E-Novel: Maroc Love Footprint 10








Setelah membeli-belah keperluan diri dan beberapa helai pakaian untuk dipakai malam ini dan esok di bazar Old Medina, mereka langsung pulang ke Hotel Central. Rashid pula lebih awal mendahului mereka kerana terlalu keletihan, penat mahu sertai mereka katanya. Sampai sahaja di bilik, Sharqawi telebih dahulu bersihkan diri kemudian Al-Mulk dihabiskan sebelum baringkan diri di katil. 


Hilda yang baru selesai mandi mengintai Sharqawi yang sudah tidak berkutik, sepertinya sudah ke alam mimpi suaminya itu. Bagus! Dengan hanya berjubah mandi senteng, terjengket dia bagai pencuri menghampiri wardrobe. Beg yang menempatkan pijamanya masih terlipat di dalam plastik kerana lupa dibawa bersama ketika mahu mandi tadi dicapai. Padahnya, kelam-kabut dia mencari pijama yang tiba-tiba sahaja hilang tanpa jejak. Ish, mana pula perginya ni. Sudahlah cahaya lampu bukan main romantik lagi. Lagi susah bagi Hilda yang sememangnya rabun itu mencari. Menyesal pula rasanya tutup lampu utama tadi kerana mahu biarkan tidur Sharqawi lena. Kalau lampu utama mahu dibuka semula sekarang ini, terjaga pula Sharqawi nanti. Lagilah bahaya! Wayang percuma dia melihat Hilda yang sangat seksi ketika ini. Setelah yakin pijamanya sudah dijumpai, berdesup Hilda berlari mahu ke tandas semula.


Hotel Central, Old Medina-Kredit gambar: Google Image-
Hotel Central, Old Medina
-Kredit gambar: Google Image-
"Pakai sajalah dekat situ. Bukannya berdosa pun."


Kus! Semangat! Terpejam mata Hilda dengan sergahan suara garau itu. Mahu terlompat dia kalau tak dipegang tombol pintu. Mujur tak tertungging depan pintu tandas itu.

Gerangan suara dipandang takut-takut. Eh, tadi suara siapa? Naik pelik Hilda melihat Sharqawi yang sudah beralih posisinya mengiring membelakanginya. Tidurnya disambung, tidak lagi bersuara. Mulalah bulu romanya mahu meremang. Liurnya ditelan kerana seram. Jam di dinding yang sudah melangkaui angka 12 menambahkan lagi rasa takutnya. Jangan-jangan.. Jangan fikir Hilda! Tidak pedulikan bisikan yang bukan-bukan, lekas langkahnya masuk ke bilik air tanpa menutup pintu dengan rapat. Pijama disarung pantas, tidak peduli lagi mana satu depan mana satu belakang. Ah, pedulikan!


Setelah siap, langkahnya pecut mendekati katil. Sharqawi yang sedang memejamkan matanya dipandang lagi. Tangannya dilambai-lambai di depan lelaki itu, mahu memastikan Sharqawi benar-benar tidur atau hanya sekadar memejam mata. Tiada respon! Aduh, dia ni betul-betul dah tidur ke? Kalau ikutkan hati, mahu sahaja Hilda sorokkan diri di dalam selimut sekarang ini. Tapi melihatkan rambutnya masih basah dengan titisan air, Hilda padamkan niatnya itu. Mahu menggigil dia nanti kerana kesejukan jika tak dikeringkan terlebih dahulu. Meja solek didekati lalu pengering rambut yang sememangnya disediakan di situ dipasang lalu mula mengeringkan rambutnya.


Cuba mengusir rasa takut di hati, hotel yang sederhana luasnya dijelajah seluruhnya. Reka bentuknya tidak mewah tapi sangat selesa. Bilik kelamin itu lengkap dengan sebuah katil bersaiz king bercadar putih dipadankan dengan selimut tebal merah hitam, pada dinding di hujung katil disangkut bingkai gambar besar berlukisan kota lama Casablanca diapit pula dengan dua lampu dinding kecil, cahayanya bersuram romantik. Katil pula betul-betul diletakkan bersebelahan pintu balkoni yang mana kalau dibuka pintu itu bakal terbentanglah kesibukan kota Anfa (nama lama Casablanca), sapaan bayu Lautan Atlantik dari arah timur laut dan juga binaan gergasi Masjid Hassan II di utara yang gah strukturnya dapat dilihat dari sini. Selain penyaman udara, kemudahan bilik mandi dan kelengkapannya serta sofa, meja cermin, televisyen dan wardrobe kayu juga disediakan untuk kegunaan pelanggan. Sangat bersesuaian dengan harganya. 



-Kredit gambar: Google Image-
-Kredit gambar: Google Image-

Setelah selesai, Sharqawi yang kelesuan di katil dihampiri tanpa bunyi mengelakkan daripada mengejutkan lelaki itu. Perlahan Hilda menarik selimut, mahu membaringkan diri di situ. Asalnya, Hilda mahu sahaja ambil bantal lalu beradu di sofa. Pashminanya pula akan dijadikan selimut. Tapi, setelah berfikir masak-masak Sharqawi itu suaminya, Hilda paksa dirinya supaya tidak mengelak lagi. Jika suaminya itu mahu, akan disempurnakan hak Sharqawi yang satu itu dengan sebaik mungkin. Dikikis rasa takut dan ragu-ragu yang semakin kerap bergayut ditangkai hatinya supaya pergi. Dengan keberanian yang separuh cuma, tubuhnya dibaring di sisi Sharqawi. Niat untuk membelakangi Sharqawi juga dihapus daripada hati. Sudahnya, terkebil-kebil dia memandang susuk Sharqawi yang pulas lenanya seperti bayi. Mahu segera lelapkan mata, dirinya sudah segar-bugar kerana baru sahaja selesai mandi tadi. Mahu sibukkan diri dengan kerja lain, dia takut sendirian pagi buta begini. Zenfonenya pula sudah kehabisan bateri sedang dicas sekarang ini. Jadi, wajah Sharqawi sahaja yang menjadi santapan matanya sementara menunggu kantuknya datang. 
 
Dalam biasan samar lampu, wajah Sharqawi dibelek puas. Rambut hitamnya yang ikal, panjang mencecah bahu. Warna kulitnya putih kemerahan. Padanya terukir cantik kelopak mata yang menutupi sepasang mata hitam pekat. Bulu matanya lentik, alisnya pula tebal dan kemas. Dahinya juga luas. Hidungnya tinggi, bibirnya yang nipis pula merah jambu semula jadi warnanya. Berkumis nipis dan berjanggut sejemput. Tidak dinafikan, lelaki ini berada dalam kategori jejaka rupawan. Pasti sesiapa yang melihat akan tersangkut hati. Sudah tentunya daripada golongan hawa. Termasuk juga ibu-ibu. Pasti sibuk semuanya mahu jadikan dia menantu. Bukan sahaja kacak, air mukanya tenang dan sejuk mata memandang. Sekali tengok bagai ada cahaya di wajahnya. Kerana itu Hilda terpegun saat pertama kali terpandangkan Sharqawi di lapangan terbang minggu lalu. Sekarang ini, Hilda tak tersangkutkah? Rebutan ibu-ibu, apatah lagi para wanita. Hilda tersengih sendiri memikirkan soalan yang muncul di benaknya. Kalau fikirkan rupawan, tak usah ditanya, entah berapa kali hatinya jatuh pada wajah itu. Tapi, jika memikirkan ikatan dan tanggungjawab, semua itu tiada ertinya lagi.

Dalam asyik merenung wajah jernih di hadapannya, tiba-tiba sahaja tubuh Hilda ditarik rapat ke dada Sharqawi. Menjerit dia kerana terkejut. Tidak sempat mengelak, melekap wajah Hilda pada dada lelaki itu. Kehangatan tubuh Sharqawi dapat dirasa menjalar ke tubuhnya, apatah lagi degupan jantung yang begitu dekat dengan telinganya. Rentak jantung jejaka ini sama lajunya dengan detakan jantung Hilda tika ini. Entah mengapa, Hilda rasa irama kombinasi jantung mereka begitu asyik di telinganya membuatkan dia selesa begitu. 


"Wanginya dia!" Rambut Hilda dikucup lama.


"Ingatkan awak dah tidur." Hilda mendongak memandang wajah Sharqawi di atasnya. Sharqawi hanya mengorak senyuman manis. Dahi Hilda pula dikucupnya.


"Abang tunggu Hilda." Pucuk hidung dicium pantas. 


"Kenapa tunggu saya? Penat sangat saya tengok awak hari ni. Tidur sajalah dulu. Tak perlu tunggu saya." 


"Hilda tak ada, abang tak boleh tidur. Seharian hari ni kita bersama. Tiba-tiba rasa kosong, hilang terus rasa mengantuk. Abang pura-pura pejam mata saja tadi. Abang agak Hilda takut mahu tidur di sisi abang kalau abang masih berjaga. Lama abang tunggu, risau juga abang andai Hilda mengelak dan mahu tidur di sofa. Nasib baik Hilda datang, kalau tak abang yang angkut Hilda tidur tepi abang. Tak kiralah suka ke tak. Abang paksa juga." 


Tak semena-mena perut Sharqawi dipulas jemari runcing Hilda mendengarkan aduan dan ugutan Sharqawi. Mengaduh lelaki itu dek cubitan berbisa di perutnya. Banyak kali pula tu! Balasannya, tubuh genit Hilda digeletek tanpa belas. Gamat ruang bilik itu dengan suara tawa mereka berdua. Tak sedar diri pagi sudah semakin hening. Hilda yang masih dengan sisa tawanya diperhatikan Sharqawi dengan penuh asyik. Lebar senyumannya melihat wajah comel yang tadinya ditemui dalam keadaan berduka sedih dan mata yang membengkak, kini boleh bergelak ketawa nan indah. Serinya sangat kelihatan pada wajah itu seperti sedang bahagia. Bahagiakan dikau dengan keputusan ini isteriku? Benarkah aku sudah kau terima dengan sepenuh hatimu?


"Kenapa pandang saya macam tu?" Hilda yang sudah habis tawanya bertanya. Matanya dilarikan daripada terus ditenung Sharqawi. Merah wajahnya kerana malu. 


"Isteri abang cantik sangat. Aduh!" Mendapat lagi cubitan Hilda di perutnya. Kecil-kecil cili padi sungguh jemari runcingnya itu.


"Padan muka. Saya tak suka orang puji saya cantik tau. Rasa macam orang tu cakap muka saya macam nenek kebayan." Adu Hilda akan rasanya itu. Sepertinya Hilda sudah benar-benar selesa dengan lelaki baru itu.


"Kenapa pula?"


"Entah. Paranoid kot. Dulu saya pernah masuk teater, watak saya kena jadi tuan puteri. Tapi, ada kawan saya seorang ni tak suka. Disuruh jurusolek make up saya jadi nenek kebayan tanpa pengetahuan saya. Dia beritahu ke jurusolek saya pegang watak itu. Saya pula tak tahu apa-apa. Tadah sajalah muka. Bukan main yakin saya pusing satu sekolah nak tunjuk yang saya ni cantik, berbaju mewah dan bermake up anggun. Yakin terlajak pula tu tak pergi tengok cermin dulu. Semua yang pandang saya puji saya cantik. Makin banggalah saya. Sampailah cikgu suruh ahli teater berkumpul untuk teruskan latihan. Dimarahnya saya sebab main-main. Tak fasal-fasal kena denda. Saya yang mulanya terpinga-pinga, sekali diletakkan cermin besar depan saya. Menjerit saya tak percaya. Dah la seram. Kawan saya tu apa lagi! Mengekek dia dengan kroninya tu ketawakan saya. Semenjak tu kalau orang puji saya cantik, betul-betul rasa macam muka nenek kebayan. Kenangan zaman sekolah rendah. Terbawa-bawa sampai ke tua." Cerita Hilda panjang lebar. Serius wajahnya mengisahkan ceriteranya bagai perbincangan serius. Sharqawi apa lagi, tak teragak melepaskan tawanya di situ. Bagai lucu benar kisah yang diceritakan Hilda. Hilda pula hanya tersengih tayang gusi.


"Dah tua rupanya. Sesuailah tu jadi nenek kebayan." Sharqawi tak mengagak mahu mengusik. Sekali lagi perut Sharqawi menjadi mangsa jemari Hilda. Bukan sekadar perut, cubitannya hingga ke bahu dan ke pipi. Ditarik-tarik pipi Sharqawi biar hodoh.


"Sekarang siapa yang hodoh?" Hilda ketawa keji melihatkan memek muka Sharqawi yang buruk rupanya ditarik-tarik seperti spring sehinggalah Sharqawi memegang kedua-dua tangan Hilda menghentikan perbuatan gadis itu. Jemari Hilda disatukan ke genggamannya lalu dikucup tanpa melepaskan renungan lembutnya pada anak mata Hilda.


"Kenapa awak pandang saya macam tu?" Sekali lagi anak matanya dilarikan. Tak kuat dia berlawan pandang dengan mata hitam pekat itu. Tajam dan menggoda. Mahu terlompat jantungnya jika dibiarkan lama-lama. 


"Benarkah Hilda, ini keputusannya?" Perlahan senyuman Hilda kian kendur mendengarkan soalan itu.

"Awak ragu-ragu dengan penerimaan saya?" Hilda menguji dengan persoalannya tanpa menjawab soalan Sharqawi. Air muka Sharqawi berubah. Serba-salah.


"Abang tak bermaksud mahu meragui penerimaan Hilda. Cuma, abang rasa bersalah dengan Hilda. Abang melafazakan akad tanpa abang tahu rupanya isteri abang ini tidak rela. Memang abang risik Hilda dengan cara yang betul. Penerimaan Hilda yang abang sendiri dengar dari mulut Hilda juga buat abang percaya Hilda sebenarnya redha menerima. Tapi, abang tak mahu terburu-buru membuat spekulasi sendiri. Abang minta umi dan abah tanyakan lagi jawapan Hilda di lain hari. Mendengar jawapan positif daripada umi dan abah membuatkan abang tidak ragu-ragu lagi melangkah. Segera segala persiapan abang lakukan setelah berbincang dengan abah dan umi."


"Sebenarnya, abang sendiri tidak tahu keluarga Hilda merahsiakan tarikh pernikahan kita. Abang tak pernah menghubungi Hilda kerana abang percaya dengan urusan wali terhadap anaknya. Jadi, abang cuma berurusan dengan abah dan umi tanpa langsung berhubung dengan Hilda. Selepas akad, abang tahan diri daripada menghubungi Hilda. Sebabnya, abang mahu buat kejutan untuk Hilda. Abang mahu jumpa Hilda di sini. Dalam percaya Hilda mengetahui diri Hilda sudah menjadi milik abang dan Hilda sudah kenal abang melalui keluarga, abang datang ke Morocco untuk bersama dengan isteri abang. Abah dan umi abang minta rahsiakan rancangan abang ini." 


"Tapi, melihatkan penolakan dan wajah terpaksa Hilda, abang tahu ada sesuatu yang tidak selesai. Jadi, abang tanyakan ke abah dan umi tentang Hilda. Setelah itu, segalanya terjawab. Hilda setuju untuk dinikahkan, tapi perbincangan lanjut dengan siapa calonnya, bilakah tarikhnya, jadikah risikannya, semuanya dirahsiakan daripada Hilda. Kerana itu, seminggu abang menyepi diri. Abang mahu beri Hilda peluang untuk menyendiri dan berfikir. Hari ini, sebenarnya abang cari Hilda mahu berbicang lebih lanjut tentang hubungan kita. Abang siap apa jua keputusan Hilda walaupun Hilda sudah menjadi hak abang. Memikirkan abang menzalimi pengantin abang sendiri, abang mahu memberikan semula hak pengantin abang untuk memilih."


"Melihatkan air mata Hilda sahaja begitu sakit rasanya di hati abang. Hingga abang berkata, zalimnya aku meragut statusnya menjadi milik aku tanpa pengetahuan dia. Tanpa dia bersedia mahu menjadi seorang isteri. Rasa serba salah abang semakin bertambah. Abang mahu teruskan berbincang, tapi Hilda sendiri memotong bicara abang. Abang sangka, Hilda tidak bersedia lagi untuk berbincang soal kita. Jadi abang putuskan, untuk hari ini akan aku hiburkan dirinya sebelum kami berbincang serius akan hubungan kami. Lagipun memang sudah niat abang mahu bawa Hilda pusing Casa(1) cuci mata. Tapi siapa sangka, belum sempat abang bertanya, laku Hilda sendiri memberi jawapan. Gerak-geri dan kata-kata Hilda yang tidak lagi menolak buatkan abang percaya Hilda sudah menerima abang sebagai suami. Cumanya, abang tetap mahu tahu sendiri pengakuan Hilda. Hak Hilda untuk menuntut keadilan dalam hubungan ini tetap abang beri. Hilda berhak memilih untuk meneruskan hubungan ini mahupun tidak. Abang siap mendengarnya. Bagaimana keputusanmu Hilda?" 


Pipi isterinya dielus-elus dengan jemarinya. Hilda pula terdiam bisu mendengarkan luahan rasa yang dikatakan Sharqawi. Sungguh dia tidak menyangka Sharqawi akan berfikir sejauh itu. Hingga sanggup korbankan ikatan mereka demi menghormati keputusannya. Melihatkan Sharqawi yang sedang menanti jawapan balasnya, Hilda bangun dari baringnya. Di atas katil empuk itu, Hilda duduk melipat kakinya sebagai alas punggungnya seperti duduk antara dua sujud. Sharqawi yang juga sudah duduk dari baringnya ditarik tangan suaminya itu lalu dikucup lagi seperti di Masjid Ain Chok lalu tangan itu dibiar dalam genggaman Hilda di atas ribanya. Dengan senyuman manis, Hilda membalas pandangan redup Sharqawi.


"Saya minta maaf atas kelakuan saya sebelum ini. Jujur saya katakan, setelah mengetahui status saya berubah sekelip mata selepas kehadiran awak, hati saya hancur lebur tidak terkata. Saya marah semua orang. Saya marahkan awak sebab menikahi saya tanpa bertanya langsung kepada saya, kerana saya gadis moden yang juga seperti gadis lain ingin ditanya terus daripada orang yang meminta. Setelah saya setuju barulah saya serahkan pada restu wali dan umi saya. Namun, saya juga tidak menolak andai abah dan umi sudah punya calon yang ingin dipasangkan untuk saya. Asalkan diberitahu saya terlebih dahulu."


"Namun, dalam soal saya sebenarnya tiada yang betul dan tiada juga yang salah. Umi sudah berkali tanyakan jawapan saya kerana ada yang mahu menikah dengan saya. Mungkin salah saya di sini, tidak terlalu ambil serius dengan pertanyaan umi. Istikharah saya laksanakan hanya sekadar cukup syarat sahaja. Setelah itu, kata putus persetujuan saya beritahu pada umi setiap kali ditanya. Kerana fikiran saya sudah diset, pilihan umi dan abah insyaAllah adalah yang terbaik buat saya. Kerana itu juga mudah saya berikan persetujuan saya."


"Tapi siapa sangka, saya dilupakan terus daripada memikirkan soal ini. Seolah-olah saya langsung tidak pernah ditanya tentang persetujuan menerima suntingan orang. Sungguh awak, saya tak ingat langsung akan soal itu. Tambahan lagi, umi mendiamkan diri. Saya pula sibuk dengan urusan persatuan di sini. Tahu-tahu sahaja awak sudah datang ke sini. Kehadiran awak dan kejutan baru tentang kita buatkan saya rasa seperti dizalimi. Hak saya diketepikan. Saya menyalahkan semua orang. Beberapa kali saya cubit pipi saya cuba menyedarkan yang semua ini bukan mimpi. Saya tidak percaya saya sudah terikat dengan seorang lelaki yang saya tak pernah saya kenal. Namanya saja tidak pernah dengar apatah lagi susuk tubuhnya, raut mukanya, pastilah tidak pernah dilihat."


"Seminggu berlalu, saya tetap tak terima dengan hakikat ini. Hinggalah umi hubungi saya hari ini. Umi beritahu akan persetujuan saya yang pernah saya beri. Ketika itu, bagai baru tersedar dari alam mimpi, segala perbualan saya dan keluarga, istikharah saya dan keputusan saya, berlegar-legar di fikiran saya. Meletakkan saya pada satu kesimpulan, keluarga saya tidak menzalimi saya. Awak langsung tidak bersalah. Syak wasangka saya awak turut bersekongkol dengan keluarga ternyata meleset sama sekali. Bagaimana sekali abah dan umi tega melangsungkan pernikahan ini andai persetujuan saya tidak diberi?"


"Dalam ragu-ragu, saya percaya dengan istikharah saya. Dalam ragu-ragu, saya percaya dengan keputusan keluarga saya. Dalam ragu-ragu, saya percaya awak sudah sah menjadi suami saya. Walaupun saya kecewa dengan keluarga mengetepikan saya dalam merancang perkahwinan ini dan merahsiakan tarikh penting untuk seorang gadis seperti saya, saya akui akad ini tiada keraguan lagi. Hak saya sudah diberi saat umi bertanyakan persetujuan saya. Andai saya mahu ketengahkan tuntutan keadilan ke mahkamah syariah di Malaysia sekalipun, keputusan hakim tetap sama. Kita bermazhab Syafie. Andai abah menikahkan saya tanpa bertanya persetujuan saya sekalipun, akad ini tetap sah. JAKIM sendiri sudah ada kajiannya dalam soal ini. Jadi, ini keputusan saya. InsyaAllah, dengan nama Allah saya redha awak menjadi suami saya."
Rujukan:
 2) http://ii.islam.gov.my/articles/munakahat/munakahat.php

Jawapan yakin dilafazkan sebagai saksi itu ikrarnya menerima ikatan ini. Hilda tunduk menekur tangan yang masih menggenggam jemari Sharqawi di ribanya. Senyuman kecil disembunyikan daripada pandangan itu. Dia malu dengan pengakuan yang lahir dari mulutnya sebentar tadi. Perlahan genggamannya diurai Sharqawi. Telunjuknya mengangkat dagu runcing yang menunduk menyembunyikan pipinya yang semakin merah kerana malunya memaksa Hilda memandang wajah Sharqawi yang semakin mendekat dengan wajahnya. Terpejam mata Hilda saat merasai kehangatan bibir Sharqawi singgah di dahinya dan disusuli kedua-dua pipinya. Semakin merah pipinya dengan laku Sharqawi itu.


"22 Mac 2016. Hari Selasa merupakan hari abang menyerahkan cincin pertunangan ke keluarga Hilda setelah risikan abang diterima. Hari Ahad. 10 April 2016. Itu tarikh abang melafazkan akad untuk memiliki Hilda. Dan 18 April 2016, hari Isnin abang putuskan untuk ke sini untuk bersama dengan pengantin abang. Terima kasih sayang. Terima kasih kerana menerima abang." 


Usai mengatakan itu, bibir Hilda dipagut lembut lalu dielus penuh asyik. Tangan Hilda yang menolak dada Sharqawi tiba-tiba kerana tersentak disentuh lelaki itu ditarik perlahan tangan itu ke ribanya. Terlalu asyik dengan elusan lembut pada bibir dan pipinya buatkan Hilda terbuai tanpa kata. Terpejam matanya merelai sentuhan pertama seorang lelaki terhadap dirinya. Penolakan pada awalnya kerana terkejut, terkunci lakunya hingga tidak sedar dia sudah dibaringkan di atas tilam yang empuk. Mata dan bibir Hilda terbuka serentak saat Sharqawi melepaskan kucupannya. Terkebil-kebil Hilda seperti baru terjaga daripada mimpi indah. Kehangatannya masih terasa. Keasyikannya membuai jiwa untuk pertama kalinya dirasa dalam seumur hidup. Seperti baru tersedar dengan apa yang dilakukan Sharqawi, Hilda menyembamkan wajahnya ke dada Sharqawi. T-shirt lelaki itu ditariknya kuat kerana malu yang teramat. 


Sharqawi hanya ketawa kecil melihatkan reaksi isterinya itu. Perlahan dia membaringkan tubuhnya di sisi Hilda. Selimut tebal ditarik menutupi mereka. Hilda ditarik rapat ke dadanya, kepala Hilda diangkat menjadikan lengannya sebagai alas tidur Hilda. Kemudiannya bahu Hilda ditepuk-tepuk mengulit gadis itu supaya tidur. Hilda pula membiarkan apa sahaja mahu dilakukan Sharqawi terhadapnya, langsung tidak beralih wajahnya dari dada Sharqawi. Hilda yang menyangka akan ada sentuhan lanjut daripada Sharqawi sepertinya berlanjutan sepi. Malah, bahu Hilda terusan ditepuk mengharapkan Hilda segera beradu dalam pelukannya. Ah, lega hatiku. Selamat malam pertamanya hari ini. Esok? Pedulikan. Yang penting malam ini dia selamat. Barulah terasa aman mahu lelapkan diri. Dengan senyuman bahagia, Hilda memejamkan matanya bersiap untuk tidur.


"Abang ada hadiah untuk Hilda esok." Tiba-tiba sahaja berbisik suara Sharqawi ke telinga Hilda. Tegak bulu roma Hilda mendengar desiran kata sehalus dan sedekat itu. Mahu tak terkejut dia hingga terjegil matanya yang baru sahaja mahu dipejam. Sudahlah berbisik macam dalam kelambu. Eh? Mana kelambunya? Oh Tuhan, jangan diuji naluri mudaku ini. Kalau tak Sharqawi yang menggodanya, dia pula yang bakal memulakan langkah nanti. Hilda! Behave! Jangan nak mula! Aduh, janganlah diulangnya lagi. Kalau tak tertanggal bulu romanya, lain pula yang bakal terjadi! Oh tidak, janganlah. Semakin panas wajah Hilda dengan debatan hati sendiri.


"Apa?" Tanpa menggerakkan posisinya, selepas berdehem membetulkan kotak suaranya Hilda memulangkan pertanyaan. Statik tubuhnya melindungi wajahnya dari bertemu mata dengan Sharqawi. Menyembunyikan rasa hatinya juga.


"Rahsia." Sekali lagi Sharqawi berbisik rapat ke telinga Hilda. Ditiup-tiupnya lagi mengusik isterinya itu. Kali ini, benar-benar terasa bulu romanya tercabut. Darah mudanya berkocak ditambah pula dengan kehangatan rangkulan Sharqawi pada tubuhnya. Bentengnya hampir goyah dengan sentuhan lelaki ini! Sesuatu yang tak pernah dirasa ini sangat-sangat memalukan dirinya sendiri. Terasa dialah perempuan paling gatal ketika ini! Ah, sengaja betul dia ni. Dek geram dan seram, dan untuk menghalang dirinya menggoda Sharqawi dada suaminya itu ditumbuknya geram. 


"Aduh, sakitlah sayang!" Dadanya diusap menghilangkan pijar. Alahai, memang tak mengagak betul isterinya ini. Tangannya sangat berbisa mahu mencari mangsa. Tumbukan dan cubitan ketam batu sudah mendapat. Lepas ni, apa lagilah buahnya. Tapi Sharqawi suka! Ha, angau dengan bini sendiri.


"Padan muka. Tidur kalau tak mau kena lagi." Serius suaranya memberi amaran. Mengugut andai diusik lagi. Padahal sedaya upaya menghilangkan rasa malu yang teramat mengingatkan apa yang dilakukan Sharqawi tadi dan apa yang difikirkan Hilda kini. Behave Hilda! Tidur! Pedulikan dia. Sharqawi pula hanya ketawa kecil mendengar ugutan Hilda.


"Yelah. Tidurlah sayang. Good night. Assalamualaikum."


Salam hanya dijawab perlahan. Sebenarnya, banyak ingin dipersoalkan kepada Sharqawi. Umi kata, Sharqawi mengenalinya. Bagaimana? Sedangkan seingat Hilda, nama itu tak pernah singgah di kotak memorinya. Apatah lagi wajah itu. Mengapa Hilda disunting dan dijadikan isteri? Siapa suaminya ini? Keluarganya siapakah dan bagaimanakah? Adakah dia punya saudara yang ramai dalam keluarganya? Ayahnya bernama Abdullah. Bagaimana pula ibunya? Asal manakah dia? Benarkah dia ke sini sekadar menemui Hilda? Tapi mengapa perlu mencari rumah sewa untuk mereka? Lamakah dia di sini? Jika lama, bagaimana pekerjaannya? Adakah dia bekerja atau masih belajar? Berapakah umurnya? Terlalu banyak ingin ditanya kalau boleh dan sepanjang perjalanan mereka hari ini, Hilda berharap Sharqawi yang memulakan perkenalan keluarganya. Tapi, keluarganya langsung tidak disebut seolah itu bukan topik penting antara mereka. Ah, sudahlah Hilda. Kau saja baru menerima dia hari ini. Bagaimana dia nak jelaskan semuanya dalam tempoh sehari? Masih banyak lagi waktu. Lambat laun kau akan tahu juga. 


Kedengaran Sharqawi membacakan tiga Qul(2), Ayat Kursi, doa tidur serta melafazkan dua kalimah syahadah sebelum mengusap wajahnya dan wajah Hilda. Dahi Hilda kemudiannya dikucupnya lagi lalu menyelesakan diri untuk tidur. Bahu Hilda ditepuknya agar isterinya itu terbuai untuk segera diulit mimipi. Malam itu, pertama kali mimpi indah mengunjungi lenanya. Tiada lagi rasa kosong dan kesunyian. Benarlah janji Allah itu pasti. Pada pasangan itu ada ketenangan dan kasih sayang.



1) CASA: Singkatan Casablanca

2) TIGA QUL: Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas




Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan