E-Novel: Maroc Love Footprint 5



Cuaca yang panas membahang tidak langsung membuatkan pengunjung di Grand Jardin d'Ain Chock berasa terganggu dengan pancar mentari yang menyengat. Taman yang dipenuhi dengan rimbunan pepohon yang menyejukkan menutupi cahaya mentari daripada merombosi secara terus ke hamparan pelosok taman itu. Malah cahayanya yang malu-malu disebalik dedaun yang rapat menutupi langit taman mendamaikan sesiapa sahaja yang berkunjung ke situ, Tambahan pula, angin sejuk dan kering sepoi-sepoi bahasa menghembus bayu begitu memahami penghuninya yang inginkan kedamaian.



 Malah cahayanya yang malu-malu disebalik dedaun yang rapat menutupi langit taman mendamaikan sesiapa sahaja yang berkunjung ke situ, Tambahan pula, angin sejuk dan kering sepoi-sepoi bahasa menghembus bayu begitu memahami penghuninya yang inginka...
Grand Jardin d'Ain Chock
-Kredit Gambar: Google Image-

Sunyi yang menyenangkan. Hanya suara alam sesekali berbicara dengan sampukan kicauan burung berterbangan saling berkejaran di angkasa. Ada kala kelihatan kicauannya di sebalik reranting yang ditenggeknya. Tidak kurang juga, si tupai yang nakal sesekali melontarkan kulit kekacang yang sudah habis isinya. Kelibat manusia juga jarang-jarang sekali kelihatan. Jika ada sekalipun hanya disedari kehadiran mereka melalui seretan kasut ataupun perbualan yang sayup disebalik hedge yang tinggi dan rapat. Tambahan pula, waktu Zohor telah satu jam berlalu. Usai menunaikan solat Zohor berjemaah di Masjid Ain Chock, jemaah berpusu-pusu keluar dari masjid kerana bila-bila masa sahaja masjid akan segera dikunci oleh siak masjid. Menjadi kebiasaan setiap masjid di Morocco ini akan ditutup dan dibuka pada waktu solat fardhu sahaja.
 


 Menjadi kebiasaan setiap masjid di Morocco ini akan ditutup dan dibuka pada waktu solat fardhu sahaja
Masjid Ain Chock
-Kredit Gambar: Google Image-

Begitu juga rutin masjid besar dan warnanya putih yang mana lokasinya hanya bersebelahan dengan Grand Jardin d'Ain Chock. Setelah masjid kosong, pintu akan dikunci dan dibuka semula apabila menjelang waktu Asar. Dan kebiasaan penduduk di sini akan pulang ke rumah dan berehat. Kerana itulah antara jam 1 hingga jam 4 petang, jarang sekali untuk berada di luar rumah. Begitu juga kedai-kedai akan ditutup dan dibuka semula setelah Asar. Jalan yang lengang akan kembali sibuk dan penuh dengan aktiviti manusia. Sesakan lalu lintas usah ditanya, akan sama sibuknya seperti bandar Kuala Lumpur, Malaysia.


Kerana jarang dikunjungi pengunjung antara Zohor dan Asar, Hilda sering mengambil peluang itu untuk merehatkan minda dan bersendirian di taman yang sunyi itu. Seringkali rutinnya ke taman yang luas itu pada hujung minggu untuk menyambung hafazan Al-Quran. Jika tidak sekalipun, Hilda akan mengulang hafazan Al-Quran ataupun mengulangkaji pelajaran. Namun rutin itu tidak langsung dimulai hari ini. Malah hari ini bukan hari minggu tapi hari Isnin yang mana seharusnya pagi itu, Hilda perlu menghadiri kelas bersama Ustaz Ghumari bagi madah(1) Tarikh Tasyrik. Sudahnya, kepala berserabut dan celaru, air matanya pula tidak sudah-sudah mengalir umpama empangan pecah. Daripada ditangkap ustaz kerana tidak fokus di dalam kelas, ada baiknya dia membawa diri dan merehatkan minda. 


Setelah seminggu. Hari ini, dia ingin melepaskan segalanya yang sangat memberat dalam diri. Setelah berhari-hari dipendam, setelah berhari-hari Hilda khalwatkan diri daripada berbicara, menyapa mahupun mengambil tahu hal-hal yang berlaku di sekelilingnya. Malah, teman-teman serumah dilayan acuh tidak acuh. Lain yang ditanya lain yang dijawab. Mujur teman-teman Hilda semuanya memahami akan kebisuan Hilda yang ingin menyendiri. Siapa yang tidak perasan dengan perubahan Hilda yang akhirnya masing-masing memahami Hilda perlukan ruang untuk menyendiri daripada desakan soalan yang akan lebih buatkan Hilda bercelaru.


Dek hari-hari yang berlalu terasa seperti tidak cukup. Ditambah lagi dengan hiruk-piruk kota sekeliling rumahnya, Hilda tertunduk lemah bersama keluhan yang tiada penghujungnya. Kerana itu, di taman ini Hilda cuba mencari penyelesaian pada hatinya yang tidak tenang. Berpagian Hilda di situ hingga menjelang waktu Zohor. Setelah menunaikan solat Zohor, Hilda kembali ke kerusi di tenggeknya tadi dan kembali membatu tidak berkutik seperti tugu hiasan di penjuru-penjuru taman itu. Petunjuk bahawa Hilda itu masih bernyawa kala titisan-titisan air yang sentiasa laju mengalir membasahi tanah. Bibirnya digigit lembut menelan esakannya daripada berbunyi mengelakkan perhatian mana-mana pengunjung di situ menghampirinya.


Jemari Hilda memerah kerana terlalu kuat genggaman pada sisi kerusi batu yang dia duduk. Wajahnya turut merah dan basah. Adakala Hilda cuba menenangkan dirinya dengan mengulang hafazannya. Namun, ingatannya yang kelam menghilangkan segalanya. Malah Surah Al-Insyirah sahaja sudah tertukar awal dan akhirnya. Parah! Redha yang dicari pada takdir yang tiba-tiba itu sepertinya menemui jalan kesal. Kesal dengan sesuatu bukan dirancangnya. Lebih kesal dengan tanggungjawab baru yang tidak pernah terlintas pada fikirannya akan digalas dalam sekelip mata. Sapu tangan di dalam tasnya diambil lalu wajahnya dikeringakan. Air mineral sedikit dituang dan kembali membersihkan wajah yang sedikit melekit dengan kesan air mata. 


Zenphone yang sudah berhari-hari sengaja dimatikan dibuka Hilda. PIN telefon diisi dan data telefon dibuka. Belum sempat jemarinya menari-nari pada skrin telefon, bertalu-talu segala notifikasi masuk. Mesej dan Whatsapp sudah beratus, panggilan yang tidak berjawab sudah mencapai angka hampir 50 panggilan. Hilda menghembus nafas lemah. Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan. Cuba menenangkan dirinya waima adakala jemarinya masih menyeka air mata yang masih bertali arus. Tenang Hilda, tenanglah hati. Icon yang bewarna hijau berbentuk gagang telefon ditekan untuk melihat gerangan yang menghubunginya. 15 nombor daripada Malaysia, lima panggilan daripada teman serumahnya dan bakinya nombor Morocco yang tidak disimpan dalam Zenphone. Angka yang tidak Hilda kenali siapa tetapi seperti dapat diagak orangnya. 


Mesej dan Whatsapp dibuka. Kebanyakkannya nombor yang sama yang menghubunginya. Mesej satu persatu dibaca. Housematenya risau akan keberadaan Hilda, Masing-masing bertanya dia di mana. Ada yang marah dan mengugut bukan-bukan. Hilda membalas dalam group mereka agar tidak merisaukannya. Turut dimaklumkan dalam satu jam lagi Hilda akan pulang. Mesej keluarganya dibaca sebelum dibalas sopan. Hampir sahaja Hilda teresak semula saat membacakan mesej daripada umi dan abahnya.


- Hilda di mana sayang? Jawablah telefon daripada umi.

- Hilda janganlah marahkan abah.

- Kami risaukan Hilda. Hilda di mana?

- Janganlah macam ni. Anak abah baik kan. Jawablah nak. Jika marah katakan saja pada abah.

- Nak, jangan diseksa keluarga di sini sayang. Hilda jauh dari kami. Kami risau ni.

- Hilda. 'On'kan telefon. Kita berbincang ye. Maafkanlah abah. Abah belakangkan keputusan Hilda. Abah tak fikirkan perasaan Hilda.

- Hilda sayang. Di mana kamu nak. Syarqawi mencari. Jawablah.

- Allah, di mana anak kami. Kau peliharalah dia.

- Hilda, jika waktu yang Hilda inginkan. Ambillah sebanyaknya untuk Hilda fikir. Kita bincang semula apa yang terbaik. Jika Hilda ingin menyendiri, abah izinkan. Tapi setidaknya, jika tidak mahu menjawab panggilan kami. Cukuplah sekadar mengkhabarkan keadaan Hilda. Risau kami di sini nak. 


Hilda menahan sendu. Tali arus air matanya semakin melaju. Allah, berdosakah aku kerana melayan kedua ibu bapaku begini? Akukah yang bersalah itu? Allah, tunjukkanlah sesuatu yang terbaik untukku putuskan. Tolonglah aku, Tuhan... 


Tidak mahu kerisauan keluarga yang jauh dari mata semakin menggunung. Segera Hilda membalas dengan mesej yang pendek.


- Hilda baik-baik sahaja. Umi abah janganlah risau.


