E-Novel: Maroc Love Footprint 9
Dari jauh bayangan menara tinggi menjulang ke langit sudah kelihatan, atap bata hijau tua yang cantik teratur semakin dekat di mata, kedua-dua itu penunjuk utama sebagai pemandu arah mengenali masjid-masjid di Morocco petanda bahawa mereka sudah hampir ke destinasi. Akhirnya pandangan memukau menyambut mereka dengan sapaan susunan ribuan batu bata besar membentuk sebuah masjid mewah, bercat koko mustard dindingnya hingga ke kubah puncak, serata warnanya menyinari masjid seolah-olah bangunan itu bercahaya dengan adunan warna yang indah. Apatah lagi dengan bantuan simbahan cahaya lampu malam, sinarnya menggamit manusia untuk tidak teragak mampir menyinggah. Nun, di kiri bangunan anjung segi empat bertiang tinggi menyambut pengunjung yang hadir, segera melindungi jemaah sekiranya cuaca luar sedang dilanda badai hujan mahupun sengatan terik mentari, langsung ke gerbang besar berkayu cedar, gah mengalu-alukan pengunjung yang sudi hadir ke rumah Ilahi. Indahnya lagi, di hadapan masjid terdapat halaman luas dihiasi rimbunan pokok membentuk mini taman di tengahnya menjadikan ia ruangan santai untuk pengunjung yang mahu melepaskan lelah.
Masjid Moulay Driss El-Oual/Premier, Casablanca
-Kredit Gambar: Google Image- |
"Hilda." Sebelum berpisah Sharqawi memanggil lagi.
"Nanti lepas solat Isya'
tunggu dekat tempat turun teksi tadi. Jangan melencong ke mana-mana.
Orang ramai ni, risau pula Hilda hilang. Apa-apa call abang."
Pesan Sharqawi penuh prihatin. Risau sungguh dia hilang isterinya yang
kecil molek itu. Hilda hanya tersengih lucu mendengarkan pesanan
Sharqawi.
"Orang pesan betul-betul
tersengih pula dia. Awak tu dah la kecik. Nak redah Pak Arab, Mak Arab.
Ada juga yang patah riuk kena pijak." Serius wajah Sharqawi berkata.
"Ish ke situ pula dia.
Jangan risaulah. Segala arahan awak akan saya patuh dengan taat. Awakkan
suami saya. Berdosa kalau ingkar." Ayat pemujuk sebenarnya. Cubaan
mengena bila senyuman Sharqawi tersungging.
"Pandai dia bodek. Pergilah masuk. Kita jumpa balik nanti dekat tempat tadi."
Hilda mengangguk lalu
mengatur langkahnya ke ruang solat wanita di tingkat atas. Masjid yang
besar terasa sempit kerana terlalu ramai jemaah yang hadir. Udara yang
terkepung menyebabkan suasana menjadi panas, peluh bercucuran mengundang
bau yang tidak enak. Namun, masing-masing tidak pedulikan hal itu.
Kerana fokus mereka pada tujuan utama mereka hadir ke majlis ilmu malam
ini. Demi mendengar taujihat(1) seorang ulama'.
Usai solat Maghrib berjemaah,
pengumuman segera diambil alih oleh siak masjid dan segera mengumumkan
tajuk yang akan disampaikan Sheikh Zakaria sebentar nanti berkisar
tentang Cara Terapkan Tarbiah(2) Islamiah dalam Individu dan Masyarakat. Sejenak suasana diam. Masing-masing menunggu buah bicara orang yang dinanti.
Saat salam diberi, Hilda
tercengang. Suara yang sedang berbicara fasih berbahasa Arab itu
diteliti Hilda. Ini bukan suara Sharqawi ke? Eh? Tak teragak-agak Hilda
menghampiri mashrabiya(3); pagar kayu ukiran tangan
yang mempunyai lubang-lubang kecil membolehkan jemaah perempuan melihat
suasana tingkat bawah. Jemaah yang ramai diredahnya tanpa peduli.
Bertuah punya badan, sopan santun ke laut. Biarkan, yang penting dia
perlu pastikan sesuatu.
Contoh Mashrabiya
-Kredit Gambar: Google Image- |
Saf yang ramai di bawah
dicari wajah seseorang. Tak ada di saf, tetamu utama yang duduk di depan
mimbar pula dicari Hilda. Dan itu, lelaki yang sedang memegang mikrofon
sedang lancar bicara buah katanya dengan senyuman manis merupakan
suaminya, Sharqawi. Lelaki itu sedang duduk antara dua sujud di kanan
Sheikh Zakaria manakala Rashid di kiri. Dan dikelilingi beberapa anak
muda yang lainnya di sekeliling Sheikh Zakaria.
"Sheikh minta saya
sampaikan sepatah dua kata sebagai pembuka kalam. Allah, kerdilnya saya
diberi peluang mendahului kata ulama' agung yang pastinya lebih dinanti jemaah semua. Tapi tidak mengapa, amanahnya saya sahut. Memulakan kalamku dengan ibu kepada terbinanya syakhsiah(4) seorang insan merupakan seorang wanita."
"Jemaah semua,
ibu-ibu, bapa-bapa. Untuk melahirkan generasi berikutnya yang
matlamatnya hanya Islam haruslah bermula dengan diri kita sendiri.
Setelah itu, pasangan kita. Kerana itu disyariatkan nabi ketika mana
mahu memilih wanita itu kerana empat perkara iaitu kerana hartanya,
kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Dan nabi
menyuruh kita memilih agamanya hadis Riwayat Muslim."
"Mengapa wanita?
Ketahuilah, insan pertama yang kita temui setelah melihat dunia ini
merupakan ibu kita. Ibu merupakan insan yang mengajarkan segala asas
hidup saat kita di fasa-fasa pertama mengenal dunia. Wanita yang solehah
akhlaknya akan mendidik anaknya menjadi soleh, menjadi insan yang
mentauhidkan Allah yang satu dan menjadi insan yang menegakkan syariat
Islam. Tanpa dorongan daripada ibu, bukan saya bermaksud sudah musnah
masa depannya. Tapi lambat prosesnya. Kerana isteri yang terdidik
peribadinya, bukan sahaja penyejuk hati buat para suami malah isteri
merupakan harapan ummah sebagai ibu bermulanya tarbiah Islamiah di gelanggang kecil istana keluarga."
"Kata guru saya Doktor Syafiq Lamah dalam kitabnya(5),
'Ibu merupakan orang pertama yang memulakan terbentuknya seorang anak
itu jasmaninya, peribadinya dan masyarakatnya' iaitu dengan siapa
anaknya bergaul. 'Padanya peranan yang sangat besar dalam membentuk dan
memberi kesan ke atas sifat pemulihan dan penyesuaian diri dalam
masyarakat.'"
"Sungguhlah, tiada niat
di hati saya mengatakan sudah terlambat bagi kita yang tidak bermula
sedari awal dalam memilih pasangan. Saya juga masih di awal gerbang
perkahwinan. Mendidik diri dan mendidik isteri merupakan amanah yang
berat untuk digalas. Harapan saya moga perkahwinan kami ini akan
terbentuknya keluarga muslim, keturunan yang berjihad pada satu jalan
iaitu Islam. Bakal terlahirnya para ulama' seperti para sahabat, tabi'
dan tabi'in dan alim ulama' dan tentunya menjadikan Rasulullah SAW
sebagai tunjang sebaik-baik contoh ikutan. Mohon doa daripada jemaah semuanya."
"Barakallahu lakuma wa baraka alikuma wa jamaa baina kuma fii khair.(6)"Serentak
itu para jemaah mengangkat tinggi tangan mereka ke langit mendoakan
yang baik-baik buat jejaka di hadapan mereka. Hilda tak terkata, dadanya
dipegang. Kuat degupan jantungnya mendengarkan itu. Sharqawi punya
matlamat. Matlamat yang tak pernah Hilda tanamkan dalam dirinya
sepanjang dia hidup.
"Akhir kalam, tiada
istilah terlambat jika tanpa usaha. Hakikatnya proses mendidik umat
bukan hanya terletak sepenuhnya di bahu seorang wanita itu hanya kerana
wanita itu ibu, tetapi ianya tanggungjawab kita semua, lelaki, wanita,
ayah, abang, adik, pemimpin tak kira siapa jua jawatannya. Ingatlah,
kita punya amanah, kita punya janji dengan Allah SWT untuk martabatkan
Islam, untuk menghidupkan agama yang dibawa Rasul tercinta junjungan
mulia Nabi Muhammad SAW. Wallahu a'lamu bissowab(7). Sekian dahulu kalam daripada saya, saya serahkan kembali kepada pemilik acara malam ini."
Hilda semakin berganjak
ke saf belakang. Dinding masjid disandar tubuhnya yang seperti disentak
kejutan elektrik. Allah, besar sekali harapanmu Sharqawi. Sedangkan aku
bukan siapa-siapa. Apa yang telah kau lihat dalam diriku ini, hingga aku
dipilih menjadi wanita yang bakal mencetus lahirnya keturunanmu? Apakah
yang ada dalam diri seorang Hilda ini hingga kau tega mengambilku
menjadi suri hidupmu sedangkan kita tidak pernah bersua muka?
Debaran di dada cuba
diusir pergi. Segala persoalan yang menujah diri disimpan di dasar hati.
Ketakutan yang menjalar didiamkan sepi. Perkahwinan pintu kebahagiaan,
tetapi padanya ada tanggungjawab yang tak boleh dipandang enteng. Mahu
atau tidak? Bersedia atau tidak? Hilda sudah berdiri di dalamnya. Dia
sudah memilih untuk terus dengan pilihan ini. Jadi liku pada jalan
pilihan ini akan diharungi tanpa keluhan. Allah, tanamkan harapannya
dalam diriku agar hatiku redha. Jadikanlah impiannya, juga impianku agar
lapang dadaku. Ragu-ragu, pergilah tinggalkanku. Usah biarkan aku
was-was lagi dengan pilihan ini.
Dadanya diusap perlahan
cuba menghilangkan gemuruh di hati. Bibir yang kaku cuba diukir senyuman
kecil. Semangat baru cuba dicari. Kata-kata positif terus-terusan
dibisik ke dalam diri. Hilda kembali mengambil tempat pada saf kosong
yang ditinggalkan tadi. Bicara Sheikh Zakaria yang semakin hampir
penghujung kata dikutip taujihat yang ingin diberi.
Apa yang mampu Hilda
simpulkan daripada pesanan ulama' hebat itu, untuk menerap tarbiah
Islamiah dalam diri individu mahupun masyarakat punya lima cara utama
yang perlu diberi perhatian:-
Pertama, melalui peranan keluarga yang mana ibu merupakan tunjang untuk membentuk peribadi seorang anak.
Kedua, melalui
peranan masjid yang semakin hilang fungsinya berbanding masjid ketika
zaman nabi. Masjid seharusnya menjadi tempat perbincangan politik,
tempat berlangsungnya urusan ekonomi serta tempat untuk membina sahsiah
dan mendidik peribadi insan bukan sekadar menjadi tempat ibadah utama
seperti solat. Sepertimana yang dilihat pada Masjid Al-Qarawiyyin,
Morocco dan Masjid Al-Azhar, Mesir merupakan institusi masjid yang
bergiat aktif dengan pendidikan universiti. Seharusnya masjid di
mana-mana sahaja perlu kembali menjalankan peranannya sepertimana fungsi
masjid ketika zaman dahulu.
Ketiga, peranan
sekolah juga sangat penting kerana di sini segala macam ilmu diajarkan
kepada murid. Disebabkan sekolah merupakan medium ilmu ditimba, maka
sekolah seharusnya seimbangkan pengajian duniawi dan ukhrawi.
Keempat, peranan
sahabat dalam membentuk peribadi. Kerana itu setiap insan perlu bijak
dalam memilih dengan siapa kita berteman. Bukan untuk mendidik supaya
terlalu memilih bulu. Tetapi untuk mengajar diri agar diterap sikap
positif. Tidak dinafikan hak untuk besosial terutamanya buat anak muda
berusia remaja. Kerana itu teman yang baik perlu dicari agar akhlak baik
boleh dicontohi dan terhindar daripada mengikuti hal yang mungkar.
Kelima, peranan media
massa sangat memberi pengaruh dalam mempengaruhi minda insan. Kerana
zaman kita merupakan zaman visual. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu bijak
memilih siaran yang ditonton anak-anak. Jika baik tayangannya, baiklah
yang diambil. Jika sebaliknya, fikrah yang tidak diingini bakal
terbentuk dalam diri anak-anak.
Hakikatnya
kelima-lima peranan ini bermula dari rumah. Di rumah peranan pertama
iaitu peranan keluarga merupakan titik mula kepada individu itu untuk
terbiasa dengan masjid dan memilih sekolah yang terbaik. Pembentukan
akhlak yang baik mendorong individu supaya bijak memilih temannya dan
terjaga apa yang dibaca, didengar dan dilihat di media massa. Semuanya
bermula dari rumah itu sendiri. Bagaimana didikan yang diberi. (8)
Setelah selesai daurah yang berlangsung selama satu setengah jam, segera mereka semua bangun untuk mengerjakan solat Isya' berjemaah.
Usai solat, berpusu-pusu manusia yang pelbagai bangsa dan negara,
lelaki dan wanita meninggalkan ruang solat. Hilda tidak mahu menyertai
yang lain bersesak-sesak dan berebut-rebut untuk segera keluar. Takut
juga dia mahu berhimpit dengan mereka yang tubuhnya besar dua kali ganda
daripadanya. Bak kata Sharqawi, patah riuk tulangnya nanti.
Sementara menanti,
jendela masjid dihampiri untuk melihat suasana riuh lautan manusia di
luar perkarangan masjid. Jalan keluar dari masjid yang berada di kiri
bangunan dikerumuni ramai orang menarik perhatian Hilda untuk
memerhatikan mereka. Kelihatan Sharqawi dan Rashid berbual mesra dengan
Sheikh Zakaria sambil mengiringi ulama' itu menuju ke arah kereta yang
sudah dinanti pemandu. Orang ramai terlalu banyak mengikuti langkah
Sheikh Zakaria demi mengambil barakah atau sekurang-kurangnya boleh
berjabat tangan dengan sang ulama'. Mujur sahaja tubuh dan ketinggian
Sharqawi setanding dengan orang-orang Arab, kalau tidak sudah lama tubuh
itu tenggelam dalam lautan manusia. Sebelum berpisah, tubuh Sharqawi,
Rashid dan beberapa orang pemuda yang mungkin merupakan anak murid
Sheikh Zakaria dipeluk dan dicium dahi mereka semua kemudian
menghilangkan diri ke dalam perut kereta.
Melihatkan ruangan solat
yang mulai lengang, segera Hilda mencapai beg sandangnya mahu
meninggalkan ruangan itu. Sempat Hilda mengucapkan salam buat beberapa
orang wanita yang sedang rancak berbual di penjuru ruang solat sebelum
turun ke tingkat bawah. Sunnah yang ditinggalkan semakin sebati
dengannya setelah hampir setahun berada di Bumi Gerbang Andalus ini.
Budaya salam diberikan kepada sesiapa sahaja sememangnya menjadi adat di
sini. Kerana itu mudah sahaja senyuman dan salam meniti di bibir Hilda
setiap kali bertemu dengan sesiapa sahaja. Masuk ke kedai, ingin
membayar di kaunter pasaraya, berselisih dengan si orang tua, anak-anak
kecil juga sama. Mujur tidak di tandas, tapi orang-orang Morocco sudah
terbiasa memberi salam ketika berselisih di tandas awam, hingga Hilda
teragak-agak mahu menjawab mahupun tidak. Sudahnya hanya senyuman dan
anggukan sebagai balasan, salam hanya dijawab di dalam hati sebagai
syarat.
Tempat yang disuruh
Sharqawi supaya menunggunya di situ didekati Hilda. Melihatkan kelibat
isterinya, nama Hilda dipanggil. Gadis kecil molek itu digamit supaya
datang kepadanya. Hilda menghampiri Sharqawi dalam keadaan berdebar.
Entah mengapa, jantungnya tiba-tiba bergemuruh mengingatkan kata-kata
Sharqawi tadi. Ketakutan tiba-tiba menjalar di seluruh nafasnya. Bahunya
terasa berat mahu berkongsi impian yang terlalu tinggi padanya.
Tiba-tiba sahaja dia risau. Ragu-ragu bertapa lagi. Saat Sharqawi mahu
menyentuhnya, Hilda terundur ke belakang tanpa sedar. Terkebil-kebil dia
dengan reaksi sendiri.
"Kenapa Hilda?"
"Er.."
"Hey, are you okey? Kenapa lesu semacam je ni. Sejuk ke?" Tubuh Hilda cuba diraih untuk rapat dengannya. Sekali lagi Hilda berundur.
"Okey, abang tak datang dekat. Come, tell me.
Hilda ada masalah?" Soalan lembut ditanya tidak lagi berganjak
melainkan hanya berdiri di tempatnya. Tangannya disangkut pada poket
seluar, wajahnya direndahkan mendekati Hilda siap untuk mendengar bicara
isterinya.
"Err.. awak.. awak
maksudkan ke apa yang awak cakap tadi?" Takut-takut Hilda bertanya tanpa
memandang wajah Sharqawi. Wajahnya ditunduk menekur tanah sambil
meramas tangannya yang dirapatkan ke dada sendiri.
"Laa.. faham rupanya
isteri abang ni. Ingatkan tak faham." Air muka yang risau tadi berubah
tenang beserta senyuman manis. Wajah Hilda ditenung lembut.
"Hello! Saya pelajar
Pengajian Islam, belajar Bahasa Arab di negara Arab, kalau saya tak
faham apa awak cakap maknanya saya dah pekak." Cemberut wajah Hilda
diusik Sharqawi.
"Okey, maafkan abang.
Jadi, kenapa? Salah ke apa yang abang cakap?" Anak mata Hilda yang
gelisah itu dicarinya. Gadis muda, terlalu mudah terdorong dengan
perasaan. Hati yang berbolak-balik sangat mudah mengganggu emosi dan
keputusannya menyebabkan Hilda susah untuk tetap pada satu keputusan.
"Er.. hurmm.. tak
salah.. tapi.. tapi.. saya takut. Impian awak.. impian awak sangat
besar. Umur saya masih muda. Tak mampu saya tunaikan apa yang awak
inginkan. Saya perempuan biasa-biasa. Agama saya tak hebat malah sangat
lemah dengan penyakit hati dan sifat munafiq yang menjadi darah daging.
Usia saya tidak matang untuk menyempurnakan baitul muslim seperti yang awak harapkan. Saya.. saya takut kecewakan awak."
Entah mengapa, terlalu
mudah Hilda meluahkan rasa hatinya pada Sharqawi. Rasa selesa dan
keinginan untuk mengadu menyebabkan dia tidak ragu-ragu untuk berkongsi
rasa risaunya. Perasaan yang tidak pernah dialami. Anehnya, Hilda bukan
gadis yang mudah berkongsi perasaan dengan sesiapa, begitu senang hati
meluah rasa. Hildakah ini?
Mendengarkan itu semakin
lebar senyuman Sharqawi terukir. Sharqawi duduk bertinggung di hadapan
Hilda menyamai ketinggian perut Hilda sambil mendongak memandang wajah
gelisah gadis itu. Tangan Hilda ditarik ke genggaman lalu dikucupnya
lama. Sejuk tangan gadis itu. Digosok-gosok tangan itu biar hangat.
Sepertinya rasa yang dikongsi merupakan luahan hati yang mengganggu
dirinya.
"Hilda pandang abang."
Anak mata yang gelisah dipaku pada pandangan redup Sharqawi di
hadapannya tapi cuma sebentar. Sharqawi hanya tersenyum tidak memaksa.
"Hilda nak tahu,
sebenarnya impian ni salah satu perancangan abang untuk menjadi
sebaik-baik muslim dan menjadi hamba yang taat akan Allah. Impian yang
abang cipta ni tak bermakna abang sudah sempurna sampai berangan tinggi
melangit. Tapi sebab abang tak sempurnalah abang cipta impian ni. Kenapa
tau sayang, sebab inilah salah satu cara untuk abang perbaiki dan
mendidik diri abang. Jadi, untuk abang capai impian ni, abang tak nak
usaha sorang-sorang. Rugi kalau dapat sorang-sorang, sebab tu abang
mahukan seseorang untuk abang berjuang di sampingnya. Untuk abang dapat
sama-sama dengan orang tu. Kalau tak dapat pun, sama-sama juga. Kenapa
juga sayang tau, sebab abang tahu abang tak sempurna lah, jadi abang tak
harapkan apa-apa yang sempurna pun pada pasangan abang. Jadi, Hilda
jangan risau. Abang pun sama macam Hilda. Kalau Hilda cakap yang Hilda
tak sempurna sebab penyakit hati dan sifat munafiq. Abang juga sama
sayang sebab kita sama-sama manusia biasa. Penuh kekurangan dan
kelemahan."
Sharqawi berhenti
sejenak untuk melihat reaksi Hilda yang diam menyepi. Wajah mulus itu
masih menunduk, mata itu masih takut-takut mahu memandangnya. Tapi
Sharqawi tahu, gadisnya itu sedang mendengar dengan patuh.
"Hilda sayang, impian ni hanyalah satu usaha untuk abang tunaikan tanggungjawab sebagai muslim. Membina baitul muslim
yang utuh dengan pegangan Islam tidak mudah selagi mana dorongan hawa
nafsu dan cintakan dunia merantai diri kita. Abang tak sekuat seperti
apa yang abang katakan. Agama abang tak sehebat yang dipandang manusia,
abang insan biasa juga seperti Hilda. Sebab abang tahu abang mahu
mendidik diri menjadi lebih baik, abang tak takut pun andai abang kecewa
dengan pilihan abang. Hilda merupakan pilihan abang, Hilda juga salah
satu usaha untuk abang penuhi impian abang. Sebab abang yang pilih,
abang tak takut pada kecewa dan kegagalan. Sebab abang tahu, selagi
abang tak putus asa, abang akan tetap dapat capai impian abang. Andai
Allah takdirkan abang tak berjaya sempurnakan cita-cita ni, abang tahu
abang tak salah dan abang tak kalah. Sebab abang yakin, Allah sedang
siapkan generasi seterusnya untuk sempurnakan apa yang tidak sempurna
pada agama-Nya. Yang penting, kita hamba-Nya sudah usaha dengan sebaik
mungkin."
Melihatkan Hilda sudah
berani mengangkat wajahnya, Sharqawi kian semangat mahu berkongsi
cita-citanya itu dengan Hilda. Senyumannya semakin lebar terukir lalu
menyambung kata sambil mengusap-usap jemari halus itu.
"Sayang nak tahu lagi, abang nikahi Hilda bukan untuk tarbiahkan diri abang sorang tau tapi yang pentingnya lagi untuk tarbiahkan
isteri abang yang cantik manis ni." Sempat Sharqawi mencuit dagu
isterinya mengusik isterinya, tersipu-sipu Hilda menyorok wajah.
Sharqawi ketawa kecil lalu bangun mengangkat tubuhnya. Kepala Hilda
diusap lembut sebelum kembali menyambung kata.
"Farahilda yang comel
ayu ni, sudah menjadi tanggungjawab abang untuk abang jaga, untuk abang
sayang, untuk abang didik bukan saja-saja tapi demi sempurnakan fitrah
kita sekaligus sempurnakan separuh agama kita. Lepas tu, abang dan Hilda
hanya perlu terus tingkatkan usaha kita untuk membentuk keluarga muslim
yang mentauhidkan Allah, perjuangkan Islam dan mengangkat syariat Islam
menjadi undang-undang dunia. Abang tahu tak mudah impian abang ni, tapi
Hilda jangan risau tau kalau apa yang kita usaha ni tak ada hasilnya.
Biarlah lambat, biarlah tidak nampak hasilnya, apa yang penting abang
mahu kita berusaha je. Abang cerita dekat sayang ni sebab abang nak kita
jelas tujuan kita sebagai hamba. Perkahwinan bukan sekadar berubahnya
fasa kehidupan manusia kepada berpasangan. Malah lebih daripada itu.
Kehidupan rumah tangga seorang muslim, lebih daripada sekadar
berpasangan, berkasih, melahirkan zuriat kemudian sampai waktunya pergi
meninggalkan dunia. Sedangkan kehidupan berumah tangga yang sebenar
punya matlamat bagaimana keluarganya mahu dibentuk. Abang tak mahu
keluarga yang abang mahu bina ini merupakan kehidupan keluarga yang
biasa-biasa. Abang sentiasa ada dengan sayang. Jadi, kita sama-sama
usaha ye sayang?"
"Awak yakin saya mampu?" Tuhan! Mengapa besar sekali matlamatnya. Aku hanya mahu menjadi insan biasa.
"Abang yakin kalau Hilda
juga yakin dengan diri Hilda. Abang tak ada kuasa melainkan Hilda
sendiri yang membuat keputusan. Jangan terburu-buru mahu mengubah diri
menjadi sempurna. Kita sama-sama usaha untuk jadi baik sudah cukup
sebagai langkah permulaan. Hilda mahu bersama abang?" Anak mata Hilda
ditenung dalam-dalam mengharapkan harapannya bersambut.
"Didiklah saya agar saya
mampu berdiri sama tinggi untuk berkongsi impian yang sama dengan awak.
Untuk mengundur diri, saya sudah putuskan untuk menerima takdir awak
suami saya. Di mana letaknya isteri melainkan teristimewa diciptakan
untuk berada di samping suaminya. Selagi saya mampu, jejak langkah awak
saya akan ikut andai itu jalan yang telah tertulis untuk saya lalui di
kehidupan dunia ini jika padanya ada redha Allah yang saya cari.
Pimpinlah saya yang bukan siapa-siapa malah sangat biasa-biasa.
"Abang tahu sayang boleh. Kita sama-sama ye."
Tubuh genit isterinya
dipaut rapat kepadanya. Umbun-umbun isterinya dikucup beserta doa tanpa
putus. Berharap semoga mereka berdua diberi kekuatan untuk istiqomah. Setelah itu, mereka berpimpin tangan menghampiri Rashid yang sudah berada di dalam teksi apabila dipanggil lelaki itu.
Malam itu, tiada
perancangan lain melainkan masing-masing mahu pulang ke hotel. Ajakan
Sharqawi untuk makan malam di mana-mana kedai juga ditolak Rashid.
Katanya dia akan memesan makanan di bilik sahaja. Keletihan benar lelaki
itu kerana terus bertolak ke Casablanca setelah selesai persidangannya
di Tetouan yang berlangsung selama dua hari, mengenangkan janji mereka
mahu bertemu Sheikh Zakaria di sini.
Menurut cerita Rashid,
Sheikh Zakaria merupakan guru mereka ketika menuntut ijazah di United
Kingdom. Sheikh Zakaria yang ketika itu sedang melanjutkan Phd keduanya
menjadi sumber rujukan mereka ketika di sana. Hubungan akrab mereka
tidak pernah terputus. Setelah selesai belajar, Sharqawi sentiasa
menghubungi gurunya itu mengikuti perkembangan dakwah Sheikh Zakaria.
Kerana itu Sharqawi sudah seperti anak emas Sheikh Zakaria. Hilda hanya
tersenyum melihatkan Sharqawi berbalah kata dengan Rashid saat dirinya
digelar anak emas. Terjawab sudah persoalannya melihatkan kemesraan
mereka dan Sheikh Zakaria yang luar daripada biasa itu. Lelaki ini,
sangat misteri. Banyak lagi tentang Sharqawi yang tidak Hilda ketahui.
Jika tak diceritakan Rashid, sampai ke sudah Hilda tak akan tahu Sheikh
Zakaria juga merupakan guru lelaki itu. Iyalah, katanya cuma guru
Rashid. Tak ada pula ditambah guru Rashid dan Sharqawi. Bertuah punya
suami. Mengapa perahsia sekali peribadimu?
Suami, semoga ke depan ini kau akan semakin aku kenali seluruh jiwa dan ragamu.
1) TAUSIYAH: Pesanan
2) TARBIAH:Pendidikan. Rabba-yurabbi-tarbiah: Bahasa: memperbaiki, menguasai urusan, menuntun, menjaga dan memelihara. Istilah:
"Menyampaikan sesuatu sedikit demi sedikit hingga sempurna. Kemudian
kata itu dijadikan sifat Allah Swt. sebagai mubalaghah
(penekanan)".(Kitab Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta 'wil - Imam Al-Baidowi)
3) MASHRABIYA: Kisi-kisi kayu berukir yang merupakan pagar/pemisah ruangan solat lelaki dan perempuan
4) SHAKHSIAH: Personaliti
5) NAMA KITAB: Fusul fi Fusul Tarbiah Islamiah
6) "Semoga Allah
memberkahimu dan memberkahi atasmu serta mengumpulkan kamu berdua dalam
kebaikan" -Doa yang diajarkan nabi untuk pengantin baru 'Barakallahu
laka wabaraka alaika wajama'a bainakuma fi khair' (teks asal)
7) WALLAHU A'LAMU BIS SAWAB: Hanya Allah lah yang lebih mengetahui
8) Ringkasan mafhum daripada kelas Dr. Syafiq Lamah menggunakan Kitab Fusul fi Fusul Tarbiah Islamiah bertarikh 28 November 2017
Comments
Post a Comment