Cerpen: Kucing Paling Kebal

Oyen waktu kecik. Muka bajet comey. Huh!
P/S: Cerpen ini  dikarang untuk menyertai pemilihan 'Cerpen Kucing Paling .....' yang dianjurkan oleh BLINK Publication. Sekiranya terpilih, cerpen akan dicetak dan dipasarkan dibawah syarikat penerbit. Sayangnya, masih belum berpeluang menjadi yang terpilih. Maka, ke sinilah cerpenku untuk dibaca. 

Selamat membaca!

----------
 
“Rrrr... Meow! Meow! Meow!” 

Mata yang memberat menghadap buku tebal untuk dikhatam dikejutkan dengan tangisan anak kucing yang berteriak lantang. Awalnya, Afina mahu abaikan sahaja tangisan itu, mungkin kucing lapar menanti ibunya beri makan. Nanti perut penuh, diamlah dia. Terasa segar sedikit matanya dengan kejutan itu. Tidak mahu terlelap lagi, Afina ke dapur untuk membancuh kopi buat tambah tenaga. Misinya untuk malam ini perlu diselesaikan kerana petang esok dia perlu buat perbentangan di kelas.

Afina cuba tidak ambil peduli akan suara yang mencemar hening malam, telinga dicucuk fon telinga lalu lagu kegemaran mula berdendang di corong telinga.  Ketenangan yang diharapkan semakin punah tatkala tangisan kucing semakin galak berbunyi. Satu jam berlalu, teriakan itu masih berbunyi sakan. Sudahlah malam semakin lewat. Kawasan perumahannya itu semakin sunyi ketika ini. Kalau terdengar derapan tapak kaki atau suara bising bersembang tidak jelas butir kata, biasanya itu si mabuk yang baru habis terkinja-kinja di bar berdekatan. Lagi-lagi mendengarkan amarah suara kucing itu ketika dirinya diganggu pemabuk yang baru pulang.  Afina fikir akan semakin diam kucing itu, rupanya lantangnya semakin meninggi.

Sudah hilang konsentrasi untuk studi, tingkap dihampiri untuk melihat apa yang jadi. Samar-samar lampu oren tepi jalan sedikit sebanyak membantunya mencari makhluk yang buat bising. Pergerakan kecil dari jauh, matanya memerhati tingkah laku haiwan itu. Ada dua ekor, seekor kucing dewasa dan lagi satu anak kucing. Afina kurang jelas warna bulunya, tapi setelah diamati keadaan anak kucing yang sedang digonggong kucing dewasa itu, hatinya berdetak risau. Tiba-tiba terbayang di benaknya akan khabar angin tentang sifatnya kucing jantan memburu anaknya untuk dimakan. Apatah lagi melihatkan gaya kucing tersebut menggigit leher si anak kucing. Si kecil itu pula seperti meronta-ronta minta dilepaskan diiringi tangisan tak berhenti. 

Afina semakin risau memikirkan kemungkinan itu. Mahu keluar rumah, Afina tidak berani seorang diri. Teman-teman serumah semuanya sudah dibuai mimpi. Sudahnya Afina hanya menjadi tugu memerhati sambil hatinya berdoa tidak henti. Moga-moga telahan hatinya itu salah. Sedang dia kaku memerhati apa yang jadi, kucing dewasa itu menggogong si kecil menghampiri sisi jendela biliknya. Kerana tiada bantuan cahaya, Afina kehilangan jejak. Kiri kanan kepalanya menoleh mencari tapi tak temui. Kelibat kedua-dunya tenggelam di dalam gelap.

Awalnya dia fikir mahu abaikan sahaja, mungkin hanya firasat. Tapi jika dia tidak ambil peduli, hatinya tidak tenang kelak tak lena tidurnya memikirkan kemungkinan anak kucing itu menjadi santapan. Mimpi ngeri dia nanti! Kemudian, telefon bimbitnya diambil lalu aplikasi lampu suluh dibuka.  Disuluh semak-samun tepi tingkap, dua makhluk itu semakin jelas di pandangan. Puas diperah otaknya bagaimana mahu menghentikan niat kejam si kucing sebelum otaknya berdeting mendapat idea. Buru-buru Afina berlari ke dapur membuka periuk, seketul ayam yang dimasak sup Afina ambil lalu kembali ke bilik. Tingkap dibuka luas-luas kemudian ayam dilontar kepada si kucing. Mudah-mudahan ayam itu lebih menarik untuk diratah daripada anak kucing yang masih mentah.

Sekali lagi Afina menjadi tugu memerhati dan menyuluh segala perbuatan si kucing. Melonjak hatinya saat melihatkan si kucing dewasa meninggalkan si kecil, umpan yang diberi mengena. Enak sekali kucing itu bersantap tidak dipedulikan lagi si anak kucing. Tidak pedulikan kucing dewasa, anak kucing itu pula menjadi perhatian Afina. Sekarang ini terkelip-kelip matanya bingung, mahu bagaimana dengan anak kucing yang masih lantang menangis. Dari kondisi tubuhnya, mahu berjalan sendiri pun kakinya menggigil mahu melangkah. Lalu mengesot dia membawa badan memasuki semak.

Sudah lama masa berlalu, tapi suara si anak kucing masih lantang berbunyi. Hingga terdetik di fikiran Afina, tak padan bertubuh kecil tapi suaranya sangat kuat. Malah tidak pula sakit tekaknya menangis tak berhenti. Afina sebenarnya jatuh kasihan, memikirkan cuaca luar sangat sejuk di malam hari apatah lagi di musim dingin begini. Lagi-lagi perut yang berbunyi minta diisi. Kasihan sekali si tubuh kecil. Sedang Afina berfikir apa yang harus dibuat, kucing dewasa tadi kembali menghampiri anak kucing. Risau Afina kembali menyerang.

‘Ah! Tidak kenyangkah si kucing buntal.’

Tangan Afina menggagau mencari sesuatu untuk dituju ke kucing tersebut jika diapa-apakan si kecil. Tapi baru sahaja tangan mahu melontar, lakunya terhenti melihatkan perbuatan kucing dewasa menggogongnya ke kotak buangan di dalam semak. Lalu si anak kucing ditindih dengan tubuhnya yang bersimpul. Dijilat-jilat anak kecil itu memujuk dan diberi sedikit dari sisa ayam yang dimakan. Malam yang tadinya hingar dengan suara teriakan anak kucing tiba-tiba sunyi sepi seolah-olah tiada apa yang jadi. Bingung sebentar Afina cuba mencerna apa yang berlaku. Oh, rupanya kucing dewasa itu mahu memujuk anak kucing itu. Mungkin kucing itu kelaparan dan kesejukan. Tersentuh hati Afina melihatkan kesungguhan kucing dewasa menjadikan tubuhnya sebagai perisai untuk memanaskan si anak kucing.

Barulah tenang hati Afina. Sempat dia memohon maaf kerana salah sangkanya tadi. Sudah suasana kembali sedia kala, Afina kembali menghadap bukunya. Setelah tugasnya selesai, Afina ke tandas untuk bersihkan diri dan menggosok gigi sebelum ke tempat tidur. Tapi baru sahaja matanya mahu dipejam, tangisan kucing itu kembali bersuara. Kali ini kuatnya lebih menyakitkan telinga kerana katil Afina betul-betul di tepi jendela. Mahu melihatkan apa yang jadi, tubuhnya sudah terlalu letih. Matanya apatah lagi, sudah tak terdaya mahu dibuka. Lalu dibiarkan sahaja tangisan itu menghidupkan malam yang sunyi. Dengan memakai menutup telinga, Afina tenggelam dibawa mimpi.

Ketika subuh melaungkan panggilan, Afina terjaga menyahut seruan. Tapi tangisan kucing itu masih berbunyi. Cumanya agak lemah mungkin kerana penat, tapi tiada tanda mahu berhenti. Setelah melakukan rutinnya selepas solat, Afina kembali ke katil. Semalam tidurnya lewat sekali, jadi mahu tidur sebentar merehatkan diri. Matanya sudah dipejam tapi tak terus dibuai lena kerana terganggu dengan tangisan itu. Namun, tubuhnya masih letih. Tidak dipedulikan tangisan kucing itu, Afina memaksa diri untuk tidur berbantukan penutup telinga.

Tapi lelapnya sekejap cuma apabila penutup telinga tiada lagi fungsinya apabila tangisan lemah itu semakin lantang bersuara. Lagi-lagi jam sudah melangkaui angka lapan. Sibuklah kedengaran orang lalu-lalang. Kedengaran seorang pak cik marah-marah di tepi jendela. Nasiblah tinggal di rumah kondo paling bawah. Dengar sahaja apa yang berlaku di keliling rumah. Terganggu dengan suara itu, niat mahu menyambung lena dibatalkan. Tingkap dihampiri mahu melihat apa yang jadi. Menyirap darahnya melihatkan perbuatan pak cik itu seperti mahu menendang dua ekor makhluk kecil itu sambil mulut berdesir mengusir mereka. Mungkin terganggu dengan tangisan kucing sepanjang malam, jadi dilepaskan amarah di pagi begini. Si kucing dewasa itu kelam kabut menggigit leher si anak kucing sambil berhati-hati mengelak kaki manusia yang semakin galak menghampiri. Si anak kucing masih begitu, menangis tak mahu berhenti.

‘Ish pak cik Arab ni. Kot lah nak bagi makan ke? Kasi tempat tidur ke? Sekurang-kurangnya tak bising kucing tu. Ini tak, lagi bisinglah kucing tu kalau begitu lakunya.’

Dalam hatinya mengomel dengan kelakuan pak cik itu, Afina menyarung jubah dan tudung lalu lekas keluar rumah. Dua kucing itu dihampiri. Mujur pak cik itu sudah pergi, kalau tak bising lagi pagi itu dengan suara mereka bergaduh. Afina mahu mengusap kucing tersebut tapi biasalah kucing jalanan. Berhati-hati dengan manusia malah berdesis suaranya marah. Setelah berkali-kali dicuba tidak berjaya, Afina kembali ke rumah. Baki ayam di dalam sup dicubit sedikit, kain tuala lama diambil lalu kedua-duanya dibawa keluar. Setelah diumpan kucing dewasa itu dengan ayam, anak kucing ditinggalkan. Walaupun meronta ketika dipegang, tapi akhirnya dia diam saat Afina membungkusnya di dalam kain. 

‘Sejuk rupanya, sebab itu kau nangis. Sudah macam ais batu badan kau. Menggigil-gigil.’

Kemudian anak kucing itu dibawa pulang ke rumah. Oh, sebenarnya kucing dewasa itu memang kucing jantan. Malah warna kedua-dua kucing itu sangat kontra dan Afina membuat kesimpulan sendiri. Mungkin kucing jantan itu mahu tolong barangkali ketika melihat anak kucing itu menangis sendiri. Berbudi sungguh kau wahai kucing. Tapi, ketika kucing jantan itu pun mahu dibawa pulang ke rumah, dia bertindak agresif mencakar tangan Afina. Berdarah jugalah tangannya. Jadi kucing itu dibiarkan di luar, hanya anak kucing dibawa pulang.

Bermula dari itulah, kehidupan sunyi Afina dihidupkan dengan ragam si anak kucing. Sudah dibawa pulang, pastilah mahu dipelihara. Masuk sahaja ke dalam rumah, teman serumah semuanya berkumpul menghulur salam kenal buat si anak kucing. Setelah dimandi dan dibersihkan, si kecil mula kelihatan segar dan bertenaga. Riuh Afina dan teman-teman mahu menamakan si kecil. Akhirnya mereka bersepakat mahu memanggilnya Oren memandangkan bulu gebunya yang lebat dengan warna oren. Malah sengaja mereka mengubah sebutan Oren kepada Oyen untuk lebih menarik dan kontemporari. Sedang sibuk memberikan Oyen makan dengan baki makanan di dapur dan diberikan minum susu yang baru dibeli, tiba-tiba baru mereka sedar ada seorang ahli rumah mereka yang tidak turut serta. Mereka semuanya lima orang serumah. Memandangkan rumah yang mereka sewa hanya dua bilik, Afina sebilik dengan Aida. Manakala di bilik utama, Susi berkongsi dengan Wardah dan Iffah.  Sekarang ini mereka kehilangan Wardah. Ke manakah gadis itu?

Sedang mencari-cari, rupanya gadis kecil molek itu bersembunyi di bilik air. Nampak sahaja kelibat Oyen di dukungan Afina, langsung jeritan nyaring memecah suasana. Pintu bilik air yang baru dibuka dihempas kuat dengan kasar. Dalam kebingungan mereka saling berpandang sesama mereka, akhirnya kedengaran tangisan merayu supaya kucing itu jangan dibela. Kalau mahu juga, di bilik Afina sahaja tinggalnya. Kerana dia sangat fobia dan takut kucing dari kecil. Lalu mengertilah mereka apa puncanya Wardah yang bising tiba-tiba bersembunyi. Demi menghormati ahli rumah, maka bersetujulah mereka menempatkan Oyen di bilik Afina. Jika begini, terpaksalah Afina melatih Oyen supaya berkumuh di kotak.

Minggu pertama menjaga Oyen sungguhlah sangat menguji sabar. Seperti anak kecil, perlu dicuci selalu jika Oyen berkumuh bukan pada tempatnya. Minggu itu sahaja, sudah berkali-kali Afina terpaksa menggantikan karpet di bilik. Hingga pernah tidak diganti karpet baru kerana tidak mahu tercemar lagi. Mujur hanya di biliknya, kalau dibiarkan berkeliaran di rumah, penat dia mencuci. Kerana itu Afina ajarkan Oyen supaya kotak yang diisi pasir itu dijadikan tandasnya. Tapi biasalah, mendidik itu memakan masa yang lama. Mujur minggu kedua Oyen sudah pandai menggunakan tandasnya. Jika tandas Oyen berfungsi, perlu rajinlah Afina bekerja untuk sering membersihkan najisnya dan sering gantikan pasirnya juga.

Dan dua minggu selepas itu juga, barulah Oyen mula menunjukkan belangnya. Betapa sifat azali Si Oyen begitu suka menyerang sesiapa sahaja yang lalu di depannya. Bukan sahaja menyerang, malah menggigit dan mencakar menjadi kelebihan utamanya. Dapat meninggalkan luka dan parut itu sudah menjadi kepuasan dan kebanggaan buat Oyen. Oyen juga sangat berhati-hati jika ada yang mahu menghampirinya. Kalau ada yang mahu menyentuh, bukan main bengis mukanya, tercacak bulunya menderam sebelum orang itu dicakar. Dengan Afina sahaja lakunya agak bebas dan dilayan seperti hampa abdi. Iyalah, najisnya dicuci, tandasnya diganti selalu, kalau ada sisa makanan tumpah perlu dicuci lagi, belum lagi biliknya bagai dilanda ribut taufan setiap kali pulang ke rumah. Penatnya, usah ditanya. Tapi Oyen itu terapi buatnya.

Kadang-kadang itu Afina tidak terlalu beri muka, ditangankan juga bontot Oyen jika salah lakunya. Ataupun telinga capang berwarna merah jambu itu dicubit mahupun ditarik geram. Lagi-lagi mahu mengajar tabiatnya suka menggigit, dijentik mulut dan giginya. Tapi pukulnya tak kuat mana, cukup sekadar mengajar dia merasa sakit bukan hingga terseksa. Biarkan dia menangis, nanti diberi makan diamlah dia. Tapi kebal sungguh Oyen ini, awal-awal dulu kalau dimarah dan dipukul, diam sekejap sahaja dia bermuhasabah. Setelah itu, semakin pandai dia memberontak. Lagi dipukul lagi itulah dia mahu menyerang. Tangan Afina usah ditanya, penuh dengan parut cakaran. Menyapu ubat parut sebelum tidur sudah menjadi rutin wajib buatnya. Kadang-kadang itu kalau tidak tahan, kukunya yang tajam akan diketip menjadi kontot. Kala itu, sukalah Afina membuli Oyen. Cakarannya tak meninggalkan bekas. Tapi Afina lupa, Oyen masih punya gigi tajam yang bersusun untuk menggigit. Sungguhlah Oyen itu melayan Afina bukan sebagai tuannya, bukan sahaja hamba abdi tapi juga musuh yang paling dibenci. Lihat sahaja lakunya, pernahkah dia biarkan Afina hidup senang.

Afina pernah bergaduh besar dengan Oyen. Ketika itu sengaja Oyen dibiarkan bebas meneroka rumah setiap kali Wardah tiada di rumah. Tak adalah dia terkunci sahaja di bilik itu. Tapi, kebaikan Afina dibalas dengan melanggar pantang larang Afina, diganggu saat Afina sedang bersantap mengisi perut yang berdendang, ketika itulah Oyen bersiap siaga memasang perisai, mengasah kukunya yang kontot, mengebar megah ekornya yang  berkembang bagai merak lalu membuat lompatan tinggi memecah rekod kepantasan dunia mencuri ayam goreng masak kicap dari genggaman tangan Afina. Belum sempat lidah Afina mencicip keenakan masakan cef terbaik rumah mereka iaitu Wardah, ayamnya sudah dicerna licin di dalam perut Oyen. Lalu untuk entah ke berapa kalinya, teratak kecil mereka digempar dengan segala macam hentakan periuk belanga. Kucing nakal! 

Kerana kenakalannya itu, mendapatlah penangan hukuman kejam daripada Afina dikurung di dalam bilik lalu dengan bangganya Afina menayang masakan enak Wardah di hadapan Oyen setiap kali mahu makan. Sudah puas mengumpan Oyen supaya mencuri ayam di tangannya, Afina akan lari meninggalkan bilik lalu ditutup rapat pintu bilik. Tersenyum lebar Afina mendengarkan cakaran pintu dan teriakan Oyen sambil menikmati juadah tengaharinya. Kalau sudah namanya seteru, mestilah harus membalas karma dendam kesumatnya. Oleh kerana itu, Oyen akan mewajibkan rutin hariannya mengejut Afina di dua per tiga malam demi melunaskan perutnya  yang berkeroncang. Mahu makanan, lapar katanya! Kalau hajatnya dipandang enteng, maka pertambahlah parut baru penangan kukunya yang tidak pernah lupa diasah. Lebih menyakitkan hati Afina, Oyen sememangnya sengaja menyasar wajah Afina yang putih gebu. Pernah jugalah berbekas luka di pipi dan bawah matanya. Disebabkan itu, hampir seminggu Afina tidak mahu keluar rumah. Raksasa kecil! Kalau cemburu katakan saja. Sudah puas Afina menghukumnya, fizikal dan mental, tapi kebal sungguh Oyen itu. Selicik-licik Afina, licik lagi Oyen membalas dendam.

Kelakuan paling brutal yang pernah Oyen laksanakan keatas Afina adalah serangan peluru berpandu. Pertama kali kena, benjol belakang kepalanya kerana terhantuk. Manakan tidak, baru sahaja buka pintu bilik dengan keadaan tubuh yang letih baru pulang dari fakulti, ingatkan bolehlah Afina terus menuju ke katil menghilangkan lelah. Tapi lain sketsanya apabila dia disambut Oyen di depan pintu yang sedang dalam posisi pelari pecut bersedia mahu memecut lari. Tak sempat bertanya kenapa, bersabung sahaja mata mereka, Oyen dengan sorakan lantangnya menyerang Afina bagai peluru berpandu tepat mendarat di muka Afina. Dihentam daya seekor kucing gemuk, apatah lagi tidak bersedia, terhuyung-hayang Afina tidak nampak dunia. Tidak sempat berpaut pada apa-apa, ‘berdebuk’ Afina terlentang bagai nangka busuk bunyinya. Bagai letupan bom hiroshima pun ada juga. Setelah misi perangnya berjaya, Oyen pergi menayang punggung tonggeknya tanpa ada rasa bersalah. Ingatkan itu adalah pertama dan terakhir kalinya, rupanya itulah ancaman terhadap Afina setiap kali mahu masuk ke dalam bilik. Setelah itu, Afina akan bersiap siaga bersama perisai di muka. Tak mahulah dia pisang berbuah dua kali. Yang sakitnya dia, budak Oyen si gemuk kuat makan. Tak makan saman pula tu kalau dimarah dan dipukul. Kucing apalah yang dia bawa pulang ni. Kebal dan nakal bukan main.

Ada satu ketika, sedang Afina dan teman-temannya berborak panjang di ruang tamu. Tiba-tiba kedengaran hempasan periuk belanga di dapur. Disusuli dengan teriakan Wardah yang tak disangka. Mungkin Afina lupa tutup rapat pintu lagi sekali. Fikir mereka, mungkin Wardah bertembung lagi dengan Oyen yang diam-diam keluar dari bilik. Jadi, kelam-kabut di dapur mereka buat tidak peduli. Tapi Susi pergi juga menjenguk dengan tawa yang tertahan-tahan. Apa lagi, mahu rakamlah gelagat Wardah yang pengecut, mahu dijadikan bahan untuk ketawa bersama. Tapi lain jadinya apabila Susi juga menjerit tiada tahu punca. Jadi buru-buru mereka semua ke dapur. 

“Ah ular!!”

Satu-persatu teriakan mereka menjerit sambil jari menuding. Kaki pula lintang pukang melarikan diri. Tinggal Wardah di dapur yang duduk statik di atas meja, berpeluk tubuh bersama periuk di tangan. Buat perisai kalau diserang ular mahupun Oyen. Afina pula risaukan Oyen. Kucing kecil itu bukan mahu selamatkan diri, malah terlompat-lompat dia mengeliling ular yang panjang. Entah apa jenis ular tidak pula Afina tahu, tapi penyapu sudah di tangan jika dia pula yang diserang. Satu tangan lagi sibuk menekan nombor di telefon, mahu hubungi pelajar lelaki datang tengokkan.

Visualnya sudah berpusing teringatkan siri animasi Boruto berdepan dengan Garaga si ular gergasi. Dan mereka semua di rumah itu adalah para shinobi yang mahu membunuh ular tersebut tapi masing-masing pengecut semua. Mujur ada Oyen yang visualnya juga sama besar dengan ular gergasi. Oyen jadi gergasi? Ah, Afina sudah tak peduli apa jadi. Setiap bunyi hentakan di dapur, setiap itulah dia menjerit. Tapi matanya masih mahu mengintai di sebalik penyapu yang menutup muka. Oyen dengan gagahnya menggunakan senjatanya paling berharga iaitu kukunya yang tajam bak samurai. Tak kurang juga giginya yang runcing menembusi isi kulit tebal ular itu apabila tubuh panjang itu digigit. Menggelupur tali licin itu mengerang kesakitan.

Serangan bertubi-tubi daripada Oyen tidak membuatkan dia berputus asa untuk dia melarikan diri dari medan tempur. Malah serangan paling ampuh dibalas dengan mengeluarkan cecair bebisa dari celah giginya yang tak bergosok, bersembur-sembur bisa itu bagai hujan jarum menimpa Oyen. Mujur Oyen makhluk intelek, belum sempat tubuhnya bermandi bisa lekas dia menjauhkan diri. Kini mereka seri, bersabung mata dalam bersedia mahu bertempur. Baru sahaja mereka mahu saling menyerang, tiba-tiba jatuh sebuah belanga tepat menghempap ular tersebut malah terkurung di dalamnya. Bukan sahaja Oyen yang terlompat ke belakang. Malah mereka yang terketar-ketar bersiap siaga juga, sepuluh langkah terlompat ke belakang. Apa jadi?

Rupanya Iffah entah di mana menyoroknya menyerang perang gerila. Tanpa isyarat buat teman sepasukan, dia baling sahaja sesuka hati. Baru sahaja mahu bersorak, tiba-tiba belanga yang diam berkutik menggila berpusing. Berdetup-detup seperti hentakan bertubi-tubi dari dalam. Sekali lagi mereka semua lari selamatkan diri, tinggalkan Wardah yang pengecut dan Oyen yang masih gagah berani di medan perang. Mencacak bulu dan ekor Oyen bersedia mahu menyerang. Terbang sahaja belanga ke udara, ular bebas dari penjara tapi tidak sempat bersedia, berguling-guling mereka di lantai dapur yang berhabuk tak dicuci dek diserang Oyen tiba-tiba. Tidak membuka peluang, mulut ular itu digigit sekuat hati tidak memberi ruang taringnya dikeluarkan. Digigit dan dikoyak sambil kuku samurainya dibenam dalam menyoyak isi ular. 

Tapi ular masih kuat bertenaga. Ekornya meliuk lentok mula bekerja, tubuh gemuk Oyen mahu dibelit hingga tercekik. Namun tajam mata helang Oyen mengesan, mulut ular yang luka parah dilepaskan lalu ekornya yang mahu menyerang pula menjadi mangsa. Menggelupur ular itu diseksa kejam tanpa henti. Melihatkan gaya Oyen, sepertinya ular itu mahu diseksa sampai mati. Namun terpaan tiba-tiba dari gerombolan manusia membuatkan Oyen terlepas mangsanya kerana terkejut. Tentera yang direkrut tadi baru menunjukkan kuasa rupanya. Aida yang membuka pintu sempadan untuk mereka masuk. Tapi suspek jenayah telah berjaya melarikan diri bagai lipas kudung melepasi pintu sempadan belakang. Walaupun cedera parah, lajunya masih sihat bersemangat.

“Mana ularnya?”

“Lu.. lu.. luar!”

Tergagap-gagap Wardah memberi informasi kerana dia yang menjadi saksi sepanjang pertempuran terjadi. Belum lagi tentera rekrut memulakan serangan, Oyen si hero budiman lebih dahulu mulakan langkah awal. Jejak darah merah yang bersimpang siur sangat jelas untuk dikejar. Musuh tak akan berjaya melarikan diri. Bukan sahaja tentera rekrut berkawat kaki mengikuti Oyen yang berlagak ketua, tentera pengecut yang berkaki lembut bagai sotong pun mahu mengesot turut serta. Mereka berhenti di sebuah pokok redang yang mungkin menjadi persinggahan si ular berbisa.

Bagai memahami isyarat Oyen, mereka semua tentera biasa patuh dengan arahan general yang mahu turun padang mengintip musuh. Sunyi sepi di sekeliling, jantung masing-masing berdegup kencang menanti sebelum tiba-tiba bunyi ular berdesir membukakan mulutnya luas mahu menggigit. Sayangnya kali ini, Oyen tidak sempat melarikan diri. Lalu mata kiri Oyen menjadi mangsa tusukan taring ular yang tidak berjaya digunakan sedari tadi. Afina menjerit kuat disertai tangisan kerana terkejut Oyen diserang begitu. Entah mana perginya rasa takut tadi, batu besar di kaki di ambil lalu dibaling menghempap tubuh si ular. Maka terlepaslah gigitan ulung yang dibanggakan. Malah tentera rekrut juga mangambil tindakan dengan memukul ular tersebut dengan kayu.

Afina sudah tak pedulikan kelilingnya, Oyen yang terhuyung-hayang dihampiri. Bengkak bulat mata biru cantik itu berjejeran darah dan air mata. Dalam menangis tak tentu hala, Afina diheret teman-temannya menahan teksi. Entah ke mana tujuan mereka, yang diberi perhatian hanya Oyen yang tak bermaya di pelukan. Tahu-tahu sahaja mereka sudah duduk di ruang menunggu giliran untuk dipanggil. Mujur tidak lama, Oyen dibawa ke bilik rawatan dan mereka semua diminta tunggu di luar. Gelisah usah ditanya, sudah bagai kucing hilang anak gaya Afina ke hulu ke hilir. Tak sesaat pun punggungnya menyentuh kerusi kerana menanti. Hampir satu jam menunggu, akhirnya doktor haiwan yang kacak bermata hijau datang menghampiri dengan senyuman manis.

“Jangan risau. Kucing kamu selamat. Luka tubuhnya tidak dalam, sudah dicuci dan disapu ubat malah kucing kamu sangat bernasib baik kerana bisa ular tak sampai merosakkan sistem tubuhnya. Semuanya berkat usaha kamu yang segera membawanya ke klinik. Cumanya saya minta maaf, saya sebagai doktor haiwan tidak berjaya menyelamatkan mata kirinya. jadi untuk mengelakkan jangkitan, kami terpaksa buang matanya. Dan kucing kamu sekarang ini buta sebelah.”

Walaupun sedih dengan khabar buruk itu, Afina menerimanya dengan tabah. Yang penting Oyen selamat dan masih boleh melihat biarpun hanya sebelah mata cuma. Oyen yang masih tidur di bilik rawatan dilawat mereka semua. Lemah tubuhnya tak bermaya,  penuh dengan tampalan kain kasa di mana-mana. Lebih besar di mata kirinya, diikat kain putih mengelilingi kepala Oyen. Dahi Oyen dicium kerana gembira dia masih kuat, bulunya diusap-usap dengan selesa. Oyen perlu ditinggalkan di klinik sehari semalam untuk pantauan lanjut. Keesokan harinya Oyen sudah boleh dibawa pulang.
Sampai sahaja di rumah, Oyen disambut dengan majlis meraikan hero mereka semua. Setelah kejadian rumah mereka dimasuki ular, tidak pernah lagi tingkap dan pintu dibuka. Risau perkara yang sama berulang. Walaupun ada Oyen yang boleh berlawan, tapi tak mahulah pisang berbuah dua kali. Apatah lagi si penyelamat hampir hilang nyawanya. Sebagai menghargai, sepakat ahli rumah mahu masak sedap-sedap untuk dijamu kepada Oyen. Chefnya mestilah Wardah walaupun dialah yang paling takutkan Oyen. Tapi dialah yang paling bersemangat menyusun menu buat Oyen kerana mahu membalas jasa. Makan besarlah Oyen hari itu. Akhirnya terlentang perutnya yang membulat di ruang tamu, tak terdaya mahu bergerak kerana terlalu banyak makanan disumbat. Terlena dia di situ hingga esok hari.

Setelah dua minggu berulang-alik ke klinik haiwan, akhirnya balutan di mata Oyen sudah boleh ditanggal. Sungguhlah baik hati doktor kacak si perawat haiwan itu. Dia hadiahkan penutup mata seperti lanun buat Oyen. Bukan yang jenis ikat tapi pelekat boleh ditanggal. Pesan doktor perlu sering ditanggal dan dicuci supaya tidak terkena infeksi. Afina patuh bagai burung belatuk membalas senyuman menawan doktor bermata hijau. Bagai cemburu, Oyen menjeling tidak puas hati. Sempat lagi tangan kontotnya itu mencakar kulit Afina. Minta perhatian lah tu.

Kisah Oyen penuh aksi tidak berhenti di situ saja. Ada suatu hari, mereka ahli rumah sepakat mahu berkelah di pantai. Maka bergotong-royonglah mereka menyediakan juadah untuk disantap di sana dan disumbat beberapa helai pakaian untuk salinan setelah basah kuyup bermandi-manda nanti. Setelah siap semua kelengkapan lalu beriringanlah mereka ke pantai berdekatan. Mujur tidak jauh. Hanya berjalan kaki tidak sampai lima belas minit, tibalah mereka di persisiran pantai. Oh, tak lupa juga Oyen turut dibawa bersama. Mujur Afina pernah belikan tali khas untuk haiwan peliharaan. Tidaklah Oyen berkeliaran, hilang nanti dia pula yang susah hati.

Melihatkan dia diikat, nampak sangat protesnya apabila setiap kali mahu berlari sesuka hati tidak berjaya. Pasti tercekik lehernya jika tali sudah sampai ke penghujung. Lalu kaki Afinalah menjadi mangsa cengkaman kuku tajam Oyen apabila raksasa kecil itu melompat dan bergayut di seluarnya. Tunjuk kuasa dia tidak puas hati. Tidak cukup dengan itu, teman-teman Afina juga dilakukan hal yang sama jika Afina buat tidak peduli padanya. Menjeritlah mereka merasa cakaran kukunya yang tajam. Lebih menyedihkan paha mereka yang gebu akan berbekas parut. Jika tak segera dirawat, bakal kuranglah harga mas kahwin mereka. Wardah awal-awal sudah jauh sebatu. Selamat mas kahwin dia nanti.

Tapi protes Oyen mereka buat tak peduli. Setelah membentangkan tikar dan payung dipasang, lalu mereka bergantian bermandi-manda dan menjaga ayam dan ikan perap yang dibakar. Juadah mereka untuk dimakan bersama nasi himpit, air asam dan kuah kacang nanti. Tali Oyen diikat pada patang payung tapi tiada pula dia meronta mahu melepaskan ikatan, tapi menyibuk mahu menerkam ayam yang sedang dibakar. Bersinar-sinar matanya dengan lelehan air liur menanti penuh sabar ayam dan ikan bakar siap dimasak. 

Sedang Oyen sabar menanti, tiba-tiba keliling mereka dikerumun dengan burung laut. Awalnya hanya satu, dua ekor sahaja jadi mereka abaikan. Tapi semakin lama bilangan yang sedikit bertambah sedikit demi sedikit. Oyen sudah menderam memberi amaran supaya jangan menghampiri mereka. Lebih tepat makanan dia! Itu dia punya! Ada kala Oyen akan melompat dan menerkam burung yang cuba menghampiri. Terbanglah dua tiga ekor. Tapi yang lain masih statik menyusun rencana. Oyen yang seekor bukan ancaman pada mereka. Akhirnya usaha Oyen menjaga kawasan dipatahkan juga. Seekor ikan berjaya diterbangkan.

Teriakan Oyen yang mengamuk menarik perhatian Afina dan temannya yang sedang bermandi manda. Melihatkan kerumunan burung laut yang besar saiznya dan luar biasa bilangannya, kembalilah mereka ke pesisir pantai mahu membantu berjaga. Oyen semakin ganas menerkam dan menggigit burung yang cuba merebut ikan. Ada yang terkena cakaran Oyen, terbang tidak pulang. Tapi ada yang masih gigih bertahan. Melihatkan situasi itu, imaginasi minda Afrina mula merangka fantasi.

Habitat kucing raksasa dibom oleh tentera udara kerana raksasa itu punya barang berharga yang didamba mereka. Terbayang-bayang cerita Ultraman Zero di Astro Ria, saat tentera pesawat menyerang raksasa di kota raya. Bezanya sekarang pesawat itulah musuh durjana, mengganggu habitat Oyen yang hanya kepunyaan diri. Licik burung-burung pesawat itu menyerang balas. Tak dapat menggigit dengan paruh, dilepaskan bom cecair dari buntut mereka. Maka berhujanlah mereka dengan tahi burung. Mujur ada payung besar untuk berlindung.

Kali ini Afina dan teman-teman tidak masuk campur. Risau jika wajah mereka bertepek najis. Jadi dibiarkan Oyen sendirian menunjukkan belangnya. Satu pesawat jatuh terhempas penangan lompatan tinggi Oyen menggigit sayap burung yang sedang mengepak. Satu tumpas, berpuluh lagi menanti. Sungguh silap rencana mereka petang itu. Seharusnya mereka pilih kawasan berkelah yang jauh dari pelabuahan. Inilah akibatnya tidak berfikir panjang. 

Lama juga pertempuran mereka berlangsung sehinggalah seekor pesawat berjaya mencuri salah satu barang berharga yang belum sempat disembunyikan. Tidak mahu barangnya diambil orang, pesawat yang sedang mengepak tinggi dilompat hingga kakinya berjaya digigit. Peluang itu tidak dilepaskan, menggagau cakaran Oyen mahu mencederakan si burung. Ironinya, burung itu juga tidak berputus asa. Enjinnya masih elok untuk terbang lagi tinggi. Lalu terbanglah burung itu bersama Oyen yang masih tidak mahu lepaskan. Afina sudah menjerit risau melihatkan Oyen semakin mengecil di langit. Lebih mendebarkan saat melihatkan burung yang sudah hilang kudratnya semakin menjunam ke bumi. Silapnya bukan ke darat tapi di laut yang terbentang luas. Seperti dijangka, menggelupur kedua-duanya di permukaan laut.

Afina tidak mahu berdiam diri menjadi pemerhati. Jika dibiarkan sahaja, lemas nanti kucingnya itu. Manalah Oyen itu tahu berenang. Mujur Afina itu tahu berenang sedari usia tujuh tahun, jadi untuk menyelamatkan Oyen itu perkara mudah. Walaupun begitu, ketika Oyen selamat dibawa ke darat. Raksasa kecil itu sudah tidak bernafas. Maka bergantilah Afina dan Aida cuba membuat CPR. Teman-temannya yang lain menggantikan tugas Oyen mengusir burung-burung nakal mahu mencuri.

Seperti yang dipernah dibelajar dan ditonton, Afina cuba menggunakan teknik-teknik tersebut dengan efektif. Mulut dan hidung Oyen berkali-kali disedut, lalu di bahagian dada Oyen ditekan terus-menerus. Aida sentiasa mencari-cari denyutan nadi Oyen. Setelah satu minit berlalu tapi Oyen masih tak bernafas. Tubuh Oyen ditunggang sambil menekan-nekan dadanya. Nafas pertama Oyen memberi harapan tetapi masih lemah. Usaha yang sama dilakukan terus menerus. Tapi melihatkan Oyen masih sukar bernafas, Afina cuba mencari ikhtiar. Botol kosong kecil diambil lalu dipotong dua. Kemudian, belahan botol ditekup ke mulut dan hidung Oyen dan dia pula menjadikan muncung botol sebagai saluran untuk meniup udara. Dua tiga kali mencuba, Oyen semakin memberi respon membaik. Lalu diteruskan laku itu sehingga Oyen berjaya bernafas dengan normal dan bangun berjalan.

Menitis juga air mata Afina diiringi ketawa lega. Kucing nakal! Tidak tahulah apa jadi kalau tak bersungguh usahanya tadi. Sempat juga telinga Oyen ditarik geram. Suka buat kerja bukan-bukan. Kalau tenggelam lemas, mahu bagaimana dia? Itu antara kisah nakal dan kebalnya Oyen. Oyen pernah jatuh pokok mengejar tupai yang melarikan makanan dari dapur rumah mereka, patah juga kaki depan dan lehernya. Oyen juga pernah terlompat-lompat mengejar tebuan yang entah dari mana sedang mengganggu Susi yang sedang belajar. Akibatnya, bertelur kepada Oyen membengkak. Lebih tak disangka, Oyen pernah cuba mengentikan wayar putus yang masih ada percikan api elektrik. Salah dia juga suka sangat menggigit dan memutuskan semua benda bertali di rumah mereka. Mujur Afina segera bertindak mematikan suis utama. Selamatlah Oyen daripada terkena kejutan elektrik, cuma hangus jugalah bulu ekornya. Mengenangkan itu. Geleng kepala sahaja mereka semua.

Namun, Oyen yang disangka kebal rupanya tak sekuat mana. Dalam dia tangkas dan berani berdepan dengan pelbagai musuh dan rintangan, akhirnya kegagahan Oyen tersungkur menjadi mangsa gilisan tayar kenderaan. Walaupun kebanyakan waktunya, Oyen sering dikurung di dalam rumah. Tapi ada ketika, Afina sengaja biarkan dia bebas berkelana di luar rumah untuk mencari pengalaman segar dan menemui ramai teman baru. Awal-awal dahulu, risau juga Afina seandainya bebas Oyen hingga tak pulang. 

Pernah sekali itu hampir seminggu kelibatnya tidak kunjung di pandangan. Entah ke mana perginya, walaupun dicari dan ditanya di persekitaran kawasan perumahan Oyen tak juga ditemui. Baru sahaja hatinya pasrah Oyen mahu bebas berdikari, tiba-tiba terjengul kepala kucing di pintu belakang ketika Afina sedang sibuk menyiapkan juadah di dapur. Melihatkan Oyen sudah pulang, ditinggalkan semua kerjanya di belakang. Tubuh gebu itu dipeluk dan dicium sepuas hati walaupun comot dan hanyirnya sungguh menyengat hidung. Barangkali Oyen ke pelabuhan berdekatan dengan perumahan mereka kerana menghidu ikan-ikan yang baru ditangkap. Selepas kejadian itu, Oyen masih tetap dilepaskan dua kali seminggu dan dia pulang ke rumah jika sampai waktunya. Seminggu adalah rekod paling lama Oyen tidak pulang ke rumah. Paling sekejap sehari cuma. Pagi keluar, petang pulangnya. Bak kata pepatah, sirih pulang ke gagang. 

Tapi benarlah kata orang dulu-dulu, malang itu tak berbau. Bebasnya Oyen berkeliaran akhirnya mengundang celaka. Bukan tidak pernah luka, malah pernah dibawa ke klinik kerana perlu diselamatkan. Tapi ketika mana Susi dan Aida yang baru pulang dari kuliah dengan tergesa-gesa, rasa tidak sedap itu mula bertenggek di tangkai hatinya. Apatah lagi dikhabarkan Oyen ditemui luka parah di tepi jalan. Awalnya mereka mahu membawanya pulang. Tapi Oyen bertindak agresif setiap kali ada yang mahu menyentuhnya. Malah tangan Aida sudah berdarah dicakar Oyen. Afina yang ketika itu sedang sibuk menghabiskan cucian pakaiannya langsung meninggalkan kerjanya. 

Jubah dan tudung disarung lalu dia dan dua orang temannya keluar mencari Oyen. Dari jauh sudah kelihatan banyak orang berkerumun membuat bulatan seperti semut menghurung gula. Bunyi tangisan sayu Oyen sangat mematahkan hatinya. Sebak tiba-tiba memaksa dia untuk mengalirkan air mata. Tapi Afina tahan sebaik mungkin, dipujuk hatinya Oyen itu kebal. Tak mudah pasrah dengan dugaan. Setelah kerumunan banyak orang membuka ruang, Oyen yang bermandikan kolam darah pekat menyapa pandangan matanya. Terhenti nafasnya sambil menekup mulutnya tak percaya melihatkan keadaan kucing kesayangannya itu. Melihatkan seretan jejak darah dari jalan raya, tahulah Afina bahawa Oyen dipindahkan seseorang ke tepi jalan bagi mengelakan lukanya semakin parah.

Mujur ada yang baik hati. Sekarang sahaja sudah tidak jelas rupa bentuknya, apatah lagi jika dibiarkan di tengah jalan. Mungkin hancur tubuhnya menjadi gilisan berpuluh-puluh kenderaan empat tayar. Oh! Tak tega memikirkan kemungkinan itu. Setelah lama tubuhnya kaku menahan sebak, Oyen yang sedang menangis sayu dihampiri. Seperti selalu, kegemaran Oyen itu jika ada yang mengusap lembut kepalanya. Setelah berkali-kali kepala Oyen diusap, mungkin rasa terbiasa dan selesa tubuh Oyen tidak lagi kaku dan bengis, membuka ruang kepada Afina untuk mendukungnya ke pangkuan. Mungkin kerana sakit di tubuhnya entah dimana, suara berteriak kuat, kukunya juga dikeluarkan tapi tidak sampai mencakar. Hati Afina tersentuh dengan sikap timbang rasa Oyen terhadapnya. Nasib baik Afina teringatkan tuala kegemaran Oyen untuk dibawa bersama, dengan berhati-hati tubuh Oyen dibalut lalu dikendungnya untuk dibawa pulang.

Sepanjang perjalanan, hati Afina terus berbisik bahawa Oyen akan baik-baik sahaja. Antibodinya sangat kental apatah lagi tubuhnya, sangat kebal dan sihat. Jadi, Oyen akan kembali sembuh seperti biasa. Malah akan lebih cergas bertenaga. Itulah ayat pemujuk hati Afina yang galau. Afina terus ke belakang rumah untuk dibersihkan di paip. Peti pertolongan cemas yang dibawa Aida diambil, botol antiseptik dibuka lalu dicurahkan ke tubuh Oyen. Dengan penuh waspada, darah Oyen dibersihkan. Berkat sering berhubung dengan doktor haiwan yang pernah merawat Oyen dulu, Afina praktikan segala ilmu yang dituntut berkenanaan dengan haiwan. Tangkas tangannya bekerja.

Awalnya Afina fikir luka Oyen tidak terlalu parah, paling kurang mungkin patah di kaki melihatkan lebam yang ketara di paha Oyen dan kelihatan tulang lututnya tidak bercantum. Tapi perasankan luka dalam di perut Oyen hingga membelah isi perut, apatah lagi di dubur Oyen seperti ada sesuatu yang tersekat. Setiap kali mahu menyentuh di situ, Oyen pasti bertindak agresif. Setelah berkali mencuba tapi tidak berjaya, Afina jadi buntu. Bertambah risaunya apabila darah yang berulang dicuci masih laju mengalir keluar. Salur puncanya dari luka di perut dan lubang dubur Oyen. Botol antiseptik juga sudah kering diguna semua. Jadi pastinya cedera Oyen bukan sekadar patah kaki. Takut memikirkan kemungkinan yang bakal jadi jika melambatkan rawatan Oyen, kucing oren itu segera dikejar ke klinik haiwan sebelum ini.

Sampai di sana, Oyen tidak perlu menunggu giliran melihatkan kondisi parah tubuhnya lalu Oyen terus dibawa ke ruang kecemasan. Setelah Oyen bertukar tangan, Afina disuruh tunggu di luar. Gelisah sungguh rasa hatinya kali ini, kaki dan tangannya tidak berhenti menggigil risaukan si oren kesayangan. Hatinya tidak putus-putus berharapkan Oyen dipanjangkan hayatnya. Semakin tidak diam dirinya melihatkan jarum jam sudah hampir dua jam berlalu tapi doktor di dalam masih belum menyudahkan operasinya. Namun penantian yang ditunggu berhenti tidak lama setelah itu. Tidak seperti selalu, doktor bermata hijau itu tidak datang bersama dengan senyuman manisnya. Malah wajah sugul dan kerutan di dahinya sangat merisaukan.

“Alhamdulillah, kucing kamu kami berjaya selamatkan. Oyen patah kaki kiri kelakang. Kecederan parah di abdomen hingga terbuka perutnya. Kami syak, ketika digilis perutnya dikelar kaca di jalan. Dan lebih parah, Oyen keguguran kandungannya berusia tiga minggu. Walaupun Oyen berjaya kami selamatkan, tapi hayat yang lanjut sangat tipis. Tidak mahu mengguris hati mana-mana pihak, tapi kami mahu kamu bersedia dengan sebarang kemungkinan.”

Setelah khabar buruk itu disampaikan, bahu Afina ditepuk memberi semangat sebelum kembali sibuk dengan kerjanya. Rasa terkejutnya bukan kepalang mengetahui bahawa Oyen mengandung dan dia seperti orang bodoh tidak tahu apa-apa akan hal itu. Tangisan Afina mula membanjiri wajahnya, rasa bersalah semakin menyelubungi dirinya. Tuan apakah sepertinya tidak ambil peduli. Oh Oyen, maafkan aku! Oyen perlu ditinggalkan di klinik selama empat hari untuk pantauan susulan. Ketika hari Oyen boleh dibawa pulang, tubuhnya sangat tidak bertenaga. Walaupun Oyen sudah boleh kembali ke rumah, tapi pesan dokor bermata hijau kebolehan Oyen untuk sembuh seperti sedia kala hampir tiada. Bantuan ubat yang diberikan hanya sebagai rawatan untuk mengurangkan rasa sakit dan memanjangkan tempoh hayat yang tidak lama.

Sungguh, sebak kali mendengarkan berita itu. Menggigil-gigil tangan Afina menyambut Oyen ke dalam pelukan. Mahu sahaja ditinggalkan Oyen di klinik kerana kelengkapan alat kecemasan lebih sempurna jika apa-apa yang jadi.  Tapi kata doktor bermata hijau lagi, biarlah detik-detik terakhirnya di samping orang tersayang. Kerana itu Afina tabahkan hati, dipujuk hatinya untuk ceria seperti selalu ketika berbual dengan Oyen. Cumanya tiada lagi usikan memukul buntutnya yang tonggek, mahupun menarik telinganya yang capang. Walaupun ada kalanya Oyen mahu bermanja dengan gigitan tajamnya atau mencakar wajah Afina jika mengabaikannya, semua itu sangat tak berdaya tingkah laku Oyen. Dalam bergenang air mata, Afina akan berpura-pura sakit lalu berterik marah sambil menarik telinga dan menjentik hidungnya kerana nakal.

Hari berganti hari, makanan harian yang disediakan buat Oyen semakin tak bersentuh. Makanan kering masih penuh di kotak, ikan rebus kegemaran Oyen juga tak luak lagi ditelan. Hanya air sahaja membasahi tekak, itupun setiap kali Oyen diberi ubat Afina akan memberikan air dengan bantuan picagari. Kerana semakin hari perut Oyen semakin tidak terisi, Afina usaha juga dengan menggantikan makanan rutin Oyen dengan susu dan keju. Mungkin akan lebih kenyang. Awal-awal dibuka juga mulut mahu menelan tapi hanya sehari, setelah itu Afina menggunakan picagara juga untuk menyuap susu kepada Oyen. Sekurang-kurangnya kenyang sedikit perut Oyen, tidaklah hanya air kosong dan ubat sahaja mengisi perut.

Sudah tiga hari berlalu, Oyen semakin tidak bertenaga. Kalau mahu berbual dan mengusik Oyen, responnya hampir tiada. Setiap kali itulah Afina akan mendekatkan telinga ke hidung Oyen sambil tangan diletakkan di dada Oyen, jika terasa hempusan nafas dan detakan jantung Oyen barulah tenang hati Afina hari itu. Sekurang-kurangnya Oyen masih hidup, itu lebih penting. Rutin itu Afina lakukan hampir setiap hari selepas waktu solat. Sehinggalah satu petang itu, agak mendung dan berangin cuaca di luar. Selepas menunaikan solat Zohor, Oyen dihampiri. Kalau dipandang sekilas cuma, wajah Oyen kelihatan tenang sahaja seperti sedang tidur. Sikapnya kalau lagi sedang lena, dia akan bersimpul menjadi bola. Dengan senyuman, Afina dekatkan telinganya ke hidung Oyen, jemarinya datang mendekap dada. Lalu senyumannya mati, detak jantung yang menyentuh deria rasa sudah tiada apatah lagi hembusan nafas tenang menyapa telinganya. Yang terasa hanya kesejukan, keras dan kaku. Saat itu, waktu yang tidak pernah dinanti akhirnya kunjung tiba. Oyen sudah pergi buat selama-lamanya.

Diiringi tangisan dan doa, dibantu pelajar lelaki menanamnya di pohon berhampiran, Oyen selamat bersemadi bertanda batu dan kayu sebagai tugu ingatan. Lalu renyai-renyai hujan jatuh membasahi tanah. Menghantar pemergian kucing oren yang nakal dan kebal, berjiwa kental dengan rasa sayu dan juga tangisan langit. Mendung yang memayungi tanah, menggamit segala suka duka Oyen yang menceriakan dunia Afina, lalu langkahnya diatur untuk pulang dengan janji jasanya makhluk Tuhan itu tak akan pernah dilupakan.

Selamat tinggal kucing paling kebal. Oyen si nakal.

-TAMAT-

Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan