E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 6 - Keliru
6: KELIRU
Sedari pagi tadi, perhatian Nur Husna dipegunkan pada satu
arah. Sedari lelaki itu menjejakkan kakinya di situ, Nur Husna membisu kata
tidak percaya. Tidak banyak kata, Nur Husna hanya menurut segala arahan Puan
Senah melayani tetamu yang sudah lama dinanti kunjungannya tapi tidak menyangka
orang yang dinanti itu dia. Mulut becoknya jadi kelu mahu berkata apa-apa. Pagi
ke tengahari dan hari sudah berganjak petang. Lelaki itu pula begitu, tidak
menyapa malah berkata ‘hai’. Seolah-olah mereka tidak kenal. Kerana itu Nur
Husna rasa seperti tidak percaya membuatkan pandangannya terus-terusan
dipakukan pada lelaki itu. Memastikan matanya tidak silap melihat. Di fikirannya
usah ditanya, terlalu sesak dengan desakan persoalan yang menyerbu.
Diakah orangnya? Bukankah dia sudah berpunya? Punya zuriat
lagi. Mungkinkah lelaki ini duda beranak satu? Kerana itu mahu mencari calon
isteri untuk kebaikan anaknya. Atau mahu menambah cawangan yang kedua. Tapi
mengapa tidak dinyatakan dalam kertas biodatanya jika benar itu hakikatnya?
Lebih anehnya, seingat Nur Husna wajah jejaka itu lain benar miripnya dengan
gambar yang pernah dilihat Nur Husna. Orang yang samakah? Atau Nur Husna salah
teka.
Nur Husna didesak lagi dengan soalan lain. Adakah dia memang
sudah tahu Nur Husna calon isterinya sedari awal pertemuan mereka? Jika benar,
mengapa tidak pernah sekali dia suarakan hal itu setiap kali mereka bersua
muka. Seolah-olah tiada apa-apa. Nur Husna merasakan calon yang ini sahaja yang
aneh. Kerana Razman, Ammar, Muiz mahupun Badrul acapkali juga menyapa setiap
kali bertemu dan bertanyakan hal Nur Husna. Seperti cuba memikat hati Nur Husna
kononnya. Terutamanya Badrul. Lelaki itu lebih ketara usahanya mahu memenangi
hati Nur Husna agar dia menjadi pilihan bakal suami Nur Husna. Tapi Nur Husna
sentiasa sopan menjawab dan sering ingatkan. Pilihan keluarganya adalah
pilihannya kerana Nur Husna tak mahu lelaki itu terlalu meletakkan harapan yang
tinggi untuk memilikinya.
Nur Husna bukan tidak tahu. Calon-calon Nur Husna cuba
mendekati Nur Husna bukan sekadar mereka itu tercalon bakal suaminya, tapi
syarat yang dikenakan Rozaimah juga. Buatkan Nur Husna jatuh hati pada mereka
supaya mudah ahli keluarga lain mahu buat keputusan siapa pilihan mereka kelak.
Walaupun sememangnya ahli keluarga Nur Husna yang akan buat keputusan, tapi
keputusan bergantung juga pada respon Nur Husna pada calon-calonnya. Jika ada
yang sudah tersangkut di hati Nur Husna, itu lebih mudah. Nur Husna sendiri
pening dengan ragam ahli keluarganya, terutama Rozaimah dan Puan Senah. Ada
sahaja syarat dan rancangan yang direncanakan.
Berbalik kepada jejaka ini, Nur Husna bukan kemaruk sangat mahu
dia turut menunjukkan diri cuba memenangkan hati Nur Husna. Sekurang-kurangnya,
mereka yang lain mencuba. Tapi lelaki ini, dingin sahaja sepanjang pertemuan
mereka. Tiba-tiba sahaja memunculkan diri di teratak kayu ini. Nur Husna sangat
kesal dengan dirinya kerana tidak pernah perasankan lelaki ini ketika pertama
kali bertemu. Mana mungkin Nur Husna perasan, wajahnya berbeza sekali daripada
gambar yang pernah dilihat Nur Husna.
“You dah fikir siapa calon
pilihan you?”
Tiba-tiba persoalan itu terngiang-ngiang di tepi telinga Nur
Husna. Jadi, itukah maksudnya? Dia mahu sampaikan dirinya salah seorang calon
pilihan Rozaimah. Jika benar, mengapa tidak berterus terang sahaja? Mengapa
buru-buru pergi setelah persoalan itu diutarakan kepada Nur Husna,
meninggalkannya terpinga-pinga dengan soalan yang tidak difahaminya?
Peristiwa dua minggu lalu kembali menerjah ingatan. Atau
mungkinkah sebenarnya lelaki ini tidak rela? Mungkin kerana paksaan daripada
uminya, sebab itu dingin sahaja riak wajahnya setiap kali bertemu muka? Mungkin
persoalan itu ditanya kerana berharap dia bukan pilihan Nur Husna. Nur Husna
masih ingat lagi pertama kali bertemu mata dengan lelaki ini, masamnya
mengalahkan mangga putik.
Nur Husna tiba-tiba menyentuh dahinya. Otaknya terasa berdenyut
kerana terlalu banyak yang difikirkan dalam satu masa. Hatinya terasa tidak
sedap. Calon yang paling ditunggunya ternyata tidak mengujakan. Malah terasa
seperti ada yang tidak kena. Seolah ada yang disembunyikan. Benarkah lelaki
ini, dia orangnya? Azami Norhakim itu adalah dia. Jadi tujuan sebenar dia di
sini, untuk apa sebenarnya? Mahu menarik diri daripada menjadi calon suami Nur
Husna? Atau menyampaikan kebenaran dia itu duda atau mahu pasang cawangan lain.
Kerana itu tidak pernah mengaku kepada Nur Husna dia itu Azami Norhakim. Kalau
itu kebenarannya, sungguhlah itu penyesalan terbesar Nur Husna memilih dia
salah seorang calonnya. Sekarang juga Nur Husna akan singkirkan dia. Nur Husna
tak peduli kalau ada tentangan dari keluarganya. Keputusannya muktamad. Wajah
lelaki itu kembali dipandang.
“Ateh, jaga mata. Tengok orang macam nak terkam.”
Nur Husna ditarik kembali ke dunia realiti saat Puan Senah
menepuk lembut pahanya. Baru Nur Husna sedar, semua mata sedang terarah padanya
kecuali dia yang sedang membuang pandang ke arah pintu yang terbuka luas
menikmati pandangan luar rumah. Masing-masing mengukir senyuman sumbing penuh
makna dan harapan. Tapi Nur Husna tidak terpengaruh dengan senyuman itu,
pandangannya kembali memandang lelaki itu. Fikirannya masih bermain-main dengan
persoalan yang tidak terjawab. Lelaki itu pula hanya memandang Nur Husna
sekilas sebelum menyambung perbualannya dengan yang lain. Tidak dingin tapi
tiada senyuman seperti tadi. Seperti ketika dia berbual mesra dan ceria dengan
ahli keluarganya yang lain. Terutamanya dengan Abang Long Fawwaz dan maknya,
Puan Senah.
“Jadi Encik Azam ni Azami Norhakim?”
Akhirnya suara emasnya yang terbisu kelu disuarakan. Perhatian
Azam kembali terarah ke wajah keliru Nur Husna, bertemu mata dengan gadis yang
berdepan dengannya di sofa single. Kali
ini wajah itu penuh kerutan, senyuman yang selalu terukir di bibir itu serius
seharian ini. Nur Husna tidak melarikan anak matanya seperti selalu setiap kali
bertemu mata dengan pandangan tajam lelaki itu. Tidak gentar seperti biasa
kerana sekarang ini dia sangat-sangat perlukan jawaban. Lama mereka berlawan
pandang sebelum Azam bersuara.
“Actually, Azami used to be
my younger brother name.”
Kening Nur Husna bersatu. Tidak faham dengan ayat penyata
lelaki di depannya itu. Ahli keluarganya semua mengunci mulut, membiarkan Nur
Husna bersoal jawab dengan Azam tanpa gangguan.
“Maksud awak tekaan saya salah? Apa yang saya fikirkan semuanya
salah?”
Nur Husna tiba-tiba terasa mahu tersenyum. Lega rasanya
telahannya salah belaka. Azam itu Azam bukan Azami. Hanya kebetulan hampir sama
namanya. Ya, nama juga adik beradik. Tapi kenapa digunakan perkataan ‘used’.
“Apa yang you fikirkan?”
“Tak penting. Yang penting, bukan awak bakal suami saya kan?
Adik awak kan?”
“Perhaps.”
Kali ini Nur Husna benar-benar menghembus nafas lega. Benarlah
salah kata hatinya tadi. Tak ingin Nur Husna menjadi isteri kedua Azam. Kalau
tak isteri kedua sekali pun, Nur Husna tetap tak mahu. Mungkin Azam duda, tapi
kerana bercerai. Bekas isterinya masih hidup. Lainlah Badrul, lelaki itu duda
kerana isterinya sudah meninggal. Azam pula, Nur Husna tidak tahu. Walaupun Nur
Husna sangat tergugat kalau Qalbi yang masuk campur. Nur Husna
menggeleng-geleng kepalanya, mengusir fikirannya yang sudah ke situ. Mengapa
Azam pula yang difikirkan. Biarlah lelaki itu dengan hidupnya. Yang penting,
bukan Azam orangnya.
Nafas lega dihembus lagi. Penat sahaja memerah otak mahu
menyelesaikan persoalan di fikirannya. Mahunya dia tidak salah teka. Kata Puan
Senah, Azami Norhakim akan datang petang ini. Nur Husna jadi teruja tanpa
sebab, kerana Azami Norhakim merupakan orang yang paling dia mahu bersua muka.
Katanya, datangnya sengaja mahu bersilaturrahmi. Lagipun sudah sering kali
dijemput Puan Senah untuk datang ke rumah selain mahu bertemu Fawwaz, teman
lama yang hanya berhubung melalui talian sahaja.
Tapi..
Hati Nur Husna masih tidak sedap. Ketenangan yang sekejap cuma
tadi mula dilanda gelisah dan walang sekali7 lagi. Apatah lagi memikirkan
semula jawapan Azam tadi. Apa maksudnya mungkin? Kenapa tidak dijawab ya
ataupun tidak? Kenapa mesti satu perkataan yang padanya bercampur pelbagai
kemungkinan. Dan itu menyebabkan Nur Husna semakin tidak faham. Hatinya panas
tiba-tiba. Nur Husna rasa dipermainkan. Sudahlah dia penat memerah otak dari
pagi tadi, lelaki ini pula seperti hendak tak hendak menjawab pertanyaan Nur
Husna. Kesabarannya terasa menipis tanpa sebab.
“Maksud Encik Azam? Tolonglah encik, saya tak suka encik
berbelit-belit macam ni. Susah sangat ke nak berterus terang? Ataupun encik
sengaja nak main-main dengan saya. Kalau itu niat encik, encik baliklah.
Menyakitkan hati sahaja!”
Kan Nur Husna pernah cakap, kalau Nur Husna mula tak sukakan
seseorang beginilah lakunya. Cepat marah dan tidak sabar. Sikap cepat
melatahnya ini semakin menjadi-jadi lepas Nur Husna kemalangan. Mudah sensitif
tanpa sebab. Jika tidak kena emosinya seperti sekarang, tak ada lagi mahu
berlembut dan sopan-santun selain bersuara tinggi dan kasar. Air mukanya tegang
dan ronanya berubah merah menahan marah.
“Ateh, jaga suara. Mak tak ajar bercakap tengking macam ni.”
Puan Senah sudah beri isyarat supaya Nur Husna jangan
menunjukkan perangai kasarnya di depan tetamu mereka.
“Tak apa mak cik. Orang dilanda curiga dan tertanya-tanya
memang macam ni. Tak sempat nak berlembut walaupun depan bakal suami sendiri.
Apalah nasib suami dia ni nanti, hari-hari kena herdik.”
Sinis. Tapi ahli keluarga Nur Husna menyambut kata-kata Azam
dengan ketawa. Entah apa yang lucu Nur Husna tidak tahu. Yang Nur Husna tahu,
dia semakin keliru. Azami Norhakim, calon bakal suaminya itu, adik kepada
lelaki di depannya ini atau tuan badannya sendiri? Kenapa berkias segala
kata-katanya? Nur Husna tak faham. Dia tak pernah berlajar sastera, jadi dia
memang tak faham.
“Encik Azam!?”
Nur Husna tak tahu kenapa. Tapi dengan lelaki ini, cepat sahaja
kesabaran Nur Husna menipis senipis kulit bawang. Nur Husna tak suka lelaki ini
cuba memainkan watak sinis dan humor pada bukan masanya.
“Okey sweet girl, Janganlah marah. Jatuh saham nak jadi
bakal isteri. Let’s say Nur Husna, my
younger brother is Azami Norhakim. And the owner of the name will be your
future husband. Got it?”
Sekali lagi, Nur Husna semakin keliru. Seperti mahu meletup
dadanya ketika ini. Tambahan lagi terpandangkan lirikan dan jungkitan bibir
yang sinis daripada Azam. Nur Husna memalingkan wajahnya, matanya dipejam
menahan kesabaran yang semakin menipis.
Kali ini wajah ahli keluarganya pula
dipandang satu persatu dan silih berganti. Berharap ada penjelasan daripada
mulut mereka sendiri. Rasa ragu-ragunya semakin menebal apabila menyedari
keluarganya tidak menunjukkan reaksi aneh sepertinya. Mereka seperti tidak
terkejut Azam itu bukan Azami Norhakim. Kerana layanan mereka yang mesra
menyambut tetamu yang diundang tapi tidak sangka tetamu itu dia, pastilah Nur
Husna yakin yang Azam itu Azami Norhakim. Sudah tiada yang bertanya akan hal
itu. Lagilah Nur Husna menanam syak wasangka dalam hatinya.
“Ateh, kan Azami – Eh, maksud ibu Azam..”
Puan Senah memandang Azam sekilas sebelum beralih ke arah Nur Husna yang
mencuka sekali air mukanya. “Kan Azam dah cakap, Azami itu adiknya. Jadi,
Azamilah bakal suami Ateh nanti. Kenapa perlu ragu-ragu? Sudahlah Ateh, kenapa
nak tegangkan sesuatu yang belum pasti. Mak dengan yang lain belum buat
keputusan lagi kan. Tak perlulah marah-marah macam ni. Kita nak kenal dengan
keluarga calon suami Ateh saja. Jangan marah ye Ateh, mak tak suka Ateh tanya
soalan macam tu. Azam tetamu kita. Tak sopan.”
“Okey, Ateh minta maaf. Tapi Ateh tak
puas hati kenapa mesti Encik Azam yang datang sedangkan calon Ateh itu Azami.
Dan kalau betul apa yang mak cakapkan adik Encik Azam itu orangnya kenapa Encik
Azam tak berterus-terang saja? Susah sangat ke nak cakap jelas-jelas. Sudahlah
cara cakap macam hendak tak hendak, macam ada yang mahu disembunyikan. Ada yang
mahu dikiaskan. Ateh tak faham. Lepas tu, kenapa semua macam dah tahu yang
Encik Azam yang datang? Kenapa tak bagitahu Ateh? Mak cakap dekat Ateh pagi
tadi, Azami yang nak datang? Ke semua saja tak mahu bagitahu Ateh. Along dengan
Angah pun sama. –Ha Abang Long, Ateh tengok bukan main seronok dapat reunion
dengan kawan lama. Maknanya Encik Azam pun kawan lama Abang Long lah?”
Bagai bertih jagung yang sedang rancak
dimasak, begitulah mulut Nur Husna berbicara. Bertubi-tubi persoalan
dilontarkan pada mereka di situ. Ekor matanya tajam menjeling jejaka di
hadapannya, isyarat soalan itu ditujukan tepat kepadanya.
“Kalau dah berkawan dengan adik, tak akan
dengan abang nak bermusuh. Apa masalah you Nur Husna? Apa yang you
tak puas hati?”
Baru sahaja Fawwaz mahu membuka mulutnya
mahu menjawab pertanyaan Nur Husna, suara Azam terlebih dahulu mencelah beserta
dengan renungan tajam menikam wajah cemberut Nur Husna. Jelas, riak Nur Husna
sangat keliru. Suasana yang tadinya ceria dengan kemesraan antara mereka
berubah tegang semenjak Nur Husna bersuara dengan soalan sinisnya. Nur Husna
bersabung mata dengan renungan Azam. Kedinginan sangat terasa antara mereka
berdua.
“Macam mana saya nak puas hati sedangkan
hati saya sangat kuat mengatakan ada yang tak kena semenjak Encik Azam jejakkan
kaki dekat rumah ni. Cara Encik Azam sendiri jawab soalan saya lebih buatkan
saya semakin tak puas hati. Bagitahu saya macam mana saya nak puas hati kalau
semua nak main sembunyi-sembunyi dengan saya. Kenapa? Yang nak kahwinnya saya,
hak saya untuk tahu segala yang berkaitan dengan saya. Atau Encik Azam berpakat
dengan keluarga saya untuk belakangkan saya?”
“Err, Ateh...” Yang lain mula mahu
tenangkan Nur Husna. Nampaknya mereka salah hari menjentik Nur Husna bukan pada
waktunya. Sepatuh Nur Husna sekalipun, bila ada yang tidak kena di hatinya,
beginilah dia. Sinis dan suka bertanya banyak soalan. Dia tidak kisah jika
soalan itu menyinggung yang lain atau tidak.
“Apa yang I cakap semuanya betul
Nur Husna. You sahaja yang tak faham. Atau you sebenarnya kecewa.
Sebab orang yang you tunggu tak datang? You harapkan Azami tapi I
yang datang sebagai gantinya. Maklumlah, apa yang I dengar daripada
Fawwaz, you dah jatuh cinta pandang pertama dengan Azami waktu tengok
gambar dia. Mak you pun cakap, you ni lebih berminat kalau soal
Azami yang dibincangkan, kalau calon you yang lain you endah tak
endah sahaja. Jadi, bila tak nampak batang hidungnya you nak melenting. Am
I right Nur Husna?”
Pipi yang tadinya berona merah
biasa-biasa, laju diserbu darah merah memenuhi wajah. Merah terang bak isi
delima masak. Entah kerana malu mahupun sedang marah. Bibirnya terkunci, kepala
tidak lagi mampu diangkat selain menekur lantai yang berlapik permaidani,
apatah lagi mahu bertentang mata dengan Azam yang semakin galak menikam
wajahnya.
“Nur Husna...” Setelah sepuluh minit
hanya kebisuan memenuhi suasana hening antara mereka, lembut suara Azam
memanggil Nur Husna yang masih menunduk. Gemersik yang pertama kalinya pernah
menyapa pendengaran Nur Husna. Jantung Nur Husna tiba-tiba bagai dipalu rentak
bunyinya. Aneh..
“I sebenarnya tak faham, kenapa you
marah sangat I datang sebagai wakil keluarga I. Umi I tak
dapat datang. Azami pula...”
Azam tiba-tiba menghentikan bicaranya.
Serentak itu, Nur Husna mengangkat kepalanya bersabung mata dengan Azam
sekaligus membuka pekung di dadanya. Serkap jarang Azam hampir betul mengena.
Hati yang tak pernah disentuh oleh siapa-siapa itu ternyata sedang dipeluk rasa
yang dia sendiri tidak pernah sedar.
“Azami tak ada di sini untuk masa
sekarang. Dia ada urusan kerja. Maaf bagi pihak Azami tidak dapat pulang dalam
waktu terdekat. Dia pergi pun tiba-tiba sahaja. I datang ni sebab umi
suruh juga I datang hari ni. Sebab dah selalu sangat tangguh. Sebenarnya
umi dah lama nak datang. Cumanya tak berkesempatan. Kalau you ragu-ragu
fasal I dengan Fawwaz, I tak tipu. Kami memang kawan rapat dari
zaman kolej.”
“Termasuk Azami...” Potong Nur Husna akan
bicara Azam. Cuba meyakinkan diri dengan apa yang didengar. Kali ini lebih
perlahan suaranya, hampir tidak dengar. Mujur mata Azam sangat peka dengan
gerak bibir Nur Husna.
“Ye, termasuk Azami. Kami memang satu
kolej. So, mind to share? Kenapa you marah sangat dekat I?”
Kali ini suara Azam benar-benar lembut
menyapa. Air mukanya juga tiada langsung riak dingin yang
sering ditunjukkan lelaki itu. Renungannya yang sentiasa tajam, kelihatan
lembut dan penuh kasih sayang. Kasih sayang? Mengapa itu pula yang terasa di
hatinya. Ah, mustahil itu. Nur Husna tiba-tiba diserbu rasa malu, hangat
pipinya berona merah jambu. Segera dilarikan anak matanya, kotak suaranya dibetulkan
dengan deheman kecil. Amarah yang tadinya menguasai dirinya entah ke mana
pergi. Tiba-tiba sahaja diulit rasa sejuk mengusir panas di hati mendengarkan
suara Azam yang begitu. Seperti sedang memujuk dan Nur Husna terpujuk?
“Nur Husna?”
“Er, saya.. saya minta maaf. Saya sedar
kelancangan mulut saya. Tapi, saya rasa tertipu. Saya tak tahu siapa yang
menipu. Tapi saya rasa ada yang tidak kena. Ada yang tak betul. Tapi macam
semua mahu mengunci mulut. Encik Azam pula berbelit kata yang saya tak faham.
Walaupun keputusan siapa bakal suami saya belum ditentukan, tapi kalau Azami
pilihannya bagaimana? Suka sahaja tidak cukup Encik Azam. Ini soal kehidupan
saya yang akan datang. Saya tak mahu perjudikan kehidupan saya pada sesuatu
yang disembunyikan. Biarlah hubungan yang terikat nanti terbina dengan baik.
Saya siap bongkarkan siapa saya kepada bakal pasangan saya, saya harap begitu
juga di pihak sebaliknya. Jika benar dia calon bakal suami saya, hak saya untuk
tahu tentangnya. Sekali lagi, maafkan saya Encik Azam. Sakit hati saya tidak
kena tempatnya. My bad.”
Begitulah Nur Husna, cepat marahnya cepat
juga sejuknya jika kena dengan orang yang bijak berlembut kata dengan Nur
Husna. Mereka yang lain masing-masing menghembuskan nafas lega. Telahan mereka
Nur Husna tidak banyak songeh kalau hal yang berkaitan calon bakal suaminya
ternyata meleset sama sekali. Nur Husna sangat ambil berat akan hal itu.
Cumanya tidak terlalu ditunjukkan. Sekarang sudah terang di depan mata mereka,
Nur Husna lantang bersuara untuk sesuatu yang berkaitan dengannya. Namun
hakikatnya, respon Nur Husna itu tidak langsung mengundang negatif di benak
mereka. Masing-masing mempamer senyum lebar sebagai tanda sepakat. Langkah
seterusnya akan diambil.
“You akan tahu segala-galanya
tentang siapa bakal suami you Nur Husna. Andai Azami dan Nur Husna itu
ditakdirkan berjodoh, saya berani janji, you akan tahu segala-galanya
tentang lelaki bernama Azami Norhakim.”
Terhenti nafas Nur Husna saat
terpandangkan senyuman manis yang tertampal ikhlas di bibir nipis Azam. Pertama
kalinya. Senyuman yang tidak pernah ditunjukkan kepada Nur Husna sepanjang
perkenalan mereka. Nur Husna bagai berada di dunianya sendiri hingga tidak
sedar kaki Azam sudah diatur meninggalkan ruang tamu mereka. Ahli keluarganya
yang lain juga sudah mengangkat punggung membontoti Azam hingga ke luar rumah.
Jika tidak dipanggil Puan Senah, pasti Nur Husna akan tetap di tempatnya hingga
Azam sudah memandu pergi meninggalkan perkarangan mahligai ini.
“Azam panggil tu. Dia dah nak balik.” Jelas
Puan Senah sekali lagi apabila Nur Husna menunjukkan wajah terpinga-pinganya.
Sedar dirinya ditunggu tetamu yang sudah
berdiri di Proton Perdananya, cepat-cepat Nur Husna turun menyarung selipar
mendekati Azam. Fawwaz yang sedang berbual dengan Azam bergerak menjauhi Azam
dan Nur Husna menyertai keluarganya yang lain yang agak jauh jaraknya dari
mereka. Seperti mahu beri peluang pada Azam berbual lanjut dengan Nur Husna
secara sendiri sambil dipantau dari jauh sebelum lelaki itu bergerak pulang.
“Apa?” Tegur Nur Husna apabila Azam hanya
terus-terusan merenung Nur Husna tanpa berkata apa-apa. Puan Senah cakap Azam
panggil Nur Husna tadi. Ni sudah di depan mata diam pula dia.
“Kalau Azami yang datang merisik, apa
yang akan you jawab?”
Nur Husna terpana dengan pertanyaan Azam.
Terbuka tutup mulut Nur Husna seperti teragak-agak jawaban apa yang seharusnya
diberi.
“Jawaban saya sama seperti apa yang
keluarga saya putuskan buat saya.” Jawaban selamat. Jawaban yang sentiasa
diberikan kepada Badrul setiap kali lelaki itu bertanyakan kata putus daripada
Nur Husna.
“I nak dengar jawaban dari you.
Bukan keluarga you.”
“Apa yang keluarga saya jawab, itulah
yang saya jawab.”
“Nur Husna...” Meleret suara Azam dengan
jawaban acuh tidak acuh daripada gadis itu. Serinya tadi sudah berubah serius.
Tertelan air liur Nur Husna melihat perubahan riak Azam. Encik Azam dah kembali
perangai asalnya. Dah manis senyuman tu, kenapa dingin balik. Kedekut betul.
“Datang dulu, baru tahu apa saya jawab.”
“Really?” Azam menguji kesungguhan
jawabannya tadi.
“Sungguhlah. Encik Azam cakap nak datang
merisik kan? Kalau saya menolak maknanya saya atau keluarga saya sudah pilih
yang lain. Jangan salahkan kami andai itu jawabnya nanti. Bukankah Kak Rozaimah
dah cakap awal-awal, kalian hanya calon. Boleh jadi terpilih, boleh jadi tidak.
Jadi jangan terlalu letakkan harapan yang tinggi. Tak begitu? Andai tak jadi,
tak bermaksud kami mungkir janji. Mak tu suka bersilaturrahim. Suka kenal-kenal
orang. Mak dan Kak Long pilih cara ni sebab arwah ayah memang ajar macam ni.
Kenal saudara baru, kenal kawan baru, kenal kenalan baru, kenal keluarga baru.
Ramai kenalan itu banyak kebaikannya. Nabi SAW ajar suruh sebarkan salam dengan
orang tidak kenal sekalipun.[1]
Bermaksud perlu sangat menjalinkan persaudaraan sesama umat Islam. Itu apa yang
arwah ayah ajar. Lagipun, kalau tak jadi suami saya pun nanti. Percayalah Encik
Azam, semua calon-calon ni akan jadi anak angkat kesayangan mak. Mak akan layan
kalian mengalahkan anak sendiri. Tunggulah, tiap-tiap minggu dia suruh datang
rumah. Kalau tak, dia sendiri yang pergi rumah korang. Haa, baru tahu nanti
siapa Puan Senah tu. Mak kandung korang akan jadi mak tiri.”
Ketawa mereka bergabung mendengarkan
celoteh Nur Husna bebelkan sikap Puan Senah yang pantang benar dapat kenal
dengan anak muda sebaya anak-anaknya. Tak akan terlepas dalam senarai anak
angkat Puan Senah. Lagi-lagi kalau berkaum Adam. Tahu sajalah apa yang dibuat.
“Kalau jawaban sebaliknya?” Azam menduga
lagi. Matanya tidak lepas langsung memandang wajah Nur Husna. Nur Husna
mengherotkan bibirnya, perlahan kepalanya menunduk memandang hujung selipar.
Pipinya sekali lagi panas dengan darah yang menyerbu untuk berkumpul di situ.
“Kalau jawaban sebaliknya, macam Encik
Azam cakap tadi. Andai Azami Norhakim dan Nur Husna itu ditakdirkan untuk
berjodoh, maka itulah yang sudah tersurat.”
“I lebih suka jawaban yang ini.
Azami, dia meletakkan harapan pada penjodohan ini. I benar-benar harap
inilah jawabannya nanti.”
Mendengarkan kata-kata Azam, senyuman Nur
Husna semakin memudar. Dia tersedarkan sesuatu. Kekurangan dirinya dan siapa
Azami Norhakim. Ikhlaskah dia mahu menerima Nur Husna hingga meletakkan harapan
yang begitu?
“Azami... dia tahu kekurangan saya?”
Teragak-agak Nur Husna melontarkan
persoalan itu. Wajah Azam dicuri pandang daripada ekor matanya. Mahu melihat
reaksi lelaki itu. Azam pula hanya menjungkitkan hujung bibirnya ke sisi.
Kelihatan sinis tapi seperti mahu mengusik juga ada. Dengan kenyitan mata yang
tiba-tiba lagi. Apakah? Tiba-tiba Nur Husna rasa Azam di depannya bukan Azam
yang dia biasa temui.
“Dia tahu. Sebenarnya, Azami punya
citarasa yang sangat tinggi. Dia seorang yang sempurna. Jadi dia pernah punya
angan mahu isteri yang sempurna untuk berdiri di sisinya.”
Hati Nur Husna tergores. Rasa rendah
dirinya semakin merantai dirinya.
“Jadi kenapa dia masih mahu beri harapan
dia yang dipilih kalau dia sudah tahu saya tidak sempurna. Kesihatan saya juga
tidak berapa baik.”
Kepalanya terus ditunduk ke bawah, sayu
wajahnya kerana kecewa yang tidak pandai diselindungkan mendengarkan apa yang
dimahukan Azami. Nur Husna tahu keputusan belum dibuat, tapi dia juga tidak
tahu mengapa hatinya berasa seperit itu.
“Umi suruh. Sebab umi paksa, dia bagi
syarat. Dia nak bakal isterinya benar-benar layak untuk jadi isteri dia baru
dia terima untuk teruskan. –Pedulikan dia Nur Husna. Dia memang degil. Umi pun
tak pedulikan syarat dia tu.” Bertambah-tambah calar yang tergores di hatinya.
“Saya boleh tolak kalau dia mahukan
begitu –”
“No, it’s okay Nur Husna. Don’t be so
sad, sweet girl. Why not you try to prove yourself to him first? I rasa you
tak adalah teruk sangat. Tunjukkan dekat dia, you boleh jadi lebih baik
daripada sekarang. Kalau dia jaja you tak ada kelayakan untuk jadi
isteri dia sebab you tak ada ciri-ciri seorang isteri. Then, bearing
out that you have the qualification to be his wife. There's still lots of time.
Don’t worry okay?”
“Encik Azam ni beria sangat macam saya
dah buat keputusan je.” Nur Husna melepaskan ketawa hambar cuba menutup kecewa
di hatinya.
“I know you like him Nur Husna.”
Mata Nur Husna membesar. Memang
benar-benar tertulis di wajahnyakah? Wajah Nur Husna semakin berubah terang
rona merahnya.
“Jadi, jangan putus asa okey. Sampai
waktunya nanti, I benar-benar harap jawaban positif daripada you
Nur Husna. Jawaban yang you sendiri putuskan, bukan keluarga you.
– Oops, got to go now. Qalbi is waiting for me. So, I’ll see you around
then. Bye Nur Husna. Assalamualaikum.”
Sempat Azam mengenyitkan matanya kepada
Nur Husna setelah mengangkat tangan kepada keluarganya berpamitan sebelum
memboloskan diri ke dalam perut kereta. Berkepul-kepul debu tanah berterbangan
seiring pacuan empat tayar itu dipandu pergi.
Perlahan senyuman kecil terukir manis di
bibirnya tanpa sedar. Kepalanya digelengkan tidak percaya dengan sikapnya
seharian ini. Pasang surut yang jelas ketaranya. Angin monsunnya boleh berubah
menjadi bayu sepoi-sepoi bahasa hanya kerana seorang lelaki itu. Dadanya yang
berubah rentaknya disentuh perlahan. Rasa yang tak pernah dirasai seumur
hidupnya, mengapa hadir ketika berdepan dengan dia. Senyumannya sedikit memudar
tiba-tiba. Dia itu Azam, bukan Azami Norhakim. Bukankah Azami Norhakim yang kau
harapkan belakangan ini Nur Husna.
Nur Husna berpaling mahu segera masuk ke
rumah, malas mahu berfikir panjang tentang itu. Lagipun ianya tidak penting.
Langkahnya tiba-tiba terhenti melihatkan ahli keluarganya sedang bersilang
tangan di dada semuanya bersama senyuman mengusik masing-masing tertampal di bibir
mereka. Terangkat kening Nur Husna melihatkan laku mereka itu.
“Apa?”
“Mak, Along rasa kita dah boleh buat
keputusan ni.” Rozaimah memandang Puan Senah dengan ketawa kecilnya.
“Haah mak. Angah pun setuju. Tak sabarnya
nak makan nasi minyak.” Maisarah juga menambah rencah menyokong dengan saranan
kakak sulungnya.
“Fawwaz dengan Faiz boleh uruskan hal
lain. Termasuk belikan set Al-Quran, alat solat dan buah tangan sebagai tanda
keputusan calon sudah diputuskan dan hubungan akan disambung sebagai saudara
rapat untuk sering bersilaturrahim. Tak dapat ikat sebagai keluarga besan tak
bermaksud kena putus saudara betul tak mak?”
Fawwaz turut melontarkan perbuatan yang
pernah diajarkan arwah bapa mentuanya, Tuan Yusuf. Sikap Tuan Yusuf yang sangat
tinggikan sopan-santun jika mahu memberikan khabar yang sebaliknya kepada
sesiapa sahaja. Tuan Yusuf juga pernah melakukan cara itu ketika mahu menolak
permintaan teman jauh yang mahu jadi rakan kongsi Tuan Yusuf menguruskan
ternakan lembu dan kambingnya. Walaupun tidak ada pada adat, tapi itulah cara
Tuan Yusuf mahu menolak sesuatu, menyampaikan khabar yang mengecewakan dan juga
sebagai tanda persaudaraan tetap terikat antara mereka. Malah, ketika mahu
mencarikan jodoh untuk Maisarah juga begitu dulu. Cumanya calonnya hanya dua.
Jadi, tidak terlalu pening kepala seperti situasi Nur Husna.
“Boleh sangatlah tu. Mak dah lama tunggu
nak buat keputusan. Jomlah masuk dalam. Boleh bincang panjang lagi.”
Semua membontoti Puan Senah ke dalam
rumah sambil berceloteh berbincang masa depan Nur Husna tanpa pedulikan tuan
badannya yang berdiri kaku di luar rumah.
Erk? Cepat sungguh keluarganya itu buat
kerja.
[1] Dari
Ibnu ‘Umar RA “Ada seorang yang bertanya kepada Rasûlullâh SAW, ‘Wahai
Rasûlullâh SAW, Islam yang bagaimanakah yang paling baik ?’ Beliau SAW menjawab
: “Engkau memberi makan dan engkau mengucapkan salam kepada orang yang engkau
kenal maupun yang tidak kenal.”

Comments
Post a Comment