E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 2 - Qalbi
2: QALBI
Banglo tiga tingkat yang menjadi salah satu cawangan Pusat
Asuhan Darul Sakinah menjadi destinasi Nur Husna pagi itu tanpa tergesa-gesa.
Dengan hanya berbasikal mini bercat biru muda, santai Nur Husna mengayuh sambil
melihat kesibukan kota di pagi hari. Semuanya mahu cepat untuk sampai ke
destinasi. Lega hatinya tidak perlu bersesak dengan kesibukan jalan raya pada
pagi-pagi begini kerana Darul Sakinah tidaklah jauh hingga berbatu-batu dari
rumahnya. Lagipun dia hanya berbasikal, tak perlu mencelah di lebuh raya. Jalan
shortcut melalui jalan kampung sudah
memudahkan perjalanannya.
Tiba sahaja di kawasan banglo, Nur Husna meletakkan basikal di
garaj. Kereta Viva dan Kancil serta lima buah motosikal sudah tersadai di situ
tanda pengurus Darul Sakinah dan teman-teman sekerjanya yang lain sudah sampai
lebih awal. Mangkuk tingkat di raga basikal yang berisi nasi lemak diambil lalu
dibawa ke dalam.
“Assalamualaikum. Selamat pagi semua. Semua sihat ke? Rindu
Husna tak?”
Yang lain sudah ketawa kecil saat melihat tubuh genit Nur Husna
melangkah masuk ke dalam dengan laungan semangat di pagi hari. Tubuh sahaja
genit, tapi suara mengalahkan orang bertubuh besar. Tengoklah! Dengar suara
lantang dia pagi-pagi begini sudah mampu menghilangkan kantuk masing-masing.
Kak Mastura yang sempat terlelap di mejanya juga terjaga mendengarkan suara
bingit Nur Husna.
“Aww—” Nur Husna mengaduh saat bahunya ditampar kasar oleh Kak
Zaitun. Pekerja paling senior di pusat asuhan ini.
“Kamu ni Husna, tak memekak pagi-pagi bukan kamulah. Kot ye pun
dah terbiasa cubalah pandang kiri kanan ada tetamu ke tidak.”
Mendengarkan itu, Nur Husna memandang sekeliling memastikan
adakah benar Darul Sakinah dikunjungi tetamu di pagi hari begini. Yang
dilihatnya beberapa anak kecil berumur 2 hingga 4 tahun yang masih tidur di
ruang tamu. Pasti masih mengantuk ketika dihantar ibu bapa mereka tadi. Jika
waris anak asuhan yang dimaksudkan Kak Zaitun, mustahil sekali. Kebiasaannya
waris hanya menghantar anak mereka di pintu dan disambut salah satu pekerja Darul
Sakinah. Jarang sekali jika ada yang mahu masuk ke dalam banglo pagi-pagi
kerana berkejaran untuk ke tempat kerja. Kalau ada pun ketika petang mahu ambil
anak mereka pulang ataupun punya waris baru yang mahu daftarkan anak mereka.
Memikirkan itu, segera Nur Husna memandang Bilik Pengurus Puan
Iffah tidak jauh darinya yang terbuka luas pintunya. Senyuman yang tadi lebar
incinya berubah kelat saat terpandangkan seorang wanita berusia tapi bergaya
sedang memandang ke arahnya dengan senyuman manis. Di sisi wanita itu, seorang
lelaki muda tinggi lampai turut memandang ke arahnya. Sayangnya tiada senyuman
selain berwajah kelat. Hai la saudara, mengapa mencuka sekali? Cuba ceria sikit
pagi-pagi, barulah semangat nak buat kerja. Ni baru pagi dah kelat muka, macam
mana tak stress. Eh, ke situ pula kau
Husna.
Nur Husna menunduk sedikit tanda menyapa dan memohon maaf atas
kelakuannya tadi. Anggukan dibalas wanita itu dan kembali menyambung perbualan
dengan Puan Iffah. Nur Husna tidak berlama di situ. Langkahnya di tuju ke dapur
rumah untuk memindahkan nasi lemak ke bekas. Senang sikit jika ada yang mahu
menjamah nanti. Setelah dipelawa semua rakan sekerjanya untuk menjamu sarapan
pagi air tangan Puan Senah, Nur Husna menuju ke beranda depan. Menanti jika ada
waris lain yang datang untuk menghantar anak mereka.
Mujur sahaja Puan Iffah itu kenalan Puan Senah. Tamat sahaja
pengajian diplomanya dalam jurusan Pendidikan Islam Awal Kanak-Kanak, maknya
itu sibuk menyuruh Nur Husna segera mencari kerja. Sakit mata katanya mahu
melihat Nur Husna memproses kilang tahi mata sepanjang masa. Mahu disuruh
kerjakan urusan rumah, segalanya kekok. Masak tidak tahu, kemas rumah pula puas
disuruh. Nur Husna itu nama sahaja anak dara kampung, tapi berat tulangnya
mengalahkan anak bandar mahupun mereka yang membesar di luar negara. Duduk
kampung sendiri seperti rusa masuk kampung. Itulah jadinya dari kecil sampai ke
besar dimanjakan sangat ayahnya.
Padahal Puan Senah bukan
tidak tahu, selepas dua tahun terlantar koma di katil kerana kemalangan, Nur
Husna memang dilarang keras untuk melakukan segala macam kerja oleh Tuan Yusof.
Setelah sedar dari koma kemalangan maut yang hampir melumpuhkannya ketika
berumur 15 tahun, Nur Husna perlu menjalani rawatan fisiologi hampir setahun
untuk membantunya kembali berjalan dan membantu pancainderanya kembali
berfungsi seperti sedia kala. Selepas itu, gadis itu sentiasa diawasi agar
tidak menjejaskan kesihatan anak bongsu mereka. Kerana itu segala-galanya Husna
lambat. Dari segi pendidikan sendiri Nur Husna ketinggalan. Peluang untuk
habiskan sekolah menengah sahaja terlambat daripada mereka yang seusia
dengannya. Lihatlah, umur 26 tahun baru sijil diploma dapat digenggam. Itupun
setelah diminta kepada Puan Senah, selepas setahun pemergian arwah ayahnya.
Jika ikutkan arwah, tak diizinkan anaknya jauh kerana risau. Biarlah hanya
habis sekolah menengah, Tuan Yusof lebih betah melihat Nur Husna di depan mata
daripada melepaskan anak bongsunya belajar jauh. Risau andai kemalangan maut
kembali menjemput anaknya itu. Dia masih kuat untuk menyara Nur Husna, jika ada
yang tidak mahukan anaknya kerana dinilai faktor pendidikan yang terkebelakang
tidak mengapa. Tuan Yusof tidak kisah, dia ada untuk menjaga Nur Husna sampai
bila-bila.
Mengingatkan segala pengorbanan Tuan Yusof memang tidak pernah
kering air matanya. Setelah Tuan Yusof pergi, barulah Puan Senah sedikit tegas
kepada Husna. Supaya berjinak dengan kerja-kerja rumah. Jangan dimanjakan
sangat badan tu. Nanti tidak tahu apa-apa sampai ke tua. Sekurang-kurangnya
untuk diri sendiri kalau tiada siapa-siapa nanti. Kerana itulah juga Puan Senah
beri keizinan untuk Nur Husna melanjutkan pengajiannya walaupun tidak jauh.
Sekurang-kurangnya anaknya itu punya pengalaman dengan dunia luar. Itupun
selepas Nur Husna berjinak dengan dunia asuhan, pekerjaan yang dilakukan Puan
Senah hampir lima tahun ketika arwah Tuan Yusof masih hidup. Mungkin kerana
sudah terbiasa dengan kanak-kanak, Nur Husna mengambil keputusan untuk
menyambung pengajian dalam jurusan ini.
Kerana semua inilah Nur Husna hanya mengikut suruhan Puan Senah
untuk bekerja dengan Puan Iffah di Darul Sakinah. Dan sekarang disinilah dia,
walaupun graduasinya sudah berlalu, tidak terfikir pula mahu mencari pekerjaan
lain. Lagi pula, Puan Iffah cakap kelulusan Nur Husna memang sangat layak dalam
bidang asuhan kanak-kanak. Bezanya dari segi bayaran gaji sahajalah, mungkin
boleh dinaikkan lagi bersesuaian dengan kelayakan.
Setelah menidurkan anak asuhannya di tingkat dua, Nur Husna
kembali turun ke bawah. Tinggal lagi seorang yang belum datang. Kebiasaan
setiap pekerja di sini perlu menjaga maksima lapan orang kanak-kanak. Dan
setiap pekerja memang disediakan bilik khas untuk mengawasi anak asuhan mereka.
Memandangkan Nur Husna masih baru, jadi anak asuhannya tidak ramai. Hanya empat
orang sahaja.
“Husna..”
“Ye Puan.”
Nur Husna menghampiri Puan Iffah yang sedang menunggunya di
depan pintu pagar bersama wanita dan lelaki tadi. Kali ini turut serta seorang
pelajar sekolah menengah sedang mengendong bayi kecil dalam pelukannya.
Senyuman diberikan kepada mereka sebelum kembali memandang Puan Iffah mahu
mendengarkan apa yang ingin dikatakan wanita itu.
“Kenalkan pekerja yang saya ceritakan tadi, Nur Husna. Husna,
ini Puan Rosnah dan Encik Azam. Ini pula Cik Bella dan bayi ini Qalbi. Mulai
hari ini, Nur Husna akan ambil alih untuk jagakan Qalbi.”
Bayi kecil yang pulas tidurnya diperhatikan dengan penuh rasa
teruja. Sememangnya Pusat Asuhan Darul Sakinah mempunyai perkhidmatan untuk
menjaga bayi sedari umur lima bulan dan keatas. Perlahan langkahnya menghampiri
Bella, wajah bersih gadis itu dipandang.
“Can I?”
Tangan dihulur meminta izin untuk mengambil si kecil di
kendongan gadis itu. Tanpa membalas pertanyaan Nur Husna, Azam di sampingnya
dipandang seperti bertanyakan persetujuan lelaki itu. Setelah menerima anggukan
daripada Azam, Qalbi bertukar tangan ke gendongan Nur Husna.
“Subhanallah,
comelnya anak ibu.”
Ciuman dilepaskan di umbun-umbun yang belum lagi mengeras tanpa
pedulikan mata-mata yang memandangnya. Si kecil yang merengek diganggu tidurnya
ditepuk-tepuk punggungnya agar kembali selesa. Teruja Nur Husna mengusap setiap
inci wajah, tubuh serta jemari tangan dan kaki yang berbalut di sebalik selimut
tebal. Sudah lama dia kepengen untuk memeluk bayi seperti ini. Anak sendiri
tidak punya, mahu menyibuk anak orang Nur Husna kekok. Takut sebenarnya kerana
tidak biasa dengan bayi. Selalunya Nur Husna hanya melihat sahaja Puan Senah yang
kadang-kadang menerima permintaan untuk mengasuh bayi selain kanak-kanak. Jika
kanak-kanak Nur Husna masih boleh uruskan walaupun tidak semahir orang
berpengalaman.
Lagipula kanak-kanak boleh berkomunikasi dan sudah boleh
berfikir jika berbual. Kalau bayi bagaimana, apa yang akan dikatakan seorang
bayi kalau dia lapar atau sedang kumuh? Menangis? Ketawa? Kalau menangis,
menangis yang bagaimana? Kalau ketawa, ketawa yang bagaimana? Nur Husna tidak
tahu. Walaupun dia pernah terdedah dengan pengurusan bayi ketika belajar dalam
bidang ini, tapi tetap tak sama jika harus dilakukan secara praktikal begini.
Manusia sekecil ini, rapuh sekali jika dilihat. Kalau salah cara, mahu sakit
anak orang. Nur Husna takut sebab itu Nur Husna tidak berani. Tapi, bila sudah ada
dalam pelukannya, hilang segala kekoknya malah sangat tersentuh naluri
keibuannya. Dia terharu tanpa sebab, bersyukur rasanya dapat memandang wajah
jernih si kecil suci tanpa noda dan dosa. Baunya dari syurga. Entah bagaimana,
dia jatuh sayang pada bayi ini. Qalbi. Hatiku. Erti namanya saja sangat
membelai jiwanya.
“Ibu?”
Puan Rosnah bertanya saat mendengarkan Nur Husna membahasakan
dirinya sebagai ibu. Tidak lepas pandangannya pada setiap laku Nur Husna yang
seperti dalam dunianya sendiri saat bertemu dengan Qalbi.
“Memang sudah jadi kebiasaan pekerja di sini menggelarkan diri
dengan gelaran tertentu kepada anak-anak. Tapi selalunya yang muda-muda ni
gelaran hipster sikit. Husna ni saja puan, suka kalau budak-budak panggil dia
ibu.”
“Tak sabar nak menimang anak sendirilah tu. Dah berkahwin ke
belum?” Puan Rosnah ramah bertanya dengan senyuman lebar. Ada riak usikan di
situ.
“Belum puan.”
“Bujang lagi rupanya. Gaya sambut bayi macam dah bersedia jadi
ibu. Kalau tak ada calon lagi bolehlah nak jodohkan dengan anak aunty.”
Tersengih Puan Rosnah sambil menjeling Azam yang semakin dingin
air mukanya. Menyedarkan ketidaksenangan lelaki itu serta pandangan tajam yang
mengiringi segala lakunya, Nur Husna segera mengubah topik perbualan mereka.
“Qalbi berapa bulan? Dah lima bulan ke? Kecil je Husna tengok.”
“Baru tiga bulan.”
“Boleh ke puan? Bukannya puan tak terima kalau bayi bawah dari
lima bulan?”
“Puan Rosnah ni kenalan saya. Darul Sakinah pun banyak yang
ditolongnya. Tak sedap pula saya nak menolak. Sudahlah Puan Rosnah sendiri yang
datang minta tolong. Husna okey kan nak mengasuh bayi? Yang lain semua sudah
penuh kalau nak minta tolong pun. Macam mana Husna?”
“InsyaAllah, Husna okey puan. Barang kelengkapan Qalbi dah
masukkan ke dalam ke?”
“Ada di kereta. Nanti saya masukkan.”
Ada suara rupanya lelaki ni. Nur Husna pandang sekilas wajah
Azam dan mengangguk sebelum kembali memandang Puan Rosnah dan Puan Iffah. Tak
sanggup nak berbalas pandang mata tajam dia. Meremang bulu roma mak! Macam nak
makan orang!
“Cik Husna..”
Husna berpaling ke belakang saat namanya dipanggil seseorang.
Tersenyum dia menyambut lelaki yang baru datang bersama anak lelakinya berumur
tiga tahun. Zaki, salah seorang anak asuhannya yang sedang ditunggu.
Terpisat-pisat anak kecil itu tanda masih mengantuk mahu bertemu dunia. Setelah
berpamitan dari Puan Iffah, bayi kecil dikendongannya dibawa bersama
menghampiri anak asuhannya sekaligus menyapa ayah tunggal bekerjaya guru itu.
“Lambat hari ni Encik Badrul?”
“Zaki buat hal hari ni. Mengamuk bila kena kejut. Kalau tak
diugut tak boleh jumpa Cik Husna, tak habislah bebalnya.”
Nur Husna ketawa kecil mendengarkan itu lalu duduk bertinggung
sambil menepuk-nepuk punggung Qalbi agar tidak terganggu lenanya. Wajah Zaki
yang sebik diusap penuh kasih.
“Zaki tak nak jumpa ibu ke? Kenapa bebal dengan ayah pagi-pagi
macam ni?” Anak mata bundar itu dipandang dengan renungan lembut. Penuh kasih
dan simpati mengenangkan nasib si kecil yang sudah kehilangan ibu untuk
bermanja diusia semuda ini.
“Zaki mengantuk ibu. Ayah kacau Zaki tidur. Zaki tak suka.”
Dengan pelat bibirnya sambil menggosok matanya, Zaki membalas pertanyaan Nur
Husna. Semakin lebar senyuman Nur Husna mendengarkan aduan si kecil.
“Kesiannya anak ibu. Mengantuk lagi ye. Jom kita ke dalam. Kita
sambung tidur ye. Sebelum tu, Zaki tak kasi morning
kiss dekat ibu lagi. Tak peluk ibu macam biasa pun.”
Mendengarkan itu, pantas Zaki melompat merangkul leher Nur
Husna erat lalu menanam ciuman dalam di pipinya bertalu-talu. Lakunya itu
mengundang ketawa semua orang yang memerhatikan gelagat mereka kecuali seorang.
Tidak terhibur langsung dengan keletah Zaki dan Nur Husna selain pandangan
tajam tanpa lepas.
“Saya tinggalkan anak saya ye Cik Husna, Puan Iffah. Saya pergi
dulu. Assalamualaikum.”
Perginya Proton Wira milik Badrul, Nur Husna pun memimpin
tangan kecil Zaki tanpa kekok mengendung Qalbi di tangan kirinya mendekati
mereka yang masih berbual. Bayi kecil itu pula tak terusik langsung tidurnya,
selesa sekali dalam pelukan Nur Husna.
“Puan, saya masuk dulu. Qalbi dah boleh tinggal kan?”
“Masuk lah Husna. Nanti saya jumpa kamu dekat dalam untuk
terangkan apa yang perlu.”
“Saya masuk dulu. Mari puan, encik, Cik Bella.”
Setelah mendapat izin dari Puan Iffah dan menunduk berpamitan
pada semua, Husna masuk ke dalam rumah sambil diperhatikan dua pasang mata
tanpa lepas lenggok langkah Nur Husna yang begitu berhati-hati menyamai langkah
kecil Zaki yang terkedek-kedek dan masih mamai. Pandangan yang penuh dengan
niat yang tersimpan.
“Macam mana Zam?”
Tanya Puan Rosnah kepada anak bujangnya yang tidak beralih
matanya walaupun kelibat Nur Husna sudah hilang di dalam rumah. Tanpa jawaban,
kebisuan terus mengunci bibirnya tanpa memberi sebarang respon.
Comments
Post a Comment