E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 7 - Tertanya-tanya
7: TERTANYA-TANYA?
Semenjak kedatangan Azam ke rumahnya
tempoh hari, Nur Husna tak dapat menahan bibirnya dari terus-terusan tersenyum.
Kerana semenjak daripada peristiwa itu juga, tiada lagi riak dingin yang
terpamer pada wajah Azam yang menyapa Nur Husna setiap kali bertemu di Pusat
Asuhan Darul Sakinah. Membuatkan Nur Husna semakin berseri-seri setiap kali
bersua muka dengan Azam, kerana lelaki itu semakin pandai bergurau mengambil
hatinya dan tak kurang juga semakin kuat menyakat orangnya. Malah, semenjak itu
juga batang hidung Azamlah yang sering muncul untuk menghantar Qalbi ke Darul
Sakinah. Berbeza dari sebelumnya, boleh dibilang dengan jari sahaja berapa kali
mereka bertemu kerana tugas menghantar Qalbi ke situ sering diambil alih oleh
Puan Rosnah.
Nur Husna sendiri tidak tahu mengapa
mendadak sekali perubahan karakter lelaki itu. Anehnya, dengan Nur Husna sahaja
Azam bersikap begitu. Kalau datang rakan sekerjanya yang lain datang menyambut
Azam dan anaknya, bukan sahaja senyuman tidak ditayangkan, pandang pun tak
mahu. Gara-gara itu juga, puas Nur Husna menepis segala usikan yang Azam itu
punya hati dengan Nur Husna. Tersentak jugalah hatinya saat pertama kali
mendengarkan seloroh dari mulut Kak Zaitun. Entah dari mana datangnya auta itu
hingga boleh dijadikan gosip hangat di Darul Sakinah.
Tapi mustahil sekali, Azam itu kan bakal
abang ipar Nur Husna. Eh, dah setuju ke? Dah datang ke rombongan merisiknya?
Er.. er.. er.. Arh, pokoknya mustahillah Azam itu sukakan Nur Husna. Lelaki itu
sudah berumah tangga, punya anak lagi. Jadi, Nur Husna hanya pekakkan
telinganya setiap kali gurauan tak berasas daripada rakan sekerjanya semakin
melampau mengusik.
Tapi, lain pula sikap lelaki itu hari
ini. Walaupun sikap dinginnya tidak pernah ditunjukkan lagi setelah peristiwa
itu, namun senyuman Azam hambar sekali pagi ini. Qalbi terus diserahkan kepada
Nur Husna tanpa banyak cakap selain bertanyakan keberadaan Puan Iffah. Selepas
mengiringi Azam ke bilik Puan Iffah, lelaki itu hanya mengucapkan terima kasih
dan terus masuk ke dalam. Mahu ditanya, nanti dikata sibuk menjaga tepi kain
orang pula. Jadi, lebih baik Nur Husna terus ke atas menyambung kerjanya yang
sedia menanti.
Ketika mana Nur Husna sibuk uruskan Sara;
anak asuhannya yang baru sudah dimandikan, Kak Maisarah datang memaklumkan Puan
Iffah mahu bertemu dengannya. Segera Nur Husna menyudahkan kerjanya lalu
disuruh Sara menyertai yang lain bermain di tingkat bawah. Bilik Puan Iffah
dituju, serentak itu Nur Husna bertembung dengan Azam yang baru keluar
meninggalkan bilik Puan Iffah. Tergesa-gesa sekali langkahnya meninggalkan situ
hingga tidak perasankan Nur Husna yang tidak jauh mana jaraknya. Tangan Nur
Husna sudah diangkat, mulut juga sudah dibuka mahu memanggil, tapi melihatkan
susuk Azam sudah hilang dipadamkan sahaja niatnya lalu mengetuk pintu bilik
majikannya.
“Masuk.”
“Puan cari saya?” Baru sahaja pintu
dibuka, langsung Nur Husna tanyakan tujuan dia dipanggil ke bilik Puan Iffah.
Jarang sekali pekerja-pekerja di situ dipanggil menghadap hingga ke dalam bilik
Puan Iffah melainkan jika ada perkara yang benar-benar penting. Tiba-tiba rasa
cuak bergayut di hati, dia ada buat salahkah?
“Duduk dulu Husna.”
Lembut sahaja panggilan Puan Iffah sambil
tersenyum. Teragak-agak Nur Husna melabuhkan punggungnya di hadapan Puan Iffah.
Benaknya disesak dengan pelbagai kemungkinan apakah dia dipanggil. Puas diperah
otaknya, jika ada kesalahan yang tidak sengaja mahupun sengaja dia lakukan
hingga berkerut-kerut dahinya.
“Hai Husna, sampai berkerut dahi tu dah
kenapa?”
Sergahan Puan Iffah membuatkan Nur Husna
hanya mampu tayang senyuman kerang busuknya. Sudah tertangkap, tidak tahu mahu
bereaksi bagaimana lagi.
“Ada apa puan panggil saya. Saya ada buat
salah ke puan? Encik Azam ada adukan apa-apa ke fasal saya? Saya ada salah laku
ke dekat anak dia?”
Nur Husna tidak mahu menuduh, tapi entah
kenapa wajah Azam yang kelat hari ni menari-nari di ruang mindanya. Malah
hatinya yakin, panggilan Puan Iffah pasti ada kena-mengena dengan Azam. Kalau
tak, mana mungkin Nur Husna terus dipanggil sejurus sahaja lelaki itu bertemu
Puan Iffah. Sudahlah lama sekali pertemuan mereka. Hampir satu jam juga. Entah
apalah yang dibincangkan mereka. Ada kena-mengena dengan Nur Husnakah?
“Ish kamu ni Husna. Ke situ pulak. Tak
baik tau sangka buruk dengan orang. Sebenarnya Encik Azam mengadu...”
“Haaa, saya dah agak dah. Mesti Encik
Azam ada mengadu yang tak baik tentang saya kan? Kenapa puan? Saya ada dera
anak dia ke? Dia tak puas hati ke cara saya jaga anak dia?”
“Kamu ni kan Husna, cuba bawa bersabar
sikit. Saya belum habis cakap lagi.”
Terkebil-kebil Nur Husna melihatkan wajah
serius Puan Iffah. Kecut juga perutnya melihatkan perubahan wajah majikannya
seorang itu. Perlahan wajahnya menunduk memandang hujung kaki serba salah
dengan lakunya tadi. Itulah Nur Husna, tak sabar langsung. Kau ingat ni dekat
rumah, suka hati kau nak mencelah cakap orang. Depan kau ni bos kau tahu!
“Maafkan saya puan.”
“Baiklah. Sebenarnya Encik Azam bagitahu
tadi, dia tak boleh hantar Qalbi minggu ni.”
“Kenapa?”
“Dia ada kerja outstation.”
“Puan Rosnah kan ada. Bukan selalunya
macam tu ke. Kalau Encik Azam tak ada, Puan Rosnah yang hantarkan?”
“Itulah masalahnya sekarang ni. Bakal mak
mentua awak tu baru keluar wad semalam sebab kena serang darah tinggi tempoh
hari. Esok pula Azam sudah perlu ke tempat kerjanya. Jadi, tak ada orang boleh
jagakan Qalbi.”
Bercantum kening Nur Husna saat Puan Iffah
membahaskan bakal mak mentuanya. Siapa pula? Puan Rosnah?
“Maksud puan, Puan Rosnah?”
“Ai, nak jadi mak mentua pun berpuan
lagi?”
Mahu tak berubah tomato wajah Nur Husna
saat diusik begitu. Jangan cakap Puan Iffah pun terkena virus gosip hangat
tentangnya yang sedang galak merebak di Darul Sakinah sekarang ini.
Tersengih-sengih Nur Husna membalas usikan Puan Iffah yang sudah tersenyum
manis itu.
“Ma, ma –mana ada puan. Eh, apa tadi. Ah,
jadinya puan nak minta tolong saya jagakan Qalbi ke? Macam mana?”
Cepat-cepat Nur Husna alihkan topik
perbualan yang sudah melencong itu. Tergelak Puan Iffah melihatkan Nur Husna
yang sudah kelam-kabut itu. Nur Husna hanya mampu menayang senyum nipis.
Iyalah, setahu Nur Husna belum dimaklumkan kepada siapa-siapa pun tentang misi
cari jodoh Alongnya itu. Apatah lagi, adik Azam itu salah satu calonnya.
Tup-tup dikatakan Puan Rosnah itu ibu mentuanya. Ini tak lain tak bukan
penangan virus gosip dia dan Azam tentunya. Ah, tak guna punya gosip. Jangan
kau jadi fitnah sudah.
“Itulah saya nak cakap. Encik Azam tu
minta tolong. Memandangkan dia tak ada, Puan Rosnah pula sakit, dia minta izin
sayaa344rt667 ambil awak bekerja di rumahnya untuk dua hari sahaja.”
“Pembantu rumah dia tak ada ke?”
Amboi kau Nur Husna, nak tolong orang pun
mengelat. Susah benar mahu minta tolong dengan kau. Apa susah, tolong sajalah
dah orang minta tolong.
“Kalau kamu nak tahu, Puan Rosnah tu
memang dari dulu lagi tak nak ambil pembantu rumah. Semua nak buat sendiri
katanya. Jadi, Encik Azam tu susah hati
nak tinggalkan Qalbi dan uminya tanpa ada yang jagakan. Cik Bella pula masih di
asrama sekarang ni. Dia cakap, nak cari pembantu rumah sekarang macam tak
sempat sebab itulah dia minta tolong ni. Boleh ke Husna?”
“Anak asuhan saya macam mana?”
“Itu tak apa, boleh bahagikan kepada yang
lain. Encik Azam sanggup bayarkan dua kali ganda gaji kamu kalau kamu setuju.”
Terbuntang mata Nur Husna mendengarkan
tawaran itu. Terdesak benar Azam sampai begitu tawarannya. Nur Husna menggeleng
perlahan sambil tersenyum.
“Tak perlulah sampai macam tu puan.
InsyaAllah saya boleh je nak bantu. Kalau puan dah cakap macam tu, tak akanlah
saya nak bantah pula. Macam mana kerja saya dekat sana?”
-----
Sementara menanti pintu pagar dibuka
untuknya, matanya bersiar menikmati permandangan di kawasan taman perumahan
itu. Taman yang selayaknya didiami oleh mereka yang berharta itu diperhatikan
dengan penuh rasa kagum. Lihat sahaja struktur binaan setiap rumah di situ;
banglo semuanya. Ada yang dua dan ada juga tiga tingkat. Terdetik di hatinya
untuk punya rumah seperti ini suatu hari nanti. Entah tercapai entahkan tidak,
bertahun-tahun tentunya mahu merealisasikan angan kosongnya itu.
Lebih buatkan hati Nur Husna memasang
angan untuk berumah di situ melihatkan persekitaran yang dikelilingi dengan
flora yang menghijau, ditambah lagi membayangkan dirinya akan diulit bayu
dingin dan segar setiap hari kerana kawasan perumahan ini dibina di kawasan
bukit bukau. Disajikan dengan lukisan alam pula. Ah, sangat segar dan nyaman.
Terhindar dari hiruk-piruk kota lagi. Pasti penghuninya sangat tenang dan
tenteram.
“Sejukkkk..”
Berdesir suara halus Nur Husna memecah
hening pagi yang masih biru gelap langitnya. Tangannya disilang di dada,
menggosok-gosok tubuhnya yang kesejukan. Manakan tidak, matahari pun belum
menunjukkan sinarnya. Baju yang tersarung di tubuh hanya baju kurung nipis,
berbawal bidang 45 dan berselempang beg silang. Manalah tahan tubuhnya yang
kurus itu dengan kesejukan hening pagi begini. Segar tapi sejuk!
“Haaashuuu..”
Ha, kan dah bersin. Itulah kau, tegar
sangat nak datang lepas Subuh. Macam kau yakin sangat dia ada. Sapu tangan
dibawa ke hidung lalu dihembus hidungnya yang mula berair.
“Seriously Nur Husna, pagi-pagi you
dah terpacak depan rumah I. Dengan pakai macam ni? Nak mati beku ke
apa?”
Kalau tak kerana Nur Husna ini kuat
semangat orangnya, sudah lama dia terjun masuk gaung saat disergah suara itu
dari arah belakangnya. Memang salam Nabi ajar waktu nak jumpa mak mentua saja
kot. Haish, tak reti-reti nak bagi salam tu dah kenapa? Sudahlah gelap-gelita,
tak ada orang lagi. Eee, geram pula aku. Jelingan tajam diberikan melihatkan
Azam masih rancak mentertawakannya. Sukalah tengok muka terkejut beruk aku
tadi.
Ketika jemari runcingnya sedang asyik
mengurut dadanya; tindakan refleks kalau jantungnya berdegup laju, terasa
bahunya memberat membuatkan Nur Husna berpaling ke sisi memandang wajah
terhibur Azam sekali lagi. Berkerut dahinya melihatkan kot hitam yang tadinya
tersarung di tubuh Azam sudah dipakaikan ke bahu Nur Husna.
“Encik buat apa ni?”
“I tak nak you pula yang
sakit. I nak pergi jauh ni. Janganlah buat I bertambah risau. Umi
sakit ni pun dah buatkan I berat hati nak pergi. Kalau tak disebabkan
umi yang paksa I pergi, jangan haraplah I nak tinggalkan umi.
Sekarang you pula selamba je datang pagi-pagi pakai nipis macam ni.
Demam siapa nak jaga? Bertambah serba salah I minta tolong you. Sorry
Nur Husna, I susahkan you ke?”
Azam yang sedang bercekak pinggang
membebel yang entah apa-apa itu langsung tidak masuk ke telinganya. Gara-gara
terlalu terharu dengan keperihatinan Azam, dadanya kembali dipegang. Jantung
yang tadinya sudah berentak biasa kembali berpalu dengan rentak irama rancak.
Dia risaukan aku? Tapi kenapa? Kita bukan siapa-siapa bukan? Oh hati, jangan
kau nak buat perangai.
“Nur Husna?”
“Ar.. Ar.. –Hah! ~Ooo, tolong
menolong. Tolong menolong. Sesama kita amalan yang mulia. Ooo, bantu membantu.
Sesama kita. Berat jadi ringan, yang susah jadi senang.~ Erk..? Tak begitu
Encik Azam –Huarr, apa aku merepek ni!”
Kerana selalu sangat dendangkan lagu
kanak-kanak berjudul Tolong Menolong; Muskhlis buat anak asuhannya. Tak sempat
menahan mulutnya, spontan itulah yang meluncur laju. Jangan ditanya mengapa.
Nur Husna juga tidak tahu. Tabiat barunya itu semakin menjadi-jadi apabila
gelabah berdepan dengan Azam. Dek malu yang teramat, segera beg sandangnya
diangkat menjadi penghadang wajahnya yang membahang. Oh Tuhan, jangan bagi aku
malukan diri sendiri!
“You ni kelam kabut la Nur Husna.
Tapi I suka. The way you are, always makes my heart flutter even more
and more. Tunggu tercabut je dari soket. What have you done to me Nur
Husna?”
“Err.. err.. apa pula saya Encik Azam.
Jangan dibiarkan encik. Nanti terlebih had laju km/jam rosak jantung tu saya
tak tanggung. Tak cukup duit tabung saya dalam bank nak ganti. Susah saya
encik.” Mata Nur Husna semakin membulat. Mulutnya derhaka!
“Apa susah. Kasilah jantung you.”
“Eh tak boleh! Matilah saya kalau encik
ambil jantung saya.”
Arrrrrr.. I hate you Nur Husna. Mulutnya
ditekup kuat-kuat mengelak daripada ianya derhaka lagi dengan repekan yang
bukan-bukan. Aduh Nur Husna! Kau dah kenapa bengong sangat ni! Kasi cerdik
sikit jawaban tu tak boleh ke!? Yang kau pun satu, pergi layan sangat mamat
sengal tu dah kenapa!? Ha tengok, ada dia kesiankan kau yang dah separuh nyawa
hilang kulit muka? Dia gelakkan kau lagi ada lah! Dah la gelak macam aku ada
buat lawak sarkas! Argghhh, stresss!
Dalam hatinya berdongkol geram dengan
diri sendiri, bagai pak turut Nur Husna melangkah juga masuk ke dalam rumah
apabila disuruh Azam yang masih bersisa ketawanya. Terhibur sungguh lelaki itu.
He must’ve enjoyed seeing the worse side of me. Huh! What a jerk!
Nur Husna terus dibawa menuju ke ruang
makan yang sudah terhidang pelbagai jenis juadah sarapan pagi. Di situ Puan
Rosnah yang masih pucat wajahnya sedang sibuk memasukkan bihun goreng ke dalam
piring. Menyedari kehadiran Nur Husna dan Azam, bibir pucatnya itu lebar
mengukir senyuman manis menyambut kehadiran mereka. Azam menyapa ibunya lalu
mendaratkan kucupan mesra di pipi wanita itu. Manis!
“Come sweetheart, duduk sini.
Sarapan dengan umi.”
Alahai, kenapa Puan Rosnah ni layan aku
macam anak dia ni? Nur Husna cuba mesrakan senyumannya agar tidak kelihatan
terlalu kekok dan tidak selesa. Sudahlah niatnya hanya mahu menyalami wanita
itu terus disambut dengan pelukan mesra. Dikucup lagi kedua pipi tembam Nur
Husna bagai melepaskan rindu. Dek tidak mahu menghampakan layanan tuan rumah
itu, Nur Husna turutkan sahaja menyambut mesra pelukan Puan Rosnah.
Baru sahaja mahu menarik kerusi di
samping Puan Rosnah, Azam terlebih dahulu mendahului tangannya menarik kerusi
tersebut lalu mempersilakan Nur Husna untuk duduk dengan lirikan mata dan
senyuman penuh budiman. Semakin merah rona pipi Nur Husna segan dengan layanan
kedua-dua tuan rumah ini. Tersipu malu Nur Husna melabuhkan duduknya sambil
memandang Azam untuk mengucapkan terima kasih dengan gerakan bibir tanpa suara.
‘My pleasure, precious.’
Sama sepertinya, jawaban turut dibalas
dengan gerakan bibir tanpa suara beserta anggukan dan senyuman manis penuh
gula. Oh tak lupa juga kenyitan mata coklatnya. Menawan! Nur Husna memegang
dadanya lagi. Aduhai pemuda rupawan, jangan kau goda hatiku yang belum pernah
ternoda buat lelaki. Lupakah kau siapa aku andai pinangan keluarga kau
diterima? Jadi hentikanlah, hatiku penat melawan rasa yang semakin terbuai
dengan arus layanan kau. Sedangkan hati aku selamanya bukan untuk kau. Senyuman
Nur Husna mula bertukar kelat setiap kali memikirkan hakikat itu dan satu nama
itu.
Azami Norhakim.
“Awal Husna datang. Mesti tak sempat
sarapan kan? Mujur umi dah siap masak. Yelah, Zam nilah. Nak sangat pergi
awal-awal. Lepas Subuh dah nak gerak katanya. Itulah kelam kabut masak awal
pagi.”
“Umi ni, Zam dah cakap kan tak payah
masak. Umi tu yang beria-ria nak masak. Kalau Zam larang pun bukan umi nak
dengar kan. Sudahlah umi tu tak sihat sepenuhnya lagi.”
Sengihan sumbing dipaksa ukir lagi.
Telinganya hanya ditadah mendengar pertengkaran kecil dua beranak itu. Entah,
jawaban apalah yang sepatutnya diberikan. Tak akanlah mahu mengaku Nur Husna
terhegeh-hegeh mahu bertemu Azami Norhakim. Itu namanya menjemput Azam untuk
membahannya dengan senang hati. Lelaki yang kuat mengusik itu, pastilah tidak
melepaskan peluang mahu mengenakan Nur Husna. Inikan pula mahu mengaku depan
ibu kandung Azami Norhakim, gelojoh benar perangai kau Husna. Tak fasal-fasal
disingkirkan terus daripada menjadi menantu pilihan.
Ya, kerana satu nama itu Nur Husna nekad
untuk mencemar duli di mahligai ini awal pagi begini. Sebut nama lelaki itu,
entah ada entahkan tidak. Sedari tadi Nur Husna sudah seperti zirafah,
memanjangkan lehernya. Matanya pula tidak duduk diam, liar memerhati kiri ke
kanan mencari-cari satu susuk yang entah bagaimana rupanya. Tapi orang yang
dinanti tak kunjung muncul. Setidak-tidaknya kalau tidak dapat berbual panjang
sekalipun, sekurang-kurangnya dapat berselisih bahu pun sudah memadai. Tidaklah
Nur Husna tertanya-tanya lagi siapa gerangan lelaki misteri itu. Tapi
sepertinya, rumah ini tiada penghuni lain selain Puan Rosnah dan Azam. Selain
Qalbi yang pastinya sedang tidur di bilik. Hurmmm.. tak ada rezekilah namanya.
Mahu bertanya, tak sopan lah pula.
“Husna, kenapa kuis-kuis bihun goreng tu.
Tak sedap ke umi masak?”
“Eh.. ar.. eh tak. Sedap puan. Ha, ni nak
bertambah lagi ni. Sedapnya puan. Bolehlah nanti Husna belajar dengan puan.”
Gelabah Nur Husna menyusun ayat apabila ditegur saat dia sedang asyik melayan
perasaannya.
“Panggil umi ye sayang. Husna kan bakal
menantu umi.”
Ha sudah. Tinggi benar harapan Puan
Rosnah ni nak jadikan aku menantu dia. Kalaulah Azami Norhakim tu tak main
sembunyi-sembunyi macam ni dah lama aku suruh mak dengan Along suruh Azami
masuk meminang awal dulu lagi. Tapi mujurlah hati aku memang tak boleh
disangkal lagi. Hanya nama itu. Walaupun aku tahu, pemilik nama itu tidak
bersungguh pun mahu memperisterikan aku yang serba kekurangan ni.
“Baik umi.”
“Haa, kan sedap dengar. Tak adalah macam
orang asing. Husna kalau lapang datanglah rumah umi. Kata nak belajar masak
bihun goreng kan. Pintu tu sentiasa terbuka untuk Husna. –Tadi kamu datang
dengan siapa?”
“Dengan jiran saya puan.. ermm, maksud
Husna umi. Long Fuad memang selalu keluar lepas Subuh sebab nak ke kebun.
Selalunya minta tolong Along atau Angah, tapi diorang dah balik ke rumah
diorang. Husna pula tak ada lesen memandu, sebab tu Husna tumpang Long Fuad.
Sudah alang-alang satu jalan Long Fuad mahu ke kebun tadi.”
Alasan yang separuh benar disampaikan.
Padahal Long Fuad tidak kisah pun sebenarnya kalau Nur Husna mahu pergi lewat
sikit. Tapi, Nur Husna itu tak pernahnya tak kelam-kabut. Entah apalah yang
dikejarkan dengan Azami Norhakim tu sampai tergesa-gesa ajak Long Fuad keluar
lepas Subuh. Sudahnya, dihantar juga Nur Husna menaiki lori Long Fuad yang
sering dibawa untuk ke kebun. Bukan tidak punya kereta, tapi sudah alang-alang
jalan untuk ke kebunnya satu arah untuk ke taman. Lebih baik naik lori saja,
tak perlulah patah balik semula ke rumahnya nanti.
“Kenapa tak cakap. Kalau tak boleh Zam
pergi ambilkan.”
“Eh, tak perlu umi. Lagipun Encik Azam
kan sibuk. Husna tak nak susahkan siapa-siapa.”
“Haah lah, lupa pula umi –“
“Eh, tak ada susahnya. Kalau Nur Husna
bagitahu Zam, dengan senang hati Zam pergi ambil tau. Kerja tu tak apa, Zam kan
bos. Tapi itulah kan. Nak buat macam mana kan umi. Dah orang tak sudi. Tak
akanlah Zam nak terhegeh-hegeh pula. – Umi, Zam nak gerak dah ni. Nak naik atas
dulu, nak jumpa Qalbi kejap. Lepas tu terus pergi.”
Nur Husna yang terkebil-kebil disindir
begitu oleh Azam hanya memerhati laku Azam menyalami Puan Rosnah dan mencium
lama dahi uminya lantas membisikkan pesanan buat Puan Rosnah. Matanya terus
menyoroti langkah lelaki itu meninggalkan ruang makan. Eh, Nur Husna pula yang
dipersalahkan. Sudah-sudahlah buat ayat kiasan yang entah apa-apa. Suka sangat
berbelit-belit yang membuatkannya semakin tidak faham. Azam seperti mahu
sampaikan sesuatu. Bukan sekadar katanya yang sering berkias, lirikan matanya,
bahasa tubuhnya dan semua lakunya seolah-olah sedang berbicara tentang sesuatu.
Dan sesuatu itu, Nur Husna tak faham. Hatinya pernah terlintas akan ‘itu’, tapi
ditepis jauh-jauh. Mustahil. Sangat Mustahil. Azam itu bakal abang iparnya
andai pinangan Azami Norhakim diterima nanti. Jadi tak mungkin Azam tega
menyimpan rasa buat Nur Husna.
“Tambah lagi Husna.” Pelawa Puan Rosnah
dengan suaranya yang agak lemah daripada tadi. Nur Husna memandang wajah pucat
Puan Rosnah yang sedang mengurut dahinya sambil menghulurkan mangkuk berisi
bihun goreng. Lekas tangan Nur Husna menyambut lalu diletakkan di sisi
piringnya yang sudah hampir kosong.
“Umi, umi okey?” Cemas Nur Husna menerpa.
Puan Rosnah mengukir senyum paksa sambil menggeleng kepalanya.
“Umi okey sayang. Boleh Nur Husna
ambilkan ubat umi dekat laci tepi tu. Tak makan ubat lagi sebab tu pening
tiba-tiba ni.”
Tak berlengah lagi, ubat segera diambil
dari laci kabinet tepi peti sejuk. Gelas kosong diambil lalu air putih ditadah.
Kemudian, Nur Husna kembali ke meja dan mengeluarkan ubat mengikut apa yang
tertera pada plastik ubat. Puan Rosnah dibantu untuk habiskan ubatnya.
“Umi dah okey? Nak Husna bantu apa-apa
lagi?”
“Tak perlu sayang. Dah okey dah ni.”
“Kita ke bilik ye umi. Umi kena rehat.
Jangan buat kerja lagi.”
“Eh, ni tak kemas lagi. Siapa –”
“Umi tak perlu risau. Husna kan ada.
Kejap lagi Husna tolong kemaskan apa yang patut. Sekarang ni kita ke bilik ye.
Umi kan tak sihat. Kena banyak berehat. Umi janganlah banyak buat kerja. Nanti
penat, masuk wad lagi macam mana?” Bebel Nur Husna panjang lebar memotong
percakapan Puan Rosnah melihatkan kedegilan wanita itu. Puan Rosnah hanya
tersenyum manis.
“Iyelah Husna. Husna dengan Zam tu sama
je. Bebelkan umi je kerja. Marilah, umi nak ke bilik. Husna tahu je kan bilik
Qalbi. Husna buat je rumah ni macam rumah sendiri ye. Kalau nak apa-apa ambil
je. Jangan segan-segan.”
“Baik umi. Eh, marilah Husna tolong bawa
umi ke bilik.”
“Tak perlu. Umi kuat lagilah nak
berjalan.”
“Umi, I am going. Anything just give me a
call. Assalamualaikum.”
Lantang suara lelaki itu melaung
menyampaikan pesan. Kederangan derap langkahnya tergesa-gesa menuruni tangga
terus ke ruang tamu depan.
“Iyelah. Elok-elok pergi.”
Puan Rosnah juga tidak kurangnya beradu
suara membalas. Nur Husna tersenyum kecil. Terhibur dengan keletah dua beranak
itu.
“Eh – Ya Allah, umi lupa. Husna, nah
ambilkan beg kertas ni. Dalam ni ada bekal Azami. Umi bekalkan ke dia. Boleh
Husna berikan ke dia. Umi nak kejar dia tak larat, tak sempat pula nak bagi
nanti.”
Nur Husna terpinga-pinga apabila beg
kertas yang berisi bekas makanan di dalamnya bertukar tangan. Tubuh Husna
terdorong apabila ditolak lembut oleh Puan Rosnah.
“Azami!! Tunggu kejap. Ambil bekal ni
dulu. Nanti lapar.”
Dalam tertanya-tanya Nur Husna turutkan
juga mengatur langkah cepat untuk menyerahkan beg kertas tersebut.
Azami? Diakah?
Semakin laju langkahnya kerana teruja.
Beginikah pertemuan mereka?
Tapi tadi bukan suara..
Langkah Husna terhenti, matanya terpaku.
Pandangan mereka beradu.
Renungannya tajam. Bibirnya terjungkit
sinis. Air mukanya dingin.
Comments
Post a Comment