E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 15 - Syarat



15: SYARAT

Yang berkenaan,             

SYARAT BAKAL ISTERI ZARIN AZAMI NORHAKIM

Butir-butir yang berkenaan,

Nama : Nur Husna Binti Yusof

Tarikh lahir : 5 Mac 199

Pekerjaan : Pengasuh

Berat : 45kg

Tinggi : 150cm

Merujuk perkara di atas. Bagi melepasi kelayakan untuk menjadi isteri Zarin Azami Norhakim Bin Mohd Saiful, saudari Nur Husna perlulah lulus setiap syarat-syarat yang ditetapkan.

2-      Senarai di bawah merupakan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh saudari Nur Husna.

1)                      Tidak cacat mahupun hodoh.

2)                     Mempunyai pencapaian pendidikan melebihi SPM.

3)                     Seorang yang cerdik dan fasih berbahasa Inggeris.

4)                     Tahu semua kegemaran Azami Norhakim.

5)                     Mahir memasak. Terutamanya makanan kegemaran Azami Norhakim. Sila dapatkan maklumat yang benar untuk lulus ujian penilaian.

6)                     Mahir tugas-tugas rumah. Mengemas, mencuci, membasuh, menghias, menjahit dan lain-lain yang berkenaan.

7)                     Mahir mengait dan menyiapkan sehelai mafla.

8)                     Tahu menunggang motosikal ataupun memandu kereta dan memegang lesen sekurang-kurangnya lesen L.

9)                     Tahu dan mahir segala yang berkaitan etika dan protokol.

10)                  Tahu asas dunia perniagaan.

11)                   Sihat tubuh badan dan mempunyai potensi untuk mengandung dan melahirkan zuriat.

12)                  Mendapat kelulusan doktor untuk menjadi ibu susuan.

13)                  Menjadi ibu susuan Qalbi.

14)                  Cekap menguruskan anak kecil.

3-    Untuk makluman saudari Nur Husna, tempoh masa yang diberikan untuk mahir setiap syarat yang ditetapkan hinggalah seminggu sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan.

4-    Saudari Nur Husna juga akan dinilai kesemua syarat yang dinyatakan untuk melepasi kelayakan selama dua hari.

5-    Sekiranya pada hari penilaian saudari Nur Husna gagal memenuhi syarat yang ditetapkan serta tidak dapat memuaskan kehendak Azami Norhakim seperti yang diinginkan, pertunangan akan diputuskan serta-merta dan majlis perkahwinan akan turut dibatalkan.

6-    Sejumlah wang pampasan akan diserahkan kepada saudari Nur Husna dan keluarga sama nilainya dengan jumlah wang yang dibelanjakan untuk semua yang berkaitan dengan persiapkan majlis perkahwinan dan bayaran semula belanjawan majlis pertunangan yang lepas sebagai pampasan ganti rugi.

7-    Sehubungan dengan itu, saya berharap saudari Nur Husna dapat mempersiapkan diri dengan kriteria-kriteria yang ditetapkan sekaligus menghindari terputusnya pertunangan ini seperti yang dinyatakan. Semoga berjaya.

Segala kerja keras saudari didahului dengan ucapan, terima kasih.

Sekian.

Yang benar,



.................AzamiNorhakim……….......

(Azami Norhakim Bin Mohd Saiful)

Pemberi Syarat





........................................

(Nur Husna Binti Yusof)

Penerima Syarat



Fail di tangan di tutup kasar. Nafasnya laju dihembus, dengusan menjengkelkan rakus kedengaran. Setiap kali membacakan semula syarat-syarat yang ditetapkan lelaki itu, tak pernah tak berulang rasa sakit hatinya. Dia fikir bakal isteri dia itu boneka. Malang sungguh siapa jadi bakal isteri dia. Eh, akulah tu. Huh!

Syarat nombor satu saja sudah buat orang sakit hati. Macamlah dia manusia sempurna, mengharapkan yang sempurna sahaja daripada orang lain. Tidak pernahkah dia tahu, ketidaksempurnaan manusia itulah yang melengkapi antara satu sama lain. Jadi, mengapa kekurangan itu dilihat sesuatu yang memalukan?

Walaupun jika diukur segala rasa sakit hatinya, memang tak akan pernah Nur Husna mahu ada sebarang hubungan dengan lelaki itu. Namun pilihannya, memang jauh daripada apa yang dia mahukan. Sebabnya, seorang Nur Husna tak akan pernah berputus asa. Lagi-lagi untuk orang egonya lebih tinggi dari langit dunia. Orang seperti ini, perlu ada yang mengajarkan dia bukan?

Jadi, Nur Husna mahu mengajar Azami? Lelaki yang pendidikannya saja jauh lebih tinggi daripada Nur Husna? Seorang diploma mahu melawan kehebatan Phd?

Huh! Peduli apa dia dengan semua itu.

“Yosh! Tandatangan sini. Lepas tu bagi dekat Si Hati Batu tu. Kau tengok lah Azami. Aku akan pastikan, kau lebih menghargai manusia dengan mata hati bukan pada mata kasar.”

Tuhanku, dia lelaki yang aku pilih untuk menjadi masa depanku. Lembutkanlah hatinya.

“Husnaaa!!”

Nur Husna berpaling saat namanya dipanggil. Matanya membulat besar tidak pecaya. Terpegun sebentar dia memastikan yang dilihat itu bukan ilusi. Terkelip-kelip matanya memastikan bukan fatamorgana yang dilihat. Setelah yakin, yang menyapa pandangan matanya itu bukan mainan memori, mulut yang bulat melopong perlahan berubah lebar dengan senyuman manisnya.

Akhirnya dia pulang!

Dia yang sedang duduk bersimpuh mengambil angin petang sawah padi, pantas berdiri menyambut gerangan yang sedang berlari-lari anak meniti batas sawah padi.

“Abang Fad! Bila balik? Tak cakap pun dengan Ateh.”

Jika tidak ditahan diri, hampir sahaja Nur Husna melompat merangkul tubuh itu seerat mungkin. Tak manis pula dilihat orang nanti. Oh Allah, indahnya sakit rindu ini saat yang dirindu sudah di depan mata. Tak terasa mata yang mulai hangat, namun senyuman lebar tetap terukir lebar.

“Baru je sampai tadi. Terus pergi jumpa mak. Cari Ateh tak ada. Mak suruh datang sini, jumpa pun ha. Buat apa seorang diri di sini cik adik?”

Nur Husna menyambut usikan Fadli dengan ketawa kecil sambil mempelawa abang angkatnya itu untuk duduk di sisinya. Abang angkat yang sudah tiga tahun menghilang, tiba-tiba kembali muncul! Kerana itukah dia kembali?

Sambil-sambil itu tangannya laju menyembunyikan fail biru disebalik kepingan kertas maklumat yang dicetak berkaitan dengan syarat-syarat yang diberi Azami Norhakim. Berharap agar lelaki itu tidak perasan. Kalau tidak, jenuh dia mahu bersoal jawab nanti.

Abang angkatnya itu, tak pernah Nur Husna lupa betapa tegasnya watak seorang abang yang sering dibawa Fadli. Walaupun hanya berstatus adik angkat kepadanya. Tapi Fadli sangat bertanggungjawab segala apa yang berkaitan dengan Nur Husna. Serba-serbi tentang Nur Husna diawasinya. Walaupun Nur Husna tahu mengapa sebegitu layanan Fadli terhadapnya, Nur Husna tetap mahu menafikan itu. Baginya Fadli itu tetap abangnya. Kalau tahu dek Fadli tentang syarat Azami Norhakim itu, tak mustahil sekarang juga dia disuruh putuskan pertunangannya dengan Azami Norhakim.

Tapi bagus juga.

Eh, tak boleh! Jangan! Lelaki itu harus diajar.

"Ateh baca novel ni ha. Duduk sini nampak sikit dunia luar. Asyik bergua dalam rumah, bosan. Bukan ada siapa-siapa pun temankan Ateh. Mak tu nama je suri rumah, tapi mana pernah panas punggungnya di rumah. Ada saja kerja yang dibuat dengan orang kampung. Abang tengah cuti ke sekarang ni?"

