E-Novel: Maroc Love Footprint 6



"Hilda sayang..." Suara umi kembali kedengaran. Suaranya serak, sepertinya umi sedang menangis. Suara abah tidak pula kedengaran. Mungkin mencari ruang berfikir sepertinya juga. Hilda menekupkan bibirnya dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya menekap Zenphone di telinga kiri. Hilda membisu menanti kata-kata daripada umi.


"Hilda masih ingat, sebulan yang lalu umi tanyakan Hilda. Bagaimana jodoh yang Hilda inginkan? Hilda masih ingat apa yang Hilda katakan?" Hilda tidak menjawab. Tetapi perbualan yang penuh usikan dan gurauan bersama keluarganya sebulan yang lalu mula berlegar di mindanya. Hilda mendiamkan diri tanpa menyahut, menanti apa yang bakal umi katakan.


"Hilda ceria sekali menyahut. Kalau boleh Hilda inginkan lelaki yang soleh, baik budi pekertinya, bicara dan lakunya sopan santun. Jika wajah dan harta itu ada, bertuah badan la Hilda. Bonus untuk fitrah Hilda sebagai wanita yang suka kepada dua perkara itu. Tapi, Hilda tak utamakan yang dua itu. Hilda cakap yang penting solatnya terjaga dan orangnya bertanggungjawab." Umi diam lagi. Nafasnya kedengaran tidak teratur kerana sebak yang ditahan.


"Tapi Hilda hanya bergurau tika itu. Umi juga tahu."Hilda cuba membela diri.


"Ya sayang. Umi tahu. Waktu itu, kita sedang berbual dengan penuh gurauan. Hanya kerana ketika itu emosi Hilda sangat ceria, umi beranikan diri untuk bertanya jika ada yang ingin menikahi Hilda untuk waktu terdekat, adakah Hilda sanggup menerimanya. Awalnya, umi tidak mengharapkan jawapan yang begitu segera. Tapi, jawapan yang sangat yakin Hilda berikan membuatkan umi termangu sendiri. Ya, umi juga fikir Hilda hanya lancar mulut berkata tapi tidak maksudkan. Namanya juga kita sedang bergurau. Kerana itu, umi tanyakan soalan yang sama. Tiga kali umi tanyakan. Benarkah? Bukan sekadar perbualan itu, soalan yang sama selalu umi tanyakan setiap kali Hilda hantar pesanan di Whatsapp. Umi minta izin daripada Hilda untuk nikahkan Hilda dengan pilihan keluarga. Jawapannya? Hilda sendiri tahu." 


Hilda sudah tergeleng-geleng kepalanya berkali-kali. Tidak percaya ternyata semua ini juga berpunca dari dia. Ternyata yang bersalah itu bukan umi yang mengikut atau abah yang akadkan. Tetapi Hilda sendiri yang berbicara tanpa berfikir. Bukan tidak berfikir tapi Hilda lupa. Sungguh dia lupa. Lupa yang teramat seolah-olah topik itu sudah dipadam dari kotak memorinya. Permintaan umi yang satu itu pernah berkali-kali singgah di ruang mesej Whatsappnya. Kerapnya hampir setiap minggu berlarutan selama sebulan sehinggalah tiada lagi pertanyaan tentang itu tiga minggu sebelum kedatangan Sharqawi. Hilda pernah fikirkan hal itu, dan pernah istikharah untuk berikan jawapan kepada umi tentang itu. Tapi entah mengapa dia lupa. Dia lupa langsung akan hal itu sementelah tidak lagi ditanya umi. Apatah lagi tiga minggu itu dia langsung tidak menghubungi keluarga dek terlalu sibuk dengan aktiviti Kem Kepimpian Pelajar anjuran Jabatan Nuqaba' PMMM ketika itu. Allah, sungguh mengapa aku terasa menyesal dengan keputusanku sendiri tika ini. Aku terkilan, aku tidak sangka mereka nikahkan aku secepat ini. Tanpa aku tahu bilakah berlangsungnya ia.


"Tapi kenapa Hilda lupa umi? Sungguh Hilda tak tahu. Bila difikirkan balik, Hilda benar-benar tak maksudkan kata-kata Hilda waktu itu. Umi lebih mengetahui siapa Hilda. Hilda jika bergurau, usah dipercaya setiap bicara Hilda.Tiada yang benar. Umi lebih kenal anak umi. Umi janganlah buat Hilda macam ni. Kasihanilah Hilda." Hilda cuba berdalih walaupun dia tahu dia salah. Dia masih benar-benar berharap ini semua hanya mimpi. Semua ini hanya tipu daya dari keluarganya. Hanya kejutan yang bukan apa-apa. Tolonglah! Mengapa hatiku tak sehaluan dengan istikharahku dulu? Jika benar aku setuju, mengapa aku lupa? Mengapa aku tak ingat langsung akan hal sepenting itu? Akukah yang terlalu sambil lewa dalam membuat keputusan? Oh Tuhan! Mengapa hatiku yakin sekali semua ini hanya dusta. Hanya permainan perasaan. 


Umi terdiam lama. Keluhan umi jelas pada pendengaran Hilda. Hilda memejamkan matanya rapat. Hingga ke sudah dia sangat berharap ini semua hanya mimpi.


"Bagaimana umi ingin menafikan semua itu, nak. Sedangkan perbualan kita yang Hilda sendiri tahu umi akan buka loudspeaker untuk sama-sama berbual dengan abah, dengan adik-adik. Mereka turut mendengar dengan apa yang Hilda katakan. Malah, Hilda sendiri cakap tidak kisah saat umi beritahu di awal perbualan kita ada tetamu yang turut mendengar. Tetamu itu suamimu, Hilda. Dia datang bertandang ke rumah untuk merisik Hilda. Sudah alang-alang Hilda menghubungi, umi mengambil peluang itu untuk menyampaikan isi hatinya. Jawapan Hilda didengarkan oleh semua orang di situ termasuk Sharqawi. Jadi, bagaimana umi ingin menafikan kepadanya Hilda tidak serius akan hal itu." Allah... terasa seperti ingin mengambuskan diri sendiri ke dalam tanah. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Dan padahnya, dia sendiri yang menanggung. Dia sendiri yang menabur janji. Janji yang memberi harapan kepada setiap yang mendengarnya. Sudahnya, teresak-esak Hilda menyesal dengan perbuatan sendiri.


"Lagi pula, Sharqawi mengaku mengenali Hilda. Umi fikir Hilda turut mengenali Sharqawi. Kerana itu, umi tidak ragu-ragu untuk menyatukan kalian berdua. Salah umi, salah abah kerana kami membuat spekulasi sendiri. Umi mengaku, yang zalimnya kami. Tapi, jawapan Hilda yang berkali-kali memberi kata putus yang sama juga memberi keyakinan kepada kami. Kerana menyangka Hilda benar-benar mengetahui lamaran Syarqawi. Kerana kami fikir Hilda benar-benar tahu dengan siapa Hilda bakal berkahwin, siapa bakal suami Hilda. Kami rahsiakan majlis akad ini daripada Hilda. Ya salah kami cuma satu. Setelah yakin dengan persetujuan Hilda, kami semua diamkan diri. Majlis akad yang mengubah kehidupan Hilda kami rahsiakan. Tarikh sepenting itu kami diamkan. Kerana semua ahli keluarga fikir Hilda akan gembira dengan kejutan kami. Kami benar-benar yakin Hilda akan bahagia dengan orang yang Hilda cintai. Tapi, kenyataan sebaliknya yang berlaku. Maafkanlah kami sayang. Sungguh-sungguh kami tak berniat ingin menzalimi anak kami sendiri. Dosanya tak tertanggung dengan Tuhan. Maafkanlah kami nak. Abah dan umi juga manusia, penuh dengan khilaf dan leka. Kami lupa hukum Tuhan tidak boleh hanya dengan telahan hati. Dia pasti suka, jadi tidak mengapa. Kami lupa hukum Allah itu tidak boleh dibuat main. Tambahan pula yang melibatkan nikah cerai. Tidak perlukan niat, cukup hanya lafaz sebagai saksi bersatu dan bercerainya dua insan. Maafkanlah kami kerana mewakilkan persetujuan Hilda kepada Qadi. Potongan rakaman Hilda dalam perbualan tempoh hari dan mesej-mesej jawapan Hilda kami tunjukkan sebagai bukti buatkan semua percaya akad ini tiada cacat dan tiada cela. Maafkanlah kami, nak. Kami khilaf."


"Umi..." Terdiam dua insan berdarah daging yang sama itu dengan tangisan masing-masing. Penyesalan dengan keputusan yang terburu-buru. Tiada yang betul, masing-masing bersalah.

"Umi, Hilda nak balik." Rintih Hilda penuh mengharap. Ingin sekali dipeluk kedua-dua orang tuanya itu. Allah Tuhan... redhakanlah hati ini. Aku mengaku khilafku. Hilda tertunduk memandang ke tanah, terasa seperti dipukul berkali-kali. Ditambah lagi dengan permohonan maaf yang berterusan daripada orang tuanya buatkan dia lebih terhenyak dengan rasa bersalah yang teramat.


"Hilda.." Setelah sekian lama masing-masing mendiamkan diri. Suara abah kembali mencelah. Kali ini suaranya lebih berkeyakinan walaupun kedengaran lembut.


"Hilda masih marahkan abah?" Lembut si ayah bertanya cuba bertoleransi dengan anak gadisnya yang sedang keliru tika ini.


"Hilda kecewa abah." Tiada lagi yang disembunyikan. Dalam saat genting seperti ini, sememangnya tiada lagi yang perlu disembunyikan. Perbualan dari hati ke hati seharusnya diluahkan segalanya agar kedua-dua pihak memahami akan apa yang terbuku di hati masing-masing. Jika kesepakatan dicapai, tak mustahil salah faham boleh dibetulkan dan masalah yang tersimpul boleh dileraikan.


"Hilda nak berpisah dengan Sharqawi?" Hilda terdiam saat mendengarkan pertanyaan itu. Sejenak Hilda termenung memikirkan jawapan yang selayaknya diberikan. Katakan saja ya Hilda. Bukankah itu yang kau harapkan? Abah sedang bertoleransi dengan kau, mana tahu terbuka hatinya untuk menuruti permintaan kau. Ayuh, katakan Hilda!


"Hilda..." Tapi, kata hatinya terkunci di bibir. Ragu-ragu mula bertandang saat ingin menuturkan perkataan itu. Hanya dua huruf, hanya satu suku kata tetapi terlalu berat untuk dikatakan.


"Tidak mahukah Hilda mengenali hati budinya dahulu? Tiada apa yang kurang pada sosoknya. Umi dan abah tidak menyerahkan Hilda kepada orang yang tidak diketahui asal usulnya. Dia terlalu sempurna untuk ditolak. Ciri-cirinya menepati citarasa yang diinginkan Hilda. Agamanya sangat terjaga, pekertinya sangat sopan. Ibu mana yang tidak tersentuh, ayah mana yang tidak sejuk hati. Keinginan kami ini ternyata didengar Allah, sebelum kami meminta orangnya sendiri datang bertanya penuh adab dan sopan ingin memetik bunga di taman kami."


"Asiah, jangan disogok lagi. Berilah peluang kepadanya untuk berfikir." Kata-kata umi sebentar tadi ditegur lembut oleh abah. Hilda masih mendiamkan diri.


"Kerana Hilda perlu berfikirlah, Asiah nak sangat Hilda tahu, Hilda kenal dulu siapa suaminya, bagaimana orangnya. Peluang untuk bersama, segala kebaikkan dan keburukkan pasangan lebih mudah untuk terbongkar. Apakah sikap baiknya kepada kami hanya pura-pura demi memiliki Hilda? Semuanya akan Hilda ketahui sendiri apabila Hilda bukakan hati untuk mengenali dia. Jika ada kelemahannya yang boleh ditoleransi apabila berbincang, jangan terburu-buru mengatakan dia tidak layak untuk Hilda. Hanya seandainya kelemahan-kelemahan itu menyebabkan hak-hak Hilda sebagai seorang isteri zahir dan batin tidak tertunai. Maka, katakanlah Hilda. Go on! Berpisahlah. Katakan padanya sememangnya kalian tidak mungkin lagi boleh sekufu. Umi tidak bermaksud berpihak padanya, juga tidak bermaksud memaksa Hilda menerima perkahwinan yang tidak pernah menjadi pilihan Hilda. Tapi, jika keputusan Hilda ingin membuang Sharqawi tanpa terlebih dahulu mengenali siapa dia, bagaimana orangnya. Umi sangat tidak setuju dengan Hilda. Bukankah jika dilamar lelaki yang bagus agamanya, baik akhlaknya, seeloknya lamaran itu tidak ditolak." 


"Ya, memang hak Hilda untuk memilih awal-awal lagi telah kami rampas. Tapi, berfikirlah dengan sebaiknya. Umi berani janji, Hilda tak akan pernah menyesal dengan keputusan ini. Percayalah Hilda, tiada yang umi inginkan selain kebaikan dan kebahagiaan Hilda. Seandainya derita yang menimpa Hilda setelah menerima keputusan ini. Hukumlah umi, terlaknatlah umi kerana berjanji dengan takdir Hilda yang hanya Tuhan lebih mengetahuinya."


"Umi janganlah cakap macam tu. Please umi..."


Masing-masing terdiam lama setelah umi menitikkan pujukannya. Fikiran Hilda terawang-awang memikirkan rasionalnya kata-kata umi itu. Abah dan umi sepertinya juga memahami, memberi peluang kepada Hilda untuk berfikir membuatkan kesunyian menjadi peneman mereka. Dalam pada memutuskan solusi hidupnya, pandangan Hilda tertarik pada sosok yang riak wajahnya sangat gelisah. Langkahnya cemas berlari-lari anak di jalan-jalan kecil taman itu. Sekejap langkahnya ke kiri, sekejap langkahnya ke kanan. Arah depan dan juga belakang sepertinya tidak lelah diulang ke sana ke sini. Kepalanya juga tidak duduk diam. Seandainya manusia itu boleh memusingkan kepalanya 360 darjah, pasti akan dilakukan sosok itu. Tangannya kejap memegang telefon bimbitnya yang menjadi fokus matanya setiap saat. Sepertinya alat komunikasi itu menjadi alat penunjuk arah buatnya mencari sesuatu.


Hilda sangat mengenali sosok itu. Gerangan yang sedang hangat dia bincangkan bersama umi dan abah. Hilda hanya biarkan lelaki itu semakin menghampiri, walaupun Sharqawi masih belum menyedari sosok Hilda disebalik pepohon dan terselindung di sebalik pagar-pagar pokok. Jika awal pertemuan mereka beberapa hari lalu, pasti sekarang ini Hilda sangat terburu-buru meninggalkan situ demi mengelakkan pertemuan mereka. Tetapi saat ini, kata-kata umi sangat mencengkam hati Hilda untuk membuat keputusan membuatkan dia kaku di situ. Tiada rasa untuk melarikan diri dan tiada juga rasa untuk menonjolkan diri. Namun, gerak hati mereka sangat kuat. Mata yang masih basah begitu setia memandang gerak geri Sharqawi, lagaknya seperti kucing hilang anak.

Kerana yakinnya juga Hilda sedang memandangnya dari satu sudut yang tersembunyi membuatkan pandangan Sharqawi yang meliar terkunci pada satu arah. Pandangan mereka bersatu dan langkah Sharqawi terhenti. Wajahnya yang gelisah kembali tenang dan nafas kelegaan kelihatan dihembus perlahan lelaki itu. Perlahan-lahan langkah yang terhenti tadi kembali diatur menuju ke arah gerangan yang dicari.


Hilda masih kaku, tiada niat untuk mengelak. Malah matanya masih setia berpaut pada pandangan Sharqawi. Memikirkan panggilan yang masih tergantung, Hilda menyambung perbualan mereka yang dibiarkan sepi tadi mengenai sesuatu yang membuatkan dirinya begitu berat untuk menurut kemahuan umi dan abahnya.


"Tapi, Hilda baru 19 tahun umi. Hilda masih mahu bebas. Hilda tidak mahu terikat dengan siapa-siapa. Hilda hanya ingin fokus pada pengajian Hilda." Kenyataan Hilda yang bermain-main di hatinya menimbulkan keraguan dan tidak puas hati dari awal diluahkan. Hanya itu hakikat yang membelenggu Hilda untuk menerima takdir itu. Dia masih terlalu muda untuk memegang tanggungjawab sebesar ini.


"Umi tahu Hilda. Umi sangat tahu keinginan Hilda itu."


Diam lagi. Dan kali ini, Sharqawi telah benar-benar berada di hadapan Hilda. Mereka masih berpandangan seperti tiada tanda pandangan itu akan putus. Hilda juga begitu, setianya dia memandnag hingga Sharqawi sudah duduk di kerusi panjang yang sama, memusingkan posisi tubuhnya menghadap Hilda dan jemari kiri Hilda yang terkulai di ribanya ditarik dan dibawa ke genggaman Sharqawi. Jemari mulus itu kemudiannya dikucup lembut. Hilda membiarkan diperlakukan begitu. Setelah itu, tangan mereka bertaut erat pada ribaan Sharqawi dengan tautan mata yang masih utuh. Gerakan bibir Sharqawi tanpa suara itu dibaca Hilda.


'Abang risaukan Hilda.'


Hanya kata-kata itu, tapi tanpa dipinta hati Hilda yang sangat lembut itu begitu tersentuh dengan pengakuan Sharqawi. Tanpa dipinta juga, air mata yang bertakung mulai melimpah di bibir mata. Suara umi dan abah yang kesunyian turut kembali kedengaran.


"Berbahagialah Hilda. Saat setiap manusia itu meronta-ronta ingin kebebasan menikmati dunia tanpa ikatan tanggungjawab, Hilda telah ditakdirkan dengan tanggungjawab ini. Usia bukan alasan cita-cita dan impian Hilda pasti musnah kerana ikatan ini. Berbahagialah anakku kerana separuh agamamu telah terlaksana. Ambillah peluang ini. Lapangkanlah persepsi Hilda terhadap perkahwinan itu sendiri. Jika Hilda ingin bebas meneroka dunia, lebih indah jika penerokaan itu bersama suami Hilda. Urusan mahram tidak lagi menjadi masalah. Jika pengajian yang Hilda risaukan, berbincanglah dengan Sharqawi. Dia tidak kejam ingin membiarkan segala impian Hilda terkubur. Jika umur muda menjadi faktor Hilda berasa malu, tetaplah berbahagia. Saidatina Aisyah juga dinikahi Rasulullah SAW di saat usianya masih muda. Tapi perkahwinan itu tidak membelenggu ummul mukminin ini kepada tanggungjawab sebagai isteri. Malah sejarah membuktikan, Saidatina Aisyah merupakan isteri yang sangat faqih kerana cintanya kepada ilmu. Nabi sendiri menggelarkan isterinya sebagai muwaffaqah(1) kerana kecerdikan Saidatina Aisyah. Malah Saidatina Aisyah menjadi rujukan para sahabat setelah kewafatan baginda SAW. Adakah Rasulullah SAW menghalang Saidatina Aisyah daripada menuntut ilmu kerana statusnya sebagai isteri? Banyak lagi yang boleh dicontohi daripada kehidupan nabi. Abah tahu, zaman kita dan zaman nabi jauh bezanya. Cuma, abah ingin katakan. Jangan perkecilkan walaupun sekecil persamaan yang boleh dicontohi."


"Hilda... ketahuilah. Sepanjang abah mengenali Sharqawi, peribadinya sangat baik, sopan katanya, berterus terang orangnya, lembut tegurannya, budinya tidak lokek disumbang. Abah tak mahu Hilda mensia-siakan suami sebaik dia. Abah tidak mengatakan semua ini kerana abah terlalu taksub ingin bermenantukan dia. Bukan juga abah ingin menyogok Hilda agar bersetuju. Jauh sekali paksaan terhadap Hilda. Tapi, keinginan abah. Sebelum Hilda membuat keputusan untuk berpisah dengannya secara melulu, sekurang-kurangnya Hilda kenal terlebih dahulu siapa suami Hilda walaupun sedikit. Apa yang abah harapkan hanya kematangan Hilda dalam berfikir. Tapi, jika Hilda dah buat keputusan. Jika kekecewaan yang sebenarnya merantai hati Hilda, hingga tidak ada peluang untuk mengenali siapa suami Hilda. Abah akan berbincang dengan Sharqawi akan ketidakkufuan kalian. Jika perpisahan masih menjadi pilihan Hilda, biarlah itu yang menjadi takdirnya."


"Umi dah cakap apa yang umi ingin cakap, abah pun dah luahkan segalanya. Harapnya, Hilda juga begitu. Baliklah Hilda, Sharqawi pasti tercari-cari, teman-teman Hilda pasti risau. Umi dan abah pun ada urusan lain. Hilda ambillah berapa lama pun untuk berfikir. Jika sudah tercapai kata putusnya, hubungilah kami. Kami siap mendengarnya. Tak perlu terburu-buru untuk pulang ke Malaysia. Sharqawi ada di sana, berbincanglah dengan dia baik-baik. Ye Hilda?"


"Baik umi."


"Umi letak dulu ye. Assalamualaikum."


Salam dijawab perlahan. Mata Hilda masih terpaku pada wajah tenang Sharqawi. Tangan lelaki itu tidak lelah mengeringkah air mata Hilda yang masih mengalir. Zenphone yang sudah panas di telinga perlahan-lahan diturunkan ke riba. Masing-masing berpandangan dan saling membisu. Hilda yang cuba bertenang ternyata tidak berjaya. Semakin difikirkan segala buah bicara abah dan uminya, semakin terhenyak Hilda dengan satu keputusan. Keputusan yang diinginkan hatinya, tapi tidak egonya. Akhirnya, tekanan perasaan yang tidak dapat ditahan terluah tanpa dapat dibendung lagi dengan tangisan yang semakin meledak. Mahu sahaja dia meraung sepuas hati, dia ingin menjerit, ingin mengongoi semahunya. Tapi semua itu ditahan dengan tekupan jemarinya di bibir. Teresak-esak Hilda tidak terkawal lagi. Sharqawi yang setia di sisi, perlahan-lahan menarik tubuh Hilda ke dalam pelukannya. Wajah Hilda dibiarkan melekap pada dadanya. T-shirtnya yang mulai terasa basah tidak dihiraukann. Apa yang diharap ketika itu, agar Hilda kembali tenang. Kepala dan belakang Hilda diusap penuh kasih.

"Maafkan abang." Kata-kata itu diucap disusuli kucupan di dahi Hilda.




1) MUWAFFAQAH/FAQIH: yang cerdik



-----------------------------------
Kat sini Hilda nyorok. Ngee..
-Kredit Gambar: Google Image-





Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan