E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 3 - Calon
3: CALON
Kahwin ye?
Nur Husna melihat beberapa keping gambar yang sengaja
ditinggalkan Rozaimah dalam biliknya sambil menjahit seluar yang terkoyak di
kekangkangnya. Kata Alongnya, kepingan gambar itu adalah sepuluh yang teratas
setelah ditapis bersama Puan Senah dengan kerjasama Fawwaz dan Maisarah. Tak
kurang juga Faiz, suami Maisarah yang juga terpengaruh dengan misi cari jodoh
untuk Nur Husna yang dilancarkan Rozaimah.
“Auch!”
Pantas Nur Husna memasukkan jari tengahnya ke dalam mulut.
Menghisap dan mengurangkan rasa sakit tusukan jarum. Setelah itu dikibas-kibas
tangannya sebelum hujung jari tengahnya dipicit dan dimasukkan semula ke dalam
mulut. Sudah hilang rasa sakitnya, Nur Husna menolak ke tepi longgokan pakaian
yang perlu dijahit koyakan dan carikan pada pakaian. Jarum yang terlepas dari pegangannya
tadi dicari dan dimasukkan semula ke dalam kotak jahit.
Menjahit. Misi kedua Maisarah terhadap Nur Husna setelah Nur
Husna gagal mengawal api ketika menggoreng ikan bawal untuk makan tengahari
mereka minggu lalu. Sudahnya hitam legam ikan tersebut kerana rentung
dikerjakan Nur Husna. Kerana Nur Husna tidak berjaya menunjukkan sebarang
kemajuan dalam menguruskan hal dapur –percayalah, menyiang ikan sahaja hancur
isinya- Maisarah cuba menyerahkan batang jarum dan benang kepada Nur Husna
untuk diasah bakat adiknya dalam bidang itu. Itupun puas menyuruh, ada sahaja
jawaban Nur Husna mahu membalas. Kepetahan mulutnya dalam menjawab memang
membuatkan orang yang mendengar mahu tangan-tangankan Nur Husna sampai lumat.
“Kenapa susahkan diri menjahit segala, kalau terkoyak hantar ke
kedai. Apa fungsinya Kak Batrisya bukak butik dekat kampung ni kalau tak ada
orang yang gunakan perkhidmatan dia. Jadi, tak payahlah jahit segala. Bakal
suami Ateh pun bukan nak makan benang jarum ni pun kalau lapar. Entah dia pun
setuju hantar ke kedai. Tak pun buang sajalah baju rosak tu, beli baru.”
Dan Nur Husna kena kuarantin dari menyentuh setitik air mahupun
sebutir nasi. Apatah lagi secubit lauk atau sesenduk sup. Perintah berkurung
keatas Nur Husna akan terus berlangsung hingga Nur Husna mahu belajar menjahit
daripada Maisarah.
Jadi, dengan separuh
hati Nur Husna menurut untuk belajar menjahit ketika Angahnya itu sekali lagi
berkunjung ke rumah Puan Senah hujung minggu ini. Diajar asas-asas menjahit
kepada Nur Husna seperti menjahit cara jahitan mengundur, jelujur, silang
pangkah dan insang pari.
Pesan Maisarah, walaupun zaman kini sudah banyak kedai-kedai
yang menawarkan khidmat untuk menjahit, tetapi dalam hal-hal remeh seperti
seluar terkoyak, butang tercabut dan koyakan pada poket saku tidak perlu
dibazirkan wang untuk dikeluarkan. Jika punya kemahiran asas, masalah yang
kecil seperti itu boleh diselesai di rumah. Tidak perlu berhabis wang membayar
upah menjahit mahupun membeli pakaian baru sedangkan pakaian yang lama masih
boleh dipakai jika dibaiki. Pembaziran juga dapat dihindarkan.
Benar, jarum dan benang tak mampu mengenyangkan perut suami.
Tapi andai suami perlu segera membaiki pakaiannya yang rosak, bagaimana seorang
isteri dapat menawarkan khidmatnya untuk mengurangkan beban seorang suami jika
dia tidak tahu? Walaupun kecil, tapi urusan seperti ini dapat mengeratkan kasih
sayang antara pasangan. Suami akan lebih menghargai isterinya kerana membantu
mengurangkan hal remeh yang terkadang mereka tidak sempat untuk fikirkan.
Kadang-kadang itu, bukan para lelaki tidak tahu menjahit, tapi kesibukan mereka
mengharapkan ada yang sudi membantu. Apa salahnya seorang isteri juga punya
kemahiran dalam urusan seperti ini?
Mendengarkan nasihat Maisarah yang panjang lebar sambil menjadi
mentor kepada Nur Husna dalam meningkatnya kemahiran asasnya dalam menjahit
dengan lebih kemas dan cantik, Nur Husna mula lebih terbuka dan rela hati untuk
memahirkan diri. Benar kata Puan Senah. Nur Husna jika Maisarah yang bercakap
dan beri nasihat, Nur Husna akan lebih patuh mendengar. Mungkin bicara Maisarah
lebih lembut dan berhikmah daripada Puan Senah dan Rozaimah. Bukan kedua-dua
mak dan kakak sulungnya itu tidak pernah berlembut, tapi sudah biasa suara
kedua-duanya akan sentiasa tinggi setiap kali bercakap. Bicara biasa sahaja
sudah seluruh pelosok rumah boleh dengar, apatah lagi kalau marah dan meninggi
suara. Memang bingit telinga yang mendengar.
Nur Husna mengurut-ngurut hujung jari tengahnya yang sudah
penuh dengan lubang-lubang kecil luka kerana banyak kali gagal mengawal
daripada tertusuk jarum dek tangannya yang masih keras mengendalikan alatan
kecil itu. Bukan Nur Husna tidak cuba menggunakan jidal, sejenis logam yang
berfungsi melindungi jari daripada jarum yang tajam seperti yang disarankan
Maisarah. Tapi Nur Husna lebih selesa kalau tidak memakainya.
Kepingan gambar kembali dilihat sepuluh wajah calon terakhir
yang perlu ditentukan lima yang terpilih daripada mereka. Kerana daripada lima
yang dipilihnya itu, keluarganya akan bermesyuarat mana yang perlu diputuskan
sebagai bakal suami Nur Husna. Selepas itu, calonnya akan ditemukan dengan Nur
Husna muka ke muka untuk berbual dan mengenali jika ada keserasian antara
mereka. Jika Nur Husna suka, dan calonnya juga sudah ada lampu hijau maka
majlis dan perjalanan yang lebih jauh akan dibincangkan kedua-dua pihak.
Bagaimana kalau tak ada keserasian?
Mudah kata Puan Senah. Cara yang sama akan dicuba dengan empat
calon yang lainnya. Jika tidak ada pada empat calon itu, diteruskan pula pada
lima calon yang tidak dipilih Nur Husna. Jika semua tak ada, Puan Senah sendiri
akan menggunakan kuasa vetonya. Tahu benar kedegilan anak daranya seorang itu.
Kertas-kertas yang mengandungi segala maklumat calon-calonnya
dibaca berkali-kali. Tidak dinafikan, masing-masing mempunyai latar belakang
kerjaya yang sangat baik walaupun berbeza. Ada yang bekerjaya guru,
sebahagiannya mengusahakan premis sendiri, jurutera, pensyarah, doktor, ustaz
dan ada juga yang masih belajar dan bekerja sambilan.
Masing-masing juga mempunyai pendidikan tinggi, ada juga yang
sudah ke tahap berpangkat doktor falsafah. Jika dilihat wajah-wajah mereka
pula, tidak ada cacat celanya. Walaupun tidaklah terlalu kacak hingga boleh
menjadi model dunia. Tapi mereka semua mempunyai air muka yang sedap mata
memandang. Kacak yang biasa-biasa juga ada. Ada yang berkulit putih, sawa
matang dan hitam manis. Mungkin yang hitam manis itu selalu berjemur kerana
kerjanya mengusahakan bergulung sawah padi milik keluarganya.
Menurut apa yang tertulis, sikap mereka baik-baik belaka.
Kelemahan mereka juga disertakan bersama. Rozaimah berkata, dia tidak meneka
tapi dia dan suaminya Fawwaz sendiri menyiasat dan bertanyakan keluarga dan
kenalan rapat calon-calonnya. Jadi Nur Husna tidak perlu ragu-ragu andai ada
yang dusta di situ.
Memikirkan dari segi paras rupa, kerjaya, pendidikan, kelebihan
dan kekurangan, Nur Husna pilih sahaja semua. Hehe, tamak anak dara seorang ni!
Tapi jika mahu dibandingkan dengan dirinya yang penuh dengan kekurangan memang tak
mungkin pipit dan enggan terbang bersama. Nur Husna sedar diri, dirinya tiada
apa-apa kelebihan untuk menyenangkan bakal suamianya. Calon-calonnya serba
boleh segalanya. Nur Husna hanya tinggal masuk dalam kehidupan bakal suaminya
dan lain-lain akan diuruskan bakal suaminya. Tidakkah seperti Nur Husna sedang
mengupah seorang orang gaji untuk menyara hidupnya?
Give and take.
Prinsip itu lebih suka diaplikasikan dalam hidupnya. Jika
semuanya diberikan bakal suaminya kepada Nur Husna, apa pula yang Nur Husna
harus berikan kepada bakal suaminya. Sudahlah calon-calonnya semua bekerjaya.
Pastilah sibuk belaka dengan kerja sendiri. Lepas itu, perlu memikirkan Nur
Husna pula yang perlu dijaga. Nur Husna tak suka itu.
Pembantu rumah?
Nur Husna menggumam dengan persoalan itu. Nahh, tak perlu.
Kalau nak pembantu rumah, baik kahwin sahaja dengan pembantu rumah. Kenapa nak
kahwin dengan Nur Husna yang penuh dengan kekurangan dan kelemahan?
Nur Husna sedar sangat akan kekurangannya sebagai bakal seorang
isteri untuk menguruskan rumah tangganya sendiri. Pesan arwah ayahnya, seorang
isteri itu sentiasa memudahkan urusan suaminya. Nur Husna? Mungkin akan lebih
menyusahkan si dia kelak.
Kerana itu, Nur Husna pernah merancang. Setelah habis belajar
dia mahu lengkapkan diri dengan semua ini selayaknya seorang isteri. Selepas
itu, baru fikirkan hal kahwin. Siapa tak mahu kahwin? Nur Husna nak sangat
kahwin.
Seronok apa? Tersengih Husna seorang diri setiap kali
melihatkan ragam rumah tangga Along dan Angahnya. Masam manis mereka buatkan
kasih sayang sangat erat terikat, mengukuhkan lagi hubungan pasangan suami
isteri itu. Saling menghargai dan disayangi. Bagaimanalah Nur Husna tidak
berangankan punya suami sendiri sementelah itulah yang dilihatnya pada
kehidupan Along dan Angahnya.
Lagi-lagi di usia begini, kerana Nabi SAW juga menamatkan zaman
bujangnya ketika berumur 25 tahun. Apatah lagi Nur Husna yang sentiasa
mengharapkan kasih sayang daripada Sang Adam. Cuma ketika itu calon tidak ada
dan kekurangannya membuatkan Nur Husna berasa rendah diri sekaligus
menghalangnya daripada semua itu. Kerana itulah Nur Husna merancang.
Tapi lain pula rancang keluarganya yang lain. Belum sempat Nur
Husna persiapkan diri dengan sempurna, keluarganya sudah sibuk mencarikan calon
buat Nur Husna. Nur Husna tak menghalang, cumanya terlalu tergesa-gesa.
Seolah-olah esok juga mahu dinikahkan Nur Husna. Kerana itulah semangatnya mahu
persiapkan diri sebagai seorang isteri sudah terbang pergi. Nur Husna rasa
terpaksa dan kelam-kabut. Sebab itu juga dia banyak mencari alasan dan tidak
bersungguh. Cuba melengah-lengahkan kemahuan keluarganya yang berkobar-kobar
itu.
Wajah calon-calonnya kembali dilihat dengan keluhan yang entah
keberapa. Mahu tidak mahu, itulah juga yang perlu dihadapnya. Sekarang, sudah
tiba masanya untuk membuat keputusan. Pilihan harus dibuat. Kalau Nur Husna
terus-terusan membantah dan berdalih, lagi banyak desakan dan paksaan daripada
keluarganya. Kalau mahu terus berkeras, daripada masih punya rasa untuk
berkahwin, tidak fasal-fasal hilang mahunya untuk berpasangan. Jadi, ada
baiknya Nur Husna ikut sahaja apa yang dirancangkan keluarga. Pasti adalah yang
terbaik buat Nur Husna.
Sekeping demi sekeping matanya menilai. Senyuman Nur Husna
segaris terukir saat terpandangkan wajah seseorang. Lucu. Badrul, ayah kepada
anak asuhannya turut menjadi calon pilihan. Bagaimanalah Alongnya boleh
terjumpa Badrul ni? Entah ya atau tidak lelaki itu mahukan Nur Husna. Menurut
penilaian Nur Husna, Badrul kelihatan sangat setia pada arwah isterinya yang
meninggal ketika melahirkan Zaki. Sudah tiga tahun Badrul membujang. Sudah
bersediakah lelaki itu untuk membuka ruang di hatinya?
Gambar berikutnya dialih. Razman. Senior sekolah menengahnya
turut menjadi calon. Nur Husna sudah ingat-ingat lupa akan lelaki itu. Seingat
Nur Husna, Razman itu ketua pelajar ketika Nur Husna di tingkatan tiga sebelum
kemalangan ngeri tertimpa keatasnya. Tidak pula mereka pernah menyapa apatah
lagi punya hubungan. Tiba-tiba muncul jadi calon Nur Husna. Berkerut jugalah Nur
Husna memikirkan kemungkinan itu. Mungkin aturan keluarga juga barangkali.
Terimakah lelaki itu akan Nur Husna ini kalau dia yang menjadi pilihan?
Nur Husna melihat pula gambar yang lain. Rata-ratanya Nur Husna
tidak kenal. Nur Husna hanya mengenali empat orang daripada sepuluh calon itu.
Selain Badrul dan Razman, Nur Husna juga mengenali Ammar, anak tok imam kampung
yang baru pulang dari timur tengah tahun lalu. Kini berjawatan ustaz di sekolah
menengah berhampiran dan imam di Masjid Negeri. Selain itu, Muiz, jejaka
berkulit hitam manis. Agak terkenal di kampung ini kerana dia pemilik kilang
padi dan pengusaha berekar-ekar sawah padi milik keluarganya. Sering datang ke
rumah ketika arwah Tuan Yusof masih hidup kerana Tuan Yusof menggunakan khidmat
syarikat Muiz untuk mengimarahkan tanah sawahnya yang hanya empat petak di
belakang rumah.
Mereka itu Nur Husna pernah bersua muka, berbual dan mengenali
tentang mereka depan matanya sendiri. Memang semuanya Nur Husna kenal sangat
berkelakuan baik, sopan santun dan berbudi. Sangat sesuai untuk dijadikan calon
suami. Jadi empat gambar dan helaian biodata mereka disatukan tanda mereka
menjadi pilihan Nur Husna. Nur Husna fikir, kalau yang kenal itu mungkin
memudahkan lagi suai kenal mereka nanti. Tidaklah Nur Husna rasa terlalu
janggal jika proses keserasian terjadi antara salah seorang daripada mereka.
Nur Husna sebenarnya tidak kisah siapapun bakal suaminya nanti. Lagi pula, Nur
Husna masih ingat pesan Tuan Yusof. Persiapkan hati hanya untuk suami, jangan
mudah berkasih terhadap lelaki lain. Kerana itu, Nur Husna masih tidak
tersangkut pada mana-mana lelaki. Pesan ayahnya masih terpahat kemas di
sukmanya.
“Hurmm.. tinggal seorang sahaja lagi.”
Enam keping gambar silih berganti dilihat berulang kali.
Butiran biodata mereka juga sudah berkali-kali dibaca. Namun semuanya serba
salah mahu dipilih. Lakunya terus diulang-ulang hinggalah terhenti pada satu
gambar. Walaupun gambar itu sudah berkali-kali dilihat, tapi entah kenapa
matanya tiba-tiba tertarik pada gambar itu. Raut wajah lelaki muda itu seperti
pernah dilihat setelah diperhatikan betul-betul. Kertas biodatanya dilihat
kembali.
“Azami Norhakim. Umur 32. Bekas pensyarah selama tiga tahun.
Kini menguruskan premis sendiri yang telah bermula dari waktu ijazah. Taraf pendidikan
Phd in Business Management. Bla..
bla.. bla..”
Kening Nur Husna terjungkit membacakan biodata lelaki itu.
Terlalu sempurna untuknya.
“Azami Norhakim.”
Nama itu kembali meniti di bibir Nur Husna. Tiba-tiba raut
wajah kelat lelaki yang dikenalkan Puan Iffah di Darul Sakinah menerpa
mindanya. Tak silap Nur Husna, Azam namanya. Mungkinkah Azam itu adalah Azami?
Gambar dilihat dan cuba membandingkan persamaan wajah itu dengan memori wajah
Azam yang samar-samar diingatan. Orang yang samakah? Nur Husna menggeleng-geleng
kepalanya tiba-tiba. Kenapa pula lelaki itu yang perlu dikaitkan pula.
Mustahillah. Lelaki dalam gambar ini lebih muda daripada wajah Azam yang
ditemui Nur Husna tiga minggu lalu. Jadi sangat tak masuk akal. Husna! Kau
jangan nak fikir yang bukan-bukan.
Tanpa berfikir panjang, tangan Nur Husna meletakkan kepingan
kertas berisi maklumat Azami Norhakim bersama empat calon pilihannya tadi. Dia
tak tahu, walaupun rasa sangat mustahil Nur Husna layak untuk dipasangkan
dengan lelaki sesempurna itu tapi tangannya ringan mahu memilih Azami Norhakim.
Lagi pun, Nur Husna sudah malas mahu fikir. Sudah tiga hari dia berfikir dan
ditemani kepilan kertas serta gambar-gambar itu hingga ke tidurnya. Ada baik
hatinya tergerak mahu memilih. Kalau tak, bertambah hari lagilah Nur Husna
harus tidur dengan semua itu. Istikharah juga sudah berkali-kali dilakukan.
Entah apalah petunjuk kepada pilihannya, Nur Husna belum nampak jawapannya.
Jadi, hanya bersangka baik dan bertawakkal dengan pilihannya.
“Ateh!”
“Ye, Ateh dekat bilik.”
Nur Husna menyahut saat namanya dipanggil abang iparnya,
Fawwaz. Pintu bilik dihampiri, dibawa bersama kepilan kertas dan gambar yang
sudah diasingkan. Niatnya mahu serahkan pada Rozaimah nanti. Pintu bilik
dibuka, tersembul wajah Fawwaz yang sedang berdiri di depan pintu menghulurkan
Xperia milik Nur Husna di tangannya.
“Kenapa Abang Long?”
Soalan ditanya sambil menyambut huluran Fawwaz. Skrin Xperia
dihidupkan dan terpandangkan tiga panggilan yang tidak dijawab daripada nombor
tidak dikenali.
“Ada orang telefon dari tadi. Tengok nombor tak ada nama. Cuba
telefon atau hantar mesej semula. Mana tahu penting.”
“Okey, nanti Ateh telefon balik. Terima kasih Abang Long – Eh,
sebelum terlupa. Nah, kasi ke Along. Ateh dah pilih macam mana yang Along nak.
Lima calon kan? Boleh lah bincang dengan mak. Ateh insyaAllah terima mana yang
baik daripada keputusan semua.”
Tersenyum lebar Fawwaz menyambut huluran adik iparnya itu.
Tersengih dia penuh usikan terhadap Nur Husna.
“Eh, tak sangka kawan abang pun Ateh pilih. Macam mana tahu dia
kawan abang?”
Fawwaz bertanya saat terpandang gambar dan kertas maklumat
temannya. Kepilan kertas paling atas yang dikatakan kawannya itu diambil. Nur
Husna menjengket sedikit cuba melihat siapa yang dimaksudkan Fawwaz.
“Azami Norhakim ni kawan abang ke?” Persoalan dilontar dengan
kerutan tak percaya.
“Haah. Kacak kan dia?” Soalan bernada usikan itu sengaja
ditanya. Keningnya diangkat berkali-kali terhadap Nur Husna.
“Dia terlalu sempurnalah Abang Long. Tak setaraf dengan Ateh.”
“Habis tu kenapa pilih?”
“Entah!”
Jawaban mudah daripada mulut Nur Husna itu mengundang ketawa
lepas daripada Fawwaz. Mulalah idea nakal dimindanya mahu mengusik.
“Jatuh cinta pandang pertamakah?”
“Jangan nak merepeklah abang. Apa benda cinta tu pun Ateh tak
tahu. Pandang pertama konon.”
“Eleh, tak kenal cinta konon–”
Xperia yang kembali berbunyi memotong usikan Fawwaz yang
semakin rancak mahu kenakan Nur Husna. Serentak dua pasang mata itu memandang
skrin Xperia yang menyala dan melalak minta diangkat. Angka yang sama tertera
di skrin telefon bimbitnya. Wajah abang iparnya yang masih dengan senyuman
sumbing dijeling tidak puas hati.
“Dah sana pergi. Jangan lupa bagi tu dekat Along.”
Tangannya dikibas-kibas, mengusir Fawwaz supaya pergi jauh
darinya. Kalau semakin dilayan, semakin sakit hati jadinya. Setelah kedatangan
Fawwaz dalam keluarganya, sememangnya abang iparnya seorang itu sangat gemar
mengusik semua orang. Terutamanya Nur Husna yang selalu kalah bertikam lidah
dengan Fawwaz.
“~Ku rasa ku telah jatuh
cinta. Pada pandangan yang pertama~”
Sempat lagi Fawwaz mendendangkan lagu Pandang Pertama yang
dinyanyikan Ran, kumpulan penyanyi dari Indonesia. Sengaja lagu itu ditujukan
kepada Nur Husna meninggalkan adik iparnya sambil mencari-cari kelibat
isterinya di belakang rumah. Rasanya sedang melayur dua ekor itik yang baru
disembelih tadi. Mahu dijadikan kari malam nanti.
Nur Husna mencebik tidak puas hati. Mujur ada yang hubungi,
kalau tak sampai ke sudah Nur Husna akan bertekak dengan Fawwaz yang terlalu
kuat mengusik. Telefon yang berbunyi segera dijawab, tidak mahu si pemanggilnya
ternanti-nanti lagi.
“Hello, Assalamualaikum.”
Uik, suara lelaki.
Comments
Post a Comment