E-Novel: Maroc Love Footprint 4



"Hilda!"


Jeritan Sharqawi langsung tidak dipedulikan Hilda. Malah lebih laju dan yakin seolah-olah dirinya sedang melakukan persembahan kawad kaki yang sudah pastinya tidak akan diganggu oleh sebarang ancaman. Terpejam mata Sharqawi melihatkan pacuan empat roda yang begitu laju kelajuan yang dipandu pemandu pada mata kasar Sharqawi. Walaupun jauhnya masih jauh jika diukur jaraknya, namun seretan tayar yang menyeret tar begitu nyaring kedengaran dari arah kanan Sharqawi menandakan pacuan itu bila-bila masa akan menghentam sesiapa sahaja yang menghalang laluannya. Dada dipalu gemuruh mengenangkan keselamatan Hilda memaksa Sharqawi membuka mata seluasnya. Takut bagaimana sekalipun, keselamatan Hilda itu yang utama. Tidak mahu dia digelar bacul kerana takut dengan rialiti di depan mata. Daripada berdepan dengan penyesalan seumur hidup, lebih baik nyawa dia sebagai ganti. Tidak berfikir banyak, laju Sharqawi mengorak langkah menyaingi langkah Hilda. Cuba bertindak secepat yang mungkin agar mereka sempat ke seberang jalan. 


Namun, kerisauan yang perpaut pada hati Sharqawi tidak langsung membuatkan Hilda merasai rasa yang sama. Seretan yang semakin ngilu menusuk gegendang telinga, tidak menggoyahkan hati kering Hilda untuk tetap gah pada langkahnya. Kelajuan Peagout merah langsung tidak menarik perhatian Hilda, malah tenang tangan kanannya diangkat lembut dan dikembangkan jemarinya sebagai isyarat kepada pemandu supaya berhenti. Lagaknya benar-benar seperti sedang melakukan pertunjukkan di depan khalayak ramai. Bukan seperti lagi, sememangnya mereka sedang ditonton oleh banyak orang sekarang! Tambahan pula, wajah Hilda langsung tidak memandang ke arah pemandu penuh keyakinan Peagout merah itu akan berhenti sambil melangkah kemas dan pantas teratur.

Mujur sahaja pemandu itu memahami, kelajuannya diperlahan dengan mendadak walaupun saat keretanya berhenti bersama kepulan debu hasil seretan tayar yang berhenti mengejut, jaraknya tidak sampai lima inci daripada mengenai tubuh Hilda. Tak semena-mena si pemandu mengeluarkan kepalanya daripada tingkap memarahi Hilda dengan suara yang melengking. Tapi, ada Hilda peduli semua itu? Serasa hati Sharqawi, ingin sahaja kepala batu Hilda itu disekeh sekuat hati. Sudahnya, Sharqawi pula yang terasa seperti ingin tercabut jantungnya. Namun, melihatkan Hilda selamat itu lebih daripada mencukupi. Daripada menerima padah Hilda semakin menjauh jika Sharqawi memarahi gadis itu, lebih baik dirinya menjadi pengikut setia memerhati dan mengawasi langkah Hilda yang umpama bom detik. Tak terjangka apa lagi yang bakal dilakukan Hilda yang sudah pastinya membuatkan jantung Sharqawi tidak duduk diam.


Dari belakang, Sharqawi mengikuti langkah Hilda. Langkah yang memberi maksud, cepat-cepat sampai dan cepat-cepat dia ingin pergi. Bibir Sharqawi terjungkit ke kiri, lucu melihat laku si isteri. Bom detik yang tidak terduga tetapi mengujakan untuk Sharqawi sabar menanti. Sharqawi memerhati kawasan bangunan yang dilalui mereka. Lebih tepat panggilan iqamah(1) kata Hilda kerana jika dilihat pada keseluruhan seperti satu blok segi empat yang bersambung-sambung membentuk seperti nombor 8 AKA jika dalam i/c alamatnya ditulis residence AKA pada penilaian Sharqawi strata? Lebih kuranglah, stratayang berbentuk 8 jika dilihat dari ruang angkasa. Bangunan strataberbentuk 8 itu, di dalam bulatannya diturapkan dengan jalan tar dan sebagai tempatparking kenderaan manakala di bahagian luar bangunan pada tingkat ground strata didereti dengan pelbagai kedai. Mereka melalui depan iqamah yang pintu masuknya diapit dua kedai. Di kirinya, kedai telefon bimbit yang berpapan tanda Oppo manakala di kanannya kedai paip. 


Hilda membelok ke kiri melalui lorong yang tidak terlalu kecil dan tidak juga terlalu besar. Kiri kanan lorong itu dirimbuni pokok-pokok tinggi yang ditanam sebagai hiasan atau sesetengah iqamahmemakmurkan tanah dengan menanam tanaman yang tidak diketahui namanya. Ada yang membiarkan tanah ditumbuhi semak-semak liar. Dan sekiranya tanaman-tanaman ini ditebas habis, besarnya boleh selebar jalan raya. Mungkin kecil sedikit tetapi muat untuk dilalui tiga biji kereta bersais sederhana. Mata Hilda lurus memandang ke depan melalui lorong yang memisahkanstrata 8 tadi dengan dua strata berbentuk C yang rata-ratanya setinggi empat hingga lima tingkat manakala panjang lorong itu 100 meter jika diukur jaraknya dari jalan raya tadi iaitu Jalan Dakhla hingga seberang jalan iaitu Jalan Ouled Haddou.


Lorong perjalanan kaki itu riuh dan sibuk dipenuhi budak-budak arab yang sedang bermain bola tidak terkira jumlahnya, ada budak kecil, ada remaja, dan ada juga dewasa. Peringkat umur sedari lima hingga 20 tahun yang begitu rancak menyepak bola ke kiri dan kanan tidak langsung menimbulkan rasa ragu-ragu pada Hilda untuk melalui di tengah-tengah laluan yang sibuk itu bagai merak kayangan. Mata tajam ke depan tidak berkelip, rahang diangkat angkuh tidak pedulikan sekelilingnya. Budak-budak arab yang rancak bermain terkaku berdiri dengan pelbagai gaya di tempat masing-masing. Suasana yang tadinya riuh dengan suara sorakan mereka berubah sunyi dek mulut yang turut terkunci. Semuanya kerana mereka langsung tidak menyedari kehadiran Hilda yang muncul secara tiba-tiba di celah-celah keriuhan mereka dan tidak menyangka Hilda berani meredah asakan tubuh-tubuh yang boleh tahan tinggi mereka. Jika dihimpit mahu semput nafas nanti. 

Tetapi yang berhenti hanya manusia yang beraqal dan bermata, tidak figura kecil bulat yang bewarna putih bertompok hitam tidak bermata yang disepak penuh semangat oleh seorang remaja sebentar tadi. Jika tidak kerana kepantasan Sharqawi bertindak dengan menahan tapak tangannya menangkap bola itu, sudah pasti benjolan sebesar telur ayam akan bertelur di kepala Hilda. Tapi, Hilda tidak ambil pusing semua itu. Berhenti dan melihatkan sekeliling pun tidak, apatah lagi sepotong kata terima kasih. Menonong Hilda berjalan mengangkat hidung lebih tinggi meninggalkan mereka yang lain terpinga-pinga. Sharqawi hanya memerhati si hati kering pergi sambil menggeleng lembut. Hidung tinggi! Pedih tangannya menahan tekanan yang menghentam tadi penangan sepakan budak arab yang boleh tahan bertenaga. Bola diserahkan apabila remaja yang menyepaknya tadi datang memohon maaf kepada Sharqawi. Sharqawi tersenyum dan menyapa ramah. Kepala budak-budak arab yang menghampirinya diusap mesra sebelum kembali menyambut jejak langkah yang ditinggalkan Hilda. Suka benar Hilda meninggalkannya di belakang, tidak rela sekali si gadis berjalan seiring di sampingnya. Tetapi Sharqawi tidak kisah semua itu, jejak yang ditinggal dikutip Sharqawi penuh setia. Love footprint yang terlalu mahal untuk dijejaki akan diikuti hingga pemilik footprint itu dijejak dan disita menjadi miliknya.

 Love footprint yang terlalu mahal untuk dijejaki akan diikuti hingga pemilik footprint itu dijejak dan disita menjadi miliknya
Contoh gambar Iqamah. Biasanya kalau tepi jalan bawah untuk rumah kedai. Di celah2 rumah kedai tu, akan ada pintu untuk masuk ke iqamah. Macam kat atas ni. Kalau bukan 6 tepi jalan, akan ada halaman dan sebagainya.
-Kredit Gambar: Google Image-

Jarak yang hanya beberapa meter diikut setia oleh Sharqawi dari belakang. Hilda melangkah ke kanan memasuki iqamah setinggi 5 tingkat yang betul-betul tepi Jalan Ouled Haddou. Masuk sahaja ke dalam iqamah, suis bulat yang mempunyai lampu oren pada lingkaran bulatan yang melekat pada dinding itu ditekan Hilda menghidupkan lampu pada setiap tingkat iqamah dengan cahaya oren. Bangunan yang gelap gelita tadi menjadi cerah dengan simbahan cahaya mentol yang jangka hayatnya hanya satu hingga lima minit sahaja sebelum terpadam dan perlu ditekan semula suis bagi menyalakan semula lampu. Kaki Hilda yang baru sahaja ingin menjejak anak tangga terhenti apabila Zenphonenya berbunyi. Gerangan yang menghubunginya diperhati dengan penuh rasa malas. 
 
Umi... 


Hilda menghela nafas lemah. Keterujaan untuk menyambut panggilan daripada Malaysia itu sudah hilang semenjak kehadiran Sharqawi. Terasa sangat jauh hati dengan keluarga sendiri. Kelibat Sharqawi yang baru kelihatan di pintu masuk iqamah membuatkan pandangan mereka bersatu. Sharqawi segera menghampiri dan Hilda melarikan anak matanya kembali ke Zenphone. Sebelum ditanya Sharqawi, mengapa tidak dijawab lebih baik dijawab segera. Zenphone yang masih bergetar ditekan icon hijau pada screen. Hilda membisu menyambut riuh suara keluarganya dicorong telefon.


"Hilda dan Sharqawi dekat mana ni?"


"Dah sampai abah. Hilda tumpangkan dulu dia dekat rumah kawan."


"Bukannya kamu berdua duduk sekali?" Suara umi pula mencelah.


 "Nantilah Hilda carikan rumah kosong. Hilda pun baru tahu dia datang sini. Manalah Hilda tahu dia nak duduk sekali. Umi abah pun tak beritahu awal-awal, cakap sepatah pun tidak dengan Hilda. Hilda tak tahu apa-apa, jadi susah sikit. Rumah dekat Casa sudahlah susah nak cari, mahal pula tu." Lenggok biacaranya lembut, tapi tegasnya boleh dirasaikan semua orang. Gerangan dicorong telefon terdiam apatah lagi Sharqawi yang sedang berdiri di depan Hilda, termangu-mangu Sharqawi diperli begitu. Puas hati Hilda, membidas dan memberi jawapan kepada Sharqawi yang mendesak.


"Eh, Sharqawi cakap dekat umi sebelum pergi dia ada booking hotel." Hilda mula panas hati. Nak permainkan aku ke apa?


"Dia cakap tak."


"Dia tu suami kamu Hilda. Cuba hormat sikit. Sakit telinga abah dengar. Dia.. dia.. ingat Sharqawi tu kawan kamu." Sehasta suara pengetua sekolah itu meninggi. Hilda menghembus nafas kasar, bosan. Kan dah kena!


"Yelah, Hilda minta maaf. BELIAU cakap tak ada tempah hotel. Nak duduk rumah terus kata BELIAU." Puas hati Hilda. Memang sengaja dia tekankan perkataan beliau, nak sangat bersopan dengan orang yang tak kenal. Berabang lagi. Sorry to say! Hampir sahaja terletus tawa Sharqawi tapi segera disembunyikan melihatkan wajah bengang Hilda. Faham sangat Sharqawi Hilda ditegur abah walaupun dia tidak mendengar apa yang dibualkan mertuanya itu.


"Abah tegur, protes!" Hilda diam, malas nak membalas. Bicara dalam amarah ni sukar dijangka, takut tersilap kata ada hati yang terluka tak terampun dosanya nanti. Derhaka kata dengan bapa!


"Sudahlah abah. Jangan didesak anak yang tengah keliru tu. Ha, cuba Hilda paskan telefon ke Qawie. Umi nak cakap."


Permintaan umi dituruti tanpa banyak soal. Telefon dihulur kepada Sharqawi dan tanpa teragak-agak Sharqawi menyambutnya lalu alat teknologi kecil itu ditelekapkan ke telinganya. Lembut bicaranya memberi salam dan bertanya khabar sambil mengatur langkah kembali ke pintu menjauhi Hilda. 

Hilda mencebik meluat. Malas mahu ambil tahu dan mencuri dengar, Hilda terus menaiki tangga ke tingkat satu tanpa menunggu Sharqawi. Suis bulat di dinding ditekan lagi apabila lampu terpadam. Setiap tingkat kebiasaannya mempunyai dua atau tiga rumah. Rumah yang satu-satunya tidak berloceng di tingkat satu dituju Hilda, sudah mengenali rumah yang didiami ikhwan Malaysia seramai empat orang itu. Pintu berpagar besi yang dicat warna hitam diketuk Hilda menggunakan kunci. Salam diberi dengan agak kuat. Tanpa loceng rumah kadang-kadang membuatkan penghuni rumah tidak menyedari kehadiran tetamu yang hadir, Lebih malang buat tetamu jika tuan rumah di bilik, di dapur ataupun sedang mandi di bilik air yang jauh dari pintu utama. Menunggulah si tetamu hingga ada yang mendengar dan dibukakan pintu. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Jika tidak, pulanglah tetamu dengan kecewa. 


Tetapi Hilda tidak ingin pulang walaupun pintu sudah berkali-kali diketuk, salam sudah diberi berturut-turut. Dia lebih rela menunggu daripada perlu sakit kepala memikirkan solusi buat pendatang asing itu! Sedikit sebal hatinya. Jika tidak dimaklumkan kedatangan mereka lainlah ceritanya. tapi dia sudah maklumkan tadi kepada Hakim. Ingin dihubungi, Zenphonenya ada pada Sharqawi. Sudahnya, Hilda duduk di tangga menongkat dagu merenung nasib. Kehadiran Sharqawi yang mengambil tempat di sisinya tidak dipedulikan Hilda. Malas ingin ambil tahu. Sebetulnya sedang menafikan kewujudan Mr Nobody itu. Matanya dipejamkan dan Hilda berharap apabila matanya dibuka dia sedang berada di mudarraj(2) jamiah(3) mendengar syarah daripada ustaz.


"Hilda, buka mata, pandang depan, senyum.." 


Matanya terbuka dan harapannya terbang. Hakikatnya Sharqawi masih di sisi. Dan Sharqawi sedang merapatkan mukanya ke muka Hilda sambil membetulkan kedudukan Zenphone di depan dipegang kejap tangan Sharqawi. Zenphone pula telah diset camera depan, terpapar detik 5 saat yang berganti angka petanda bila-bila sahaja gambar mereka berdua akan dikakukan pada screen telefon. Klik! Barulah Hilda sedar mereka sedang bergambar bersama dengan jarak yang sangat dekat! Ingin sahaja Hilda menolak Sharqawi tanpa ampun. Jika boleh, biar sampai jatuh tangga tergolek-golek. Biar padan muka. Geram! Jika tidak kerana alasan Sharqawi ini permintaan keluarga yang mengharapkan walaupun sekeping gambar mereka bersama, tak ada punya Hilda mahu beri muka. Tak ada kompromi buat lelaki asing ini! Hilda sabarkan hati menghulurkan muka tanpa rela. Senyum yang diminta langsung tidak diukir. Biar! Biar mereka tahu aku terpaksa!


Sharqawi pula tidak kisah, tidak ambil hati langsung bagaimana sekalipun reaksi Hilda. Asalkan gambar yang diminta sudah terpotret, bukti mereka bersama dihantar sampai ke keluarga. Peluang yang ada tidak disiakan Sharqawi. Muka yang kaku, pipi mulus yang begitu hampir dengannya menjadi sasaran bibir Sharqawi dengan sengaja. Hilda yang terkejut spontan membulatkan matanya sama bulat dengan mulutnya yang terlopong. Dan klik! Klik! Klik! Klik! Hingga lampu seluruh iqamah kembali terpadam. Sharqawi tersenyum puas, kemenangan terbentang. Kegelapan yang membuta tidak membuatkan mata Hilda turut buta mencerlung tajam menikam wajah tak bersalah Sharqawi. Sharqawi tidak gentar, sarang tebuan yang memang sengaja diusik dinanti penuh berani sengatan berbisa Hilda. Jarak yang terlalu dekat hingga berlaga nafas mereka dan hampir bertemu hidung mereka tidak langsung menghilangkan ledakkan di hati Hilda.


"Padam!" Arahan. Perintah. Tegas. Sehasta suara Hilda naik daripada biasa.


"No!" Sama naik. Lagi dikipas biar sampai rentung.


Tanpa menunggu, Zenphone yang kejap pada pegangan Sharqawi cuba dirampas dengan pantas. Sepantas tangan Hilda mengejar, pantas lagi Sharqawi mengelak tidak memberi peluang. Tangan diangkat menghalang daripada dirampas Hilda. Kegelapan yang pekat tidak langsung menghilangkan semangat Hilda untuk mencapai setinggi mungkin. Terlompat-lompat Hilda mencuba menggapai Zenphonenya yang tinggi dijulang hampir mencecah siling. Kenapa tinggi sangat lelaki ni? Tetapi untuk putus asa tidak mungkin. Teman-teman Hilda sendiri tidak dibenarkan mengambil gambarnya sewenang-wenangnya. Inikan pula lelaki asing yang belum sampai sehari dia temui. Siapa dia sesuka hati sesedap rasa berlepas laku. Sekeliling tubuh Sharqawi sudah ditawaf, belakang Sharqawi dipeluk rapat dan dicuba panjat. Hujung kaki dijinjit tinggi menujah lantai, tangan kiri mencengkam kuat pada bahu Sharqawi, tangan kanan panjang galah cuba mencapai setinggi mungkin. Peluang yang dinanti untuk mereka sedekat itu diselami Sharqawi penuh asyik melayan usaha Hilda, terhibur sekali hatinya dengan cubaan Hilda yang sangat serius. Ada kala tawa kecil terletus juga melihatkan mimik muka Hilda persis anak kecil dilarikan gula-gula. Tapi, menurutkan kemahuan Hilda dan mengalah tidak mungkin sama sekali.


Keriuhan mereka berdua terhenti sendiri apabila bangunan yang gelap-gelita itu bertukar cerah secara tiba-tiba. Derapan kasut mendetak lantai yang laju menuruni anak tangga kedengaran daripada atas. Hilda sudah berpalu di dada mengharapkan gerangan yang sedang menuruni tangga itu bukanlah ikhwan Malaysia. 


Namun, harapannya meleset. Kelibat Hakim semakin jelas saat terpandangkan susuk lelaki berbaju melayu hitam, diikuti Fida Arsyad si teman kuliah Hakim jurusan Dirasat Islamiah. Lambat beberapa tapak, Abdul Syakir siswa Arabic Education tahun akhir munculkan diri dengan menjengul kepalanya di pagar tangga dari tingkat atas. Belum sempat Hilda memboloskan diri daripada kantoi lagi kepada yang lain, derap langkah dari tingkat bawah menghadirkan teman sekuliah Hilda, Syafie yang sudah tentunya baru pulang dari jamiah sementelah jadual kuliah mereka habis jam 1.00 petang. Masing-masing terkaku saat terpandangkan Hilda dan Sharqawi. Hilda terlopong, terasa ingin menjerit tetapi suara tertelan dengan gugupan yang melampau. Ketakutan hebat menjalar seluruh tubuh menggeletarkan tangan dan kakinya kerana tertangkap sedang memanjat belakang tubuh galah Sharqawi. Serba-salah Hilda ingin memberi reaksi bagaimana. Sudahnya tubuhnya kaku tak bergerak, menyembunyikan muka di belakang tubuh Sharqawi. Lengannya pula erat menjerut leher Sharqawi tanpa sedar. Tolong! Tolonglah katakan ini mimpi paling ngeri aku pernah alami. Umi, tolong Hilda. Hilda malu!


"Hilda?' Hakim memanggil. Memastikan sebenarnya apa yang dilihat dan siapa yang dilihat.


"Eh, Bang Qawie?" Suara Fida bertanya hairan saat mengecam raut wajah Sharqawi. Panasaran! Segera Sharqawi meletakkan jari telunjuknya di bibir. Isyarat supaya jangan lagi bertanya lanjut. Kepala Hilda sedikit terangkat dengan pertanyaan Fida tetapi kembali merapatkan muka di belakang Sharqawi mengenangkan malu yang menebal. Matanya kaku memandang hujung kasut. Mengerti situasi Hilda yang malu menonjolkan diri, Sharqawi cuba melonggarkan rangkulan di lehernya yang kian menjerut.


"Hilda, lepaskan leher abang." Lagi kuat dijerut. Alahai, isteriku yang pemalu.


"Hilda..." Melihatkan Hilda yang tiada tanda ingin melepaskan lehernya, Sharqawi merungkai perlahan-lahan lengan Hilda secara paksadan menarik Hilda ke sisi. Hilda menurut walaupun matanya masih menekur lantai. Tapi, belum sempat Sharqawi bersuara, tanpa diduga Hilda mencelah tanpa memanggung kepala.


"Maaf semua. Saya betul-betul minta maaf. Kalau saya menafikan sekalipun, empat orang saksi lelaki beriman lebih kuat penyaksian kalian berdasarkan apa yang kalian lihat tadi. Jadi, tiada guna penafian saya. Apa yang kalian nampak, saya mohon kita selesai di sini saja. Saya mengaku saya lepas laku sebagai seorang muslimah. Mohon jangan ada yang panjangkan dari telinga ke telinga hingga ada yang salah faham dan fitnah yang tidak bermata bertaburan di bibir jemaah kita. Apatah lagi jika ada pihak atasan jemaah kita mengetahui. Straight to the point, ini saudara saya Ahmad Sharqawi Bin Abdullah. Kehadiran saudara saya ni saya sudah maklumkan kepada Hakim. Kalau nak tanya banyak-banyak nanti tanya sendiri tuan punya badan. Tugas saya hanya menghantar Sharqawi. Dan terima kasih tolong tumpangkan saudara saya. Minta maaf banyak-banyak kalau saya menyusahkan semua. Kalau ada apa-apa telefon sahaja saya. Saya pergi dulu. Assalamualaikum."


Tanpa henti Hilda bercakap dengan bibir yang menggeletar. Tangan dan kakinya apa lagi, sudah ais rasanya. Kepalanya tidak langsung dipanggung dek tidak mempunyai keberanian memandang lima pasang mata yang sudah tentunya menjadikan Hilda sebagai titik fokus mereka. Usai kata dititik, pegangan Sharqawi pada bahunya dilepaskan. Kaku Hilda berjalan seperti robot menuruni anak tangga sambil menekur lantai. Baru beberapa langkah, Hilda patah balik masih dengan gaya tadi.


"Bak balik telefon saya." Mulut sahaja meminta tapi laju tangan mulus itu cepat merampas Zenphone dari tangan kekar Sharqawi dan kembali menuju ke tangga. Sharqawi ketawa lucu, terhibur benar dia dengan apa sahaja keletah si suri hati. Belum sempat kaki Hilda menuruni anak tangga, lengan Hilda kembali ditarik Sharqawi. Terundur Hilda ke belakang tanpa sedia. Dengan sekelip mata tubuh Hilda dipusing dan ditegakkan menghadap empat jejaka yang masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku. Terkebil-kebil Hilda memandang ke sisi melihat Sharqawi, tertanya-tanya hatinya apa yang ingin lelaki ini lakukan.


"Assalamualaikum semua, maaflah ganggu waktu korang. Cerita lain-lain tu nantilah ye. Apa yang penting sekarang, demi mengelakkan salah faham dan kewajiban saya untuk menghindari daripada tersebarnya fitnah. Jadi, saya kenalkan ini isteri saya. Namanya korang mesti dah tahu kan? Farahilda."


Hilda terlopong tidak menduga pengakuan Sharqawi. Salur pernafasannya tersekat daripada menyedut oksigen. Tolong katakan ini semua dusta! Menyedari realiti di depan mata, matanya membulat, telinga dan hidungnya berasap!


Aku memang benci dia!





1) IQAMAH: Bangunan

2) MUDARRAJ: hall/auditorium/dewan kuliah

3) JAMIAH: Universiti




Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan