E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 9 - Permintaan


9: PERMINTAAN


Terhibur Nur Husna melihatkan bayi kecil di depannya ini sedang ketawa mengekek. Walau tiada sebatang gigi yang tumbuh selain gusi lembut sebagai penyeri, namun itu tidak mampu menyembunyikan seri comel wajah bulat dan tembam itu. Sekali lagi suara selak dengan tawa lantang si bayi memenuhi ruang banglo apabila Nur Husna asyik sekali membuat bunyi letupan di perut Qalbi menggunakan dua bibirnya. Mungkin geli diperlakukan begitu rupa hingga tak dapat menahan dirinya daripada ketawa kuat. Hingga belum sempat Nur Husna menyembamkan wajahnya ke perut Qalbi untuk diusik sekali lagi, bayi itu sudah menjerit suka kerana teruja.
“Seronok benar Qalbi ada orang main dengan dia. Lepas ni Husna tak ada, sunyilah nak dengar dia gelak ketawa macam ni.”
Nur Husna berpaling ke sisi apabila disapa Puan Rosnah. Tidak berdiam diri, Nur Husna bangun memimpin wanita itu untuk bersandar di sofa berhampiran. Memang sengaja Nur Husna tidak bermukim di dalam bilik Qalbi. Kalau di bawah lebih mudah sekiranya dicari Puan Rosnah sekaligus bersiap-siaga jika diperlukan pertolongan daripada wanita itu. Walaupun dilarang Puan Rosnah, tapi kedegilan Nur Husna buatkan wanita itu hanya mampu menggelang.
Walaupun hanya sekadar menghampar toto di lantai ruang tamu serta dikelilingi peralatan keperluan Qalbi. Selain memudahkannya, Nur Husna tidak perlu berulang-alik turun naik dari bilik Qalbi. Bilik itu hanya akan digunakan jika mahu menidurkan Qalbi. Selainnya, masa banyak dihabiskan di bawah sahaja.
Yang penting, tidak gaduh Puan Rosnah perlu bersusah-payah memanjat tangga jika mahu berbual kosong dengannya. Seperti sekarang ini. Wanita ini, walaupun sedang diuji dengan kesihatan yang memburuk, tapi itu tidak langsung menjadi alasan kepadanya untuk bergerak lincah dalam banglo ini. Walaupun terbatas kerana mudah penat, tapi itulah sikap orang tua. Tak pandai untuk duduk diam. Ada sahaja kerjanya. Diam-diam sahaja, sudah selesai tiga juadah untuk dimakan. Ataupun kuih muih sudah terhidang di depan Nur Husna bersama seteko kopi untuk minum petang.
Kalau Qalbi tidur, sempatlah mahu dibantu apa yang patut -walaupun Nur Husna dengan dapur merupakan musuh tradisi- tapi dicuba juga. Tak enak kalau sekadar menjadi pemerhati. Mujur Puan Rosnah seperti memahami. Cepat sahaja mata tua itu dapat membaca gerak-geri Nur Husna yang kekok dengan kerja dapur. Disuruh sahaja Nur Husna duduk di meja membantu yang asas sahaja –seperti potong bawang; walaupun banjir juga air matanya- kalau tidak membantu pun, sekadar menjadi teman berbual sudah memadai. Tidaklah kesunyian wanita itu.
“Barulah terasa hidup sikit banglo ni. Meriah rasanya dengar gelak tawa Husna dengan Qalbi. Kalau Bella tak ada macam ni lah umi. Seorang diri. Zam tu susah nak ada dekat rumah.”
Sepanjang duduk di banglo ini, itulah yang didengar. Keluh-kesah seorang ibu yang kesunyian. Nur Husna tahu alasan Puan Rosnah yang tidak mahu menggunakan khidmat pembantu rumah. Alasan Nur Husna; selain kurang beban kerja rumah, Puan Rosnah punya teman berbual. Jawab wanita itu, bukan mahu menunjuk diri sendiri terlebih mampu, tapi trauma yang menghantui dirinya.
Jika tidak dicerita, Nur Husna tidak akan tahu sepuluh tahun lalu suami Puan Rosnah meninggal kerana diracun pembantu rumah yang dipercayai. Lebih menyedihkan, perbuatan kejam itu tega dibuat kerana arwah suaminya punya hubungan sulit dengan wanita itu tapi berpaling tadah daripada janjinya mahu peristerikan dia. Hancur luluh hati isteri yang menggunung cintanya buat suami. Apatah lagi suaminya diambil pergi buat selamanya.
Setelah itu, Puan Rosnah yang dulunya menetap di ibu negara berhijrah ke tanah Pahang demi memulakan hidup baru. Hanya dengan anak cucunya, Puan Rosnah menghilangkan kesunyiannya. Selain bergiat aktif dengan aktiviti persatuan dan beramah mesra dengan jiran tetangga.
“Selalu ke Encik Azam tu kerja luar umi? Lepas tu, umi seorang diri, tak takut ke? Kalau Husna, satu kampung dah Husna suruh datang rumah temankan Husna.”
Nur Husna menyambut bualan Puan Rosnah sambil tangannya lincah memakaikan Qalbi dengan pakaian. Anak kecil itu baru sahaja sudah dimandikan. Lepas ini, mengantuk lah mata tu kalau sudah diberikan susu. Selalunya dekat Darul Sakinah begitulah ragamnya, cepat sahaja mata itu terlelap. Biasalah bayi sekecil ini, kerjanya tidur sahaja.
Tapi, dua hari menjaga Qalbi di sini, bersungguh anak kecil itu bersengkang mata mahu bermain. Jauh sikit meraung mintakan perhatian. Awalnya disangka Nur Husna, Qalbi itu kelaparan mahupun lampinnya basah minta ditukar. Tapi apabila botol disua, dialih mulutnya. Lampinnya pula kering sentiasa. Tapi, nampak sahaja muka Nur Husna, mulutnya ramah entah apa butir katanya. Gayanya seperti seronok bercerita.
Lepas itu, tahulah Nur Husna bahawa bayi asuhannya itu mahukan perhatian, inginkan teman berbual. Tak padan dengan kecil. Riuh mahu berbual! Tak kira lagi bilamana Nur Husna dan Puan Rosnah sedang rancak bersembang. Sibuk mulut mugil itu mahu menyampuk bersama. Mana tak riuh rumah banglo itu dengan gelak tawa mereka.
“Selalu sangat Azami tu, susah nak lekat dekat rumah. Kalau nak nampak batang hidung tunggu hujung minggulah baru jumpa. Itupun lepas umi marah, sibukkan sangat dengan kerja sampai lupa balik rumah. Tapi, Alhamdulillah. Belakangan ni, Azami dah pandai urus masa dia. Dah hadkan waktu kerjanya, malam bonding time dengan keluarga. Lagi-lagi lepas dia kenal Husna. Sebab tu umi suruh dia cepat kahwin. Biar ada yang urus makan pakai. Umi pun ada teman. Macam sekarang. Seronok umi ada teman bual. Harapkan nak tunggu Bella. Budak tu sibuk dengan sekolah, jarang sangat ada di rumah. Cuti pun kadang-kadang sudah ada aktiviti yang dirancangnya dengan kawan-kawan. Tinggallah umi seorang dekat rumah.”
Nur Husna yang sedang mengagah Qalbi yang sedang berbaring di depannya mengerutkan dahi. Puan Rosnah yang sedang termenung menikmati permandangan luar rumah dipandang sekilas. Nama yang disebut Puan Rosnah kembali dicernanya. Aneh sebenarnya. Setahu Nur Husna, tak adalah pula Nur Husna sebut nama Azami Norhakim dalam pertanyaannya tadi.
Nur Husna sedar, bukan sekali Nur Husna perasan akan kesilapan Puan Rosnah. Seringkali nama Azami disebut setiap kali soal Azam yang sedang mereka bicarakan sedangkan Nur Husna tidak pernah sekali pun buka topik tentang Azami Norhakim. Sudahnya Nur Husna buat kesimpulan sendiri yang Puan Rosnah itu lagi sedang rindu akan Azami.
Maklumlah, daripada apa yang dirisik daripada Azam apabila lelaki itu menghantar mesej kepadanya bertanyakan aktivitinya seharian di rumah malam semalam; Azami itu sudah lama tidak pulang ke rumah. Barangkali Puan Rosnah sedang rindu menggunung dengan anak terunanya seorang itu, sebab itulah acap kali tersasul nama Azami Norhakim. Walaupun ragu-ragu dengan jawaban daripada Azam. Namun Nur Husna tiada pilihan selain percayakan lelaki itu. Lagipun Puan Rosnah itu ibu Azam, pastilah lelaki itu lebih tahu akan hal itu.
Jadi, seperti halnya ketika ini. Nur Husna iyakan sahaja bicara Puan Rosnah. Pastilah Puan Rosnah mahu maksudkan Azam sebenarnya sementelah lelaki itu yang ditanya Nur Husna. Jadi, apabila memikirkan Azam, Nur Husna diserang musykil lagi.
Bukankah lelaki itu sudah kahwin? Jadi kenapa umi nak suruh dia cepat kahwin? Eh, jap.. jap. Umi tengah cakap fasal Azam ke Azami Norhakim ni? Nur Husna pegang kepalanya, pusing kejap. Qalbi pula sudah senget kepala memerhatikan Nur Husna dengan mata bulat. Jemari kecilnya ditepuk-tepuk pada pipi Nur Husna, seolah-olah membingkai wajahnya –mungkin bertanya; ibu ada masalah?- Nur Husna senyum kecil, menggesel-geselkan hidungnya ke pucuk hidung kenit itu.
“Isteri Encik Azam mana umi? Dah lama Nur Husna kenal Encik Azam dengan Qalbi, tak pernah-pernah Husna nampak dia.”
Laju sahaja soalan itu ditanya tanpa memandang wajah Puan Rosnah. Daripada sesak kepalanya dengan macam-macam persoalan, ada baiknya terus ditanya kepada tuan badan. Tapi, sedarkan kebisuan daripada Puan Rosnah, Nur Husna mengalihkan perhatiannya kepada wanita itu. Wajah yang tadinya dihias senyuman manis sudah berubah suram. Bibirnya melorot ke bawah, sinar matanya yang ceria mulai sirna. Ada riak kecewa dan risau pada air muka itu. Qalbi dipeluk ke dadanya kemudian punggung diangkat beralih ke sisi Puan Rosnah. Tangan tua itu disentuh dan digenggam. Puan Rosnah beralih dan memberikan senyuman hambar.
“Umi okey?”
“Umi okey. Cuma risau. Azami tak suka kalau orang tanya fasal Qalbi dan perempuan tu. Mujur dia tak dengar Husna tanya, kalau tak teruk jadinya nanti.”
Azam ke Aza.. Ah, pedulikan. Aku cakap fasal Azam, jadi Azamlah topik utama mereka. Azami hanya... nahhh, aku pun tak tahu. Salah sebut saja mungkin!
“Kenapa umi?”
Elusan pada tangan Nur Husna dibalas lembut sebelum menjawab pertanyaan Nur Husna. “Setiap kali umi tanya fasal perempuan tu, Azami akan mengamuk. Habis semua barang dalam rumah pecah dan berantakan. Jadi, Husna jangan lepas cakap ye. Pedulikan je fasal ni. Lebih baik diamkan terus. Boleh ye Husna?”
Berlapis dahi Nur Husna cuba mencerna permintaan Puan Rosnah. Qalbi dipelukan ditepuk punggungnya. Bayi kecil itu sudah menguap luas, tanda sudah penat dan mahu tidur. Susu yang sudah dibancuh dicapai lalu disua ke mulut mugil Qalbi di ribanya. Laju sahaja puting dinyonyot kerana lapar. Wajah Puan Rosnah yang suram kembali dipandang.
“Siapa perempuan yang umi maksudkan?”
Puan Rosnah menggeleng kecil. Embun kecil yang menitis di hujung matanya segera diseka dengan telunjuknya. Senyuman hambar dipaksa ukir.
“Tak ada siapa-siapa. Kalau Azami dah sedia, nanti dia sendiri akan beritahu Husna. –Eh, dah pukul berapa ni? Azami tak sampai lagi..” Jam di dinding dipandang sekilas sebelum kembali memandang Nur Husna lalu menyambung bicaranya. “Tadi dia telefon, katanya dah dekat dah. Tapi tak sampai-sampai lagipun. –Nanti Husna balik dengan siapa? Ada yang datang ambilkan? Atau Husna nak Azami yang hantarkan? –Ataupun macam nilah, Husna balik dengan Azami ye. Nanti umi suruh dia hantarkan Husna.”
“Eh, tak payah umi. Husna dah cakap dekat Angah. Dia ada dekat rumah hari ni. Nanti kalau Encik Azam dah sampai, Angah suruh telefon dia ambilkan Husna. Lagipun kesian Encik Azam, baru balik dah kena hantar Husna. Letih dia.”
Niat Puan Rosnah segera dihalang. Walaupun hubungannya dengan Azam boleh dikatakan semakin akrab, tapi untuk berdua dengan lelaki itu bukan pilihan yang wajar rasanya. Walaupun hanya sekadar menghantarnya pulang, Nur Husna tetap tidak selesa. Pesan Tuan Yusuf sering terngiang-ngiang di telinganya.
“Betul ni?”
“Betul umi. Angah dah pesan, dia yang datang ambilkan Husna.”
“Baiklah kalau macam tu. Dah tidur awang kenit ni. Pergilah letak dia dekat atas. Lepas tu turun, kita minum petang sama-sama. Umi ada buat kuih bingka ubi hari ni. Ayu, jiran sebelah kasi ubi kayu. Murah katanya dekat pasar. Terlajak beli banyak, dia kasi sikit tadi. Husna dah solat Asar?”
“Dah umi.”
Ringkas dijawab seraya bangun dari duduknya. Qalbi yang merengek ditepuk-tepuk punggungnya biar selesa untuk sambung tidurnya yang terganggu.
“Pergilah naik. Meraung pula nanti kalau tak selesa.”
Terus Nur Husna ke atas untuk ke bilik Qalbi. Qalbi yang sudah pulas lenanya diletakkan di katil lalu diselimutkan. Sengaja tidak dibedung anak kecil itu. Sudah masuk bulan ke lima usianya, biarlah tangan dan kakinya bebas meneroka. Sarung tangan dan kaki pun sengaja tidak dipakaikan, asalkan kukunya sudah terpotong pendek dan tidak tajam yang akan cederakan kulitnya nanti.
Xperia yang ditinggalkan di bilik dicapai lalu skrin disentuh. Mesej yang baru masuk dibaca. Angah Maisarah bertanya bila mahu diambil. Cepat sahaja jemarinya membalas mesej bahawa dirinya sudah boleh diambil sekarang. Xperia disimpan di dalam poket lalu langkahnya diatur kembali ke bawah untuk kemaskan toto dan peralatan bayi yang lain. Semuanya diletakkan di dalam satu bekas besar bagi memudahkannya berpindah ke atas.
Kedengaran deruan enjin kereta masuk ke garaj rumah. Pasti Encik Azam sudah sampai. Puan Rosnah yang sedang sibuk siapkan minum petang di dapur dikhabarkan kepulangan Azam sebelum menuju ke atas semula. Segala peralatan bayi disusun pada tempatnya semula seperti biasa. Toto pula dimasukkan ke dalam almari besar di bilik itu. Terdapat juga beberapa toto dan selimut yang masih berbalut dalam plastik. Tanda belum pernah dipakai.
Setelah itu, Nur Husna bersihkan diri di bilik air untuk segarkan diri lalu kembali ke bilik Qalbi. T-shirt biru muda labuh yang tersarung di tubuh dikemaskan, tudung bawal yang dipadankan di kepala dibetulkan letak duduk pin di kiri kanan bahunya. Lipatan pada hujung denimnya dilabuhkan kepada asal. Setelah stoking disarung, sarung lengan dipakai, beg sandangnya dicapai lalu Qalbi yang sedang beradu dikucup dahi dan pipi tembamnya. Selepas membisikkan salam terus langkahnya ke bawah menyertai Azam dan Puan Rosnah yang sedang rancak bersembang.
Touch up? Nahh, tak perlu. Bukan nak ke mana pun. Balik rumah saja. Melaram lebih-lebih, ada yang minta dibebel oleh Angah kesayangan yang susah nak membebel tu.
“Eh, dah nak balik ke?”
Ayat pertama Azam saat melihatkan penampilan Nur Husna yang seperti mahu keluar itu. Nur Husna melabuhkan duduknya di sofa bujang. Azam disapanya dengan senyuman nipis sebelum menjawab pertanyaan lelaki itu.
“Haah, nak balik dah. Angah tengah dalam perjalanan ke sini.”
“Laa, kan I dah cakap I hantar.”
Seperti tidak puas hati daripada nada suaranya. Nur Husna tayang gigi, sudah tertangkap mahu mengelat daripada menuruti arahan Azam.
“Tak apa Encik Azam. Saya tak nak susahkan Encik Azam. Sudahlah penat baru sampai rumah, nak hantar saya pula.”
“Hurmmm..”
Tandanya ada orang jauh hati. Wajah yang tadinya ceria juga tiba-tiba berubah muram. Aish, tak akanlah tu pun nak merajuk kot. Nur Husna menggosok belakang lehernya, tidak tahu mahu beri reaksi bagaimana. Jika minta dipujuk, sudah dikata dia tak tahu memujuk. Alahai, kenapa Azam versi yang satu ini sensitif sangat ni.
“Makan dulu Husna. –Hai Zam, sejak bila pandai nak merajuk ni. Tak pernah-pernah kamu perangai macam ni. Buang tabiat ke Zam?”
“Umiiii....”
Rengek Azam apabila diusik begitu oleh Puan Rosnah. Hendak lagi mendengarkan tawa kecil ibunya itu. Nampak benar niat mengusik itu. Sudah tertangkap dia bersikap begitu dengan perempuan lain, pastilah tak lepas peluang Puan Rosnah mahu mengusik. Azam mengaku, susah dia nak tunjuk sikap mengada-ngadanya itu selain dengan Puan Rosnah dan Bella. Tapi mahu bagaimana lagi, kalau dia sudah berani buka pekungnya itu tandanya dia mulai selesa dengan seseorang. Biarlah ibunya itu mahu mengusik, yang penting hatinya sedang kecewa kerana Nur Husna menolak pelawaannya. Alahai, sensitif benar hati ni sudah kenapa?
“Nak buat macam mana umi. Sudah orang tak sudi. Nak merajuk pun, bukan ada orang nak pujuk.”
Kata Azam sambil menghirup kopi ditangan dengan jelingan sekilas pada gadis yang sudah serba-salah air mukanya. Puan Rosnah pula semakin lebar senyumannya, diselangi ketawa kecil. Suka benar melihatkan laku anak bujangnya sudah menunjukkan terbuka pada kaum antonim dengannya itu. Nur Husna pula hanya membisu sambil menjamah bingka ubi yang dihidang. Kopi dihirup senafas demi menutup rasa gugupnya. Jantungnya sudah mula buat perangai!
Bunyi hon dari luar membuatkan Nur Husna melepaskan nafas lega. Lekas-lekas dia letakkan cawan di meja lalu bangun daripada duduknya. Tanpa disuruh, Puan Rosnah dan Azam turut berdiri sama mengiringi Nur Husna hingga ke pintu pagar. Dari jauh sudah kelihatan Proton Iriz biru milik Angahnya tersadai di tepi jalan; betul-betul di depan pintu pagar rumah banglo.
“Husna...”
Panggilan lembut Puan Rosnah membuatkan Nur Husna menghentikan langkahnya lalu memandang wajah tua itu. Tangannya ditarik ke genggaman Puan Rosnah lalu dielus lembut. Azam di belakang Puan Rosnah dipandang sekilas sebelum kembali bertaut mata dengan renungan Puan Rosnah yang penuh dengan harapan.
“InsyaAllah, Ahad ni umi datang rumah ye. Umi harap Husna istikharah dan berikan jawaban yang sebaik-baiknya. InsyaAllah, apa sahaja jawaban Husna umi terima. Cuma, besar harapan umi untuk jadikan Husna isteri Azami.”
“InsyaAllah umi. Doakan Husna boleh berikan jawaban yang memuaskan hati semua pihak ye umi. Err...”
Terbantut ayatnya apabila Azam tiba-tiba berdiri di sisinya. Sangat dekat membuatkan kata-kata yang dirangka tadi sudah bercelaru susunan rangkanya. Ditambah lagi wangian Azam yang kuat harumannya memenuhi rongga bau Nur Husna. Terbuai sekejap dia kerana diusik naluri wanitanya.
Mujur Puan Rosnah tidak sedar akan rentak bicaranya yang berubah itu. Disangka Nur Husna sudah menyudahkan bicaranya, genggaman ditepuk lembut lalu dilepaskan perlahan. Maisarah yang baru keluar dari perut kereta menyapa Puan Rosnah dengan pelukan mesra.
“Umi maksudkan Azami kan? Bukan Encik Azam kan? Kalau Encik Azam, saya nak tolak siap-siap.”
Demi hilangkan rasa gugup, soalan yang berniat gurauan itu dibisik perlahan. Lain pula Azam, berubah sebentar air mukanya sebelum dipaksa mengukir senyuman manis. Melindungi sesuatu.
Don’t worry. This time no mistaking. She means Azami for real. Kalau you, I pun tak nak.”
Tawa mereka bergabung perlahan.
“Tolong Encik Azam. Saya sayu tengok umi macam tu. Apa sangatlah nak berhubung dengan umi sendiri. Sekarang ni dunia dah maju. Apa gunanya medium sosial atas talian kalau tak dimanfaatkan. Bila-bila masa, dan di mana-mana pun boleh. Boleh tengok rupa dari hujung rambut sampai hujung kaki lagi. Jadi, tolong Encik Azam. Ubatilah kerinduan seorang ibu itu. Beritahu dia, umi sangat perlukan dia.”
Senyuman manis diukir sambil membalas renungan lembut Azam yang sedari tadi tidak lepas daripada melihatnya. Renungan yang meninggalkan pesan lalu bergerak menghampiri Puan Rosnah dan Maisarah meninggalkan Azam yang masih berdiri kaku di belakang. Tanpa ada yang mendengar, keluhan berat dilepas perlahan.
Kalaulah dia tahu.




Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan