E-novel: Dia Lelaki Itu 6


25 April 2007

Bayi kecil yang dibaringkan di sampingku mengundang senyuman syahdu dan terharu daripada bibirku. Pipinya yang gebu aku usap lembut dengan belakang jari tengah dan telunjukku. Tubuh kecilnya yang dibedung aku bawa dalam kendunganku, merapatkan wajahnya dengan wajahku. Bau harumnya aku cium. Abang Syazwan cakap bau bayi yang baru dilahirkan adalah bau syurga. Betapa keharumannya menggamitku untuk terus mendakapnya selamanya.

Anak mama! Mutiara Islam! Muhammad Syahid... semoga lahirnya kamu dapat pertahankan maruah keluarga kita, maruah diri, maruah bangsa, negara, dan Islam. Tumbuhlah dengan subuh sebagai manusia berguna. Semoga kelahiranmu dapat mengubah nasib mama. Semoga kelahiranmu dapat melembutkan hati nenek dan datukmu. Anak adalah sebaik-baik rezeki dalam kehidupan rumah tangga. Kerana itu mama sangat gembira menyambut kelahiranmu.

Lembut ciumanku aku titipkan di dahinya yang luas sambil melafazkan doa dalam hatiku. Keasyikanku membelainya langsung tidak menyedarkan aku masa yang berlalu. Terbuai dengan perasaan indah ini membuatkan aku terlelap dengan dakapan bersamanya.

Seseorang yang sedang mengusap umbun-umbunku menyedarkan aku dari diulit mimpi. Abang Syazwan tersenyum padaku lalu tangannya mengambil Muhammad Syahid dari dakapanku lalu diletakkan dalam babycourt. Baringku diselesakan bantal di belakang membolehkan aku bersandar selesa. Dia tersenyum lembut.

“Humaira’ macam mana hari ini?”

“Alhamdulillah baik. Lenguh badan sikit je.”

Mendengar sahaja itu, tidak diam tangannya mengurut tubuhku. Minyak yang diberikan mak sebagai persiapan selepas bersalin digunakan Abang Syazwan. Hampir terlelap aku sekali lagi dibelai begini oleh orang tersayang.

“Humaira’ dah tidur?” Pertanyaan itu pantas membuka mataku kembali. Matanya yang sejukku cari. Pantas aku mengangkat tubuhku daripada berbaring. Dia membantuku. Agak selesa, tangannya aku genggam dan pandang matanya yang tidak pernah membosankan aku.

“Apa yang ingin abang katakan? Jangan simpan. Humaira’ siap mendengarnya.” Dia tersenyum lalu mengusap kepalaku lembut.

“Abang fikir nak khabarkan kepada mommy tentang kelahiran cucunya. Kalau boleh abang nak ajak mommy ziarah Humaira’ di sini. Dah lama kan Humaira’ tak jumpa mommy? Apa kata Humaira’?”
Dia sentiasa mendahulukan aku samada aku bersetuju mahupun tidak biarpun dia berhak bertindak tanpa perlukan persetujuan aku. Aku berfikir sejenak dengan pertanyaannya itu. Ikutkan hati aku lebih banyak takut untuk menerima cadangan itu. Kenangan lampau yang memeritkan membuatkan aku tidak mahu lagi berjumpa dengan penyebabnya. Tapi dia tetap seorang ibu.. dia layak mengetahui tentang anak perempuan tunggalnya ini. Apakah sudah tiba waktunya aku bersua muka kepada seorang ibu yang selama ini cuba aku hindarkan?

“Kalau abang rasa itu yang terbaik. Humaira’ ikut sahaja. Lagipun, Humaira’ rindu nak tengok mommy. Walaupun Humaira’ sebenarnya takut dengan segala kemungkinan yang mendatang, Humaira’ akan cuba bersedia. Lagipun, Humaira’ tak mahu hak mommy sebagai seorang nenek dihalang oleh kepentingan Humaira’.” Abang Syazwan tersenyum sambil mengusap-ngusap tanganku yang digenggamnya.

“Kalau macam tu. Abang ingat esok abang jemput mommy ziarah Humaira’. Mana tahu sejuk hati mommy apabila dapat cucu sulung. Semoga Allah berikan yang terbaik selepas pertemuan ini. Boleh kan?”

Terakhir dia meminta kepastianku. Aku mengangguk setuju. Walaupun ada kegusaran di hati, aku cuba yakinkan hati. Dengan kehadiran Abang Syazwan di sisi. Dia berjanji menjadi pelindungku selamanya. Kerana aku tahu DIA dan dia ada, aku terima apa sahaja yang bakal berlaku. Disebabkan rasa yang tetap mengganggu hati ini, aku eratkan genggaman tanganku. Abang Syazwan seperti memahami aku ditariknya ke dalam dakapannya. Dagunya ditongkat atas kepalaku. Cukup menyelesakan aku. Cuma mataku tidak mahu lepas daripada terus melihat Muhammad Syahid yang enak diulit mimpi. Anakku!

******

28 April 2007

Naluri seorang ibu yang dianugerahkan Allah, tiada yang salah. Kerana rasa yang kurang menyenangkan di hatiku merupakan petanda tak baik buatku. Ujian besar yang mendugaku membuatkan aku terkejut untuk bernafas lagi. Hampir luruh jantungku dengan apa yang berdepan denganku kini. Air mata seorang insan yang pertama kali bergelar ibu mengalir seperti tidak akan berhenti lagi. Sepertinya ibu malang sepertiku ini ingin mengalirkan sebatang sungai menunjukkan kesedihan yang melampau.

Hampir seminggu telah berlalu tapi air mataku belum ada tanda-tanda untuk berhenti. Abang Syazwan tidak pernah meninggalkan aku. Setiap masa dia di sampingku, memujukku tanpa penat, memberikan semangat kepadaku untuk teruskan kehidupan. Setiap kali itu dia mengatakan Allah tak akan menguji hambanya melainkan hambanya itu mampu. Dan aku terpilih daripada kalangan hambanya. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, katanya pasti Allah akan gantikan sesuatu yang lebih besar daripada ini. Tidak sekarang, mungkin di masa depan, tidak di masa depan mungkin di syurga nanti. Yang penting, jangan putus asa dengan rahmat Allah dan kesabaran serta doa itu kunci orang yang beriman. Walaupun dipujuk, walaupun hatiku sejuk mendengar pujukannya yang penuh syahdu, hati seorang ibu muda ini belum kuat dengan ujian ini. Air mata yang terus mengalir hanya akan berhenti apabila aku terlelap dengan esakan dalam pelukan Abang Syazwan.

Kehadiran mommy yang kufikirkan membawa suasana ceria dan kebahagiaan melihat cucu sulungnya meleset sama sekali. Kehadirannya yang diiringi berpuluh-puluh bodyguard, di sampingnya ditemani papa di sisi. Wajahnya mencuka menerbangkan segala harapanku pergi. Sudah dapatku agak Puan Sri Siew Ming tidak pernah mengalah. Rasa tidak enak yang bertandang di hati yang cuba aku hapuskan kini semakin membuakkan rasa itu. Risau menguasai, pandanganku tumpah pada anak kecilku.

Aku menggenggam erat tangan Abang Syazwan meluahkan resah di hati. Namun, Abang Syazwan tenang menyambut kehadiran mommy yang berwajah bengis dan sinis. Genggaman tanganku dilepaskan lalu menghampiri mommy dan daddy. Tangannya dihulur untuk menyalami mommy dan daddy. Hatiku bertambah terguris melihat layanan mereka terhadap suamiku. Tapi, mengenali Abang Syazwan dialah manusia yang paling tenang dalam setiap perkara.

Abang Syazwan tenang melayan mommy dan daddy. Menjawab segala persoalan yang ditanya seperti seorang penjenayah dunia disoal. Aku pula yang terasa dunia ini akan kiamat mendengar lengkingan mommy yang jelasnya sangat tidak berpuas hati. Jelasnya riak mereka berdua tidak dapat menerima Abang Syazwan apalagi bayi kami berdua. Hampir sahaja Abang Syazwan terlepas daripada kendungannya apabila niatnya untuk memberi peluang kepada mommy memegang cucu sulungnya mendapat tepisan kasar daripada mommy. Menjerit aku terkejut dengan perbuatan mommy. Suasana yang hening bertambah gamat dengan nyaringan suara tangisan Syahid akibat terkejut dengan jeritanku. Abang Syazwan pantas memberikan Syahid kepadaku. Dia memujuk Syahid daripada terus menangis dan diciumnya umbun-umbun Syahid. Berkali-kali kata maaf terbit daripada mulutnya. Aku bertambah sebak melihat ketulusan hati seorang ayah ini.

Mommy dan daddy sudah menunjukkan tanda-tanda untuk pergi. Sekali lagi huluran salam Abang Syazwan dipandang dingin. Langkah mommy mendekati aku yang bersandar di atas katil sambil mengendung Syahid. Aku menahan gentar dengan apa yang bakal dilakukannya. Mommy memandang sinis Syahid yang dipelukku silih berganti denganku.

“Bahagia?” Sinis pertanyaannya. Hatiku remuk.

“Kecapilah rasa bahagia ini sepuas-puasnya Mei Xi. Because nightmare will be your bestfriend after this.”

Hanya dua ayat itu cukup menggegarkan jantungku. Mommy pergi dengan janjinya. Bongkak gayanya pergi meninggalkan kami. Abang Syazwan menghampiriku lalu dibawakan kami berdua dalam dakapannya. Hembusan nafasnya sedikit keras, dadanya berombak lain daripada sebelumnya, menjelaskan padaku rasa hatinya yang turut sedih dengan apa yang berlaku. Aku menangis bisu dalam pelukannya.

Setiap kata-kata mommy bukan hanya omongan kosong. Apabila dia berbicara, ada janji yang dipegang, ada ugutan yang mengancam dan pastinya dia akan mengotakan amaran yang lahir dari lubuk hatinya yang penuh dengan dendam. Dua hari selepas lawatan mommy dan angkatan bodyguardnya, pagiku disambut resah dengan melihat tubuh merah Syahid beku tidak merengek mahupun bergerak. Kemerahan tubuh kecil anakku itu lama-lama berubah biru. Nadinya juga tidak lagi mampu aku rasainya apalagi jantung yang berdegup lemah akhirnya berhenti. Aku menjerit kuat memanggil doktor dan nurse. Lelahku kembali menyerang dek terkejut dengan apa yang aku hadapi sekarang. Syahid yang masih dalam dakapanku terus-terusan aku tepuk dan panggil. Air mata yang mengalir aku biarkan. Anakku itu, tak akan aku biarkan pergi meninggalkan aku.

Apabila doktor mengesahkan sendiri, Syahid telah pergi. Duniaku gelap. Abang Syazwan yang baru sampai dengan tergesa-gesa pantas menyambut tubuhku yang lembik hampir menyembah lantai hospital ini. Allah!

Penyiasatan pantas dilakukan. Walaupun ditegas aku tidak membenarkan bayi kecilku dibedah siasat tapi doktor tetap melakukannya kerana ada kesan biru yang ketara di lehernya. Hati seorang ibu perit bertambah sakit mendapat khabaran daripada doktor akan penyebab kematian Syahid. Dia diracuni oleh sejenis dadah berbahaya melalui injekkan di lehernya. Oh bayiku! Malang sekali nasibmu nak. Aku yang dirundum kesedihan hanya bertemankan air mata. Duniaku yang mulai indah oleh pelangi kecilku diserang taufan yang hampir menggulung dunia ini. Abang Syazwan mengurus sendiri jenazah bayi kami. Kesedihannya ditahan, tiada setitis pun air mata yang mengalir. Ika dan mak mertuaku memujukku walaupun mereka sendiri bisu dengan air mata. Ucapan selamat tinggalku, aku titipkan dengan pelukan eratku terhadap tubuh kecilnya yang kaku. Tunggu mama sayang! Mama akan datang menyusulmu.

Mesej yang aku terima daripada nombor yang tidak aku kenali mendatangkan kerutan di dahi. Memikirkan siapa yang menghantar mesej kepadaku sedangkan aku tidak ramai kenalan malahan seingat aku, aku tidak ada pula memberikan nombor aku kepada kenalan yang baru aku kenali. Tapi mesej itu tetapku buka lalu membacanya dengan penuh rasa sakit di hati dan kecewa. Air mata yang belum menunjukkan tanda-tanda untuk kering kembali lebat membasahi wajah. Telefon bimbit hadiah mas kahwinku, aku lempar ke dinding. Rasa geram yang membuak menyebabkan aku hampir hilang kawalan. Aku menangis dan meraung semahu-mahunya. Ika dan mak juga tidak tahu untuk bertindak bagaimana bagi menenangkanku. Habis bilikku bagai dilanda ribut dikerjakan aku. Abang Syazwan yang baru pulang dari masjid kerana ada bacaan tahlil selepas isyak tadi, pantas menghampiriku yang duduk terjelopok di atas lantai sambil meraung-raung menangis. Aku tak terkata melihat wajah sayunya. Abang Syazwan tenang membawaku ke pelukannya erat. Tubuhku diusapnya lembut memujuk dalam kebisuannya.

“Mommy... mommy... yang.. buat.. anak kita...” Agak tenang, aku berkata walaupun masih tersedu-sedan.

“Shhuu.. Humaira’ letih sangat ni kita tidur dulu jom. Makan ubat dulu okey.”

Aku membisu apabila Abang Syazwan tidak mengulas lanjut tentang apa yang aku katakan. Aku memandang wajah tenangnya. Tuhan, lelaki ini sangat tenang. Terlalu tenang walau dirinya dilanda taufan yang menggila. Tidak terusikkah dia akan kehilangan yang maha dahsyat ini? Kerana hadirnya Abang Syazwan aku yang menggila tenang dengan sendirinya. Terasa duniaku selamat di sampingnya. Rasa itu tidak pernah berkurang walaupun sedikit. Aku dikendung oleh Abang Syazwan ke katil. Ika yang menghantar ubat disambut Abang Syazwan. Dalam tersedu sedan aku mengikut apa yang disuruh Abang Syazwan. Adakala air mata tetap mengalir walaupun dalam kebisuan dan Abang Syazwan lembut mengeringkannya. Selesai ubat dan tegukan terakhir, aku diselimutkan lalu dibuai lembut oleh usapan tangannya. Kepalaku disandarkan di atas lengannya sehingga aku terlena dalam usapan kasih sayangnya.

Aku tersedar apabila terasa ruang disebelahku kosong. Aku membuka mataku, Abang Syazwan tiada di sisi. Ruang bilik yang bersepah tadi sudah kemas. Mataku menangkap telefon bimbitku yang sudah hampir pecah tapi masih boleh digunakan di atas kabinet. Telefon Abang Syazwan di sisi telefonku, aku capai. Gerak hatiku pantas ingin membuka mesejnya. Seperti yang dapatku agak, nombor yang sama dan.... mesej yang sama...

‘Rasa sakit kan? Ini balasan di atas perbuatan lampau Mei Xi. Tiada siapa yang mampu halang apa yang saya nak. Selagi belum dapat saya akan gapainya sampai dapat. Tahniah atas kematian bayi kalian kerana fasa ini fasa permulaan. Bersedia dengan mimpi ngeri berikutnya. Kalian akan saya lumatkan dalam lembah penderitaan.’

Aku menangis lagi. Mesej ini lebih awal diterima Abang Syazwan daripada aku. Sebelum dia pergi ke masjid dia sudah menerimanya malah tidak merisaukan aku dengan mesej yang diterima. Tapi, dia.. kesabarannya sangat tinggi sehingga mampu bersabar dengan apa yang telah berlaku.Tubuhku terasa disentuh dari belakang. Aku memandangnya dengan wajah yang sudah basah dengan air mata.

“Abang....” Aku memanggilnya perlahan pantas dirinya aku peluk erat. Dia memahami sabar melayan emosiku yang masih belum stabil.

“Kenapa abang tak beritahu Humaira’ ini semua perbuatan mommy?” Aku teresak dan dia diam tak menjawab. Setia mengusap belakang tubuhku.

“Kenapa abang tak ambil tindakan terhadap perbuatan kejam mommy?” Dia masih diam tidak menjawab.

“Kenapa abang biarkan perbuatan mommy macam tu je? Kenapa abang tak laporkan kepada polis? Kenapa abang tak biarkan sahaja mommy melingkup dalam penjara? Kenapa abang?” Soalan bertubi-tubi aku tanya melepaskan geram di hati. Agak lama sunyi di antara kami berdua.

“Sebab dia juga seorang ibu. Dia rasa sakit apabila seorang anak gadisnya diambil pergi. Sebab dia rasa kehilangan seorang anak gadisnya. Rasa kehilangan itu ingin dibalas agar kita rasai apa yang dia rasai.”

“Tapi mommy tak pernah sayang Humaira’. Setiap perbuatan mommy untuk kepentingan dirinya sendiri. Sebelum ini Humaira’ cuba untuk tidak membencinya tapi perbuatannya ini sudah melampau. Dia adalah satu-satunya manusia yang tidak punya hati dan perasaan. Manusia yang dibunuhnya terlalu ramai sehingga dia tidak punya rasa lagi terhadap jiwa manusia. Humaira’ malu ingin mengaku dia ibu Humaira’. Perbuatannya kali ini betul-betul buatkan Humaira’ membencinya selamanya.” Abang Syazwan melepaskan pelukanku. Aku disandarkan pada bantal dengan selesa. Nafasnya ditarik perlahan lalu menggapai tanganku digenggam erat. Mataku dipandangnya dalam-dalam.

“Firman Allah Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya, dan bergaullah dengan keduanya di dunia dengan baik dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaku...... Surah Luqman ayat 15. Ayat ini sangat mudah dan jelas. Humaira’ sendiri boleh faham apa yang Allah suruh kan?” Aku terdiam tidak menjawab pertanyaannya.

“Sejahat manapun dia tetap mommy Humaira’. Walaupun dia orang yang berpaling daripada Allah itu bukan tiket Humaira’ untuk membencinya. Bukan abang tidak tergugat langsung dengan perbuatan mommy. Abang juga manusia biasa. Punya hati perasaan, punya rasa kehilangan. Tapi, apabila difikirkan semula. Apa guna bersungguh-sungguh menuntut bela atas apa yang telah tersurat. Hak membalas perbuatan manusia bukan di tangan kita. Sedangkan semua yang kita miliki di dunia ini hanya pinjaman semata-mata. Dia yang memberi dan Dia yang mengambilnya.”

“Bersabarlah Humaira’. Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat 200 Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu, tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu), dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu beruntung. Puaskah kalau dapat membalas perbuatan mommy? Puaskah? Kalau Humaira’ dapat menuntut bela atas kepergian Syahid adakah Syahid akan dipulangkan kepangkuan kita? Redhalah Humaira’. Allah sedang mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Abang Redha walaupun ujian ini berat bagi abang. Ambillah segalanya daripada kita, asalkan Yang Satu sentiasa bersama. Insya-Allah, Dia akan lipatkan gandakan lagi rahmatnya. Berpeganglah pada janji Allah, Dia tak akan sia-siakan hamba-Nya yang bersabar dan tidak putus berdoa.”

“Bolehkan Humaira’ bangun? Bangkitlah menjadi penyeri hidup abang seperti sebelum ini. Sudah hampir sebulan, berhentilah berduka. Abang akan tetap di sisi Humaira’ walau apapun yang berlaku. Hapuskan rasa berduka di hati, hilangkan rasa dendam yang berputik, janganlah berputus asa dengan Allah kerana syaitan bersorak gembira atas kemenangannya menjatuhkan hamba Allah. Bolehkah Humaira’?”

Abang Syazwan tersenyum kepadaku. Allah ada untukku dan lelaki ini sentiasa ada untuk aku. Betapa aku benar-benar bersyukur dikurniakan suami sebaik dia.

“Bolehkah abang pimpin Humaira’ sekali lagi bangkit daripada duka ini?” Aku bertanya dalam sendu. Titisan air mata yang mengalir disekanya lembut.

“Always. I’m here for you forever.” Aku tersenyum dengan jawapannya.

“Macam inilah yang abang nak. Kadang-kadang senyuman boleh jadi satu terapi untuk merawat kedukaan. Cantik isteri abang.” Dia mengucup umbun-umbunku lembut lantas menyelesakan aku dalam dakapannya.

Aku memejamkan mata selesa dengan usapannya. Tuhan, ambillah segalanya daripadaku, asalkan Kau sentiasa bersamaku.

Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Tuhan Jadikan Dia Jodohku FULL (Edited version)

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 5 - She's my wife

E-Novel: Persiapan Seorang Wife-to-be 17 - Ibu Susuan