Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, setelah empat hari berfikir dan memerah idea, demi mencantikkan lagi plot serta menyunting penulisan aku supaya lebih teratur, serta memastikan maklumat yang tertulis lebih tepat ilmunya, akhirnya berjaya juga karya ini dinoktahkan.

Buat yang pernah membaca cerpen TJDJ sebelum ini, silakan dibaca semula kalau sudi. Walaupun tidak banyak yang diubah tapi aku jamin. Kalian akan lebih puas untuk TJDJ versi edited. Semoga! Aminnn..

Buat yang pertama kali mahu membaca, silakan jangan ragu2. Aku lebih mencadangkan cerpen TJDJ versi ini. Tidak salah juga mahu membaca yang versi lama. Masih ada tertampal dalam post yang sebelumnya. Cumanya, kalau versi lama dimohon agar bersabar banyak2. Aku belum matang saat karyaku itu ditulis. Harapanku cuma satu, karyaku enak dibaca dan pembaca semua gembira. 
Selamat membaca!


"Aina!!!"


Nyaring jeritan seseorang dari belakang cukup membuatkan aku terkejut lantas membantutkan langkahku yang tiada arah tujuan. Tanpa sedar ternyata saat itu aku sedang berdiri di tengah-tengah laluan kenderaan. Aku hanya mengalihkan kepalaku untuk memandang siapa yang memanggilku. Mak Milah, jiran sebelah rumah aku kelihatan cemas menggawangkan tangannya sambil terlolong menjerit namaku berulang kali. Orang kampung di sekeliling juga kelihatan cemas dan mula memanggil namaku juga. Aku bingung, kenapa mereka berkelakuan demikian? Kenapa memanggil namaku? Adakah sesuatu berlaku kepada ibu? 


Ibu... arhh! Biarkan, ibu sudah tidak sayang aku. 


Tanpa menghiraukan jeritan Mak Milah dan orang kampung, aku kembali memandang ke depan untuk menyambung langkahku. Tapi, langkahku terhenti saat kereta-kereta laju dipandu menjamu mataku. Kakiku langsung kaku takut untuk bergerak.


"Pin!! Pin!! Pin!!"


Bunyi hon bertalu-talu menambahkan gentar aku. Kala aku berpaling pada suara hon yang membingit, mataku membulat besar saat pacuan empat roda laju membelah angin menuju ke arahku. Kegusaran dan ketakutan yang menguasai diri aku membuatkan otakku berhenti berfikir, jangtungku berdegup kencang membuatkan lelahku kembali menyerang. Mataku mula kabur kerana nafas yang kian pendek menyukarkan aku bernafas. Terpinga-pinga mahu melakukan apa, dalam ketakutan mata ku pejam rapat sambil erat memeluk Jolie, teddy bear hadiah daripada ayahku. 


Tiba-tiba terasa tubuhku dipeluk seseorang. Erat rangkulan kecilnya cuba melindungiku.


"Aina! Fateh!" Sayup-sayup kedengaran suara lantang itu menjerit. Belum sempat memastikan siapa yang memanggil, tubuhku terasa melayang. Pelukan erat tadi juga terlepas jauh. Mataku kian rapat menutup rasa takut.


Duniaku terasa terhenti saat jeritan orang kampung kian tenggelam daripada pendengaranku. Kereta yang lalu lalang juga bagai berhenti bergerak. 


Adakah begini rasanya mati? Peliknya, mengapa tubuhku tidak terasa sakit seperti yang sering dikatakan orang sekeliling. Mati itu sakit! Malah aku merasa tubuhku erat dipeluk dalam kehangatan seseorang. Kali ini pelukannya lain dari tadi. Lebih besar dan gagah. 


Jolie, kaukah itu? Hatiku bertanya kepada teddy bear yang sedang ku peluk. Tapi akalku laju mencerna. Joliekan patung! Mana mungkin tangan Jolie yang kontot disamakan dengan pelukan gagah ini. Dalam cuba mengatur nafas yang menyesakkan dadaku, aku tercungap-cungap menahan perit itu. Terasa dadaku berat bagai dipijak.


Namun, mataku aku cuba buka perlahan. Memastikan keberadaanku, sudah matikah aku? Walaupun tidak dapat mendengar suasana riuh orang yang mengerumuniku tetapi dengan pandanganku yang samar, aku yakin tubuhku sedang dibaringkan di atas riba seorang lelaki. Tidak dapat menahan perit dada kian sempit mencari oksigen yang semakin sedikit, mataku kembali terpejam dengan mulut tercungap meminta udara.


Dalam sedar yang kian menyingsing, aku tahu lelaki itu sedang memberi bantuan pernafasan kepadaku. Dadaku ditekan berkali-kali, mulutku dihembus tidak henti hingga aku terbatuk kecil. Ajaibnya, dada yang tadinya sempit kini lapang melegakan. Nafasku mula teratur seperti biasa. Batuk kecilku dilegakan dengan tepukan di belakang tubuhku. 


Perlahan mataku terbuka luas. Ketika itu, wajah lelaki cina yang pertama kali menyapaku. Di sampingnya, berdiri anak kecil yang sedang menggenggam erat baju lelaki itu. Wajahnya pucat lesi, teresak-esak menangis. Aku kembali memandang wajah lelaki cina yang sedang meribaku itu. Tersenyum manis dia lalu membantu aku berdiri. Sambil itu dipujuk anak kecil di sisi dengan bahasa cinanya. 


Memandang sekeliling, baru aku sedar aku sedang dikerumuni orang kampung. Mak Milah turut di situ, laju menerpa untuk membantu aku berdiri sambil menangis kegembiraan. Orang di sekeliling pula yang tadinya risau mula menghembus nafas lega melihatkan aku tidak apa-apa.


"Nah, teddy bear Aina." Lelaki cina itu menghulurkan Jolie kepadaku. Agak kotor bulu birunya mungkin terlepas dari genggaman aku tadi. Aku menyambut tanpa suara. Lelaki itu pula mesra mengusap kepalaku. Entah kenapa, aku mengelak disentuh dia terus berlari menyorokkan diri di belakang Mak Milah. Tapi masih mahu mencuri-curi pandang wajah yang sedang ketawa melihat keletahku itu. Ketika itu juga perhatianku kembali ke anak lelaki yang sudah berhenti menangis. Tapi masih tersedu-sedu sentapan suaranya. Dia yang sedang bergayutan menggenggam seluar lelaki cina itu kemudiannya didukung lelaki itu.


"Ish apa kamu ni Aina. Terima kasih dekat pak cik sebab selamatkan kamu." Arah Mak Milah apabila melihat kelakuan anehku.


"Tak apalah Kak Milah. Terpinga-pinga lagi tu. Nanti dah sedar, menangis tak berhenti pula. Macam si Fateh. Berani tak bertempat. Mujur saya sempat tarik dua-dua tadi."


"Itulah. Terkejut Kak Milah tengok Fateh tiba-tiba terpa si Aina ni. Menjerit Kak Milah tadi. Terima kasihlah Hamid. Kalau tak ada kamu tadi tak tahulah apa Kak Milah nak jawab dengan ibu dia. 


- Fatehh.. jangan nangis. Fateh budak baik. Berani sangat tadi. Terima kasih tolong Aina. Dah, dah. Jangan nangis. Tak ada apa jadi pun. Selamat dah semua. Alhamdulillah."


Mesra Mak Milah mengusap-ngusap kepala anak kecil bernama Fateh itu. Wajahnya yang sembap dikesatnya lembut. Aku hanya memerhati tanpa sebarang suara.


"Aina, nah coklat. Jangan takut tau. Aina pun budak baik juga. Selalu dengar cakap Mak Milah. Nanti jangan main tepi jalan tau. Banyak kereta. Bahaya!" Dengan pelat lidah cinanya dia menasihatiku sambil bungkusan chocklairs diberikan kepadaku. Malu-malu aku menyambut manisan kegemaranku itu.


"Dengar tak Aina, pak cik cakap apa?" Sempat lagi Mak Milah mengugutku dengan suara tegasnya.


"Dengar Mak Milah." Takut-takut aku menjawab pertanyaan Mak Milah itu.


"Bagus. Cakap apa dekat pak cik?" Mendengarkan pertanyaan Mak Milah itu, wajah cina itu kembaliku pandang. Manis senyuman dia melihatku sambil mengusap-ngusap anak kecil di dukungan. Belum berhenti memujuk.


"Terima kasih pak cik."


"Sama-sama Aina comel. Jaga diri baik-baik tahu. Mari Kak Milah. Saya beransur dulu."


"Yelah Hamid. Kak Milah pun nak pulang hantarkan Aina ni. Nanti tercari-cari pula ibu dia. Sekali lagi terima kasih ye Hamid. Terima kasih banyak-banyak."


"Tak ada apa. Dah jadi tanggungjawab saya untuk membantu."


"Kak Milah pergi dulu ye. Assalamualaikum." Mak Milah menarik tangan kecilku meninggalkan lelaki itu. Orang-orang kampung yang mengelilingiku tadi juga turut beransur ke haluan masing-masing. Aku berpaling memandang semula heroku tadi. Dia juga sudah berpaling pergi bersama anak kecilnya di kendongan.


Hatiku yang kosong tiba-tiba dipenuhi harapan dan keinginan. Ya Allah, Aina pun nak hero yang akan selalu jaga Aina muka cina macam tu juga. Hero yang akan jadi pelindung Aina nanti. Macam ayah. Boleh kan?


*****


"Hei perempuan! Bangun! Sampai bila kau nak tidur hah?" Aku terjaga saat suara bak halilintar itu menyapa pendengaranku. Tubuh yang basah kuyup akibat disimbah air hanya mampu aku biarkan. Apa kuasaku untuk membalas amarah Mak Ina. Aku bangun daripada baring memandang Mak Ina yang sedang berdiri bercekak pinggang sambil menjegilkan matanya.


"Kau tak payah buat muka kesian macam tulah. Kau ingat aku nak cair. Hei, tengok muka kau pun buat aku bertambah meluat tahu. Kau dengan ibu kau sama saja. Menyusahkan!" 


Sekali lagi seperti pagi-pagi sebelumnya kepalaku ditolak kasar. Aku hanya membiarkan. Tanpa menghiraukan bebelan Mak Ina yang tidak akan pernah berhenti apabila melihat aku, dalam menahan kesejukan pagi yang mencengkam ditambah lagi tubuhku yang basah kuyup, aku gagahkan diri pergi ke dapur menyiapkan apa yang patut. Jam di dinding aku pandang. Baru jam empat pagi. Tapi sememangnya itulah rutin harianku. Dikejut seawal pagi dengan cara kasar untuk menyiapkan sarapan beserta lauk pauk untuk makan tengah hari ibu tiriku, Mak Ina dan kakak tiriku, Murni. Aku melihat kelibat Mak Ina menonong ke biliknya sambil melontarkan jelingan tajam buatku. Aku menghiraukannya sambil meneruskan kerjaku. Sudah tahu, Mak Ina hanya bangun jam begini untuk mengejutkan aku kemudian dia akan kembali menyambung lenanya. Agaknya bagi Mak Ina tidak senang duduk melihat aku enak dibuai mimpi.


Nama aku Nur Aina. Umur aku 17 tahun dan sudah tentu calon SPM tahun ini. Walaupun aku hidup dalam banglo mewah milik arwah ayahku tapi kenyataannya setelah kematian ayahku, aku dijadikan pembantu rumah agam ini. Melayan dua orang puan besar yang tidak pernah tenang apabila melihat wajah aku. Penderitaan hidup aku telah bermula saat usiaku 9 tahun semenjak ayahku kahwin lain dengan Mak Ina. Aku pun tidak tahu kenapa. Tetapi semenjak Mak Ina menjejakkan kaki di rumah kami, hidup aku tidak seperti kanak-kanak lain, ibu pula tidak sebebas dahulu. Aku dan ibu sentiasa perlu melayan Mak Ina dan Murni seperti puan besar. Tambahan pula ayah jarang pulang ke rumah. Kalau ayah pulang itu sememangnya nikmat besar buatku dan ibu untuk terlepas daripada cengkaman harimau Mak Ina. Sebabnya, Mak Ina akan melayan kami bak permaisuri apabila ayah ada. Talam dua mukalah katakan.


Dulu ibu selalu memarahiku sekiranya aku cuba melawan Mak Ina. Sehingga pernah ibu merotanku disebabkan aku memasukkan julap dalam minuman Mak Lampir itu. Akibatnya aku dirotan sehingga berbirat. Dek kesal dengan perbuatan ibu itu, aku merajuk pergi berkeliaran di luar kerana marahkan ibu. Saat itu berlakunya peristiwa aku hampir dilanggar dan diselamatkan oleh seorang lelaki berbangsa cina. Tapi aku agak kecewa dengan takdirku ketika itu.


Kan bagus kalau aku betul-betul mati. Tak perlu aku menghadap semua penderitaan ini. Namun, kalau dibandingkan penderitaan aku dan ibu, ibu lebih teruk dikerjakan oleh Mak Ina. Pernah ibu sengaja ditolak jatuh dari tangga sehingga berdarah kepala ibu. Kenapalah Mak Ina benci sangat dengan kami? Hurmm..


Mengenangkan ibu, hatiku diulit rindu dan hiba. Sendu ini tidak berhenti biarpun sudah bertahun-tahun lamanya. Gara-gara dengki Mak Ina, Ibu terpaksa pergi meninggalkan aku sewaktu aku masih berumur 11 tahun. Mulut busuknya tidak bersalah menyebar fitnah bahawa ibu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain malah dijaja khabar palsu itu kepada orang kampung. Setelah ayah pulang dari luar Negara, berita ini sampai ke pengetahuan ayah. Teruk ibu dipukul oleh ayah hingga tega lafaz cerai dijatuhkan terhadap ibu. Lebih menyedihkan ibu diusir keluar dari rumah ini bagai kucing kurap sehelai sepinggang. Sejak daripada itu, khabar beritanya bagai melontar batu ke lautan. Jika disoal ke ayah, hanya kebisuan jawabnya. 


Perubahan nasibku semakin buruk setelah ibu pergi, layanan Mak Ina dan Murni terhadapku semakin teruk. Bertambah buruk apabila ayah meninggal akibat sakit jantung tiga tahun lalu. Fikir aku setelah ayah meninggal nasib aku juga seperti ibu, akan dihalau oleh mereka. Tetapi aku 'disimpan' mereka kerana aku satu-satunya waris yang akan mewarisi semua harta ayah yang sedang 'dibeku' sekarang ini dek belum sampai usiaku untuk mewarisinya. Menurut apa yang aku tahu, penyerahan harta akan diserahkan kepadaku ketika usiaku mencecah 25 tahun. 


Sekarang, kami hidup berbekalkan wang sara hidup yang ditanggung syarikat ayah yang kini sedang dikendalikan oleh orang-orang kepecayaan ayah sementara menanti usiaku matang ketika berusia 25 tahun nanti. Tapi, aku tahu ianya mustahil. Mak Ina awal-awal lagi sedang siapkan anaknya untuk mengambil alih syarikat. Aku hanya kambing hitam saja.


Tapi, aku tak kisah semua itu. Asalkan aku boleh bebas daripada mereka, itu sudah lebih daripada cukup. Sekarang, aku akan terus bersabar sebagai manusia yang diberi ujian. Rutin harian aku lakukan sebaik mungkin sambil menghitung hari. 


Bangun seawal empat pagi dikejutkan dengan cara yang paling kasar oleh Mak Lampir, aku akan menyiapkan sarapan, makan tengah hari, membasuh dan menyidai baju, membersihkan seluruh banglo dan segalanya yang sesuai digalas oleh pembantu rumah. Setelah selesai semua kerja barulah aku akan bersiap untuk ke sekolah. Selalunya sebelum subuh aku terpaksa keluar dari rumah kerana jarak sekolah dan rumah adalah jarak yang sangat jauh. Dan aku hanya menaiki basikal sahaja. Bukan seperti si puteri Murni tu, setiap hari pergi sekolah pemandu arwah ayah yang hantarkan. Kalau berpeluang aku akan tinggalkan basikal di rumah Mak Milah kemudian menaiki motorsikal yang Pak Udin, suami Mak Milah belikan buat aku. Mereka sudah sedia faham nasib aku hidup dengan Mak Ina. Malah semua orang kampung tahu, tapi masuk campur urusan Mak Ina sememangnya bukan sesuatu yang baik. 


Aku akan singgah di surau Asy-Syakirin untuk solat subuh lalu terus ke sekolah kesayangan aku SMA Imam Nawawi. Selalunya aku akan berada seharian di sekolah dan pulang sebelum maghrib bersama nasi dan lauk untuk puan besar dua orang tu makan. Aku juga bekerja sambilan di kedai makan depan sekolah untuk belanja harianku. Nak harapkan Mak Ina? Jangan haraplah. Tapi asbab asalnya, malas nak balik awal sebab aku malas mengadap Mak Ina dan peluang yang ada aku siapkan kerja sekolah di sekolah. Faham-faham sahajalah, jejak sahaja kaki di rumah banglo itu maknanya tiada waktu rehat untuk aku selagi Mak Ina belum beradu di bilik. Hurmm.. bilalah waktunya takdir aku akan berubah? Adakah apabila umurku telah menjangkau 25 tahun nasib aku akan benar-benar berubah? Tak apa Aina, Allah ada dan Dia sentiasa ada untuk kau. Yeah! Gambate!


*****


"Aina!" Dari jauh sudah dengar suara sahabat aku, Nurul Anisa melolong namaku. 


Hurmm.. apa lagilah si Anisa ni terjerit-jerit, adalah tu yang dia teruja tak ingat dunia. 


Aku gagahkan tubuhku yang agak keletihan kerana kurang rehat. Tambahan pula semalam Murni buat hal tak mahu makan makanan yang aku bawa balik seperti selalu. Entah tiba-tiba datang kempunan merasa makanan barat. Tak semena-mena aku terpaksa pecut ke Giant malam tadi belikan apa yang si puteri itu mahukan. Untung Mak Milah ada, satu-satunya wanita yang sudah aku anggap seperti ibu aku sendiri.


"Apa dia Anisa, kau ni tak sakit tekak ke terjerit-jerit nama aku?" Aku bertanya apabila Anisa sudah terpacak di depan aku sambil buat muka kerek. Anisa buat kerang busuk lalu mengambil tempat di sebelah aku.


"Kau tahu tak, ustazah ada bagitahu aku tadi, ada lapan orang pelajar tingkatan lima terpilih ke program PDCA bawah PERDA dengan ZAKAT. Kali ni program motivasi dekat X Resort di Kedah dan tarikh dia lusa ni. Tiga hari dua malam. Wakil pelajar dari sekolah seluruh Penang akan dihantar." Dengan semangat Anisa bercerita.


"Jadi?" Tanpa perasaan aku bertanya dan sudah dapat diagak reaksi temanku itu. Buat muka seposen dialah bila kena macam tu. Hehe, padan muka. Kacau aku lagi waktu mood tak okey ni.


"Ish kau ni. Potong mood aku betul. Jadi, aku terpilih dan kau juga terpilih dan wajib pergi, tak boleh tarik diri." Bagai bertih jagung Anisa sampaikan maklumat. Macam tahu-tahu saja aku akan tarik diri. Dengarkan sahaja berita tersebut, aku menyembamkan muka pada meja. Aduh, bala! Bala! Bala besar sudah mari!


"Kau ni! Tak bersyukur langsung kau terpilih. Budak kelas kita ramai lagi nak pergi program ni. Kau tahu, kita ada lagi empat atau lima lagi kem bawah PDCA. Dengar kata tak boleh tukar orang. Subjek pula, Sains, Math dan BI. Dan beruntungnya, budak sastera saja yang terpilih. Kau ingat senang ke budak sastera nak dapat kem macam ni." Ha sudah di mula dah.


"Anisa.. kau tak faham keadaan aku macam mana? Macam mana pun aku rasa kena tarik diri juga la." Dengan suara sayu aku beritahu apa yang ada di hati. Anisa terdiam mendengarkan suara sayu aku. Seperti dia baru tersedar siapa aku dan bagaimana hidupku sebenarnya. Aku tidak semudah orang lain untuk keluar dari sangkar emas.


"Tapi, aku dah cakap dengan Ustaz Roshidi pasal ni. Kau tahu kan Ustaz Roshidi macam mana, mana boleh pujuk dah. Lagipun ustaz yang uruskan urusan pergi balik kita sepanjang setiap kem PDCA ni nanti. Dan aku pun dah cakap dengan kaunseling, Ustazah Nadiah cakap dia akan cuba cakap dengan Mak Ina kau."


"Kau biar betul Anisa?" Aku pandang Anisa tak percaya. Jangan mak cik ni pergi bongkar segala kisah sulit aku sudah. Tapi aku percaya Anisa, tak pernah lagi diceritakan rahsia aku dekat orang lain.


"Betul lah." Aku mengeluh.


"Agak-agak apalah yang bakal Mak Ina buat dekat aku ye?" Aku berkata sayu lagi. Tapi lebih mahu kenakan Anisa sebenarnya. Hehe.. Hurmm.. kalau Mak Ina lepaskan aku pergi program kali ni, memang nikmat besar lah. Kem sebelum ni pun aku minta senang saja dia cantas.


"Ish kau ni janganlah cakap macam tu. Kau doa-doalah Mak Ina kau lepaskan kau. Rugilah kau tak pergi, dah la kau satu-satunya pelajar terbaik dari kelas sastera. Kalau kau tak pergi, rugilah." Anisa menampar bahu aku geram. Tahu sangat dia akan sikap aku yang lebih suka berfikiran negatif. Minta-mintalah aku terlepas kali ini.


*****


Aku berdiri tegak mengadap Mak Ina yang sedang tajam memandangku sambil enak duduk berlapikkan empuk sofa yang ribuan harganya itu. Murni di sisi Mak Ina tersenyum sinis melihatkan aku. Tahu sangat aku apa yang minah tu sedang fikirkan, seronok la tu mama kesayangan dia nak marah aku. Dengan penyapu yang masih di tangan aku cuba beranikan diri memandang Mak Ina yang bila-bila masa akan menyinga. Tapi aku rasa baik aku yang mulakan dulu, mana tahu boleh sejuk sikit hati Mak Ina.


"Maaf Mak Ina. Kalau Mak Ina marahkan Aina pasal kem tu, Aina minta maaf. Aina tahu Mak Ina tak izinkan, nanti Aina beritahu cikgu sekolah yang Aina tak boleh pergi." Dengan suara selembut mungkin aku cuba mengambil hatinya. Hatiku gundah memikirkan keberhasilan cubaanku. Takut-takut aku cuba melihat reaksi Mak Ina.


"Lepas tu kau cakaplah yang aku ni dera kau. Makan harta anak yatim la apa la. Hei perempuan, apa lagi yang kau beritahu cikgu-cikgu kau dekat sekolah buruk kau tu?" Pantas sahaja tangan besar Mak Ina menarik rambut aku. Terteleng kepala aku dek cengkaman kuat Mak Ina. Aku menahan perit. Ah, cubaanku kalah! Hish, itulah kau Aina berani tak bertempat. Tak pasal-pasal dia ungkit sekolah kau. Tahulah anak dia sekolah elit pun.


"Ampun Mak Ina. Ampun. Aina tak beritahu apa-apa pun. Aina cuma cakap dengan cikgu Aina tak boleh pergi tapi cikgu suruh Aina pergi juga. Tak boleh ganti orang lain. Aina tak cerita benda lain Mak Ina. Betul.." Aku cuba pertahankan diri dengan suara yang sendu menahan sakit.


"Hei! Menjawab kau ye." Tubuh aku ditolak kuat. Perit terasa saat tubuhku menghentam hujung meja kopi di ruang tamu itu. Aku menahan sabar. Sabar Aina, sabar! Ingat, Allah ada. Bagi dirasuk Mak Ina menerkam aku, rahang daguku dicengkam kuat. Mukaku dengan kasar dipaksa memandang wajahnya yang bengis.


"Maaf Mak Ina."


"Maaf! Maaf! Kau ingat aku luak dengan maaf kau tu." Mak Ina menolak kepalaku kuat ke lantai. Arh, sakit! Lebam lagi. Apa pula alasan yang perlu aku reka ke guru sekolah esok. Tak apa Aina, sabar!


"Kau dengar sini baik-baik. Aku lepas kau kali ni. Kau jangan ingat dengan guna nama sekolah kau boleh lepas daripada aku. Disebabkan aku ada urusan saja aku lepaskan kau kali ni. Kalau tak jangan harap! Dah berambus kau!" Usai berkata demikian Mak Ina menunjul-nunjal kepalaku. Dengan penuh kebencian Mak Ina merengus kasar lalu laju pergi meninggalkan aku yang terjelopok di atas sejuk lantai. Murni ketawa seronok, penyapu yang terjatuh dipungut lalu sengaja dilontarkan ke arah aku. Dengan penuh sinis Murni melambai-lambai aku keriangan lalu pergi dengan ketawa mengilai.


"Lusa aku nak sebelum aku bangun semua dah siap dan aku tak nak tengok muka kau! Berambus cepat sikit. Bagus juga kau pergi. Tak adalah aku sakit hati mengadap kau tiap-tiap hari. Jangan kau tak balik sudah. Kalau tak tunggulah nasib kau." Bagai guruh, suara Mak Ina bergema di seluruh banglo memberitahu. Aku hanya menunduk merenung nasib diri. Ya Allah, kau teguhkan hati aku untuk menghadapi dugaan ini. Tapi, syukur juga Kau beri peluang buatku untuk keluar dari sangkar emas ini.


*****


"Eh Aina, kau okey?" Anisa menegur saat melihat dahi aku yang lebam. Aku buat tak endah. Aku tahu, sejauh mana aku cuba mengelak daripada Anisa, Anisa akan perasan juga.


Semalam sengaja aku ponteng walaupun aku keluar dari rumah. Pergi pantai yang menjadi destinasi kegemaran aku dikala aku memerlukan ruang untuk meluahkan isi hati. Lagipun semalam lebam aku ketara sangat, malas nak datang. Nanti banyak sangat wartawan. Pagi ini pun aku tak hadir ke pdp sekolah macam biasa. Setelah siapkan rutin harian aku seperti selalu di rumah, aku bawa barang-barang untuk ke kem terus ke Masjid Y, tempat semua pelajar kem di zon utara berkumpul, mendaftar dan bertolak pergi dengan bas. Sepanjang perjalanan aku hanya tidur sahaja, setelah sampai di X resort baru Anisa perasan keadaan aku.


"Aku okey. Dah kau jangan nak banyak tanya. Macam tak biasa tengok aku macam ni."Aku hentikan tangan Anisa yang mula ingin memeriksa keadaan wajahku. Dek terlalu bergelut mahu menepis kedegilan Anisa ditambah pula berat beg baju yang dibawa, aku tidak sedar ada manusia lain di hadapanku.


"Mak!!" Selamat aku mendarat atas anak orang. Apatah lagi manusia itu merupakan seorang lelaki. Kerana malu yang kian membuku dipandang pelajar-pelajar lain, pantas aku bangun mendapatkan Anisa yang tahu melopong sahaja melihat aku jatuh di atas orang. 


Mak cik punya Anisa, sebab kaulah aku jatuh. 


Tanpa memandang wajah lelaki yang dikerjakan oleh aku, laju sahaja aku menarik Anisa pergi meninggalkan mereka semua di belakang. 


Malu weh! Malu! Kenapalah destinasi nak ke dorm lelaki dengan perempuan satu lorong yang sama? Kalau jatuh atas perempuan aku boleh lagi buat muka tak malu minta maaf. Ini tak, atas anak siapalah aku jatuh? Baru datang tempat macam ni dah malang menimpa. Haila! Nasib! Nasib!


*******


Ish! Kenapa mata aku rasa kelabu ni. Aku pakai cermin mata kot. 


Tangan aku yang menonyoh-nonyoh mataku tiba-tiba berhenti daripada berbuat demikian. Oh tidak! Kelam-kabut aku meraba-raba wajahku kemudian ke semua poket yang ada pada baju dan seluar. Oh tidak! Beg galas pula aku buka, menyelongkar apa yang patut. Tak cukup dengan itu beg baju juga aku selongkar. Sudah bersepah barang-barang aku di atas katil tapi kaca mataku tak tertemu jua. Anisa yang baru kembali dari bilik air sesudah bersihkan diri, berkerut-kerut dahinya melihat keadaan aku.


"Hoi! Kau ni dah kenapa? Apa yang kau cari sampai macam tu tempat kau?" Pertanyaan Anisa aku tak endahkah. Sudahlah perlu teraba-raba mencari, maklumlah tak nampak. 


Anisa tolong memahami sekarang. Jangan tanya banyak boleh.


"Ish kau ni! Suka buat bodoh bila aku tanya. Cuba kau beritahu aku apa yang kau carinya. Cermin mata kau mana? Kau nampak ke, tak pakai glass?" Itu dia, apabila Anisa bersuara. Bertubi-tubi dia tanya. Dengan jengkelnya aku memandang Anisa.


"Anisa, sekarang kau pakai tudung. Jom ikut aku pergi tempat aku accident tadi. Cermin mata aku jatuh rasanya." Tanpa sempat membalas bebelan aku, laju sahaja aku sarungkan tudung ke kepala Anisa. Kira-kira cun dah muka Anisa, aku tarik tangan dia keluar dari dorm.


Dalam keadaan tak nampak aku berlari ke tempat tadi. Tiba sahaja di situ langsung aku meraba-raba jalan tar untuk mencari cermin mata aku. Anisa pun turun membantu melihat sekeliling mencari harta karun aku yang satu itu. 


Ya Allah bagilah jumpa, sesungguhnya aku tak boleh hidup tanpa benda alah itu. 


Tanpa sedar, semakin lama semakin jauh aku bergerak untuk mencari. Batang hidung Anisa pun sudah tidak kelihatan. Ish! Mana ni? Kaki yang terasa lenguh membawa aku ke kerusi batu berhampiran demi melepaskan lelah. 


Berdasarkan amatanku dengan perubahan warna langit, aku tahu tidak lama lagi azan maghrib akan berkumandang. Pasti semua pelajar sudah berkumpul di surau seperti yang diminta penyelaras kem. 


Aduh! Minta-minta dapat jumpa sebelum gelap. Dan sebelum aku kena denda sebab lewat masuk surau. Itulah kau Aina, cuai lagi!


Aku kembali menunduk untuk mencari cermin mata aku untuk sekian kalinya. Walaupun agak teraba-raba, aku tetap yakin aku akan dapat menemuinya. Sia-sia aku datang ke kem ini jika aku tak boleh melihat apa-apa. Pandangan yang kabur sememangnya menyukarkan lagi untuk aku mencari. Walaupun rimas mula bertandang di hati, tapi aku kembali yakinkan hati. 


Aina! Kau boleh jumpa walaupun kau tak nampak!


Usahaku mencari cermin mata terhenti apabila seseorang berdiri di hadapan aku menghulurkan sesuatu. Dengan mata yang kelabu dan semakin memijar kerana letih mencari, aku cuba fokuskan figura kecil yang dihulur orang di depanku itu. Langsung mataku membulat besar kerana teruja.


Cermin mata aku! 


Riang tidak terkata, aku pantas berdiri daripala melutut lalu menyambut huluran tersebut. Laju aku tenggekan pada batang hidung.


Hah! Jelas dan terang pun. Alhamdulillah, mujur ada hero aku seorang ni. Eh, siapa erk? Aku pandang ke sisi di mana manusia berjasa tadi sedang berdiri. Erk? Hero aku? Lelaki cina? Gulp! Ragu-ragu aku nak ucapkan terima kasih.


"Hurmm.. hurmm.. terima kasih."


"Sama-sama. Tadi awak tercicir masa awak langgar saya." Erk! Tercekik!? Jujur je dia bagi jawapan. Macam ada ura-ura nak kenakan aku je dia ni. Aku pandang dia atas bawah. Dia menjongket bibir ke kiri. Cuba tenangkan diri aku beranikan diri untuk menjawab


"Oh, minta maaf pasal tu. Saya tak sengaja tadi." Mengenangkan peristiwa itu, muka aku sudah mula membahang, bagai udang bakar rasanya. Sambil memintal-mintal hujung tudung, aku sengih kerang busuk cuba menutup rasa gemuruh di hati serta rasa malu yang kian menebal. Segan pun ada jugak.


"Tak apalah. Namanya pun tak sengaja. Lagipun, saya rasa awak dah kena pergi sekarang. Sebab awak dah masuk zon larangan wanita di sini." Erk! Sekali lagi aku tercekik!? Ragu-ragu aku pandang sekeliling. Terbuntang mata aku melihat semua lelaki di situ! Lebih memalukan, mereka semua seronok berkumpul setempat sambil bersiul melihat aku atas bawah, pelik barangkali dengan kehadiran aku di situ. 


Huarrr... apakah ini? Sudah terkenakah aku? Tanpa mengucapkan apa-apa aku terus berambus dari situ dengan larian pecut. Bertambah laju mendengarkan gemuruh ketawa mereka. Adeh! jadi bahan ketawa aku akhirnya. Agaknya memang hari ini hari malang aku rasanya. Aina! Aina! Cuai betu kaul! ANISA TOLONG AKU!!! AKU MALU!!!


*****


Dua bulan telah berlalu semenjak kejadian itu. Namun, apabila aku terkenangkan wajah cina itu pasti rasa malu itu berpusu-pusu menguasai diri. Memikirkan itu juga, di sanalah terakhir kalinya aku berjumpa dengan dia. Tapi, rasanya harapan aku itu akan terkubur juga kerana hari ini merupakan kali kedua lapan orang pelajar dari SMA Nawawi termasuk aku dihantar untuk sertai kem PDCA di Bukit X. Sudah tentulah sekolah seluruh Penang terpilih. Adeh! Dia mestilah ada kan. 


Untuk kem kali ni, rasanya seminar tiga subjek yang Anisa sebut haritu BI, Sains dan Math akan berlangsung selama tiga hari dua malam. Memikirkan lelaki cina itu terdetik juga tak mahu pergi, takut kalau terserempak atau terjumpa dia. 


Oleh sebab itu, mulalah aku berdoa Mak Ina tak lepaskan aku pergi. Tapi sayang beribu kali sayang aku dilepaskan pula kali ni. Mudah sekali! Aku pun tak tahu kenapa. Walaupun layanan Mak Ina terhadap aku bengis seperti selalu setiap kali aku mohon izin tapi kali ini senang sahaja Mak Ina beri keizinan. Malah Mak Ina siap beri keizinan untuk aku pergi mana-mana kem lain yang perlu aku pergi. Pelik bin Ajaib kan? Tapi itulah kenyataannya. Dengar kata daripada Pak Abu, pemandu peribadi arwah ayah yang selalu bawa si puteri tu, Mak Ina sedang sibuk selesaikan urusan wasiat yang ayah tinggalkan. Tak luak masanya nak ambil tahu hal aku. Aku hanya jongket bahu saja mendengarkan itu. Apa-apa sahajalah. Entah-entah memang dia muak kot tengok muka aku.


Tiba sahaja di Bukit X kami ditempatkan di surau, tempat kami semua berkumpul sebelum mengambil kunci untuk masuk ke apartment. 


Fuh! Apartment tuuu. Haritu dorm biasa je. Kali ni mewah sikit dapat. Free lagi haa. Ko ade? Hehe. 


Keluar sahaja dari surau, aku mencari geng bilik aku. Sedih sikit sebab terpisah dengan geng sekolah. Setelah dicampur bahagi, aku ditempatkan di bilik asing bersama dengan pelajar sekolah lain. Jadi, aku dengan kawan-kawan sudah tentulah terpisah. Tengok muka Anisa, aku tahu dia serba-salah untuk berpisah dengan aku. Hehe.. relaks Anisa. Nanti dekat sekolah kau berkepitlah dengan aku ye.


Aku berdiri di luar surau sambil memeluk tubuh memerhati sekeliling sementara menunggu geng bilik aku yang lain menunaikan solat Asar. Sambil menanti aku melihat satu persatu bas memasuki kawasan surau. Agaknya masih ramai yang belum sampai. Wakil setiap sekolah seluruh Penang namanya pun, mestilah ramai. Saat terpandangkan sekumpulan pelajar lelaki turun dari bas yang terakhir, aku terpaku. Dia! Budak cina. Erk! Aku terpukau sekejap melihatkan kerenah dia dengan rakan-rakan. Riuh suara mereka apabila bertemu rakan-rakan lain. Mesra betul dia. Tanpa sedar, aku kian leka memerhati figura itu di sebalik kaca mata aku yang berkanta gelap. Aku tersedar saat dia beralih pandang ke arah aku lalu cepat-cepat aku mengalihkan wajahku ke arah lain. Pura-pura tiada apa-apa. Mujur geng bilik aku sudah selesai menunaikan solat, laju sahaja aku menghampiri mereka bersama beg di tangan. Mereka tiga orang semuanya dari sekolah yang sama akan menjadi teman sebilik dengan aku selama tiga hari di sini, sedihnya aku seorang sahaja pendatang asing. Hehe.. tak apa. Aku tak kisah pun, bagi aku bercampur dengan sekolah lain lagi bagus. Boleh bertukar-tukar pengalaman. Kan? Kan? Kan?


Kami seiring bergerak keluar dari kawasan surau dan membawa beg masing-masing ke apartment yang agak jauh. Berjalan kaki untuk ke sana agak menyebalkan hati kami. Terkumat kamit mulut kami berempat merungut. Mujur sahaja mereka mudah mesra dengan aku, tak adalah aku merasa kekok. Hah! mengah yang terasa cuba aku kuatkan dengan semangat dan asal tujuan aku ke sini. 


Sabar Aina, untuk menuntut ilmu perlu siap sedia untuk berkorban dengan segala kesulitan. 


Dalam riuh kami bertukar nama dan latar belakang, perhatian aku terganggu apabila berselisih dengan budak cina itu. Mulalah mata aku gatal saja ingin jeling ke arah dia. Tidak tahu kenapa? Terasa suka pula tengok wajah dia yang putih itu. 


Amboi kau Aina! Sedar sikit muka kau tu kalau banding dengan dia macam kuali hitam dengan cawan putih tahu. Haritu beria-ria kau minta tak nak datang sini. Malu nak jumpa dialah kononnya. Jadi? Apakah ini? Bibir derhaka daripada hati ke? 


Hehe.. tak adalah. Tapi betul tak tipu, haritu aku betul-betul tak nak datang kot. Tapi tengok gelagat dia tadi terasa mencuit hati pula. Hilang terus rasa malu nak berselisih dengan dia. Lagipun hal dulu dah lepas, dia pun dah lupa agaknya. Apapun, dekat dia ada sesuatu yang buatkan aku tertarik nak tengok. Macam magnet gitu. Tiba-tiba duniaku terasa terhenti saat dia mencemarkan matanya menjeling ke arah kumpulan kami. 


Hashu! Terbersin aku. Astaghfirullahalazim! Aina, jaga mata kau! Korek karang.


Menjadi hobi aku pulak duduk dekat Bukit X ni, nampak dia saja mesti nak tengok. Bukan tengok sampai nak terkeluar biji mata tu. Pandai-pandai la cover. Kadang-kadang kerenah lelaki cina tu buatkan aku ketawa seorang diri. 


Hurmm.. Aina! Aina! Tapi cop! Jangan salah faham. I belum jatuh cinta tau. Minta maaf la cintan cintun ni. Tak main la! Semak tahu tak! Tak ada dalam senarai hidup. Cuma suka saja tengok keindahan ciptaan Allah. Sejuk mata tengok. Siapa tak suka tengok benda cantik kan. Allah pun suka sesuatu yang cantik. Inikan pula aku yang manusia biasa. Apatah lagi, orangnya handsome. Betul tak? Eleh tak ngaku. Asalkan ada batasnya, ingat prinsip aku yang satu ini. 


Tapi, aku terasa pelik pulak dengan diri aku sendiri. Sepanjang hidup aku, bab memuji manusia yang berkaum adam ini tersangatlah susah. Melainkan aku betul-betul suka dan kagum. Tapi kali ni senang pulak aku menilai dia. Sedangkan kalau Nur Aina yang sebenar perlu mengambil masa yang lama untuk menilai seseorang sebelum melontarkan segala pujian. Hurmm.. tapi apa yang aku boleh buat? Fitrah kan, apabila hati ingin memuji, pujilah dia. Kalau tak mahu, handsome macam Mario Maure pun aku tak pandang.


"Weh kau tengok laki tu. Muka dia macam cina kan?" Saat aku khusyuk mewakafkan telingaku mendengar kuliah maghrib yang disampaikan seorang ustaz daripada ZAKAT, bisikan Anisa mengganggu fokus aku. Khusyukan aku terbabas terpandangkan lelaki yang ditunjuk oleh Anisa. Dia lagi. Bila masa lelaki cina tu duduk saf depan aku ni? Tapi disebabkan Anisa yang telah mencemarkan kekhusyukan aku, fokus aku mula lari kepada dia. Apa yang disampaikan ustaz pun sipi-sipi masuk dalam kepala. Adeh! Anisa kau sedarkan aku dah kenapa? Haish! Tapi, rezeki pula lelaki cina tu duduk depan kami. Hurmm.. rezeki siapa ni?


"Boleh la. Mungkin dia mixblood kot. Kau cuba tengok dia punya rambut. Rasa-rasanya kalau budak sekolah kita dah kena cantas ni. Sekolah diorang tak ambil tindakan ke?" Ramah pula aku cakap fasal dia. Memang betul-betul lari dari tajuk kuliah malam ni. Pasal rambut pun boleh jadi isu aku. Tapi aku suka rambut dia sebab tu aku cakap. Hehe.. 


Hai Ain! Sesuatu ni. 


Apa? Tak ada apa okey. Orang minat sahaja. Titik!


"Entah.. ya la kot." Pendek jawapan Anisa.


Sejak malam itu, walaupun aku tahu aku dengan Anisa terpisah disebabkan bilik kami yang berjauhan - Cuba bayangkan, bilik aku dan kawan sebilik aku merupakan satu-satunya bilik pelajar perempuan yang berada di kawasan pelajar lelaki yang lain. Pelajar perempuan semua ditempatkan di tingkat atas dari tingkat kami. Nasib badanlah ditempatkan di sini, ada jugalah kena kacau dengan diorang. Minta gula la, teh la, ketuk pintu la, paling sadis ada orang call housekeeping tapi bilik kami yang kena, lagi tak terkata bila restoran call bilik kami cakap kitaorang ada tempah set makanan. Tak patut siapa yang buat macam tu. Jenuh roommate aku menjawab.- Tapi apa yang aku nak ceritanya adalah tentang Anisa. Pelik pulak aku tengok dia sejak malam dia tanya pasal lelaki cina tu dekat aku. Tengok aku sahaja pasti Anisa tersenyum-senyum. Sampai ke sekolah tabiat dia macam tu. Bila aku tanya dia, mulalah keluar ayat kias berbunga dia. Haish Anisa ni, macam sesuatu saja senyuman dia tu. Menyeramkan betul!


*****


Setelah penat menyelesaikan tugas mengemas rumah, aku kembali ke bilik pembantu yang berada di ceruk dapur. Hari ini agak sunyi daripada suara Mak Ina sebab sudah tiga hari Mak Ina pergi ke KL selesaikan urusan wasiat yang aku tak rasa macam nak selesai. Murni pula selepas Mak Ina pergi KL, dia terus keluar dari rumah. Pergi rumah kawan katanya. Aku pula malas nak halang, lagipun selalunya Murni akan lapor ke mana dia pergi kepada Mak Ina, jadi tak perlulah aku pula nak semakkan kepala risaukan ke mana si puteri tu pergi. Dia pun dah besar panjang, pandai keluar pandailah dia balik. Mujur Mak Milah ada temankan aku tiga hari ni, dialah yang banyak bantu aku selesaikan kerja rumah. Tiga hari ketiadaan Mak Ina, cukup untuk aku merehatkan tubuh secukupnya. Alhamdulillah. Tapi, aku tak boleh tidur lagi. Baru sebentar tadi aku menerima panggilan daripada Mak Ina, dia akan sampai ke rumah tak lama lagi. Jadi aku perlu tunggu dia tiba di rumah barulah aku boleh rehatkan diri.


Kesempatan yang ada ini, aku menghabiskan nukilan bab-bab akhir novel yang aku karang untuk dimuat naik ke blog aku. Walaupun terkurung di dalam rumah agam ini, sekurang-kurangnya aku boleh hilangkan penatku dengan hobiku yang satu ini. Mujur sahaja arwah ayah ada pasangkan wifi dekat rumah, walaupun ayah dah tak ada Mak Ina tak potongkan sebab dia pun nak guna juga. Kadang-kadang tu, dengki juga hati dia tutupkan internet. Tak pun tukar kata laluan wifi. Bila aku minta password daripada Mak Ina, dia cakap wifi dah kena potong sebab tak bayar. Penipuan di siang hari sangat. Nak membidas pun tak terdaya. Mujur juga anak Mak Milah orang bijak pandai 'menggodam' benda-benda teknologi ni. Jadi rezeki aku diberi kemudahan ni lagi. Selain mudahkan aku untuk cari bahan belajar, aku juga boleh gunakan internet untuk hobi aku. Seperti sekarang. Minat aku menulis jangan dipersoalkan. Walaupun tak setanding dengan penulis-penulis terkenal yang lain, tapi mana tahu suatu hari nanti boleh buat novel sendiri kan.


Setelah muat naik sisipan novel aku di blog, aku mengambil kesempatan untuk membuka Facebook sekejap walaupun sudah pukul 1 lebih. Lagipun, Mak Ina pun belum sampai lagi. Terpaksalah aku tunggu. Mujur esok hari cuti walapun aku tahu esok hari yang meletihkan buat aku melayan kerenah Mak Ina yang pastinya terlalu 'rindu' untuk mengenakan aku, sekurang-kurangnya selepas Zohor aku boleh keluar untuk ke perpustaaan. Biasalah, wanita bergaya seperti Mak Ina pasti sibuk dengan bermacam-macam persatuan. Jadi, dia pergi persatuan dia, aku pun dilepaskan dengan aktiviti aku. Selalunya aku akan lepak di rumah Anisa. Dekat rumah dialah satu-satunya rumah yang aku boleh rehat kalau tak ke perpustakaan. Tak pun ke pantai. Yang penting sebelum maghrib aku sudah terpacak dekat rumah.


Memandangkan sudah terlalu lama aku tak online, alang-alang aku dah buka laptop baguslah kiranya aku buka sekejap Facebook aku ni. Nak tengok juga Facebook aku yang dah bersarang tu, entah apa jadi. Seperti yang diagak, disebabkan sudah berbulan-bulan aku tak online jadi notifikasi pun dah beratus-ratus. Mesej di inbox lagi, friend request banyak la juga. Lebih 20 orang kot. 


Jom kita tengok siapa yang teringin sangat nak jadi rakan Facebook aku ni? Kalau aku kenal beruntung kau aku terima kalau tak maafkan aku ye, aku hanya terima orang yang aku kenal sahaja. Bukan tak nak terima yang lain tu, tapi sebagai langkah berjaga-jaga. 


Monolog aku memohon ampun kepada nama-nama yang aku reject dengan sopan. Tetikus aku terhenti bergerak saat melihat salah satu friend request yang gambarnya agak aku kenal. Aku tekan pada nama dia Muhammad Fateh untuk melihat akaun lelaki itu. Melihatkan sahaja gambar pemilik akaun tersebut, aku terhenti daripada berbuat apa-apa. Dia! Mata aku kaku memandang profile picture yang terpotret gambar dia. Aku berfikir sejenak samada mahu terima atau tak namun tangan lebih pantas bekerja. Tahu-tahu saja dia sudah menjadi salah seorang rakan maya aku. Seperti tabiat aku sebelum ini, bagi sesiapa yang aku terima request mereka pasti akan disiasat oleh aku sehabis-habisnya maklumat yang ada. Setelah agak lama aku siasat mana yang patut, barulah aku tahu rupanya dia ni rapat juga dengan budak sekolah aku. Berderet je mutual friends aku jadi kawan dia. Apa-apa sajalah. Aku bersandar pada kerusi memikirkan lelaki itu. Fateh... sedap nama dia.


Semenjak aku terima Fateh menjadi rakan Facebook aku, hari-hari aku seperti agak berubah. Sebabnya aku akan ambil masa walaupun sekejap untuk stalk dia melalui Facebook walaupun dah lewat malam sangat tak kira letih atau tidak. Hari demi hari berlalu pergi, minggu berganti minggu, aku masih setia untuk menjadi stalker yang begitu setia pada satu akaun. Tanpa aku sedar dengan perubahan diri aku dan tabiat baru aku ini, ternyata ada sesuatu yang tak pernah aku alami seumur hidup aku telah menjadi rutin wajib harianku. Membelek setiap satu gambar dia, senyum seorang diri. Hurmm.. Aina? Haish! Sesuatu betul!


*****


Bayu pantai menyapa lembut tubuhku yang dibiarkan tersadai berlapikkan pasir sebagai alas, tersangatlah mendamaikan hati yang dilanda kemurungan. Kelelahan yang terbeban di bahu tidak terasa melihatkan keindahan ciptaan Ilahi yang terbentang di depan mata. Air mata yang membasahi pipi tadi mulai mengering disapu bayu yang memahami. Bibir yang tadinya kaku tidak mampu terukir senyuman kini dengan sendirinya terukir ceria. Inilah terapi buatku untuk memulihkan semangatku yang merudum jatuh. Kaki yang tidak bersepatu sengaja aku lunjurkan bermain dengan lembut pasir.


Selalunya tiada orang di sini, di kawasan kegemaran buat aku untuk meluahkan rasa agak terpencil daripada kunjungan orang untuk memancing atau keluarga untuk berkelah. Tapi, petang itu datang sebuah keluarga menghabiskan waktu bersama berkelah di situ. Lengkap dengan persiapan berkelah, mereka berehat di bawah rimbun pokok yang tidak jauh dari tempat aku melunjurkan diri. Terbantut niatku untuk baringkan tubuh seperti tabiat selaluku jika ke sini.


Mendengarkan sayup-sayur tawa ceria keluarga itu, aku kembali dirundung rasa sedih. Seawal pagi aku mengadu nasib terhadap hempasan ombak yang membisu. Mencurahkan mutiara air yang ditahan sejak semalam. Semuanya kerana Mak Ina! Disebabkan terpengaruh dengan hasutan Murni, entah apa yang dikhabarkan Murni tentang aku kepada Mak Ina. Tanpa tahu apa salahku, tubuhku yang saat itu baru menyapa tilam untuk berehat terasa sakit dikejutkan Mak Ina dengan rotan. Berbirat tubuhku ditambah pula lebam-lebam dek sepak terajang yang aku terima semalaman berhadapan dengan amukan Mak Ina tak menentu.


Terlelap dengan esakan, pagi tadi dikejutkan lagi oleh Mak Ina untuk meneruskan rutin harianku. Tapi untuk kali ini Mak Ina tidak meneruskan tabiatnya menyambung lenanya kembali, tetapi menjadi pemerhati setiap apa yang aku lakukan. Ada saja yang tidak betul di mata Mak Ina buatkan aku menerima nasib yang sama seperti semalam. Belum berkurang sakit semalam ditambah lagi dengan hentaman yang baru. Ya Allah, apa salahku kali ini? Persoalan itu berlanjutan sehinggalah pagi tadi apabila aku terdengar perbualan Mak Ina dengan Murni.


Luruh jantungku mendengarkan mulut busuk Murni menjaja ceritaku berbuat sumbang di luar rumah. Aku menjual maruahku demi mendapatkan wang untuk menampung belanja harianku - itu kata Murni menghina habis-habisan harga diriku. Tidak hairan mengapa tiba-tiba soal aku sering keluar rumah dan mengikut jejak ibuku sentiasa diulang-ulang Mak Ina. Mungkin inilah sebabnya. Entah, tidak tahu kenapa cerita itu ditimbulkan Murni tapi cukup buatkan aku sangat terpukul. Sakit hatiku ditambah lagi dengan rasa kecut perut melihat perubahan wajah Mak Ina apabila mendengar Murni khabarkan perbuatan terkutukku itu mula menjadi buah bicara orang kampung. Lebih membuatkan Mak Ina marah apabila diberitahu, orang kampung menuduh Mak Ina menjual aku untuk mendapatkan wang ekspres akibat terdesak inginkan harta wasiat ayah yang masih lama untuk menunggu bagi memilikinya.


Dengarkan sahaja itu, suara Mak Ina bergema melolong memanggil namaku. Melihat sahaja kelibat aku, seperti sudah diagak, bersama rotan di tangan tubuhku diterkam amarahnya yang menggila. Walaupun aku menjerit dan merayu namun Mak Ina sememangnya tidak dapat dikawal lantas aku melarikan diri daripada terus dipukul. Dalam keadaan tubuh yang lebam-lebam ditambah pula darah pekat yang mengalir di hidung dan di mulut, aku pergi membawa diri. Pantai yang jauh bagi orang yang berjalan kaki tidak ku endahkan. Hanya berkaki ayam, aku berlari sekuat mungkin meninggalkan segalanya di belakang.


Sekarang, entah berapa lama aku di sini aku tidak tahu. Tenggelam dengan perasaan sendiri aku menjerit dan menangis semahu-mahunya melawan kuat suara hempasan ombak. Entah sejak bila aku terlelap, sedar-sedar sahaja keluarga itu sudah sibuk dengan aktiviti mereka di bawah rimbun pokok. Aku hanya membiarkan mereka dengan urusan mereka dan aku kembali menyambung lamunanku.


"Aina? Aina kan?" Suara seorang menyapaku lembut. Aku pandang ke kiriku melihat gerangan siapa yang menegurku itu. Terjegil aku melihat gerangan lelaki tersebut membuatkan keadaanku yang bebas melunjur terus bersila sambil melangut melihat si dia yang sedang berdiri. Dia! Lelaki cina itu! Muhammad Fateh! Pemilik akaun Facebook yang aku lawati setiap hari. Rasa macam tak percaya pula dia di depan aku. Macam mana dia ada dekat sini? Dan macam mana dia kenal aku? Pertanyaannya dan pertanyaanku tidak terjawab dengan kebisuan kami. Agak lama aku melihat wajahnya, ceria yang sepatutnya bertandang di hatiku tidak terasa. Tidak tahu untuk bereaksi apa aku membuang pandang kembali ke pantai. Entah kenapa, aku terasa sangatlah kosong sekarang ini. Dia yang sepatutnya menjadi peneman ceria imaginasiku turut tidak membantu aku untuk kembali tersenyum. Tanpa diundang, dia duduk bertinggung berdepan denganku yang membuang pandang ke arah lain.


"Aina.." Dia panggil lagi. Tanpa rasa untuk menjawabnya aku biarkan panggilan itu berlalu dibawa angin.


"Aina.." Sekali lagi dia memanggil. Tetap dengan reaksi aku, dia aku abaikan.


"Aina.. pandang saya." Agak kuat bunyinya seperti marah. Dengan reaksi yang lemah aku memandangnya tanpa perasaan walaupun secalit senyuman untuk diberi. Sunyi seketika di antara kami. 


Dia seperti mengamati wajahku yang entah bagaimana keadaannya. Setelah menghembuskan helaan nafas seperti mengeluh, dia keluarkan sapu tangan kecil bewarna biru dari poket jeansnya. Botol mineral yang dipegang tangan kirinya dibuka, kemudian airnya dituang sedikit pada sapu tangan untuk dilembapkan. Tanpa disangka, tangan Fateh dengan lembut cuba mengelap darah di hidung dan bibirku yang sudah lama mengering. Aku terkaku lagi dengan sikap dia. Tapi aku tak suka meminta simpati orang lain jadi aku tak suka kebaikan dia.


"Berhenti.." Dengan suara yang lemah aku berkata sambil mataku paku memandang wajahnya yang putih bersih. Tidak pedulikan permintaanku itu, dia meneruskan perbuatannya membersihkan wajahku yang boleh aku agak tersangatlah comot.


"Berhenti.." Suaraku dikuatkan lagi. Ternyata sikap manusia yang satu ini sangat degil seperti lawannya di sini. Hatiku mula terasa ingin marahkan seseorang.


"Saya cakap berhenti lah!" Tanggannya terhenti dan matanya tepat memanah mataku. Aku terpaku lagi kerana dia. Cuba tidak mahu hilang kawalan kerana kehadiran dia, aku segera merampas sapu tangan itu.


"Saya boleh buat sendiri!" Dengan kasar aku mengelap seluruh wajahku. Tidak cukup dengan sapu tangan itu, lengan baju aku gunakan untuk mengesat wajahku yang comot dengan air mata bercampur darah. Sambil menahan sakit pada seluruh tubuh dari hujung kaki hingga ke kepala, aku terus bersihkan diri. Melihat lebam-lebam dan birat-birat rotan pada kaki dan tanganku sebak kembali menguasai diri. Aku berhenti daripada kerjaku, lemah hanya menunduk ke bawah. Dia memerhati sebelum berbicara.


"Mengangislah. Jangan ditahan. Hati awak akan lebih lega kalau awak nangis." Dia seperti tidak kisah sekiranya aku ingin menangis semahu-mahunya di hadapan dia. Sekali lagi aku memandang wajahnya yang mengukir senyuman kecil, kemudian memandang kumpulan keluarga tadi yang sedang memandang ke arah kami. 


Adakah itu keluarganya? Mereka kelihatan mesra mengangkat tangan kepadaku. Sepertinya tidak kisah anak lelaki mereka tersesat di hadapanku yang terlalu sibukkan orang yang dia tak pernah kenal. Aku mencerna kembali kata-katanya tadi. Adakah aku terlalu lemah di matanya sehingga dia berkata demikian? Tidak! Aku kuat! Aku perlu kuat! Sebab aku tahu Allah akan keluarkan aku daripada penderitaan ini. Dengan hembusan semangat baru aku terus berdiri. Dia mendongak melihatku berdiri sebelum dia turut berdiri berdepan denganku. Aku menghulurkan sapu tangan yang sudah kotor dengan warna merah hitam. Dia jongketkan keningnya melihat huluranku tanpa rasa untuk menyambut.


"Terima kasih. Saya perlu balik sekarang. Nanti mak saya risau." Risau? Terasa lucu pula dengan kata-kataku itu. Tetapi tiada siapa yang ingin ketawa ketika ini kerana aku tak kenal dia dan dia tak kenal siapa aku. Sekadar nama siapa pun boleh tahu kan. Dia buat bodoh dengan huluranku.


"Gamaknya awak pulangkan barang saya dalam keadaan macam ni?" Dia berkata penuh sindiran, bibir disengetkan ke kiri. Aku terpinga-pinga mendengar sindiran itu.


"Saya tak nak ambil sapu tangan yang dah kotor macam ni. Apa kata awak bawa balik dan basuhkan sampai bersih. Pulangkan semula di kem minggu depan. Pastikan awak datang." 


Selepas berkata demikian dia senyum segaris kepadaku kemudian berpusing ke arah bertentangan memulakan langkah ke kelompok keluarganya. Seperti faham apa yang dia mahukan, aku jongket bahu tidak kisah. Kecuaian aku juga, sudah dia pinjamkan sapu tangannya aku pula dengan tidak berjasa memulangkannya dalam keadaan kotor. 


Aku mula berpusing ke arah bertentangan untuk pulang ke rumah. Sejauh mana aku lari, banglo itu satu-satunya tempat untuk aku berteduh, jadi aku harus pulang. Sebelum melangkah lebih jauh, aku berpusing kembali memandangnya yang membelakangiku. Dengan gaya tangan kiri dimasukkan ke dalam poketnya sambil berjalan dia mengangkat tangan kanannya tinggi lalu dilambai-lambai tanpa memandang aku. Huh! Apa kes lambai belakang macam tu. Apa-apa je lah! 


Aku teruskan niatku untuk pulang ke rumah dengan berkaki ayam. Fikiranku kembali memikirkan dia. Kenapa Allah hadirkan dia untuk menemuiku? Dan aku mengaku hadirnya dia cukup buatkan aku terasa hadirnya seorang teman yang aku harapkan sebagai penyelamatku seperti impianku di waktu kecil... diakah?


*****


Hari ini, sudah seminggu aku dikurung dirumah agam ini. Seminggu juga aku tidak hadirkan diri ke sekolah. Hari-hariku berlalu dengan birat-birat baru pada tubuh, seperti ada sahaja salahku yang mengundang amukan Mak Ina. Kesalnya, kali ini Murni telah menanam dendam yang berparut buat Mak Ina untuk jadikan aku mangsanya. Hingga kini aku belum tahu apa salahku terhadap Murni. Kenapa dia lakukan demikian terhadapku? 


Aku mengeluh lagi. Kebosanan yang menguasai diri aku biarkan. Mak Ina dan Murni tidak ada, entah ke mana pasangan ibu anak itu. Bercuti meraikan penderitaanku barangkali. Rumah agam ini, awal-awal lagi sudah dikunci rapat. Sudah tentulah mahu merantai kakiku yang panjang langkah mahu melarikan diri. Rumah besar ini, kosong tanpa penghuni. Hanya aku sendirian di sini. Lagi-lagi disangkar bagai haiwan peliharaan. Tiada siapa dibenarkan masuk ke sini dan tiada siapa juga dibenarkan keluar. 


Adakala mampir beberapa orang kampung yang berkali-kali mengetuk pintu memanggilku. Aku mengerti sikap ambil tahu mereka. Namun apa kuasaku. Sebolehnya, aku tidak mahu ada yang masuk campur hal keluargaku. Lagi-lagi Mak Ina itu banyak 'kabel' untuk disogok duit kopi. Boleh jadi, celaka menyinggah di pintu orang-orang yang mahu membantu aku. Aku tak mahu itu terjadi. Demi menenangkan mereka, aku hanya mampu mengatakan aku baik-baik saja. Walaupun pintu besar berukiran cantik yang menjadi ruang keluar masuk manusia awal-awal sudah dimanggakan. Lantas bagaimana untuk aku keluar dari sini?


Aku memandang pada kalendar yang tergantung pada dinding. Tanda pangkah pada tiga tarikh yang akan datang hanya mampu aku pandang kosong. Sekiranya aku belum dilepaskan daripada kurungan ini, tiadalah peluang buat aku untuk menyertai Kem PDCA di PLKN Z, Kedah esok. Sapu tangan milik dia yang terlipat cantik di atas meja aku pandang sekilas. Teringat pesanan dia tempoh hari. Hurmm.. apa boleh dibuat. Dunia aku dikawal oleh Mak Ina dan aku, sebagai seorang anak tiri yang patuh hanya mampu menurut. Walaupun aku ada pilihan untuk memberontak tapi sekiranya aku berbuat demikian siapa lagi harus aku bergantung hidup?


Maaflah budak cina. Kalau ada peluang, aku akan pulangkan barang kau. Kalau ditakdirkan untuk kita berjumpa kelak akan bersua jua kita nanti. Andai tidak bertakdir untuk bertemu, kepunyaan kau ini akan aku simpan sebagai penghargaan. 


Botol minyak gamat aku capai lalu birat-birat dan lebam-lebam di tubuh, aku sapu dengan lembut. Mujur sahaja wajahku tidak ketara kesannya. Bengkak pada bibir akibat amukan Mak Ina minggu lepas sudah surut, lebam juga sudah tidak kelihatan. Tetapi pada tubuhku yang lain, lebam dan luka masih basah memandangkan hampir setiap hari menerima hentaman daripada Mak Ina. Bekas tompokan biru hitam jelas ketara kesannya bagaikan aku ini mangsa dera.


Memikiran penderaan Mak Ina, aku teringat akan pujukan Mak Milah yang sering mengajakku untuk melaporkan perbuatan Mak Ina. Namun, aku enggan. Hatta kepada orang kampung yang lain sudah aku maklumkan melalui suara Mak Milah agar tidak membawakan hal ini kepada pihak berkuasa. Walaupun Mak Ina dan Murni sentiasa berlaku kejam terhadapku tetapi apa yang mampu aku lakukan hanya berserah. Aku sudah tidak punya siapa-siapa untuk meneduh kasih. Harapkan Mak Milah, wanita itu juga punya keluarga sendiri yang harus diberi perhatian. Memikirkan ini waima sekejam Hitler sekalipun mereka terhadap aku, mereka tetap satu-satunya keluarga yang aku ada.


Pagi berganti petang, petang berganti malam. Setelah selesaikan rutin harianku, waktu-waktu yang terluang aku habiskan dengan mengulangkaji pelajaran untuk SPM ini. Sambil merenung nasib sendiri, keletihan yang begitu terasa membuatkan aku akhkirnya terlelap di atas timbunan buku-buku.


"Hei perempuan, apa lagi kau buat dalam rumah aku?" Aku tersentak dengan pekikan Mak Ina yang tiba-tiba. Terpinga-pinga aku dengan pertanyaan Mak Ina itu. Dalam keadaan separuh sedar aku cuba mencerna apa yang cuba Mak Ina sampaikan. Melihatkan reaksi aku yang begitu bertambah mengundangkan bengang Mak Ina. Rambut panjangku yang mengurai ditariknya kasar membuatkan tubuhku spontan terlonjak menghampirinya menahan sakit.


"Kau ni kalau tak buat aku sakit hati tak boleh ke? Apa yang kau melingkar macam ular sawa dalam rumah aku lagi ni. Aku dah cakap kan, kalau kau nak pergi kem ke apa ke. Aku suruh kau berambus awal kan! Apa kau buat lagi dalam rumah aku, hah!?" Terjongket-jongket bahu aku mendengar sentakan suara Mak Ina yang semakin meninggi. Kepalaku dilepas kasar. 


Sudah hilang ingatankah dia? Bukahkah aku yang dikurungnya lalu bagaimana aku ingin keluar?


"Maaf Mak Ina. Bila Mak Ina sampai? Maaf Aina tertidur." Walaupun tidak sewajarnya pertanyaanku kala ini tapi aku cuba meraih tangannya untuk dicium sebagai tanda hormat. Namun, laju sahaja Mak Ina melarikan tangannya daripada dipegang aku. Kepalaku ditolaknya lagi.


"Kau tak payah nak buat baik dengan aku. Perempuan sundal! Aku nak sebelum aku bangun nanti kau dah berambus dari sini. Faham!" Sambil berkata kepalaku ditujal berkali-kali. Aku mengangguk perlahan. Dia menjegilkan matanya sambil bercekak pinggangnya sebelum berlalu keluar dari bilik aku. 


Hurmm.. aku mengeluh lagi. Kadang-kadang aku tak faham dengan tindakan Mak Ina. Tak apa Aina. Sabarlah. Allah akan bantu kau. Bersyukurlah sekurang-kurangnya Mak Ina masih berpegang pada janji dia untuk benarkan aku menyertai mana-mana kem yang sekolah arahkan. Barangkali Mak Ina terikat dengan arahan sekolah? Siapa tahu kan?


*****


Usai pulang dari dewan utama bengkel teknik menjawab tadi, aku berehat sebentar di kerusi batu yang berdekatan dengan surau. Sementara menanti yang lain selesai minum petang aku meneruskan latihan yang diberi guru-guru bimbingan bengkel tadi. 


Petang ini jadual agak lapang. Jadi ramai yang mahu meninjau dan bersantai di puncak bukit sana. Kata temanku, di atas sana itulah kawasan rasmi penempatan pelatih-pelatih PLKN. Sayangnya kem kali ini tidak terlibat dengan aktiviti luar. Kalau tidak pasti peserta-peserta berpeluang untuk melakukan aktiviti flying fox, climbing wall dan macam-macam lagi aktiviti yang menarik. Namun, berpeluang untuk menghirup udara dingin dan segar di atas bukit ini, disajikan pula lukisan alam dari puncak sana sudah cukup memuaskan! Subhanallah! Cantik sangat! 


Bebas daripada buku dan nota, sibuklah kami mendaki dan bergambar. Lagi-lagi waktu ini sedang trending bergambar menggunakan monopot. Tak ada monopot, batang lalang pun jadilah. Asalkan ada dalam gambar mahu ditayang di Facebook nanti. Lagi beruntung dapat kawasan cantik, latar belakang pun cantik tambahan lagi memori telefon si Aton pulak 32GB, rugilah tak posing habis kan! Hehe.. Sekali-sekala naik hantu dapat kamera dan monopot, macam ini lah jadinya. 


Tapi buat aku yang jarang mengecapi keseronokan seperti ini hanya menyertai mereka sekadar suka. Itupun puas diajak. Bukan mahu mengelak, aku saja yang kekok kerana tidak biasa. Kawan-kawan yang mengerti kehidupan aku tidak bertanya banyak, hanya Cik Anisa tu je sibuk sikit mulut dia ambil berat pasal aku. 


Laluan jalan tar yang lengang dikuasai oleh kami berlima Atun, Amy, Arya, Anisa dan aku dengan bermacam aksi dan gaya untuk dipotret. Namun, keasyikan kami terhenti tatkala datangnya sekumpulan pelajar lelaki melintasi kami. Pastinya mahu mendaki ke puncak sana. Menyedari kewujudan lelaki itu di kalangan mereka, spontan aku teringatkan hutangku terhadapnya. Sapu tangan yang sentiasa di poket aku raba. Mahu memanggil, segan pula rasanya. Lain kali lah aku kasi. Lalu batu besar di pinggir jurang aku hampiri, bersandar padanya memeluk tubuh sambil menikmati keindahan bukit bukau di depan mata. Sayang sebentar saja aku terleka, Anisa sibuk datang mencuit. Gadis kecil molek itu aku pandang geram. Pantang aku diam mulalah dia nak kacau. Nak ajak aku posing lagi ke apa?


"Apa?" Berdecit suara aku bertanya. Anisa macam biasa dengan kerang busuk dia.


"Tuu.. dia panggil." Memuncung mulut Anisa menunjuk kepada seseorang bersama senyumannya yang penuh curiga. Gerangan yang ditunjuk Anisa aku pandang. 


Dia.. 


Lelaki itu sedang berdiri, bersandar pada tiang elektrik dengan dua tangannya bergayutan di poket. Tenang lagaknya agak mempersonakan. Aku kembali teringatkan suruhannya di pantai. Sapu tangan yang aku simpan di dalam poket aku keluarkan lalu berjalan menghampiri dia.


"Nah. Terima kasih." Aku menghulurkan lipatan kecil kain itu kepada dia. Dia hanya melihat pada huluran aku tanpa bereaksi apa-apa. Agak lama dia memandang kosong pada tanganku yang menghulur padanya.


"Boleh saya tahu, kenapa tangan dan muka awak lebam dan ada kesan birat?" Aku terkedu mendengarkan pertanyaan itu. Lengan bajuku yang terselak di pergelangan tangan menampakkan kesan lebam dan birat padanya segera aku tutup. Aku terkelu mahu menjawab pertanyaannya itu. Dia bergerak menghampiriku berpeluk tubuh sambil tepat memandang wajahku menanti jawapan.


"Maaf, bukan tak nak jawab. Tapi, tak ada sebab kot saya nak beritahu awak pasal saya. Lagipun saya tak kenal awak dan awak pun tak kenal saya." Segaris ayat yang aku rangka laju mengalir di bibirku.


"Siapa cakap saya tak kenal awak?" Dia membalas. Aku mula terasa ingin mengeluh. Tambahan lagi, aku perlu bercakap dengan orang yang aku tak kenal dalam keadaan berdepan macam ni. Walaupun aku selalu stalk dia di FB tapi antara stalk dengan face to face lain. Sebabnya, aku nak jaga hati aku daripada melampaui batas.


"Saya yang cakap. Dan boleh tolong ambilkan sapu tangan awak?" Aku menghulurkan padanya sekali lagi. Kali ini huluranku bersambut.


"Terima kasih." Usai berkata demikian aku langsung berpaling untuk pergi.


"Eh.. kejap." Langkahku terhenti. Tanpa suara aku menjongket kening kepadanya bertanya.


"Maaf. Saya bukan bermaksud mahu masuk campur dalam urusan hidup awak. Tapi sebagai salah seorang yang mengerti penderitaan awak, saya cuma mengharapkan yang terbaik untuk awak. Maaf kelancangan saya, tapi boleh tak saya minta tolong awak sangat-sangat tinggalkan kehidupan awak sekarang. Ramai orang yang bersiap sedia mahu membantu awak kalau awak bersedia mahu menerima pertolongan mereka. Untuk apa awak betah dengan orang-orang yang tidak menghargai awak." Dia berkata sambil sayu memandang aku. Aku sekilas memandangnya dan tersenyum kecil. Tanpa membalas walau sepatah aku berundur meninggalkan dia. Dia hanya membisu membiarkan aku dengan haluanku. Aku menghampiri rakan-rakanku yang masih sibuk berposing. Anisa sahaja yang tersenyum sumbing penuh misteri. Malas ambil kisah aku buat tak tahu . 


Maaf Fateh, macam saya cakap tadi saya tak kenal awak dan awak tak kenal siapa saya. Jadi cukuplah urusan kita selesai di sini.


*****


Universiti Y, Penang. Hari kedua di bengkel teknik menjawab Bahasa Inggeris.


Selesai sahaja slot pagi untuk CW paper 1 BI, berpusu-pusu pelajar keluar dari dewan kuliah yang dingin dengan penghawa dingin yang terlalu rendah suhunya. Aku berjalan perlahan di belakang, tidak berminat untuk turut berebut-rebut seperti yang lain ke tingkat bawah untuk minum petang. Perbualan rancak antara rakan-rakanku yang lain tak menarik minatku untuk sertai. Hanya sekadar mendengar selebihnya banyak mengelamun. 


Walaupun sudah masuk hari ke dua, semangat aku di sini agak kurang. Sebabnya? Sebabnya... entah aku pun tak tahu. Kalau ikutkan dari rumah, selepas Mak Ina izinkan aku pergi sejujurnya semangat aku sangat menjulang tinggi. Berkobar-kobar rasanya mahu ke mari. Jika ditanya, hai Aina.. semangat belajar ke semangat lain ni? Jujur juga aku tak boleh jawab. Dua-dua kot! Mana boleh ketepikan niat utamakan, belajar! Jadi, kenalah semangat. Yang satu lagi tu.. ar.. hurmm.. forget it.


Semangat yang berkobar-kobar semakin lama semakin menyirna saat orang yang aku nantikan tidak kelihatan dek mata. Pelik kan? Kenapa pula aku nak rasa macam ni? Sedangkan dia yang aku tunggu itu tak ada kaitan langsung dengan aku. Sedangkan juga, aku sendiri yang pertahankan aku tak kenal dia dan dia tak kenal aku. Jadi kenapa pula aku harus ada perasaan begini? Mungkin terasa janggal kot, selalunya aku datang mana-mana kem dia kan mesti ada. Aku pun dah jadi hobi jadikan dia eye-mo aku. Sekali lagi mohon jangan salah faham, dia sekadar eye-mo. Tak lebih okey?


Tapi untuk kali ini, dia tak ada. Walaupun tercari-cari kenyataannya dia tak ada. Dengar kata ada beberapa sekolah tidak datang pelajar mereka. Anisa pun cakap belakang dalam nada memerli, mengusik akulah apa lagi. Sibuk juga nak tanya pasal mamat tu sambil jeling dengan senyuman misteri dia. 


'Eh, tak nampak pun budak sekolah tu datang.' 


Aku yang mendengar hanya buat tak tahu. Walaupun Anisa bersikap curiga dengan pertanyaan dia, tapi aku faham siapa yang dimaksudkan Anisa. Aku pun tak tahu kenapalah Anisa gandingkan sangat aku dengan dia. 


Hurm.. dia tak ada jadi aku boleh buat apa. Buat bodoh sahajalah.


Kami menuruni anak tangga menuju ke kaunter makanan untuk minum petang. Petang itu, hanya dua bungkus roti diberi buat alas perut sebelum makan malam nanti. Setelah itu, masing-masing mula beransur pulang ke asrama untuk solat Asar dan berehat sebelum kembali ke dewan kuliah untuk slot berikutnya selepas Isyak. 


Sementara menunggu rakan-rakanku yang lain mengambil makanan mereka, aku berdiri agak jauh dari kaunter tadi. Kesulitan untuk memegang fail, kamus dan bungkusan makanan buatkan aku terkial-kial untuk berjalan. Tambahan pula plastik tidak disediakan, beg galas pula tidak aku bawa, sememangnya sulit untuk memegang semuanya daripada jatuh. 


Dalam sibuk menyusun semuanya dalam dakapanku agar tidak berselerak ke tanah, perhatianku aku tertarik pada sekumpulan lelaki yang riuh bergelak ketawa yang tiba-tiba berhenti di hadapanku. Malah tiba-tiba juga keriuhan itu menjadi sunyi seperti ada sesuatu yang menarik perhatian mereka. Anisa pula memanggil-panggil namaku dalam nada berbisik. 


Dalam keadaan menunduk aku mengalihkan wajahku ke belakang mencari-cari suara Anisa. Dia menuding jarinya ke arah depanku menunjukkan isyarat sesuatu. Berkerut-kerut dahiku dengan sikap Anisa yang satu itu. Kenapa dengan mak cik ni? 


Ingin memastikan siapa yang Anisa tujukan, aku berpaling melihat ke depan. Memandangkan mereka yang ditunjukkan Anisa itu sedang berdiri beberapa anak tangga lebih atas dari aku, mendongak kepalaku mencari gerangan tersebut.


Buzzz!! 


Aku dan dia tenggelam dengan pandangan masing-masing. Jantung yang tenang mulai merubah rentak. Tidak mahu diri aku terbuai dengan perasaanku, segera pahaku dicubit kuat menyebabkan segala barang di dakapanku jatuh berselerak ke tanah. Segera aku melarikan pandanganku dan menunduk ke bawah memungut barangku yang jatuh tadi. 


Dalam diam, aku keliru sendiri tentang diri aku. Kenapa dengan aku? Hatiku juga berubah kencang buatkan aku tiba-tiba menjadi gementar. Aku memejamkan mata buat sesaat cuba tenangkan diri. Fuh, Aina tenang.. relaks.. tak ada apa. Perubahan semasa saja tu! Erk, jawapan tak munasabah. Dan satu sahaja yang aku tak dapat menahan diri aku daripada berbuat demikian. Senyum, tanpa isyarat ianya terukir sendiri.


Cuba mengendahkan apa yang aku rasa, aku bangun dengan lagak yang tenang. Cuba melindungi perubahan mendadak terhadap diri aku, aku pura-pura tidak mengenali siapa dia. Lantas berlalu pergi tanpa bertegur sapa dengan dia. 


Itulah realitinya, dia dan aku tak pernah diiktiraf sebagai rakan rasmi. Kami tak pernah berkenalan mengatakan nama masing-masing, bercerita tentang sedikit sebanyak hal diri masing-masing. Istilah pendeknya kami tak pernah bersua kenal. Aku kenal dia kerana tertarik dengan perwatakan dia, dan rasa itu aku hadkan hanya sekadar minat tidak lebih daripada itu. Kami bercakap hanya kerana kebetulan, itupun dua kali. Malah aku tidak pernah menganggapnya kawan. Jadi, tidak ada sebab untuk aku menegurnya walaupun aku ternanti-nanti kemunculan dia. Cukup aku melihat dia datang dan itu sudah satu kepuasan buat aku. Aku berjalan pergi meninggalkan dia tanpa rasa untuk berpaling ke belakang untuk memandang dia buat kali kedua. Fateh, gembira tengok awak datang...


*****


Hari berganti hari, SPM juga semakin menghampiri. Aku semakin sibuk membahagikan waktu belajarku di samping melayani kerenah Mak Ina. Layanan Mak Ina sememangnya tersangatlah dingin dan aku sudah siap mewakafkan diri aku untuk terima segala hentaman Mak Ina. Bagi aku sakit yang terasa sudah tiada apa-apa. Sudah lali untuk menerima semua itu, pukul lah! Pukul lah aku semahu-mahunya! Jika itu buatkan mereka berpuas hati.


Hari ini, adalah kem terakhir anjuran PDCA, PERDA dan ZAKAT di X Resort, Kedah. Pecutan terakhir bagi subjek Sains, sekolah-sekolah yang terpilih dari seluruh Penang datang ke sini sebagai persiapan terakhir. Aku datang ke sini sebagai azam yang berkobar-kobar untuk menguasai segala ilmu yang diberikan. Doaku hanya satu, jangan jadikan dia sebagai gangguan perasaan aku di sini. selalunya perkara pertama yang aku lakukan, mataku pasti melilau-lilau mencari kelibat si dia. Tapi, untuk kali terakhir ini aku tegarkan diri untuk tidak mengendahkan segala yang akan mengganggu aku daripda hilang fokus dan niat asal. Hari berlalu sehinggalah hari terakhir, fokusku untuk belajar dan tidak mahu ambil tahu pasal dia akhirnya terganggu dengan pertanyaan Anisa.


"Aina, dah masuk hari last. Aku tak nampak pun dia?" Aku yang sedang mendengar pada ucapan penutup penceramah di depan tertegak telinga mendengarnya. Anisa di sisi aku pandang.


"Jadi, kau nak suruh aku buat apa?" Dengan selamba kodok aku menjawab. Hakikatnya hati sibuk mahu bertanya. Kenapa dia tak datang?


"Ish kau ni cakap macam tak ada apa-apa pulak!" Berdecit suara Anisa menahan geram. Aku buat bodoh. Dah tu nak buat macam mana lagi.


"Memang tak ada apa-apa pun kan." Laju mulut aku membalas. Anisa aku lihat mencebikkan bibirnya, tak boleh terima jawapan aku.


"Eleh, mulut saja cakap macam tu. Hati cakap lain." Dia hentam lagi. Atau sebenarnya nak korek sesuatu. Aku mengadap dia depan-depan.


"Anisa.. kenapa kau suka sangat gandingkan aku dengan dia?" Mulalah dia tersenyum bunga-bunga penuh maksud tersirat.


"Aku tahulah, aku tengok kau lain macam saja setiap kali ada dia. Kau suka dia kan? Mengaku cepat!" Tercekik aku dengan pertanyaan berani mati Anisa.


"Ish kau ni. Ke situ pula. Aku kenal dia pun tak, macam mana nak sukanya." Aku pertahankan diri.


"Eleh, kau saja nak selindung. Aku tahulah, dah lama aku perhatikan korang berdua. Dari dekat Bukit X lagi tau. Kau tahu tak aku perasan dia selalu tengok kau, lama pulak tu. Kali kedua dekat Universiti Y, waktu barang kau bersepah tu. dia pandang kau tak berkelip. Aku rasa kau pun balas pandangan mata dia. Tapi kejap je lepas tu kau banyak buat bodoh walaupun kau sedar dia selalu tengok kau." Laju sahaja Anisa tembak dengan bukti-bukti yang tersemat di ingatannya. Aku terdiam sebentar.


"Kau ni iya saja. Dia tengok orang lain kot. Kalau dia tengok aku sekalipun aku boleh buat apa. Kahwin dengan dia?" Hamik ko! Nikah kahwin sekali aku masuk.


"Tak adalah sampai macam tu. Tapi aku rasa korang berdua ni macam ada chemistry. Aku rasa dia suka kau la." Aku terdiam lagi. Chemistry?


"So, what? Biarlah dekat dia. Lagipun aku tak kenal dia Anisa dan dia pun tak kenal siapa aku. Kalau sekadar suka siapa pun boleh." Lagi sekali kenyataan yang sama aku utarakan. Anisa hanya diam mendengar jawapan penutup aku.


*****


Seminggu setelah pulang dari kem, perubahan yang berlaku terhadap aku agak menjengkelkan. Dan aku tak suka! I hate it! Mahunya tidak, tiba-tiba sahaja aku terasa diri disemakan dengan bayangan budak cina tu dah kenapa? 


Arhhh, bila dah kena batang hidung sendiri macam ni serius aku cakap memang semak sangat! Huh! 


Dulu, aku pandang sinis sangat dengan orang yang tangkap cintan ni. Hati aku dengan sombongnya berkata, kenapalah remaja sekarang mudah sangat jatuh cinta. Siap bergolek-golek lagi. Pandangan aku suka saja sudah memadai. Ini tidak, ada yang sampai berduka siang dan malam malah bertahun hanya kerana seseorang yang belum tentu jadi milik dia. Lepas tu, pura-pura benci terhadap 'si dia' yang disukai sebab cuba nak hilangkan rasa di hati. Lagi sadis, kecewa bagai nak rak sebab 'si dia' ada orang lain. Itu baru orang yang cintanya tak diketahui, dalam erti kata lain 'crush'. Belum lagi diambil kira pasangan kekasih bagaikan sudah sah suami isteri. Mama papa, baby la, bee honey la. Serius jujur dari hati agak menyampah aku di situ.


Tapi kini Allah hadirkan rasa ini dalam diri aku tanpa aku pinta. Bagi aku, sukakan seseorang bukan pada waktunya sudah di zon tersangatlah bahaya. Jadi, aku lebih suka jaga hati agar tidak melampau batas. Namun, kini aku menanggung ujian ini. Walaupun aku masih seorang remaja yang berumur setahun jagung, masih keliru apa itu cinta dan setia. Saat aku berdepan dengan situasi begini, aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan. Sungguh.. aku buntu.


Semenjak Anisa menyedarkan aku bahawa dia tidak hadir di kem tempoh hari, terasa sedikit terkilan kerana aku fikir sebelum pulang aku akan menatapnya dulu. Tapi, perancangan yang bercanggah daripada aturan Islam itu sudah awal-awal diluputkan dengan ketidakhadiran dia. Dan sepulangnya aku ke rumah, aku sepert terawang-awang ke dunia lain. Hari-hariku sudah tiada bezanya antara dunia dan realiti. Setiap apa yang aku lakukan, pasti saja mampir kelibat dia di benakku. Sehinggakan setiap pukulan yang diberikan Mak Ina terhadapku tidak terasa peritnya lagi seolah-olah dia ada melindungi aku. 


Tuhan, mengapa kau hadirkan dia di setiap hembusan nafasku. Sungguh, hamba-Mu ini takut sekiranya terpesong ke jalan yang tidak sepatutnya.


Kini aku lebih banyak termenung, teringatkan dia. Setiap langkahku, teringatkan dia. Waktu lenaku teringatkan dia. Akibat dia yang sentiasa muncul di ruang fikiranku, aku mengalami masalah sukar untuk tidur. Sesungguhnya, aku tidak pernah mengalami perasaan begitu. Aku tak tahu bagaimana mahu mengawalnya. Aku tak tahu mengurusnya, Tiada siapa pernah mengajarku apa itu cinta, dan bagaimana untuk uruskannya. Perasaan ini yang menguasai hidupku kini. Semuanya bagai tidak teratur sehingga mengundang pelik daripada semua orang. Terutamanya mengundang bengang daripada Mak Ina dan Murni. Semua serba tak kena, dan semuanya kerana dia. 


Arhh! Serabut! Aku menanggung sesuatu yang tak pernah aku alami selama ini. Lebih merisaukan diri aku sendiri, SPM bakal menjelang tidak kurang dari sebulan sahaja lagi. Aku sekarang diuji dengan perasaan ini.


Baru aku sedar perubahan yang aku alami bermula awal tahun sehinggalah sekarang ternyata telah membuahkan perasaan cinta yang dulunya aku begitu gah katakan aku tak akan mengalaminya sekiranya aku bijak mengawal perasaan aku. Tapi sekarang aku tewas, tewas dengan permainan perasaan. Apa yang aku paling takutkan andainya perasaan ini hanya berlandaskan nafsu semata bukan kerana perasaan suci yang lahir sebagai fitrah seorang insan. 


Ya Allah, adakah kau menghukumku kerana kafarah dosaku yang begitu meninggi diri menyatakan aku tak akan memiliki perasaan sebegini. Jika benar ya Allah, ampunkan aku. Ampun.. ampun..


Aku duduk di atas katil sambil memeluk kedua-dua lututku. Sejenak aku cuba bertenang, memberikan ruang untuk diri aku berfikir. Belakangan ini, hari-hariku yang semakin tidak terurus seharusnya tidak aku biarkan perkara ini terus berlanjutan. Aku perlu lakukan sesuatu untuk menyingkirkannya. Jika tidak boleh disingkirkan sekurang-kurangnya cukup untukku kawal sebaiknya agar perhatianku lebih tertumpu peperiksaan yang akan datang. Setidak-tidaknya, aku boleh bezakan angan-angan dan realitiku itu yang penting.


Apa yang terbuku di hati buatkan aku meluahkan rasa kepada rakan baikku, Anisa. Dia yang selama ini menjadi tempias kemarahan aku akibat sikapnya yang begitu suka menjodoh-jodohkan aku dengan si dia, kini menjadi tempat aku meluahkan masalah aku. Anisa sangat memahamiku, dia mendengar segala luahan aku. Cuba untuk tidak serius, aku mengatakan semua ini berlaku salahnya kerana sering mendoakan aku. Kan dah masin mulut dia, dan aku yang terkena. Dia hanya ketawa mendengar selorohku yang cuba mengawal gundah di hati.


Anisa menasihati aku agar kembali kepada siapa yang hadirkan perasaan ini buat aku. Saat mendengarkan itu aku baru tersedar. Allah yang hadirkan. Kerana ini fitrah sebagai manusia normal yang mengharapkan kasih sayang. Cuma terserah kepada manusia itu sendiri sama ada ingin memilih menggunakan kurniaan ini kepada jalan yang sepatutnya atau kearah berlandaskan nafsu semata. Sebagai seorang Islam, sudah tentu aku ingin melakukan sesuatu yang bukan menjerumuskan aku kepada maksiat dan murka Ilahi. Jadi, aku cuba rasionalkan fikiran aku. Satukan hatiku dengan kasih Ilahi. Dada aku pegang merasakan degupan jantung yang begitu teratur dengan aturan Ilahi. Jadi akan aku gunakan kurniaan Ilahi ini mengikut aturan Ilahi. Ya, aku akan gunakan dia untuk mengingati Tuhanku.


Bermula titik keazaman itu, aku mula menggunakan perasaan ini demi Tuhanku. Aku tak akan siakan rasa suci ini, aku tak akan jerumuskan kurniaan suci ini dengan nafsu yang hanya membahayakan diri aku. Aku jadikan dia peneman kala aku sendiri. Dan aku jadikan dia penyebab untuk aku mengingati Allah. Setiap kali dia hadir di fikiranku, akan aku kembalikan kepada Rabbku dengan zikirullah. Sesungguhnya adanya dia buatkan aku semakin mengingati Tuhanku. Setiap sujudku aku doakan agar perasaan ini tidak bercanggah dari jalan-Nya.


Walaupun usiaku hanya remaja biasa yang mentah dengan aturan hidup. Tidak kenal lagi cinta dan setia. Tapi, tulus hati aku inginkan dia menjadi jodohku, menjadi yang halal buat aku. Biarkan aku menyimpan perasaan ini, walaupun tiada siapa yang tahu hatta dia empunya diri sekalipun. Sesungguhnya takdir Allah tiada siapa yang tahu. Sekiranya benar perasaan ini fitrah suci daripada Ilahi, aku hanya ingin dia menjadi pelindungku suatu hari nanti. Jika Allah izinkan, aku hanya inginkan dia menjadi pendampingku di syurga sana. 


Walaupun aku tahu rezeki, jodoh dan maut itu sudah Allah aturkan di Luh Mahfuz, tapi aku hadirkan namanya dalam doaku. Aku seru namanya agar jadikan namanya sebagai jodohku yang telah tertulis di Luh Mahfuz. Pintaku hanya ini, agar Allah perkenankan doaku yang satu ini. Siapkan dia sebagai sebaik-baik jodoh buatku. Siapkan dia sebagai pelindung, pemimpinku di dunia ini dan sebagai pendampingku di syurga sana. Seruku hanya satu, Tuhan.. jadikan dia jodohku.


*****


Hari ini hari pertama aku menghadapi peperiksaan SPM, 3 November 2014. Gementar yang aku rasa aku hadirkan dengan ungkapan zikir. Setelah dua tahun bertungkus-lumus untuk hari ini, aku sudah bersedia menghadapinya. Sementara menunggu untuk dipanggil masuk ke dewan, aku lebih banyak sendirian sambil perbanyakkan selawat buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan zikir buat Ilahi. Sekarang bukan waktunya lagi untuk aku memegang buku. Semuanya sepatutnya aku lakukan hari-hari yang lepas. Jadi tiada masa lagi untuk menghafaz apa-apa. Kerana hari ini aku sudah perlu berperang, bukan baru mengasah pedang yang masih tumpul.


Dalam sendirian aku mula teringatkan si dia. Si dia yang tak pernah tahu perasaan yang hadir dalam diri aku. Maaf kerana menyimpan perasaan ini, tapi aku tidak mampu menolaknya kerana aku insan biasa. Aku tidak meminta dia membalas rasaku. Cukup aku tahu dia ada di dunia ini. Jika benar dia takdirku untuk disatukan suatu hari nanti, tiada yang mustahil ketentuan Ilahi. Hari ini juga dia bakal berperang bersamaku. Hanya medan kami berbeza tempatnya. Apa yang aku inginkan hanya mendoakan buat si dia agar dipermudahkan segala urusan.


Rabbi, Kau berikan ketenangan dan kesabaran buat dia. Jangan Kau biarkan sesuatu menganggunya sehingga menghalang kemudahan bagi dia untuk menduduki peperiksaan ini. Mudah-mudahan senang baginya menjawab setiap subjek SPM yang diambilnya. Amin...


Sekarang sudah waktunya untuk aku masuk ke dalam dewan meneruskan perjuangan aku. Rabbi yassir wala tuassir, rabbi tammim bikhair. Rabbi syrahli sadri wayassirli amri wahlul uqdatam millisani yafqahu qauli. Ya Allah permudahkanlah jangan Kau susahkan. 


Aku teguhkan hati hanya pada Yang Satu. Aku telah berusaha, aku sentiasa berdoa dan kini aku hanya bertawakal berserah pada Yang Satu untuk menentukan apa yang baik untukku. Perjuanganku dari mula sehingga berakhirnya hanya Allah yang tahu apa keputusannya. Segalanya akan aku nantikan tahun hadapan, penentu arah tujuku hidupku. Allah sahaja yang tahu. Begitu juga antara aku dan dia, hanya Allah yang tahu. Aku hanya mampu berdoa sekiranya diizinkan Ilahi. Sebagai peneman dan pemimpin bangun jatuhku di dunia dan sebagai pendampingku di syurga sana. Tuhan, jadikan dia jodohku...


*****


Hari ini minggu kedua aku di IIUM, Gombak. Universiti yang selama ini aku impikan untuk menyambung cita-citaku ke menara gading, kini telah tercapai dengan izin Yang Maha Kuasa. Aku fikir peluangku ke sini hanya angan-angan kosong yang tak mungkin aku capai. Mengenangkan sikap Mak Ina yang terlalu obses mengatur perjalanan hidup aku, mustahil impianku ini akan terlaksa. Berjaya menghabiskan sekolah menengah pun sudah rezeki besar buat aku. Mujurlah, kala hati aku terlalu berharap, dihadirkan seorang insan yang baik hati memaksa Mak Ina untuk melepaskan aku bebas memilih masa depanku.


Aku antara pelajar yang paling lambat tahu keputusan SPM aku. Lambat juga menguruskan urusan sijil untuk memudahkan urusan melanjutkan pelajaran. Semuanya gara-gara Mak Ina. Setelah tamat persekolahan, Mak Ina sememangnya menjadikan aku hamba abdinya sepanjang tahun. Jika sebelum ini, aku terikat dengan aktiviti sekolah. Jadi aku punya alasan untuk keluar dari rumah. Tapi kali ini, alasan itu tidak lagi valid untuk aku melepaskan diri. Setiap hari ada sahaja yang disuruhnya. Aku seperti pembantu peribadi Mak Ina yang membontoti ke mana jua ibu tiriku itu pergi. Bukanlah skop kerjaku profesional sebagai 'pembantu peribadi' lebih tepatnya aku hamba abdi. 


Hampir setahun aku dibawa Mak Ina ke KL. Hari-hariku diheret ke sana dan ke sini. Ke pejabat utama syarikat ayah. Tanda tangan itu, tanda tangan ini tanpa aku tahu apa isinya. Sudah itu yang disuruh, aku hanya menurut. Sepanjang aku di syarikat, bukan main bermuka-muka Mak Ina melayani aku di hadapan orang lain. Lagaknya seolah-olah akulah anak kesayangannya yang ditatang bagai minyak yang penuh. 


Kalau tiada urusan rasmi yang memerlukan aku, waktu-waktu terluang Mak Ina jadikan aku pembantu angkat barang. Kalau Mak Ina sibuk dengan kerjanya, Murnilah yang mengambil alih tugas Mak Ina menjadikan aku balaci dia. 


Setelah sekian lama meninggalkan rumah, akhirnya kami pulang ke Pulau Pinang. Peluang yang ada ini aku selesaikan urusan aku di sekolah dengan segera. Walaupun peluang untuk mengisi permohonan melanjutkan ke mana-mana universiti sudah berbulan-bulan lamanya berlalu. Namun, aku tak berputus asa. Mungkin akan ada mana-mana universiti yang membuka ambilan ke-dua untuk ke program asasi universiti mereka barangkali. Itu menurut apa yang diberitahu guru kaunseling sekolah setelah urusan sijilku selesai tadi. Walaupun aku belum tahu adakah Mak Ina akan membenarkan aku melanjutkan pengajianku, itu tidak menjadi alasan untuk aku tidak berusaha. Jadi seharian ini, aku sememangnya menghabiskan waktuku bersama guru kaunseling. Mengumpul maklumat berkaitan univerisiti, prosuder untuk memohon dan sebagainya. Sedar sahaja, hari sudah semakin lewat. Waktu kerja guruku juga sudah tamat. Maka, beransurlah kami untuk pulang. 


Di genggamanku, slip keputusan aku genggam erat. Keputusan yang seharusnya aku raikan bersama keluarga kerana kejayaanku ini terasa hampa. Rasa gembiraku tiada, hatiku malah walang memikirkan bagaimana mahu dikhabarkan keinginanku kepada Mak Ina. Adakah kejayaan ini akan disambut dengan senyuman? Adakah impianku bakal dituruti apa yang aku mahukan? Berpeluangkah aku merangka masa depanku? Sedang aku tenggelam dalam gundah fikiranku, perhatianku teralih saat melihatkan sebuah kereta asing terpakir elok di halaman rumah. Kenalan Mak Ina barangkali.


Baru sahaja lantai rumah aku jejaki, Mak Ina langsung mengerahkan aku terus ke dapur menyediakan set minum petang untuk dihidangkan kepada tetamu yang hadir. Saat aku terpandangkan lelaki yang sedang duduk berdepan dengan Mak Ina itu, terlintas di fikiranku memori lalu. Wajahnya, seperti bukan wajah yang asing. Macam kenal. Tapi di mana mereka pernah bertemu? 


Lelaki separuh abad itu kelihatan segak bergaya dengan sut kerja yang tersarung pada tubuh. Dari jauh kedengaran bicara formal antara mereka. Agak terasa asing dengan suasana ini kerana Mak Ina jarang sekali membawa hal-hal berkaitan kerjanya ke rumah. Sepertinya ada yang penting harus diselesaikan. Riak wajah mereka masing-masing kelihatan serius dengan topik yang dibincangkan. Di atas meja pula berselerak dengan kepilan-kepilan kertas yang entah apa isinya. 


Memandangkan pemisah antara dapur dan ruang tamu hanya berpisahkan dinding berkaunter, mudahlah aku memasang telinga mendengar inti perbualan mereka. Sambil tanganku cekap membancuh air teh, mataku tak diam menjeling Mak Ina dan lelaki itu di ruang tamu yang boleh dilihat dari ruang kaunter. Sebenarnya bukanlah aku terlalu sibuk mahu ambil tahu apa yang mereka bicarakan. Cumanya rasa ingin tahu aku akan identiti lelaki itu masih bergayutan di mindaku. Tercari-cari aku di kotak fikiran kalau-kalau ada memoriku bersama lelaki itu. Aku sebenarnya terkenangkan memori dulu, ketika aku masih kecil dan nakal. Ketika aku diselamatkan oleh lelaki budiman. Adakah ukiran wajah lelaki itu persis insan yang pernah menyelamatkan aku dulu. Hurmm.. sama ke?


Usai menghantar minuman, aku kembali ke dapur. Tersandar tubuhku pada dinding hingga melorot ke lantai. Tak terkawal perasaan aku ketika itu saat isi perbualan mereka kian aku fahami. Bukan sikapku mahu mencuri dengar, namun dek acapkali namaku menjadi topik perbalahan hangat mereka maka perhatianku tertarik mahu mendengar perbualan mereka. 


Lelaki yang dipanggil Tuan Hamid itu ternyata merupakan peguam syarikat ayah. Mengenali identiti Tuan Hamid, rupanya lelaki itu bukanlah orang asing buatku. Tidak hairanlah aku seperti mengenalinya. Ternyata lelaki itu teman rapat ayah yang rajin berkunjung ke rumah ketika ayahku masih sihat bekerja dulu. Tuan Hamid itu merupakan orang paling rapat denganku. Satu-satunya orang yang melayani aku dengan baik di rumah agam ini selain ayah dan ibu. Ah! Setelah ayah pergi hampir tidak pernah aku bersua muka dengannya lagi. Garis wajahnya ketara perubahannya dek dimamah usia. Apakah dia sakit? Mengapa aku hampir tidak mengenali gerangan lelaki itu. Jika dia Tuan Hamid yang aku sering panggil Pak Cik Hero, maka benarlah Tuan Hamid itu penyelamatku dulu. Pak Cik Hero, kenapa bertahun kau tidak datang menjengukku? Adakah pak cik sudah lupakan aku setelah ayah pergi? Bukankah aku anak kecil yang sering pak cik manjakan setiap kali berkunjung ke sini?


Dalam sebak aku diulit kenangan dan rindu, dadaku makin terhimpit saat mengerti kehadiran Tuan Hamid ternyata mahu mengurusakan hal berkaitan wasiat ayah. Kecewa hatiku memikirkan itu. Terasa aku bukanlah siapa-siapa untuk dipedulikan oleh Pak Cik Hero. Tahukah pak cik akan penderitaanku di sini? 


Dalam kesal, aku menggumam perlahan. Tak habis lagi dengan hal wasiat. Sememangnya Mak Ina sudah tidak sabar mahu menendang aku keluar dari sini. Pak Cik Hamid juga sudah melupakan aku, khabarku juga tidak ditanya. Ah, hatiku pedih. Namun rasa kesalku perlahan beransur hilang saat semakin mengerti perbincangan serius Mak Ina dan Tuan Hamid. 


"Tapi kali ini Puan Azlina kena benarkan juga Cik Aina melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti yang dia mahukan sekiranya layak. Seperti yang Puan Azlina sedia maklum, keputusan Cik Aina sangat cemerlang, cerah peluang dia mahu melanjutkan pelajarannya." Kata-kata Tuan Hamid yang agak tegas membuatkan telingaku tegak mendengarnya. Benarkah?


"Kenapa Tuan Hamid tak pernah maklumkan pada saya sebelum ini. Saya dah ada perancangan lain untuk dia." Mak Ina sepertinya tidak dapat menerima dengan kenyataan yang diberikan Tuan Hamid. Aku agak terkilan medengarkan itu. Harapanku untuk berkonfrontasi dengan Mak Ina untuk membincangkan perkara ini semakin tipis peluangku.


"Bukan saya tidak pernah beritahu. Setahu saya, saya sudah sisipkan syarat-syarat yang perlu Puan Azlina laksanakan terhadap Cik Aina selain menjaga makan minumnya sebelum Cik Aina berumur 25 tahun. Ini salah satu syarat untuk Puan Azlina mendapat bahagian puan sebagai salah satu pewaris pusaka. Puan Azlina juga sudah menandatangani surat syarat menerima harta pusaka Tuan Zaidi setelah kematian arwah." Cis, jengkel pula rasa hatiku. Apa dia yang menjaga makan minum aku? Atau aku yang menjaga makan minum dia?


"Apa jadi sekiranya saya langgar syarat ini?" Dengan bongkak Mak Ina bertanya seperti tidak boleh menerima syarat tersebut. Tuan Hamid kelihatan mengeluarkan fail lain dari beg bimbit beliau lalu ditunjukan isinya kepada Mak Ina.


"Seperti yang telah puan lihat, ini syaratnya. Lebih senang saya simpulkan puan akan terkeluar daripada salah seorang pewaris harta Tuan Zaidi dengan serta-merta." Dengan penuh sinis Tuan Hamid berkata. Sepertinya dia turut menyampah dengan kecerewetan Mak Ina. Melihatkan maklumat yang tertulis di kertas yang dipegang, akhirnya Mak Ina menyerah daripada terus mempertahankan apa yang dikehendaki. 


Sesungguhnya, tak terungkap rasa hatiku ketika ini. Baru sahaja siang tadi aku risau dengan keizinan Mak Ina. Baru sahaja sebentar tadi aku berburuk sangka dengan lelaki budiman itu. Impian yang aku sangka hampir terlepas dari genggamanku, sudah dipegang erat oleh insan itu untuk aku bawa hingga ke menara gading. Tak terungkap kata syukurku, sebak dan gembira bercampur aduk membuahkan rasa bahagia. Lebih teruja rasaku, memikirkan hari-hari mendatangku tidak lagi terkurung di sangkar emas ini. Terima kasih Tuhan!


Memikirkan Pak Cik Hero yang salah tanggakapanku padanya awal tadi, aku tidak lagi bersembunyi di sebalik dinding. Dengan linangan air mata kegembiraan, aku menapak menghampiri dua orang manusia itu. Tuan Hamid yang menyedari kehadiranku pantas memusatkan pandangannya padaku. Wajah yang tadinya serius berubah tenang dan ceria, tersenyum lebar dia menyambut kehadiranku. Lunak pandangannya penuh rasa kebapaan. 


Ah! Pandangan itu. Aku rindu. Jika boleh, aku sudah berlari ke pelukan lelaki itu. Memeluknya erat dan mengucapkan terima kasihku padanya. Namun, aku tahu batas kami. Walaupun kasihku padanya seperti sayangku pada ayah. Dia tetap lelaki asing yang perlu aku berbatas sentuhan kami. Lalu aku hanya mampu meletakkan tanganku di dada, menunduk 90 darjah ke arahnya sebagai tanda menghargai pertolongannya. Biarpun wajahku sudah basah dengan air mata, senyuman kegembiraan tetap terpancar ceria di bibirku. Jika bersujud pada manusia itu dibolehkan, sudah lama kaki itu aku peluk, aku cium dan aku sujud.


Mak Ina yang tidak gembira dengan keputusan yang diambil, mencuka wajahnya meneliti dokumen-dokumen di tangan. Mencari-cari jika ada lopong yang membolehkan dia membatalkan semua ini. Rasa tidak puas hatinya semakin bertambah melihatkan laku aku terhadap Tuan Hamid. Amarahnya sudah meluap untuk dilepaskan, hampir sahaja mahu ditangankan aku. Mujur kehadiran Tuan Hamid di situ membantutkan kemahuannya. Malah semakin berdongkol rasa geramnya saat mengetahui Tuan Hamid akan tinggal di banglo mereka untuk membantu aku menyesaikan urusan permohonan universiti hingga aku berjaya mendaftar ke gedung ilmu sana.


Sesungguhnya, tempoh itu merupakan hari-hari terbahagia aku setelah bertahun-tahun pemergian ayah dan ibu. Waktu itu juga Tuan Hamid menjelaskan keberadaannya sepanjang beliau menghilang dari hidup aku. Ternyata benarlah telahanku, Pak Cik Heroku sakit. Tempoh kehilangan dia merupakan tempoh dia pergi merawat diri. Sengaja tidak dikhabarkan perkara duka itu kepadaku demi tidak mahu menambah beban dan risauku. Malah, hilangnya dia tidak menghalang Tuan Hamid untuk ambil tahu keadaan aku. Mak Milah dan orang kampung sentiasa menjadi mata-mata dan telinga buat Tuan Hamid. Kesal dan maafnya tidak pernah berhenti diluahkan kerana tidak berada di samping aku di kala aku sangat memerlukan teman sokongan. Namun tidak apa. Sekurang-kurangnya orang yang aku fikir telah melupakan aku, ternyata sangat mengambil berat tentang aku. Itu sudah cukup dan aku senang dia kembali lagi.


Lalu berjayalah aku menyandang status mahasiswi di universiti terkenal ini. Berpeluang menimba ilmu di sini memberikan nafas baru buat aku. Membina harapan baru untuk aku capai. Apatah lagi orang yang disangka hanya doa sebagai kenangan pernah hadirnya dia dalam hidup aku, menjadi salah seorang yang melukis warna-warna indah di kanvas kehidupan aku di sini. Sangkaku, dia hanyalah kenangan. Dia hanya antara memori-memori indah yang terbuku dalam kamus hidupku di sekolah menengah. Tidak pernah aku berharap kami akan ditemukan kembali.


Muhammad Fateh. Sehingga kini doaku masih menyeru namanya sebagai jodohku. Aku sentiasa berdoa kesejahteraan pemuda itu walau ke mana jua haluan yang dipilih. Biarpun aku tidak pernah berjumpa dengannya lagi namun namanya sering dipetik dalam doaku. Sekiranya benar dia dijodohkan untukku, biarpun bertahun-tahun kami tidak bertemu kelak Allah pasti satukan kami juga. Jadi aku hanya titipnya namanya dalam doaku, selebihnya aku serahkan kepada Rabbku sebaik-sebaik perancang semesta ini.


Namun, takdir tiada siapa yang tahu. Kini aku sedang berdiri berhadapan dengan dia yang hampir setahun aku tidak bertemu mata. Dalam keletihan mengingati semula segala maklumat yang disogok sepanjang Tawe (Taaruf Week), langkahku yang menuju pulang ke mahallah ditahan oleh tubuhnya yang tinggi lampai. Aku yang sebal dihalang langkahku, segera melangut memandang gerangan yang begitu berani berbuat demikian. Rasa marah yang mahu diluahkan langsung terkelu di lidah, pandanganku terkaku pada dua kolam mata itu. Mata sepet itu hampir tidak kelihatan dek lebarnya senyuman dia menyapa aku.


Dia kelihatan sangat matang, terasa aura lelaki dewasa pada perawakannya. Disarung pula kemeja dan seluar slack hitam pada tubuhnya, membangkitkan lagi pesona seorang lelaki bercita-cita. Tiada lagi aura budak nakal zaman sekolah. Rambutnya pula tersikat rapi dengan gel rambut yang disapu. Tiada lagi rambut panjang berselerak yang sering digayakan dulu. Mempesonakan mata-mata yang memandang. 


Tanpa sedar, aku makin tenggelam dalam dunia kenangan. Gelojak rasa, realiti dan fantasi makin beraduk. Bagai disedut keluar dari alam fana, kini hanya aku dan dia. Kami terkaku dengan pandangan masing-masing. Redup pandangannya menjelajahi wajahku. Entah apa yang dicari. Aku masih begitu tidak berkutik, masih tidak percaya orang yang saban hari mengunjungi mimpiku sedang berdiri di depanku. 


Pancaindera dan organku mula bertindak di luar kawalan. Mata mulai berkaca entah kenapa. Gembira atau berduka, aku tidak tahu. Jantung dan hati usah ditanya, apalah penyebabnya mengocak hebat dua organ itu. Tangan yang erat memeluk fail di dada mulai sejuk dan berpeluh. Gementar kerana gemuruh. Lalu seperti tindakanku sebelum ini untuk melarikan diri daripada amukan perasaan ini, spontan dua jariku memulas kuat isi paha yang tidak bersalah. Maka berseleraklah buku dan fail di tangan menjadi tamu tanah. Mujurnya, aku tersedar ke dunia nyata


Spontan juga otak bekerja, mengerah aku mengutip buku-buku yang berselerakan di jalan. Amukan rasa di dada cuba aku tenangkan. Bergetar jemariku memungut satu per satu buku dan fail. Rahsia hati yang melonjak mahu membongkarkan diri, sedaya upaya aku sembunyikan jauh di pojok hati. 


Ya Allah, jangan Kau ujiku di saat begini. Sesungguhnya, berdepan dengan dia dalam keadaan begini merisaukan aku sekiranya aku tidak mampu mengawal perasaanku. 


Lebih menguji hati ini, baik pula dia mahu turut membantu sedangkan buku dan failnya hanya dua. Salah aku kerana terleka menenangkan hati, tangan dia terlebih tahu mendahuluiku. Gelabah aku berdiri tidak tahu mahu bereaksi apa. Kepalaku kosong untuk memberi arahan. Melihatkan lakuku yang gelabah dia ketawa kecil. Tenang dia menghulurkan bukuku. Baru sahaja mahu buru-buru pergi setelah menyambutnya, dia pula nakal mengusik tidak mahu lepaskan. Terjongket tinggi hujung bibirnya, sinis. 


"Puas saya tercari-cari awak, jumpa juga akhirnya. I know you'll be here. Nice to meet you, cute glassy. Hey and assalamualaikum, by the way." Bersama senyuman tenangnya, sempat mata sepetnya mengenyit nakal. Aku hampir mahu ternganga luas tidak percaya. Sejak bila mamat ni ada sisi gelenyar macam ni!?


"Aina?" Melihatkan aku kaku tidak merespon, dia memanggil lagi. Malah makin berani dia menjengah ke bawah wajahku yang sedang menunduk. Dek terkejut aku langsung merentap buku yang masih degil mahu dilepaskan lalu buru-buru berpaling mahu pergi.


"Kenapa awak gemuruh sangat ni? Saya bukan nak makan awak pun." Kedengaran ketawanya mengusik dari belakang. Tak pedulikan dia, menonong aku melajukan langkah.


Tapi lain pula reaksi si cina tu. Fikirku jika tidak pedulikan dia, bakal menjauh lah dia. Ternyata tidak, semakin galak pula menyeru namaku. Semakin kuat pula tu laungannya jika semakin jauh aku menjauh. Risau kalau langkahku dikejar, panjang sahaja tanganku menyinsing kain ke atas. Mujur aku berseluar panjang. Tabiat aku zaman sekolah dulu ketika mahu larikan diri daripada amukan guru disiplin, masih belum berkarat lagi. Tiba-tiba, sayup-sayup kedengaran ketawanya melihat aku yang semakin memasang kuda mahu memecut pergi. Aku apa lagi, mulalah panjang langkahku berlari tanpa tahu arah tujuan. 


Gila punya orang! Jangan muncul mengejut macam tu boleh tak? Nasib baik tak meletup jantung aku sebab kau! Tak guna! Padan muka bergelen aku maki kau, padan muka aku berkepuk dosa kering aku hari ni.


"Bye Aina! Jumpa lagi." Sempat lagi mulut puaka tu sopan berpamitan.


Warrr!!! Sudah tak betulkah dia menjerit macam tu tengah orang ramai ni. Dengan muka tebal berlapis-lapis aku mengabaikan kewujudan dia lantas kembali menentukan destinasiku kembali ke mahallah. Di samping merasionalkan juga azamku ke sini. Jangan hanya lelaki yang belum tentu jadi milikku aku terpesong menjadi manusia yang tidak punya tujuan hidup. Perjalanku masih jauh, dan bukan dia matlamat utamaku. 


Maaf Fateh, walaupun kau menjadi segaris nama dalam doaku. Walaupun berjumpa kau di sini sedikit menjemput rasa bahagia di hati ini. Tetap kau bukan tujuan utamaku di sini. Sekiranya Allah kabulkan doa-doa aku. Kita akan bersatu juga. Jika kau ada rasa seperti yang aku rasakan, doalah agar ianya tidak membawa ke jalan yang tidak diredhai Ilahi. Doalah agar kita disatukan nanti.


*****


Hari-hariku berlalu seperti biasa. Cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, teman baru dan budaya yang pelbagai dek lambakan pelajar antarabangsa di sini. Hari pertama aku sendirian di sini, kini diceriakan dengan kenalan yang ramai memenuhi hari-hariku dengan ragam yang bermacam. Anisa juga mengambil Program Asasi di IIUM, cumanya dia ditempatkan di Petaling Jaya memandangkan program asasi yang dipilih adalah Asasi Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Warisan Islam. Sedangkan aku mengambil program Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan. Tapi kami sudah berjanji akan melanjutkan Ijazah di IIUM juga. Kelak berpeluang lagi kami menuntut ilmu bersama-sama di universiti yang sama. Dan dia, lelaki tidak diundang itu ternyata menyambung program yang sama denganku. Tidak hairanlah dia boleh ada di sini. Cumanya aku aneh, kebetulan apakah yang membuatkan dia turut memohon program asasi untuk ambilan kedua? Benarkah kebetulan?


Sejujurnya, kehadirannya sememangnya tidak pernah dirancang aku untuk turut tercatat dalam sketsa hidup aku yang tidak pernah aku impikan. Sudahnya, takdir yang tidak disangka ini membuatkan aku runsing dan keliru. Bagaimana mahu diaturkan hati aku yang sentiasa berdetak hebat setiap kali kelibatnya menyapa mata, setiap kali suaranya menyapa telinga? Hampir saja aku mengadukkan hak dan batil kerana terlalu turutkan kata hati yang bernafsu. Mahukan perhatian dia di mana-mana. Gelisah dan resah jika dia tidak menyapa. Aku lemas dengan perasaan ini. Setiap kali hariku dimulai dengan tajdid niat bermatlamat yang benar namun terpesong jika adanya dia. 


Tuhan! Ujian apakah ini. Sesungguhnya hati ini tidak kuat.


Berkali-kali aku cuba teguhkan rasa ini untuk kembali mengingati Allah. Adanya dia kerana Allah, hadirnya perasaan ini kerana Allah dan hanya kembali kepada aku untuk menjaganya.


Dulu mudahlah aku cuba mengawal rasa ini kerana dia jauh dari mata untuk dijamu. Sedangkan sekarang, ujian hati ini payah mahu dikawal. Namun begitu, penat dan lelah dengan teriakan hati aku lalui dengan mujahadah yang tinggi. Selagi apa yang dironta nafsu hati ini mahukan, selagi itu dikeraskan hatiku setiap kali bersua muka dengannya. Hingga aku digelar gadis beku kerana sukar sekali teman sekuliahku mahu melihatku tersenyum apatah lagi ketawa. Aku juga sudah hampir lupa bagaimana mahu tersenyum kerana lebih utamakan memenjara keinginan hati. 


Sabarlah, andai sememangnya kau ditakdirkan berjodoh denganku Fateh. Penjara hati ini kelak akan terbuka juga. Jika tiada jodoh antara kita, lambat laun menyirnalah rasa ini atas kehendak Ilahi.


Kerana itu, muamalahku dengan orang sekeliling sentiasa profesional dan tegas. Apatah lagi kalau dia orangnya yang perlu aku berurusan. Mahu mengelak mustahil sekali memandangkan profesi menjadi rakan sekuliah memerlukan kami sering bekerja bersama, berbual serta perbincang apatah lagi jika diletakkan satu kumpulan untuk melakukan perbentangan di kuliah. Itulah sebesar-besar dugaan hatiku lalui. 


Namun terkadang dugaan ini menguji aku untuk terleka dengan kemanisan nafsu. Ditambah pula sikapnya yang terlalu mesra setiap kali bertemu dengan aku. Hanya aku saja yang sering mempamerkan riak dingin dengannya. Aku cuma mahu melindungi hati ini, aku mahu menjaga kesucian hati ini daripada tercemar dengan batas-batas yang bukan berlandaskan syariah.


Oh Allah, peliharalah aku. 


Seawal mengenalinya, aku berkali-kali disentak dengan sikap Fateh terhadapku. Dia sangat mengenali luar dan dalam hidupku. Dia sangat tahu setiap perubahan emosiku. Ironinya, dia sentiasa ada di setiap perubahan emosiku. Demi melihat aku tersenyum hari itu, tidak culas dua bungkus choclairs sebagai pemula hari. Dia sangat tahu aku akan bersendirian di perpustakaan jika ada yang tidak kena denganku pada hari itu, pasti ada saja dia tiba-tiba muncul sibuk mahu bincangkan subjek yang tidak fahami. Ataupun kalau aku sedang berduka, aku akan berada di café mahallah Maryam memandangkan di mahallah itu tempat tinggalku dan di café itu aku mencari kucing untuk diberi makan sebagai terapi dukaku. Tapi dia, tahu saja mencariku di waktu-waktu aku sedang mahu sendiri, sibuk mahu beri makan kucing juga. Entah dari mana tahunya dia rahsiaku itu. 


Awalnya aku kurang berikan perhatian dengan kemunculan dia setiap kali waktu-waktu genting sebegitu. Namun, sudah satu persatu rahsia hidupku dibongkar bagaimana mungkin aku boleh bertenang? Malah rahsiaku, kehidupan kanak-kanakku hingga kini, segala kegemaranku, segala yang tidak aku suka, mudah saja dipetik dari kotak memorinya. Aku hampir takut bersua dengannya. Terasa seperti tiada yang dia tidak tahu tentang aku. Pernah aku tegas mengarahnya supaya menjauh dariku. Aku cemas! Janganlah rahsia terulungku juga mudah diserkap jarang oleh dia. Kelak bertekad aku nanti menghilang terus daripada hidup dia. Hakikatnya, aku malu! 


Hampir sebulan lamanya aku bagai pelarian setiap kali terserempak dengannya. Awalnya terpinga dia dengan layananku itu, maka bekejarlah dia cuba mendapatkan penjelasanku. Mujur hanya seharian acara sorok-menyorok kami. Akhirnya dia mengalah. Dia berikan ruang padaku. Tidak memaksa, dia sendiri yang memilih untuk beransur pergi kerana mengerti ketidakselesaan aku. Begitulah hubungan kami yang mendadak berubahnya. Aku serba-salah tapi aku juga takut. Terasa seperti ditelanjangi!


Kedinginan kami berlanjutan lamanya. Setelah sekian lama berlalu, sikap waspadaku padanya semakin lama semakin beransur hilang. Mungkin terperasan sikap cerianya yang berubah pendiam sejak perang dinginku, aku jadi serba salah. Sudahnya aku tidak lagi melarikan diri jika terserempak dengannya. Dia yang sebelum ini akan beransur terlebih dahulu jika melihat aku, kuat melepaskan keluhan kelegaan ketika pertama kali melihat aku berani mempamerkan senyuman mahal kepadanya. Tandanya hati aku sudah tenang. 


"Maaf, saya terlalu mengenali awak." Ucapan pertamanya setelah sekian lama tiada kata antara kami. Aku diam tidak membalas. Hanya bibirku yang tadinya tersenyum berubah kelat. Agak kesal dengan hakikat itu. Tapi mahu bagaimana, dia sangat mengenali aku.


"Maaf untuk hakikat itu. Maaf Aina. Tolong jangan lari lagi dari saya. Tak tenang hati saya ni tau." Pertama kali aku tertawa mendengarkan keluhannya itu. Nampak benar garis-garis kerutan yang jarang kelihatan pada wajah tenang itu. Aku hanya menggeleng tanpa mengulas lanjut. Berlalu mencari tempat duduk, bersedia untuk kelas hari itu. 


"Fateh.." Aku memanggilnya satu hari. Ketika itu kami sedang menyiapkan projek untuk dibentangkan nanti.


"Apa?"


"Boleh saya minta sesuatu."


"Okey. Bergantung pada permintaan."


"Boleh awak layan saya seperti awak layan orang lain?" Dia diam seketika seperti berfikir.


"Apa maksud awak. Saya layan awak sama saja macam orang lain kan?"


"Ye sama. Sama macam awak layan rakan-rakan LELAKI awak. Tersangat mesra, bertimbang rasa dan memahami. Tapi layanan awak kepada rakan-rakan PEREMPUAN yang lain tak seperti awak melayani saya." Aku cuba fahamkan dia apa yang ingin aku sampaikan. Perkataan LELAKI dan PEREMPUAN sengaja aku tekankan agar dia dapat bezakan siapa aku. Aku merupakan hawa yang begitu lembut pada hati dan perasaan. Jangan biarkan apa yang aku rasa tidak mampu lagi aku menanggungnya. Sesungguhnya kala ini bukan waktunya untuk jadikan perasaan sebagai matlamat. Jika percaya dengan kuasa Allah, dia milikku. Maka dia milikku.


Walaupun tidak dinafikan aku senang dengan sikapnya yang terlalu mengambil tahu hal aku tapi dia bukan milikku untuk aku bebas mengadu setiap yang aku rasakan. Biarpun aku boleh jadikan dia sebagai teman akrabku, tapi realitinya dia lelaki dan aku perempuan. Boleh jadi kerana terlalu leka dengan keasyikan dunia kami Allah mengubah hati kami daripada jalan orang yang diredhai-Nya. Memikirkan impak yang mungkin di luar pemikiranku, aku memilih untuk menjauh.


"Kenapa?" Dia bertanya pelik.


"Sebab awak tak kenal saya dan saya tak kenal awak." Kenyataan itu aku ulang lagi walaupun hakikatnya aku tahu dia terlalu mengenali aku. Aku cuma mahu fahamkan dia, aku ada hati untuk dijaga. Dia menjongket kening kemudian tersenyum.


"Siapa cakap saya tak kenal awak. Malah saya ada semua maklumat fasal diri awak lengkap dalam ni." Dia mengeluarkan sekeping kertas maklumat tentang diriku yang lengkap sekali gambarku dari failnya. Terjegil mata aku melihatnya. Mana dia cekau aku punya maklumat ni? Apabila aku ingin merampasnya segera dilarikan dia sambil ketawa mengejek. Aku mengeluh sambil tersenyum kelat. Tak guna betul.


"Walaupun awak ada maklumat lengkap pasal diri saya tetap awak tak kenal siapa diri saya." Aku menembaknya dengan kenyataan itu. Hakikat palsu yang aku cipta untuk melindungi kerisauan aku. Dia merenung aku seketika.


"Apa yang cuba awak sampaikan kepada saya?"


"Tak ada apa. Saya cuma nak awak faham yang saya akan lebih berterima kasih kalau awak melayani saya seperti mana awak melayani rakan-rakan saya yang lain. Berurusan apabila perlu. Jangan hubungi saya tanpa sebab. Jangan pedulikan saya kalau saya ada masalah atau saya sedang berduka. Walaupun saya suka chocklairs, saya boleh beli sendiri. Jadi simpan duit awak untuk benda lain. Jangan ajak saya keluar walaupun awak minta orang lain tolong temankan. Walaupun berkali-kali saya tolak tapi awak sentiasa melakukan itu tanpa rasa bosan buatkan saya tertanya-tanya awak tak penat ke? Awak selalu belanja saya makan, carikan bahan assignment untuk saya dan segalanya awak dahulukan saya daripada orang lain. Awak buat saya macam awak sangat-sangat mengenali saya. Walaupun awak cakap awak sangat mengenali saya, saya nak nafikan juga hakikat tu. Sebab saya tak pernah kenal siapa awak. Setahun lebih ini, belum cukup untuk saya betul-betul kenal siapa awak. Tapi, realitinya macam mana baik layanan awak terhadap saya tetap awak tak kenal siapa saya. Dan saya tak nak awak kenali saya. Setahun lebih awak melayan saya macam ni saya rasa sudah terlalu cukup. Saya rasa terlalu lebih pula buatkan saya kurang senang dengan pandangan rakan-rakan dan saya rasa segan dengan awak. Jadi, boleh awak layan saya macam orang lain? Boleh kan?" Usai berkata panjang lebar, dia yang tenang, dia yang diam dengan gayanya, dia yang tekun mendengar kata-kataku, dia yang tak pernah mencelah dan membantah kata-kataku aku pandang. Terukir senyuman kecil di bibirnya seperti memahami kehendakku.


"Saya menjalankan tugas saya kerana amanah seseorang. Biarpun awak tidak kenal saya. Biarpun awak menyatakan saya tak kenal awak, tapi kenyataanya saya sangat mengenali awak. Tapi, bagi menghormati permintaan awak. As you wish, I will fill your favour." Dia memberi kata putus dan aku senang.


Saat itulah aku memilih untuk tidak terlalu bergaul dengannya walaupun berteman sekalipun. Nyata dia lebih memahami bahasa tubuhku dan kata-kataku, dia penuhi kehendakku. Kami melakukan haluan masing-masing. Dia dengan urusannya dan aku dengan urusanku. Kami hanya berurusan apabila perlu sahaja. Apabila kami berselisih atau bertemu masing-masing hanya melemparkan senyuman. Aku tebih terpesona dengan perawakannya yang menghormati prinsipku seperti ini. Walaupun dia menjauh, namun kehadirannya tetap terasa. Di kala aku senang dengan chocklairs, di kala aku resah menyendiri di perpustakaan mahupun di kala aku berduka teresak-esak sambil memberi kucing makan. Dia tidak muncul di depanku, tapi aku tahu dia memerhatikan aku dari jauh. Biarlah jika itu mahunya, sekurang-kurangnya dia menghormati permintaanku.


Fateh, aku nak sangat kau jadi jodoh aku. Adakah Allah akan perkenankan?


Biarpun sekental mana hatiku beku terpenjara, hakikatnya jauh di pojok hati sana aku bahagia kerana dia di sampingku. Aku tidak pernah menafikan rasa itu apatah lagi menidakkan kehadirannya. Siapalah aku hanya manusia yang terikat dengan fitrah. Malah sikapnya itu ada saja menguji hati. 


Fateh. Orangnya mesra dengan sesiapa sahaja yang dikenali. Sikapnya terbuka dengan semua orang. Penuh toleransi dan berhikmah mendepani pendapat yang bercanggah dengannya. Tidak pernah menjatuhkan hukum apatah lagi menamakan seseorang jika ada yang salah. Tenang dan ceria selalu, bibirnya tidak pernah lokek dengan senyuman seolah-olah hidupnya sentiasa nol daripada sebarang masalah. Ilmunya tidak pernah disimpan seorang, pemurah selalu mahu dikongsikan segala pengatahuan yang dia ada. Tak kekok mahu menjadi yang terawal menghulur bantuan. Tidak kira pelajaran, kewangan mahupun masalah peribadi. Perawakan yang mengundang senang, bagaimana tak tercuit hati yang rapuh ini


Dua tahun berlalu, tamatlah sudah program asasi yang diceburi. Kini aku di tahun pertama Ijazah. Masih di Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan, aku disibukkan dengan jadual sebagai mahasiswi Jurusan Pentadbiran Perniagaan. Dikelilingi wajah baru dan kenalan lama, aku sudah tidak asing dengan kehidupan di sini. Juga rasa yang semakin kembang mekar walaupun disangkar hati yang keras membeku. Itu hakikatnya. Bezanya, rasa ini bukan lagi satu halangan buat aku. 


Fateh masih di sini. Aku tidak terkejut dia turut memilih jurusan yang sama denganku. Entah kebetulan mahupun sengaja, aku tidak peduli. Dia ada mahupun tidak, matlamatku tetap bukan dia. Biarlah jika itu arah tujuan yang dipilih. Apa yang penting dia bukan lagi gangguan yang perlu aku tepis. Kerana aku tahu, sesungguhnya aku benar-benar menyintainya kerana Tuhanku. Walaupun aku boleh memilih untuk meluahkan rasa di hati, tapi aku kembalikan ianya kepada Tuhanku. Padaku bukan waktunya. Aku risau rasa ini memesongkan perancangan hidupku. Malah aku takut membuka harapan tapi di akhir nanti kami tidak pernah ditakdirkan untuk bersama. Kerana itu, soal rasa hati dan jodohku, sepenuhnya aku serahkan kepada Tuhanku. 


Dalam menyusuri hari-hariku aku semakin matang menguruskan hidupku. Walaupun kehadirannya berkali diusir dan ditepis hakikatnya dia mewarnai hari-hari aku serta mengajarku erti kehidupan. Dia mendidikku untuk lebih gigih menjaga hati ini. Kerana itu jugalah aku kini lebih berani. Aku mahu mencipta masa depan dengannya. Aku merancang hari-hari mendatangku dengannya tanpa pengetahuan si dia. Setelah matlamatku menghabiskan Ijazah serta berjaya menguruskan syarikat peninggalan arwah ayah dengan baik, sampai waktunya jika dia turut mempunyai rasa yang sama denganku kelak berjodohlah kami. Namun, semua itu hanya rancangan yang aku impikan. Yang aku simpan kemas di dalam hati aku dengan iringan berdoa moga perancangan takdir Tuhan merealisasikan impian ini.


*****


Aku kembali ke IIUM untuk meneruskan sem seterusnya bagi tahun yang ke tiga. Gundah-gulana perasaan aku semenjak bertolak pergi dari rumah banglo milik kami sekeluarga. Kini aku sendirian di kawasan taman rekreasi merenung nasib diri. Sudah kujangkakan kebebasan yang aku harapkan tak akan pernah aku dapat miliki. Aku memandang pada jari manisku yang dihiasi dengan cincin belah rotan. Simple tapi disebalik tanda itu terlalu berat bagiku menerima hakikat itu.


Fikirku kepulanganku cuti sem tempoh hari akan dihabiskan seperti kebiasaan rutinku jika pulang. Melayani kerenah Mak Ina yang semakin menjadi-jadi. Murni pula semakin liar perwatakannya, kadang-kadang lewat malam baru pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Aku hanya mampu beristighfar dengan sikapnya itu, penuh sabar bersihkan dirinya serta membantunya untuk tidur. Kerana aku tahu sekiranya Mak Ina tahu perbuatan Murni pasti teruk si puteri itu dikerjakan. Itu tidak menjadi masalah padaku, tapi sekiranya dia dikerjakan Mak Ina aku pula yang menjadi mangsa Murni untuk dilepaskan segala geram yang terbuku.


Hari-hari akhir cutiku yang disangka akan berlalu dengan aman tidak diduga akan tercemar ketenangan ini dengan paksaan Mak Ina yang tiba-tiba tanpa merisikku terlebih dahulu. Bukanlah permintaan mahupun pujukan, malah ugutan yang memaksaku mengambil keputusan yang bakal mengubah status hidupku secara mendadak. Walaupun aku sudah berani berkeras untuk tidak menurut kehendaknya, walaupun aku rela tubuh aku dipukul dan dihentam olehnya aku rela asalkan masa depanku tidak diatur oleh manusia lain! 


Namun, usahaku hanya sia-sia. Tiada siapa yang dapat membela nasibku apabila Murni dengan beraninya mengugut aku dengan menggunakan senjata tajam. Malah, dia mengugut berani untuk mencederakan dirinya dan Mak Ina sekiranya aku tidak menuruti suruhan mereka. Lalu aku akan dituduh cuba mencederakan mereka. Sekiranya melibatkan darah dan nyawa, malah demi mengelak celaka menjadi mangsa tuduhan tidak berasas mereka, aku tidak berkuasa untuk bertegas dengan suaraku. Sedangkan ketika itu hanya mereka bertiga di banglo itu, juga pisau dapur sudah awal-awal disua berani pada leher sendiri, apa yang boleh aku lakukan?


Pertunangan yang dirancang Mak Ina akhirnya terlaksana tanpa kerelaan aku. Rupanya aku ditunangkan dengan lelaki itu kerana dia satu-satunya pewaris orang paling kaya di kampung sebelah. Harta lagi yang menjadi penyebabnya. Tidak cukupkah apa yang bakal mereka rebut daripada aku nanti. Untuk apa harta yang melimpah ruah hanya demi kesenangan dunia sedangkan di Negara akhirat belum tentu penjaminnya. Semalaman aku menangis meratap nasibku. 


Kenapa tidak Murni sahaja yang dikahwinkan? Kenapa mesti aku? Bukan tidakku kenal lelaki yang ditunangkan denganku itu, Roslan anak penghulu kampung sebelah. Budak liar dan samseng tak ada hala tujuan. Berkali-kali juga aku melihat dia dan Murni sering mabuk pulang bersama. Lantas inikah lelaki yang tidak punya akhlak dan pendirian hidup ingin disatukan dalam hidup aku? 


Ya Allah, besarkah dosaku sehingga Kau mengujiku seperti ini?


Aku memandang kosong pada alam yang terbentang luas di hadapanku. Hatiku kosong tidak tahu mahu berbuat apa. Perancangan masa depanku, bakal musnahkah? Mataku kabur dilitupi air mata yang bila-bila masa akan mengalir. Rasa marah, kecewa, sedih, semuanya membuak-buak. Hujung kerusi batu aku genggam sekuat-kuatnya cuba mengawal amarahku. 


Tuhan.. aku tak kuat untuk kali ini. Sungguh, aku tersangat lemah berdepan dengan ujian ini. Apa yang perlu aku lakukan ya Allah. Aku tidak diberi pilihan menentukan hidupku ya Allah. Apakah aku hanya ditakdirkan untuk redha dengan ketentuan yang telah tersurat buatku? Apakah hikmah yang Kau ingin tunjukan kepadaku disebalik segala pengorbanan yang telah aku lakukan? Ya Rabbi, Ya Latif, Ya Rashid, Ya Hayyu Ya Qayyum... aku penat dengan dunia ini. Tersangat penat dengan sikap manusia yang terlalu cintakan harta dunia. Aku lelah dengan kebongkakan mereka yang terlalu obseskan kepentingan dan kesenangan sendiri. Lelah sangat...


"Aina?" Suara dia yang sangat ku kenali menyeru namaku. Aku tidak menyahutnya. Hanya membiarkan ianya berlalu. Kedengaran derapan langkahnya menghampiri. Mujur ramai di sini, ku mohon tiada fitnah yang timbul diantara kami.


"Ainaa..." Dia memanggil lagi. Terasa kelibatnya sedang berdiri pada hujung kerusi batu yang aku duduki. Pandanganku hanya kosong memandang ke depan.


"Aina pandang saya please." Dia memanggil dengan nada terdesak dan tegas. Kenangan di pantai suatu ketika dulu mendengah di ingatan. Terkenang aku akan usahanya cuba menenangkan aku di sana. Adakah dia berniat mengulangi perbuatannya itu. Mahu memujukku? Akan terpujukkah aku? Namun panggilannya kubiarkan bagai angin lalu.


"Awak ada masalah?" Dia bertanya penuh perhatian menjentik kalbuku. Sebak yang tertahan semakin menguasai diriku. Perlahan air jernih turun membasahi pipiku. 


Tolong Fateh, bukan awak yang saya perlukan sekarang ini. Siapapun awak, bagaimanapun awak tolong saya, takdir saya tiada siapa yang mampu mengubahnya. Jadi, tolong tinggalkan saya sendirian.


"Tangan dan muka lebam kenapa? Mak awak pukul awak lagi?" Aku terpana lagi dengan serkap jarangnya yang tidak pernah salah. Bagaimana sebenarnya dia boleh tahu tentang hidup aku? Tentang penyebab segala luka dan lebamku? Adakah dia mengawasi siang dan malamku bagai perisik upahan? Ingin sekali aku bongkarkan daripada mana tahunya dia akan semua ini. Tapi ego aku mahu terus membisu, mengunci mulutku daripada meluahkan keinginan hati. Aku diam tidak berkutik dengan deraian air mata membasahi pipi.


"Saya dengar awak dah tunang. Kenapa awak tak beritahu saya?" Kali ini aku benar-benar terpana mendengar persoalannya itu. Spontan aku memandangnya dengan wajah sembap. Dia kelihatan tersenyum kelat, matanya sayu memandangku berdiri statik dengan tangan di poket. Perlahan aku bangun dari dudukku berdepan dengannya. Mata yang kabur dek air mata aku kesat dengan tanganku.


"Macam mana awak tahu?" Aku bertanya inginkan kepastian. Dalam hati berdebar bagai mahu meletup. Sesungguhnya, antara orang yang paling ingin aku hindari daripada mengetahui berita ini adalah dia. Aku tidak pernah beritahu siapa-siapa akan hal ini hatta Anisa sekalipun. Tapi dia, tanpa bicara sepatah daripadaku dia sudah mengetahui letak duduk statusku kini.


"Saya dah cakap, saya sangat mengenali awak. Awak tak akan dapat sembunyikan apa-apa pun daripada saya. Hanya awak sahaja ayang tak tahu siapa saya." Segaris ayat itu membuatkan aku bertambah sebak. Tercebik-cebik bibirku menahan tangis yang bila-bila masa akan berderai. Mahu sahaja aku meraung sekuat hati. 


Tuhan.. kenapa dia? Adakah ini caranya, petanda dari-Mu bahawa dia bukan jodohku yang begitu aku harapkan. Benarkah? Aku menekup telingaku rapat, sedaya mungkin menidakkan kenyataanku itu. Bibir bawahku digigit geram cuba mengawal suaraku yang mula dikuasai tangisan.


"Menangislah Aina. Jangan ditahan. Pedulikan saya di sini." Kata-katanya semakin mengundang sebak. Aku terjelopok tak berdaya, jemari rapat menangkup wajahku yang kian basah. Air mataku laju mengalir tanpa suara. Tiba-tiba, satu sapu tangan disua kepadaku. Masih sapu tangan itu, sapu tangan kecil yang berwarna biru. Aku membiarkan hulurannya tidak bersambut.


"Awak jangan paksa saya buat macam mana saya buat dekat awak dulu." 


Hish dia ni! Jangan nak paksa-paksa boleh tak. Aku tak nak! Tak nak la. Tadi suruh aku nangis, sekarang paksa aku ambil sapu tangan dia pula. Hatiku makin berdongkol dengan sikapnya itu. Sebenarnya aku hanya ingin dia pergi. Aku tak mahu dia melihat aku yang lemah begini. Aku ingin sendiri, aku tak nak sesiapa menemaniku walaupun dia menawarkan diri. Aku mahu sendiri Fateh. Tolonglah faham.


Lama aku mendiamkan diri membiarkan tangisan membasahi pipiku. Dia menghampiriku lalu tiba-tiba bertinggung di hadapanku. Tidak terjangka dia berani mengotakan kata-katanya, lembut dia mengelap air mataku yang tidak mahu berhenti. Risaukan pandangan salah faham orang keliling, kasar tangannya aku tepis lalu berdiri. Dia tidak berkata apa-apa turut bangun berdiri. Lunak matanya menikam pandanganku yang penuh beremosi.


"Boleh tak awak faham saya. Bila saya diam maksudnya saya memilih untuk tidak menjawab. Bila saya diam maksudnya saya nak bersendirian. Jadi, tolonglah tinggalkan saya seorang diri! Jangan ganggu saya. Tolonglah pergi! Pergi dari hidup saya! Saya tak kenal awak! Jadi pergi!" Lantang amukanku dilepaskan padanya. Amarah dan sedih yang terbuku di dada akhirnya menjadikan dia mangsaku untuk dilepaskan. Dia hanya kaku berdiri mendengar amarahku. Teresak-esak aku menangis tidak mampu dikawal lagi. Beg sandang yang diletakkan di atas kerusi aku rembat kasar lalu berjalan pergi meninggalkan dia. 


Maaf Fateh, cukup sampai di sini kau tahu mengenai aku. Aku tak mahu berikan harapan lagi buat diri aku. Cukuplah cerita kita berakhir di sini. Aku doakan kau bahagia dan aku akan berusaha untuk sentiasa bersangka baik dengan Penentu Alam ini, agar aku redha dengan segala yang diatur-Nya.


---Sahabat, di saat Allah mampu menjadikan planet-planet bergerak serentak mengikut paksinya, saat air sungai dengan patuh mengalir mengikut suruhan Ilahi, di saat siang dan malam tak pernah terlupa untuk ikuti aturan-Nya. Semuanya bukti bahawa Yang Satu itu sebaik-baik perancang. Jadi, janganlah berputus harapan kerana ujian yang begitu sedikit diberikan oleh Sang Pencipta. Sedang dirimu dikabur rasa kesal dengan sengsara yang bertimpa-timpa, kembalilah menghitung nikmat yang telah Dia berikan buat kita. Yang tidak pernah kita bersyukur dengan-Nya.


Mungkin agak lucu dengan kenyataan 'nikmat' yang saya coretkan. Kerana hidup awak tak pernah mengecapi nikmat kebahagiaan seperti insan-insan lain. Tapi, bersyukurlah Aina awak insan terpilih. Jangan awak biarkan kesulitan dan penderitaan yang awak alami membuatkan awak berputus asa dengan rahmat Yang Esa. Awak sepatutnya gembira Allah memilih awak menyusuri kesusahan hidup ini. Sekiranya saya diberi pilihan, awal-awal lagi saya menolaknya kerana saya tahu saya tak mampu. Tapi ingatlah, saat kita memikirkan kita yang insan paling malang berdepan dengan ujian Tuhan, hakikatnya di luar sana lebih ramai yang hidupnya lebih malang daripada hidup kita.


Bangkitlah Aina, jangan awak seksa diri awak dengan sikap murung awak hanya kerana apa yang telah tersurat buat awak. Jangan sia-siakan usaha awal untuk menghabiskan pengajian di sini terhenti separuh jalan kerana ujian yang mendatang. Datanglah ke kuliah supaya awak tak tenggelam dengan emosi putus asa, berbicaralah dengan rakan sekurang-kurangnya beban awak dapat dikurangkan, datanglah ke majlis-majlis talaqqi seperti selalu, jangan pernah merasa awak sendirian di dunia ini. Awak dikelilingi teman-teman yang siap membantu awak untuk bangun. Sedarlah, Allah sedang menyiapkan awak menjadi setabah-tabah manusia Aina. Yakinlah dengan Dia, Dia sebaik-baik perancang.


Aina, bangkitlah sahabatku. Jadikan keteguhan hatimu ini sebagai bukti untuk awak bebas daripada penjara manusia. Buktikan kepada mak dan kakak tiri awak yang awak boleh hidup biarpun ditindas mereka. Tunjukan pada mereka yang awak kuat! Awak tabah. Jika beginilah sikap awak, awak telah berikan kemenangan kepada mereka sebelum waktunya. 


Harapanku Aina, kembali menjadi gadis bersemangat waja penuh cita-cita. Berhenti berserah pada takdir tanpa berusaha. Awak perlu pertahankan hak awak, jangan biarkan orang lain menindas kebebasan awak. Cukuplah berkorban demi orang lain. Berkorban sememangnya bagus. Tetapi sehingga menindas diri sendiri, itu sudah melampaui batas. Perubahan nasib awak ada pada awak, meminta sahaja tak cukup melainkan awak sendiri yang bertindak. Jangan menyerah sebelum perjuangan sebenar belum bermula. 


Bangkitlah mutiara duniawi, 
Jadikan dirimu semulia bidadari, 
Biar derita peneman diri, 
Tetap Tuhan permilik hati. 


Jadi, kuatlah Aina. Saya ada untuk awak. Dan Allah sentiasa ada untuk awak.


Fateh---


Aku melipat lipatan surat yang aku terima daripada dia. Ternyata keadaanku sentiasa dilaporkan kepadanya. Aku merenung ke luar jendela, memikirkan dia. Ah Fateh, kau masih begitu. Tetap aku yang dirisaukan kau. Kenapa Fateh? Kenapa kau masih nak tolong aku? Kenapa Fateh? Kau tahu tak sikap kau ni buatkan aku bertambah susah mahu melupakan kau. Aku cuba menerima takdir aku. Aku cuba terapikan diri aku dengan bersendirian. Tapi warkah ini buatkan hatiku kambali berdetak kerana kau! Aku mengusutkan rambutku yang mengurai lantas menyembamkan kepalaku ke atas meja. Serabut!


Warkahnya kembaliku buka dan kubaca. Cuba memahami setiap pesanan yang dicoretnya, setiap patah perkataan aku baca berulang kali. Hatiku sayu, sangat tersentuh dengan mesejnya. Dia sangat memahami aku. Dia sememangnya tersangat mengenali siapa aku. Siapa kau sebenarnya Fateh? Kenapa kau tahu segala-galanya tentang diri aku? Siapa kau?


Aku istighfar berulang kali. Syaitan bersorak melihat orang yang berputus asa dengan rahmat Tuhan. Allah hanya menguji kau sekecil pasir di pantai kau sudah jatuh. Lantas bagaimana untuk kau perjuangkan agamanya. Redhalah dengan ketentuan Ilahi, Aina. Berpeganglah pada janji Allah. Allah tidak akan menguji hamba-Nya sekiranya hamba-Nya tidak mampu. So, wake up Aina. Ingat matlamat utama hidup kau. 


Redha Allah target utama kau. Menjadi yang berilmu itu cita-cita kau. Kehidupan ini sebagai jambatan terbesar kau. Takdir yang tersurat ini hanyalah cabaran untuk kau capai apa yang kau impikan. Jadi, jangan putus asa Aina!


Saat duka menguasai diri. Jangan lupa kalam Allah menanti untuk dibaca. Luahkan segalanya pada-Nya. Allah yang aturkan hidup kau Aina. Dia mampu menentukan, Dia juga mampu mengubahnya. Jadi, redha dan redha. Biarkan manusia menindas tapi jangan tangan sendiri menindas. Dengan semangat dan azam yang terasa diisi, aku melangkah ke bilik air untuk berwuduk. Kala duka singgah dihati, carilah Tuhan tenangkan diri.


Semenjak hari itu, aku susuri hari-hariku dengan penuh semangat. Tiada dia, tiada siapa yang menjadi penyebabnya melainkan Tuhanku. Aku redha, itu kunci kebahagiaan untukku walau dalam derita sekalipun. Dia juga walaupun kami tidak lagi seakrab dulu, aku tahu dia sering bertanyakan diri aku melalui rakan-rakanku. Dia tetap dia, sentiasa memantau keadaanku. Biarkanlah dia, asalkan dia hormat pendirianku untuk tidak terlalu mendekat itu sudah memadai. Biarlah siapapun dia. Dia adalah sejarahaku. Masa depanku yang mencabar sedang menantiku. Jadi, aku tiada masa untuk bermain dengan perasaan. Aku perlu siapkan diriku supaya kuat dengan dugaan dan cabaran yang mendatang. Sekiranya dia jodohku, Allah akan satukan kami juga. Kun fa ya kun.

*****

Setelah memiliki segulung Ijazah selepas empat tahun berjuang, aku pulang dengan perancangan dan tekad. Tempoh setahun sebelum usiaku menjangkau 25 tahun, akan aku gunakan sebaiknya untuk menundukan dominasi dan ketamakan Mak Ina dan sekutunya. Pulangnya aku dari graduasi, aku langsung berkonfrontasi dengan Mak Ina. Tegas aku mendatangkan syarat-syarat yang perlu mereka laksanakan jika mereka benar mahu mengambil alih peninggalan harta pusaka ayah. Jika mereka ingkar syaratku, akan aku pastikan tiada satu sen pun bakal masuk ke poket mereka. Lalu menurutlah mereka akan kemahuanku itu memandangkan kuasa yang ditunjukan selama ini sudah tidak berguna lagi ketika itu memikirkan undang-undang menjadi buah caturku. Tiada daya juga mahu memberontak kemahuanku itu kerana mereka tahu, aku pewaris sah. Kata-kataku bukan ugutan kosong. Walaupun tidak suka dengan cara ini, aku tetap gunakan syarat-syarat wasiat ayah sebagai cara menundukkan mereka.

Sebelum ini aku disembunyikan Mak Ina daripada mengetahui hal berkaitan dengan wasiat dan syarikat ayah. Kerana itu dia bebas mengawal hidupku. Setelah bertemu dengan Tuan Hamid dulu, dijelaskan segalanya-galanya cubaan Mak Ina menggunakan aku untuk mendapatkan harta ayah lebih awal daripada waktu yang ditetapkan. Mak Ina mahu menggunakan ketidaktahuan aku akan urusan pusaka keluarga untuk mengubah status hak milik sepenuhnya kepada mereka. Tidak hairanlah Mak Ina mahu menghalang aku melanjutan pelajaran. Jika aku tidak berilmu dalam dunia ekonomi dan perniagaan, lagi senanglah mereka mengawalku. Malah Murni turut dihantar ke universiti untuk belajar jurusan yang sama. Kononnya mahu menjadikan Murni itu orang yang lebih layak mengambil alih syarikat ayah lantas lebih melayakkan mereka memboloti semua harta pusaka yang lainnya. Ah licik sekali mereka! Mujur wasiat ayah tegas menyatakan tiada sebarang pindaan dan perubahaan hak milik boleh dilakukan sebelum sampai umurku seperti yang ditetapkan.

Aku tahu, tunduk Mak Ina berbisa diamnya. Kerana itu surat perjanjian rasmi aku minta Tuan Hamid sediakan demi mengharapkan kepatuhan Mak Ina dan sekutunya tanpa ada permainan kotor di lain hari.

Di dalam perjanjian rasmi itu menyatakan, setelah aku menandatangi surat pengesahan pewaris kepada wasiat ayah pada hari lahirku yang ke-25, harta ayah akan dibahagikan sesuai dengan hukum faraid. Bahagian faraid ku juga separuh daripadanya akan aku serahkan kepada Mak Ina. Semua aset yang arwah ayah berikan padaku akan menjadi hak milik Mak Ina. Banglo akan aku gantikan namaku kepada Mak Ina. Perpindahan semua relung-relung tanah yang diserahkan bawah namaku turut akan aku serahkan kepada Mak Ina. Dan perpindahan hak milik syarikat serta share aku di syarikat dipindahkan semuanya kepada Mak Ina. Malah mereka akan disediakan pembantu rumah terbaik memandangkan aku akan meninggalkan banglo tersebut setelah selesainya semua urusan pindahan hak milik. 

Demi menjayakan pemindahan hak milik senarai harta yang tertera, Mak Ina dan sekutunya perlu menuruti segala kemahuanku. Tiada sebarang niat mahu merampas harta warisan dengan paksaan. Menjauhi sebarang cubaan mencederakan dan berlaku kasar. Serta bersikap baik dan membantu menguruskan urusan rumah tangga dengan lancar.

Sebagai balasan, aku juga perlu bersikap baik terhadap mereka. Tiada sebarang niat mahu merampas harta mereka dengan paksaan. Menjauhi sebarang cubaan mencederakan dan berlaku kasar. Bertoleransi dan membantu menguruskan urusan rumah tangga dengan lancar. Dan pembantu rumah yang dijanji akan melapor masuk dengan segera serta aku tidak akan mendiami di banglo sepanjang tahun itu sebagai jaminan perjanjian.

Maka perjanjian rasmi yang ditandatangani aku, Mak Ina, Murni dan Tuan Hamid berkuatkuasalah ia bermula saat itu bertempohkan setahun panjangnya. Jika terdapat sebarang syarat perjanjian yang dilanggar, pesalah akan dikenakan tindakan sesuai dengan hukuman undang-undang dengan serta-merta. Walaupun agak tegas dengan pendirianku kali ini, tapi memikirkan Fateh yang berkali-kali menasihatiku untuk menentukan hidup aku sendiri maka ini jalannya setelah istikharah yang panjang.

Walaupun Tuan Hamid sebagai peguam ayah seringkali menasihati tindakan aku ini, tapi aku tetap melakukannya. Mereka ingin semua ini, jadi aku bagi. Sekiranya harta yang menjadikan bahagia buat mereka, ambilah semuanya. Aku tidak perlukan semua ini untuk kebahagiaan aku. Aku hanya perlukan kebebasan, itu sahaja. Aku juga awal-awal telah berbincang dengan Tuan Hamid untuk pergi dari sini. Setelah selesai urusan pindahan hak milik nanti aku akan pergi jauh daripada mereka, jauh daripada orang yang aku kenal. Semuanya aku serahkan kepada Tuan Hamid untuk menguruskan penempatanku nanti. 

Maka terputuslah pertunanganku dengan Roslan. Pembantu rumah yang terbaik daripada pihak imegresen telah sampai dan telah mula berkhidmat buat mereka, dua orang pula tu. Aku juga sudah berpindah keluar dari banglo dan tinggal di rumah sewa yang dicarikan Tuan Hamid berdekatan dengan syarikat demi memudahkan aku ke sana. Cumanya, aku akan kembali semula ke banglo tersebut pada hari terakhir perjanjian untuk menyelesaikan urusan yang perlu.

Hari ini merupakan hari lahirku yang ke-25. Seperti yang telah aku sedia maklum, hari ini aku bertemu dengan Tuan Hamid bagi memenuhi wasiat pusaka arwah ayah. Setahun lalu aku menamatkan Ijazahku, aku terus disibukan dengan selok-belok syarikat ayah. Itu syarat Tuan Hamid jika mahu melayakkan aku menerima wasiat. Kini setahun sudah berlalu, sudah waktunya aku mengambil alih posisi ayahku sebagai pengarah syarikatnya. Enam tahun menimba ilmu demi kerusi ini, akhirnya aku di sini. Walaupun bertungkus lumus demi melayakkan aku mengambil alih syarikat ayah, akhirnya semua ini akan bertukar status milik tidak lama lagi. Kerana itulah yang diimpikan manusia tamak seperti mereka. Tidak mengapa, ambilah jika itu yang dimahukan mereka. Mahuku hanya kebebasan dari sini.

Setelah menandatangani dokumen pengesahan pewaris kepada wasiat ayah, serta menandatangani juga dokumen penyerahan hak milik senarai harta yang telah tertera dalam perjanjian setahun yang lalu, aku memulangkan kepilan kertas itu kepada Tuan Hamid. Mak Ina dan Murni sebagai saksi kelihatan bersilau mata mereka melihat pada angka yang bakal mereka miliki. Aku hanya mampu mengeluh dalam hati. Manusia, apalah adanya pada harta? 

Seminggu itu, mereka sibuk berulang alik ke pejabat guam, pejabat tanah, mengadakan mesyuarat ahli lembaga syarikat dan sebagainya. Sekejap sahaja pengesahan pemindahan hak milik aset, rumah, tanah, syarikat dan share aku di syarikat dengan rasminya menjadi milik Mak Ina berjaya dilakukan. Bersaksikan Tuan Hamid, penyerahan dokumen bertukar milik. Aku tahu Mak Ina bakal menghalauku bila-bila masa sahaja setelah pertukaran hak milik dilakukan. Mujur masih berbaki beberapa hari sebelum perjanjian setahun tamat dengan serta merta. Jadi, Mak Ina masih terikat dengan perjanjianku untuk bertindak sewenangnya. Selagi aku belum secara rasmi keluar dari banglo itu, aku masih terselamat daripada sebarang ancaman.

Memandangkan semua urusan telah selesai dengan lancar, aku tidak mahu berlengah lagi mahu berlama-lama di banglo itu. Esok pagi aku akan bergerak pergi dari sini, destinasinya telah Tuan Hamid tentukan dan dia akan menjadi pemanduku esok. Setelah mengemas segala barang milikku, aku keluar dari bilik kecilku untuk membasahkan tekak yang kering. Tetapi langkahku yang ingin pulang ke bilik terhenti mendengarkan perbualan Mak Ina dengan Murni.

“Mak, tak kan nak biarkan perempuan tu pergi macam tu saja.” Rengekan Murni kedengaran jelas di pendengaranku. Aku bersandar pada dinding mahu mencuri dengar perbualan mereka.

“Kau ingat mak akan biarkan perempuan tak guna tu terlepas macam tu sahaja.” Sepertinya kebencian Mak Ina terhadapku belum lagi bersurut. Aku mengeluh kecewa dengan layanan Mak Ina yang sampai ke sudah tidak berubah.

“Jadi mak ada rancangan ke?” Teruja suara Murni bertanyakan Mak Ina. Aku dekatkan lagi telingaku ke dinding.

“Mestilah la otak aku ni sentiasa bergeliga. Mak dah rancang dengan Roslan untuk jual dia dekat tauke besar KL. Esok, Roslan dengan budak-budak dia akan culik perempuan tu selepas dia keluar dari rumah ni. Mak dah cakap dengan Roslan suruh cari perempuan sundal tu sampai ke lubang cacing sekalipun. Asalkan perempuan tu kena jual! Kalau dia degil sangat, rogol sahaja ataupun bunuh terus. Mayat dia pandai-pandai Roslan uruskan. Hal duit beres, semuanya milik kita sekarang ni. Untung berduit ni, apa yang kita nak semua jalan. Nak kuasai dunia pun boleh.” Mak Ina berseringai.

“Tak kejam sangat ke mak?” Murni bertanya lebih kepada mengejek. Realitinya suaranya menjerit keriangan mendengar rancangan kejam Mak Ina itu.

“Lantak dia. Asalkan aku puas, dulu mak dia yang buat aku menderita. Sekarang anak dia terbalas, aku puas. Lepas segala dendam kesumat aku.” Berdecit Mak Ina sambil mengetap gerahamnya pernuh geram. Aura amarah dan dendamnya tidak tersembunyi lagi. Bergema ruang tamu itu denggan seringai hilai tawa dua beranak berhati busuk itu. Malah mereka saling bertepuk tangan bersorak dengan rancangan jahat mereka.

BAMM!

Bagi dipanah perit, hancur luluh hati aku mendengarkan rancangan busuk Mak Ina. Terduduk aku ke lantai merintih dengan sikap manusia yang tidak berubah. Tuhan, kenapa mereka terlalu membenciku? Kenapa Ya Allah? Besarkah dosaku terhadap mereka. Sehinggakan aku menyerahkan segala-galanya kepada mereka  sekalipun, kebencian mereka terhadapku masih terbakar membara. Tidak menunggu lama, bilikku terjah. Telefon bimbit aku capai lantas nombor Tuan Hamid aku hubungi. Hanya beberapa tone, panggilanku berangkat.

“Assalamualaikum Aina.”

“Waalaikumussalam. Pak cik, esok sebelum subuh datang ambil Aina! Segera tau pak cik! Aina nak cepat-cepat pergi dari sini.” Dengan teresak-esak aku meminta. Tanpa menunggu balasan daripada Tuan Hamid, panggilan aku putuskan. Dalam ketakutan yang menguasai diri, aku cuba tenangkan dengan berkali-kali bertasbih dan berzikir. Aku berbaring di katil cuba untuk tidur. Cukup mereka merancangnya, aku tidak akan biarkan perkara itu terjadi!

*****

Sebelum subuh kami sudah bertolak pergi. Tanpa pamitan aku bergegas meninggalkan rumah agam itu bersama isinya. Hanya pesanan aku titipkan buat pembantu rumah supaya disampaikan kepada Mak Ina. Agak jauh dan yakin tiada siapa menyedari peninggalanku, aku meminta Tuan Hamid singgah di surau Asy-Syakirin. Azan Subuh telah berkumandang, tidak elok pula rasanya berlalu tanpa menunaikan kewajipan dahulu. Setelah menunaikan solat, wirid dan mendengar kuliah Subuh yang disampaikan aku mula mengatur langkah untuk meninggalkan negeri ini. 

Keluar sahaja dari surau, langit sudah kelihatan cerah. Mungkin terlalu asyik mendengar kuliah sehingga lupa niatku untuk pergi. Aku bergerak ke arah kereta yang diparkir agak jauh dari surau. Surau telah pun kosong tetapi kelibat Tuan Hamid tidak kelihatan. Mungkin menantiku di dalam kereta, aku meneruskan langkah. Kereta yang berkunci mengundang aneh. Ke mana pak cik pergi? Aku bersandar pada pintu kereta sementara menanti kehadiran Tuan Hamid. Tetapi suara derapan langkah dari semak membuatkan telingaku tegak. Jantungku mula berdegup kencang tidak sedap hati mengingatkan perbualan Mak Ina dan Murni semalam.

Melihatkan sahaja kelibat beberapa orang di sebalik rimbunan pokok aku tahu aku tidak selamat. Adakah mereka sudah lama mengekoriku? Adakah mereka awal-awal lagi menunggu aku bertolak keluar dari rumah? Oh Tuhan! Selamatkan aku. Mahu meminta tolong, surau itu sudah lengang tanpa penghuni. Tuan Hamid juga tidak kelihatan kelibatnya. Tanpa menunggu, aku berlari sekuat hati pergi dari situ. Telahanku tepat, mereka sudah lama menanti peluang. Aku sasaran mereka!
Tanpa arah tujuan, kakiku laju berlari. Surau  Asy-Syakirin berdekatan dengan pantai tapi jauh dari rumah-rumah orang kampung. Di pagi hening begini, tiadalah orang yang lalu-lalang di kawasan itu mahu diminta tolong. Entah ke mana kakiku melangkah, tahu sahaja pantai menjadi destinasiku. Mataku liar mencari-cari tempat untuk sorokkan diri. Tapi langkahku pendek, lelahku pula mula menyerang. Inhalerku pula tiada di tangan untuk membantuku bernafas. Cemas dan mengah, tak terlihat akar kayu di tanah lalu tersadung aku menyembah tanah. 

Suara gelak tawa manusia hina semakin seronok memekik. Seronok mereka mengingilingiku dan cuba menyentuh setiap inci tubuhku penuh nafsu. Gentar di hati usah dikata, hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya hatiku. Bagai serigala menemui mangsanya, kasar mereka mahu mengheretku. Sedaya mungkin aku meronta untuk melambatkan usaha mereka membawaku pergi akhirnya menerima tamparan kuat daripada tangan durjana mereka. Hampir pitam aku dibuatnya.
Saat tubuhku dilemparkan dengan kasar ke kawasan semak, aku menahan senak perutku diperlakukan begitu. Cuba mengatur nafas yang kian lelah, aku tegarkan diri untuk terus sedar. Apapun yang berlaku, aku perlu pertahankan maruahku. Aku tak akan biarkan mereka menyentuhku walau seinci. Melihatkan Roslan yang mula bertindak ghairah terhadapku, aku meronta lagi. Dia yang cuba menindihku, aku tendang perutnya tanpa belas kasihan. Aku tahu dia senak tapi aku tak peduli. Dia yang sedang menahan sakit memberi peluang kepadaku untuk cuba melepaskan diri. Konco-konconya yang sedang terleka tidak sempat menahan dengan tindakan pantasku. Aku berlari sekuat hati di persisiran pantai.

Teringatkan kata-kata Mak Ina yang menyuruh mereka membunuhku sekiranya aku melawan, fikiranku mula tidak rasional. Ombak pantai yang menghempas kasar membuatkan aku tidak mampu lagi berfikir. Air mata sudah membasahi seluruh wajahku. Kakiku sudah penat untuk berlari sedangkan mereka di belakang masih mengejarku penuh semangat. Nafas yang kian sesak menyebabkan aku tercekik lalu rebah melutut ke tanah. Tenagaku kering sepenuhnya. Tanpa belas kasihan, aku yang dikejar dicekik kasar. Roslan yang berang dengan perbuatanku tadi dengan kejam melayangkan penumbuknya pada wajahku. Tiada daya yang bersisa untuk melawannya, aku pasrah dijadikan tempat tumbuk terajang.

Dikuasai amukan amarah, Roslan mengeluarkan pisau lipat dari poketnya lalu diacukan pada leherku yang terdedah akibat tudungku yang entah ke mana melayangnya. Seperti tahu aku tidak berdaya lagi, konco-konconya diarah supaya melepaskan aku. Aku berdiri tidak bermaya. Sambil bermain-main pada lipatan pisau yang tajam, Roslan mengelilingiku dengan ketawa durjana. Dia mendekatkan wajahnya pada leherku bercumbu ghairah. Terasa jijik dengan lakunya, aku menolak tubuh Roslan dengan sekuat hati. Pisau di tangan Roslan segera aku rampas.

“Ini yang korang nak kan! Korang nak aku matikan! Sekarang aku tikam diri aku sendiri. Puas hati korang!” Dengan bersuara lantang aku berkata kasar sambil meninggikan hujung pisau lalu kutikam pada dada kiriku. Mereka yang terkejut dengan tindakan beraniku lantas melarikan diri.

Tidak cukup dengan tikaman itu, kudrat yang ada aku mengheret langkahku ke arah hempasan ombak. Sekiranya aku mati, biarlah mayatku dibawa pergi arus laut. Biarlah jasadku tidak berkubur. Tiada siapa yang perlukan aku. Melawan hempasan ombak yang kasar, aku terus mengheret diriku jauh ke dalam laut sehingga kaki aku tidak mampu lagi berpijak pada pasir. Nafasku semakin sesak, kesakitan yang menyucuk semakin mencengkam. Terasa degupan jantungku semakin lemah.

Tiba-tiba tubuhku terasa melayang ditarik seseorang kembali ke daratan. Sisa nafas yang ada aku cuba kuatkan melihat siapa yang cuba menyelamatkanku. Tolong! Tolong biarkan aku mati di sini! Aku tidak perlukan sesiapa untuk menyelamatkan aku!

Apabila kakiku menjejak ke tanah, aku menolak si dia yang mengheretku ke daratan. Walaupun kabur tapi aku tahu, aku kenal wajah cina itu. Dia orang yang aku doakan menjadi jodohku. Tapi, aku tak perlukan dia. Aku lebih rela mati! Dia terlepas pegangan tanganku apabila aku merentapnya. Tanpa menghiraukan dia yang menjerit namaku, aku terus heret diriku kembali ke pantai. Namun, dia pantas menarik aku kembali.

“Lepaskan aku! Aku nak mati saja! Orang semua bencikan aku!” Aku meronta-ronta lagi. Kesan tikaman semakin terasa. Kepalaku semakin berpijar.

“Aina! Awak sedar tak apa yang awak cuba buat ni?” Dia turut menjerit cuba menyedarkan aku. Kami bergelut dengan sikap degilku untuk kembali ke laut.

“Aku nak mati! Kau pergi! Aku tak kenal siapa kau! Kau tak kenal siapa aku! Jadi lepaskan aku! Aku nak mati!” Aku terduduk akibat kudrat yang semakin melumpuh. Walaupun begitu, aku cuba merangkak untuk kembali ke laut. Dia sepertinya geram dengan sikap degilku, mencempungku jauh dari pesisir pantai. Melihatkan aku semakin pucat tidak berdarah, dia cemas membaringkan aku di pasir. Menempuk pipiku berkali-kali. Nafasku sudah pun nyawa-nyawa ikan membuatkan mataku rapat terpejam. Dalam separuh sedar aku berkata kepadanya sambil cuba bergerak.

“Tolong lepaskan aku.. aku nak mati.” Dengan nada yang lemah aku berkata. Aku yang disandarkan pada dadanya tidak mampu lagi bergerak. Bunyi hempasan ombak tidak lagi aku kedengaran. Darah yang membuak bercampur air laut membasahi lukaku semakin menambahkan rasa perit. Kesakitan yang tidak mampu lagi aku tanggung membuatkan aku tidak lagi sedarkan diri. Yang aku tahu, tubuh aku erat dipeluk dia membuatkan aku tenang menutup mata.
*****

Dunia gelita yang kufikir akan di sana selamanya ditarik pergi. Saat suara memanggil-manggilku kian jelas di pendengaran. Perlahan mataku buka daripada lenaku yang panjang. Aku disambut wajah-wajah kabur yang kurang jelas di mata. Aku kembali pejamkan mataku, dahiku berkerut memikirkan keberadaanku. Setelah sedar, spontan tanganku menekup dada kiri. Perit di situ masih terasa. Melihatkan tiub yang berbirat dicucuk ke tubuhku, ditambah pula luka di dada kiriku kemas dibungkus balutan kain anduh, tahulah aku sedang di hospital.

Terasa bahuku disentuh, aku berpaling ke kanan. Wajah sembap Anisa menyapa pandanganku. Tersebik dia diiringi jejeran air mata. Jemari gadis itu aku genggam erat sambil memaksa bibirku pucatku tersenyum nipis, cuba menenangkan rakan baikku itu. Pasti risau sekali dia memikirkan keadaan aku. Di samping Anisa, Tuan Hamid dan Fateh turut ada di situ. Kedua-duanya tiada senyum di pamer. Serius air muka kedua-duanya melihat keadaanku.

“Air…” Lemah suaraku meminta pada Anisa tapi Fateh yang terlebih dahulu mencapai air mineral di kabinet lalu membantu aku meneguknya.
Anisa pula, sedari aku siuman tidak terlepas tangannya memelukku erat, berderai tangisannya membasahi bahuku. Tak kurang juga mulutnya yang becok memarahi tindakan bodoh aku. Aku hanya tersenyum kecil membalas pelukan dia. Gadis itu aku pujuk tenang.

Kenyataannya, aku tidak gembira dengan keadaanku kini. Kenapa Allah masih memberikan peluang untukku bernafas sedangkan aku sudah tidak sanggup lagi meneruskan penderitaan hidup ini. Aku bukan nabi, aku bukan wali, aku bukan syuhada’, aku bukan srikandi, aku bukan mujahadah, aku bukan golongan mulia, aku hanya hamba lemah lagi hina. Tak selamanya aku mampu menjadi manusia yang sabar dan redha dengan ujian-Mu. Aku takut andainya aku tidak mampu lagi menanggung semua ini, hatiku menyalahkan Tuhanku. Aku takut sangat. Nauzubillah.

“Aina macam mana? Dah rasa okey? Masih rasa sakit lagi.” Tuan Hamid prihatin bertanya. Wajah yang sudah separuh abad itu aku pandang. Kerutan kerisauan masih terpancar jelas pada air mukanya. Kalau ayah ada, beginikah reaksinya?

“Pak cik jangan risau. Aina dah rasa okey.” Dengan lemah aku menjawabnya.

“Please Aina. Jangan pernah buat macam ni lagi. Jangan pernah fikir Aina sendirian di dunia ini, sayang. Pak cik sentiasa ada untuk Aina. You’re my precious daughter, honey. I love you so much. I don’t want to lose you. I’am always here for you. So please, never do that again. Promise?” Serak suaranya berkata menggambarkan kesedihan di hatinya. Kepalaku diusapnya penuh kasih. Mataku berkaca menahan sebak. Betapa hatiku sangat meronta mahu memeluk lelaki itu. Aku sangat rindukan hangatnya pelukan seorang ayah.

“Aina minta maaf pak cik. Aina janji tak buat lagi.”
Fateh masih kaku berdiri di sisi katil. Tiada sepatah yang meluncur dari mulutnya sedari aku siuman. Bibirnya melorot jatuh, dahinya berkerut, matanya tajam tidak berkelip memerhatiku. Mata kami bertaut tanpa suara. Banyak yang mahu aku katakan padanya. Mahu terima kasih atau meluah kesal? Mengapa dia di sana ketika itu? Mengapa dia yang menyelamatkanku? Terkenangkan kondisiku di hari kejadian, yang hampir bogel dengan pakaian yang koyak rabak, aku rasa terhina kerana dia harus melihatku berkeadaan begitu? Mengapa harus dia? Mengapa? Dan mengapa tiada sepatah yang keluar dari bibirnya bertanyakan khabarku? Marahkah dia? Kecewakah dia?

Mata yang masih bertaut akhirnya terputus dek Fateh yang tiba-tiba berpaling pergi. Aku hampir mahu melonjak dari baringku mahu memanggilnya. Tapi melihatkan tiada pandangan kedua daripadanya, lidahku kelu mahu memanggil. Tuan Hamid yang sedar akan perubahanku, perlahan mengusap belakangku. Senyuman menyenangkan dihulur sebagai pujukan.

“Fateh sedang menahan perasaannya. Aina tahu, dialah yang paling risaukan Aina. Tidak bersentuh sebutir nasi mahupun seteguk air sepanjang dua hari ini. Melihatkan Aina siuman, dia gembira sebenarnya. Tapi dia tidak tahu meluahkan rasa hatinya. Nanti sejuk dan tenang hatinya, dia pasti kembali. Jangan risau ye. I know my son.”

Bagai dipanah petir, aku terkejung mendengarkan hakikat itu. Membulat mataku memandang Tuan Hamid memohon kepastian buat kali kedua. Lelaki tua itu hanya tersenyum bersama anggukan. Membenarkan kata-kata yang bukan omong kosong itu. Jantungku berdegup hebat. Wajah tua yang semakin dimamah usia itu aku perhati. Benar. Garis-garis wajah di depanku ini tiada bezanya dengan anak muda yang barusan berlalu pergi. Mata yang sepet, kening yang nipis, hidung yang tinggi, bibir yang tebal, rambut yang ikal perang, hampir serupa semuanya. Bezanya cuma di dagu, Tuan Hamid memiliki dagu terbelah sedangkan Fateh itu runcing tajam. Pasti menurun daripada ibunya.

Oh! Kecilnya dunia ini. Tidak hairanlah Fateh sangat mengenali aku luar dan dalam. Ternyata Pak cik Heroku ini dalangnya. Tidak tahu mahu ketawa atau berduka. Tapi yang aku tahu, aku senang dengan hakikat ini. Terasa harapan yang sudah lama terkubur di dasar hati, kembali bersinar mahuku tunaikan.

“Fateh anak pak cik?” Sekali lagi Tuan Hamid mengangguk meyakinkan.

“Jadi, dia tahu semua pasal Aina sebab pak cik cerita ke dia?” Aku bersoal serius. Ketawa besar Tuan Hamid disoal begitu. Tahu benar aku sedang kesal.

“Pak cik tak pernah cerita. Fateh sahaja yang rajin bertanya tentang Aina. Lupakah Aina budak lelaki yang bersama pak cik selamatkan Aina dulu?” Dahiku berkerut cuba memanggil memori dulu. Ah! Lelaki itu. Anak kecil yang bergayutan di seluar Tuan Hamid seperti tidak mahu lepaskan. Lalu laju saja kepalaku mengangguk terkenangkan wajah comel itu.

“Sejak hari tu, hari-hari Fateh selalu tanya pasal Aina. Siapa Aina? Tinggal dekat mana? Sekolah dekat mana? Umur berapa? Lagi-lagi setelah Fateh tahu pak cik sering ke rumah Aina. Semakin banyaklah soalnya. Kadang-kadang itu, tak sempat pak cik mahu melepas lelah sejurus pulang dari kerja, mulut murainya sudah sibuk bertanyakan Aina. Mungkin Aina sudah lupa pak cik pernah membawa Fateh ke rumah Aina. Lagipun waktu itu, Aina masih kecil. Cumanya Fateh itu.. haish! Katanya mahu bertemu Aina, tapi bila dibawa ke rumah Aina malu-malu kucing tak bertempat. Mulut becoknya jadi terkunci. Entah apa yang difikir. Setelah itu, jika diajak Fateh ke rumah Aina dia pasti menolak. Tapi rutinnya bertanyakan Aina tidak pernah culas. Sehingga Aina besar panjang, dia masih begitu. Soalan wajibnya, Aina apa khabar hari ni?”

Tergeleng-geleng Tuan Hamid bercerita beserta senyuman lucu mengenangkan ragam si anak. Aku juga tertawa mendengarkan itu. Dapat dibayangkan sikap Fateh yang suka menyibuk itu. Sikap ambil tahu dan mulut murai Fateh bukan sesuatu yang asing lagi buat aku. Bezanya cerita Tuan Hamid itu versi mini Fateh. Pasti comel sekali. Teringin pula mahu melihat Fateh versi itu. Sayangnya aku sudah lupa kalau-kalau ada Fateh dalam kenanganku di usia kecil. Dalam ingatanku cuma ada Fateh ketika aku hampir kemalangan itu. Itupun sudah samar-samar dari ingatan. Jika tidak disebut Tuan Hamid, tak mungkin aku ingat.

“Aina…” Aku yang sedang tenggelam dalam memoriku dipanggil perlahan. Wajah Tuan Hamid aku pandang. Berkerut dahiku melihatkan air mukanya yang tadi tersenyum manis berubah serius.

“Ada apa pak cik?”

“Di luar ada Puan Azlina dan Murni.” Langsung berubah bengis air mukaku mendengarkan dua nama itu.

“Kenapa mereka di sini?” Aku bertanya tegas tapi tidak terus dijawab Tuan Hamid. Lelaki itu malah meminta Anisa meninggalkan bilik itu sebelum dia juga menuju ke pintu memanggil seseorang.

Tidak lama, kelibat empat orang manusia munculkan diri lalu masuk ke dalam ruangan wad setelah dipanggil Tuan Hamid. Mataku yang tajam menanti kehadiran Mak Ina dan Murni membulat besar saat melihat Mak Ina masuk diiringi dua anggota polis. Tubuh wanita itu tersarung baju ungu dan kedua tangannya digari. Murni pula teresak-esak disamping ibunya sambil memeluk erat lengan Mak Ina. Wajah Tuan Hamid yang serius aku pandang mahu bertanya lanjut.

“Memandangkan semua ahli keluarga Tuan Zaidi sudah ada di sini. Saya akan bacakan semula wasiat yang ditinggalkan arwah, syarat-syaratnya dan juga tindakan yang bakal dikenakan jika syarat dilanggar.” Serius Tuan Hamid berkata tegas penuh protokol.

Mak Ina dan Murni pula kelihatan sudah tidak senang duduk dengan wajah gusar dan mencuka. Sejenak ruangan wad itu sepi selain bunyi beberapa fail yang dikeluarkan Tuan Hamid dari beg kerjanya. Kemudian, beberapa salinan dokumen diambil dari fail tersebut lalu diedarkan kepadaku dan Mak Ina. Aku membaca tajuknya. ‘Syarat Pewaris Harta Pusaka Keluarga Zaidi’. Aku mengerutkan kening membaca tajuk tersebut. Belum sempat mencerna tujuan syarat itu diserahkan kepadanya, Tuan Hamid menghulurkan pula sehelai kertas yang mengandungi laporan polis kepadaku. Keningku terangkat tinggi seperti mula memahami apa yang mahu Tuan Hamid sampaikan.

“Pertama kali, kepada Cik Aina saya memohon maaf atas kecuaian saya tidak melaksanakan tugas saya dengan baik. Dek terlaku berlama di tandas pada hari kejadian, Cik Aina terpaksa menghadapi semua ini.” Aku hanya tersenyum nipis beserta anggukan kecil, cuba mengurangkan rasa bersalah yang terpamer pada wajah itu.

“Tak apa pak cik. Sekarang Aina dah selamat kan. Jadi, boleh pak cik terangkan kenapa kita berkumpul hari ini. Kenapa juga nama Mak Ina ada dalam laporan polis ini?” Aku terus bertanya topik sebenar kami.

“Untuk makluman cik, Roslan dan rakan-rakannya telah ditangkap oleh pihak polis atas kesalahan cubaan menculik, merogol dan membunuh cik. Cubaan mereka untuk melarikan diri berjaya diberkas polis beberapa jam setelah waktu kejadian. Setelah siasatan lanjut dilakukan, menurut kenyataan yang diambil daripada suspek ternyata Puan Azlina turut terlibat dalam kelompok rancangan ini. Memandangkan Puan Azlina sedang direman, saya meminta kebenaran polis untuk membawa Puan Azlina bertemu dengan Cik Aina kerana terdapat beberapa perkara yang harus diselesaikan segera.”

Seperti sudah diagak, ternyata sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Selicik-licik perancangan manusia, licik lagi perancangan Tuhan. Tidak hairan mengapa Mak Ina berpakaian begini. Tapi, aku tetap berasa sedih dengan nasib menimpa Mak Ina. Walau sejahat mana pun dia, Mak Ina tetap satu-satunya keluargaku. Aku memandangnya simpati. Tetapi Mak Ina tidak hairan dengan pandangan simpatiku, malah aku dilontarkan pandangan tajam dan mencuka. Aku terluka lagi dengan layanan dingin Mak Ina. Walaupun kemenangan berpihak padaku, dia masih bersikap bongkak penuh kebencian.

“Urusan apa yang ingin pak cik selesaikan?” Aku menyoal lagi.

“Sila rujuk dokumen yang saya serahkan pada Cik Aina dan Puan Azlina. Berdasarkan syarat yang telah Tuan Zaidi wasiatkan kepada bakal pewaris hartanya. Syarat telah tertulis pada nombor 21: bahawa sekiranya pewaris mutlak atau pewaris asal memindahkan sebarang harta, aset, rumah, tanah, syarikat mahupun share yang seharusnya menjadi miliknya kepada orang lain samada keluarga sendiri mahupun orang luar maka haruslah harta itu berubah hak milik dengan persetujuan semua.” Tuan Hamid berhenti seketika pada syarat yang dibacakan dalam dokumen yang telah ayah tulis. Aku turut memandang pada salinan yang diberikan kepadaku.

“Syarat pada 22: tetapi harta yang telah bertukar hak milik akan terbatal dengan serta-merta dan menjadi hak milik pewaris asal semula sekiranya cubaan membunuh, mencederakan dan sebarang cubaan jenayah terhadap pewaris asal sebelum 30 hari pertukaran hak milik.”

“Puan Azlina,  disebabkan cubaan puan berlaku kejam terhadap Cik Aina sebelum 30 hari perpindahan hak milik dilakukan walaupun Puan Azlina telah disahkan sebagai pemilik tetap harta tersebut, dengan adanya bukti laporan polis menyabit kesalahan Puan Azlina maka pertukaran hak milik terbatal serta-merta. Oleh itu, sukalah saya tegaskan di sini bahawa Puan Azlina tidak lagi layak memiliki sebarang harta milik keluarga Tuan Zaidi walaupun dengan simpati pewaris berdasarkan syarat yang ke-23. Saya harap penerangan saya ini jelas untuk semua orang termasuk Cik Aina.”

Tuan Hamid menutupi bicaranya dengan ungkapan demikian. Pandangannya dijatuhkan padaku sebagai amaran tiada cubaan membantah daripadaku. Aku terasa kecewa dengan syarat yang telah arwah ayah lakukan. Mengapa ayah menetapkan syarat begitu? Tidak kasihankah ayah kepada Mak Ina dan Murni? Mereka juga keluarga kita, ayah. Bagaimana kehidupan Murni nanti? Sudahlah ibunya terpaksa hidup di sangkar besi, lantas dengan siapa dia bakal bergantung harap? Aku memandang wajah sugul Mak Ina dan juga Murni. Murni teresak memeluk bahu ibunya dengan penuh kasih. Lihatlah mereka, walaupun mereka kejam kasih sayang turut wujud dalam diri mereka. Mereka juga manusia ayah.

“Berapa lama Mak Ina akan ditahan?”

“Perbicaraan belum dijalankan tapi kemungkinan Puan Azlina dikenakan 5 tahun penjara.” Remuk hatiku. Sayu.

“Bagaimana dengan Murni?”

“Dia masih boleh tinggal di banglo jika cik izinkan. Cuma Cik Aina tidak dibenar melakukan sebarang pindahan hak milik.”

“Bagaimana pula keadaan Mak Ina selepas bebas dari penjara?”

“Puan Azlina masih boleh teruskan hidupnya melalui bahagian faraid yang dimilikinya sebagai isteri setelah arwah meninggal.” Lega sedikit rasaku.

“Pak cik… macam mana kalau saya nak juga pak cik batalkan sahaja syarat wasiat ayah yang ini? Saya tetap nak serahkan semuanya kepada Mak Ina dan Murni. Saya tak nak semua tu. Saya hanya nak hidup sendiri.” Aku meminta dalam nada yang sayu cuba memujuk. Wajah Tuan Hamid aku pandang berharap dia pertimbangkan permintaanku. Tuan Hamid menarik nafas dalam sebelum dihembus tenang.

“Maaf cik. Saya telah pun mengangkat sumpah memastikan semua wasiat yang telah arwah tulis terlaksana. Saya berjanji dan saya tak mahu menjadi munafik walaupun ia hanya peraturan ciptaan manusia. Janji tetap janji.” Tegas jawapan Tuan Hamid membatalkan niatku.

“Tapi pak cik…”

“Tak payah! Aku tak luak dengan simpati kau!” Niat baikku dicantas dengan suara lantang Mak Ina.

“Aku pun tak ingin hidup dengan wang atas simpati kau. Kau tahu, keluarga kau semuanya pembawa sial! Disebabkan kau aku jadi macam ni! Disebabkan mak kau aku jadi macam ni! Jadi, tak payah kau buat baik dengan aku! Aku benci kau! Aku benci semua yang berkaitan dengan kau!” Hancur hati aku dilumatkan dengan suara bengis Mak Ina. Sebak yang menguasai diri tidak mampu aku kawal lantas laju air mataku mengalir membasahi pipi.

“Tapi kenapa? Aina salah apa Mak Ina!?” Aku bertanya kasar geram dengan layanan Mak Ina yang tidak berkesudahan. Tiada langsung rasa kesal pada wanita itu.

“Kau nak tahu sebab apa!? Dengar baik-baik apa yang mak kau telah buat. Mak kau tu anak pungut sahaja dalam keluarga aku. Sepanjang hidup aku, aku tak pernah merasai kasih sayang daripada mak ayah aku sendiri. Tapi, selepas mak kau muncul dalam hidup aku. Aku dipinggirkan. Segala kemewahan diberikan kepada dia. Malah dia dipilih berkahwin dengan lelaki yang hidup senang. Memang mak kau tak pernah buat jahat dengan aku. Tapi, Tuhan tak adil jadikan anak pungut macam dia hidup senang mengalahkan permaisuri. Sedangkan aku! Aku dikahwinkan dengan orang kampung biasa yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Disebabkan kelebihan dia, aku dengki! Aku dendam dengan mak kau! Lepas laki aku mati, aku guna ilmu hitam untuk tundukkan ayah kau. Setelah aku dijadikan isterinya. Aku bertekad, aku akan lunaskan segala dendam kesumatku. Niat aku hanya satu, aku akan pastikan kalian merasai penderitaan yang pernah aku lalui. Kau faham sekarang!?”

Tergeleng-geleng kepalaku diiringi air mata kesal mendengarkan segala pengakuan Mak Ina. Dari nada suaranya, tiada langsung rasa menyesal dengan segala yang telah dia lakukan. Ternyata hati Mak Ina sedang sakit, dia cuma mahu menghilang rasa sakit di hatinya. Namun jalan yang salah yang dipilih. Apabila hati manusia menjadikan nafsu amarah sebagai tuhan, beginilah kesannya. Simpati aku tidak bermakna apa-apa sedangkan tempias amarah dendamnya sudah aku lalui seumur hidupku. Tidak hairan mengapa Mak Ina sangat bencikan aku. Ternyata hidupnya membuatkan benih-benih dendam bertunas dalam dirinya.

“Aina minta maaf Mak Ina. Tapi Aina ikhlas sayangkan Mak Ina. Mak Ina satu-satunya ibu Aina sekarang.”

“Tak payah! Tak luak aku! Aku lebih rela hidup merempat daripada terpaksa menerima hakikat yang kau lebih dalam segala-galanya. Selama-lamanya kau anak dia! Selama-lamanya aku benci dia! Dan selama-lamanya aku benci kau. Kau tunggu! Suatu hari nanti kau akan rasa macam mana aku rasa!”

“Aku cuma minta satu sahaja dengan kau. Jangan kau libatkan anak aku dalam hal ini. Berikan dia tempat tinggal kerana dia satu-satunya anak aku. Kau faham!?”

“Tapi mak…! Murni tak mahu hidup dengan perempuan ni.” Murni menjerit bantah tapi tidak diendahkan Mak Ina.

“Kau faham tak?” Mak Ina menjerit lagi.

“Aina faham, Mak Ina. Jangan risau, walaupun rumah itu milik Aina. Aina akan berikan kepada Murni. Aina tak akan hidup di sini lagi.”

“Bagus. Jangan kau terlalu terlepas dari genggaman aku. Aku akan pastikan dendam aku terbalas sampai aku mati.”

Usai berkata demikian, Mak Ina berlalu pergi diiringi dua anggota polis tadi. Aku memandang sepi dengan linangan air mata. Bertambah sayu hati aku melihatkan Murni meraung cuba menahan Mak Ina daripada dibawa pergi. Dahsyat sekali balasan-Mu di dunia ini Ya Allah. Ya Rabb, hamba bermohon padamu cukuplah Kau menghukum mereka di dunia ini. Jangan Kau menghukum mereka di akhirat-Mu juga. Kau bukakanlah hati mereka supaya menerima hidayah-Mu. Kau lembutkanlah hati mereka Ya Latif.

*****

Aku memegang surat yang ditinggalkan ayah kepada Tuan Hamid untuk diberikan kepada aku. Apa yang berlaku hari ini sangat melelahkan. Cuba menenangkan diri dan melapangkan dada, aku meminta Tuan Hamid membawaku menghirup udara segar di luar hospital. Ditemani Anisa dan Fateh aku berdiam diri di sini. Cubaan mereka mengajakku berbual tidak aku layan. Mujur mereka mengerti, apabila aku diam aku memilih untuk tidak menjawab, apabila aku diam aku memilih untuk bersendirian. Mereka hanya memantau aku dari jauh. Surat yang hampir lusuh itu aku buka. Terasa bibit-bibit rindu terpancar dari tinta-tinda dakwat. Seperti terasa kehadiran mereka di sampingku ketika ini. Ayah dan ibu…

---Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum w.b.t puteri ayah, puteri ibu,
Semoga puteri kami berada di bawah lindungan dan kasih sayang Yang Maha Kuasa. Saat Aina membacakan warkah ini, pasti Aina sudah begitu dewasa sekali. Pasti cantik anak ayah dan ibu ini. Terasa rindu ingin menyentuh dan membelai wajahmu nak.

Puteri, saat Aina memiliki warkah ini. Ketahuilah Aina, ayah sudah tiada, ibu juga telah pergi meninggalkan dunia ini. Warkah ini telah ditulis ayah diatas permintaan ibu, warkah ini saksinya ayah berhadapan dengan ibu yang sedang bertarung nyawanya demi menyampaikan lautan kerinduannya buatmu sayang. Sungguh, kami rindu kamu sayang.

Pertama-tama maafkan ibu kerana meninggalkanmu sayang. Ibu terlalu kecewa dengan ayahmu menceraikan ibu disebabkan fitnah yang tiada berasas. Tapi, khilaf ayahmu ibu telah maafkan. Bagaimana ayahmu ingin berfikir rasional apabila marah dan syaitan menguasai diri.

Maaf puteri ibu, ibu tidak berniat untuk meninggalkan Aina menanggung deritamu sendirian. Ibu tahu pasti anak ibu derita sekali hidupnya. Sekali lagi maaf. Ibu tidak mampu melindungi pukulan Mak Ina terhadapmu sayang. Maaf sayang. Pasti sakit sekali tubuhmu nak. Adakah Aina menyapu ubat seperti ibu sering lakukan padamu? Kasihan anak ibu.

Sayang, pesan ibu bersabarlah. Kebenaran tak pernah tewas jadi bersabarlah. Hiduplah dengan kasih sayang ibu, kasih sayang ayah dan kasih sayang Ilahi. Dia sentiasa bersama Aina, dan kami juga sentiasa bersama Aina dalam hati Aina.
Tapi, nikmat hidup tak selamanya menjadi milik kita. Jadi, ibu tidak lagi mampu bertahan untuk teruskan hidup. Sungguhpun, rindu ibu pada Aina tersangat-sangatlah mendalam namun kesihatan ibu tidak mengizinkan ibu menemui Aina. Walaupun ayahmu memaksa ibu bertemu dengan puteri ibu, tapi ibu tak sanggup melihat air matamu mengalir melihat keadaan ibu.

Barah payudara. Kata doktor, itu sakit yang diderita ibu. Ketika ibu diceraikan ayah, ibu sudah tahu sedang menanggung sakit ini. Kerana itu ibu memilih untuk tidak membawa Aina bersama ibu. Untuk menyara kesihatan ibu sahaja ibu tidak mampu, bagaimana untuk ibu menjagamu sayang. Sekurang-kurangnya, anak ibu selamat walaupun hidupnya penuh derita. Warkah ini warkah cinta daripada ibu. Tatap dan kenanglah warkah ini jika kamu rindukan ibu. Ibu hanya ingin kamu tahu ibu sayang kamu selamanya. Ibu akan menemui Aina di syurga sana. Jadi, teruskan hidupmu puteri dengan mengikut suruhan Ilahi agar kita dapat bertemu di syurga sana. Salam sayang daripada ibu.

Puteri, itu pesan ibumu dan ketahuilah ibu menghembuskan nafas terakhirnya setelah selesai mengungkapkan kalimat rindunya buatmu. Saat itu kamu sedang menduduki peperiksaan PMR. Maafkan ayah kerana memisahkanmu dengan ibu. Sungguh ayah tidak tahu ternyata hidup ibu dan Aina tersangat menderita. Ayah sedar ayah melepaskan tanggungjawab ayah terhadapmu. Maafkan khilaf ayah nak. Ayah dikawal oleh buatan Mak Ina kamu, sekali lagi maaf. Atas bantuan seorang ustaz, Alhamdulillah ayah kembali menjadi diri ayah yang dulu.

Aina, sayang sekali ayah tidak dapat membetulkan kesilapan ayah selama ini. Peluang untuk ayah teruskan hidup bersama Aina lebih lama tidak diizinkan Yang Maha Kuasa. Sakit jantung yang sudah lama memakan usia ayah, semakin tidak terkawal laparnya. Tapi ayah tidak mahu kamu risau. Kerana itu ayah merahsiakan hal ini daripada pengetahuanmu nak.

Mak Milah dan ibu telah ceritakan segala-galanya kepada ayah apa yang telah Mak Ina lakukan kepada Aina. Ayah minta maaf kerana kesilapan ayah menikahinya. Tetapi ayah tidak mahu menceraikannya kerana sekiranya ayah pergi masih ada orang untuk menjaga Aina. Ayah tidak mahu menyoal segala kesalahnnya yang akan menyebabkan kami bergaduh. Mungkin sekali sekiranya ayah terlalu marah menyebabkan ayah diserang sakit jantung, dan ayah takut ayah akan pergi tanpa sempat melihat Aina. Cukup ayah habiskan hari-hari terakhir ayah untuk bersama Aina.

Ayah tahu, saat Aina bacakan warkah ini ayah telah tiada. Pasti Aina begitu pelik mengapa ayah mengaturkan begitu banyak syarat untuk wariskan harta ayah kan? Ayah tahu puteri ayah begitu lembut hatinya. Jadi ayah tahu, puteri ayah tidak akan menerima harta yang ayah wariskan buat Aina. Ayah sudah dapat mengagak Aina akan serahkan semuanya kepada Mak Ina. Puteri, mengapa kamu begitu baik sayang? Tetapi ayah bangga dengan kamu. Sebagai langkah berjaga-jaga, ayah yakin sekali ibu tirimu pasti akan menyalahgunakannya dan mungkin bertindak kejam keatasmu. Maka, kerana itu ayah menetapkan semua syarat ini. Ayah hanya ingin anak ayah berjaya. Kejarlah cita-citamu yang sering Aina ceritakan pada ayah. Jangan berputus asa biar apapun halangan dan dugaan. Lumrah hidup, permata yang dicari beronak duri jalannya. Syarat-syarat ini, hanya wasilah untuk membantumu. Untuk menghalang ibu tirimu menghancurkan impianmu.

Puteri, mengertilah segala tindakan ayah ini semuanya untuk kebaikanmu. Betapa ayah berharap, usaha yang secebis ini dapat menebus segala kesalahan ayah terhadap Aina dan ibu.
Sekiranya Aina tidak mahu mengambil alih syarikat ayah, ayah tidak kisah. Kerana cita-citamu pilihanmu, ayah tidak mahu menghalangnya. Serahkan sahaja kepada Pak Cik Hamid rakan baik ayah yang sering membimbing ayah walaupun dia seorang muallaf. Ayah banyak belajar daripadanya. Kerana nasihatnya juga menyedarkan ayah akan perbuatan keji Mak Ina.
Ayah pernah mahu menyerahkan peninggalan titik peluh ayah ini kepadanya sekiranya Aina menolak. Teman baik ayah itu, dalam menolak sebenarnya dia tidak tega sekiranya hasil titik peluh ayah ini jatuh ke tangan orang lain. Lagipun, Pak Cik Hamid selalu ceritakan anaknya Fateh yang begitu berminat dalam bidang perniagaan. Mungkin dia akan berikannya kepada Fateh. Ayah juga sering bertemu dengan Fateh, anak yang baik dan bijak. Pernah ayah minta padanya untuk dititipkan Aina. Minta ditengokkan selalu puteri ayah yang sering sendiri ini. Gembiranya ayah, dia menerima dengan senang hati. Siap bertekad tidak akan dia mungkiri janjinya itu. Terdetik juga ingin menjodohkan dia denganmu. Tapi, hidupmu puteri hanya tanganmu boleh tentukan. Ayah tidak kisah.

Pesanan terakhir ayah, jangan kamu belakangkan Quran dan Sunnah dalam hidupmu. Jadikan Allah sebagai rujukan utama untuk Aina meneruskan hidup ini. Bersabarlah dengan setiap ujian. Jika Aina sudah bersuami patuhilah dia. Jangan sakiti hatinya. Jadikan Saidatina Khadijah, Fatimah Az-Zahra’ dan Saidatina Aisyah sebagai srikandi ikutanmu dalam menjalankan tanggungjawab seorang isteri dan muslimah. Akhir coretan daripada ayah, ketahuilah ayah begitu sayangkan kamu. Hadirkan nama ayah dan ibu dalam setiap doamu. Ingatlah, kami sentiasa di hati Aina dikala susah dan senang Aina.

Salam sayang dan rindu daripada ayah dan ibu,
Buat bidadari kecil kami---

*****

“Assalamualaikum, cinta. Pagi!” Saat aku mencelikan mata, aku disapa lembut senyuman menawan lelaki itu. Dia mengucup dahiku penuh syahdu seperti hari-hari sebelumnya.

“Waalaikumussalam, kasih. Abang tak pergi kerja ke?” Aku bertanyakan soalan itu saat melihat angka jam di dinding sudah menjangkau jam 7.00 pagi. Selalunya sebelum pukul 6.30 pagi, Fateh sudah buru-buru mahu keluar. Mahu menghindari kesesakan lalu lintas katanya. Lagipun jarak dari Sungai Petani ke Pulau Pinang, lumayan lama juga sekiranya tersekat dalam kesibukan pagi bekerja. Terasa bersalah pula dengan suami sendiri kerana tidak membantunya bersiap untuk ke kerja. Demam dan batuk telah memamah semua tenagaku. Bantal empuk sahaja yang dapat menghilangkan lelah ini.

“Eh, ikut suka abanglah, office abang. Lagipun abang risaukan isteri abang ni. Demam sayang tak kebah suhunya, sudah dua hari macam ni. Abang bawakan pergi klinik ye.” Sambil mulutnya mengomel risau, tangannya tak diam cuba menyukat suhu tubuhku. Sekejap di dahi, sekejap di leher.

“Semalam kan dah pergi. Abang ni risau tak bertempat. Nanti-nanti kebah la demam ni. Bukan boleh sembuh serta merta.” Aku bangun dari baringku lalu mengeliat kecil cuba meregangkan sedikit tubuhku.

“Abang cuti la hari ni. Nak jaga isteri abang yang sakit ni. Kesian dia. Lagipun dah lama sangat abang tak membuli sayang. Sekali-sekala nak luangkan masa bersama tak salah kan.” Terjegil mataku mendengarkan kata-kata Fateh.

“Eee.. gatalnya. Mengada betul.”

“Biarlah! Dengan bini sendiri je pun bukan dengan bini orang.” Semakin besar jegilan aku dengan sikap nakalnya. Tubuhnya aku pukul manja melepaskan geram. Dia ketawa mengejek dan menggeletek aku sebagai karma. Menjerit aku kegelian dikerjakan oleh Fateh. Bergema ketawa kami di ruang bilik itu dengan perangai sengal kami. Sudah datang mood menjadi kanak-kanak ribena, bekejaranlah kami hingga ke luar rumah. Kebah terus demam aku sebab semput ketawa sahaja.

Aku tersenyum bahagia dengan hidupku kini. Memori lima tahun lalu kembali menjengah. Setelah aku dibenarkan untuk keluar dari hospital, aku dibantu Tuan Hamid untuk kembali menguruskan syarikat ayah. Aku juga tidak lagi tinggal di banglo kerana telah aku serahkan untuk didiami Murni seperti yang aku janjikan. Mujur ada vila ayah yang pernah dibuat homestay di Sungai Petani sana. Bolehlah dijadikan kediaman aku. Murni juga lebih pasif daripada dulu setelah Mak Ina dimasukkan ke dalam penjara. Dia juga kini bekerja di syarikat ayah atas ihsanku.

Awalnya, aku masih mahu meneruskan perancanganku untuk berpindah ke Johor. Malah aku sudah memutuskan untuk menyerahkan syarikat ayah kepada Tuan Hamid lalu memulakan hidup baru di Johor. Tapi mengenangkan Mak Ina dan Murni aku membatalkan niatku untuk berpindah. Apatah lagi Tuan Hamid berkali-kali memujukku untuk tetap meruskan legasi peninggalan arwah ayah. Katanya, dia akan membimbing aku sehingga aku boleh berdiri sendiri, hingga aku berjaya membina nama di medan ini seperti yang pernah disandang ayah. Dia tidak akan pernah menerima keputusan aku mahu menyerahkan syarikat ayah kepadanya walau dipaksa sekalipun. Lagi pula, aku satu-satunya pewaris sah keluargaku. Seharusnya menjadi tanggungjawab aku untuk memastikan peninggalan titik peluh ayah beroperasi dengan baik. Dalam terpaksa, aku menuruti kemahuan Tuan Hamid dengan syarat Tuan Hamid mahu menjadi rakan kongsi syarikat ayah.

Demi memastikan aku lebih berilmu dalam pekerjaan yang aku ceburi lantas keinginanku untuk melanjutkan pengajianku ke peringkat yang lebih tinggi aku utarakan kepada Tuan Hamid. Ketika itulah, Fateh yang terakhir kali aku melihatnya di hospital tiba-tiba muncul bersama Tuan Hamid. Demi mengisi kelopongan kerusi sepanjang kesibukan aku menyambung pengajianku, Fateh dicadangkan untuk menyandang kerusi itu sementelah mereka sudah pun menjadi rakan kongsi.

Sebelum kepergianku ke luar negara, Fateh mampir meluahkan isi hatinya tiba-tiba. Katanya dia mahu mengikat hubungan kami. Turut dijelaskan asbab hilangnya dia tiba-tiba setelah menghantarku pulang dari hospital. Dia pergi kerana mahu menetapkan hatinya, memohon hajat dan istikarah adakah dia benar-benar mahu menjadikan aku miliknya.

“Sudah yakin ke mana hati ini berpaksi lalu di sinilah saya. Saya mahu menyunting awak Aina. Sudikah awak menjadi milik saya?”

Saat persoalanku diutarakan, aku terkelu tidak terkata. Aku fikir, menghilangnya dia tanpa khabar dan berita kerana amarah dan kecewanya yang tak kunjung surut. Aku fikir, padanya aku bukan siapa-siapa untuk terus saling berhubung lanjut. Aku fikir, dia sudah memilih haluan sendiri membina hidup. Aku sudah hampir redha dengan segala telahan hatiku. Mungkin benar kami tidak berjodoh.

Kala aku hampir pasrah dengan hakikat itu, luahan rasanya kembali memberi harapan padaku. Isi hatiku melonjak riang tidak percaya. Tapi, memikirkan aku akan bertahun meninggalkan tanah air, apakah dia siap mahu menanti?

“Mengapa sekarang Fateh? Saya sudah mahu pergi.”

“Saya yakin hari ini hari paling sesuai untuk saya luahkan isi hati. Saya mahu awak tahu keikhlasan saya mencintai dan ingin memiliki awak, supaya awak tahu walau di mana jua awak berada saya setia menunggu awak di sini.” Mataku berkaca mendengarkan kata-katanya itu.

“Yakinkah kita berjodoh Fateh?”

“Saya yakin dengan kemahuan hati saya kerana itu saya berusaha untuk memiliki awak. Kerana itu saya meluahkan perasaan ini. Jika awak belum sudi untuk menerima lamaran saya sekarang ini, saya siap menanti persetujuan awak. Semoga perpisahan ini menjadi hitungan waktu untuk awak berfikir apakah yang terbaik buat awak.”

“Awak tak takut hati saya dicuri yang lain di sana nanti?” Aku menduga hatinya. Kelihatan senyuman tenang terukir manis di bibirnya.

“Bukankah nama saya yang diseru dalam doamu wahai sang kekasih?” OH MY GOD!! Wajahku bagai disimpah sebaldi cili. Merah saga hingga berpijar rasanya.

Lidahku langsung kelu mahu membalas kata. Tidak tertanggung rasa malu yang bertimpa, aku berlari pergi meningglkan dia. Malangnya tangan kekar itu pantas bertindak. Tali beg yang sedang digalasku ditariknya kasar. Tak terkawal tubuhku terdorong ke belakang. Fikirku aku bakal terlentang jatuh ke lantai, malah elok berdiri dipegang orang. Dia di belakangku, memegang kedua-dua bahuku erat. Sejenak sunyi antara kami. Dia tidak bersuara apatah aku yang berdebar-debar mengawal jantung.

“Kekasihku, pergilah menjelajahi bumi. Kutiplah mutiara-mutiara ilmu. Timbalah lautan pengalaman. Penuhilah dadamu dengan adab dan sopan. Jadilah muslimah bertamadun, yang berhikmah kalammu, yang santun pekertimu, yang berilmu amalanmu. Namun, jangan terleka memuji indahnya tanah asing. Pulanglah kekasih jika cukup waktunya. Kerana aku masih di sini ternanti-nanti kepulanganmu untuk kau sambut lamaranku.”

Aku tidak berpaling biarpun Fateh sudah lama menoktahkan kata-katanya. Tidak lama, terasa bahuku yang dipegang kemas perlahan dipusingkan tubuhku menghadapnya lalu dilepaskan genggamannya. Poket seluar diseluknya lalu intinya dihulurkan kepadaku. Sekeping kad dan sekotak cincin. Perlahan aku menyambut hulurannya itu.

“I’ll miss you, glassy. Good bye. Assalamualaikum.” Usai mengatakan itu, Fateh langsung pergi meninggalkanku. Aku menyoroti pemergiannya tanpa kata. Perhatianku kemudiannya teralih pada kad dan kotak cincin di tangan.

‘Andai sudah terbuka hati awak untuk mengikat ikatan kita, pakailah cincin ini ketika kita berjumpa pada hari awak bersedia.’ – Fateh

Ringkas pesannya itu penuh harapan. Bersama pesanan itu, ungkapan kata yang dibisikkan padaku tadi juga tercoret di bawah kad. Bagai binaan puisi indah yang mendoakan kesejahteraan kekasihnya serta harapan agar dia tidak dilupakan. Aku kembali membaca kata-kata indah itu.

Kekasihku,
Pergilah menjelajahi bumi,
Kutiplah mutiara-mutiara ilmu,
Timbalah lautan pengalaman,
Penuhilah dadamu dengan adab dan sopan,
Jadilah muslimah bertamadun –
yang berhikmah kalammu,
yang santun pekertimu,
yang berilmu amalanmu;
Namun, jangan terleka memuji indahnya tanah asing.
Pulanglah kekasih jika cukup waktunya.
Kerana aku masih di sini ternanti-nanti
Kepulanganmu; untuk kau sambut lamaranku.

Bait-bait kalam itu, terserap utuh dalam nafasku, melalui di setiap salur darahku, tersemat kemas di pelosok kalbu. Tenang mendamaikan hati yang bising. Membina rindu yang belum waktunya.

Setelah tiga tahun, aku kembali ke tanah air demi melunasi tanggungjawab dan janji. Kepulanganku tidak dikhabarkan kepada siapa-siapa selain Tuan Hamid. Vila ayah yang didiami aku dulu menyambut kepulanganku sebagai penghuni di hari mendatang nanti. Besok, akan aku tamatkan penantian si dia. Cincin yang diberi sudah lama tersarung di jari sedari hari pertama dia serahkan kepadaku.

*****

Pintu aku buka perlahan tanpa kebenaran gerangan orang di dalamnya. Figura itu sedang tekun dengan kerja-kerjanya yang bertimbun di meja. Ternyata dia tidak menyedari kehadiran aku. Aku tersenyum dalam diam memerhati dia yang serius bekerja. Adakala lelaki itu tenang, adakala timbul urat-urat runsing dan keliru, adakala dia melurut rambutnya menghembus nafas lega. Suasana yang asing itu mencuit hatiku untuk tersenyum lagi.

Aku amati lagi wajah itu. Wajah yang kian matang dan mempesonakan. Segak bergaya mengundang mata terus asyik memandang. Biarpun rambutnya bersepah dek seringkali dilurut kasar, biarpun wajah itu seringkali diiringi kerutan di dahi, tetap tidak dapat menyembunyikan aura tenang pada perawakan bahasa tubuhnya.

Tidak mahu terusan menyembunyikan diri, aku mengatur langkah semakin menghampiri. Dia yang sepertinya sedar akan kehadiranku, terus mengangkat wajahnya. Aku tertawa kecil melihat perubahan air mukanya yang terkejut melihatku. Malah terus berdiri dia dari kerusi yang empuk.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam, Aina.” Rasa terkejutnya masih jelas kelihatan. Lidahnya kelu tidak menyangka kewujudanku di situ. Mata yang tadinya terpinga-pinga memandang wajahku cemas menyoroti letak tanganku. Dengan senyuman sinis, aku mengikuti sorotan matanya yang mencari-cari sesuatu di jemariku. Sengaja aku berpeluk tubuh, menyembunyikan cincin yang tersarung di jari dari pandangan matanya.

“Saya pulang Fateh. Tiada khabarkah yang mahu ditanyakan?” Sengaja lagi aku mengusik melihat wajahnya yang resah saat apa yang dicari belum dijumpa. Matanya yang sibuk mencari kembali memandang wajahku. Dia tersenyum manis.

“Banyak yang mahu disoal tapi tidak terjumpa apa yang mahu ditanya. Duduklah Aina. Aina dah makan belum? Kejap, saya minta Nina buatkan air.”

Baru sahaja butang interkom mahu ditekan, aku pantas menghalang perbuatannya. Sengaja aku meletakkan tanganku yang bersarung cincin di atas telefon yang mahu dicapainya. Sekali lagi dia terkaku. Aku tertawa kecil lagi. Suka benar aku melihat reaksinya yang susah mahu dipamerkan itu. Lalu sorotan matanya membulat memandangku. Mulutnya teragak-agak mahu berbicara.

“Ya Fateh, saya pulang mahu menunaikan janji. Maaf buatkan awak ternanti-nanti. Masih berpeluangkah diri ini?”

Nafas kelegaan terpancar senang di wajahnya. Senyuman kebahagian lebar terukir beserta hamdalah  yang tak berhenti dizikir.

“Akhirnya, awak pulang kekasih.”

Maka terikatlah janji setia kami mahu hidup bersama hingga ke syurga. Setelah sah menjadi suami isteri, Fateh menuruti kemahuanku yang mahu tinggal di vila ayah. Kini sudah dua tahun kami berumahtangga. Aku masih mencuba mengenali hati budinya. Walaupun hakikatnya, aku masih belum boleh mengalahkannya seperti mana dia mengenali aku. Dia sangat memahami diri aku.

Dalam tempoh ini dia terlalu sabar melayani kerenahku. Kata-katanya penuh kasih dan sayang, nasihatnya penuh berhikmah dan kelembutan. Dialah anugerah terindah yang aku tidak pernah berhenti bersyukur. Jodoh yang tidak pernah berhenti aku meminta, Allah tunaikan bila sampai waktunya. Nikmat dan kebahagiaan ini, tak terhitung manisnya. Ya Allah terima kasih kabulkan permintaanku. Terima kasih jadikan dia jodohku. Sesungguhnya, aku mencintainya kerana kasih-Mu, Ya Rabb. Jadikanlah kami dalam golongan hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa.

“Abang.. abang tahu tak. Aina mula doa supaya ditakdirkan abang jodoh Aina masa Aina tingkatan lima lagi tau. Walaupun abang lebih dahulu mengenali Aina sebelum Aina mengenali abang tapi impak kehadiran abang sangat mengucar-ngacirkan hidup Aina. Walaupun singkat sahaja pertemuan kita, abang menyebabkan hidup Aina jadi tunggang-langgang. Rasa macam mahu saja Aina cari abang dan jerit dekat abang. Weh Fateh! Aku cinta kau la!” Wah rock pula rasanya melolong macam tu. Mengekek ketawa Fateh dengan ceritaku. Dia memeluk pinggangku erat yang ketiku itu sedang sibuk memotong sayur kangkung untuk dimasak nasi goreng nanti.

“Tak sangkakan. Sayang pun minta abang jadi jodoh sayang. Abang pun dulu setiap hari minta sayang jadi jodoh abang. Lihat sayang kuasa Allah, sekiranya kita meminta dengan ikhlas tak mustahil bagi Allah untuk menunaikannya. Buktinya kita, kita disatukan dibawah rahmat dan kasih sayang-Nya.”

“Betul abang. Aina bersyukur sangat abanglah orang yang telah ditulis oleh Allah sebagai jodoh Aina di Luh Mahfuz. Aina harap jodoh kita akan kekal sampai ke syurga. Aina nak abang jadi pendamping Aina di syurga. Aina tak mahu yang lain. Aina tetap nak abang.”

“Insya-Allah. Berdoalah sayang semoga kita dikumpulkan di syurga nanti.” Aku mengangguk dengan kata-katanya.

“Sayang….” Dia memanggilku dengan nada yang lembut.

“Kenapa?” Aku berhenti dari meneruskan kerjaku lalu berpusing mengadapnya dan memandang wajahnya yang putih bersih. Wajahnya ku bingkai lalu ku usap perlahan.

“Sayang abang?” Aku ketawa kecil mendengar pertanyaannya.

“Sayang abang ketat-ketat.” Laju aku mengucup pipinya dan memeluk tubuhnya erat. Dia ketawa dengan kenakalanku lantas membalas pelukanku.
Kami disatukan dalam rahmat dan kasih sayang-Nya. Rabb, terima kasih kerana jadikan aku tulang rusuknya yang hilang. Aku sangat mencintainya kerana-Mu. Kumpulkanlah kami di syurga-Mu nanti. Kerana dia satu-satunya insan yang ingin aku temui di sana nanti. Amin..

-Tamat


Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan