E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife
5: SHE’S MY WIFE
Langkah Nur Husna terhenti saat terpandangkan tubuh seorang
lelaki yang sedang berbaring di sofa L. Posisinya kelihatan tidak selesa. Kaki
kirinya berjuntai ke lantai, sebelah lagi dilipat seperti bersila di atas sofa.
Tangannya diletakkan di atas dahi sedikit menutupi wajahnya dan sebelah lagi
juga terkulai ke bawah sambil memegang sejadah. Tubuhnya yang tadi hanya
bersarungkan undeshirt nipis dan
seluar track hitam, kini sudah
berganti dengan henley kelabu,
berseluar khaki biru tua dan
berkopiah putih. Sepertinya baru sudah solat. Aneh, mengapa tak solat di bilik
sahaja? Mengapa solat di ruang tamu?
Eh, bukan ruang tamu. Ruang tamu di tingkat bawah. Cuma ruang
ini lebih sederhana luasnya. Dan dibahagi kepada dua. Di kirinya seperti
dikhaskan untuk berehat, bersantai mahupun berkumpul ahli keluarga. Dilengkapi
dengan set sofa bed dan sofa L, meja
kopi, wardrobe untuk televisyen. Juga
ada sebuah kerusi malas berteraskan kayu jati dan beberapa kerusi mini
bewarna-warni serta beberapa pasu kecil dan besar dengan jambakan bunga
lavender. Bunga hidup! Wangi! Patutlah bau lavender harum semerbak. Bertemakan
warnanya pastel biru, ungu, kelabu dan putih cukup membuatkan Nur Husna
terpegun seketika kerana kagum dengan sentuhan mudah tapi indah. Tambahan lagi,
hanya berdindingkan jendela kaca dan ditutup dengan langsir tebal bewarna
kelabu gelap yang diikat ke sisi membuatkan ruangan itu cerah dengan simbahan
cahaya mentari dari luar.
Memisahkan ruangan itu, di kanannya seperti direka khas untuk
solat. Hanya dipisahkan almari buku tinggi dan agak terlindung. Terdapat
beberapa pasang jubah dan telekung digantung di ampaian dan beberapa lipatan
sejadah untuk digunakan. Juga dipenuhi dengan buku-buku agama untuk rujukan dan
beberapa naskhah Al-Quran, set Iqra’ dan Muqaddam untuk dibaca. Menyedari itu,
tahulah Nur Husna bahawa Azam solat di situ dan ketiduran di sofa. Mungkin
terlalu letih melayankan ragam anaknya yang kuat meragam.
Tanpa sedar, Nur Husna yang baru selesai bancuhkan susu buat
Qalbi mendekati Azam di sofa. Kain tenun yang tersepuk di kerusi malas diambil
lalu diselimut tubuh Azam yang terdedah. Sudahlah pendingin udara dibiarkan
terpasang dengan suhu rendah. Seperti baru tersedar lakunya itu, cepat-cepat
Nur Husna mengatur langkah ke bilik Qalbi. Pintu ditutup dan Nur Husna
bersandar di situ sambil menghembus nafas kelegaan. Kepalanya diketuk dengan
botol susu di tangan memarahi diri sendiri. Sewenang-wenangnya lepas laku
seperti Nur Husna di rumah. Mungkin kerana terbiasa selimutkan arwah Tuan Yusuf
dan Puan Senah yang sering tertidur di sofa ruang tamu rumahnya, Nur Husna
tidak berfikir panjang untuk bertindak seperti tadi. Mujur sahaja Azam tidak
sedar, kalau tidak pasti bukan-bukan tanggapan Azam terhadapnya kelak.
Tidak mahu terbawa-bawa akan hal tadi, Nur Husna mendapatkan
Qalbi yang tidak jerap tidurnya. Walaupun mata terpejam, suara kecilnya masih merengek-rengek
seperti tidak selesa akan sesuatu. Nur Husna kembali risau jika anak asuhannya
itu sakit yang tidak dapat dikesannya. Baru sahaja puting susu disuap ke mulut
bayi itu, Qalbi tiba-tiba meraung. Tangisannya nyaring hingga selak jadinya.
Cemas Nur Husna mengangkat Qalbi dibawa ke pelukannya. Punggung Qalbi
ditepuk-tepuk cuba memujuk agar Qalbi kembali tenang.
Seperti baru sedarkan sesuatu, Nur Husna membelek mulut Qalbi
yang dipenuhi warna putih ketika si kecil menjerit. Tadinya tidak terlalu jelas
kerana sangka Nur Husna hanya tinggalan sisa susu di lidahnya. Tapi setelah
dilihat betul-betul, alangkah terkejutnya dia melihat tompokan putih itu bukan
sekadar sisa susu. Lebih tepatnya kulat susu atau jangkitan fungal di mulut,
teruknya tompokan putih yang seakan-akan kepingan susu basi yang melekat di
lidah sudah merebak ke bahagian dalam mulut dan lelangit. Patutlah mulut Qalbi
kelihatan kering. Dan mungkin kerana ini juga Qalbi terus sahaja menangis.
Bayi, apalah yang boleh dia lakukan selain menangis. Apatah lagi dirinya dalam
kesakitan.
“Kasihan anak ibu. Maafkan ibu, nak. Ibu tak tahu Qalbi sedang
sakit.”
Kucupan dalam dilekapkan pada umbun-umbun Qalbi meluahkan rasa
serba salahnya. Wajah Nur Husna berubah tiba-tiba saat merasakan perubahan suhu
tubuh Qalbi yang mendadak. Panas. Termometer di atas kabinet diambil lalu
disukat suhu Qalbi di bawah ketiaknya selama lima minit hingga bip berbunyi.
38°C! Tidak menunggu lagi, Qalbi dibawa keluar dari bilik. Langkahnya laju
menerpa Azam yang masih nyenyak di sofa.
“Encik Azam!”
Terduduk Azam secara tiba-tiba saat disergah dengan suara
lantang Nur Husna, ditambah pula tangisan nyaring Qalbi membingitkan ruangan
itu. Terpinga-pinga Azam cuba berfikir waras apa yang berlaku kerana terlalu
terkejut daripada tidurnya. Wajah gelisah Nur Husna yang dipandang kosong pada
awalnya beransur hilang apabila fikirannya sudah mulai siuman. Terus Azam
berdiri dan tanyakan Nur Husna apa yang telah berlaku.
“Kita ke klinik. Qalbi demam panas.”
Dengar sahaja apa yang dikatakan Nur Husna, Azam tidak
berlengah lagi. Kunci Perdana dicapai dan bergegas turun masuk ke dalam kereta
bersama Nur Husna. Hampir sepuluh minit memandu dengan kelajuan maksima,
akhirnya mereka sampai di klinik berhampiran. Nur Husna diarahkan duduk sementara
Azam mengambil giliran di kaunter. Mujur sahaja pengunjung yang datang tidak
ramai. Tidak sempat panas punggung, mereka sudah dipanggil untuk bertemu
doktor.
Qalbi diambil alih oleh jururawat lantas diperiksa oleh seorang
doktor perempuan. Nur Husna cuba bertenang sambil hatinya tidak putus doakan
yang baik-baik untuk Qalbi. Wajah gelisah Azam dipandang seraya berkata Qalbi
tidak akan apa-apa. Sempat Husna maklumkan berkenaan fungal thrush yang dilihat pada mulut Qalbi
kerana di kereta tadi masing-masing gelisah, Azam fokus pada pemanduan untuk
segera sampai, Nur Husna pula sibuk untuk tenangkan Qalbi daripada terus
menangis.
“It all my fault. I
should pay more attention to him. Sampai Qalbi kena thrush pun I boleh tak
sedar.” Memikirkan kemungkinan itu yang menyebabkan Qalbi menangis kerana
kesakitan, Azam diserbu rasa bersalah. Rasa seperti dia tidak ambil berat akan
keadaan anaknya itu.
“Jangan risau Encik Azam. Qalbi akan okey. Percayakan saya ye.”
Senyuman ikhlas diberikan kepada Azam, cuba yakinkan lelaki itu
Qalbi tidak apa-apa. Selepas beberapa minit menunggu, doktor yang memeriksa
Qalbi mula mengambil tempat di meja kerjanya setelah mempersilakan Azam dan Nur
Husna duduk. Tangisan Qalbi telah pun berhenti dan jururawat menyerahkan Qalbi
yang telah tertidur kepada Nur Husna. Mungkin doktor ada berikan sesuatu kepada
Qalbi. Apa yang diberikan tidak pula Nur Husna tahu. Nur Husna hanya memerhati
sahaja doktor melakukan kerjanya tadi. Nanti pasti akan diterangkan juga apa
yang diberikan oleh doktor kepada Qalbi.
“Isteri tuan ke?” Nur Husna yang baru duduk di kerusi setelah
mengambil Qalbi daripada jururawat tadi, mengangkat wajahnya mendengarkan
pertanyaan doktor tersebut. Baru sahaja Nur Husna mahu menjawab, Azam terlebih
dahulu mencelah memberi jawaban.
“Yes, she’s my wife.”
Terbuntang mata Nur Husna mendengarkan apa yang dikatakan Azam.
Pantas Nur Husna pandang ke sisi memandang wajah serius Azam, berharap lelaki
itu tarik balik apa yang telah dikatakan sebentar tadi. Tapi hanya jelingan
tajam sebagai balasan, isyarat supaya Nur Husna hanya mendiamkan diri. Nur
Husna bingung jadinya. Tidak faham mengapa Azam memberikan jawaban yang tidak
benar.
“Puan ada berikan berikan susu badan kepada bayi puan?”
“Tak ada doktor. Anak kami hanya ambil susu formula sedari
lahir.”
Bukan sahaja Nur Husna, doktor yang bertanya juga berkerut
dahinya apabila Azam yang berikan jawaban, bukannya Nur Husna. Nur Husna
mengerutkan dahinya kerana berfikir jawaban apa yang harus diberi. Sudahlah
Azam itu pandai-pandai mengaku Nur Husna isterinya. Kalau dijawab tidak, takut
salah. Kalau dijawab ya, Nur Husna tak mahu bersekongkol dengan Azam untuk
berkata dusta. Pelik doktor itu memandang Nur Husna dan Azam silih berganti.
Pastilah aneh soalannya dijawab Azam.
“Baiklah kalau macam tu. Cuma, andai kata puan berikan susu
badan, saya nasihatkan agar bersihkan puting terlebih dahulu kerana puting yang
lembab di dalam pakaian dalam selalunya akan menyebabkan jangkitan fungal.”
Merah padam wajah Nur Husna mendengarkan itu. Tidak tahu mahu
bereaksi bagaimana, Nur Husna hanya menunduk memandang wajah Qalbi yang sedang
nyenyak tidurnya. Mahu memandang Azam lagilah dia tak mahu, Nur Husna malu.
“Okey baik doktor. She’ll
take care of it. Tapi, anak kami tak apa-apa kan?”
I’ll take care of it?
Wah, lelaki ini makin berani. Bicara Azam seolah-olah Nur Husna ini sememangnya
isterinya. Tidak rasa apa-apakah bernada selamba beri jawaban begitu. Lainlah
Nur Husna itu isterinya. Sebut fasal isteri, bagaimana kalau isterinya tahu
Azam semborono mengaku perempuan lain isterinya. Oh, permainan apakah ini? Nur
Husna juga baru perasan, ini kali kedua Azam menggunakan perkataan ‘kami’ pada
anaknya. Nur Husna semakin bingung. Apa yang lelaki ini cuba lakukan
sebenarnya?
“Jangan risau Encik Azam. Anak encik tak apa-apa. Jangkitan
fungal thrush tidak membahayakan.
Melihatkan kerisauan tuan dan puan, saya agak ini pertama kali kalian berdepan
dengan situasi begini. Tapi, jangan risau. Fungal thrush hanya menyebabkan kesakitan pada mulut. Kerana itu bayi akan
kerap menangis dan tidak mahu menyusu. Dan disebabkan kurangnya menyusu,
menyebabkan berlakunya hidrasi. Sebab itu juga, bayi kalian mengalami demam.
Saya akan berikan paracetamol dan
ubat antifungal untuk legakan sakit anak puan.”
Setelah mendengar penjelasan panjang lebar berkenaan keadaan
Qalbi, mereka meninggalkan klinik selepas pembayaran dilakukan dan ubat
diambil. Nur Husna kembali teringatkan pesan doktor supaya diberi perhatian
untuk mengelakkan perkara yang sama berulang kepada Qalbi. Nur Husna boleh tahu
tentang thrush kerana pernah terbaca
tentangnya sebab itu mudah dia kesan pada mulut Qalbi tadi, tapi asbab
terjadinya jangkitan itu Nur Husna tidak tahu. Kerana itu Nur Husna baru tahu,
berikan air masak kepada bayi setelah menyusu itu penting sebab ianya akan
menanggalkan saki-baki susu yang mungkin tertinggal di mulut kerana saki-baki
itulah yang memudahkan jangkitan fungal. Rasa bersalah juga ada, kerana Nur
Husna tidak cakna akan hal itu sepanjang menjaga Qalbi. Dan Nur Husna juga
jarang membersihkan puting botol dengan air mendidih dua minggu sekali seperti
yang dipesan doktor, kerana Nur Husna fikir botol itu sudah bersih kerana tidak
pernah ditinggal di Darul Sakinah. Wajah Qalbi yang pulas lenanya diusap pipi
merah si kecil.
“Maafkan ibu sayang. Ibu tak tahu hal sepenting itu. Tengok,
dah sakit anak ibu sampai demam.”
Perlahan Nur Husna menutur dengan nada sayu kerana sudah
terbiasa berbual begitu dengan Qalbi. Tidak sedar apa yang dikatakan Nur Husna
didengari Azam.
“It’s okey Nur Husna.
Kita belajar sama-sama uruskan anak. Saya belajar, awak pun belajar. Nanti kita
dah ada anak sendiri, boleh bersedia lebih awal.”
Azam berkata seperti cuba mengurangkan rasa serba salah Nur
Husna. Azam tidak tahu mengapa, tapi melihatkan perubahan wajah Nur Husna
sepanjang mendengar apa yang dikatakan doktor tadi dia turut terkesan. Tahulah
dia, Nur Husna ada lakukan apa yang dilarang doktor hingga serba salah
menghilangkan senyuman yang sentiasa di bibir Nur Husna.
Nur Husna memandang Azam yang fokus pada pemanduannya. Berlapis
dahinya cuba menghadam apa yang dikatakan Azam. Tiba-tiba Nur Husna teringatkan
situasi di klinik tadi ketika Azam mengaku Nur Husna itu isterinya.
“Kenapa Encik Azam buat macam tu?”
“Buat apa?”
“Mengaku saya isteri encik. Dan kata-kata encik seperti
menganggap saya ni memang betul-betul isteri encik. Apa encik maksudkan ‘kita’
dah ada anak sendiri? Mind to explain? Atau
ianya hanya omong kosong yang tidak bermaksud apa-apa?”
Azam mendiamkan diri apabila disergah dengan persoalan itu.
Agak lama menanti, Azam masih begitu. Bisu. Nur Husna menghela nafas panjang,
cuba menenangkan diri sendiri. Rasa tidak sukanya yang mula bergayut di hati
cuba diusir pergi. Nur Husna kalau sudah mula tidak sukakan seseorang, lepas
ini susah mahu berkata yang baik-baik. Dalam erti kata lain, Nur Husna akan
bersikap dingin, sombong dan mahu bertikam lidah sahaja jadinya jika bertemu.
Nur Husna tak mahu itu terjadi. Kalau sampai ke telinga Puan
Senah lagilah kronik jadinya, Nur Husna perlu berdepan dengan leteran Puan
Senah yang tidak mahu berhenti. Kerana, sikap Nur Husna dahulu memang susah
mahu sebulu dengan kaum satu lagi. Sebab bagi Nur Husna sikap lelaki itu
menjengkelkan, suka memaksa dan bertindak sesuka hati mereka sahaja. Disebabkan
sering bertekak jika bertemu lelaki yang tidak disukainya, Nur Husna terpaksa
juga perlu tadahkan telinga mendengarkan amarah dan leteran Puan Senah. Jadi,
untuk menghindari berdepan dengan Puan Senah lagi, Nur Husna mula lebih banyak
positifkan diri dan tidak ambil peduli dengan sikap lelaki yang menyakitkan
hati. Seperti lelaki di sebelahnya seorang ini.
“Kalau encik tak mahu jelaskan, biar sayalah jelaskan. Untuk
pengetahuan encik, saya tak suka encik suka-suka mengaku saya isteri encik. Dan
saya juga tak suka bicara encik seolah kita akan ada apa-apa di masa hadapan.
Ia mengganggu saya, dan akan buatkan saya salah faham. Lagipun, encik ni dah
berkahwin. Jangan taburkan kata-kata yang membuatkan perempuan bujang seperti
saya ni keliru dan tertanya-tanya. Kata-kata encik seperti menabur harapan.
Saya tak tahu apa motif encik buat macam tadi. Jelasnya, saya tak suka. Jadi, saya harap encik tak
ulang lagi perkara yang sama.”
Usai meluahkan apa yang terbuku di hatinya, Nur Husna
mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Azam pula tidak beriak, tiada
langsung respon diberi pada yang dikatakan Nur Husna. Lebih menyakitkan hati,
Nur Husna menangkap senyuman sinis lelaki itu. Setelah itu hanya pandangan
tajam dan dingin diberikan kepada Nur Husna sekilas. Kenapa dengan lelaki
sebelahnya ini?
Xperia yang berbunyi menarik Nur Husna daripada terus-terus
memikirkan apa yang dimaksudkan Azam dengan kata-katanya. Tipikal perempuan.
Suka terlebih fikir dan membuat spekulasi sendiri jika tidak mendapat
penjelasan yang diinginkan. Melihatkan nama Faiz di skrin Xperianya, segera
panggilan dijawab.
“Ateh ada dekat luar abang. Ke klinik tadi sebab Qalbi tak
sihat.”
“Balik? –hurmm.. lima minit. Kejap lagi Ateh telefon balik.”
Setelah talian diputuskan, wajah dingin Azam kembali dipandang.
“Encik okey kan jaga Qalbi? Dah tahukan apa kena buat? Saya
kena balik dah ni, dah petang sangat. Tak biasa saya balik lewat sampai ke
malam. Mak saya pun dah tanya tadi.”
Azam ditanya sambil memandang jam di dashboard. Sudah hampir 6.12 petang. Nur Husna belum tunaikan solat
Asar lagi.
“Tak boleh ke you
tinggal dekat rumah I untuk satu
hari? I tak tahu apa nak buat kalau
Qalbi menangis lagi.”
Membulat mata Nur Husna mendengarkan permintaan Azam. Dia sedar
tak apa yang dia cakap ni?
“Sudah tentulah tak boleh Encik Azam. Rumah tu tak ada sesiapa
selain encik dan saya. Fitnah nanti encik.”
“Kita bukan buat apa-apa pun. You cuma jagakan Qalbi. Nur Husna, please. Qalbi masih belum betul-betul sihat. Kalau dia menangis
lagi macam mana?”
Nur Husna mengeluh geram. Aku rasa Encik Azam ni dah hidup
dengan Qalbi dah tiga bulan. Dah sepatutnya tahu apa perlu buat.
“Tak boleh Encik Azam. Lagipun, doktor dah cakap kan tadi apa
perlu buat. Macam mana bagi ubat dan waktu makannya. Rasanya itu sajalah
tambahannya. Rutin lain-lain macam biasa dan saya rasa yang lain-lain Encik
Azam dah lali nak uruskan macam mana. Jadi, saya tak diperlukan pun dekat sana.
Kalau susah sangat, minta tolong isteri encik. Beritahu dia apa jadi pada
Qalbi. Tahulah dia apa nak buat.”
Walaupun Nur Husna nak sangat tanya di mana isteri Azam, ke
mana dia? Kenapa dia tak ada di rumah? Kenapa Nur Husna tak pernah nampak dia?
Tapi semua persoalan itu dikuburkan dalam benaknya. Tidak mahu masuk campur
urusan orang lain. Walaupun pelik kerana tidak pernah nampak batang hidung
isteri Encik Azam, tapi bukan urusan Nur Husna mahu sibukkan diri. Jadi, Nur
Husna hanya bersangka baik sahaja. Mungkin isteri Encik Azam sedang kerja di
luar negeri barangkali.
Melihatkan tiada respon daripada Azam, sekali lagi Nur Husna
berpaling ke sisi mahu memandang Azam. Tertelan air liur Nur Husna kerana gerun
melihatkan air muka Azam yang berubah rona merah padam, raut wajahnya seperti
sedang menahan amarah. Melihatkan jelingan tajam Azam, Nur Husna menundukkan
pandangannya melihat Qalbi. Takut. Rasa bersalah tiba-tiba menerpa. Nur Husna
ada salah sebutkah? Mengapa setiap kali isterinya disebut, pasti Azam akan
berubah bengis.
“I hantar you balik. Barang you tak ada tinggal dekat rumah I
kan?”
“Tak ada. Tapi tak apa, kita baliklah dulu rumah encik. Saya
tidurkan Qalbi dulu. Lagipun abang ipar saya akan ambilkan saya nanti.”
“I tak nak dengar
alasan you. I hantar.” Sedingin musim salji suaranya.
“Tapi –”
“I hantar you balik.”
Kali ini suara Azam sudah meninggi. Nur Husna sudah menikus,
takut mahu bertentang mata dengan Azam yang sedang menikam Nur Husna dengan
pandangan tajamnya. Sudahnya, Nur Husna hanya menurut kemahuan Azam. Pemanduan
mula bertukar arah. Tanpa bertanyakan Nur Husna di mana rumahnya, Azam memandu
dengan yakin seperti sudah tahu arah tujuannya.
Nur Husna pula membisu sambil menepuk-nepuk Qalbi yang masih
pulas di ribanya. Sempat mesej dihantar kepada abang iparnya untuk beritahu dia
pulang dengan Azam. Di benak Nur Husna didesak dengan pelbagai soalan yang
merunsingkannya. Nur Husna rasa bersalah tapi tidak tahu apa salahnya. Lebih
buatkannya tertanya-tanya, mengapa Azam bersikap sedemikian rupa. Nur Husna ada
tersalah katakah hingga mengguris hatinya? Apa dia marah kerana Nur Husna
bertegas tidak mahu tinggal di rumahnya untuk semalaman demi menjaga anaknya?
Tapi kan sudah dijelaskan, mustahil Nur Husna menuruti kemahuan
Azam itu. Bukan Nur Husna tidak mahu, malah kalau ikutkan hati, Nur Husna nak
sangat tinggal di sana memikirkan keadaan Qalbi. Tapi, mereka hanya berdua,
bahaya! Pesan Tuan Yusof juga kerap kali terngiang-ngiang di telinganya. Jangan
berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram. Ada yang ketiga akan membisik untuk
melakukan perkara yang dilarang Allah. Sekarang sahaja Nur Husna berdoa panjang
sepanjang dia hanya berdua dengan Azam. Moga segalanya baik-baik sahaja.
Dibetulkan niatnya hanya atas urusan kerja. Hanya mahu membantu anak kecil yang
tidak sihat.
Sibuk dengan dunianya hingga tidak sedar, Proton Perdana sudah
terparking di perkarangan rumahnya.
Jika tidak ditegur Azam, sampai ke sudah Nur Husna dalam dunianya. Azam keluar
membukakan pintu untuk Nur Husna. Setelah itu, Qalbi bertukar tangan. Pintu
belakang dibuka lalu Qalbi diletakkan di kerusi bayi yang sememangnya ada di
tempat duduk belakang.
“Terima kasih encik hantarkan saya. Saya minta maaf kalau
kata-kata saya menyinggung perasaan encik. Encik tak mahu masuk dulu?”
Azam yang sudah membuka pintu pemandu hanya menggeleng menjawab
perlawaan Nur Husna. Air mukanya sudah agak tenang daripada tadi. Cumanya masih
dingin.
“Kalau Qalbi meragam sangat encik telefon saya ye. Saya akan ke
rumah encik. Saya boleh saja minta kakak saya teman. Ataupun, encik tunggu
kejap. Saya minta izin daripada mak saya. Kalau mak izinkan, saya ikut encik
balik. Tapi dengan kakak saya sekalilah.”
Nur Husna sudah berura-ura untuk berlari masuk ke dalam rumah
mahu mendapatkan Puan Senah. Tapi dihalang dengan tegahan Azam.
“Tak perlu. It’s okey Nur
Husna. Macam you cakap, doktor
dah terangkan apa perlu buat. I je
yang risau terlebih. Masuklah. I
balik dulu.”
Kali ini suaranya sudah lembut sedikit. Seperti mahu hilangkan
serba-salah Nur Husna.
“Saya minta maaf encik sebab tak dapat bantu.”
Nur Husna meluahkan rasa bersalahnya. Azam tidak menjawab.
Matanya terus memandang Nur Husna tanpa berkelip. Terlalu lama hingga Nur Husna
tidak selesa jadinya. Pipinya sudah kebas dan panas, segan ditenung begitu
sekali. Seperti mahu telan ada juga. Nur Husna yang cuba melarikan pandangan
daripada bertemu mata dengan Azam, akhirnya beranikan diri untuk bersuara.
“Encik..?”
“You dah fikir siapa
calon pilihan you?”
Tanya Azam tiba-tiba. Dan apa yang dimaksudkan dengan calon tu?
Calon suami aku ke? Macam mana dia tahu?
Comments
Post a Comment