Usai mesej dihantar, Hilda berteleku memandang ke depan. Baki-baki mesej daripda nombor asing itu tidak langsung ingin dibaca. Biarkan dia. Dia bukan siapa-siapa untuk aku fikirkan tika ini. Jika dipedulikan, semakin serabut kepala aku. Sedangkan dialah orang yang paling ingin aku hindarkan sekarang. 


Tidak tahu ingin melakukan apa, matanya terkebil-kebil cuba memusatkan fikirannya yang bercelaru mencari solusi kepada semua ini. Apa yang perlu aku buat ya Allah? Terima sahaja semua ini? Tapi perkara ini terlalu kejutan buat aku ya Allah. Takdir ini terlalu sukar buat aku meletakkan redha padanya ya Allah. Tenangkan hati, Allah. Zenphone yang berbunyi buatkan Hilda kembali memandang telefon di tangan. 


Umi...


Teragak-agak Hilda ingin menjawab. Tapi panggilan yang merantau benua itu dijawab dengan berat hati. Hilda diam saat mendengarkan suara umi yang hampir menangis. 


"Umi abah sihat?" Dengan suara yang serak, Hilda cuba bertanya.


"Umi abah sihat. Hilda dekat mana ni?"


"Umi janganlah risau. Hilda dekat luar kejap. Ada kerja sikit. Nanti Hilda balik."


"Hilda marahkan abah?" Hilda terdiam saat mendengarkan celahan suara abah. 


"Kalau marah. Katakan sahaja. Abah sanggup mendengar amarahmu, nak." Lirih suara itu berkata. Air mata Hilda sudah melebat kembali.


"Abah zalim terhadap Hilda." Rengetan seperti anak kecil bersama aduan yang dipendam menyebabkan esakan Hilda tidak terkawal lagi. 


"Maafkan abah. Abah zalim." 


"Abah belakangkan Hilda."


"Abah tahu. Abah minta maaf."


"Sampai hati abah buat Hilda macam ni. Abah nafikan hak Hilda untuk memilih."


"Maafkan abah. Abah fikir, Qowie yang terbaik buat Hilda."


"Tapi, Hilda tak kenal dia. Bagaimana abah boleh nikahkan dia untuk Hilda." Tersentap-sentap suara Hilda mengadu. Luahan tidak puas hati berpusu-pusu ingin dikatakan.


"Abah tak tahu Hilda tak kenal dia."


"Abah... kenapa buat Hilda macam ni? Tolonglah Hilda. Tak tenang Hilda dekat sini."


"Allah, kasihan anakku. Hamba zalim terhadap anakku, Ya Allah."


"Abah tahu, lebih buatkan Hilda terkilan. Hilda langsung tak tahu tarikh Hilda diakadkan. Kenapa semua diamkan perkara sepenting ini, abah. Ini berkaitan hidup dan mati Hilda. Tiap-tiap hari Hilda call tanya khabar di Malaysia, peluang abah untuk beritahu Hilda tentang perkara ini terlalu banyak, abah. Sedari waktu sebelum Hilda dinikahkan hingga sebelum Hilda bertemu mata dengan dia. Peluang sentiasa ada untuk abah beritahu Hilda. Kenapa semua orang diam. Kenapa semua orang tak adil dengan Hilda?" Bertambah kuat esakan Hilda.


"Maafkan abah. Maafkan abah." Tiada lagi yang bisa dikatakan. Luluh hatinya mendengar suara tangisan anak gadisnya itu. Hakikatnya kesalahan itu sememangnya bermula daripadanya. Allah tuhan, kecewa sekali anakku dengan keputusan ini. Aku hanya fikirkan yang terbaik buatnya. Aku fikir perkiraanku baik dan benar. Ternyata langkahku salah. Aku menzalimi anakku. Allah...


"Hilda bukan siapa-siapakah?"


"Hilda..."


"Hilda bukan anak abahkah?"


"Anakku..."


"Hilda anak jahatkah, abah?"


"Tak sayang."


"Hilda berdosa besarkah dengan abah, dengan umi."


"Sayang..."


"Kalau Hilda jahat. Kalau Hilda nakal. Hilda benar-benar minta maaf. Jika abah dan umi berada di depan Hilda, akan Hilda sujud di kaki umi abah. Maafkanlah Hilda. Andainya abah dan umi lakukan semua ini sebab Hilda malas belajar. Maafkanlah Hilda. Tolonglah."


"Hilda tak salah sayang."


"Jadi, tolong katakan abah. Tolong katakan ini semua main-main. Ini semua hanya ugutan untuk Hilda. Semua ini hanya tipu abah."


Tangisan tak dibendung lagi. Bagai empangan pecah yang tak dapat dibaiki lagi. Hingga terjelepok dia di atas tanah bersimpuh.




1) MADAH: Subjek




Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan