E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 11 - Pantun
Mendengarkan suara riuh
dari luar biliknya membuatkan Nur Husna lekas menghabiskan rutin bacaannya
setiap selepas waktu solat. Al-Quran diletakkan di tempatnya sebelum langkah
diatur menghampiri pintu yang sengaja tidak bertutup rapat. Langsir diselak
untuk melihat suasana di luar biliknya.
Laju sahaja retinanya
menangkap susuk redang milik Puan Rosnah. Anggun sekali wanita separuh abad
berbusana kurung songket itu melangkah masuk disambut Puan Senah lalu dibawa
terus ke ruang tamu. Diikuti beberapa orang wanita dan lelaki, tua dan muda
sekitar sepuluh orang semuanya masuk bersama dulang ditangan. Lima dulang
semuanya. Dan Nur Husna mula mengerutkan dahinya. Sudah kenapa berdulang bagai
ni? Sirih junjung? Ini rombongan merisik kan?
Fikir soal dulang, Nur
Husna juga perasan Rozaimah begitu sibuk sekali menggubah tujuh dulang yang
disewa daripada butik temannya. Bukan hanya Rozaimah seorang, Puan Senah dan
Cik Nana; kawan Rozaimah iaitu pemilik butik pengantin di bandar turut sibuk
menguruskan hal itu hampir seminggu yang lalu lagi. Apabila ditanya, dijawabnya
sengaja siapkan awal-awal dulang hantaran untuk majlis tunang Nur Husna.
Sedangkan waktu itu,
keputusan belum dibuat lagi. Puan Rosnah pun belum khabarkan kepada Nur Husna
bila mahu datang merisiknya. Tiba-tiba sudah sibuk siapkan dulang hantaran
untuk majlis tunangnya. Malah, barang-barang yang mahu digubah awal-awal lagi
sudah dibeli. Tahu-tahu sahaja, sudah siap tujuh dulang hantaran diletakkan di
biliknya.
Sempat jugalah Nur Husna
belek apa yang digubah itu. Tali pinggang, kemeja dan samping digubah dalam
satu dulang, dulang bunga rampai, dulang buah-buahan, dulang set tuala, dulang
untuk cincin, dulang kain pasang bewarna peach lembut –kata Puan Senah; itu
untuk buat baju nikah nanti- dan dulang kek yang baru siap semalam. Mahu
dibantah lebih-lebih, dulangnya sudah siap digubah, sudah disusun pun dalam
biliknya. Lagipun, Nur Husna sudah serahkan kepada Rozaimah untuk menguruskan
segala-galanya. Jadi, apa boleh dibuat selain terima sahajalah.
Fokus Nur Husna kembali
dialihkan daripada memikirkan kegunaan dulang-dulang yang dibawa. Buat sesak
kepala sahaja. Sekarang ni fokusnya sedang mencari seseorang. Berjengket hujung
kakinya tidak duduk diam melihat setiap wajah yang sedang berborak sakan di
ruang tamu, kalau-kalau yang dinanti itu sedang bersila juga di situ. Namun,
tanpa sedar sinar matanya yang teruja menanti ternyata membawa rasa kecewa di
hatinya. Harapannya sekali lagi direntap, wajah yang bermain-main di mindanya
seperti mana yang dilihat pada gambar simpanannya tidak menyamai siapa-siapa di
situ.
Dalam kecewa, matanya masih
liar mencari sambil menggigit bibirnya geram. Sehingga terhenti saat bertaut
dengan mata coklat yang menawan itu. Sinar matanya memukau ditambah lagi perasa
senyuman manis yang sangat sukar dihadiahkan buat siapa-siapa. Tetapi senyuman
itu semakin kerap terhias setiap kali bersua muka dengan Nur Husna. Kolam
matanya hidup, bercerita sentiasa setiap kali bertaut dengan retianya. Dan
sekarang, mata itu sedang memujuk seperti tahu akan rasa hati Nur Husna yang
hampir dilanda kecewa untuk sekian kalinya.
Beberapa detik bertaut, Si
Mata Coklat terlebih dahulu memutuskan tautan. Sempat juga dikenyit mahu
mengusik hingga berubah rona pipi Nur Husna seperti selalu. Cepat-cepat Nur
Husna beralih, bersandar di tepi pintu sambil memegang jantungnya yang mulai
berpalu tanpa arah. Tanpa dapat ditahan, bibir yang tadinya kejung mahu
tersenyum, tidak disangka terukir sendiri tanpa dipaksa. Tak mampu menafikan
lagi, hatinya berbunga. Sedar dengan kelekaannya, pipi ditampar lembut.
Menyedarkan diri pada realiti. Bukan dia. Ya, bukan dia. Bukankah yang lagi
seorang itu yang datang dalam mimpi kau Nur Husna? Jadi, jagalah hati. Dia itu
bakal ipar kau. Jangan melampau batas kemahuan hati itu. Berkasih dengannya,
selayaknya seorang saudara, selayaknya seorang ipar sebagai penyambung
silaturrahmi dua keluarga.
Langsir kembali diselak.
Kehadiran Azam yang berbaju Raihan satin kuning lembut, berkhaki hitam dan
bersongkok di kepala disambut Fawwaz dengan pelukan erat. Mesra sekali
kedua-duanya rancak bercerita. Benar-benar seperti teman yang sudah sekian lama
bersahabat. Sorotan mata Nur Husna mengiringi langkah mereka ke ruang tamu dan
mengambil tempat masing-masing seperti sudah siap mahu memulakan majlis.
Melihatkan susuk tubuh
Maisarah sedang datang menghampiri ke biliknya, Nur Husna kalut mengambil
tempat di mini pelamin yang sudah siap digubah sejak dua hari yang lalu.
Seperti biasa, rancangan Alongnya Rozaimah tanpa bertanyakan persetujuan Nur
Husna. Mujur Puan Senah setuju jika dibuat di bilik Nur Husna sahaja.
Kebetulan, biliknya itu bilik yang paling besar daripada bilik lain. Legalah
hatinya apabila mendengarkan tolak ansur daripada ibunya. Mungkin sudah
acap-kali berkeras dengan Nur Husna, jadi untuk urusan pelamin ini Puan Senah
raikan kedua-duanya. Lagipun, buat di bilik lebih baik. Tidaklah terlalu
terbuka dan dipertontonkan anak daranya kepada semua yang hadir di majlis
mereka hari ini. Kalau mahu melihat Nur Husna di pelamin, terbuka pada kaum
hawa sahaja. Lebih terjaga dan tertutup.
Walaupun untuk sekian
kalinya Nur Husna mahu membantah, dia bersetuju juga mendengarkan kata-kata
ibunya. Lagipun, setelah siap mini pelamin itu, terpukau juga mata Nur Husna
dengan sentuhan kreatif Cik Nana.
Bertemakan warna putih
emas, mini pelamin yang dibina sudah jelas mempamerkan tema yang diinginkan.
Berfokuskan pada kusyen Ottoman bulat berkain emas berkilau di tengah
pelamin di atas pentas rendah yang dibalut dengan hamparan kain satin besar,
pelamin diserikan lagi dengan dekorasi flora juntaian daun hijau berbunga
krisan putih susu dan seruni kuning yang digubah taburannya secara mengiri
susunannya di atas latar tirai.
Besi jackset latar
tirai yang dilapisi dua langsir vitrase gabungan rona putih dan emas itu
kemudiannya diindahkan lagi dengan gabungan rambuan lampu bercahaya putih dan
sulaman bunga melur hidup yang disulam secara memanjang, diselang seli menjadi
seperti tirai. Haruman bunga melur memenuhi ruang bilik itu hingga ke luar. Sempat
juga telinga Nur Husna menangkap komentar yang meniti di bibir sesiapa sahaja
yang menjejakkan kaki ke rumah ini. Wangi melur! Itu baru luar bilik, belum
lagi bilik Nur Husna yang seperti taman melur baunya. Harum semerbak!
Seri pelamin turut dilapis
dengan dua gubahan bunga krisan dan seruni di dalam pasu di kiri dan kanan
pentas. Lebih menarik, lampu spotlight kecil juga turut diletakkan
mengelilingi pelamin. Seolah-olah mahu menggamit semua mata untuk melihat anak
dara yang sedang bersimpuh di pelaminnya menanti untuk disunting. Manis dan
menawan! Mujur sahaja bilik Nur Husna memang sengaja ditutup semua tingkap dan
lubang, mengelakkan daripada rombosan matahari dari luar. Ruang gelap sangat
diperlukan untuk menjadikan fungsi spotlight lebih berkesan. Ringkas,
megah dan cantik!
Pintu diketuk mengalihkan
Nur Husna kepada Maisarah yang baru melangkah masuk dengan senyuman manisnya.
Di belakangnya diikuti Faiz yang sedang membawa alatan pembesar suara tanpa
wayar jenis klip bersaiz kecil ibu jarinya. Alat kecil itu kemudiannya dikepil
pada tudung yang dekat dengan dagunya, bagi memudahkannya untuk menjawab saat
ditanya sebarang soalan nanti. Fungsinya, Nur Husna tak perlu keluar daripada
bilik hingga selesai segala perbincangan. Jika ditanya terus kepada tuan badan,
Nur Husna hanya perlu menjawabnya langsung menggunakan alat pembesar suara itu.
Tiada masalah kalau tidak guna pun, tapi itulah keluarganya. Macam-macam
alasannya, takut andai Nur Husna tak bersuara. Kalau bersuara, mungkin semut di
tudung saja boleh dengar. Sengal punya keluarga!
“Kalau nak jawab tekan sini
untuk on, lepas tu tekan sekali lagi nak off. Faham?”
Tanpa menjawab, hanya
anggukan sebagai balasan.
“Haha, janganlah nervous
sangat. Bertenang Ateh. Tak ada apa pun. Jawab bila ditanya, diam kalau tak
tanya. Dah, Abang Ngah keluar dulu. Mai duduk sini kan?”
“Haah, nak teman budak ni.
Kalau dibiar seorang diri, hilang pula nanti. Abang pergilah, Mai rasa nak
berpantun juga diorang ni. Dari tadi berpantun-pantun bercakap pun. Mujur la
Pak Lang Hadi ada, boleh la nak berbalas rancak kalau nak berpantun.”
“Pantun?”
Nur Husna sudah cuak bila
dengar pantun. Aduhai, ni nak merisik kan? Dah kenapa nak berpantun bagai ni?
Karang dia tuju soalan dekat aku dengan pantun, mati kutu aku nak menjawab.
“Haah, mak pun cakap. Nak
ikut orang lama. Walaupun tak semeriah pantun orang dulu, tapi nak bagi ada
saja. Jangan takutlah, Angah ada dengan Ateh.”
Tangan adiknya yang sudah
sejuk beku itu dielus perlahan. Dahi Nur Husna dikucup lalu melabuhkan duduknya
berdekatan dengan pintu. Pintu sudah awal-awal lagi dibuka luas, langsir juga
sudah diselak, biar nampak suasana di luar. Lagi pula, wakil keluarga Nur Husna
memang semuanya berkumpul berhampiran dengan bilik Nur Husna. Di depan mereka,
wakil rombongan mengambil satu tempat memenuhi ruang tamu. Mujur juga bilik Nur
Husna memang berdepan dengan ruang tamu. Nanti kalau mahu berbincang sesama
mereka, tidak perlulah berulang-alik, hanya berlu berbisik sampaikan mulut ke
mulut hingga ke empunya diri. Kalau dijawab, langsung terus bersuara dengan
alat yang disediakan.
“Assalamualaikum wbt.”
Salam diberi oleh seorang
lelaki tua; sudah beruban rambutnya, berbaju melayu kuning, bersongkok hitam,
memulakan perbincangan mereka. Nur Husna semakin sesak salur nafasnya kerana
gemuruh.
“Waalaikumussalam wbt.”
“Bismillahirrahmanirrahim,
syukur hanya kepada Allah, selawat nabi kepada Rasulullah, semoga pertemuan
membawa berkah.
Burung
enggang silang-bersilang
Nampak pipit
sama rata
Sudilah sirih
sekapur seorang
Itulah asal pembuka
kata
Tuan-tuan dan puan-puan,
syukur sebesar-besarnya kedatangan kami disambut dengan muka yang jernih,
dinanti dengan dada yang lapang, ditunggu dengan wajah yang berseri-seri.
Saudara-saudari sekalian,
yang berbahagia, yang punya hajat hari ini adalah daripada adik saya, Rosnah
Samsuri. Saya hanya sebagai wakil untuk menyampaikan hajat sebesar ini.
Rosman Samsuri nama
ditabal, Abang sulung kepada yang berhajat, ditugaskan oleh Rosnah sebagai
jurubual untuk menyampaikan hajat yang besar. Dan hajat yang saya mahu
sampaikan, tak mungkin saya bercakap seorang, tentu ada kawan tempat
berbincang.
Sedap sungguh
si sayur terung
Sedap dimasak
oleh cik Imah
Di depan saya
ramai berbaju kurung
Siapa agaknya
wakil tuan rumah?”
Riuh sebentar rumah
mendengarkan muqaddimah daripada Tuan Rosman mengundang bisik-bisik
jenaka daripada penghuni rumah.
“Mari perkenalkan diri
saya, Muhammad Hadi diberi nama, Abang ketiga kepada tuan rumah. Menggantikan
ipar saya Yusuf Hassan yang sudah lama bertemu Ilahi, menyambut hajat wakil ke
mari.
Encik Awang
belajar silat
Belajar silat
di Pulau Pangkil
Orang
sekampung diajak muafakat
Kita berdua
sebagai wakil
Perahu kolek
ke hilir tanjung
Sarat bermuat
tali temali
Salam
tersusun sirih junjung
Apa hajat
sampai kemari?”
Suasana semakin rancak
dengan jual beli pantun yang fasih meniti di bibir orang lama. Nur Husna juga
tidak kurang gelisah rancaknya. Peluh usah dikata, bercucuran bagai hari ini
merupakan hari akad nikahnya. Aduhai, orang lama sangat. Aku pula terbantut-bantut
nak faham pantun.
“Baiklah tuan rumah,
Rasa tinggi
Gunung Ledang
Tinggi lagi
asapnya api
Berapa tinggi
mata memandang
Tinggi lagi harapnya hati
Bunga Ros
bunga melati
Harum
semerbak di dalam taman
Besar sungguh
hajat di hati
Hendak menyunting bunga di
taman
Cincin rotan
disarung di jari
Manisnya jari
cantik meruncing
Bunga tuan
dipagari sang duri
Izinkan kami hendak
menyunting
Harum segar
bunga melati
Disusun rapi
di dalam puan
Berhajat
besar hasratnya hati
Teruna kami
mencari teman
Haa, jadinya sebelum
bunganya disunting. Tidak mahulah kiranya bunganya sudah ditanda kumbang yang
lain. Oleh itu,
Kembang mekar
bunga Siantan
Susun secekak
harum baunya
Mekar mawar
mewangi di taman
Bertuan tidak kami bertanya
Cantik
sungguh Dang Anum
Bersanggul
dengan gegetarnya
Buah masak
sudah kah ranum?
Bunga ditaman
sudahkah berpunya?”
Nur Husna semakin gugup
saat kepala manusia di luar sana sudah tertoleh-toleh ke arah biliknya. Tak
kurang juga yang memanjang kepalanya, mencari-cari siapakah sang Bunga yang
disunting. Maisarah yang menghampiri Nur Husna untuk membantu Nur Husna
mengaktifkan pembesar suara menambahkan debar di dada.
“Kalau ditanya pada saya,
tidaklah saya tahu isi hatinya, daripada kita semua tertanya-tanya, ada baiknya
langsung kita tanya pada si bunga. –Ateh, rombongan ni datang merisik kamu.
Kamu sudah punya pilihan sendiri atau belum. Kalau sudah berpunya sila
nyatakan, biar yang datang tak simpan harapan. Kalau belum berpunya, katakan
belum. Bolehlah kami langsung urusan seterusnya.
Cubalah cari
dalam tengkolek
Tengkolek ada
di atas para
Luahkan
bahasa yang molek-molek
Sudahlah
manis di pandang mata”
Terjungkit bahu Nur Husna
saat Tuan Hadi beralih muka memandangnya, sekerat pantun lagi untuknya. Apatah
lagi mendengar suara lantang Tuan Hadi bergema ke pelosok rumah. Menambahkan
debar dan gemuruhnya. Melihatkan semua mata sedang berpusat padanya, Nur Husna
tak mampu lagi mengangkat kepalanya. Wajahnya pucat kalau ditoreh tidak
berdarah pastinya. Maisarah di sisi yang sedang mengusap belakang badannya juga
tak mampu mengurangkan debar jantungnya. Kepala diangkat perlahan, mencari
kekuatan. Hinggalah bertaut lagi retinanya dengan pemilik mata coklat itu.
Senyumannya, hilang terus gemuruh yang mengulit diri. Anggukan daripadanya,
memberi keyakinan untuk Nur Husna segera memberi jawaban.
“Ateh..”
Maisarah sudah memanggil.
Puan Senah juga sudah berubah tempat duduknya menghampiri Nur Husna.
“Ateh kena pantun juga ke
mak?”
Tak semena-mena Nur Husna
bertanya. Soalan hanya dituju buat ibunya, tapi dia lupa pembesar suara sedang
aktif. Maka bergemalah suaranya yang terketar-ketar itu ke pelosok rumah. Apa
lagi, dek lucu dengan gelabah Nur Husna, bergema rumah itu dengan gelak-tawa.
Tapi masih dikawal hingga tidak terbahak-bahak. Tersipu-sipu malu para wanita
mengawal suara, para lelaki pula merah muka mereka menahan gelak kuat.
Terkulat-kulat Nur Husna kerana suara cemasnya tiba-tiba melaung kuat. Huarrr..
betul-betul nak menangis sekarang.
“Tak perlu Ateh. Ateh jawab
sahaja macam biasa. Tapi bertapis bahasanya ye Ateh.”
Pujuk Puan Senah dengan
senyuman manis. Tangan Nur Husna dielus lembut, faham benar anak gadisnya
sedang dilanda gemuruh. Maklumlah baru pertama kali. Mata itu dicari lagi. Dan
dia masih dengan senyuman menawannya. Tidak ketawa seperti yang lain. Sekali
lagi anggukan diberi, memberi keyakinan pada Nur Husna untuk kali kedua.
“Minta maaf. Mahu dibalas
pantun, saya bukan lah orang nya. Jadi, mohon diterima cara jawab saya yang
hanya biasa tidak berbunga. Sudah ada yang bertanya, tidak sopan rasanya jika
tidak berjawab. Alhamdulillah, luas peluang pihak yang bertanya kerana diri ini
belum lagi berpunya. Terima kasih.”
Terus butang off
ditekan. Risau andai giginya yang bergelatuk didengari semua. Malu nanti dia
untuk kedua kalinya. Dahinya dikucup Puan Senah sebelum ibunya bangun untuk
mengambil tempatnya semula. Cumanya tidak ke tempat tadi, hanya bersimpuh di
sisi Maisarah di tepi pintu. Tuan Hadi sudah beralih pandang ke depan, bersedia
mahu membalas pantun mungkin.
“Suara hati sudah pun
ditanya. Yang bertanya juga sudah pun menjawab.
Tikar jerami
hampar di laman
Mengulas
dulang berisi emping
Bunga kami mekar
di taman
Menanti orang datang
menyunting
Ikan parang
dimasak kari
Masak dengan
bercampur kerang
Besar panjang
nak dara kami
Mengharap teman berkasih
sayang
Anyam jerami
berbelang warna
Tengah
berlubang lekang susunan
Bunga kami
belum berpunya
Menanti kumbang hinggap di
taman
Turun ke
sumur menanam lada
Lada sura
merah geliga
Sampai umur
ulmu pun ada
Bersedia dara
hidup berkeluarga.”
“Alhamdulillah. Jelas dan
terang suara si anak dara, hinggap ke pendengaran kami semua, jelas sudah
status duduknya, boleh lah kiranya kita sambung bicara ye Tuan Hadi?”
Sambung Tuan Rosman saat
Tuan Hadi menitikkan pantunnya.
“Mari. Silakan tuan. Jangan
disimpan apa hajatnya, tidak senang duduknya nanti.” Kata Tuan Hadi sambil menghulurkan
tangannya ke depan, mempersilakan Tuan Rosman menyambung kata.
“Akar
memanjat pohon ara
Nampaknya
cantik berseri laman
Besarnya
hajat tidak terkira
Hendak
memetik bunga ditaman.”
Suara Tuan Rosman kembali
membalas, sedang membeli daripada nada suaranya. Nur Husna diam menanti apa
lagi yang sedang dibincang dua lelaki orang lama itu. Rancak benar fasih
mengungkap pantun. Bukankah mereka datang merisik. Jawaban risiknya sudah
dapat, jadi apa lagi mahu dibincang. Mahu tetapkan tarikh pertunangannya kah?
“Nampak
cantik berseri laman
Tempat
bertandang beruk dan kera
Hendak
menyunting bunga ditaman
Sudahkah cukup syarat dan
kira
Pergi mengail
ikan gelama
Laut
gelombang serta gelora
Niat baik
sudah diterima
Nak tahu dulu
muda kah tua!”
Sekali lagi gelak ketawa
bergema. Mungkin lucu dengan seloroh Tuan Hadi di hujung pantunnya.
“Bunga cantik
hiasan taman
Bunga sena
penghias biara
Tentulah
pemuda yang jadi idaman
Orang tua pengatur bicara.
Kalau padi
katakan padi
Tidaklah kami
tertampi-tampi
Kalau sudi
katakan sudi
Tidaklah kami
ternanti-nanti.
Haa, begitulah hajatnya.
Bunga sudah pun dirisik, katanya tidak berpunya. Jadi ibu si kumbang datang
berbisik, kalau boleh mahu menyarung cincin biar berpunya. Hajat hatinya, terus
mahu diikat tali pertunangannya. Salah adat tapi tak salah syariat. Kepada tuan
rumah, silakan ditanya pada si anak dara. Pinangan yang datang ini, sudikah
diterima?”
Kali ini Nur Husna
benar-benar mahu sesak nafas. Dia tidak bersedia untuk itupun. Mindanya sudah
diset hari ini sekadar majlis merisik dan beramah-mesra antara keluarga.
Mengapa lain pula hajatnya. Maisarah di sisi dipandang mohon penjelasan. Ahli
keluarganya yang lain kelihatan tenang semua. Seperti sangat bersedia dan sudah
tahu akan ketibaan hari ini. Apakah?
“Angah.. apa ni? Kata nak
datang risik je.”
Rengek Nur Husna. Air muka
usah ditanya, pucat sepucat-pucatnya. Kolam matanya semakin hangat,
berkaca-kaca mahu menangis.
“Ehh.. Angah dah cakap kan
tadi. Ateh, bertenang. Ateh kan dah istikharah. Kenapa tak bersedia
pula?”
“Tapi, Ateh ingatkan kena
ikat hari lain. Angah, tolonglah.”
“Ateh, istighfar.
Benda baik. Lagipun, bertunang sahaja. Pihak lelaki bertanya, Ateh nak tak
bertunang dengan Azami tu? Mak, Along dengan Angah tahu, kitaorang yang rancang
nak jodohkan Ateh. Tapi, bila ditanya begini. Tandanya ini peluang untuk Ateh,
kalau benar kata hati Ateh nak terima, terima sahajalah. Kalau benar tak mahu,
katakan juga. Kami semua tak akan marah. Itu pilihan Ateh. Ingat, kalau terima
jawab baik-baik. Kalau nak tolak pun, jawab baik-baik.”
“Angahhh...”
Suaranya sudah serak, tanda
benar-benar mahu menangis.
“Shhh, pejam mata.
Tenangkan diri. Ingat tak apa pesan mak lepas kitaorang putuskan untuk terima
rombongan merisik daripada Puan Rosnah? Apa-apa pun, istikharah. Itu
jawapannya. Okey? Angah cakap dekat diorang, bagi Ateh sepuluh minit. Fikir
baik-baik.”
Maisarah mengusap kepalanya
lalu bangun menghampiri Puan Senah. Ahli keluarganya dan pihak rombongan
seperti berbual santai setelah menerima bisikan daripada Puan Senah kepada Tuan
Hadi. Mungkin sepuluh minit yang diinginkan, diterima baik oleh mereka.
Nur Husna menarik nafas
panjang-panjang. Mata yang bergenang dikesat menggunakan tisu di tangan. Habis
comot solekannya nanti. Zikrullah meniti bibirnya, cuba menenangkan diri
untuk sekian kalinya. Jujurnya, minda dan hatinya sudah disiapkan untuk beri
jawaban. Tapi, entah kenapa dia diserang panik tiba-tiba. Mungkin terlalu
sedapkan diri hari ini hanya sekadar rombongan risikan. Kerana terlalu yakin,
gelabah lah hatinya apabila lain pula yang berlaku.
Patutlah beria benar
keluarganya mahu lengkap serba-serbi. Seolah-olah mereka benar-benar tahu,
risikan berubah tunangan. Masin benar mulut Angahnya itu, baru dikata tadi
sudah benar-benar terjadi. Memang patutlah tujuh dulang sudah siap digubah,
pihak rombongan pula mengiring masuk lima dulang tadi. Sekarang tahulah dia
mengapa ada sekali sirih junjung di salah satu dulang. Ada niat yang lebih
besar mahu diikat.
Jawabannya? Terimakah dia?
Bagaimana harapan keluarganya?
‘I nak dengar jawaban dari
you. Bukan keluarga you.’
Permintaan Azam itu masih
terngiang-ngiang di telinganya. Setelah agak tenang, Nur Husna menggamit
Maisarah. Sudah bersedia untuk memberi jawaban. Jawabannya sendiri. Dia punya
jawaban pada istikharahnya.
Suasana rumah kembali
sunyi. Masing-masing memasang telinga. Menanti respon balas daripada Nur Husna.
Nur Husna menarik nafas untuk sekian kalinya. Butang on ditekan,
bersedia untuk menjawab. Mata coklat itu dicari sekali lagi. Dia, masih setia
dengan senyuman walaupun dahinya berkerut petanda dirinya sedang gelisah. Entah
kenapa perlunya bereaksi begitu. Namun senyuman itu tetap ikhlas, renungan mata
itu tetap hidup, setia kedua-duanya memberi secebis keyakinan kepada Nur Husna
untuk menjawab. Nafas keyakinan ditarik sebelum keputusan hatinya dilafazkan.
“Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan mengharapkan redha Tuhanku Allah, mengikut sunnah Nabiku Muhammad
SAW, mengharapkan restu keluarga kecilku, mak, Along, Abang Long, Angah dan Abang
Ngah, dengan barakah doa semua yang hadir. Setelah istikharah mengiringi
setiap malam insyaAllah, pilihan yang diberi, lamaran daripada yang
datang bertandang bertanyakan kesudian diri, saya Nur Husna Binti Yusof
menerima lamaran ini dengan seikhlas hati.”
“Alhamdulillah.”
Lega! Hatinya lapang
setelah lafaz itu dituturkan. Malah semua orang seperti bersorak gembira,
senang dengan jawaban Husna. Lafaz tahniah tak lepas meniti di bibir semua
orang. Tubuhnya dipeluk erat oleh Along dan Puan Senah yang menerpa masuk.
Mereka seperti manusia paling bahagia mendengar jawaban Nur Husna. Sedangkan
merekalah yang mengatur segalanya.
“Alhamdulillah, saya pula
terlebih teruja macam saya si teruna yang bertanya. Debar saya tadi, gaya dah
macam tunggu jawaban positif waktu saya pinang isteri saya dulu.”
Seloroh Tuan Hadi kembali
mengundang tawa semua orang. Dapat jugalah tamparan lembut di bahunya daripada
Puan Zanita, isteri yang dimaksudkan.
“Baiklah sang pembawa
hajat. Janganlah disenyum sahaja di belakang sana. Sudah didengar jawaban
daripada si bunga, kami menanti balasnya.
Kaitkan baju
dengan jarum
Untuk dipakai
di hari raya
Sang gadis
mengukir senyum
Tanda hati menyatu jiwa
Pohon
cempedak ditepi titi
Pohon nangka
buah sebiji
Kalau sudah
berkenan dihati
Marilah kita
mengikat janji”
Tuan Rosman terangguk
mendengar sebelum menyambung kata.
“Janji yang diminta
pastilah diberi. Lima dulang kami datangkan sebagai bukti. Bersama dua bentuk
cincin kita gubah sekali, sebagai penanda si dara tuan sudah kami risik, juga
penanda ikatan janji untuk ke jinjing pelamin.
Timah pateri
dengan besi
Di cantum
dengan paku Belanda
Hukum berdiri
dengan saksi
Adat berdiri
dengan tanda
Jadi, inilah sebagai tanda
untuk anak yang kami pinang. Siapa tu namanya Rosnah..”
“Nur Husna.. Rosnah dah
bagitahu banyak kali kan. Lupa juga abang ni.”
“Haha.. bukan sengaja lupa.
Terpukau tengok seri bakal pengantin. Bolehlah pergi sarung cincin ke Husna.”
Setelah itu, wakil pihak
rombongan daripada kalangan wanita masuk ke bilik Nur Husna diketuai Puan
Rosnah di depan. Mereka yang lain membawa dulang yang dibawa lalu mesusunnya di
penjuru bilik Nur Husna, bersebelahan dengan hantaran gubahan pihak perempuan.
Sempat Nur Husna amati apa isinya. Tidak jauh beza apa yang diberi keluarganya.
Cuma kurang dua dulang sahaja. Selain sirih junjung, ada juga kain pasang
bewarna peach lembut seperti yang diberi keluarganya, kek, coklat dan biskut,
serta dulang berisi gubahan dua kotak baldu cincin. Kemudian, wakil keluarga
Nur Husna pula mengangkat tujuh dulang itu lalu diserahkan kepada rombongan
lelaki.
Cincin belah rotan sebagai
cincin risik disarung di jari manis Nur Husna di tangan kirinya manakala dan
cincin emas putih permata satu disarung di jari manis tangan kanannya lalu
tubuh genitnya itu ditarik ke pelukan Puan Rosnah. Pipi Nur Husna dikucupnya
lama seperti sangat gembira dengan ikatan ini. Wajah Nur Husna diusap-usap
dengan linangan air mata.
“Terima kasih Husna. Terima
kasih. Umi doakan ikatan ini akan berkekalan sampai bila-bila. Dugaan orang
bertunang macam-macam menanti. Sebab tu, umi nak kejap saja bertunang. Husna
okey?”
“Husna okey umi.”
Dahi Nur Husna dikucup lagi
sebelum beralih ahli keluarga yang lain untuk berjabat tangan dengannya.
Sempatlah dia berkenalan dengan sanak-saudara bakal keluarganya nanti.
Sekarang, semua kembali
berkumpul. Untuk membuat perhitungan masa depan mereka.
Perhitungan yang mengubah
segala-galanya.
Dan bersediakah dia untuk
itu?
Bibir itu tersenyum. Mata
coklat itu juga tersenyum. Dan Nur Husna mengukir senyum mencipta angan dan
harapan lagi.
Comments
Post a Comment