E-Novel:Persiapan Seorang Wife-to-be 1 - Cari Jodoh




1: CARI JODOH

“Kau tak payah pening la dengan siapa kau nak kahwin Ateh. Yang Along nak tahu kau setuju je kalau Along bawa calon untuk kau.”
Nur Husna hanya mampu menggeleng kepalanya pasrah. Sambil menghabiskan lipatan pakaian yang baru dikutip dari ampaian, telinganya menadah segala macam cadangan yang dikemukakan Alongnya Rozaimah dan abang iparnya Fawwaz.
Petang hujung minggu begini memang menjadi kebiasaan mereka sekeluarga berkumpul di rumah pusaka peninggalan arwah abahnya Yusof. Walaupun Along dan Angahnya sudah berumahtangga dan mempunyai komitmen masing-masing, namun itu tidak menghalang mereka untuk sering berkunjung ke rumah kecil ini setidak-tidaknya dua minggu sekali.
“Ateh bukannya terdesak sangat Along sampai kau perlu tergesa-gesa carikan calon segera sekarang ni. Nanti dah sampai waktu sampailah jodohnya.” Nur Husna cuba bermain kata.
Serius benar Alongnya seorang ini. Padahal isu jodohnya ni baru sahaja disebut maknya tidak kurang dua minggu lepas iaitu lima hari setelah majlis graduasinya di KUIPSAS, Pahang. Itupun hanya sekadar sebut, silapnya sebut depan Along. Ha, beginilah jadinya. Tak sudah-sudah dengan siapa yang nak dipadankan dengan adik bongsunya seorang ni. Mulut sahaja pot pet cadangkan orang itu, orang ini. Nur Husna belum sempat beri kata putus ya mahupun tidak Alongnya sudah datang calon baru. Kadang-kadang calon yang Rozaimah cadangkan itu sendiri ditolaknya tidak puas hati. Kurang berkenan katanya.
Hingga Nur Husna sendiri pelik. Alongnya ini bersungguh mahu cari jodoh untuknya ataupun tak? Atau sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Sudahnya Nur Husna hanya biarkan Alongnya itu mahu bertindak semahunya. Nanti penat, pandailah dia berhenti.
“Tak ada yang sesuai lagi ke Along?” Puan Senah yang baru datang dari dapur bersama bancuhan kopi baru menggantikan yang sudah habis diminum bersama sebalang roti kering gula buatan sendiri menanyakan anak sulungnya itu.
“Mak...” Nur Husna merengek. Tak suka maknya turut terlibat dengan misi cari jodoh Alongnya itu. Puan Senah kalau masuk campur, lagi rumit jadinya. Rozaimah itu sudah cerewet, Puan Senah dua kali ganda cerewetnya dari Rozaimah. Lagi beratus calonlah akan dicari Rozaimah kelak.
Nur Husna bukan nak menentang, tapi memikirkan lagi banyak calon, tak ke lagi pening kepala jadinya. Puan Senah tu, kalau dah berkenan nanti Nur Husna berani jamin. Bukan seorang dua sahaja. Kalau tak jadi nak dijodohkan dengan Nur Husna, bakal bertambahlah bilangan anak angkat Puan Senah yang sememangnya ramai. Maklumlah, anak kandungnya semuanya wanita sejati. Kempunan nak merasa ada anak teruna. Itulah sebabnya ramai benar anak angkat maknya itu.
“Eh, jangan nak menyampuk. Habiskan melipat tu. Lepas tu Ateh pergi cari pucuk ubi kat belakang, mak nak masak lemak makan malam nanti – Ha Along, apa cerita?” Sekali lagi Nur Husna menarik nafas dalam. Memang pasrah sungguh hatinya sekarang ni.
“Entahlah mak. Calonnya ramai. Tapi tak sesuai dengan Ateh mak. Nak cari orang kenalah sesuai dengan citarasa dia mak. Nanti kata zalim pula kalau tak kena orangnya. Tapi itulah, memikirkan si Ateh ni, merana hidup anak orang nak menghadap puteri raja seorang tu. Serba serbi tak lengkap nak jadi bini orang.”
“Dah tahu Ateh ni tak sempurna, galak nak nikahkan orang juga kenapa?” Nur Husna mencelah tidak puas hati. Tahupun aku ni tak tahu segalanya, masih lagi terkejar-kejar nak cari suami untuk aku.
“Eh, mak cakap jangan menyampuk. Mak bukan apa. Lagi Ateh tak lepas, lagi tulah mak duk teringat pesan arwah ayah kamu. Ateh tu dah masuk 26 tahun ni. Ayah kamu ni selalu duk pesan. Anak dara bagi nikah cepat-cepatlah. Terkawal sikit. Ayah kamu dah tak ada ni, mak risau. Along dengan Angah pun umur 23 ayah dah bagi menikah. Kamu tu yang terlambat. Mak risau tak tenang dia kat sana selagi kamu tak menikah.”
Puan Senah sudah mengesat air matanya yang mengalir memikirkan arwah suaminya yang meninggal empat tahun lalu dek dipatuk ular kapak ketika sibuk di ladang kelapa sawit. Tak pernah sangka ajalnya begitu, sedangkan arwah ketika itu masih sihat dan sangat rajin bekerja. Tak pernah duduk diam, pasti ada sahaja yang ingin dikerjakan.
Nur Husna menarik senyum kelat melihatkan Puan Senah sudah bersendu di samping Rozaimah. Hai la mak. Setiap kali disebut fasal arwah, begitulah dia. Berendam air mata sentiasa walaupun sekejap cuma. Pakaian yang sudah siap dilipat dimasukkan ke dalam almari di bilik sebelum kembali keluar mendapatkan Puan Senah di ruang tamu. Belakang maknya itu diusap cuba mengurangkan sendu si ibu.
“Baiklah mak. Ateh pun bukan beria nak menentang sangat pun keputusan mak dengan Along nak cari calon untuk Ateh. Ateh pun sedar diri yang Ateh ni kena menikah juga mak. Carilah mana yang baik untuk Ateh. Ateh terima saja. Selagi mana mak restu, insyaAllah Ateh redha mak. Ha Along, aku dah bagi kebenaran 100% ni kau jangan cari yang hawaq pula dekat aku. Merana masa depan aku nanti dengan calon kau yang tak pernahnya nak habis tu. Aku bakar rumah kau Along dengan sekali rumah calon-calon kau aku bakar.”
Nur Husna segera melompat saat jemari ketam batu Rozaimah mahu mendarat di bahunya. Dia menjelirkan lidahnya mengejek kakak sulungnya sebelum pecut ke dapur melarikan diri daripada ditangkap Rozaimah. Bercekak pinggang wanita beranak tiga itu melihat kenakalan adiknya yang tidak sesuai dengan umur. Fawwaz dan Puan Senah hanya ketawa melihatkan keletah Nur Husna dan Rozaimah.
“Susah-susah mak, ambik sajalah salah seorang anak angkat mak yang ramai tu. Jodohkan dengan Ateh, habis cerita. Tak gaduh risaukan latar belakang ke, sikap ke apa ke. Anak-anak angkat mak semuanya bagus-bagus belaka. Ateh yang tak pandai masak tu pun bahagia hidup. Anak teruna mak semua pandai masak, apatah lagi uruskan hal-hal lain. Tak ke macam tu mak?”
Angah Maisarah yang baru pulang dari mengambil duit upah kuih Puan Senah di warung Wak Man di persimpangan masuk kampung, mencelah dengan perbincangan Rozaimah, Fawwaz dan Puan Senah.
“Aw, sakitlah mak...” Maisarah menggosok bahunya yang ditampar Puan Senah.
“Kamu jangan nak menggatal nak jodohkan Ateh dengan anak-anak mak ye. Tak kiralah apapun. Sampai bila-bila mak tak izinkan. Mak dah anggap diorang tu macam anak kandung mak. Mak rasa berdosa kalau mak nikahkan dengan Ateh. Sumbang mahram!”
“Sumbang mahram apanya mak. Tak ada pertalian darah pun. Sah disisi syarak kalau bagi kahwin mak – Aw, aw, aw, sakit mak.. sakit..” Menggeliat Maisarah saat telinganya dipulas Puan Senah. Pantang benar kalau diusik anak angkatnya. Sayang mengalahkah anak sendiri.
“Tak kiralah apapun. Mak tak setuju. Diorang tu anak kandung mak. Jangan nak membantah arahan mak – Along, kamu carilah siapa pun. Mak tak kisah. Selagi elok orangnya, mak terima. Bawa jumpa mak kalau dah setuju semua. – Kamu Angah, biar Along yang selesaikan calon Ateh. Kamu mak amanahkan siapkan Ateh tu. Biar serba boleh nak jadi isteri orang. Ateh tu kalau dengan mak bukan main payah nak melekat. Dengan kamu dia dengar cakap sikit. Memilih betul budak tu. Dengan orang berpangkat juga baru boleh patuh sikit. Mentang-mentang Angah ni dah bergelar doktor falsafah, taatnya mengalahkan taat ke mak ni. Suami pun kena berpangkat juga kot baru senang nak mengikut. Sudahlah kerja nak bergaduh sahaja kalau bertemu mata dengan lelaki. Sebab tu sampai ke sudah tak menikah. Dengar Angah?”
“Iye, Angah dengar mak. Angah cakap je dah susah sangat –”
“Dah, mak tak nak dengar. Jom tolong mak siapkan makan malam. – Ateh! Dah ke belum cari pucuk ubinya?” Menjerit Mak Senah mencari-cari kelibat Nur Husna.
“Ateh kat sini mak. Ni ha pucuk ubinya, Long Munah bagi mak. Terserempak dengan dia tadi waktu keluar. Tak sempat nak cari lagi pun dia dah panggil ke rumah. Long Munah nak pulangkan bekas mak, dia bagi sekali dengan pulut durian. Katanya Long Fuad bawak balik semalam dari kebun.”
Nur Husna yang muncul dari pintu depan meletakkan bekas makanan yang berisi pulut durian di meja makan yang tidak jauh dari ruang tamu. Jiran mereka itu memang rajin sedekahkan makanan yang sememangnya sengaja dimasak lebih. Kadang-kadang bertandang ke rumah mereka menghilangkan kesunyian. Maklumlah suami isteri itu tidak direzekikan untuk punya cahaya mata sendiri. Kepada Nur Husna dan adik-beradiklah dianggap seperti anak sendiri.
“Pergi basuh pucuk ubi tu, lepas tu ke dapur. Jangan nak berkurung dalam bilik. Belajar masak dengan Angah. Kamu tu dah nak berkahwin. Belajar la sikit nak jadi isteri orang.”
“Lambat lagi mak. Calon pun tak jumpa lagi.”
“Ha menjawab! Pergi masuk dapur sekarang!”
“Baik mak.”
Plastik yang berisi pucuk ubi kembali diambil lalu mengaturkan langkahnya menuju ke dapur sebelum terhenti ketika dipanggil abang iparnya. Wajah Fawwaz dipandang menanti jawapan.
“Abang ada kawan pandai masak, bujang lagi. Umi dia pun tengah cari calon isteri untuk dia. Kalau Ateh jadi isteri dia, senanglah nanti. Tak gaduh masuk dapur masak. Apapun tak payah buat. Dia tu serba boleh semua. Apa je kerja perempuan yang dia tak tahu, semua dia boleh buat. Nak?”
Keningnya diangkat dua kali bertanyakan persetujuan.
“Betul ke Abang Long? Kalau betul kawan abang tu wujud. Jangan tanya persetujuan Ateh, dengan senang hatinya Ateh setuju. Serius Abang Long? – Ahh, bahagianya hidup kalau memang wujud suami macam tu. Tak perlu masuk dapur, kemas rumah--”
“Kamu tak payah nak bodek dia Fawwaz. Nur Husna! Ke dapur. Mak tak kiralah suami kamu tu nanti serba boleh semua ke tak. Yang mak tahu, anak mak layak untuk bergelar isteri orang. Ha, tercegat dekat situ kenapa lagi? Nak mak hambat dengan penyapu baru nak gerak ke.”
“Ye mak, Ateh datang ni. – Pstt, Abang Long janji erk? Tak tipu Ateh kan?” Husna berbisik sambil matanya mengawasi Puan Senah yang mula sibuk di dapur. Fawwaz menunjukkan isyarat okey sebagai balasan.
“Nur Husna!”
“Coming!”




Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan