. Saya tak bermaksud nak halang Encik Azam–”
“I know.” Penjelasan
Nur Husna pantas dicantas menarik mata bundar yang ketakutan itu untuk
memandangnya.
“I tahu cubaan you.
Tapi I yang sengaja mahu mengusik you. Jadi, I yang patut
minta maaf. I am sorry pretty.”
Pandangan Azam kian galak
saat melihat mata bundar itu semakin membesar bulat mendengarkan pengakuan
Azam. Wajah yang tadinya gemuruh serta-merta berubah mencuka. Sangat jelas rasa
tidak puas hatinya. Senyuman Azam kian tinggi menjongket tatkala menangkap
semua perubahan pada riak wajah itu. Terlalu mudah dibaca dan Azam tidak jemu
mencari-cari setiap perubahan yang dipamerkan Nur Husna di luar kesedaran gadis
itu.
“Ye, ye, ye. Sebelum you
mula nak membebel dekat I, apakata kita mula perbincangan kita yang
lebih serius.”
“Apa?” Wajah mencuka tadi
kini berubah keliru pula. Tanpa ditahan, tawa kecil terletus dari bibir Azam. Nur
Husna, you’re really an open book. Nur Husna pula terpinga-pinga melihatkan
Azam yang ketawa tiba-tiba tanpa ada yang lucu. Azam berdehem sebentar menutup
rasa terhiburnya sebelum kembali serius ke topik perbualan mereka.
“You serius nak jadi
ibu susuan Qalbi?”
“Dah jumpa doktor dah kan
tadi. Kenapa tanya lagi?”
“Okay, serius la ni
maksudnya. Jadi apa pilihan you, nak ambil pil saja ke atau nak ikhtiar
teknik sucking stimulation? Atau nak buat dua-dua.” Sekali lagi wajah
Nur Husna berubah tomato. Langsung ditekup wajahnya yang membahang melindungi
diri daripada terusan dipandang Azam. Ah, kenapa aku perlu bincang topik macam
ni dengan lelaki ini. Kenapa bukan dengan Puan Rosnah atau siapa-siapa yang berjantina
perempuan. Kenapa?
“Kenapa you tutup
muka pula? I tanya ni.”
“Encik janganlah tengok
muka saya.”
“Okay. I tak
tengok.” Tanpa mahu bertekak panjang lebar, Azam terus mengubah posisi tubuhnya
berpaling dari menghadap Nur Husna. Namun adakala wajah itu tetap dicuri
pandang dari hujung ekor matanya.
“Kenapa encik nak tahu?”
Melihatkan Azam tidak lagi memandangnya, Nur Husna kembali tenang mahu bertanya
walaupun wajahnya masih menunduk memandang meja.
“Kena tahulah. Qalbi anak I,
you nak jadi ibu susuan dia. Jadi, I sangat berhak untuk tahu macam
mana dia akan disusukan? Macam mana you jaga kesihatan you dan
kaedah yang akan you gunakan untuk bantu you hasilkan susu? I
tak dapat nak tolong secara lansung, tapi sekurang-kurangnya I boleh
tolong dari segi keperluan material dan persiapan mental you. I
tak nak terlalu susahkan you. You dah sudi jadi ibu susuan Qalbi
pun dah jadi rahmat buat I.”
“Tapi encik tahu kan, saya
sanggup jadi ibu susuan Qalbi pun sebab syarat Azami?”
Saat nama Azami disebut
masing-masing membisu mengenangkan lelaki itu yang entah di mana keberadaan
dia. Dia yang memulakan semua ini tapi kelibatnya tidak pernah muncul untuk
membantu Nur Husna dari segi segalanya demi menjadikan Nur Husna seorang wanita
sesuai dengan cita rasanya. Mujur ada Azam yang tahu apa perlu dibuat, jika
tidak terkapai-kapai lah Nur Husna seorang diri mencari solusi.
“Ye I tahu. Tapi I
tahu juga niat sebenar dia nak you jadi ibu susuan Qalbi.”
“Encik tahu? Maksud encik?”
Seperti selalu, kalau topik Azami yang dibangkitkan rasa teruja Nur Husna tidak
pernah dapat disembunyikan. Azam berpaling melihat Nur Husna sejenak beserta
senyuman kecil sebelum kembali berpaling daripada wajah teruja itu.
“Umur Qalbi sekarang ni dah
hampir nak masuk empat bulan tapi belum pernah sekali lidahnya merasai susu
ibu. I tahu Azami perihatin dengan nasib Qalbi, Azami tak nak pembesaran
Qalbi terlepas khasiat susu ibu yang maha hebatnya kebaikannya. Memandangkan you
bakal menjadi isteri dia dan you juga sangat rapat malah menyayangi
Qalbi macam anak you sendiri tindakan dia ni tak merugikan mana-mana
pihak. Sama ada Qalbi mahupun you sendiri. Sebabnya nanti bila Qalbi dah
besar dewasa tak adalah aurat you terbatas. Betul kan Nur Husna?”
Dalam mendengar Nur Husna
mengangguk perlahan membenarkan kata-kata Azam itu. Sebelum ini, pernah juga
Nur Husna terfikirkan asbab itu. Cumanya hatinya lebih cenderung untuk tidak
membenarkan telahan itu kerana masih sebal dan geram dengan sikap Azami.
“Saya akan cuba untuk guna
kedua-dua cara memandangkan Qalbi pun dah nak masuk empat bulan. Saya kalau
boleh nak cepat boleh menyusu Qalbi. Doktor Rasyidah sarankan ambil Domperidone
dulu lepas tu datang balik ke klinik untuk belajar teknik sucking
stimulation.”
Setelah lama berfikir
barulah Nur Husna bersuara mengkhabarkan pilihannya. Perlahan sahaja suara Nur
Husna saat menyebut ayat dihujungnya sambil berdehem tanpa mengangkat wajahnya.
Azam tidak berpaling tapi dari ekor matanya sempat dia menangkap reaksi malu
gadis itu, langsung terukir senyuman kecil di bibirnya.
“Your breastfeeding
schedule? Side effects of the pills? Does it safe for you and for the baby?”
Terkebil-kebil Nur Husna
memandang Azami di depannya. Walaupun lelaki itu tidak memandang wajahnya tapi
rasa ingin tahu Azam tetap tidak dapat disangkal. Tak tahukah dia soalan dia
itu sangat sensitif buat perempuan seperti aku. Dia tahu ke buat-buat tak tahu
yang aku ni tengah malu tahap tujuh petala langit. Haish, kenapalah aku yang
kena mengadap dia?
Walaupun teragak-agak,
setelah berfikir panjang lebar ada baiknya juga Nur Husna bercerita pada lelaki
itu. Lagipun hak dia juga untuk tahu memandangkan Qalbi itu anaknya. Apatah
lagi mungkin ini pertama kali Azam berdepan situasi ibu menyusu. Maklumlah,
Azam itu punya krisis dunia nak kiamat kalau topik isterinya yang hilang tanpa
jejak itu diutarakan. Setelah menarik nafas berlahan segala maklumat yang
disampaikan Doktor Rasyidah kepadanya tadi dikongsikan kepada Azam.
Menurut preskripsi Doktor
Rasyidah, Nur Husna boleh mengambil Domperidone tiga kali sehari dan jadual pengambilan
ubat mesti waktu yang sama setiap hari. Nanti Nur Husna perlu datang sekali
lagi ke klinik untuk pengesahan mengambil rawatan merangsang susu serta buat
ujian HIV demi memastikan kesihatan Nur Husna layak menjadi ibu susuan
sekaligus sebagai ujian saringan HIV pra-perkahwinannya.
Walaupun mengambil
Domperidone[1]
ada kesan sampingan yang bahaya tapi itu hanya untuk mereka yang mengidap
penyakit kronik. Sedangkan kesihatan Nur Husna yang diperiksa Doktor Rasyidah
tadi menunjukkan Nur Husna tidak ada masalah untuk mengambil Domperidone. Tapi
pil tetap memberi kesan sampingan yang masih boleh dikawal Nur Husna seperti
pening dan mulut kering.
“How about the breast
pumping?”
Mencerlung mata Nur Husna memerhati gerangan kayu di depannya itu. Hish mamat
ni, tak faham ke aku cuba elak jawab soalan tu.
Menyedarkan kebisuan Nur
Husna, Azam berpaling melihat gadis itu. Tertahan senyuman Azam melihatkan
wajah cemberut Nur Husna beserta rona kulit yang masih begitu. Matanya lembut
merenung gadis itu, pasrah dengan kepolosan dan rasa malu yang meninggi dalam
dirinya. Beruntungnya gerangan yang bakal memiliki kau nanti Nur Husna.
“Nur Husna?”
“Saya tak cerita tak boleh
ke? Tak ada keperluan pun kan untuk Encik Azam tahu.”
“Eh, perlulah. I pun
nak cuba jangka bila Qalbi betul-betul boleh menyusu skin to skin dengan
you. Lagipun tak salah kan kongsi ilmu, mana tahu boleh praktik dengan
isteri I nanti.”
“Tunggu isteri Azam la
kalau gitu. Suruh dia cerita sendiri dekat encik.” Bidas Nur Husna tidak puas
hati.
“Nur Husna, come on.” Mendengarkan nada suara
Azam yang mulai berubah itu, mulalah Nur Husna terasa bahunya melorot jatuh.
Tahu sangat dia kalau dengan lelaki ni mesti kalah.
“Yelah. Hurmm.. Doktor
Rasyidah pesan lepas ambil pil dalam seminggu, saya dah boleh mula pumping.
Sebab baru nak mula, saya kena buat dua jam sekali. Sekali pam kena 10 ke 15
minit. Lepas tu, saya kena konsisten lah buat pumping sampai dah keluar
susu. Jangkaannya antara dua ke tiga minggu, boleh jadi sebulan lebih. Tapi
boleh jadi juga dalam masa seminggu. Cumanya kuantitinya tak banyaklah waktu
awal-awal. Yang penting saya kena disiplin makan ubat, emosi kena sentiasa
jaga, makan makanan yang sesuai untuk tambahkan susu dan konsisten pumping
lah.”
“I see. Jadi,
jangkaan Qalbi boleh terus menyusu dengan you antara dua minggu ke
sebulan lah ye?” Kata Azam sambil mengusap-usap dagunya.
“Macam mana pula Supplemental
Nursing System? Video tutorial yang you
tengok dari tadi sampai tak bagi I tengok.”
Nur Husna rasa nak tepuk
dahi. Kepala yang tidak gatal digaru-garu. Tersengih kerang busuk dia mahu
bagaimana menjelaskan soal itu kepada Azam.
“Encik tanya doktor tak
boleh ke?”
“You dah ada depan
mata I, you tahu pasal ni, you lah cerita dekat I.”
Nur Husna menggigit bibir
geram. Kenapalah waktu Doktor Rasyidah terang panjang lebar tadi Qalbi meragam
tak nak duduk diam. Kalau tak, tak perlu dia jadi pita rosak macam ni.
“It’s okey Nur Husna.
You cerita je macam you cerita dekat keluarga you. Bayangkan
seolah-olah I tak ada. Okay?” Masalahnya aku tak okay! Mahu saja dijerit
kuat-kuat di telinga Azam. Tapi melihatkan redup mata itu yang bersungguh
meminta, Nur Husna rasa nak menangis. Mak, nak balik.
“Doktor Rasyidah bagitahu
tadi, kalau boleh saya tak terlalu bergantung pada pumping saja nanti
untuk keluarkan susu. Maksudnya, hisapan daripada mulut bayi itu lebih membantu
menghasilkan susu daripada menggunakan pam. Jadi, memandangkan kemungkinan susu
tak berapa nak ada ataupun tak keluar
langsung sangat tinggi, doktor sarankan guna Supplemental Nursing System.
Alat ni macam botol susu yang kena letak susu dalam botol tapi tak ada puting
tapi tiub kecil panjang sebagai pengganti putting untuk bayi hisap. Tiub kecil
panjang tu bersambung dari penutup botol dan penghujung dia akan dilekatkan ke breast.
Jadi, kalau saya tak boleh keluarkan susu waktu menyusu, tiub itu sebagai
pembantu untuk sampaikan susu ke bayi dari botol. Macam mana nak guna, encik
boleh cari sendiri rasanya video[2]
tu.”
“Eh, tadi tak bagi I
tengok. Ni suruh I tengok pula.”
“Encik janganlah tengok
video yang tunjuk tutorial yang betul, tengok yang eksperimen dekat makmal tu
sudah lah. Ya Allah! Kenapa aku kena jawab semua soalan ni.”
Berdecit suara Nur Husna
dengan mata yang menirus memandang kayu di depannya itu. Dia mengusap-ngusap dada sendiri supaya
diberi kesabaran yang tinggi berdepan dengan lelaki ini. Nur Husna tahu, Azam
itu sebenarnya sengaja mahu cari pasal. Tengoklah, terhinjut-hinjut bahu tu
mesti tengah seronok ketawakan aku.
“Encik Azam!”
“Easy girl. Hehe..
ehem.. jangan serius sangat. I cuba nak hiburkan you je.”
“Saya tak terhiburlah
encik. Dah lah, pukul berapa dah ni. Jomlah hantar saya balik. Nanti mak saya
marah saya balik lewat.”
“Kejap lah adik manis.
Jangan marah-marah. I tak habis tanya lagi.”
“Jangan tanya dah encik.
Saya tak nak cerita. Saya malu sangat dah ni. Janganlah seksa jiwa dan raga
saya. Kesiankan lah saya encik.”
Sambil memujuk kedua-dua
jemari tangannya digenggam erat sambil membuat muka kesian. Beserta matanya
yang dikerdip berkali-kali cuba mengambil hati Azam. Melihatkan itu semakin
besar ketawa Azam dengan kerenah Nur Husna. Tak sangka Nur Husna akan tunjukkan
sisinya yang mengada-ngada seperti itu.
“Ala, encik. Jangan
ketawakan saya. Saya serius ni.”
“Hehe.. okay. I
serius. Lagipun betul lah, I tanya tak habis lagi. Tapi bukan pasal tadi
dah, ini pasal lain pula.”
“Pasal apa pula?” Berkerut
dahi dan hidung Nur Husna berfikir kemungkinan soalan yang bakal ditanya lelaki
itu.
“Kalau you dah mula
menyusu Qalbi nanti, you nak tinggal mana?”
“Maksud encik?”
“I kalau boleh,
kalau Qalbi dah mula ambil susu badan, I tak nak dia minum susu formula
lagi sampai umur dua tahun. Memandangkan Qalbi perlu ada dengan you
untuk menyusu, you kena lah buat keputusan. Sama ada you nak
ambil Qalbi untuk tinggal dengan you, atau you tinggal dekat
rumah I. Ataupun you pilih nak sediakan stok susu perahan untuk
Qalbi dekat rumah you; you akan label tarikh semua tu, lepas you
bagi dekat I dan hanya menyusukan Qalbi bila jumpa je. Macam mana?”
“Yelah. Kenapa saya tak
terfikir ye pasal tu.” Mendengarkan pertanyaan Azam itu, baru Nur Husna
tersedar tindakan seterusnya yang perlu dia ambil tahu.
“Mak Senah dah tahu you
nak jadi ibu susuan Qalbi?”
“Dah. Saya dah cakap. Tapi
saya tak bincang sampai ke situ. Saya beritahu mak niat nak ambil Qalbi jadi
anak susuan je. Hurmm.. macam ni lah encik, saya bincang dulu dengan mak macam
mana. Insya-Allah, esok atau lusa saya beritahu encik. Boleh ke?”
“Okay. Dan lagi satu–”
Baru sahaja Azam mahu
bertanya lanjut, Xperia Nur Husna lantang berbunyi membantutkan pertanyaan
lelaki itu. Serentak itu dua pasang mata melihat Xperia yang sedang berbunyi di
atas meja. Melihatkan nama gerangan pemanggil, kedua-duanya berubah air muka.
Kelam-kabut Nur Husna menyambut panggilan itu tanpa menyedari sorotan tajam
mata pemuda di depannya. Malah, Nur Husna yang bertindak menjauh supaya
perbualan mereka tidak didengari Azam semakin mengundang reaksi dingin yang entah
dari mana datangnya. Tak terkawal rasa hati yang membuak-buak mahu menghentikan
perbualan yang mengundang senyuman lebar Nur Husna, dia tidak suka riak wajah
itu jika bukan dia penyebabnya. Tanpa sedar laku tubuhnya lebih menuruti
kemahuan hatinya apabila dia tiba-tiba mengambil Xperia yang sedang ditekap ke
telinga Nur Husna.
“Encik Azam?”
Terpinga-pinga Nur Husna dengan tindakan Azam yang tiba-tiba itu. Malah
melihatkan raut bengis lelaki itu membuatkan dia kecut perut mahu memarahi
perbuatan biadab Azam tanpa sebab.
Tidak pedulikan Nur Husna, gerangan
yang masih memanggil di corong telefon terus diputuskan dengan mematikan
Xperia. Nur Husna ternganga tidak terkata dengan tindakan Azam itu. Baru saja
mahu persoalkan perbuatan Azam, lengan Nur Husna terus diheret keluar dari
restoran ke kereta tanpa sebarang penjelasan. Nur Husna yang meronta-ronta
minta dilepaskan langsung tidak dipeduli malah Qalbi yang sedang lantang
menangis juga dibiarkan begitu tanpa ada usaha mahu memujuk. Melihatkan
perbuatan Azam yang melulu dan bengis begitu, terus Nur Husna dengan kuat
merentap tangannya melepaskan diri.
“Astaghfirullahalazim.
Encik Azam! Encik ni kenapa?”
Azam yang sedang
diselubungi rasa amarah itu tersedar saat herdikan Nur Husna yang luar
kebiasaan gadis itu. Melihatkan riak bengis terukir pada wajah Nur Husna, Azam
tersentap mengenangkan perbuatan melulunya tadi. Tanpa pedulikan Azam yang
masih dalam dunianya sendiri, Qalbi yang masih selak menangis terus diambil
dari kendungan Azam. Bayi kecil itu dipujuk perlahan sambil mencuba memberi botol
susu berharap tangisannya segera berhenti. Pasti terkejut mendengar jerkahannya
tadi.
“I am sorry Nur Husna.”
“Encik kenapa? Tak ada
angin tak ada ribut, tiba-tiba nak naik angin tanpa sebab ni kenapa? Saya tak
ada buat salahkan dekat encik.”
“Tak! You tak buat
salah. I cuma… cuma..”
“Cuma apa!?” Wajah mencuka
Nur Husna dipandang dengan serba salah. Teragak-agak mahu menjawab. Tak akan
nak mengaku cemburu buta kot. Lagi masalah jadinya nanti!
“Cuma apa Encik Azam!?”
Melihatkan kebisuan Azam, Nur Husna membentak lagi. Panas hatinya mengengkan
laku Azam tadi. Apatah lagi Qalbi masih teresak-esak menangis di pelukannya.
Masih sangat terkejut anak kecil ini pastinya.
“Cuma I letih sangat
tadi. Ada mesej masuk yang buatkan I marah. Jadi, I nak
cepat-cepat balik.”
“Kalau ye pun marah. Tak
perlulah nak lepaskan amarah awak tu dengan orang sekeliling, dekat anak awak.
Awak tahu tak sikap awak ni memberi kesan tidak baik terhadap perkembangan anak
awak.”
“I am sorry. I am really
sorry.”
“Dah lah. Jom balik. Qalbi
pun dah mula meragam ni.”
“Tangan awak okay?” Sempat
Azam tanyakan keadaan Nur Husna. Dia pasti, mengenangkan perbuatan melulu penuh
emosi tadi, pasti genggamannya pada lengan gadis itu meninggalkan bekas.
“Tak ada apa. Dah jom balik.
Ingat Encik Azam, emosi boleh dikawal. Kalau tak terkawal cuba menjauh dari
orang keliling terutamanya keluarga encik. Biar sejuk hati dulu sampai fikiran
dah rasional. Bertindak berdasarkan emosi tak membawa apa-apa kebaikan.
Lagi-lagi emosi amarah yang mengundang celaka.”
“Yes madam.”
Tidak pedulikan Azam yang
mencuba mengambil hatinya, pintu belakang dibuka lalu Qalbi diletakkan di
kerusi bayi. Azam yang sudah bersedia membuka pintu depan untuknya dipandang sepi
lalu memboloskan dirinya di tempat duduk belakang.
“Saya duduk di belakang
sebab Qalbi meragam.”
“As you wish, madam.”
Dengan senyuman lebar dan
budimannya Azam menunduk lalu dengan sopannya mahu menutup pintu. Namun
perbuatannya terhenti saat mendengarkan nama Nur Husna diseru seseorang.
“Husna..”
Serentak Nur Husna dan Azam
berpaling melihat gerangan itu.
“Abang Fadli!”
Fadli tidak menyambut
seruan Nur Husna malah perhatiannya tertumpu pada Azam yang tajam memandangnya.
“Jadi, ini lah Azami
Norhakim.”
“Kau siapa?”
“Aku Fadli. Bakal suami
Husna.”
Membulat mata Nur Husna
mendengarkan jawapan Fadli. Apa yang abang aku buat ni!?
----------
RUJUKAN:
1-
https://www.pumponthego.com/induced-lactation-cetusan-penyusuan-susu-ibu/
[1]
https://my.theasianparent.com/domperidone-meningkatkan-susu-ibu/
[2] https://youtu.be/Ju890wsLgqE
Comments
Post a Comment