E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 10 - Meriahnya. Risik ke kahwin?
10: MERIAHNYA. RISIK KE KAHWIN?
Seperti yang dirancang, penghuni rumah pusaka
keluarga Tuan Yusuf sangat sibuk membuat persiapan di hujung minggu itu. Ada
sahaja tempikan suara mengatur dan mengarah agar serba-serbi lengkap hendaknya.
Tak kurang juga gurau senda, gelak tawa serta usik-mengusik antara mereka
memeriahkan lagi suasana teratak itu. Maklumlah, masing-masing teruja mahu
menyambut kunjungan tetamu yang dinanti.
Terutama dua orang wanita itu; Puan Senah
dan Rozaimah. Merekalah manusia yang paling sibuk menguruskan segalanya. Tak
sempat mahu letak punggung, langkahnya sudah bergegas ke dapur dan belakang
rumah melihat juadah yang sedang dimasak berkawah-kawah. Demi meraikan gadis
terakhir di rumah mereka, seekor lembu juga ditumbang pagi itu. Kemudian
langkah mereka berlari-lari anak mengelilingi rumah. Mahu memastikan perhiasan
semuanya kemas serta tidak ada tinggalan sisa-sisa hiasan bunga di lantai yang
sibuk dikerjakan malam semalam hingga ke tengahari itu. Tidak duduk diam,
langkah mereka ke halaman depan rumah pula yang didominasi oleh kaum adam
mendirikan khemah dan menyusun meja kerusi. Risau benar jika ada cacat cela
dalam menguruskan majlis besar yang julung-julung kalinya dilakukan setelah
pemergian arwah Tuan Yusuf. Sebelum ini, Sang Kepala Keluarga itulah yang
menguruskan segalanya.
Langkah Puan Senah dibawa pula ke bilik
Nur Husna untuk melihat apa yang sedang anak gadisnya itu lakukan. Seharusnya
jam begini, anaknya sudah siap dalam persalinan yang ditempah khas untuknya.
Anaknya itu sengaja dilarang keras daripada menyibukkan diri dengan kerja
merewang bersama yang lain. Gadis itu disuruh berkurung di dalam bilik saja
memanjakan diri. Daripada semalam sudah dipanggil mak andam untuk melakukan
khidmat spa dan rambut keatas Nur Husna walaupun ditentang keras oleh anak
daranya itu.
“Ateh bukan nak kahwin esok! Membazir la
mak dengan Along ni!”
Itulah disongehnya mulut murai tak mahu
berhenti membebel dari semalam sampai hari ni. Semua tak kena dimata Nur Husna,
sedangkan serba-serbi disiapkan untuk dia. Biar berkenan orang yang melihat.
Dalam berdongkol geram dengan semua orang
yang tak pedulikan luahan perasaanya, Nur Husna turutkan juga kemahuan keluarga
bersendirian di biliknya yang sudah dihias cantik dengan sentuhan putih emas.
Tema kakak sulungnya tanpa bertanya! Urgh!
Kalau tak mereput sendirian pun, adalah
juga jiran tetangga yang dijemput datang menyapa dan mengajaknya berbual.
Mahupun sanak-saudara jauh yang datang menginap sejak dua hari lalu turut
datang memeriahkan majlis. Kalau sudah sepupu-sepapat ni, usikannya melampau
sikit. Belum kahwin lagi dah macam-macam ditanya bab rumah tangga orang.
Melebih! Ada juga yang sibuk menjadi perisik tak berbayar, soal-siasat tentang
jejaka berkenaan. Penat juga dia mahu melayan kerenah mereka yang banyak soal
itu ini.
“Tak siap lagi budak bertuah ni! Ateh..”
Bercekak pinggang wanita itu melihatkan
anaknya masih rancak bersembang dengan sepupunya. Nur Husna yang sedang
bergolek-golek atas katilnya terus menjunam ke bawah mendengar sergahan ibunya.
Puan Senah yang sedang berdiri di depan pintu biliknya dipandang sambil
menggosok kepalanya yang sakit dengan sengihan kerang busuk.
Mujur Maisarah datang menerpa. Tugas
menguruskan adiknya itu sudah diberikan Puan Senah kepadanya. Risau pula
mengamuk ibunya itu kalau dibiar lama-lama. Tambah-tambah kalau dengan Nur
Husna. Adiknya itu mulut laju. Ada saja jawabnya nanti.
Sanak-saudaranya diminta ruang untuk
meninggalkan Nur Husna, ibunya ditolak tubuhnya ke luar bilik untuk sibukkan
dengan kerja lain. Sekarang gilirannya pula bercekak pinggang menghadap
adiknya. Memang patut sangat ibunya bertempik, rombongan akan tiba selepas
zohor nanti. Kurang satu jam lagi angka jam akan menunjukkan masuknya waktu
zohor. Nur Husna pula masih bert-shirt putih dan berkain batik! Ada ke patut?
Betuah punya adik!
Mujur juga ibunya melarang Nur Husna
menyibukkan diri dengan kerja merewang walaupun merengek budak tu mahu membantu
ringankan kerja orang lain. Tapi mengenali Nur Husna, selalunya akan lebih
rumit jadinya kalau adiknya itu menyibuk dengan yang lain. Tak jadi kerja
sudahnya!
“Cepat Ateh! Kenapa terhegeh-hegeh sangat
ni? Kalau bakal mak mentua kau tengok, terus dia batal nak ambil kau jadi
menantu tau!”
“Iye! Iye! Sejak bila Angah dah jadi geng
jemah Along dengan mak ni. Membebel tak habis-habis. Aw! Aw! Aw! Sakitlah
Ngah!”
Bersepit-sepit ketam batu Maisarah
mencubit bahu Nur Husna. Nur Husna pula laju menggosok bahunya yang menjadi
mangsa sambil bersilat tangannya menghalang serangan Maisarah yang semakin
mengganas. Angahnya ni kalau dah tunjuk taring, lebih dahsyat daripada Puan Senah
dan Rozaimah. Sepitannya kalau sudah sekali kena, serik! Perit tak usah
ditanya.
“Angah ni, sakitlah! Ateh nak siap la ni.
Dah mandi, dah wangi-wangi dah. Tinggal nak pakai baju saja pun. Lagipun Ateh
tunggu Angah, cakap nak solek-solek muka Ateh. – Ha, Angah jangan nak conteng
pelik-pelik dekat muka Ateh. Aku mogok nanti batalkan majlis ni.”
Telunjuk diangkat tinggi menuding muka
sambil mengecilkan matanya, memberi amaran kepada Maisarah yang bakal menjadi
juru soleknya. Setelah bertekak dengan Rozaimah kerana tak mahu gunakan khidmat
mak andam semalam untuk jadi juru soleknya, akhirnya kakak sulungnya itu
beralah jua. Mujurlah Maisarah ini memang punya bakat dalam bidang ini walaupun
tidak profesional. Kalau Maisarah tak tawarkan diri, tak habis perang mulut Nur
Husna dan Rozaimah yang tetap mahu gunakan khidmat mak andam dari butik
temannya.
“Ye Angah tahu. Cepatlah Ateh. Nanti mak
masuk tengok kau tak siap lagi, kau juga yang sakit hati.”
“Ateh tengah siap ni kan. Hish, itulah
orang suruh buat biasa-biasa sahaja, dijemput juga satu kampung datang. Nak
juga buat majlis besar-besar. Padahal bukan majlis akad nikah ke apa, hatta
majlis tunang pun bukan. Umi tu nak datang merisik saja pun. Tapi gaya naikkan
khemah dah macam kenduri kahwin.”
Sambil tangannya lincah menyarung jubah
satin bewarna putih bersulamkan motif bunga-bunga kecil berbenang perak dan
emas, mulut Nur Husna tak henti-henti bebelkan keputusan keluarganya yang
mengadakan majlis besar sempena menyambut kedatangan merisik daripada keluarga
Puan Rosnah. Puas dibantah, tapi suaranya minoriti tanpa ada yang menyokong.
Mahu dia tak sakit hati.
Sudahlah niat Nur Husna hanya mahu
berbusana kurung biasa ditegah semua. Terutamanya Alongnya, Rozaimah. Tahu-tahu
sahaja sepersalinan busana, selendang berona kuning emas jenis satin dan veil
jarang bewarna putih susu sebagai kain lapisan atas tudung sudah sampai ke
rumahnya pagi tadi. Mahulah Nur Husna tak rasa nak membebel sepanjang masa.
“Ish kau ni Ateh. Merungut je kerja. Nak
kahwin ke tak nak? Duduk sini, Angah nak solek muka kau. Kau dah wuduk ke
belum?”
“Dah tadi. Alah, kalau aku tak nak kahwin
pun kena paksa juga. Aw! Angah!”
“Menjawab lagi lepas ni, Angah gunting
mulut Ateh.”
Sekali lagi, dalam keterpaksaan Nur Husna
tadahkan juga wajahnya untuk disolek Maisarah sambil menggosok pipinya yang
dicubit maisarah sebentar tadi.
“Ateh, Angah bukan tak nak sokong Ateh
tau. Tapi apa yang dirancang mak dengan Along tu untuk Ateh juga. Tak salah pun
baik daripada segi agama mahupun adat. Kau terima sajalah masterplan
diorang. Lagipun, Atehkan bongsu, dah tak ada orang lain dah lepas Ateh. Sebab
tu diorang cuba lakukan sehabis baik untuk Ateh. Cuba bersyukur sikit dapat
merasa mewah daripada kitaorang. Angah dengan Along dulu mana sempat nak merasa
semua ni. Sebab tu angan-angan kitaorang dulu, buat dekat Ateh. Tak adalah
kempunan sampai bila-bila, ye dak Ateh? Mak tu pun sendiri cakap, duit pencen
arwah ayah memang mak simpan untuk Ateh. Wasiat ayah macam tu. Mak juga cakap
dia boleh sara hidup sendiri, duit Along dengan Angah bagi tiap-tiap bulan
lebih dari cukup. Duit meniaga kuih lagi. Jadi, Ateh janganlah marah sangat. Ye
Ateh..?”
“Hurmmm...”
Kalau Nur Husna sudah beri respon
sebegitu, tandanya sudah sejuklah hatinya. Maisarah tahu, dalam melawan Nur
Husna patuh sebenarnya. Cuma tidak selesa dengan kemewahan yang dilambakan
tiba-tiba hanya demi menguruskan rombongan merisik, meminang dan majlis
kahwinnya nanti. Walaupun kalau dipandang pada kaca mata orang berduit, majlis
mereka ini tidak seberapa sangat pun. Tapi buat golongan sederhana seperti
mereka, sangatlah bernilai harganya.
“Lagipun Ateh, mak tu dah niat nak buat
kenduri arwah sekali untuk ayah. Sudah alang-alang buat kenduri untuk kau, mak
sekalikan terus buat untuk arwah ayah. Sebab tu buat besar-besar, boleh jemput
ramai orang. Kalau kau bertuah, mana tahu rombongan datang kejap lagi tu bukan
sekadar datang merisik. Terus sarung cincin tunang. Bertuah badan, tak
susah-susah nak buat banyak kali kerja. Tunggu akad nikah je, lepas tu buat
majlis resepsi.”
Penuh kelembutan Maisarah cuba
mengurangkan panas hati adiknya. Setelah menyudahkan beberapa sentuhan pada
solekannya, Nur Husna disuruh berdiri untuk memandang cermin demi menilai hasil
kerjanya. Diam sahaja Nur Husna membelek muka sendiri sebelum mengangguk dan
tersenyum manis kerana puas hati dengan dengan solekan kakaknya. Kemudian Nur
Husna dibantu memakaikan selendang di kepalanya dengan lilitan ringkas. Itupun
setelah ditegah Nur Husna. Tidak mahulah dia jika terlalu terbelit sangat
seperti video tutorial yang ditunjukkan Maisarah.
“Apa-apa sajalah Angah. Ish rimas aku.
Kot ye pun risik ke tunang ke, perlu ke veil bagai ni. Mengalahkan orang
nak kahwin.”
Bebel lagi mulut murai itu apabila
Maisarah memakaikan veil di atas tudungnya.
“Eh kau ni Ateh. Tak payah nak
ketinggalan zaman sangat. Sekarang ni orang bertunang pun macam kahwin tau. Ni
kira ringkas sangat Along pilih dekat Ateh. Mak pun tahulah nak jaga adab sopan
anak dara dia, sebab tulah mak setuju. Tengoklah, simple apa? Tak heavy
sangat macam nak menunjuk-nunjuk. Sekurang-kurangnya nampak menonjol sikit dari
orang lain. Ha, cantik apa macam ni?”
Maisarah berdiri di depan Nur Husna
sambil menyilang tangan, telunjuknya bermain-main di dagunya dengan senyuman
lebar. Maisarah berjalan mengelilingi Nur Husna, tubuh itu diperhatinya bagi
memastikan tiada lagi cacat-celanya. Cantik sangat, adik siapa la ni?
“Masalahnya, Ateh nak bertunang ke
sekarang ni?”
“Ah sudah lah. Kalau cakap dengan Ateh
memang nak menang ke Ateh je lah. Dah, Angah nak keluar pergi bersiap pula.
Zohor pun dah masuk. Ateh solat dulu, lepas tu duduk dalam bilik ni diam-diam.
Ateh jangan nak pandai-pandai rosakkan hasil kerja Angah. Nanti kalau rombongan
dah sampai aku masuk balik.”
Pesan Maisarah sambil mengemaskan letak
duduk veil di kepala Nur Husna. Setelah puas hati dengan sentuhannya,
Maisarah keluar mendapatkan yang lain untuk membantu apa yang patut.
Nur Husna pula segera menyambut seruan
untuk mendirikan solat Zohor empat rakaat dengan penuh kehambaan. Kusyuk dicari
dalam setiap ibadahnya, meninggalkan dunia dan segala isinya. Setelah
menyudahkan wirid dan doanya, Nur Husna kembali bangun mengangkat takbir
berniatkan solat istikharah dua rakaat. Istikharah untuk terakhir
kalinya. Dengan penuh harapan agar hatinya dipimpin untuk memberi sebaik-baik
jawaban. Bukan kerana dorongan nafsu hatinya yang sedang diulit putik-putik
cinta, melainkan dorongan untuk dia membuat pilihan mengikut apa yang
ditetapkan Allah padanya bahawa dia itu jodohnya.
Comments
Post a Comment