E-Novel: Maroc Love Footprint 7




"Maafkan abang." Kata-kata Sharqawi disusuli kucupan di dahi Hilda. 

ilda semakin terhenyak. Kata maaf daripada umi, abah dan Sharqawi silih berganti terngiang-ngiang di telinganya. Siapakah yang salah sebenarnya? Akukah yang sering berguarau tanpa berfikir? Atau adakah kerana keputusan abah dan umi tanpa bertanyakan aku dengan lebih serius? Atau dia yang melulu ingin menikahi aku secara samborono? Allah.. tenangkan aku.


'Tidak mahukah Hilda mengenali hati budinya dahulu?'


'Seandainya kelemahannya menyebabkan hak-hak Hilda tidak tertunai sebagai seorang isteri zahir dan batin, maka barulah Hilda katakan. Go on!Berpisahlah.'


Pertanyaan umi dan abahnya kembali menjengah di fikiran. Aku belum kenal siapa dia? Bagaimana aku ingin hidup dengan lelaki asing ini? Kenal hati budinya? Jadi, aku perlu hidup dengan dia? Jika ingin berpisah, adakah keputusan itu sebaik-baik keputusan? Apa alasan yang kukuh? Aku tidak kenal dia, itu sahajakah? Jika soal hak diketengahkan, pertemuan kami masih baru. Masih samar-samar hak yang tertunai dan tidak tertunai. Tapi, datangnya dia ke Morocco pasti ingin menyempurnakan hak dan tanggungjawab. Dia tidak meninggalkan aku setelah melafazkan akad. Dia serius mengikat aku demi kesempurnaan agamanya. Malah dia mencari aku demi melaksanakan janjinya, haknya dan tanggungjawabnya. Apakah masih ada yang melanggar syariat dalam ikatan ini? Atau apakah kau sebenarnya tidak menyukai dia, Hilda?


Ya, Memang! Sebab sepanjang aku kenal dia, apa yang aku tahu dia sangat menjengkelkan, pemaksa, sesuka hati ingin bertindak! Ketus hati Hilda membidas pertanyaan sisi hatinya. Emosinya sedikit berubah apabila teringatkan semula perjalanan pertemuan mereka seminggu yang lalu. Tapi alasan itu tidak kukuh. Apakah sewajarnya aku bukakan hati aku demi mengenali hati budinya? Bagaimana dalam tempoh itu sikapnya sangat kontra daripada apa yang abah ceritakan. Aku tidak mahu perjudikan nasib dan masa depanku dengan penderitaan yang bakal aku lalui. Umurku masih muda!

Fikiran kau terlalu negatif Hilda! Apa yang kau fikirkan hanya sangka buruk dengan takdir Tuhan. Sedangkan kau sendiri selalu katakan, setiap yang berlaku samada baik atau buruk pasti ada hikmahnya. Malah kau sering nasihatkan housemate kau, sepandai-pandai manusia merancang perjalanan hidupnya dengan sempurna, hebat lagi perancangan Allah yang Maha Mengetahui perjalanan hidup seorang manusia itu. Malahan, telah ditentukan kebaikan dan keburukan manusia saat roh ditiupkan ke dalam rahim. Sedarlah Hilda, kau selalu katakan kepada sesiapa sahaja, lihatlah takdir itu dari sudut positif dahulu, kemudiankan perkara negatif yang sering mendatangkan ragu-ragu. Pernikahan kan ibadah, mengapa kau harus menolaknya. Jika penderitaan yang kau takutkan, itu hanya ilusi yang tidak jelas. Jika kebahagiaan yang kau cari, redha Allah yang kau cari, segala dugaan akan kau dapat atasi. Terima sahajalah Hilda, ketepikan ego kau. Kenalilah hati budinya terlebih dahulu. 


Penat berperang dengan kata hati, penat lagi menahan tangis yang tidak mahu berhenti. Pelukan Sharqawi ditolak perlahan, tersedu-sedan Hilda cuba menenangkan diri. Sapu tangannya digunakan Sharqawi untuk mengesat air mata Hilda. Luluh hati lelaki itu melihatkan keadaan isterinya itu. Serba salah sangat menghentak dadanya. Adakah dia terlalu terburu-buru? Wajah Hilda yang putih bersih itu dibersihkan dengan lembut. Matanya yang merah mulai membengkak, hidung kecil yang merah kelihatan sukar untuk bernafas, bibir yang merah menyala digigit Hilda cuba mengawal tangisnya. Semua itu diusap jemari kasar Sharqawi dengan penuh kasih. Dagu Hilda diangkat lembut dengan telunjuknya memaksa Hilda yang sedang menunduk memandang Sharqawi. Lelaki itu mengukir senyuman nipis. Sapu tangan dikepilkan pada hidung Hilda.


"Hembus." Laju Hilda menggeleng. Tangan Sharqawi cuba ditepis. Tapi, pantas sahaja tangan Sharqawi menangkap kedua-dua tangan Hilda. Digenggam dengan satu tangan kirinya sudah cukup mengunci Hilda daripada meronta.


"Hembus cepat, nanti tak boleh bernafas." Lagi laju Hilda menggeleng. Selaju Hilda menggeleng, lagi laju Sharqawi mengangguk. Lagi kuat Hilda cuba meronta. Kedegilan Hilda yang berdiri secara tiba-tiba memaksa Sharqawi menarik Hilda secara paksa. Terduduk Hilda di atas riba Sharqawi tanpa sempat melarikan diri. Peluang itu Sharqawi lingkarkan tangan kirinya pada tubuh Hilda lantas mengunci kedua-dua tangan Hilda. Pelukan dikejapkan dengan merapatkan belakang Hilda ke dada Sharqawi. Sapu tangan yang dipegang segera diletakkan pada hidung Hilda kembali. Wajahnya ditongkatkan pada bahu Hilda sambil berkata.


"Hembuslah cepat. Nak lari pulak dia." Hilda menggeleng. Masih cuba ingin melarikan diri.

"Cepatlah Hilda. Nak kena cium ke?" Serentak itu, rontaan Hilda terhenti. Wajah Sharqawi yang sangat dekat di bahu kirinya dijeling dengan hujung mata. Ingin berpaling, Hilda tidak berani. Daripada ugutan tak fasal-fasal jadi betul.


"Saya buat sendiri." Sharqawi menggeleng. Isyarat mata diberi sebagai amaran. Hilda yang tadinya diruntun hiba, mula ingin bertaufan katrina. Tangisan yang sudah berhenti tadi, terasa seperti ingin banjir semula. Baru sahaja ingin bukakan hati buat lelaki ini, tapi lakunya seperti tidak mahu isteri. Umi, kenapa menantu umi ni suka memaksa sangat? Dek terlalu geram, Hilda berpaling memandang Sharqawi. Mata mereka bersabung. Ada ura-ura lahar bakal dimuntahkan. Hilda yang menahan rasa di dalam hati, dengan sengaja menghembus hidungnya kuat-kuat sambil memejamkan matanya rapat-rapat lagak bersungguh hati. Biar keluar segala mak nenek dalam hidung aku ni, kalau kena jari dia lagi bagus. Padan muka!


Sharqawi yang faham kesengajaan Hilda itu tersenyum hingga terletus tawanya. Mendengarkan ketawa itu, lagilah Hilda hembus semahunya. Memang tak pernah sakit hati kot dia ni. Geram dengan Hilda, Sharqawi menarik hidung Hilda tingi-tinggi. Menjerit Hilda dengan laku Sharqawi yang sungguh minta penampar dari tangan kecilnya. Mujur tubuhnya sekarang dikunci, kalau tak memang aku pijak-pijak jadi alas kaki. Memang sengaja betul!


"Kan dah mendapat. Nakal lagi. Nah air, basuh muka tu. Comot!" Rangkulan pada tubuh Hilda dilepaskan. Mineral Sidi Ali yang dibeli ketika cemas mencari Hilda seharian ini dihulurkan kepada Hilda yang sedang menggosok hidungnya yang semakin memerah. Hilda menyambut botol kecil itu lantas menurut apa yang disuruh Sharqawi. Sharqawi hanya memerhati sambil tersenyum nipis. Memang bom detik isterinya ini. Mahunya tidak, sakit jantungnya saat diberitahu rakan serumah Hilda bahawa isterinya tidak pulang-pulang walaupun telah keluar setelah solat Subuh. Lebih buatkan Sharqawi cemas mendengarkan jawapan teman Hilda saat ditanyakan apa yang dilakukan Hilda sepanjang minggu itu. Makannya tidak lalu, bercakap juga tidak, kuliah tidak pergi, tidak keluar bilik apatah lagi keluar dari rumah. Tiba-tiba sahaja Hilda keluar pagi ini tanpa bercakap sepatah kata pun hendak ke mana. 


Telefon Hilda pula langsung tidak dihidupkan sepanjang minggu ini bakal menyukarkan dia untuk mencari Hilda. Fikir Sharqawi Hilda hanya mengelak berbual dengannya berkenaan insiden tempoh hari. Wajah mencuka Hilda masih terbayang-bayang di ruang mata. Jadi, dibiarkan Hilda berfikir dengan tenang tanpa gangguannya. Dia faham situasi Hilda, tanggungjawab yang harus digalas sekelip mata tanpa tahu, siapa yang boleh redha dengan begitu sahaja. Kepada umi dan abah Hilda juga dipesan supaya jangan diganggu Hilda untuk sementara waktu. Setelah seminggu berdiam diri, Sharqawi memutuskan untuk ke rumah Hilda berpandukan arah yang diberitahu Hakim kepadanya.

Risau usah dikata, sudahlah tidak tahu ke mana perginya dia. Lebih buntu kerana tidak tahu harus cari di mana. Puas ditanya teman-teman yang mengenali Hilda. Pelajar Indonesia, Malaysia dan Thailand semua ditanya jika ada yang melihat Hilda. Tempat yang sering dikunjungi sudah dia jejaki semuanya. Univeristi, taman-taman berdekatan, pasar, setiap penjuru residence, pasaraya hinggalah ke masjid. Masjid Uhud, Masjid Omariah, Masjid Musolla, Masjid Omar Farouq hingga ke Hassan II dan kembali semula ke Ain Chok tapi Hilda tetap tidak ditemui. 


Zohor telah berkumandang azannya, Sharqawi singgah sebentar di Masjid Musolla untuk solat dan beriktikaf di situ demi memikirkan ke mana lagi harus dicari Hilda. Walau dipujuk hati bahawa Hilda bakal pulang, tapi gelisah tetap bertapa di hati. Tidak puas rasanya selagi tidak bertemu mata dengan Hilda. Ditanya juga kepada umi dan abah akan khabar Hilda tetapi tiada. Apabila disoalkan hal itu, terngadah dia ditanya penuh kerisauan oleh mertuanya tentang Hilda. Tapi Sharqawi cuba menafikan tiada apa-apa yang berlaku walaupun Sharqawi tahu silapnya bersuara tentang Hilda pastilah risau yang menjadi peneman.


Setelah satu jam di masjid, Sharqawi memutuskan untuk menyambung pencariannya. Walaupun tidak tahu harus ke mana tetap langkah terus diatur. Sehinggalah abah memberitahunya telefon Hilda sudah dihidupkan. Hilda cuba dihubungi, tapi taliannya sibuk. Tanpa berlengah GPS dibuka, keberadaan Hilda dikesan.


"Hilda tak sukakan abang?" Laku Hilda yang sedang mengeringkan wajahnya dengan tisu muka terhenti. Sharqawi yang sedang duduk sambil tersenyum nipis dipandang Hilda. Bertaut keningnya dengan persoalan Sharqawi.


"Tak cakap pun." Beg Hilda yang terkeluar isinya dikemas Hilda sambil menjawab persoalan Sharqawi. Sedikit gugup menutup hati yang ragu-ragu. Tak kan nak mengaku kot.

"Kenapa menangis?" Sharqawi cuba mengorek. Wajah Hilda yang cuba mengelak dari bertemu mata dengannya dipandang penuh menarik.


"Mata masuk habuk." Terletus ketawa Sharqawi mendengarkan itu. Jawapan budak-budak. Masuk habuk la sangat. Gaya menangis dah macam air terjun dah.


"Hilda tak setuju dengan pernikahan ini?" Diam. Sharqawi mendekat. 


"Hilda marahkan abang?" Diam. Lagi dekat.


"Hilda marahkan umi dan abah sebab rahsiakan semua ini?" Diam. Wajah menunduk Hilda diintai. 


"Hilda tak nak tinggal dengan abang?" Semakin mendekat. 


"Hilda nak lari dari abang?" Laku Hilda sudah berhenti kini menjadi tunggu.


"Hilda..." Sharqawi berbisik menyeru nama Hilda. Tetap tiada sahutan.


"Hilda..." Bahu Hilda dicuit.


"Hilda nak kita pis..."


"Hilda nak makan. Perut dah lapar." Pantas Hilda berpaling memotong percakapan Sharqawi kerana tidak mahu mendengar apa yang ingin dikatakan lelaki itu. Hilda tersengih menayangkan barisan giginya yang putih bersih disertakan dua jari sebagai peace tanda trademark. Tidak menunggu, ketawa besar Sharqawi dengan reaksi spontan Hilda itu. Tergeleng kepalanya dengan kerenah Hilda. Masih seperti kanak-kanak. Iya, namanya pun 19 tahun.


"Okey, jom pergi makan." Jemari Hilda digenggam sambil bangun berdiri lalu tubuh kaku itu ditarik menuruti langkahnya. Walaupun sebal diperlakukan sesuka hati oleh Sharqawi. tapi untuk pertama kalinya Hilda tidak lagi ingin meronta. Hatinya dipujuk cuba terus melangkah dengan seikhlas hati.


"Hilda..." Dalam melangkah mencari pintu keluar masuk taman yang seperti maze ini, Sharqawi memanggil lagi. 


"Hurmm..." Sahutan sebagai penyedap hati.


"Abang dah jumpa rumah." Khabar yang biasa tapi luar biasa bagi Hilda. Kejutan apakah? Terhenti langkah Hilda dan berpaling memandang Sharqawi dengan seribu kerutan.


"Cepatnya?" Persoalan yang disimpan akhirnya terluah.


"Dah rezeki." Jawapan yang sangat ringkas dan kembali menarik tangan Hilda menyambung langkah. Tapi ditarik Hilda kerana tidak puas hati dengan jawapan itu. Seperti ada sesuatu. Wajah Sharqawi dipandang mohon jawapan.


"Apa?"


"Awak cari sendiri?"


"Hakim tolong."


"Cepatnya?" Soalan yang sama tetapi hanya dijawab dengan senyuman Sharqawi. Soalan dibiarkan sepi tanpa jawapan. Hilda tak puas hati membatukan diri. Sharqawi tersenyum lucu dengan isteri sendiri. Kalau tak puas hati tu ada sahaja lakunya.


"Dah rezeki. Dapatlah. Kenapa? Tak suka? Nak lari lagi? Tak nak tinggal dengan abang?" Terkebil-kebil Hilda ditanya soalan bertalu-talu seperti itu. Lain yang ingin dikorek, alih-alih dia yang terkena balik. Tahulah muka aku ni terlalu terang lagi bersuluh seperti kena kahwin paksa. Tapi, tak payahlah provok dengan soalan-soalan yang macam tu. Tidak mahu bersoal jawab lagi, Hilda mendahului langkah mereka. Sharqawi tersenyum sumbing membiarkan si isteri menjadi penunjuk arah buat mereka.


Biarlah dulu isterinya dibebani soalan-soalan siapa dirinya. Lama-lama Hilda pasti tahu. Lagipun mereka masih dalam fatrah(1) berkenalan. Waktu masih banyak untuk mengenali antara satu sama lain. Dia ingin Hilda mengenali dirinya dengan rela hati, tiada paksaan, bukan disuruh mahupun mendengar dari yang lain. Sampai waktunya, Hilda akan tahu segalanya. Zahir dirinya mungkin sangat mudah dikenali. Bagaimana yang tersembunyi, latar belakang yang sangat sulit untuk dibongkarkan. Adakah Hilda siap untuk itu?


Taman yang sunyi tadi mula terasa hidup apabila dikunjungi anak-anak kecil yang ditemani ibu masing-masing. Lebih ketara kelompok kanak-kanak ini di penjuru kiri taman yang terdapat taman permainan di situ. Riuh dengan suara gelak ketawa anak-anak kecil bermain dan berkejaran. Ada yang sudah kotor dan comot bermain tanah dengan penuh ceria. Ibu-ibu menyapa sesama mereka dan mula berbual-bual kosong. Beberapa orang berlari-lari anak melepasi langkah Hilda dan Sharqawi yang melenggang, mereka berjogging mengelilingi taman yang luas. 



Kat sini selalu nampak orang buat senaman
Kat sini selalu nampak orang buat senaman.
-Kredit Gambar: Google Image-

Tidak jauh dari jarak mereka, beberapa pak cik tua sedang melakukan senaman yoga diketuai oleh seorang lelaki berumur senada. Agak menarik senaman mereka diiringi muzik rancak. Walaupun terasa agak kontra dengan yoga yang seharusnya memerlukan melodi harmoni demi mencapai titik fokus yang tinggi pada senaman mereka. Tetapi muzik itu tidak langsung mengganggu pergerakan mereka yang lembut, malah kelihatan lebih bertenaga dan cergas. Tidak kurang juga anak-anak gadis yang berseragam putih taekwondo bertali pinggang hitam kelihatan baru masuk ke taman. Mereka mula bergerak mencari tempat yang sesuai untuk berlatih. Sepertinya baru pulang dari Markaz Riyadiyat iaitu Markaz Sukan yang tidak jauh dari taman itu. Nyamannya untuk melakukan sebarang aktiviti di taman itu kerana tamannya yang tertutup dari hiruk-piruk kota. Begitu juga jika ada yang ingin menyendiri dari kelompok pengunjung lain untuk study atau murajaah(2) pelajaran, cari sahaja mana-mana penjuru di taman itu, pasti banyak kawasan yang sunyi daripada laluan manusia.

Keluar sahaja daripada pintu taman, mereka disambut dengan kesesakan lalu lintas yang terlalu bising bunyinya. Bising dengan hon-hon kereta yang tidak mahu berhenti. Jelas kesesakkan itu melihatkan panjangnya kereta yang beratur kerana detik lampu hijau di persimpangan lampu isyarat terlalu sekejap. Sudah pastilah menimbulkan tekanan pada para pemandu dek pemanduan yang tidak berganjak. Jika ada yang tidak sabar, berbagai-bagai sumpah seranah mangalir dari mulut. Lengkingan suara berawangan di angkasa dengan suara amarah manusia yang penuh emosi. Hilda hanya mampu mendengar dan melihat tetapi panjang istighfarnya di dalam hati. Ampunkan mereka ya Allah, sesungguhnya mereka daripada kalangan orang-orang yang tidak tahu.


Sumpah seranah, maki hamun dan carutan sudah sebati menjadi darah daging masyarakat kini. Usah menuding jari kepada masyarakat Arab yang suka meninggi suara demi kemenangan diri, tapi masyarakat Malaysia juga tiada kurangnya. Carutan semakin berleluasa pada bibir anak-anak muda. Malahan media di panggung juga sudah berani melakonkan skrip mencarut tanpa bersalah. Sedihnya anak-anak kecil yang masih baru ingin mengenal dunia juga semakin pandai mencarut tanpa ada rasa bersalah dek pengaruh daripada yang lebih dewasa. Alangkah indahnya jika manusia sangat menghayati maksud hadis nabi tentang kata-kata kotor itu.


<<Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w. bersabda: Perkataan yang keji itu adalah berasal dari sikap dan perangai yang keras. Sedangkan kekerasan itu tempatnya di dalam neraka.>>

<<Daripada Abi Darda' RA daripada nabi SAW bersabda: Tidak ada sesuatu pun yang lebih berat di dalam timbangan orang mukmin di hari kiamat kelak melebihi timbangan budi pekerti yang baik. Sesungguhnya Allah sangat benci kepada orang yang keji dan suka bercakap dengan percakapan yang kotor.>>

Sedar akan keriuhan yang mengundang pencemaran bunyi di mana-mana, tahulah Hilda akan masuknya waktu Asar tidak sampai sepuluh minit lagi. Langkah yang diatur untuk mencari kedai makan yang disukai, berpatah balik ke arah bertentangan. Masjid Ain Chock yang bersebelahan taman menjadi destinasi. Sharqawi hanya mengikut langkah Hilda yang menjadi pemandu arah. Panjang senyumannya melihat tautan tangan mereka tidak dilepaskan. Malah kali ini, Hilda yang menariknya penuh yakin. Sepertinya Hilda tidak menyedari lakunya itu tapi sengaja dibiarkan Sharqawi. Lagi dia eratkan lagi genggaman pada tangan mulus itu adalah. Bila lagi nak mendapat kan..? Sampai sahaja di hadapan masjid, kelihatan siak yang bertubuh rendang terbongkok-bongkok membuka pintu masjid. Langkahnya perlahan dek kudrat tuanya yang semakin tiada, namun masih berkhidmat dengan penuh amanah.


Hilda berhenti dan melepaskan tautan tangan mereka apabila menyedari dia yang asyik menyeret lelaki itu sedari tadi. Tidak pedulikan hal itu, Hilda berpaling menghadap suaminya yang masih ragu-ragu ingin diterima dengan sepenuh hati. Sharqawi memandang Hilda sambil menjungkit kening kirinya bertanya dengan soalan bisu. Mengapa mereka di sini? Kata nak makan? Hilda memandang jam di tangan lalu mendekatkan lengannya pada wajah Sharqawi.


"Dah nak asar. Solat dululah. Lepas solat baru kita makan boleh? Tak adalah terkejar-kejar nanti." Terangguk-angguk Sharqawi tanda mengerti.


"Okey, kita jumpa balik dekat sini ye?" Hilda mengangguk setuju dengan keputusan itu. Sharqawi tersenyum kecil kemudian mula berganjak menuju ke ruang solat lelaki yang baru dibuka siak sebentar tadi. Hilda memandang langkah Sharqawi yang semakin menjauh. Keinginan hatinya melakukan sesuatu berdolak-dalih dengan perang suara di dalam dirinya. Cakap sahajalah Hilda, apa yang susah sangat ni!


"Awak!" Panggilan Hilda yang agak lantang menghentikan langkah Sharqawi. Tubuhnya berpaling menanti Hilda yang berlari-lari anak mendekatinya. Setelah berdiri di hadapan Sharqawi, lidah Hilda kelu sendiri. Terkelip-kelip matanya memandang Sharqawi melawan rasa ragu di hati. Keyakinan yang sebentar cuma mula dikuasai keraguan yang kian menjalar. Sharqawi yang menanti kebisuan Hilda yang teragak-agak ingin diluah itu mula timbul rasa aneh lalu ditanya lembut.


"Kenapa Hilda?" Anak mata Hilda dipandang dengan renungan mata yang redup mencari sesuatu yang tersembunyi pada mata itu. Kolam mata yang menjelaskan rasa hati si gadis yang berdiri di hadapannya itu sedang dilanda keraguan dan keliru. Sharqawi memberikan senyuman manis sambil pipi gebu itu diusap manja. Kasihan sekali dengan gadis muda ini. Pasti terlalu tertekan dengan takdir yang tiba-tiba. Maafkan abang, Hilda. Daripada menanti Hilda dengan bayangan ikatan tanpa saksi. Lebih baik mengikat Hilda dengan ikatan yang sah abang pilih. Sekurang-kurangnya abang tidak akan berputih mata jika terlalu menanti, ternyata Hilda sudah disambar yang lain. Maafkan abang kerana terlalu melulu ingin memiliki Hilda. Abang tidak mahu kecewa lagi. Abang tak mahu kehilangan lagi.


"Hurmmm.. nak tangan." Berkerut seribu wajah Sharqawi mendengarkan permintaan Hilda. Dalam tertanya-tanya dihulurkan juga tangan kirinya tanpa bertanya.


"Tangan kanan." Sharqawi terkebil-kebil, tapi diturutkan juga menghulurkan tangan kanannya. Hilda yang resah memintal-mintal hujung bajunya teragak-agak menyambut tangan Sharqawi. Namun hatinya dipaksa menyambut huluran itu. Tanpa disangka Sharqawi, hulurannya disambut penuh sopan lalu disalami dan dicium tangannya. Spontan tangan kirinya memegang kepala Hilda lalu diusap. Tak terungkap kata hatinya melihatkan laku Hilda yang tak diduga. Serentak itu juga suara azan dengan merdunya berkumandang di ruang angkasa. Suara yang menenggelamkan hiruk-piruk kota, menjadikan perasaan dua insan ini seperti berada di dunia mereka. Seperti hanya mereka berdua di situ. Sharqawi tersenyum lebar, tak terkata lidahnya dek kebahagiaan yang dirasa menjalar di setiap rongganya. Adakah gadis ini benar-benar menerima dirinya?


Lama Hilda dalam keadaan begitu. Entah mengapa ada perasaan aneh sedang bertunas di hatinya kala itu. Perasaan yang dia sendiri tak mampu tafsirkan apa maksudnya. Apa yang dia tahu, hatinya saat ini terasa begitu lapang sekali seluas padang rerumput hijau membentangi bumi, dihiasi bunga-bunga comel dan cantik mengharumi setiap pelosok, ditemani pula burung-burung kecil yang saling bekejaran menjadikan dada Hilda lapang-selapangnya. Perang perasaan dan egonya bersatu kata dengan kemahuan hatinya. Ini keinginannya, ini pilihannya. Pilihan yang tidak lagi akan disesali. Dan pertama kalinya, dia bersaksi dengan nama Allah Yang Maha Mengetahui, Yang Maha membolak-balikkan hatinya dalam sekelip mata, daripada rasa benci dan berat hatinya kepada rasa kasih dan sayang buat insan yang tidak diketahui siapa dia. 


Maha Suci-Mu Allah, dengan ini penyaksianku Farahilda Zuhairi menerima Ahmad Sharqawi Abdullah sebagai suamiku. Aku akur dengan jawaban istikharahku yang pernah Kau lapangkan dadaku untukku berikan jawapan setuju atas ikatan ini. Aku meredhai keputusanku ini dengan seikhlas hati atas izin-Mu Tuhan.


Rasa bahagia yang tidak dipinta silih berganti dengan sebak yang kembali bertapa. Tidak mahu terlalu ikutkan kata emosi, perlahan-lahan tangan kekar itu dilepaskan. Kepalanya diangkat bersatu mata dengan Sharqawi. Mata Sharqawi yang bercahaya bahagia memukau pandangan Hilda membuatkannya dia berdiri kaku.


"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan segala yang Engkau ciptakan pada dirinya. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukannya dan segala keburukan yang Engkau ciptakan pada dirinya." –Riwayat Abu Daud


Usai membacakan doa yang diajarkan nabi setelah menikahi seorang wanita itu, tangan diangkat dari umbun-umbun Hilda lalu Sharqawi mendekatkan bibirnya pada umbun-umbun itu mengucupnya lembut dengan doa tanpa putus di hati. Alam menjadi saksi redhanya dua hati dengan jodoh yang ditulis Allah buat mereka. Liku yang menanti bakal ditempuhi dengan kebergantungan pada Ilahi. Pengenalan yang tiada awal akan menjadikan tempoh masa sangat beharga untuk saling mengenali, saling memahami, segala kebaikan dan keburukan bakal tersingkap tanpa ada lagi rahsia yang tersembunyi. Biarlah hanya waktu yang menjadi saksi akan pasrahnya hati-hati ini meredhai apa yang ditakdir kerana mengetahui hebatnya hikmah dari Allah SWT bagi sesiapa yang sentiasa menjadikan Allah SWT itu sebagai tempat bergantung dan berserah diri. Ujian dan nikmat itu adat kehidupan, pasti berlaku walaupun tidak dipinta. Semua yang tertulis sebagai takdir ini demi menguji iman hamba-hamba-Nya. Jika hidup itu demi Allah SWT, tiada lagi yang diinginkan pada kehidupan dunia selain redha Ilahi. Demi redha, segala perintah dan larangan-Nya akan dilaksanakan dengan mengkaji ilmu-ilmu dunia akhirat agar kebenaran semakin kukuh, tiada was-was padanya dan tersingkapnya kekuasaan Allah SWT, pentadbir alam ini. Bukti Rububiyyah(3) nya Tuhan akan lebih menguatkan iman di hati mendorong seorang insan itu sangat Uluhiyyah(4) kan penciptanya.


Sharqawi melepaskan kucupannya. Wajah Hilda yang kemerahan dan menunduk menekur tanah diangkat dagunya lembut dengan telunjuk Sharqawi. Mata yang bersatu, menyingkap rahsia hati mengundang senyuman di bibir masing-masing tanpa dapat diselindung lagi. Bahagiakah? Azan sudah sampai ke titik penyudahnya, serentak dua bibir insan ini melafazkan doa selepas azan

<<Allahumma rabba hazihi dakwati tammah was solatil qaimah ati muhammadanil wasilata wal fadilah waba'as hu maqamam mahmuda lillazi wa'attah:- Ya Allah, Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kepada Nabi Muhammad SAW kedudukan yang tinggi dan terpuji, yang telah engkau telah janjikan>>


"Jom solat. Nanti kita jumpa balik di sini."


Sharqawi berkata diangguk Hilda. Kemudiannya mereka melangkah ke arah yang bertentangan demi menyambut seruan Agung.



1) FATRAH: Tempoh

2) MURAJAAH: Mengulangkaji

3) RUBUBIYYAH: Percaya bahawa Allah SWT bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan sekelian alam.

4) ULUHIYYAH: Menjadikan Allah SWT sahaja sebagai sembahan yang sentiasa dipatuhi.




Grand jardin d'Ain Chok-Kredit Gambar: Google Image-
Grand jardin d'Ain Chok
-Kredit Gambar: Google Image-
Grand jardin d'Ain Chok-Kredit Gambar: Google Image-
Mosquée Aïn Chock
-Kredit Gambar: Google Image-





Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan