E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 14 - Demam
“Azami...”
Satu nama itu, semakin
kerap dipanggil bibir kering yang semakin memucat warnanya. Gelisah lakunya,
terbaring lemah di atas katil. Wajahnya merah dek suhu badan yang naik
mendadak, kain lembab sudah berkali-kali berganti baru di dahinya demi
mengurangkan suhu panas pada tubuh Nur Husna. Di luar sedarnya, kadang-kadang
tangannya menggawang tanpa arah, seperti mencari, seperti mahu menggapai
sesuatu.
“Azami.. Mak..”
Kadang-kadang, dua nama itu
silih berganti meniti di lidahnya. Butirnya adakala tidak jelas tapi suara
lemahnya yang acap kali memanggil dua nama itu membuatkan semua tahu siapa yang
dicari. Kadang-kadang gelisahnya melampau, jika tak bersambut tangannya yang
mencari; tiba-tiba sahaja tubir matanya basah, air matanya mengalir tanpa
suara.
“Azami..”
Nama itu dipanggil lagi.
Mereka yang berkumpul di dalam bilik itu saling berpandangan lagi. Sudah dua
hari Nur Husna terlantar di katil. Demam panasnya hingga tidak sedarkan diri.
Gadis yang sentiasa bersemangat dan ceria itu, entah apa silapnya, entah apa
sebabnya; Nur Husna seperti seorang yang dibawa pergi semua semangat dan
harapannya. Kali terakhir mereka melihat Nur Husna demam panas hingga tidak
sedarkan diri, ketika arwah Tuan Yusof pergi meninggalkan mereka sekeluarga. Jejaka
yang hanya diam di pintu bilik dipandang mereka. Dia masih begitu setiap kali
diizinkan Puan Senah untuk melihat Nur Husna di bilik; tidak berkutik selain
risau menyelubungi riak wajahnya, matanya langsung tidak lepas daripada tubuh
Nur Husna; menanti.
“Kami tunggu di luar dulu.
Mak biarkan pintu bilik terbuka. Kamu tengoklah Ateh ni, mungkin kalau kamu ada
dekat dia baru dia sedar. Sudah kamu yang dicarinya.”
Dia hanya mengangguk,
menghantar Puan Senah dan yang lain hanya melalui sorotan matanya sebelum
retinanya kembali ke wajah pucat itu. Terdengar suara keluhan yang tidak jelas
butir sebutannya selain Azami, Azami, Azami, mak, dan Azami lagi. Tangan Nur
Husna yang tadinya diam di sisi mula
tergapai-gapai mencari tempat bergantung.
Duduk sahaja di kerusi di
sisi katil, dia menunduk; menampung dahi dengan dua sikunya di lutut, wajahnya
diusap dibawa ke rambut menyebaknya kasar.
Tangan yang sedang mencari,
segera disambut lembut. Perlahan jemarinya mengusap lembut tangan yang sejuk
membeku itu lalu digenggamnya erat. Dibawa terus ke bibir dan dikucupnya lama
dengan mata yang terpejam. Hatinya dihenyak serba-salah.
Terlalu melampaukah
kata-kataku hingga kau terlantar sakit begini. Bangun Nur Husna, hilangkan
serba salahku.
“Azami..”
Lagi. Suara itu memanggil
lagi. Perlahan dia mengangkat wajahnya, berpaling ke sisi tanpa melepaskan
jemari Nur Husna di bibirnya. Matanya yang dipejam, dibuka memandang wajah yang
memanggilnya sebentar tadi. Postur tubuh yang tadinya menunduk segera tegak
melonjak ke depan; menerpa si gadis yang seperti sudah siuman daripada
tidurnya. Mata Nur Husna yang sepanjang masa tertutup juga sudah terbuka
separuh.
“Azami?”
“Ye, I dekat sini. You
okey? Nak apa-apa?”
Seperti menyedari lelaki di
sampingnya itu Azami walau samar matanya tidak jelas, matanya bergenang lagi,
hidungnya bertambah merah; petanda tangisnya mahu dihambur lagi.
Melihatkan itu, segera
telapak tangannya yang besar dibawa ke kepala si gadis yang sudah dipakaikan
tudung sarung oleh Puan Senah tadi. Terasa bahang panas memenuhi deria rasa
tapak tangannya, diusap-usap kepala itu dan dikesat air mata yang mengalir di
pipi tembam Nur Husna.
“Shh.. Jangan
menangis. I dekat sini.”
“Jangan tinggalkan saya.”
Rayu suara itu, lirih
memohon. Dia terpempan. Dirinya diserang persoalan. Mengapa begini jadinya?
Laku Nur Husna seolah-olah menjadikan dia satu-satunya tempat bergantung yang
Nur Husna ada. Mengapa sejauh itu diletakkan seorang Azami Norhakim yang hanya
sekali ditemui, menjadi orang terpenting dalam hidupnya. Jatuh hingga begini
kerana sakit dikecewakan. Walaupun begitu, masih merayu berharap agar dirinya
tidak ditinggalkan. Di manakah diletakkan Azami Norhakim dalam diri seorang Nur
Husna, hingga gering tidak sedarkan diri? Keluhan berat dilepaskan. Rasa serba
salah dan tidak percaya menggauli emosinya.
“Tak. I tak akan
tinggalkan you. I dekat sini kan?”
“Janji?” Rengeknya bagai
anak kecil mohonkan perhatian.
“I janji. Dah,
sambung tidur balik.”
Walaupun tidak ketara, dia
tetap perasan akan senyuman nipis yang terukir di bibir pucat itu. Dia mula
mengubah tempat duduknya di birai katil. Kepala Nur Husna dibawa rapat ke
sisinya, lengannya dijadikan alas tidur. Tangan satu lagi masih setia
menggenggam jemari Nur Husna. Perlahan mata kuyu itu mulai terpejam. Dahi Nur
Husna dikucupnya sepintas lalu sambil menepuk-nepuk bahu Nur Husna; berniat
mahu mendodoikan gadisnya.
*****
Suara kicauan burung dan
jeritan kanak-kanak riang bermain, sayup-sayup kedengaran. Matanya yang terasa
berat dipaksa buka. Dikelip berkali-kali menghilangkan kabur dan membiasakan
matanya pada cahaya yang merombos masuk ke retinanya.
Perasankan satu susuk yang
membelakanginya membuatkan dia cepat-cepat bangun dari baringnya mahu
memanggil. Malangnya tubuhnya masih lemah, kepalanya terasa pusing 360 darjah
mengundang loya lalu tanpa sempat ditahan, terkeluar segala isi perutnya yang
didominasi oleh cecair putih dan ketulan-ketulan kecil yang entah apa itu.
Habis baju dan katilnya disimbah isi perutnya. Bau yang kurang menyenangkan
mula memenuhi biliknya. Nur Husna mahu turun dari katil, tapi tubuhnya tidak
memberi kerjasama. Sudahnya, dia hanya mampu baring dengan tangannya di kepala.
Dahinya diurut dengan mata yang terpejam rapat, berharap agar dunianya yang
sedang berpusing kembali seperti biasa.
“Ya Allah, Nur Husna. Mak!”
Suara seorang lelaki cemas
menyapa telinganya. Samar-samar susuk tadi kelihatan menghampirinya di sisi
katil. Dalam kepalanya berpusing, sempat lagi Nur Husna menggagau kepalanya
bagi memastikan auratnya terlindung. Mengapa ada lelaki dalam biliknya? Abang
Long ke? Atau Abang Ngah?
“Hari ni hari apa?”
Tanya Nur Husna tanpa
membuka matanya. Mungkin salah seorang abang iparnya. Mungkin juga sekarang
hujung minggu, jadi sudah pasti Along atau Angahnya ada di rumah.
“Jumaat. You okey
tak ni? Buka mata I nak tengok.”
I? You? Ahli keluarganya tidak
menggunakan dua perkataan itu sebagai ganti diri mereka.
Melainkan...
Cepat-cepat matanya dibuka
luas-luas dan tubuhnya duduk menegak; sempat wajah itu menyapa pandangannya
sedetik sebelum terbaring semula dengan tekupan di mulutnya rapat. Kepalanya
pusing, loya menggaru-garu tekaknya lagi.
“Easy girl.
Tergesa-gesa ni nak pergi mana?”
Marah suara itu dengan
kelakuan Nur Husna.
“Apa Encik Azam buat dekat
sini? Mana.. er.. er..”
Entah kenapa nama itu pula
yang terlintas di mindanya. Lekas bibirnya digigit, menghalang diri daripada
menyebut nama gerangan itu. Setelah retinanya sudah mulai terbiasa dengan
cahaya dan rasa pusing sudah semakin hilang, Nur Husna cuba untuk bangun sekali
lagi. Kali ini lebih berhati-hati, duduk bersandar di kepala katil. Jemarinya
diurut pada batang lehernya, menghilangkan rasa gatal dan mual di situ.
Tekaknya perit dan suaranya juga berubah. Seperti orang tua bunyinya. Sakit
juga hatinya melihatkan wajah Azam yang cuba menahan diri daripada ledakkan
tawanya saat dia bersuara tadi.
“Kenapa? Cari Azami?”
Serkap jarang Azam yang tepat
mengena pada ayatnya yang tergantung membuatkan Nur Husna terkulat-kulat di
tempatnya. Lidahnya kelu mahu membalas apa. Pandai sahaja lelaki ini membaca
hatinya. Dan dirinya masih tertanya-tanya, apa Azam buat dekat sini? Di
biliknya?
“Azami dah balik. Dua hari
dia duduk sini jaga you demam tau. Betuah you dapat tunang ambil
berat macam tu.”
Kata Azami lagi, menyambung
bicaranya tadi dengan senyuman mengusik.
Nur Husna terkebil-kebil
mendengarkan pernyataan Azam itu, tidak dipedulinya nadanya yang berunsur
usikan melainkan wajah lelaki itu dipandang kosong. Azami ada di sinikah?
Mengapa dia tak pernah sedar pun? Teruk sangat ke dia demam sampai tak sedarkan
diri? Sudah berapa hari dia terlantar sakit? Segala persoalan yang menyesak
mindanya diganggu dengan layanan Azam terhadapnya. Berkerut dahinya tapi
dirinya kaku tidak menghalang.
Tangan Azam tangkas bekerja
menarik selimut yang menutupi tubuhnya lalu disepuk ke lantai bilik. Begitu
juga dilakukan pada cadar bunga tulip yang menjadi sarung katilnya dan sarung
bantalnya itu. Teralih tubuh Nur Husna sekejap ke kiri sekejap ke kanan apabila
Azam tidak berjaya menarik cadarnya keluar. Niat mahu membantu tapi diketawakan
Azam kerana melihatkan dia terkial-kial mahu alihkan tubuh. Tak guna punya
bakal abang ipar! Bukan dibantu, ditolaknya lagi ketepikan Nur Husna. Dengan
wajah cemberut, Nur Husna menjeling tajam Azam yang masih giat dengan kerjanya.
Lelaki itu tak endahkan amarah Nur Husna. Segala benda yang terkena sisa muntah
Nur Husna diambil lalu dilonggokan pada satu tempat. Raga baju yang kosong di
biliknya digunakan sebagai tempat untuk mengumpul semua itu.
Tidak dapat dibendung lagi
hatinya, walaupun sakit hati dengan sikap Azam tapi Nur Husna sangat tersentuh
dengan laku Azam yang langsung tidak jijik membersihkan semuanya. Malah tanpa
sempat ditahan, tangan itu laju memerah tuala lembab yang tersedia di kabinet
sisi katil, digunakan untuk membasuh kesan kotor pada wajah dan jemari Nur
Husna. Sangat teliti seperti melayan anak kecil. Setelah dibasuh dengan air
bersih, Azam kembali dengan kain lembab tadi dan sehelai kain kering. Kain
kering digunakan untuk mengeringkan wajah dan tangan Nur Husna manakala kain
lembab itu diserahkan kepada Nur Husna untuk melakukannya sendiri.
“I nak pergi panggil
Mak Senah tolong you tukar baju, Mak Senah dekat belakang tadi.
Sementara tu, you lap baju dan tudung you sendiri ye. I
nak buat, tapi tak naklah terpegang atau tersentuh pada tempat yang tak
sepatutnya. Tak fasal-fasal you saman I buat gangguan seksual
dekat you nanti. Seram!”
Nur Husna yang sememangnya
sedang tidak selesa dengan layanan Azam yang terlebih mengambil berat itu,
tidak mampu menahan wajahnya yang hampir meletup kerana malu diusik Azam. Laju
saja tangannya membaling kain di tangannya ke arah Azam, refleks tubuhnya mahu
menutup malu.
“Encik Azam!”
Keluar juga suara itik
serati tuanya. Geram! Menambahkan rasa perit dan gatal pada tekaknya apabila
Azam makin galak meledakkan tawanya! Kalau dapat ke aku, memang lunyai mulut tu
aku kerjakan. Kotak suara dia pun aku cabut sekali! Huh!
“Dah boleh nak jerit, nak
baling ke orang, itu maknanya orang tu dah sihat la.”
Jerit lelaki itu yang sudah
hilang di sebalik daun pintu melarikan diri daripada serangan Nur Husna tadi.
Mungkin pergi mencari Puan Senah barangkali. Sakit hatinya melihatkan kain yang
dibaling tidak kena pada orangnya tapi elok tersepuk di depan pintu umpama kain
buruk. Namun, bebelnya hanya sebentar kemudian tak tertahan lagi tawa kecilnya
terletus juga di bibirnya dengan laku Azam yang ada sahaja akalnya mahu
mengusik. Lupa terus Nur Husna pada segala kesedihan yang menyebabkan dia
terlantar di katil hampir empat hari. Pejam celiknya di luar kesedaran diri.
Lama Nur Husna termenung,
cuba mengingati semula apa yang berlaku sepanjang tempoh tidak sedarnya. Nur
Husna tak sepenuhnya pengsan. Dia sedar, tapi mamai. Seperti sedang dalam dunia
lain. Bangunnya pula perlu dipapah sentiasa, kalau tidak terjelepok dia di
lantai bilik bagai orang lumpuh. Perutnya sentiasa meragam mahu muntahkan isinya.
Melihatkan tubuhnya sekarang, Nur Husna dapat mengagak. Beratnya makin menyusut
hanya dalam tempoh empat hari.
Hurmm.. dia sendiri
terkejut dengan dirinya yang diserang demam panas hingga tidak bangun. Kali
terakhir dia begini ketika ayahnya pergi meninggalkan dia sampai bila-bila.
Waktu itu, Nur Husna memang
dalam kondisi yang lemah semangat. Maklumlah, baru lepas melalui trauma
kemalangan yang hampir meragut nyawanya. Ketika itu, Tuan Yusof merupakan
satu-satunya insan yang hampir tidak pernah berpisah dengan Nur Husna. Dan
kehilangannya, bagai dibawa pergi separuh daripada dirinya. Semangatnya,
harapannya, tempatnya bergantung sudah tidak ada lagi untuk dipaut. Lama juga
Nur Husna mengambil masa untuk kembali pulih dari lumpuhnya, untuk dia terima
kenyataan dan kembali meneruskan hidup seperti sedia kala. Tidak lagi
berkurung, meratap dan menangis.
Dan mujurlah, kali ini Nur
Husna hanya demam panas yang biasa. Sedarnya terus ke alam realiti, tidak terus
dirundung duka hingga meratap dan menangis. Malu besar dia kerana begitu mudah
jatuh dalam permainan emosi hanya kerana lelaki itu yang bukan siapa-siapa
selain tunangnya, itupun bukan kemahuan dia. Lagipun, lelaki itu bukan
meninggal pun mahu meratap bagai.
Namun, tak dinafikan.
Apabila mengingatkan semula kejadian malam hari pertunangannya, Nur Husna tak
mampu menahan rasa perit direndah-rendahkan oleh insan yang bertakhta di hati.
Parut yang bernanah itu masih berbekas hingga sekarang. Cuma Nur Husna terleka,
dia kalah dengan perasaan sendiri. Ketika mendengar segala yang dikatakan
lelaki itu, hati dan minda sangat menafikan apa yang keluar dari mulut insan
yang Nur Husna letakkan harapan padanya untuk berpaut. Jadi dia jatuh, sakit
untuk bangun lagi.
Jangan ditanya bila dan
bagaimana Nur Husna sudah sangat menginginkan lelaki itu tempat bergantungnya.
Hingga tega hatinya untuk mencintai lelaki itu sepenuh hatinya. Saat nama Azami
Norhakim menyapa telinganya, nama itu seakan-akan sangat terbiasa seoalah-olah
bukan pertama kali Nur Husna kenal dengan pemilik nama itu. Saat itu juga,
nalurinya kuat mahu memilih Azami Norhakim.
Setelah itu, bagai yakin
Azami Norhakim itu orangnya, segala macam angan dan harapan mula terangka dalam
impian kosongnya. Setiap kali Nur Husna bersendiri, nama itulah yang menemani imaginasinya.
Tersenyum dan malu seorang setiap kali membayangkan kehidupan bahagia rumah
tangganya nanti. Tambahan lagi, sikap dan figura Azami Norhakim yang tidak
diketahui bagaimana sudah acap kali Nur Husna samakan seperti arwah Tuan Yusof.
Seorang penyayang, budiman dan ambil berat seperti ayahnya. Harapan dan angan
dipasak sempurna dalam dirinya dan apabila berdepan realiti dengan si empunya
nama, emosinya berombak hebat. Sakit tidak terucap. Penolakan Azami Norhakim,
umpama merentap harapan dan semangatnya pergi. Nur Husna tak dapat terima
kenyataan!
Ya, katakan lah sesukanya.
Dia memang gila. Rasa obsesnya tak dapat dibendung. Azami Norhakim, lelaki
pertama yang Nur Husna benarkan bertapa dalam hatinya setelah bertahun-tahun
pemergian Tuan Yusof. Kerana itu, biarpun berkali-kali dikecewakan dengan sikap
Azami Norhakim yang menghindarinya biarpun rasa kasihnya berkali-kali, Nur
Husna tepis semua itu kerana hatinya sangat yakin Azami Norhakim itu punya
alasannya dan Azam itu figura yang Nur Husna sering salah sangka itu Azami
Norhakim. Tambahan lagi, layanan Azam terhadapnya semakin baik. Matanya
dibutakan. Apa yang terbayang-bayang dalam mindanya hanya Azam itu adalah
Azami.
Gila kan? Lepas itu, dah
kena macam tu dengan Azami Norhakim sendiri, meroyan lah dia. Padan muka diri
sendiri. Dahulukan manusia, pentingkan kemahuan nafsu diri, malah Tuhan
dibelakangkan. Tak pernah ditanya bolehkah aku berharap begini? Kalau aku mahu
begitu redhakah Allah terhadapku nanti?
Istikharah?
Nur Husna tiba-tiba tertawa
senada. Sinis. Padan mukakan diri sendiri. Baik lah sangat! Istikharah
tu syarat je, penyedap hati sendiri, mengaburi mata keluarga. Kononnya, aku
sudah buat. Sedangkan hati tak sungguh-sungguh pun meminta petunjuk. Sudah jiwa
dan raga angankan orang itu. Gambaran wajah Azami Norhakim yang kerap kali
mengunjungi mimpi lenanya, bukan main teruja yakin itu jawaban istikharahnya.
Hakikat sebenar, mata hatinya terhijab untuk melihat petunjuk Tuhan.
Hurmm.. Husna.. Husna..
Tergeleng-geleng Nur Husna
mengenangkan sikap diri sendiri. Apabila dicongak-congak, sudah hampir dua
bulan juga Nur Husna berangankan lelaki yang sudah selamat menjadi tunangannya
itu. Bila mengenangkan sikap Azami Norhakim, rasa sia-sia sahaja Nur Husna
angankan lelaki itu. Tak worse langsung! Rasa macam bodoh gila! Apa yang
kau nampak sangat dekat Azami tu Husna? Entah apalah dia gunakan sampai kau tak
fikir jauh dah.
Eh, salahkan orang pula
Husna ni.
Mengingatkan tunangnya itu,
tangan kiri diangkat tinggi, rapat ke mukanya. Memandang cincin belah rotan
yang sudah longgar dek beratnya yang menyusut. Tanpa sedar, keluhan terlepas
juga di mulutnya. Jadi Husna, kau dah waras kan sekarang? Apa kau nak buat?
Putuskan pertunangan? Atau ikut je syarat Si Hati Batu tu?
Tapi, mampu ke aku nak
mahir segala-galanya dalam masa dua bulan? Lain-lain tu aku boleh kerah mental
dan fizikal aku lagi. Tapi bila masuk bab kena belajar selok-belok bisnes dia,
protokol dan etika segala bagai, tak mula lagi aku memang nak tarik diri.
Yelah, keputusan subjek Ekonomi waktu SPM dulu pun cukup-cukup makan je. Kalau
belajar bisnes tu senang, buat susah aku je habiskan diploma kanak-kanak. Baik
aku belajar bisnes, boleh aku buka kedai sendiri. Amboi! Jauh berangan!
Hurmm.. ikutkan sakit hati,
Nur Husna memang nak sangat putuskan pertunangan ini. Tapi, aku sayang dia..
Ek?
Laju tangannya menampar
pipi sendiri. Aduh, sakitlah! Tak guna punya tangan. Itulah kau Husna, tak
serik ke sampai susah nak buang sayang tu?
Hurmm..
Matanya mula mengelilingi
bilik sendiri. Nak keluar pergi tandas, kepalanya masih berpusing-pusing. Nak
tanggalkan tudung, risau pula Azam tu rempuh masuk. Free tergadai maruah
dia nanti. Adik tak sempat tengok, abang dah rasmi dulu. Apakah?
Tapi, disebabkan kebosanan
mula bermaharajalela dalam diri, Nur Husna gagahkan juga untuk bangun dari
baring. Langkahnya satu-satu sambil berpaut pada apa sahaja yang boleh menampungnya
dari jatuh. Mahu menunggu ibunya, macam lambat saja lagi. Lagipun dia semakin
rimas, dengan bau yang menambahkan lagi mualnya. Ada baik juga dia keluar.
Dapat dia hirup udara segar sikit. Perlahan langkahnya diatur ke pintu.
Ketika tiba di meja kerjanya,
langkah Nur Husna terhenti. Fail biru yang terletak elok di situ dicapai. Kalau
tak silap, Nur Husna perasan Azam sedang membelek fail ini tadi. Mengapa fail
ini ada di sini? Adakah ahli keluarganya tahu akan segala syarat Azami Norhakim
kenakan? Adakah lelaki itu mengugut keluarganya?
Sebut nama lelaki hati beku
itu, rasa amarahnya sedikit mendidih mengenangkan segala laku jejaka itu.
Kesudian Azami Norhakim menjaganya selama dia sakit, tidak sedikit pun Nur
Husna berasa terharu. Lagi menyebalkan adalah. Mungkin niat Azami Norhakim
hanya mahu mengejek Nur Husna itu lembik. Tak pun, mungkin arahan daripada umi.
Sebab itu dia terpaksa menjaga Nur Husna. Hari ni Azam yang jaga Nur Husna pun,
mungkin sebab lelaki itu dah tak tahan mahu jadi tugu menjaganya sampai sembuh.
Lelaki macam tu kau nak buat suami? Like, seriously Nur Husna?
“You dah decide ke?”
“Hah?”
Terpinga-pinga Nur Husna
apabila ditanya tiba-tiba Azam yang sedang bersandar di sisi pintu bilik Nur
Husna sambil berpeluk tubuh. Sejenak Nur Husna terpegun dengan figura sempurna
ukiran susuk di depannya. Seperti selalu, jantungnya sibuk mahu berpalu hebat.
Tambahan lagi, saat matanya berpaut pada mata coklat itu. Aduh, kenapa sempurna
sangat muka dia ni? Sedar dengan kenakalan kata hati dan matanya, bibir digigit
kuat, segera wajah dipaling ke depan.
Jangan nak mula bayangkan
Azam tu Azami Norhakim, Nur Husna! I warn you!
“Mak mana?”
Nur Husna cuba melarikan
perhatiannya, tambahan lagi saat menyedari Puan Senah tiada di situ. Bukan
sepatutnya Azam pergi mencari ibunya? Jadi mengapa hanya lelaki ini seorang di
sini? Lebih membuatkan Nur Husna berasa tidak senang, Azam hanya kaku berdiri
memerhatikannya tanpa lepas dan tanpa senyuman. Aku ada buat salah ke?
“Mak Senah dalam tandas.
Dia suruh I bawa you pergi bilik air dulu. Nanti dia menyusul.”
“Oh..”
Terangguk-angguk Nur Husna
mendengar penjelasan Azam. Fail di tangan diletakkan semula lalu mengorak
langkah untuk ke luar bilik. Tanpa dipinta, Azam lebih awal menyambutnya.
Memaut lengan Nur Husna yang berlapik t-shirt berlengan panjang untuk dipapah
ke bilik air.
“You tak jawab lagi
soalan I.”
“Soalan apa?”
Nur Husna terpinga-pinga
mendengarkan penyataan Azam. Dia ada tanya soalan ke? Azam seperti jengkel saat
melihatkan lelaki itu memutarkan matanya. Eh, tak payah lah nak julingkan mata
tu. Juling betul baru tahu.
“You dah decide
ke? Nak ikut syarat Azami atau putuskan pertunangan korang?”
Arhhh.. baru dia ingat Azam
ada tanyakan soalan itu tadi. Itulah, ralit sangat telek anak orang. Haish!
“Hurmm..”
Nur Husna menggumam seperti
berfikir, sambil mengusap-ngusap dagunya. Sebelum senyuman sinis terukir lebar.
“You smile and I don’t like
it.”
Mendengarkan itu, Nur Husna
pun ketawa lepas tanpa mengulas lanjut dengan komen Azam.
Semangatnya kembali
berkobar. Ini Nur Husna lah!
Comments
Post a Comment