Mujur dibawa bersama senaskah novel Alchemist untuk dijadikan alasan. Walaupun sebenarnya, tidak berusik lagi pun kulit bukunya, apatah lagi mahu tahu isi kandungnya. Belum mula dibaca dek terlalu sibuk memikirkan solusi pada syarat yang didatangkan Azami Norhakim. Satu jam dia di situ, satu jam minda dan hatinya dipenuhi dengan nama Azami Norhakim saja. Biarpun begitu, Alchemist tidak sia-sia dibawa. Mungkin ini fungsinya saat hatinya tergerak mahu membawanya bersama.

"Ermm, cuti mengejut. Ateh tak cakap pun Ateh nak tunang. Kan abang suruh tunggu."

Nada suara Fadli yang tadinya ceria, tiba-tiba berubah serius walaupun kelihatan bersahaja.

Mendengarkan itu, bahu yang tegak kerana teruja menyambut kedatangan yang dinanti terus jatuh melorot bagai tulang yang berubah jeli. Senyuman manisnya, menjadi kelat. Mahu berpura-pura, tapi bibirnya kejung mahu pamerkan senyuman bergulanya. Fadli di samping dipandang dengan riak serba salah. Topik yang sudah sekian lama cuba dielak. Tapi pulangnya jejaka ini ke kampung halaman, pastilah itu asbabnya bukan?

"Mak tak cakap dengan abang ke? Along ke? Angah ke?" Nur Husna mencari alasan.

"Eh, Xperia abang beli tu buat apa? Hiasan antik?" Bertambah kelat senyuman Nur Husna.

"Abang pun tahu kan, Ateh tak suka berkepit dengan fon tu. Baik Ateh baca novel. Abang pun, kenapa tak call Ateh dah tahu Ateh macam ni." Sengaja diputar belit kata biar yang salah itu jatuh di bahu Fadli.

"Abang sibuk."

"Dah tu buat apa nak call kalau sibuk."

"Ateh... jangan ubah topik. Poin abang jelas kan?"

Lidahnya tergigit. Usahanya untuk lari daripada topik itu ternyata tidak berjaya.

"Abang..."

Anak mata Fadli yang penuh dengan riak terkilan itu dipandang sayu oleh Nur Husna. Kata-katanya tergantung. Tidak ditemui kalam yang sesuai untuk menghilangkan rasa terkilan abang angkatnya itu. Jika menyentuhnya itu tidak salah, ingin saja tangan itu digenggam erat dengan harapan mahu memujuk. Nur Husna pejamkan matanya sejenak, menarik nafas lalu dihembusnya sedikit kuat. Seperti mencari kekuatan. Hakikatnya, andai keingingan mereka bersatu sekalipun Nur Husna sangat mendahulukan keputusan maknya. Lagipun hati Nur Husna tak pernah terukir untuk jejaka ini. Senyuman cuba diukir semanis mungkin untuk Fadli yang masih diam membatu. Yang melihatnya tanpa lepas. Entah apa yang dicari pada wajah Nur Husna, tidak berkelip matanya memerhati. Rindu?

"Abang.. abang tahu kan, kalau Ateh tunggu sekalipun mak tak akan setuju."

"Sebab tu abang suruh tunggu. Abang cuba kukuhkan kedudukan abang. Abang nak dapatkan kepercayaan mak. Bila mak percaya, mak akan restui kita."

"Abang dah janji."

"Janji lama yang tak bermakna apa-apa. Janji seorang lelaki yang baru menginjak remaja. Belum matang fikiran untuk memahami apa maksud larangan mak dan ayah. Ateh yang janji dengan abang, Ateh nak tunggu."

"Tak abang. Ateh diam je bila abang suruh Ateh janji. Abang pun tahu kan, diam Ateh diam membantah bukan menurut."

"Diam perempuan bermaksud..."

"Abang jangan putar belit diam Ateh sama seperti kata Nabi. Sedangkan abang lebih kenal bagaimana diam Ateh."

Kali ini nada Nur Husna lebih tegas. Fadli terdiam. Faham yang dimaksudkan Nur Husna. Adik angkatnya lebih suka berdiam diri andai tidak setuju mahupun tidak suka akan sesuatu. Alasannya, malas mahu bertekak. Faham-faham sendiri.

"Abang, Ateh memang dah anggap abang tu macam abang kandung Ateh tau. Dari dulu lagi. Dari pertama kali ayah bawa masuk lelaki lain dalam rumah kita selain ayah. Dari ayah kenalkan abang, sebagai abang Ateh. Bukan orang luar, tapi abang."

"Tapi hukum sebaliknya."

Nur Husna menghela nafas perlahan. Mengeluh.

"Abang, tolong. Ateh sangat tahu abang faham sangat situasi kita. Tapi abang terlalu berkeras untuk sesuatu yang abang tahu Ateh tak akan pilih abang."

Lama anak mata mereka bertaut. Bundar anak mata Nur Husna, cuba meraih simpati. Mengharapkan abang angkatnya itu faham situasi mereka.

"Abang akan cuba pujuk mak. Ateh.. Nur Husna milik abang."

Membulat mata Nur Husna saat melihat Fadli sudah bangun berdiri seiring katanya, lalu meninggalkan Nur Husna terpinga-pinga dalam duduknya.

"Abang, tolonglah jangan buat Ateh macam ni. Kita baru jumpa setelah tiga tahun abang tinggalkan Ateh. Sekarang, abang nak Ateh kehilangan abang sampai bila-bila ke?"

Sakit anak tekat Nur Husna menjerit seiring langkah yang laju menyaingi jejak Fadli yang semakin jauh. Pedulikan tekak yang sakit, dia tak mahu tekad Fadli mengundang amarah maknya. Tak mustahil Fadli tak akan dibenarkan lagi jejak ke rumah mereka sekiranya dia tetap berkeras mahukan Nur Husna. Maknya itu sangat keras kepala. Hitam katanya, hitamlah selamanya. Tak mungkin menjadi putih. Pada maknya, mereka sudah dianggap sebagai saudara kandung. Tak mungkin dibenarkan sebumbung sebagai suami isteri.

"Abang!"

Nur Husna menjerit lagi sebelum jatuh ke tanah dek salah langkahnya. Sudahlah berkain batik, mahu mengejar langkah besar Fadli dengan jalan terkepit-kepit. Itulah padahnya, akhirnya tanah berselut kering itu dicium hidungnya.

Jemari yang mengusap luka kecil pada tanganya yang berpasir terhenti saat ditarik ke genggaman Fadli. Perlahan laku Nur Husna diganti Fadli. Diusap pasir pada tangan dan ditiup lembut. Menghilangkan rasa pedih yang semakin terasa. Wajah Nur Husna dipandang lembut, kesedihan sangat mudah dibaca pada anak mata itu. Wajah Fadli yang tadinya tegang mulai tenang saat senyuman lebarnya perlahan menghiasi wajah itu.

"Sekarang abang tahu, kenapa mak tak bagitahu abang lebih awal sebelum majlis pertunangan Ateh."

"Huh?" Tanya Nur Husna terpinga-pinga. Tak faham dengan kata-kata Fadli yang tiba-tiba itu.

"Mak tahu. Abang akan lebih kecewa saat abang tahu, hati Ateh sudah ada yang menghuni." Fadli diam sejenak sebelum menyambung. "Andai abang berjaya menghalang pertunangan kalian sekalipun, abang tetap kehilangan Ateh. Sebab hati Ateh, bukan lagi milik abang. Dari dulu, bukan milik abang. Kan?"

"Abang..."

Nur Husna sudah sebak. Apalah kudratnya mahu menghalang hati seorang insan daripada berputik untuknya. Apatah lagi rasa itu bukan rasa pada sesuatu yang haram untuk dinikahi. Fadli, lelaki pertama yang hadir dalam hidupnya sebagai seseorang yang penting. Dia sayang lelaki ini, tapi sayangnya berbatas sebab itu yang dididik ayah, disemai mak. Saat rasa hati lelaki itu diluahkan padanya, dia tiada daya untuk menyambut. Biarpun berjuta janji ditabur, biarpun segala usaha dipulun. Apa yang dikata ayah itu, arahan padanya. Kata mak itu, segala-galanya pada Nur Husna.

"Jangan nak nangis. Abang dah lama tak balik tau. Jauh-jauh balik nak jumpa dia. Dia nangis pulak."

Usik Fadli sambil mengusap titis air di hujung kelopak mata Nur Husna. Tapi laju tangan Nur Husna menepis lalu belakang Fadli ditampar kuat.

"Aduh, sakitlah Ateh. Luruh jantung abang."

"Biar luruh. Terberak jantung pun tak apa. Lagi bagus. Biar padan dengan muka abang."

"Bahasa Ateh." Tegas Fadli. Lelaki itu memang tidak suka kalau adik mahupun kakaknya bercakap main lepas. Katanya, anak gadis tidak sesuai berbahasa tidak sopan begitu. Anak gadis itu, dengar sahaja sudah terbayangkan yang cantik, yang lemah-lembut. Jadi, bahasa pun kenalah sopan. Jangan rasa teringin mahu mencuba-cuba menjadi kasar. Apatah lagi berkata kesat. Tak kena dengan fitrah.

"Abang tu. Kalau dah tahu dah lama tak balik. Dah tahu jauh-jauh nak jumpa Ateh, yang pergi buka topik tulah waktu first time kita baru jumpa balik kenapa? Sudahlah khabar pun tak bertanya, terus diserbu Ateh dengan ayat macam tu. Saja kan nak buat Ateh serba-salah? Saja nak buat Ateh takut. Ateh betul-betul risau tau. Abang bukan tak tahu mak tu. Ateh tak mahu kehilangan abang. Cukup ayah. Cukup ayah! Cukup abang pergi tinggalkan Ateh tiba-tiba dulu. Abang jangan nak buat macam hari ni hari terakhir Ateh jumpa abang pulak. Ateh tak nak! Ateh takut tau tak! Huhuhu."

Daripada tidak mahu menangis, tak tertahan mencurah-curah air matanya turun. Siap berbunyi lagi penuh rengekan macam budak kecil menangis. Nampak sangat menangis cari perhatian.

Fadli tergelak melihatkan Nur Husna yang tercebik-cebik, meraung entah apa-apa. Air mata Nur Husna dikesat diiring tawanya mengusik. Melihatkan itu, lagi kuat Nur Husna meraung sambil tangannya memukul bahu Fadli. Mengada-ngada. Fadli mengulum senyum, mengusap kepala Nur Husna lalu menarik kepala Nur Husna ke bahunya. Menongkat kepala gadis itu pada bahunya sambil ditepuk belakangnya lembut. Memujuk. Manja sungguh adiknya seorang itu kalau dengannya. Macam manalah tak jatuh kasihnya pada Nur Husna. Jiwa lelakinya terusik.

"Abang tahu. Abang minta maaf okey. Janji tak buat dah."

"Janji?" Nur Husna menggertak kasar dek tidak puas hati.

"Janjiii." Ujar Fadli sepenuh hati. Siap diangkat tangan kanannya tinggi separa bahu, besumpah kononnya.

Hening sebentar antara mereka. Tapi fikiran masing-masing begitu sibuk dengan pelbagai persoalan ingin diluahkan. Namun, segala-galanya hanya kekal bisu. Fadli menghela nafas berat, cuba melepaskan apa yang terbuku di hatinya.

"Janji dengan abang Ateh. Abang tak akan menyesal lepaskan Ateh kepada lelaki lain?"

Nur Husna terdiam. Perlahan usapan Fadli dihentikan lalu bangkit berdiri. Dia mahu menipu. Tapi lidahnya tidak biasa menipu. Kalau dicuba sekalipun, tertangkap juga akhirnya. Jadi, mengelak dengan bahasa tubuhnya lebih baik. Yang penting jangan tertangkap renungan mata Fadli yang sangat serius bilamana nama lelaki lain disebut antara mereka.

Nur Husna kembali ke pondok, kepilan kertas, fail dan Alchemist di bawa ke dada. Kemudian, langkah mula diatur untuk kembali ke rumahnya.

Fadli yang sangat arif dengan bahasa tubuh Nur Husna biarpun mulut gadis itu terkunci membisu, serta-merta dapat memahami. Ada sesuatu yang mahu disembunyikan Nur Husna daripada pengetahuannya. Hatinya sakit. Sangat meronta mahu memaksa hubungan mereka dibatalkan hari ini juga. Namun segala gelora hatinya itu, ditelan dalam-dalam ke dasar hati. Matanya dipejam lalu penumbuknya dikumpul dengan ketapan geraham giginya. Menahan diri daripada menurut kemahuan hati.

Saat Puan Senah menghubungi pada malam pertunangan Nur Husna, dia sudah dapat mengagak ada khabar buruk buatnya. Walaupun itu berita gembira buat keluarga angkatnya. Tapi bukan padanya. Umpama menelan segunung pasir! Apatah lagi muqaddimah Puan Senah yang penuh makna tersirat, menyuruhnya akur akan kemahuan Puan Senah. Statusnya, selama-lamanya mahu dikekal sebagai anak angkat yang sudah dianggap anak kandung sendiri. Mak Senah mahu dia berkeluarga dengan gadis selain anak-anak gadisnya. Baru merasa besarnya keluarga walaupun tanpa ikatan darah daging.

Dia faham. Dalam terkilan, dia akur. Dari dulu. Dari ketika Tuan Yusuf masih bernafas, dia telah lebih daripada mencuba dan merayu. Macam-macam cara cuba dibuktikan, semuanya sia-sia. Sehingga perginya Tuan Yusuf sekalipun, dia tetap berusaha. Malah lebih lagi. Apatah lagi melihatkan gadis kesayangannya mengalami kemurungan yang berpanjangan. Makin memuncak rasa mahu memiliki dan melindungi. Hinggalah hari terakhir dia jejakkan kaki di kampung ini tiga tahun lalu. Hingga dia nekad mahu pergi kerana enggannya Puan Senah merestui kemahuannya hanya kerana statusnya sebagai anak angkat.

"Hanya kerana Fad anak angkat, mak ketepikan apa yang halal pada agama. Kalau status anak angkat itu penyebabnya, Fad rela. Fad rela putuskan hubungan angkat dengan keluarga ini. Andai dengan menjadi orang asing boleh menyatukan Fad dengan Ateh, Fad sanggup. Suatu hari nanti Fad akan kembali. Bukan sebagai anak angkat kepada keluarga Tuan Yusuf. Tapi sebagai seorang lelaki asing yang mahu menjadikan Nur Husna sebagai suri hidupnya."

Janjinya yang dikandung selama tiga tahun itu ternyata memang tiada hasilnya. Betapa Allah itu mahu tunjukkan padanya, sememangnya Nur Husna yang sangat diinginkan itu bukan jodoh yang tertulis buatnya walau berbagai cara sudah diusaha. Dalam terpaksa, dia cuba memujuk diri. Dalam duka, dia paksa mengukir senyum. Dalam kecewa, dia menelan sendu mengucapkan kata tahniah buat kekasih hati yang sudah menjadi tunangan orang.

Dek pujukan Puan Senah berkali-kali menyuruhnya pulang, dia akhirnya menurut. Tak sanggup lagi mendengar tangis sendu seorang ibu setiap kali merayunya pulang. Sungguh, wanita itu sangat melimpah kasih sayangnya. Hingga tak terasa dirinya anak angkat bilamana dirinya sudah dianggap sebagai anak kandung mereka sedari awal. Mengenangkan budi Sang Tua yang membelanya sedari remaja, hingga besar panjang menginjak dewasa. Malah saat derhakanya dia, dirinya tetap dipujuk pulang dan tetap dipanggil..

Anakku.

Kini dia kembali jejakkan kaki di kampung ini. Bukan untuk menunaikan janji mahu menyunting gadis idamannya, tapi demi meraikan kekasih hati yang sudah disunting orang. Dia tahu hakikat dirinya tak punya peluang, tapi dia tetap mencuba nasib dengan menguji hati Nur Husna. Mengharapkan pada yang sia-sia. Sekarang sudah terbukti, ruang untuknya memang tidak pernah ada. Sakit rasa hati, bilamana melihat bersungguhnya Nur Husna cuba menghalangnya tadi. Lebih sakit hati, bila merasai kejujuran hati Nur Husna yang sememangnya tidak mahu pertunangannya diputuskan. Sangat jelas pada kolam mata itu, Nur Husna sedang diulit cinta.

"Abang tahu Ateh bukan pilihan hati dia kan?"

Celah Fadli setelah hampir beberapa minit mereka hanya membisu. Nur Husna terhenti melangkah, memerhati Fadli yang seiring menyaingi langkahnya dan turut berhenti. Nur Husna mengeluh. Dengan Fadli, memang tiada yang boleh disembunyikan. Walaupun sudah tiga tahun tidak pernah bersua, Fadli masih sama. Serba-serbi tentang Nur Husna sangat arif pada pengetahuannya.

"Abang, walau bukan Ateh pilihan dia sekalipun. Dia tetap pilihan Ateh. Abang jangan nak jadikan ini alasan untuk suruh mak putuskan pertunangan kitaorang."

"Amboi! Membela tunang nampak. Lagipun, abang tak cakap pun nak jadi perosak rumah tangga Ateh okey. Jangan nak busuk hati sangat. Ateh yang tak pandai simpan rahsia."

Buk!

Sekali lagi penampar Nur Husna singgah di tengah belakangnya. Pedih tak terkata!

Nur Husna menonong pergi dengan dengusan kasar meninggalkan Fadli yang terkial-kial menggosok tengah belakangnya sebelum kembali berpaling mengadap Fadli dengan cemberut di muka. Tirus mata tajamnya menikam wajah Fadli yang masih berkerut menahan sakit, mahu mengugut.

"Jangan nak repot ke mak. Along pun jangan. Angah pun jangan. Kalau tahu ke diorang, Ateh yang halau abang keluar rumah. Jangan balik dah sampai bila-bila."

Usai berkata, terus Nur Husna pergi tanpa berpaling lagi. Fadli tersengih lebar menayang gigi putihnya lalu mengejar langkah Nur Husna.

"Boleh. Tapi ada syaratnya."

Nur Husna menjeling Fadli yang sudah disamping. Yang menjongket-jongket keningnya dengan senyuman sinis.

"Apa?" Tanya Nur Husna acuh tidak acuh.

"Janji dengan abang, Ateh tak akan menyesal pilih dia. Janji dengan abang, dia tak akan tinggalkan Ateh. Janji dengan abang, dia akan mengasihi Ateh selayaknya seorang tunang dan bakal isteri."

Nur menelan liur kesat. Sangat besar cagarannya. Dia bukan Tuhan untuk membolak-balikkan sekeping hati manusia.

"Ateh bukan Tuhan bang. Hati dia, apa yang dia rasa, bukan tugas Ateh untuk buatkan dia terus jatuh sayang pada Ateh. Hati dia, dia yang berhak tentukan."

Fadli menjongket bahu sambil menjulingkan matanya menyampah.

"Kalau dah sayang tak boleh kata apa. Semua dia bela. Tapi.." Riak Nur Husna dijeling sekilas sebelum menyambung kata. "Setidak-tidaknya, dia hormat Ateh sebagai tunang. Ateh bukan kuli dia tapi bakal isteri dia. Kalau abang tahu dia tak menepati syarat yang abang letak, serta-merta Ateh milik abang. Abang tak takut pada cemuhan dan ancaman. Kalau perlu, Ateh abang larikan dari kampung ni."

Gulp!

Tercekik air liurnya mendengarkan amaran Fadli. Melihatkan wajah bersahaja lelaki itu buatkan dia ragu-ragu dengan kesungguhan kata-kata Fadli. Tapi, kalau betul macam mana? Fadli selalu buat apa yang dia ucapkan. Kalau Fadli tahu syarat-syarat yang Azami kenakan keatasnya, rasanya sekarang juga dia dibawa pergi dari kampung ini. Oh mak! Jangan. Dia tak nak!

Rahsia ini, hanya aku seorang. Jangan bocor Husna. Tekad hatinya sambil mengeratkan lagi pelukan kepilan kertas dan fail rapat ke dada.

Aku perlu bagi kertas ni cepat-cepat ke dia. Lagi lama dalam rumah tu, lagi besar peluang rahsia ni akan bocor. Tapi macam mana? Aku tak ada nombor telefon Hati Batu tu.

Sejenak fikirannya ligat mencari solusi sehingga satu nama terlintas.

Ah, Encik Azam!



Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan