E-Novel: Maroc Love Footprint 6
"Hilda sayang..." Suara umi kembali kedengaran. Suaranya serak, sepertinya umi sedang menangis. Suara abah tidak pula kedengaran. Mungkin mencari ruang berfikir sepertinya juga. Hilda menekupkan bibirnya dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya menekap Zenphone di telinga kiri. Hilda membisu menanti kata-kata daripada umi.
"Hilda masih ingat,
sebulan yang lalu umi tanyakan Hilda. Bagaimana jodoh yang Hilda
inginkan? Hilda masih ingat apa yang Hilda katakan?" Hilda tidak
menjawab. Tetapi perbualan yang penuh usikan dan gurauan bersama
keluarganya sebulan yang lalu mula berlegar di mindanya. Hilda
mendiamkan diri tanpa menyahut, menanti apa yang bakal umi katakan.
"Hilda ceria sekali
menyahut. Kalau boleh Hilda inginkan lelaki yang soleh, baik budi
pekertinya, bicara dan lakunya sopan santun. Jika wajah dan harta itu
ada, bertuah badan la Hilda. Bonus untuk fitrah Hilda sebagai wanita
yang suka kepada dua perkara itu. Tapi, Hilda tak utamakan yang dua itu.
Hilda cakap yang penting solatnya terjaga dan orangnya
bertanggungjawab." Umi diam lagi. Nafasnya kedengaran tidak teratur
kerana sebak yang ditahan.
"Tapi Hilda hanya bergurau tika itu. Umi juga tahu."Hilda cuba membela diri.
"Ya sayang. Umi tahu.
Waktu itu, kita sedang berbual dengan penuh gurauan. Hanya kerana ketika
itu emosi Hilda sangat ceria, umi beranikan diri untuk bertanya jika
ada yang ingin menikahi Hilda untuk waktu terdekat, adakah Hilda sanggup
menerimanya. Awalnya, umi tidak mengharapkan jawapan yang begitu
segera. Tapi, jawapan yang sangat yakin Hilda berikan membuatkan umi
termangu sendiri. Ya, umi juga fikir Hilda hanya lancar mulut berkata
tapi tidak maksudkan. Namanya juga kita sedang bergurau. Kerana itu, umi
tanyakan soalan yang sama. Tiga kali umi tanyakan. Benarkah? Bukan
sekadar perbualan itu, soalan yang sama selalu umi tanyakan setiap kali
Hilda hantar pesanan di Whatsapp. Umi minta izin daripada Hilda untuk
nikahkan Hilda dengan pilihan keluarga. Jawapannya? Hilda sendiri tahu."
Hilda sudah
tergeleng-geleng kepalanya berkali-kali. Tidak percaya ternyata semua
ini juga berpunca dari dia. Ternyata yang bersalah itu bukan umi yang
mengikut atau abah yang akadkan. Tetapi Hilda sendiri yang berbicara
tanpa berfikir. Bukan tidak berfikir tapi Hilda lupa. Sungguh dia lupa.
Lupa yang teramat seolah-olah topik itu sudah dipadam dari kotak
memorinya. Permintaan umi yang satu itu pernah berkali-kali singgah di
ruang mesej Whatsappnya. Kerapnya hampir setiap minggu berlarutan selama
sebulan sehinggalah tiada lagi pertanyaan tentang itu tiga minggu
sebelum kedatangan Sharqawi. Hilda pernah fikirkan hal itu, dan pernah istikharah
untuk berikan jawapan kepada umi tentang itu. Tapi entah mengapa dia
lupa. Dia lupa langsung akan hal itu sementelah tidak lagi ditanya umi.
Apatah lagi tiga minggu itu dia langsung tidak menghubungi keluarga dek
terlalu sibuk dengan aktiviti Kem Kepimpian Pelajar anjuran Jabatan
Nuqaba' PMMM ketika itu. Allah, sungguh mengapa aku terasa menyesal
dengan keputusanku sendiri tika ini. Aku terkilan, aku tidak sangka
mereka nikahkan aku secepat ini. Tanpa aku tahu bilakah berlangsungnya
ia.
"Tapi kenapa Hilda lupa
umi? Sungguh Hilda tak tahu. Bila difikirkan balik, Hilda benar-benar
tak maksudkan kata-kata Hilda waktu itu. Umi lebih mengetahui siapa
Hilda. Hilda jika bergurau, usah dipercaya setiap bicara Hilda.Tiada
yang benar. Umi lebih kenal anak umi. Umi janganlah buat Hilda macam ni.
Kasihanilah Hilda." Hilda cuba berdalih walaupun dia tahu dia salah.
Dia masih benar-benar berharap ini semua hanya mimpi. Semua ini hanya
tipu daya dari keluarganya. Hanya kejutan yang bukan apa-apa. Tolonglah!
Mengapa hatiku tak sehaluan dengan istikharahku dulu?
Jika benar aku setuju, mengapa aku lupa? Mengapa aku tak ingat langsung
akan hal sepenting itu? Akukah yang terlalu sambil lewa dalam membuat
keputusan? Oh Tuhan! Mengapa hatiku yakin sekali semua ini hanya dusta.
Hanya permainan perasaan.
Umi terdiam lama.
Keluhan umi jelas pada pendengaran Hilda. Hilda memejamkan matanya
rapat. Hingga ke sudah dia sangat berharap ini semua hanya mimpi.
"Bagaimana umi ingin menafikan semua itu, nak. Sedangkan perbualan kita yang Hilda sendiri tahu umi akan buka loudspeaker untuk
sama-sama berbual dengan abah, dengan adik-adik. Mereka turut mendengar
dengan apa yang Hilda katakan. Malah, Hilda sendiri cakap tidak kisah
saat umi beritahu di awal perbualan kita ada tetamu yang turut
mendengar. Tetamu itu suamimu, Hilda. Dia datang bertandang ke rumah
untuk merisik Hilda. Sudah alang-alang Hilda menghubungi, umi mengambil
peluang itu untuk menyampaikan isi hatinya. Jawapan Hilda didengarkan
oleh semua orang di situ termasuk Sharqawi. Jadi, bagaimana umi ingin
menafikan kepadanya Hilda tidak serius akan hal itu." Allah... terasa
seperti ingin mengambuskan diri sendiri ke dalam tanah. Terlajak perahu
boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Dan padahnya, dia sendiri
yang menanggung. Dia sendiri yang menabur janji. Janji yang memberi
harapan kepada setiap yang mendengarnya. Sudahnya, teresak-esak Hilda
menyesal dengan perbuatan sendiri.
"Lagi pula, Sharqawi
mengaku mengenali Hilda. Umi fikir Hilda turut mengenali Sharqawi.
Kerana itu, umi tidak ragu-ragu untuk menyatukan kalian berdua. Salah
umi, salah abah kerana kami membuat spekulasi sendiri. Umi mengaku, yang
zalimnya kami. Tapi, jawapan Hilda yang berkali-kali memberi kata putus
yang sama juga memberi keyakinan kepada kami. Kerana menyangka Hilda
benar-benar mengetahui lamaran Syarqawi. Kerana kami fikir Hilda
benar-benar tahu dengan siapa Hilda bakal berkahwin, siapa bakal suami
Hilda. Kami rahsiakan majlis akad ini daripada Hilda. Ya salah kami cuma
satu. Setelah yakin dengan persetujuan Hilda, kami semua diamkan diri.
Majlis akad yang mengubah kehidupan Hilda kami rahsiakan. Tarikh
sepenting itu kami diamkan. Kerana semua ahli keluarga fikir Hilda akan
gembira dengan kejutan kami. Kami benar-benar yakin Hilda akan bahagia
dengan orang yang Hilda cintai. Tapi, kenyataan sebaliknya yang berlaku.
Maafkanlah kami sayang. Sungguh-sungguh kami tak berniat ingin
menzalimi anak kami sendiri. Dosanya tak tertanggung dengan Tuhan.
Maafkanlah kami nak. Abah dan umi juga manusia, penuh dengan khilaf dan
leka. Kami lupa hukum Tuhan tidak boleh hanya dengan telahan hati. Dia
pasti suka, jadi tidak mengapa. Kami lupa hukum Allah itu tidak boleh
dibuat main. Tambahan pula yang melibatkan nikah cerai. Tidak perlukan
niat, cukup hanya lafaz sebagai saksi bersatu dan bercerainya dua insan.
Maafkanlah kami kerana mewakilkan persetujuan Hilda kepada Qadi.
Potongan rakaman Hilda dalam perbualan tempoh hari dan mesej-mesej
jawapan Hilda kami tunjukkan sebagai bukti buatkan semua percaya akad
ini tiada cacat dan tiada cela. Maafkanlah kami, nak. Kami khilaf."
"Umi..." Terdiam dua
insan berdarah daging yang sama itu dengan tangisan masing-masing.
Penyesalan dengan keputusan yang terburu-buru. Tiada yang betul,
masing-masing bersalah.
"Umi, Hilda nak balik."
Rintih Hilda penuh mengharap. Ingin sekali dipeluk kedua-dua orang
tuanya itu. Allah Tuhan... redhakanlah hati ini. Aku mengaku khilafku.
Hilda tertunduk memandang ke tanah, terasa seperti dipukul berkali-kali.
Ditambah lagi dengan permohonan maaf yang berterusan daripada orang
tuanya buatkan dia lebih terhenyak dengan rasa bersalah yang teramat.
"Hilda.." Setelah sekian
lama masing-masing mendiamkan diri. Suara abah kembali mencelah. Kali
ini suaranya lebih berkeyakinan walaupun kedengaran lembut.
"Hilda masih marahkan abah?" Lembut si ayah bertanya cuba bertoleransi dengan anak gadisnya yang sedang keliru tika ini.
"Hilda kecewa abah."
Tiada lagi yang disembunyikan. Dalam saat genting seperti ini,
sememangnya tiada lagi yang perlu disembunyikan. Perbualan dari hati ke
hati seharusnya diluahkan segalanya agar kedua-dua pihak memahami akan
apa yang terbuku di hati masing-masing. Jika kesepakatan dicapai, tak
mustahil salah faham boleh dibetulkan dan masalah yang tersimpul boleh
dileraikan.
"Hilda nak berpisah
dengan Sharqawi?" Hilda terdiam saat mendengarkan pertanyaan itu.
Sejenak Hilda termenung memikirkan jawapan yang selayaknya diberikan.
Katakan saja ya Hilda. Bukankah itu yang kau harapkan? Abah sedang
bertoleransi dengan kau, mana tahu terbuka hatinya untuk menuruti
permintaan kau. Ayuh, katakan Hilda!
"Hilda..." Tapi, kata
hatinya terkunci di bibir. Ragu-ragu mula bertandang saat ingin
menuturkan perkataan itu. Hanya dua huruf, hanya satu suku kata tetapi
terlalu berat untuk dikatakan.
"Tidak mahukah Hilda
mengenali hati budinya dahulu? Tiada apa yang kurang pada sosoknya. Umi
dan abah tidak menyerahkan Hilda kepada orang yang tidak diketahui asal
usulnya. Dia terlalu sempurna untuk ditolak. Ciri-cirinya menepati
citarasa yang diinginkan Hilda. Agamanya sangat terjaga, pekertinya
sangat sopan. Ibu mana yang tidak tersentuh, ayah mana yang tidak sejuk
hati. Keinginan kami ini ternyata didengar Allah, sebelum kami meminta
orangnya sendiri datang bertanya penuh adab dan sopan ingin memetik
bunga di taman kami."
"Asiah, jangan disogok
lagi. Berilah peluang kepadanya untuk berfikir." Kata-kata umi sebentar
tadi ditegur lembut oleh abah. Hilda masih mendiamkan diri.
"Kerana Hilda perlu
berfikirlah, Asiah nak sangat Hilda tahu, Hilda kenal dulu siapa
suaminya, bagaimana orangnya. Peluang untuk bersama, segala kebaikkan
dan keburukkan pasangan lebih mudah untuk terbongkar. Apakah sikap
baiknya kepada kami hanya pura-pura demi memiliki Hilda? Semuanya akan
Hilda ketahui sendiri apabila Hilda bukakan hati untuk mengenali dia.
Jika ada kelemahannya yang boleh ditoleransi apabila berbincang, jangan
terburu-buru mengatakan dia tidak layak untuk Hilda. Hanya seandainya
kelemahan-kelemahan itu menyebabkan hak-hak Hilda sebagai seorang isteri
zahir dan batin tidak tertunai. Maka, katakanlah Hilda. Go on!
Berpisahlah. Katakan padanya sememangnya kalian tidak mungkin lagi
boleh sekufu. Umi tidak bermaksud berpihak padanya, juga tidak bermaksud
memaksa Hilda menerima perkahwinan yang tidak pernah menjadi pilihan
Hilda. Tapi, jika keputusan Hilda ingin membuang Sharqawi tanpa terlebih
dahulu mengenali siapa dia, bagaimana orangnya. Umi sangat tidak setuju
dengan Hilda. Bukankah jika dilamar lelaki yang bagus agamanya, baik
akhlaknya, seeloknya lamaran itu tidak ditolak."
"Ya, memang hak Hilda
untuk memilih awal-awal lagi telah kami rampas. Tapi, berfikirlah dengan
sebaiknya. Umi berani janji, Hilda tak akan pernah menyesal dengan
keputusan ini. Percayalah Hilda, tiada yang umi inginkan selain kebaikan
dan kebahagiaan Hilda. Seandainya derita yang menimpa Hilda setelah
menerima keputusan ini. Hukumlah umi, terlaknatlah umi kerana berjanji
dengan takdir Hilda yang hanya Tuhan lebih mengetahuinya."
"Umi janganlah cakap macam tu. Please umi..."
Masing-masing terdiam
lama setelah umi menitikkan pujukannya. Fikiran Hilda terawang-awang
memikirkan rasionalnya kata-kata umi itu. Abah dan umi sepertinya juga
memahami, memberi peluang kepada Hilda untuk berfikir membuatkan
kesunyian menjadi peneman mereka. Dalam pada memutuskan solusi hidupnya,
pandangan Hilda tertarik pada sosok yang riak wajahnya sangat gelisah.
Langkahnya cemas berlari-lari anak di jalan-jalan kecil taman itu.
Sekejap langkahnya ke kiri, sekejap langkahnya ke kanan. Arah depan dan
juga belakang sepertinya tidak lelah diulang ke sana ke sini. Kepalanya
juga tidak duduk diam. Seandainya manusia itu boleh memusingkan
kepalanya 360 darjah, pasti akan dilakukan sosok itu. Tangannya kejap
memegang telefon bimbitnya yang menjadi fokus matanya setiap saat.
Sepertinya alat komunikasi itu menjadi alat penunjuk arah buatnya
mencari sesuatu.
Hilda sangat mengenali
sosok itu. Gerangan yang sedang hangat dia bincangkan bersama umi dan
abah. Hilda hanya biarkan lelaki itu semakin menghampiri, walaupun
Sharqawi masih belum menyedari sosok Hilda disebalik pepohon dan
terselindung di sebalik pagar-pagar pokok. Jika awal pertemuan mereka
beberapa hari lalu, pasti sekarang ini Hilda sangat terburu-buru
meninggalkan situ demi mengelakkan pertemuan mereka. Tetapi saat ini,
kata-kata umi sangat mencengkam hati Hilda untuk membuat keputusan
membuatkan dia kaku di situ. Tiada rasa untuk melarikan diri dan tiada
juga rasa untuk menonjolkan diri. Namun, gerak hati mereka sangat kuat.
Mata yang masih basah begitu setia memandang gerak geri Sharqawi,
lagaknya seperti kucing hilang anak.
Kerana yakinnya juga
Hilda sedang memandangnya dari satu sudut yang tersembunyi membuatkan
pandangan Sharqawi yang meliar terkunci pada satu arah. Pandangan mereka
bersatu dan langkah Sharqawi terhenti. Wajahnya yang gelisah kembali
tenang dan nafas kelegaan kelihatan dihembus perlahan lelaki itu.
Perlahan-lahan langkah yang terhenti tadi kembali diatur menuju ke arah
gerangan yang dicari.
Hilda masih kaku, tiada
niat untuk mengelak. Malah matanya masih setia berpaut pada pandangan
Sharqawi. Memikirkan panggilan yang masih tergantung, Hilda menyambung
perbualan mereka yang dibiarkan sepi tadi mengenai sesuatu yang
membuatkan dirinya begitu berat untuk menurut kemahuan umi dan abahnya.
"Tapi, Hilda baru 19
tahun umi. Hilda masih mahu bebas. Hilda tidak mahu terikat dengan
siapa-siapa. Hilda hanya ingin fokus pada pengajian Hilda." Kenyataan
Hilda yang bermain-main di hatinya menimbulkan keraguan dan tidak puas
hati dari awal diluahkan. Hanya itu hakikat yang membelenggu Hilda untuk
menerima takdir itu. Dia masih terlalu muda untuk memegang
tanggungjawab sebesar ini.
"Umi tahu Hilda. Umi sangat tahu keinginan Hilda itu."
Diam lagi. Dan kali ini,
Sharqawi telah benar-benar berada di hadapan Hilda. Mereka masih
berpandangan seperti tiada tanda pandangan itu akan putus. Hilda juga
begitu, setianya dia memandnag hingga Sharqawi sudah duduk di kerusi
panjang yang sama, memusingkan posisi tubuhnya menghadap Hilda dan
jemari kiri Hilda yang terkulai di ribanya ditarik dan dibawa ke
genggaman Sharqawi. Jemari mulus itu kemudiannya dikucup lembut. Hilda
membiarkan diperlakukan begitu. Setelah itu, tangan mereka bertaut erat
pada ribaan Sharqawi dengan tautan mata yang masih utuh. Gerakan bibir
Sharqawi tanpa suara itu dibaca Hilda.
'Abang risaukan Hilda.'
Hanya kata-kata itu,
tapi tanpa dipinta hati Hilda yang sangat lembut itu begitu tersentuh
dengan pengakuan Sharqawi. Tanpa dipinta juga, air mata yang bertakung
mulai melimpah di bibir mata. Suara umi dan abah yang kesunyian turut
kembali kedengaran.
"Berbahagialah Hilda.
Saat setiap manusia itu meronta-ronta ingin kebebasan menikmati dunia
tanpa ikatan tanggungjawab, Hilda telah ditakdirkan dengan tanggungjawab
ini. Usia bukan alasan cita-cita dan impian Hilda pasti musnah kerana
ikatan ini. Berbahagialah anakku kerana separuh agamamu telah
terlaksana. Ambillah peluang ini. Lapangkanlah persepsi Hilda terhadap
perkahwinan itu sendiri. Jika Hilda ingin bebas meneroka dunia, lebih
indah jika penerokaan itu bersama suami Hilda. Urusan mahram tidak lagi
menjadi masalah. Jika pengajian yang Hilda risaukan, berbincanglah
dengan Sharqawi. Dia tidak kejam ingin membiarkan segala impian Hilda
terkubur. Jika umur muda menjadi faktor Hilda berasa malu, tetaplah
berbahagia. Saidatina Aisyah juga dinikahi Rasulullah SAW di saat
usianya masih muda. Tapi perkahwinan itu tidak membelenggu ummul mukminin ini kepada tanggungjawab sebagai isteri. Malah sejarah membuktikan, Saidatina Aisyah merupakan isteri yang sangat faqih kerana cintanya kepada ilmu. Nabi sendiri menggelarkan isterinya sebagai muwaffaqah(1) kerana
kecerdikan Saidatina Aisyah. Malah Saidatina Aisyah menjadi rujukan
para sahabat setelah kewafatan baginda SAW. Adakah Rasulullah SAW
menghalang Saidatina Aisyah daripada menuntut ilmu kerana statusnya
sebagai isteri? Banyak lagi yang boleh dicontohi daripada kehidupan
nabi. Abah tahu, zaman kita dan zaman nabi jauh bezanya. Cuma, abah
ingin katakan. Jangan perkecilkan walaupun sekecil persamaan yang boleh
dicontohi."
"Hilda... ketahuilah.
Sepanjang abah mengenali Sharqawi, peribadinya sangat baik, sopan
katanya, berterus terang orangnya, lembut tegurannya, budinya tidak
lokek disumbang. Abah tak mahu Hilda mensia-siakan suami sebaik dia.
Abah tidak mengatakan semua ini kerana abah terlalu taksub ingin
bermenantukan dia. Bukan juga abah ingin menyogok Hilda agar bersetuju.
Jauh sekali paksaan terhadap Hilda. Tapi, keinginan abah. Sebelum Hilda
membuat keputusan untuk berpisah dengannya secara melulu,
sekurang-kurangnya Hilda kenal terlebih dahulu siapa suami Hilda
walaupun sedikit. Apa yang abah harapkan hanya kematangan Hilda dalam
berfikir. Tapi, jika Hilda dah buat keputusan. Jika kekecewaan yang
sebenarnya merantai hati Hilda, hingga tidak ada peluang untuk mengenali
siapa suami Hilda. Abah akan berbincang dengan Sharqawi akan
ketidakkufuan kalian. Jika perpisahan masih menjadi pilihan Hilda,
biarlah itu yang menjadi takdirnya."
"Umi dah cakap apa yang
umi ingin cakap, abah pun dah luahkan segalanya. Harapnya, Hilda juga
begitu. Baliklah Hilda, Sharqawi pasti tercari-cari, teman-teman Hilda
pasti risau. Umi dan abah pun ada urusan lain. Hilda ambillah berapa
lama pun untuk berfikir. Jika sudah tercapai kata putusnya, hubungilah
kami. Kami siap mendengarnya. Tak perlu terburu-buru untuk pulang ke
Malaysia. Sharqawi ada di sana, berbincanglah dengan dia baik-baik. Ye
Hilda?"
"Baik umi."
"Umi letak dulu ye. Assalamualaikum."
Salam dijawab perlahan.
Mata Hilda masih terpaku pada wajah tenang Sharqawi. Tangan lelaki itu
tidak lelah mengeringkah air mata Hilda yang masih mengalir. Zenphone
yang sudah panas di telinga perlahan-lahan diturunkan ke riba.
Masing-masing berpandangan dan saling membisu. Hilda yang cuba bertenang
ternyata tidak berjaya. Semakin difikirkan segala buah bicara abah dan
uminya, semakin terhenyak Hilda dengan satu keputusan. Keputusan yang
diinginkan hatinya, tapi tidak egonya. Akhirnya, tekanan perasaan yang
tidak dapat ditahan terluah tanpa dapat dibendung lagi dengan tangisan
yang semakin meledak. Mahu sahaja dia meraung sepuas hati, dia ingin
menjerit, ingin mengongoi semahunya. Tapi semua itu ditahan dengan
tekupan jemarinya di bibir. Teresak-esak Hilda tidak terkawal lagi.
Sharqawi yang setia di sisi, perlahan-lahan menarik tubuh Hilda ke dalam
pelukannya. Wajah Hilda dibiarkan melekap pada dadanya. T-shirtnya yang
mulai terasa basah tidak dihiraukann. Apa yang diharap ketika itu, agar
Hilda kembali tenang. Kepala dan belakang Hilda diusap penuh kasih.
"Maafkan abang." Kata-kata itu diucap disusuli kucupan di dahi Hilda.
1) MUWAFFAQAH/FAQIH: yang cerdik
Kat sini Hilda nyorok. Ngee.. -Kredit Gambar: Google Image- |
Comments
Post a Comment