E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 14 - Demam



14: DEMAM

“Azami...”

Satu nama itu, semakin kerap dipanggil bibir kering yang semakin memucat warnanya. Gelisah lakunya, terbaring lemah di atas katil. Wajahnya merah dek suhu badan yang naik mendadak, kain lembab sudah berkali-kali berganti baru di dahinya demi mengurangkan suhu panas pada tubuh Nur Husna. Di luar sedarnya, kadang-kadang tangannya menggawang tanpa arah, seperti mencari, seperti mahu menggapai sesuatu.

“Azami.. Mak..”

Kadang-kadang, dua nama itu silih berganti meniti di lidahnya. Butirnya adakala tidak jelas tapi suara lemahnya yang acap kali memanggil dua nama itu membuatkan semua tahu siapa yang dicari. Kadang-kadang gelisahnya melampau, jika tak bersambut tangannya yang mencari; tiba-tiba sahaja tubir matanya basah, air matanya mengalir tanpa suara.

“Azami..”

Nama itu dipanggil lagi. Mereka yang berkumpul di dalam bilik itu saling berpandangan lagi. Sudah dua hari Nur Husna terlantar di katil. Demam panasnya hingga tidak sedarkan diri. Gadis yang sentiasa bersemangat dan ceria itu, entah apa silapnya, entah apa sebabnya; Nur Husna seperti seorang yang dibawa pergi semua semangat dan harapannya. Kali terakhir mereka melihat Nur Husna demam panas hingga tidak sedarkan diri, ketika arwah Tuan Yusof pergi meninggalkan mereka sekeluarga. Jejaka yang hanya diam di pintu bilik dipandang mereka. Dia masih begitu setiap kali diizinkan Puan Senah untuk melihat Nur Husna di bilik; tidak berkutik selain risau menyelubungi riak wajahnya, matanya langsung tidak lepas daripada tubuh Nur Husna; menanti.

“Kami tunggu di luar dulu. Mak biarkan pintu bilik terbuka. Kamu tengoklah Ateh ni, mungkin kalau kamu ada dekat dia baru dia sedar. Sudah kamu yang dicarinya.”

Dia hanya mengangguk, menghantar Puan Senah dan yang lain hanya melalui sorotan matanya sebelum retinanya kembali ke wajah pucat itu. Terdengar suara keluhan yang tidak jelas butir sebutannya selain Azami, Azami, Azami, mak, dan Azami lagi. Tangan Nur Husna yang tadinya diam di sisi  mula tergapai-gapai mencari tempat bergantung.

Duduk sahaja di kerusi di sisi katil, dia menunduk; menampung dahi dengan dua sikunya di lutut, wajahnya diusap dibawa ke rambut menyebaknya kasar.

Tangan yang sedang mencari, segera disambut lembut. Perlahan jemarinya mengusap lembut tangan yang sejuk membeku itu lalu digenggamnya erat. Dibawa terus ke bibir dan dikucupnya lama dengan mata yang terpejam. Hatinya dihenyak serba-salah.

Terlalu melampaukah kata-kataku hingga kau terlantar sakit begini. Bangun Nur Husna, hilangkan serba salahku.

“Azami..”

Lagi. Suara itu memanggil lagi. Perlahan dia mengangkat wajahnya, berpaling ke sisi tanpa melepaskan jemari Nur Husna di bibirnya. Matanya yang dipejam, dibuka memandang wajah yang memanggilnya sebentar tadi. Postur tubuh yang tadinya menunduk segera tegak melonjak ke depan; menerpa si gadis yang seperti sudah siuman daripada tidurnya. Mata Nur Husna yang sepanjang masa tertutup juga sudah terbuka separuh.

“Azami?”

“Ye, I dekat sini. You okey? Nak apa-apa?”

Seperti menyedari lelaki di sampingnya itu Azami walau samar matanya tidak jelas, matanya bergenang lagi, hidungnya bertambah merah; petanda tangisnya mahu dihambur lagi.

Melihatkan itu, segera telapak tangannya yang besar dibawa ke kepala si gadis yang sudah dipakaikan tudung sarung oleh Puan Senah tadi. Terasa bahang panas memenuhi deria rasa tapak tangannya, diusap-usap kepala itu dan dikesat air mata yang mengalir di pipi tembam Nur Husna.

“Shh.. Jangan menangis.  I dekat sini.”

“Jangan tinggalkan saya.”

Rayu suara itu, lirih memohon. Dia terpempan. Dirinya diserang persoalan. Mengapa begini jadinya? Laku Nur Husna seolah-olah menjadikan dia satu-satunya tempat bergantung yang Nur Husna ada. Mengapa sejauh itu diletakkan seorang Azami Norhakim yang hanya sekali ditemui, menjadi orang terpenting dalam hidupnya. Jatuh hingga begini kerana sakit dikecewakan. Walaupun begitu, masih merayu berharap agar dirinya tidak ditinggalkan. Di manakah diletakkan Azami Norhakim dalam diri seorang Nur Husna, hingga gering tidak sedarkan diri? Keluhan berat dilepaskan. Rasa serba salah dan tidak percaya menggauli emosinya.

“Tak. I tak akan tinggalkan you. I dekat sini kan?”

“Janji?” Rengeknya bagai anak kecil mohonkan perhatian.

I janji. Dah, sambung tidur balik.”

Walaupun tidak ketara, dia tetap perasan akan senyuman nipis yang terukir di bibir pucat itu. Dia mula mengubah tempat duduknya di birai katil. Kepala Nur Husna dibawa rapat ke sisinya, lengannya dijadikan alas tidur. Tangan satu lagi masih setia menggenggam jemari Nur Husna. Perlahan mata kuyu itu mulai terpejam. Dahi Nur Husna dikucupnya sepintas lalu sambil menepuk-nepuk bahu Nur Husna; berniat mahu mendodoikan gadisnya.

*****

Suara kicauan burung dan jeritan kanak-kanak riang bermain, sayup-sayup kedengaran. Matanya yang terasa berat dipaksa buka. Dikelip berkali-kali menghilangkan kabur dan membiasakan matanya pada cahaya yang merombos masuk ke retinanya.

Perasankan satu susuk yang membelakanginya membuatkan dia cepat-cepat bangun dari baringnya mahu memanggil. Malangnya tubuhnya masih lemah, kepalanya terasa pusing 360 darjah mengundang loya lalu tanpa sempat ditahan, terkeluar segala isi perutnya yang didominasi oleh cecair putih dan ketulan-ketulan kecil yang entah apa itu. Habis baju dan katilnya disimbah isi perutnya. Bau yang kurang menyenangkan mula memenuhi biliknya. Nur Husna mahu turun dari katil, tapi tubuhnya tidak memberi kerjasama. Sudahnya, dia hanya mampu baring dengan tangannya di kepala. Dahinya diurut dengan mata yang terpejam rapat, berharap agar dunianya yang sedang berpusing kembali seperti biasa.

“Ya Allah, Nur Husna. Mak!”

Suara seorang lelaki cemas menyapa telinganya. Samar-samar susuk tadi kelihatan menghampirinya di sisi katil. Dalam kepalanya berpusing, sempat lagi Nur Husna menggagau kepalanya bagi memastikan auratnya terlindung. Mengapa ada lelaki dalam biliknya? Abang Long ke? Atau Abang Ngah?

“Hari ni hari apa?”

Tanya Nur Husna tanpa membuka matanya. Mungkin salah seorang abang iparnya. Mungkin juga sekarang hujung minggu, jadi sudah pasti Along atau Angahnya ada di rumah.

“Jumaat. You okey tak ni? Buka mata I nak tengok.”

I? You? Ahli keluarganya tidak menggunakan dua perkataan itu sebagai ganti diri mereka.

Melainkan...

Cepat-cepat matanya dibuka luas-luas dan tubuhnya duduk menegak; sempat wajah itu menyapa pandangannya sedetik sebelum terbaring semula dengan tekupan di mulutnya rapat. Kepalanya pusing, loya menggaru-garu tekaknya lagi.

Easy girl. Tergesa-gesa ni nak pergi mana?”

Marah suara itu dengan kelakuan Nur Husna.

“Apa Encik Azam buat dekat sini? Mana.. er.. er..”

Entah kenapa nama itu pula yang terlintas di mindanya. Lekas bibirnya digigit, menghalang diri daripada menyebut nama gerangan itu. Setelah retinanya sudah mulai terbiasa dengan cahaya dan rasa pusing sudah semakin hilang, Nur Husna cuba untuk bangun sekali lagi. Kali ini lebih berhati-hati, duduk bersandar di kepala katil. Jemarinya diurut pada batang lehernya, menghilangkan rasa gatal dan mual di situ. Tekaknya perit dan suaranya juga berubah. Seperti orang tua bunyinya. Sakit juga hatinya melihatkan wajah Azam yang cuba menahan diri daripada ledakkan tawanya saat dia bersuara tadi.

“Kenapa? Cari Azami?”

Serkap jarang Azam yang tepat mengena pada ayatnya yang tergantung membuatkan Nur Husna terkulat-kulat di tempatnya. Lidahnya kelu mahu membalas apa. Pandai sahaja lelaki ini membaca hatinya. Dan dirinya masih tertanya-tanya, apa Azam buat dekat sini? Di biliknya?

“Azami dah balik. Dua hari dia duduk sini jaga you demam tau. Betuah you dapat tunang ambil berat macam tu.”

Kata Azami lagi, menyambung bicaranya tadi dengan senyuman mengusik.

Nur Husna terkebil-kebil mendengarkan pernyataan Azam itu, tidak dipedulinya nadanya yang berunsur usikan melainkan wajah lelaki itu dipandang kosong. Azami ada di sinikah? Mengapa dia tak pernah sedar pun? Teruk sangat ke dia demam sampai tak sedarkan diri? Sudah berapa hari dia terlantar sakit? Segala persoalan yang menyesak mindanya diganggu dengan layanan Azam terhadapnya. Berkerut dahinya tapi dirinya kaku tidak menghalang.

Tangan Azam tangkas bekerja menarik selimut yang menutupi tubuhnya lalu disepuk ke lantai bilik. Begitu juga dilakukan pada cadar bunga tulip yang menjadi sarung katilnya dan sarung bantalnya itu. Teralih tubuh Nur Husna sekejap ke kiri sekejap ke kanan apabila Azam tidak berjaya menarik cadarnya keluar. Niat mahu membantu tapi diketawakan Azam kerana melihatkan dia terkial-kial mahu alihkan tubuh. Tak guna punya bakal abang ipar! Bukan dibantu, ditolaknya lagi ketepikan Nur Husna. Dengan wajah cemberut, Nur Husna menjeling tajam Azam yang masih giat dengan kerjanya. Lelaki itu tak endahkan amarah Nur Husna. Segala benda yang terkena sisa muntah Nur Husna diambil lalu dilonggokan pada satu tempat. Raga baju yang kosong di biliknya digunakan sebagai tempat untuk mengumpul semua itu.

Tidak dapat dibendung lagi hatinya, walaupun sakit hati dengan sikap Azam tapi Nur Husna sangat tersentuh dengan laku Azam yang langsung tidak jijik membersihkan semuanya. Malah tanpa sempat ditahan, tangan itu laju memerah tuala lembab yang tersedia di kabinet sisi katil, digunakan untuk membasuh kesan kotor pada wajah dan jemari Nur Husna. Sangat teliti seperti melayan anak kecil. Setelah dibasuh dengan air bersih, Azam kembali dengan kain lembab tadi dan sehelai kain kering. Kain kering digunakan untuk mengeringkan wajah dan tangan Nur Husna manakala kain lembab itu diserahkan kepada Nur Husna untuk melakukannya sendiri.

I nak pergi panggil Mak Senah tolong you tukar baju, Mak Senah dekat belakang tadi. Sementara tu, you lap baju dan tudung you sendiri ye. I nak buat, tapi tak naklah terpegang atau tersentuh pada tempat yang tak sepatutnya. Tak fasal-fasal you saman I buat gangguan seksual dekat you nanti. Seram!”

Nur Husna yang sememangnya sedang tidak selesa dengan layanan Azam yang terlebih mengambil berat itu, tidak mampu menahan wajahnya yang hampir meletup kerana malu diusik Azam. Laju saja tangannya membaling kain di tangannya ke arah Azam, refleks tubuhnya mahu menutup malu.

“Encik Azam!”

Keluar juga suara itik serati tuanya. Geram! Menambahkan rasa perit dan gatal pada tekaknya apabila Azam makin galak meledakkan tawanya! Kalau dapat ke aku, memang lunyai mulut tu aku kerjakan. Kotak suara dia pun aku cabut sekali! Huh!

“Dah boleh nak jerit, nak baling ke orang, itu maknanya orang tu dah sihat la.”

Jerit lelaki itu yang sudah hilang di sebalik daun pintu melarikan diri daripada serangan Nur Husna tadi. Mungkin pergi mencari Puan Senah barangkali. Sakit hatinya melihatkan kain yang dibaling tidak kena pada orangnya tapi elok tersepuk di depan pintu umpama kain buruk. Namun, bebelnya hanya sebentar kemudian tak tertahan lagi tawa kecilnya terletus juga di bibirnya dengan laku Azam yang ada sahaja akalnya mahu mengusik. Lupa terus Nur Husna pada segala kesedihan yang menyebabkan dia terlantar di katil hampir empat hari. Pejam celiknya di luar kesedaran diri.

Lama Nur Husna termenung, cuba mengingati semula apa yang berlaku sepanjang tempoh tidak sedarnya. Nur Husna tak sepenuhnya pengsan. Dia sedar, tapi mamai. Seperti sedang dalam dunia lain. Bangunnya pula perlu dipapah sentiasa, kalau tidak terjelepok dia di lantai bilik bagai orang lumpuh. Perutnya sentiasa meragam mahu muntahkan isinya. Melihatkan tubuhnya sekarang, Nur Husna dapat mengagak. Beratnya makin menyusut hanya dalam tempoh empat hari.

Hurmm.. dia sendiri terkejut dengan dirinya yang diserang demam panas hingga tidak bangun. Kali terakhir dia begini ketika ayahnya pergi meninggalkan dia sampai bila-bila.

Waktu itu, Nur Husna memang dalam kondisi yang lemah semangat. Maklumlah, baru lepas melalui trauma kemalangan yang hampir meragut nyawanya. Ketika itu, Tuan Yusof merupakan satu-satunya insan yang hampir tidak pernah berpisah dengan Nur Husna. Dan kehilangannya, bagai dibawa pergi separuh daripada dirinya. Semangatnya, harapannya, tempatnya bergantung sudah tidak ada lagi untuk dipaut. Lama juga Nur Husna mengambil masa untuk kembali pulih dari lumpuhnya, untuk dia terima kenyataan dan kembali meneruskan hidup seperti sedia kala. Tidak lagi berkurung, meratap dan menangis.

Dan mujurlah, kali ini Nur Husna hanya demam panas yang biasa. Sedarnya terus ke alam realiti, tidak terus dirundung duka hingga meratap dan menangis. Malu besar dia kerana begitu mudah jatuh dalam permainan emosi hanya kerana lelaki itu yang bukan siapa-siapa selain tunangnya, itupun bukan kemahuan dia. Lagipun, lelaki itu bukan meninggal pun mahu meratap bagai.

Namun, tak dinafikan. Apabila mengingatkan semula kejadian malam hari pertunangannya, Nur Husna tak mampu menahan rasa perit direndah-rendahkan oleh insan yang bertakhta di hati. Parut yang bernanah itu masih berbekas hingga sekarang. Cuma Nur Husna terleka, dia kalah dengan perasaan sendiri. Ketika mendengar segala yang dikatakan lelaki itu, hati dan minda sangat menafikan apa yang keluar dari mulut insan yang Nur Husna letakkan harapan padanya untuk berpaut. Jadi dia jatuh, sakit untuk bangun lagi.

Jangan ditanya bila dan bagaimana Nur Husna sudah sangat menginginkan lelaki itu tempat bergantungnya. Hingga tega hatinya untuk mencintai lelaki itu sepenuh hatinya. Saat nama Azami Norhakim menyapa telinganya, nama itu seakan-akan sangat terbiasa seoalah-olah bukan pertama kali Nur Husna kenal dengan pemilik nama itu. Saat itu juga, nalurinya kuat mahu memilih Azami Norhakim.

Setelah itu, bagai yakin Azami Norhakim itu orangnya, segala macam angan dan harapan mula terangka dalam impian kosongnya. Setiap kali Nur Husna bersendiri, nama itulah yang menemani imaginasinya. Tersenyum dan malu seorang setiap kali membayangkan kehidupan bahagia rumah tangganya nanti. Tambahan lagi, sikap dan figura Azami Norhakim yang tidak diketahui bagaimana sudah acap kali Nur Husna samakan seperti arwah Tuan Yusof. Seorang penyayang, budiman dan ambil berat seperti ayahnya. Harapan dan angan dipasak sempurna dalam dirinya dan apabila berdepan realiti dengan si empunya nama, emosinya berombak hebat. Sakit tidak terucap. Penolakan Azami Norhakim, umpama merentap harapan dan semangatnya pergi. Nur Husna tak dapat terima kenyataan!

Ya, katakan lah sesukanya. Dia memang gila. Rasa obsesnya tak dapat dibendung. Azami Norhakim, lelaki pertama yang Nur Husna benarkan bertapa dalam hatinya setelah bertahun-tahun pemergian Tuan Yusof. Kerana itu, biarpun berkali-kali dikecewakan dengan sikap Azami Norhakim yang menghindarinya biarpun rasa kasihnya berkali-kali, Nur Husna tepis semua itu kerana hatinya sangat yakin Azami Norhakim itu punya alasannya dan Azam itu figura yang Nur Husna sering salah sangka itu Azami Norhakim. Tambahan lagi, layanan Azam terhadapnya semakin baik. Matanya dibutakan. Apa yang terbayang-bayang dalam mindanya hanya Azam itu adalah Azami.

Gila kan? Lepas itu, dah kena macam tu dengan Azami Norhakim sendiri, meroyan lah dia. Padan muka diri sendiri. Dahulukan manusia, pentingkan kemahuan nafsu diri, malah Tuhan dibelakangkan. Tak pernah ditanya bolehkah aku berharap begini? Kalau aku mahu begitu redhakah Allah terhadapku nanti?

Istikharah?

Nur Husna tiba-tiba tertawa senada. Sinis. Padan mukakan diri sendiri. Baik lah sangat! Istikharah tu syarat je, penyedap hati sendiri, mengaburi mata keluarga. Kononnya, aku sudah buat. Sedangkan hati tak sungguh-sungguh pun meminta petunjuk. Sudah jiwa dan raga angankan orang itu. Gambaran wajah Azami Norhakim yang kerap kali mengunjungi mimpi lenanya, bukan main teruja yakin itu jawaban istikharahnya. Hakikat sebenar, mata hatinya terhijab untuk melihat petunjuk Tuhan.

Hurmm.. Husna.. Husna..

Tergeleng-geleng Nur Husna mengenangkan sikap diri sendiri. Apabila dicongak-congak, sudah hampir dua bulan juga Nur Husna berangankan lelaki yang sudah selamat menjadi tunangannya itu. Bila mengenangkan sikap Azami Norhakim, rasa sia-sia sahaja Nur Husna angankan lelaki itu. Tak worse langsung! Rasa macam bodoh gila! Apa yang kau nampak sangat dekat Azami tu Husna? Entah apalah dia gunakan sampai kau tak fikir jauh dah.

Eh, salahkan orang pula Husna ni.

Mengingatkan tunangnya itu, tangan kiri diangkat tinggi, rapat ke mukanya. Memandang cincin belah rotan yang sudah longgar dek beratnya yang menyusut. Tanpa sedar, keluhan terlepas juga di mulutnya. Jadi Husna, kau dah waras kan sekarang? Apa kau nak buat? Putuskan pertunangan? Atau ikut je syarat Si Hati Batu tu?

Tapi, mampu ke aku nak mahir segala-galanya dalam masa dua bulan? Lain-lain tu aku boleh kerah mental dan fizikal aku lagi. Tapi bila masuk bab kena belajar selok-belok bisnes dia, protokol dan etika segala bagai, tak mula lagi aku memang nak tarik diri. Yelah, keputusan subjek Ekonomi waktu SPM dulu pun cukup-cukup makan je. Kalau belajar bisnes tu senang, buat susah aku je habiskan diploma kanak-kanak. Baik aku belajar bisnes, boleh aku buka kedai sendiri. Amboi! Jauh berangan!

Hurmm.. ikutkan sakit hati, Nur Husna memang nak sangat putuskan pertunangan ini. Tapi, aku sayang dia..

Ek?

Laju tangannya menampar pipi sendiri. Aduh, sakitlah! Tak guna punya tangan. Itulah kau Husna, tak serik ke sampai susah nak buang sayang tu?

Hurmm..

Matanya mula mengelilingi bilik sendiri. Nak keluar pergi tandas, kepalanya masih berpusing-pusing. Nak tanggalkan tudung, risau pula Azam tu rempuh masuk. Free tergadai maruah dia nanti. Adik tak sempat tengok, abang dah rasmi dulu. Apakah?

Tapi, disebabkan kebosanan mula bermaharajalela dalam diri, Nur Husna gagahkan juga untuk bangun dari baring. Langkahnya satu-satu sambil berpaut pada apa sahaja yang boleh menampungnya dari jatuh. Mahu menunggu ibunya, macam lambat saja lagi. Lagipun dia semakin rimas, dengan bau yang menambahkan lagi mualnya. Ada baik juga dia keluar. Dapat dia hirup udara segar sikit. Perlahan langkahnya diatur ke pintu.

Ketika tiba di meja kerjanya, langkah Nur Husna terhenti. Fail biru yang terletak elok di situ dicapai. Kalau tak silap, Nur Husna perasan Azam sedang membelek fail ini tadi. Mengapa fail ini ada di sini? Adakah ahli keluarganya tahu akan segala syarat Azami Norhakim kenakan? Adakah lelaki itu mengugut keluarganya?

Sebut nama lelaki hati beku itu, rasa amarahnya sedikit mendidih mengenangkan segala laku jejaka itu. Kesudian Azami Norhakim menjaganya selama dia sakit, tidak sedikit pun Nur Husna berasa terharu. Lagi menyebalkan adalah. Mungkin niat Azami Norhakim hanya mahu mengejek Nur Husna itu lembik. Tak pun, mungkin arahan daripada umi. Sebab itu dia terpaksa menjaga Nur Husna. Hari ni Azam yang jaga Nur Husna pun, mungkin sebab lelaki itu dah tak tahan mahu jadi tugu menjaganya sampai sembuh. Lelaki macam tu kau nak buat suami? Like, seriously Nur Husna?

You dah decide ke?”

“Hah?”

Terpinga-pinga Nur Husna apabila ditanya tiba-tiba Azam yang sedang bersandar di sisi pintu bilik Nur Husna sambil berpeluk tubuh. Sejenak Nur Husna terpegun dengan figura sempurna ukiran susuk di depannya. Seperti selalu, jantungnya sibuk mahu berpalu hebat. Tambahan lagi, saat matanya berpaut pada mata coklat itu. Aduh, kenapa sempurna sangat muka dia ni? Sedar dengan kenakalan kata hati dan matanya, bibir digigit kuat, segera wajah dipaling ke depan.

Jangan nak mula bayangkan Azam tu Azami Norhakim, Nur Husna! I warn you!

“Mak mana?”

Nur Husna cuba melarikan perhatiannya, tambahan lagi saat menyedari Puan Senah tiada di situ. Bukan sepatutnya Azam pergi mencari ibunya? Jadi mengapa hanya lelaki ini seorang di sini? Lebih membuatkan Nur Husna berasa tidak senang, Azam hanya kaku berdiri memerhatikannya tanpa lepas dan tanpa senyuman. Aku ada buat salah ke?

“Mak Senah dalam tandas. Dia suruh I bawa you pergi bilik air dulu. Nanti dia menyusul.”

“Oh..”

Terangguk-angguk Nur Husna mendengar penjelasan Azam. Fail di tangan diletakkan semula lalu mengorak langkah untuk ke luar bilik. Tanpa dipinta, Azam lebih awal menyambutnya. Memaut lengan Nur Husna yang berlapik t-shirt berlengan panjang untuk dipapah ke bilik air.

You tak jawab lagi soalan I.”

“Soalan apa?”

Nur Husna terpinga-pinga mendengarkan penyataan Azam. Dia ada tanya soalan ke? Azam seperti jengkel saat melihatkan lelaki itu memutarkan matanya. Eh, tak payah lah nak julingkan mata tu. Juling betul baru tahu.

You dah decide ke? Nak ikut syarat Azami atau putuskan pertunangan korang?”

Arhhh.. baru dia ingat Azam ada tanyakan soalan itu tadi. Itulah, ralit sangat telek anak orang. Haish!

“Hurmm..”

Nur Husna menggumam seperti berfikir, sambil mengusap-ngusap dagunya. Sebelum senyuman sinis terukir lebar.

“You smile and I don’t like it.”

Mendengarkan itu, Nur Husna pun ketawa lepas tanpa mengulas lanjut dengan komen Azam.

Semangatnya kembali berkobar. Ini Nur Husna lah!



Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan