E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 4 - Tolong Saya!
4: TOLONG SAYA!
“Waalaikumussalam wbt. Sia –”
“Nur Husna kan? Can you
help me please?” Cemas suara garau itu bertanya sebelum sempat Nur Husna
bertanyakan gerangan di sana. Siapakah? Suaranya asing, bukan daripada kenalan
lelaki yang dikenali Nur Husna.
“Ya saya Nur Husna. Siapa ya?” Kali ini soalan yang tak sempat
dihabiskan tadi ditanya semula.
“You dekat mana
sekarang? Boleh datang rumah I. I dah tak tahu nak buat apa. You kena tolong I juga. I... I buntu.”
Tanpa menjawab pertanyaan Nur Husna, persolan lain pula ditanya. Agak terdesak
lirih suaranya. Nur Husna mula diserang rasa tidak puas hati.
“Sir! Would you please calm
down?” Agak tegas suara Nur Husna cuba mengawal emosi daripada
melepaskan rasa sebalnya. Serius air mukanya seperti sedang berdepan dengan
lelaki misteri itu.
“Arghh! Macam mana nak tenangnya. I dont know what should I do. He keeps crying. Ah! Never mind. Your’re
not helping–”
Tut.. tut.. tut..
Kali ini Nur Husna benar-benar rasa nak meletup. Panggilan
mereka tiba-tiba sahaja diputuskan lelaki itu. Terpinga-pinga Nur Husna
dipersalahkan dengan nada meninggi kerana tidak membantu. Bagaimana mahu
membantu, sedangkan letak duduk sebenar Nur Husna masih kabur. Siapa dia juga
Nur Husna tidak tahu? Tiba-tiba sahaja minta tolong. Siapa yang menangisnya?
Kalau menangis pujuklah. Kenapa minta tolong Nur Husna pula?
Jika ikutkan hati yang panas, mahu sahaja Nur Husna hubungi
semula nombor tersebut. Kemudian akan dilepaskan ledakkan di hati. Biar sedar
diri sikit. Sudahlah suka hati meninggi suara pada Nur Husna. Baru sahaja mahu
lakukan apa yang difikirkan sebentar tadi, Xperia kembali berbunyi. Sangkanya
nombor tadi tapi ternyata orang lain yang tertera namanya.
‘Puan Iffah? Kenapa dia telefon hujung minggu begini?’
Tanpa melengahkan lagi, panggilan itu disambutnya. Nanti
terjawablah persoalannya. Rasa marah kepada lelaki tadi diusir pergi. Tidak
mahu dikesan bernada dingin dengan majikannya itu.
“Assalamualaikum Puan Iffah.”
“Waalaikumussalam Husna. Husna sibuk ke hari ni?” Suara Puan
Iffah juga kedengaran cemas. Kenapa semua orang cemas sangat hari ni?
“Tak sibuk pun puan. Hujung minggu macam ni, di rumah saja.
Berkumpul dengan ahli keluarga yang lain. Ada apa ya puan?” Nur Husna terus
bertanyakan tujuan dia dihubungi. Hatinya berat mengatakan apa yang bakal
dikatakan Puan Iffah pasti ada kaitan dengan lelaki tadi.
“Sebenarnya saya nak minta tolong kamu ni. Tadi Encik Azam ada
telefon saya. Dia minta tolong siapa-siapa datang ke rumah dia untuk tengokkan
Qalbi. Memandangkan Qalbi anak asuhan Husna, boleh Husna ke sana? Katanya
meragam sangat anak dia, dari pagi asyik menangis.”
“Oh, kiranya yang telefon saya tadi Encik Azam la ye. Puan
Rosnah dan Cik Bella tak ada ke?” Patutlah suara macam kucing hilang anak.
Mengenangkan Qalbi, rindu pula Nur Husna pada bayi itu. Minggu ini hanya dua
hari Qalbi dihantar ke Darul Sakinah iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Selepas
itu, Nur Husna diberitahu Qalbi demam. Jadi, tidak dihantar ke Darul Sakinah.
“Haah, dialah tu. Kalau fasal Puan Rosnah tak sempat pula saya
tanya ke dia. Tapi, sudah diminta tolong mestilah Puan Rosnah tiada. Cik Bella
pula masih di asrama. Dua minggu sekali baru boleh pulang ke rumah. Bolehkan
Husna? Kamu pergilah tengokkan Qalbi tu. Kesian saya dengar suara cemas Encik
Azam, mesti ada yang tak kena. Saya tak ada di rumah sekarang ni, sebab tu
minta tolong kamu.”
“Kalau macam tu, baiklah. Saya pergi. Lagipun masih belum Asar
lagi. Sempatlah tengokkan kejap. Boleh puan hantarkan alamatnya? Saya siap
kejap lepas tu terus ke sana.”
“Okey, saya hantar mesej nanti. Terima kasih Husna. Maaflah
mengganggu waktu cuti kamu.”
“Tak apa puan. Saya tolong mana yang mampu.”
Setelah memberi salam, Nur Husna mencari kelibat Puan Senah.
Mahu minta izin untuk ke rumah Encik Azam. Lagi pun, Nur Husna perlu minta
khidmat kakaknya atau abang iparnya untuk menghantarnya ke sana. Maklumlah,
kenderaan yang Nur Husna boleh kendalikan hanya basikal. Dia belum ada lesen
memandu lagi, kereta mahupun motosikal. Bukan sahaja lesen, belajar memandu pun
tidak pernah. Sebelum ini jika mahu ke mana-mana Nur Husna hanya menunggang
basikalnya. Kalau mahu keluar jauh dari kampung, selalunya menanti hujung
minggulah. Tunggu Along dan Angahnya pulang. Jika urusan mustahak, barulah Nur
Husna akan minta tolong jirannya, Long Fuad hantarkan dia.
“Mak, Ateh nak minta izin ni. Ateh kena pergi rumah anak asuhan
Ateh. Puan Iffah minta tolong Ateh pergi tengokkan.”
Nur Husna terus khabarkan tentang hal tadi kepada Puan Senah
ketika melihat maknya masuk dari pintu belakang bersama dua biji buah kelapa
yang sudah dikopek. Sudah dibelah dua, hanya perlu dikukur untuk diperah
santannya nanti.
“Kenapa dengan anak asuhan kamu tu? Siapa namanya? Mak ayah dia
mana?”
Bertalu-talu soalan ditanya sambil mengesat peluh di dahi dek
berjemur mengopek kelapa tadi. Kerusi di meja makan ditenggek lalu menyambut
huluran segelas air kosong yang dituang Nur Husna. Wajah anak bongsunya itu
dipandang.
“Qalbi, baby yang
Ateh selalu cerita tu. Ateh pun tak tahu kenapa. Katanya asyik menangis dari
pagi. Maknya tak ada, yang ada cuma ayah dia. Sebab tulah kot tak tahu apa nak
buat. Boleh ye mak?”
“Kamu tahu nak buat apa? Jauh ke tidak? Ateh nak pergi dengan
siapa ni? Lama ke? Pukul berapa Ateh nak balik?”
Kalau minta izin dengan Puan Senah, beginilah dia. Akan ditanya
habis-habis biar jelas segalanya. Lagipun mahu lepaskan anak daranya, mestilah
kena tahu mahu ke mana. Mak mana tak risaukan anak. Lagi-lagi Nur Husna.
Anaknya itu bukan betah mahu biasakan diri dengan tempat orang. Kalau tak diam,
lain yang dibuat. Lagipun, Puan Senah masih dihantui kemalangan yang menimpa
Nur Husna. Kerana itu banyak soalnya biar dia tahu semuanya.
“Ateh pun tak tahulah mak nak buat apa. Ala, kalau tak tahu
Ateh telefon mak. Mak kan pakar. Puan Iffah cakap, rumah dia tak jauh mak.
Taman depan sana je. Lama tak lama, Ateh pun tak tahu. Tengoklah dulu macam
mana. Apa-apa nanti Ateh telefon mak ya. –Ha, Abang Ngah. Alang-alang dah
jumpa, tolong hantarkan Ateh. Jap, Ateh nak siap.”
“Pergi mana?” Menjerit suara lelaki itu bertanya apabila Nur
Husna sudah berlari ke biliknya tanpa berikan sebarang penjelasan. Ibu
mentuanya yang sedang membasahkan tekak dipandang meminta jawaban apabila tiada
balasan daripada Nur Husna.
“Kamu hantarkan Ateh boleh? Dekat taman depan sana. Katanya nak
pergi tengokkan anak asuhannya.”
-----
Loceng ditekan sekali lagi apabila tiada yang membukakan pintu
pagar untuknya. Mahu diintai, pagarnya rapat dan tinggi. Jadi, Husna hanya
menanti gerangan yang bakal menjemputnya masuk. Faiz sudah disuruh pulang dulu,
dipesan akan ditelefon jika sudah selesai. Lagipun, Nur Husna tidak mahu abang
iparnya menunggu, takut lama pula dia nanti.
Selepas beberapa minit, pintu pagar dibuka seseorang. Dari
sebalik pintu sudah kedengaran rengekan dan raungan bayi. Pasti itu Qalbi. Nur
Husna disambut lelaki tinggi lampai yang dikenali sebagai Azam. Rambutnya
kusut, apatah lagi wajahnya. Runsing dan keletihan sekali. Lelaki itu hanya
bersarungkan undeshirt nipis dan
seluar track hitam. Di dukungannya,
Qalbi yang tidak duduk diam sedang menangis dan merengek. Nur Husna pandang
hujung kaki, panas mukanya melihat tubuh lelaki itu yang melekap pada bajunya
yang dibasahi peluh. Jelas lekuk dan kulit tubuh Azam.
‘Seriously, dia pakai
macam ni depan aku. Dia tahu kan aku nak datang.’ Gumam Nur Husna dalam hati.
Tiba-tiba janggal mengulit dirinya. Jujurnya ini pertama kali Nur Husna
sendirian berdepan dengan Azam. Sebelum ini, hanya menyapa bisu dengan anggukan
dan senyuman walaupun cuma reaksi dingin sebagai balasan.
“Masuklah.” Seperti biasa. Suaranya dingin. Tidak mesra.
“Ada sesiapa?”
“I rasa you dah tahu rumah ni tiada siapa-siapa
selain I dan Qalbi.”
Erk? Baru sahaja mahu melangkah membontoti lelaki itu, Nur
Husna berhenti. Kelu dia memikirkan kenyataan dia hanya berdua dengan Azam.
Mengapa dia tak fikirkan hal ini tadi? Yelah, kepalanya hanya sibuk risaukan
Qalbi. Risau anak asuhannya itu sakit hingga lupa untuk fikirkan yang ini.
Aduh, macam mana ni? Perlu ke aku masuk? Kalau aku masuk, maknanya aku berdua
dengan dia. Kalau tak masuk, macam mana aku nak tengokkan Qalbi?
“Nur Husna?”
Nur Husna tersentak apabila namanya dipanggil. Dia ingin
katakan sesuatu tapi mendengarkan raungan Qalbi, kerunsingan Nur Husna akan hal
itu hilang serta-merta. Perhatian Nur Husna beralih pada Qalbi yang belum ada
tanda mahu berhenti menangis. Bayi kecil yang meronta dalam dukungan Azam
segera diterpa. Tanpa bertanyakan lelaki itu, Qalbi diambil dan dibawa ke
dukungannya. Merah padam wajah Qalbi kerana terlalu banyak menangis.
Nur Husna cuba memujuk bayi kecil itu supaya berhenti menangis
dengan mengusap-ngusap belakang Qalbi dan ditepuk punggungnya. Setiap inci
tubuh si kecil diperiksa jika ada yang luka mahupun digigit serangga. Setelah
yakin tidak ada, getah seluar ditarik bersama lampinnya memastikan tidak basah
yang menyebabkan si kecil tidak selesa. Qalbi masih begitu. Walaupun telah
diusap-usap dan ditepuk, tangisnya berhenti sekejap dan tersedu-sedu sebelum
kembali meraung.
“Masuk dulu Nur Husna.”
Nur Husna masuk ke dalam rumah apabila disuruh Azam untuk
sekian kalinya. Berpandukan arahan Azam, Nur Husna ke bilik bayi berada di
tingkat atas. Masuk sahaja ke bilik, Qalbi dibaringkan. Nur Husna menanggalkan
selimut yang membaluti Qalbi. Mungkin lapisan tebal yang membaluti tubuhnya
menyebabkan Qalbi panas dan tidak selesa.
Seluar ditanggalkan, lampin sekali lagi diperiksa memastikan
ianya benar-benar kering dan bersih. Setelah yakin lampin basah bukan
penyebabnya, seluar kembali dipakaikan. Qalbi meronta lagi dengan tangisan
sekuat hati. Qalbi menarik kedua belah kaki tembamnya ke bahagian perut,
wajahnya gelisah sekejap ke kiri sekejap ke kanan sambil menggenggam jemarinya.
Nur Husna memasukkan telunjuknya ke genggaman si kecil lalu kepala Qalbi yang
berambus nipis diusap-usap. Sebak terasa melihatkan Qalbi yang terus-terusan
menangis.
“Qalbi selalu colic ke?”
Nur Husna bertanya keadaan anak asuhannya sekiranya Qalbi
sering mengalami sawan tangis di rumah. Kerana sepanjang Nur Husna menjaga
Qalbi, si kecil itu jarang menangis yang berpanjangan. Azam yang kaku berdiri
dengan riak wajah risaunya dipandang. Hilang aura dingin yang sering
ditunjukkan lelaki itu melihatkan keadaan Azam yang tidak terurus seperti ini.
“Waktu bulan pertama dan kedua selalu la juga. Tapi sekarang
dah jarang sangat. Hampir tak pernah. Tapi, entah apa sebabnya Qalbi asyik
menangis. Dari malam kelmarin sebenarnya Qalbi selalu merengek lepas tu
menangis sekejap-sekejap.”
Jelas Azam penuh risau.
“Hari tu Qalbi demam dah okey?”
“Dah okey. Esoknya dah kebah demamnya. Cumanya Qalbi tak mahu
menyusu sangat. Kalau bagi minum pun, sikit saja Qalbi minum. I fikir mungkin sebab baru kebah demam,
seleranya kurang baik.”
“Hari ni minum tak?”
“Minum. Tapi macam biasalah. Sikit sangat. Risau I. Nak dibawa ke doktor, takut hanya
biasa-biasa sahaja. Lagipun umi dan Bella tak ada. Jadi, saya buntu nak buat
apa.”
“Puan Rosnah ke mana?” Nur Husna tanyakan berkenaan wanita itu
apabila Azam menyebut tentangnya.
“Umi ke Kedah semalam lagi, ziarah kawannya yang baru meninggal
pagi semalam. You tahu ke macam mana
nak pujuk Qalbi? Perlu bawa ke doktor ke? I
risau sangat ni.”
“Innalillahiwainnailaihirajiun.”
Perlahan Nur Husna melafazkan lafaz istirja’. Perhatiannya kembali kearah Qalbi yang belum berhenti
menangis. Cumanya tidak senyaring tadi, mungkin penat barangkali. Tapi masih
merengek tidak selesa dan tercebik-cebik mulutnya mahu mengangis lagi. Laku si
kecil masih seperti tadi. Menggenggam jemarinya sambil menarik kakinya ke
perut. Menyedarkan itu, Nur Husna menyelak baju Qalbi. Perut Qalbi diusap-usap
kemudiannya dijentik. Berbunyi kuat pada perut si kecil setiap kali dijentik
kelilingnya. Senyuman segaris terukir kerana lega.
“Qalbi kembung perut ni. Saya rasa tak perlu ke doktor. Saya cuba
sapukan minyak dulu biar sampai selesa perutnya. Kalau Qalbi masih tak mahu
berhenti menangis, baru kita ke doktor ye encik. Dekat mana minyak bayi?”
Mendengarkan penjelasan Nur Husna, Azam menghembuskan nafas
lega. Lapang hatinya mendengarkan anaknya itu tidak apa-apa. Beg kecil yang
berisi segala peralatan bayi diserahkan kepada Nur Husna. Nur Husna menyambut
pemberian Azam. Setelah menanggalkan pakaian Qalbi selain lampinnya, minyak
yuyi dikeluarkan dari beg.
“Anak ibu. Ibu minta izin urut perut Qalbi ye. Kesian anak ibu,
perut masuk angin ye.”
Nur Husna cuba berbual seperti biasa setiap kali mahu bermesra
dengan bayi kecil itu. Dia merapatkan wajahnya ke wajah Qalbi hingga
bersentuhan hidung mereka. Digesel-gesel pada hidung si kecil dengan senyuman.
Tangisan Qalbi reda sebentar sambil jemarinya menyentuh wajah Nur Husna sebelum
kembali dengan tangisan nyaringnya. Minyak di tangan dituang sedikit di perut
Qalbi dan di tapak tangannya, dilumur rata pada perut Qalbi. Kemudian
bermulalah usapan dan urutan yang sering dilihat Puan Senah lakukan kepada bayi
jagaannya. Nur Husna juga praktikkan urutan itu ketika bekerja di Darul
Sakinah. Sangat berkesan teknik urutan itu hingga ketiduran bayi mahupun
kanak-kanak yang diurut Nur Husna.
“Saya rasa encik kena tukar susu formula Qalbi. Dekat Darul
Sakinah pun Qalbi selalu kembung perut. Cumanya, tak adalah tangisnya sampai
melalak begini. Mungkin kali ini Qalbi sangat tak selesa. Qalbi ada ambil susu
ibu? Isteri encik ada susukan Qalbi di rumah?”
Azam membisu tidak langsung menjawab persoalan. Perasan akan
perubahan wajah Azam, Nur Husna tidak bertanya lagi. Terasa seperti mahu tembus
kepalanya melihatkan pandangan tajam daripada Azam. Aku salah sebut ke?
Mulutnya terus dikunci daripada bertanya lanjut. Hanya berbunyi apabila Nur
Husna mahu berbual dengan Qalbi.
Selepas agak lama mengurut, Qalbi mula menunjukkan tanda-tanda
mahu berhenti menangis. Rengekannya hanya tinggal sendu. Bibirnya menguap
kecil, matanya yang berair juga seperti mahu dipejam. Sepertinya sudah mahu
terlena bayi kecil itu. Kasihan, pasti keletihan kerana terlalu lama menangis.
Selepas Qalbi mula diam dan menghisap penumbuknya, Nur Husna
hentikan urutan. Pakaian Qalbi kembali disarungkan pada tubuh si kecil. Nur
Husna membentangkan kain bedung yang dilipat menjadi tiga segi. Kemudian, tubuh
Qalbi diangkat dan diletakkan di tengah-tengah hamparan. Dibalut tubuh kecil
itu dan diikat kain pada hujung kaki Qalbi. Hisapan digantikan dengan puting
lalu Nur Husna letakkan Qalbi ke dalam katil bayi. Ditepuk-tepuk lembut
belakang Qalbi, biar lebih lena tidurnya.
“You tengokkan Qalbi
sekejap. I nak mandi dan solat.”
Setelah sekian lama mendiamkan diri dan menjadi pemerhati
kepada segala gerak-geri Nur Husna, Azam bersuara lalu mula mengatur langkah
keluar dari bilik tanpa menunggu balasan Nur Husna.
“Saya tumpang dapur boleh? Nak bancuhkan susu Qalbi.”
Pertanyaan Nur Husna hanya dibalas dengan anggukan sebelum
hilang di sebalik pintu. Nur Husna menjungkit bahunya. Tidak mahu ambil tahu
akan sikap lelaki itu yang sentiasa dingin tidak tentu masa.
‘Cubalah belajar senyum sikit. Bukan susah pun.’
Gumam Nur Husna sendirian kerana cukup tidak berkenan dengan
kedinginan Azam. Seperti Nur Husna ada salah besar pada lelaki itu.
Mengingatkan perbualan mereka tadi pun sudah panas hatinya. Adakah dengan semua
orang Azam berkelakuan begitu?
Comments
Post a Comment