E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 6 - Keliru

6: KELIRU
Sedari pagi tadi, perhatian Nur Husna dipegunkan pada satu arah. Sedari lelaki itu menjejakkan kakinya di situ, Nur Husna membisu kata tidak percaya. Tidak banyak kata, Nur Husna hanya menurut segala arahan Puan Senah melayani tetamu yang sudah lama dinanti kunjungannya tapi tidak menyangka orang yang dinanti itu dia. Mulut becoknya jadi kelu mahu berkata apa-apa. Pagi ke tengahari dan hari sudah berganjak petang. Lelaki itu pula begitu, tidak menyapa malah berkata ‘hai’. Seolah-olah mereka tidak kenal. Kerana itu Nur Husna rasa seperti tidak percaya membuatkan pandangannya terus-terusan dipakukan pada lelaki itu. Memastikan matanya tidak silap melihat. Di fikirannya usah ditanya, terlalu sesak dengan desakan persoalan yang menyerbu.
Diakah orangnya? Bukankah dia sudah berpunya? Punya zuriat lagi. Mungkinkah lelaki ini duda beranak satu? Kerana itu mahu mencari calon isteri untuk kebaikan anaknya. Atau mahu menambah cawangan yang kedua. Tapi mengapa tidak dinyatakan dalam kertas biodatanya jika benar itu hakikatnya? Lebih anehnya, seingat Nur Husna wajah jejaka itu lain benar miripnya dengan gambar yang pernah dilihat Nur Husna. Orang yang samakah? Atau Nur Husna salah teka.
Nur Husna didesak lagi dengan soalan lain. Adakah dia memang sudah tahu Nur Husna calon isterinya sedari awal pertemuan mereka? Jika benar, mengapa tidak pernah sekali dia suarakan hal itu setiap kali mereka bersua muka. Seolah-olah tiada apa-apa. Nur Husna merasakan calon yang ini sahaja yang aneh. Kerana Razman, Ammar, Muiz mahupun Badrul acapkali juga menyapa setiap kali bertemu dan bertanyakan hal Nur Husna. Seperti cuba memikat hati Nur Husna kononnya. Terutamanya Badrul. Lelaki itu lebih ketara usahanya mahu memenangi hati Nur Husna agar dia menjadi pilihan bakal suami Nur Husna. Tapi Nur Husna sentiasa sopan menjawab dan sering ingatkan. Pilihan keluarganya adalah pilihannya kerana Nur Husna tak mahu lelaki itu terlalu meletakkan harapan yang tinggi untuk memilikinya.
Nur Husna bukan tidak tahu. Calon-calon Nur Husna cuba mendekati Nur Husna bukan sekadar mereka itu tercalon bakal suaminya, tapi syarat yang dikenakan Rozaimah juga. Buatkan Nur Husna jatuh hati pada mereka supaya mudah ahli keluarga lain mahu buat keputusan siapa pilihan mereka kelak. Walaupun sememangnya ahli keluarga Nur Husna yang akan buat keputusan, tapi keputusan bergantung juga pada respon Nur Husna pada calon-calonnya. Jika ada yang sudah tersangkut di hati Nur Husna, itu lebih mudah. Nur Husna sendiri pening dengan ragam ahli keluarganya, terutama Rozaimah dan Puan Senah. Ada sahaja syarat dan rancangan yang direncanakan.
Berbalik kepada jejaka ini, Nur Husna bukan kemaruk sangat mahu dia turut menunjukkan diri cuba memenangkan hati Nur Husna. Sekurang-kurangnya, mereka yang lain mencuba. Tapi lelaki ini, dingin sahaja sepanjang pertemuan mereka. Tiba-tiba sahaja memunculkan diri di teratak kayu ini. Nur Husna sangat kesal dengan dirinya kerana tidak pernah perasankan lelaki ini ketika pertama kali bertemu. Mana mungkin Nur Husna perasan, wajahnya berbeza sekali daripada gambar yang pernah dilihat Nur Husna.
“You dah fikir siapa calon pilihan you?”
Tiba-tiba persoalan itu terngiang-ngiang di tepi telinga Nur Husna. Jadi, itukah maksudnya? Dia mahu sampaikan dirinya salah seorang calon pilihan Rozaimah. Jika benar, mengapa tidak berterus terang sahaja? Mengapa buru-buru pergi setelah persoalan itu diutarakan kepada Nur Husna, meninggalkannya terpinga-pinga dengan soalan yang tidak difahaminya?
Peristiwa dua minggu lalu kembali menerjah ingatan. Atau mungkinkah sebenarnya lelaki ini tidak rela? Mungkin kerana paksaan daripada uminya, sebab itu dingin sahaja riak wajahnya setiap kali bertemu muka? Mungkin persoalan itu ditanya kerana berharap dia bukan pilihan Nur Husna. Nur Husna masih ingat lagi pertama kali bertemu mata dengan lelaki ini, masamnya mengalahkan mangga putik.
Nur Husna tiba-tiba menyentuh dahinya. Otaknya terasa berdenyut kerana terlalu banyak yang difikirkan dalam satu masa. Hatinya terasa tidak sedap. Calon yang paling ditunggunya ternyata tidak mengujakan. Malah terasa seperti ada yang tidak kena. Seolah ada yang disembunyikan. Benarkah lelaki ini, dia orangnya? Azami Norhakim itu adalah dia. Jadi tujuan sebenar dia di sini, untuk apa sebenarnya? Mahu menarik diri daripada menjadi calon suami Nur Husna? Atau menyampaikan kebenaran dia itu duda atau mahu pasang cawangan lain. Kerana itu tidak pernah mengaku kepada Nur Husna dia itu Azami Norhakim. Kalau itu kebenarannya, sungguhlah itu penyesalan terbesar Nur Husna memilih dia salah seorang calonnya. Sekarang juga Nur Husna akan singkirkan dia. Nur Husna tak peduli kalau ada tentangan dari keluarganya. Keputusannya muktamad. Wajah lelaki itu kembali dipandang.
“Ateh, jaga mata. Tengok orang macam nak terkam.”
Nur Husna ditarik kembali ke dunia realiti saat Puan Senah menepuk lembut pahanya. Baru Nur Husna sedar, semua mata sedang terarah padanya kecuali dia yang sedang membuang pandang ke arah pintu yang terbuka luas menikmati pandangan luar rumah. Masing-masing mengukir senyuman sumbing penuh makna dan harapan. Tapi Nur Husna tidak terpengaruh dengan senyuman itu, pandangannya kembali memandang lelaki itu. Fikirannya masih bermain-main dengan persoalan yang tidak terjawab. Lelaki itu pula hanya memandang Nur Husna sekilas sebelum menyambung perbualannya dengan yang lain. Tidak dingin tapi tiada senyuman seperti tadi. Seperti ketika dia berbual mesra dan ceria dengan ahli keluarganya yang lain. Terutamanya dengan Abang Long Fawwaz dan maknya, Puan Senah.
“Jadi Encik Azam ni Azami Norhakim?”
Akhirnya suara emasnya yang terbisu kelu disuarakan. Perhatian Azam kembali terarah ke wajah keliru Nur Husna, bertemu mata dengan gadis yang berdepan dengannya di sofa single. Kali ini wajah itu penuh kerutan, senyuman yang selalu terukir di bibir itu serius seharian ini. Nur Husna tidak melarikan anak matanya seperti selalu setiap kali bertemu mata dengan pandangan tajam lelaki itu. Tidak gentar seperti biasa kerana sekarang ini dia sangat-sangat perlukan jawaban. Lama mereka berlawan pandang sebelum Azam bersuara.
“Actually, Azami used to be my younger brother name.”
Kening Nur Husna bersatu. Tidak faham dengan ayat penyata lelaki di depannya itu. Ahli keluarganya semua mengunci mulut, membiarkan Nur Husna bersoal jawab dengan Azam tanpa gangguan.
“Maksud awak tekaan saya salah? Apa yang saya fikirkan semuanya salah?”
Nur Husna tiba-tiba terasa mahu tersenyum. Lega rasanya telahannya salah belaka. Azam itu Azam bukan Azami. Hanya kebetulan hampir sama namanya. Ya, nama juga adik beradik. Tapi kenapa digunakan perkataan ‘used’.
“Apa yang you fikirkan?”
“Tak penting. Yang penting, bukan awak bakal suami saya kan? Adik awak kan?”
Perhaps.”
Kali ini Nur Husna benar-benar menghembus nafas lega. Benarlah salah kata hatinya tadi. Tak ingin Nur Husna menjadi isteri kedua Azam. Kalau tak isteri kedua sekali pun, Nur Husna tetap tak mahu. Mungkin Azam duda, tapi kerana bercerai. Bekas isterinya masih hidup. Lainlah Badrul, lelaki itu duda kerana isterinya sudah meninggal. Azam pula, Nur Husna tidak tahu. Walaupun Nur Husna sangat tergugat kalau Qalbi yang masuk campur. Nur Husna menggeleng-geleng kepalanya, mengusir fikirannya yang sudah ke situ. Mengapa Azam pula yang difikirkan. Biarlah lelaki itu dengan hidupnya. Yang penting, bukan Azam orangnya.
Nafas lega dihembus lagi. Penat sahaja memerah otak mahu menyelesaikan persoalan di fikirannya. Mahunya dia tidak salah teka. Kata Puan Senah, Azami Norhakim akan datang petang ini. Nur Husna jadi teruja tanpa sebab, kerana Azami Norhakim merupakan orang yang paling dia mahu bersua muka. Katanya, datangnya sengaja mahu bersilaturrahmi. Lagipun sudah sering kali dijemput Puan Senah untuk datang ke rumah selain mahu bertemu Fawwaz, teman lama yang hanya berhubung melalui talian sahaja.
Tapi..
Hati Nur Husna masih tidak sedap. Ketenangan yang sekejap cuma tadi mula dilanda gelisah dan walang sekali7 lagi. Apatah lagi memikirkan semula jawapan Azam tadi. Apa maksudnya mungkin? Kenapa tidak dijawab ya ataupun tidak? Kenapa mesti satu perkataan yang padanya bercampur pelbagai kemungkinan. Dan itu menyebabkan Nur Husna semakin tidak faham. Hatinya panas tiba-tiba. Nur Husna rasa dipermainkan. Sudahlah dia penat memerah otak dari pagi tadi, lelaki ini pula seperti hendak tak hendak menjawab pertanyaan Nur Husna. Kesabarannya terasa menipis tanpa sebab.
“Maksud Encik Azam? Tolonglah encik, saya tak suka encik berbelit-belit macam ni. Susah sangat ke nak berterus terang? Ataupun encik sengaja nak main-main dengan saya. Kalau itu niat encik, encik baliklah. Menyakitkan hati sahaja!”
Kan Nur Husna pernah cakap, kalau Nur Husna mula tak sukakan seseorang beginilah lakunya. Cepat marah dan tidak sabar. Sikap cepat melatahnya ini semakin menjadi-jadi lepas Nur Husna kemalangan. Mudah sensitif tanpa sebab. Jika tidak kena emosinya seperti sekarang, tak ada lagi mahu berlembut dan sopan-santun selain bersuara tinggi dan kasar. Air mukanya tegang dan ronanya berubah merah menahan marah.
“Ateh, jaga suara. Mak tak ajar bercakap tengking macam ni.”
Puan Senah sudah beri isyarat supaya Nur Husna jangan menunjukkan perangai kasarnya di depan tetamu mereka.
“Tak apa mak cik. Orang dilanda curiga dan tertanya-tanya memang macam ni. Tak sempat nak berlembut walaupun depan bakal suami sendiri. Apalah nasib suami dia ni nanti, hari-hari kena herdik.”
Sinis. Tapi ahli keluarga Nur Husna menyambut kata-kata Azam dengan ketawa. Entah apa yang lucu Nur Husna tidak tahu. Yang Nur Husna tahu, dia semakin keliru. Azami Norhakim, calon bakal suaminya itu, adik kepada lelaki di depannya ini atau tuan badannya sendiri? Kenapa berkias segala kata-katanya? Nur Husna tak faham. Dia tak pernah berlajar sastera, jadi dia memang tak faham.
“Encik Azam!?”
Nur Husna tak tahu kenapa. Tapi dengan lelaki ini, cepat sahaja kesabaran Nur Husna menipis senipis kulit bawang. Nur Husna tak suka lelaki ini cuba memainkan watak sinis dan humor pada bukan masanya.
“Okey sweet girl, Janganlah marah. Jatuh saham nak jadi bakal isteri. Let’s say Nur Husna, my younger brother is Azami Norhakim. And the owner of the name will be your future husband. Got it?”
Sekali lagi, Nur Husna semakin keliru. Seperti mahu meletup dadanya ketika ini. Tambahan lagi terpandangkan lirikan dan jungkitan bibir yang sinis daripada Azam. Nur Husna memalingkan wajahnya, matanya dipejam menahan kesabaran yang semakin menipis.
Kali ini wajah ahli keluarganya pula dipandang satu persatu dan silih berganti. Berharap ada penjelasan daripada mulut mereka sendiri. Rasa ragu-ragunya semakin menebal apabila menyedari keluarganya tidak menunjukkan reaksi aneh sepertinya. Mereka seperti tidak terkejut Azam itu bukan Azami Norhakim. Kerana layanan mereka yang mesra menyambut tetamu yang diundang tapi tidak sangka tetamu itu dia, pastilah Nur Husna yakin yang Azam itu Azami Norhakim. Sudah tiada yang bertanya akan hal itu. Lagilah Nur Husna menanam syak wasangka dalam hatinya.
“Ateh, kan Azami – Eh, maksud ibu Azam..” Puan Senah memandang Azam sekilas sebelum beralih ke arah Nur Husna yang mencuka sekali air mukanya. “Kan Azam dah cakap, Azami itu adiknya. Jadi, Azamilah bakal suami Ateh nanti. Kenapa perlu ragu-ragu? Sudahlah Ateh, kenapa nak tegangkan sesuatu yang belum pasti. Mak dengan yang lain belum buat keputusan lagi kan. Tak perlulah marah-marah macam ni. Kita nak kenal dengan keluarga calon suami Ateh saja. Jangan marah ye Ateh, mak tak suka Ateh tanya soalan macam tu. Azam tetamu kita. Tak sopan.”
“Okey, Ateh minta maaf. Tapi Ateh tak puas hati kenapa mesti Encik Azam yang datang sedangkan calon Ateh itu Azami. Dan kalau betul apa yang mak cakapkan adik Encik Azam itu orangnya kenapa Encik Azam tak berterus-terang saja? Susah sangat ke nak cakap jelas-jelas. Sudahlah cara cakap macam hendak tak hendak, macam ada yang mahu disembunyikan. Ada yang mahu dikiaskan. Ateh tak faham. Lepas tu, kenapa semua macam dah tahu yang Encik Azam yang datang? Kenapa tak bagitahu Ateh? Mak cakap dekat Ateh pagi tadi, Azami yang nak datang? Ke semua saja tak mahu bagitahu Ateh. Along dengan Angah pun sama. –Ha Abang Long, Ateh tengok bukan main seronok dapat reunion dengan kawan lama. Maknanya Encik Azam pun kawan lama Abang Long lah?”
Bagai bertih jagung yang sedang rancak dimasak, begitulah mulut Nur Husna berbicara. Bertubi-tubi persoalan dilontarkan pada mereka di situ. Ekor matanya tajam menjeling jejaka di hadapannya, isyarat soalan itu ditujukan tepat kepadanya.
“Kalau dah berkawan dengan adik, tak akan dengan abang nak bermusuh. Apa masalah you Nur Husna? Apa yang you tak puas hati?”
Baru sahaja Fawwaz mahu membuka mulutnya mahu menjawab pertanyaan Nur Husna, suara Azam terlebih dahulu mencelah beserta dengan renungan tajam menikam wajah cemberut Nur Husna. Jelas, riak Nur Husna sangat keliru. Suasana yang tadinya ceria dengan kemesraan antara mereka berubah tegang semenjak Nur Husna bersuara dengan soalan sinisnya. Nur Husna bersabung mata dengan renungan Azam. Kedinginan sangat terasa antara mereka berdua.
“Macam mana saya nak puas hati sedangkan hati saya sangat kuat mengatakan ada yang tak kena semenjak Encik Azam jejakkan kaki dekat rumah ni. Cara Encik Azam sendiri jawab soalan saya lebih buatkan saya semakin tak puas hati. Bagitahu saya macam mana saya nak puas hati kalau semua nak main sembunyi-sembunyi dengan saya. Kenapa? Yang nak kahwinnya saya, hak saya untuk tahu segala yang berkaitan dengan saya. Atau Encik Azam berpakat dengan keluarga saya untuk belakangkan saya?”
“Err, Ateh...” Yang lain mula mahu tenangkan Nur Husna. Nampaknya mereka salah hari menjentik Nur Husna bukan pada waktunya. Sepatuh Nur Husna sekalipun, bila ada yang tidak kena di hatinya, beginilah dia. Sinis dan suka bertanya banyak soalan. Dia tidak kisah jika soalan itu menyinggung yang lain atau tidak.
“Apa yang I cakap semuanya betul Nur Husna. You sahaja yang tak faham. Atau you sebenarnya kecewa. Sebab orang yang you tunggu tak datang? You harapkan Azami tapi I yang datang sebagai gantinya. Maklumlah, apa yang I dengar daripada Fawwaz, you dah jatuh cinta pandang pertama dengan Azami waktu tengok gambar dia. Mak you pun cakap, you ni lebih berminat kalau soal Azami yang dibincangkan, kalau calon you yang lain you endah tak endah sahaja. Jadi, bila tak nampak batang hidungnya you nak melenting. Am I right Nur Husna?
Pipi yang tadinya berona merah biasa-biasa, laju diserbu darah merah memenuhi wajah. Merah terang bak isi delima masak. Entah kerana malu mahupun sedang marah. Bibirnya terkunci, kepala tidak lagi mampu diangkat selain menekur lantai yang berlapik permaidani, apatah lagi mahu bertentang mata dengan Azam yang semakin galak menikam wajahnya.
“Nur Husna...” Setelah sepuluh minit hanya kebisuan memenuhi suasana hening antara mereka, lembut suara Azam memanggil Nur Husna yang masih menunduk. Gemersik yang pertama kalinya pernah menyapa pendengaran Nur Husna. Jantung Nur Husna tiba-tiba bagai dipalu rentak bunyinya. Aneh..
I sebenarnya tak faham, kenapa you marah sangat I datang sebagai wakil keluarga I. Umi I tak dapat datang. Azami pula...”
Azam tiba-tiba menghentikan bicaranya. Serentak itu, Nur Husna mengangkat kepalanya bersabung mata dengan Azam sekaligus membuka pekung di dadanya. Serkap jarang Azam hampir betul mengena. Hati yang tak pernah disentuh oleh siapa-siapa itu ternyata sedang dipeluk rasa yang dia sendiri tidak pernah sedar.
“Azami tak ada di sini untuk masa sekarang. Dia ada urusan kerja. Maaf bagi pihak Azami tidak dapat pulang dalam waktu terdekat. Dia pergi pun tiba-tiba sahaja. I datang ni sebab umi suruh juga I datang hari ni. Sebab dah selalu sangat tangguh. Sebenarnya umi dah lama nak datang. Cumanya tak berkesempatan. Kalau you ragu-ragu fasal I dengan Fawwaz, I tak tipu. Kami memang kawan rapat dari zaman kolej.”
“Termasuk Azami...” Potong Nur Husna akan bicara Azam. Cuba meyakinkan diri dengan apa yang didengar. Kali ini lebih perlahan suaranya, hampir tidak dengar. Mujur mata Azam sangat peka dengan gerak bibir Nur Husna.
“Ye, termasuk Azami. Kami memang satu kolej. So, mind to share? Kenapa you marah sangat dekat I?”
Kali ini suara Azam benar-benar lembut menyapa. Air mukanya juga tiada langsung riak dingin yang sering ditunjukkan lelaki itu. Renungannya yang sentiasa tajam, kelihatan lembut dan penuh kasih sayang. Kasih sayang? Mengapa itu pula yang terasa di hatinya. Ah, mustahil itu. Nur Husna tiba-tiba diserbu rasa malu, hangat pipinya berona merah jambu. Segera dilarikan anak matanya, kotak suaranya dibetulkan dengan deheman kecil. Amarah yang tadinya menguasai dirinya entah ke mana pergi. Tiba-tiba sahaja diulit rasa sejuk mengusir panas di hati mendengarkan suara Azam yang begitu. Seperti sedang memujuk dan Nur Husna terpujuk?
“Nur Husna?”
“Er, saya.. saya minta maaf. Saya sedar kelancangan mulut saya. Tapi, saya rasa tertipu. Saya tak tahu siapa yang menipu. Tapi saya rasa ada yang tidak kena. Ada yang tak betul. Tapi macam semua mahu mengunci mulut. Encik Azam pula berbelit kata yang saya tak faham. Walaupun keputusan siapa bakal suami saya belum ditentukan, tapi kalau Azami pilihannya bagaimana? Suka sahaja tidak cukup Encik Azam. Ini soal kehidupan saya yang akan datang. Saya tak mahu perjudikan kehidupan saya pada sesuatu yang disembunyikan. Biarlah hubungan yang terikat nanti terbina dengan baik. Saya siap bongkarkan siapa saya kepada bakal pasangan saya, saya harap begitu juga di pihak sebaliknya. Jika benar dia calon bakal suami saya, hak saya untuk tahu tentangnya. Sekali lagi, maafkan saya Encik Azam. Sakit hati saya tidak kena tempatnya. My bad.”
Begitulah Nur Husna, cepat marahnya cepat juga sejuknya jika kena dengan orang yang bijak berlembut kata dengan Nur Husna. Mereka yang lain masing-masing menghembuskan nafas lega. Telahan mereka Nur Husna tidak banyak songeh kalau hal yang berkaitan calon bakal suaminya ternyata meleset sama sekali. Nur Husna sangat ambil berat akan hal itu. Cumanya tidak terlalu ditunjukkan. Sekarang sudah terang di depan mata mereka, Nur Husna lantang bersuara untuk sesuatu yang berkaitan dengannya. Namun hakikatnya, respon Nur Husna itu tidak langsung mengundang negatif di benak mereka. Masing-masing mempamer senyum lebar sebagai tanda sepakat. Langkah seterusnya akan diambil.
You akan tahu segala-galanya tentang siapa bakal suami you Nur Husna. Andai Azami dan Nur Husna itu ditakdirkan berjodoh, saya berani janji, you akan tahu segala-galanya tentang lelaki bernama Azami Norhakim.”
Terhenti nafas Nur Husna saat terpandangkan senyuman manis yang tertampal ikhlas di bibir nipis Azam. Pertama kalinya. Senyuman yang tidak pernah ditunjukkan kepada Nur Husna sepanjang perkenalan mereka. Nur Husna bagai berada di dunianya sendiri hingga tidak sedar kaki Azam sudah diatur meninggalkan ruang tamu mereka. Ahli keluarganya yang lain juga sudah mengangkat punggung membontoti Azam hingga ke luar rumah. Jika tidak dipanggil Puan Senah, pasti Nur Husna akan tetap di tempatnya hingga Azam sudah memandu pergi meninggalkan perkarangan mahligai ini.
“Azam panggil tu. Dia dah nak balik.” Jelas Puan Senah sekali lagi apabila Nur Husna menunjukkan wajah terpinga-pinganya.
Sedar dirinya ditunggu tetamu yang sudah berdiri di Proton Perdananya, cepat-cepat Nur Husna turun menyarung selipar mendekati Azam. Fawwaz yang sedang berbual dengan Azam bergerak menjauhi Azam dan Nur Husna menyertai keluarganya yang lain yang agak jauh jaraknya dari mereka. Seperti mahu beri peluang pada Azam berbual lanjut dengan Nur Husna secara sendiri sambil dipantau dari jauh sebelum lelaki itu bergerak pulang.
“Apa?” Tegur Nur Husna apabila Azam hanya terus-terusan merenung Nur Husna tanpa berkata apa-apa. Puan Senah cakap Azam panggil Nur Husna tadi. Ni sudah di depan mata diam pula dia.
“Kalau Azami yang datang merisik, apa yang akan you jawab?”
Nur Husna terpana dengan pertanyaan Azam. Terbuka tutup mulut Nur Husna seperti teragak-agak jawaban apa yang seharusnya diberi.
“Jawaban saya sama seperti apa yang keluarga saya putuskan buat saya.” Jawaban selamat. Jawaban yang sentiasa diberikan kepada Badrul setiap kali lelaki itu bertanyakan kata putus daripada Nur Husna.
I nak dengar jawaban dari you. Bukan keluarga you.”
“Apa yang keluarga saya jawab, itulah yang saya jawab.”
“Nur Husna...” Meleret suara Azam dengan jawaban acuh tidak acuh daripada gadis itu. Serinya tadi sudah berubah serius. Tertelan air liur Nur Husna melihat perubahan riak Azam. Encik Azam dah kembali perangai asalnya. Dah manis senyuman tu, kenapa dingin balik. Kedekut betul.
“Datang dulu, baru tahu apa saya jawab.”
Really?” Azam menguji kesungguhan jawabannya tadi.
“Sungguhlah. Encik Azam cakap nak datang merisik kan? Kalau saya menolak maknanya saya atau keluarga saya sudah pilih yang lain. Jangan salahkan kami andai itu jawabnya nanti. Bukankah Kak Rozaimah dah cakap awal-awal, kalian hanya calon. Boleh jadi terpilih, boleh jadi tidak. Jadi jangan terlalu letakkan harapan yang tinggi. Tak begitu? Andai tak jadi, tak bermaksud kami mungkir janji. Mak tu suka bersilaturrahim. Suka kenal-kenal orang. Mak dan Kak Long pilih cara ni sebab arwah ayah memang ajar macam ni. Kenal saudara baru, kenal kawan baru, kenal kenalan baru, kenal keluarga baru. Ramai kenalan itu banyak kebaikannya. Nabi SAW ajar suruh sebarkan salam dengan orang tidak kenal sekalipun.[1] Bermaksud perlu sangat menjalinkan persaudaraan sesama umat Islam. Itu apa yang arwah ayah ajar. Lagipun, kalau tak jadi suami saya pun nanti. Percayalah Encik Azam, semua calon-calon ni akan jadi anak angkat kesayangan mak. Mak akan layan kalian mengalahkan anak sendiri. Tunggulah, tiap-tiap minggu dia suruh datang rumah. Kalau tak, dia sendiri yang pergi rumah korang. Haa, baru tahu nanti siapa Puan Senah tu. Mak kandung korang akan jadi mak tiri.”
Ketawa mereka bergabung mendengarkan celoteh Nur Husna bebelkan sikap Puan Senah yang pantang benar dapat kenal dengan anak muda sebaya anak-anaknya. Tak akan terlepas dalam senarai anak angkat Puan Senah. Lagi-lagi kalau berkaum Adam. Tahu sajalah apa yang dibuat.
“Kalau jawaban sebaliknya?” Azam menduga lagi. Matanya tidak lepas langsung memandang wajah Nur Husna. Nur Husna mengherotkan bibirnya, perlahan kepalanya menunduk memandang hujung selipar. Pipinya sekali lagi panas dengan darah yang menyerbu untuk berkumpul di situ.
“Kalau jawaban sebaliknya, macam Encik Azam cakap tadi. Andai Azami Norhakim dan Nur Husna itu ditakdirkan untuk berjodoh, maka itulah yang sudah tersurat.”
I lebih suka jawaban yang ini. Azami, dia meletakkan harapan pada penjodohan ini. I benar-benar harap inilah jawabannya nanti.”
Mendengarkan kata-kata Azam, senyuman Nur Husna semakin memudar. Dia tersedarkan sesuatu. Kekurangan dirinya dan siapa Azami Norhakim. Ikhlaskah dia mahu menerima Nur Husna hingga meletakkan harapan yang begitu?
“Azami... dia tahu kekurangan saya?”
Teragak-agak Nur Husna melontarkan persoalan itu. Wajah Azam dicuri pandang daripada ekor matanya. Mahu melihat reaksi lelaki itu. Azam pula hanya menjungkitkan hujung bibirnya ke sisi. Kelihatan sinis tapi seperti mahu mengusik juga ada. Dengan kenyitan mata yang tiba-tiba lagi. Apakah? Tiba-tiba Nur Husna rasa Azam di depannya bukan Azam yang dia biasa temui.
“Dia tahu. Sebenarnya, Azami punya citarasa yang sangat tinggi. Dia seorang yang sempurna. Jadi dia pernah punya angan mahu isteri yang sempurna untuk berdiri di sisinya.”
Hati Nur Husna tergores. Rasa rendah dirinya semakin merantai dirinya.
“Jadi kenapa dia masih mahu beri harapan dia yang dipilih kalau dia sudah tahu saya tidak sempurna. Kesihatan saya juga tidak berapa baik.”
Kepalanya terus ditunduk ke bawah, sayu wajahnya kerana kecewa yang tidak pandai diselindungkan mendengarkan apa yang dimahukan Azami. Nur Husna tahu keputusan belum dibuat, tapi dia juga tidak tahu mengapa hatinya berasa seperit itu.
“Umi suruh. Sebab umi paksa, dia bagi syarat. Dia nak bakal isterinya benar-benar layak untuk jadi isteri dia baru dia terima untuk teruskan. –Pedulikan dia Nur Husna. Dia memang degil. Umi pun tak pedulikan syarat dia tu.” Bertambah-tambah calar yang tergores di hatinya.
“Saya boleh tolak kalau dia mahukan begitu –”
No, it’s okay Nur Husna. Don’t be so sad, sweet girl. Why not you try to prove yourself to him first? I rasa you tak adalah teruk sangat. Tunjukkan dekat dia, you boleh jadi lebih baik daripada sekarang. Kalau dia jaja you tak ada kelayakan untuk jadi isteri dia sebab you tak ada ciri-ciri seorang isteri. Then, bearing out that you have the qualification to be his wife. There's still lots of time. Don’t worry okay?”
“Encik Azam ni beria sangat macam saya dah buat keputusan je.” Nur Husna melepaskan ketawa hambar cuba menutup kecewa di hatinya.
I know you like him Nur Husna.
Mata Nur Husna membesar. Memang benar-benar tertulis di wajahnyakah? Wajah Nur Husna semakin berubah terang rona merahnya.
“Jadi, jangan putus asa okey. Sampai waktunya nanti, I benar-benar harap jawaban positif daripada you Nur Husna. Jawaban yang you sendiri putuskan, bukan keluarga you. – Oops, got to go now. Qalbi is waiting for me. So, I’ll see you around then. Bye Nur Husna. Assalamualaikum.
Sempat Azam mengenyitkan matanya kepada Nur Husna setelah mengangkat tangan kepada keluarganya berpamitan sebelum memboloskan diri ke dalam perut kereta. Berkepul-kepul debu tanah berterbangan seiring pacuan empat tayar itu dipandu pergi.
Perlahan senyuman kecil terukir manis di bibirnya tanpa sedar. Kepalanya digelengkan tidak percaya dengan sikapnya seharian ini. Pasang surut yang jelas ketaranya. Angin monsunnya boleh berubah menjadi bayu sepoi-sepoi bahasa hanya kerana seorang lelaki itu. Dadanya yang berubah rentaknya disentuh perlahan. Rasa yang tak pernah dirasai seumur hidupnya, mengapa hadir ketika berdepan dengan dia. Senyumannya sedikit memudar tiba-tiba. Dia itu Azam, bukan Azami Norhakim. Bukankah Azami Norhakim yang kau harapkan belakangan ini Nur Husna.
Nur Husna berpaling mahu segera masuk ke rumah, malas mahu berfikir panjang tentang itu. Lagipun ianya tidak penting. Langkahnya tiba-tiba terhenti melihatkan ahli keluarganya sedang bersilang tangan di dada semuanya bersama senyuman mengusik masing-masing tertampal di bibir mereka. Terangkat kening Nur Husna melihatkan laku mereka itu.
“Apa?”
“Mak, Along rasa kita dah boleh buat keputusan ni.” Rozaimah memandang Puan Senah dengan ketawa kecilnya.
“Haah mak. Angah pun setuju. Tak sabarnya nak makan nasi minyak.” Maisarah juga menambah rencah menyokong dengan saranan kakak sulungnya.
“Fawwaz dengan Faiz boleh uruskan hal lain. Termasuk belikan set Al-Quran, alat solat dan buah tangan sebagai tanda keputusan calon sudah diputuskan dan hubungan akan disambung sebagai saudara rapat untuk sering bersilaturrahim. Tak dapat ikat sebagai keluarga besan tak bermaksud kena putus saudara betul tak mak?”
Fawwaz turut melontarkan perbuatan yang pernah diajarkan arwah bapa mentuanya, Tuan Yusuf. Sikap Tuan Yusuf yang sangat tinggikan sopan-santun jika mahu memberikan khabar yang sebaliknya kepada sesiapa sahaja. Tuan Yusuf juga pernah melakukan cara itu ketika mahu menolak permintaan teman jauh yang mahu jadi rakan kongsi Tuan Yusuf menguruskan ternakan lembu dan kambingnya. Walaupun tidak ada pada adat, tapi itulah cara Tuan Yusuf mahu menolak sesuatu, menyampaikan khabar yang mengecewakan dan juga sebagai tanda persaudaraan tetap terikat antara mereka. Malah, ketika mahu mencarikan jodoh untuk Maisarah juga begitu dulu. Cumanya calonnya hanya dua. Jadi, tidak terlalu pening kepala seperti situasi Nur Husna.
“Boleh sangatlah tu. Mak dah lama tunggu nak buat keputusan. Jomlah masuk dalam. Boleh bincang panjang lagi.”
Semua membontoti Puan Senah ke dalam rumah sambil berceloteh berbincang masa depan Nur Husna tanpa pedulikan tuan badannya yang berdiri kaku di luar rumah.
Erk? Cepat sungguh keluarganya itu buat kerja.

[1] Dari Ibnu ‘Umar RA “Ada seorang yang bertanya kepada Rasûlullâh SAW, ‘Wahai Rasûlullâh SAW, Islam yang bagaimanakah yang paling baik ?’ Beliau SAW menjawab : “Engkau memberi makan dan engkau mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenal maupun yang tidak kenal.”

Terima kasih | Jangan lupa komen :D

Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!

Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan