Cerpen Bersiri: CINTA dan Lelaki 2
Cinta juga mengajarkan Ai Nou bahawa
manusia itu bisa berwatakkan jauh daripada rasional dan logika.
Cinta..
Misteri bukan..?
Kaca mata yang melurut jatuh ditolak
kembali ke posisi asal. Matanya terus fokus pada kertas-kertas di tangannya. Di
mejanya bersepah dengan buku dan kertas yang menjadi rujukan dan rangka
kerjanya. Menjadi Event Planner bukan impian Ai Nou. Tapi kerana
Atuk, dia turutkan kemahuan Sang Tua untuk tetap betah dengan kerja ini.
"Bangunan gergasi ini aset yang Atuk
bina dengan peluh dan nyawa. Penat sakit Atuk di sinilah dia. Selepas Aman
bersara, bangunan ini milik Arjuna juga milik Ainur. Event
Planner bukan hanya sekadar kerja. Ketika meja Atuk itu menjadi milik
Arjuna, Ainur tulang belakangnya. Kerja ini melatih Ainur untuk tidak kering
dengan idea dan sentiasa berfikiran kritis."
"Arjuna saja sudah cukup Atuk. Dia tu
genius. Genius bab kerja, genius juga bab mengusik cucu atuk yang cun lagi
menawan ni. Buat apa nak jadi tulang belakang dia? Ainur yang ada tulang
belakang ni pun selalu sakit belakang, nak bagi ke dia pula. Mati la Ainur
macam ni!"
Jawapan yang tak bersalah mendapatlah
cubitan ketam batu di paha keringnya. Mahu tak menjerit Ai Nou dihukum begitu.
Itu kisah Atuk dan Ai Nou ketika Ai Nou masih freshie graduan
universiti tujuh tahun lalu. Di usia setahun jagung itu Ai Nou
dipertanggungjawab untuk menguruskan syarikat kecil yang diberi Atuk tidak
percuma tapi berhutang. Demi hutang yang perlu dibayar, tanpa tunjuk ajar tanpa
pengalaman Ai Nou belajar erti peritnya untuk tetap telus dalam
menguruskan perniagaan ini hingga dia berdiri gah sendiri. Dikenali bukan
kerana nama Atuknya jutawan antarabangsa, tetapi atas usahanya sendiri.
Kepala yang mula berpusing, mata pula
semakin tidak jelas dek terlalu lama membaca dan menganalisis sambil berdiri,
tambahan pula hampir seharian dia tidak mengisi perutnya membuatkan Ai Nou
hampir terjelopok ke lantai jika tidak disambut seseorang. Ai Nou dibawa duduk
di sofa. Tanpa di minta, air dihulur. Ai Nou menyambutnya tanpa memerhati siapa
gerangan itu. Fikir Ai Nou, mungkin Ara mahupun Arjuna. Sudah hampir Maghrib,
biasanya waktu begini Arjuna akan datang menjemputnya.
Kepalanya terus diurut menghilangkan rasa
pening yang kian meloyakan. Beberapa kali dia sendawa tanda perutnya sudah
masuk angin. Padahnya terlalu kerja keras demi mengelak daripada terus berfikir
soal tarikh pernikahannya dengan Arjuna yang semakin hampir. Makan minumnya
langsung tidak diambil peduli jika tak diingatkan Arjuna. Bukan diingatkan tapi
dipaksa mahupun diugut. Samsung J5 yang berbunyi dijawab tanpa peduli sang
figura yang masih bisu berdiri di sisinya.
"Minta maaf Cinta. Lepas Maghrib baru
abang boleh jemput Cinta. Ada kerja yang perlu selesai segera. Cinta
okey?" Serba salah suara itu memohon maaf. Nada yang semakin terbiasa di
pendengaran Ai Nou. Tiada lagi nada keras yang selalu menyakitkan hati.
Sepertinya Arjuna bahagia menanti detik yang semakin tiba. Sedangkan hati Ai
Nou sudah tak punya rasa ingin dipujuk.
"Tak apa. Saya pun ada kerja lagi
perlu disiapkan ni." Rasa pedih di perut membuatkan Ai Nou muntah angin
tanpa tertahan.
"Cinta! Okey ke? Cinta makan tak hari
ni? Ara ada belikan lunch untuk Cinta kan?" Arjuna yang sudah
dapat menghidu gastrik Si Cinta gelisah bertanya. Tunangnya itu jika tak
diingatkan, jangan harap dipedulikan makan minumnya. Makanan yang disuruh
pembantu Ai Nou belikan entahkan bersentuh entahkan tidak.
"Saya okey. Lupa makan tadi, jadi
perut meragam sikit. Awak jangan risau ye? Kalau tak okay saya ke klinik. Ara
kan ada?" Bungkusan nasi ayam di mejanya dipandang sepi. Ai Nou cuba
berlembut. Risau kena marah lagi dengan Arjuna. Tolong Arjuna! Jangan membebel!
"Ara emergency leave kan
lepas lunch tadi?" Ai Nou terdiam memikirkan kebenaran kata-kata
Arjuna. Kepala yang pening kembali mengimbas jika Ara ada memberitahunya akan
hal itu. Hampir kering darahnya mengingatkan Ara yang tergesa-gesa menghantar
makanan tengaharinya tadi lalu memohon untuk segera pulang dek adiknya yang
pengsan di sekolah. Segera gerangan yang sedari tadi membisu dipandang. Pantas
Ai Nou berdiri dari duduknya melihatkan Raden yang sedang selesa bersandar pada
dinding bilik sambil tepat memandang Ai Nou dengan senyumannya. Pucat lesi
wajah Ai Nou sambil perlahan-lahan berundur untuk segera keluar. Menggigil
tubuhnya memikirkan cubaan kasar Raden mengugutnya dengan pisau tidak lama
lalu.
"Cinta..?"
"Awak.. tolong saya.." Antara
dengar tidak dengar suara Ai Nou berbisik. Tercungap-cungap nafasnya dikuasai
rasa takut yang menggila. Langkahnya dipercepatkan mencari pintu utama.
"Arrhhh..." Nyaring jeritan Ai
Nou apabila kepalanya ditarik. J5 di tangan dirampas kasar. Tangisan yang
bertakung sudah laju bercucuran. Mulut Ai Nou ditekup dari terus menjerit lalu
J5 yang masih bersambung diputuskan dan dilempar jauh.
"Shhhh.. jangan menangis sayang. Aku
tak buat apa-apa pun dengan kau. Aku hanya mahu ambil semula apa yang
seharusnya menjadi milik aku. Jadi jangan takut. Ye sayang."
Tergeleng-gelang kepala Ai Nou menidakkan kemahuan Raden.
"Tolong jangan apa-apakan saya. Tolong
Raden."
"Tak. Tak. Aku tak akan apa-apakan
cinta hati aku. Wajah kau, tubuh kau terlalu sempurna untuk aku apa-apakan.
Bibir ini, sering menghantui lena malam aku. Kau yang paksa aku untuk tuntut
kau dari orang yang tak sepatutnya." Bibir Ai Nou yang menggigil dielus
lembut sambil mendekatkan bibirnya untuk dikucup. Meronta Ai Nou dengan
tangisan kuat.
"Hey! Apa susah sangat kau nak dengar
cakap aku ni. Kau nak aku bunuh kau ke hah!? Hey perempuan ni!" Pisau
lipat ditangan ditekan pada leher Ai Nou menghentikan raungan gadis itu.
Terkulai kakinya tidak berpijak. Tubuh yang sedia lemah, terbang pergi
semangatnya yang tipis. Pandangannya kabur, perutnya semakin sakit. Ai Nou
sudah tidak dapat lagi berfikir apa yang berlaku di sekelilingnya. Yang dia
tahu Raden mengendongnya keluar dari bangunan kerjanya itu. Ke mana arahnya
sudah tidak dia tahu lagi.
Adakah kerana cinta mengubah seorang Raden?
Cinta..
Gilakah cinta?
atau lelaki itu..
Diakah yang gila kerana cinta?
Allah! Selamatkan aku Tuhan
Arjuna! Tolong!
-----
"Selagi kau tak setuju dengan
keputusan aku. Selamanya kau akan menyesal dengan seksaan aku. Lagi cepat kau
setuju. Lagi cepat kau bahagia."
Rambut yang ditarik dilepas kasar.
Terhantuk kepala Ai Nou pada meja cermin di hadapannya. Setiap kali hijab ditarik
menutupi mahkotanya, setiap kali itulah akan ditanggalkan Raden. Setiap kali
itu juga wajahnya menjadi tempat lempangan tangan kekar Raden. Mujur lelaki itu
belum gila untuk meragut mahkota termahalnya.
Mimpi ngeri!
Andai itu terjadi. Lelaki! Benci yang
bertunas bakal tumbuh melingkar belukar duri!
Arhh.. kalau tak kerana Ai Nou memikirkan
Allah punya sebaik-sebaik perancangan untuk dia. Sudah lama mati itu menjadi
pilihan!
Tegakah cinta...
melukakan kekasih...
kerana cinta!
Cinta yang Ai Nou kenal tak sekejam itu!
Lelaki itu.. barannya lebih menakutkan dari
segala isi dunia.
-----
"Andai nyawa abang sebagai ganti untuk
bahagia Ai Nou. Abang sanggup gadaikan. Bahagialah Ai Nou! Erti cinta itu
bahagia. Jadi Ai Nou kena bahagia!"
Kata-kata yang pernah mendamaikan hatinya
19 tahun lalu semakin kerap berbisik pada mimpi malamnya.
Lelaki itu! Mungkinkah?
-----
Satu minggu Ai Nou di banglo kosong itu,
inilah kali pertama Ai Nou beranikan diri melangkah keluar dari biliknya.
Kerana terlalu takutkan Raden, Ai Nou lebih rela duduk berteleku di penjuru
bilik. Menangisi nasib yang tak diminta. Mengapa setiap kali cinta dan lelaki
itu saling berkait pasti malang dan duka yang menjadi perasa. Kutukankah cinta
buat Ai Nou?
Liar matanya memastikan tiada siapa yang
menghidu gerak gerinya. Biasanya pagi-pagi begini Raden tidak ada. Kalau ada
sekalipun pasti sedang mengeruh di bilik. Ai Nou tahu, Raden tak bodoh
sendirian mengawasi Ai Nou. Ada juga beberapa orang yang keluar masuk ke banglo
itu. Itupun Ai Nou tahu kerana mendengar suara mereka.
Dalam berhati-hati melangkah hingga ke
pagar rumah, suara-suara manusia yang berbual diperhatikan jaraknya dari Ai
Nou. Riuh para lelaki di balkoni belakang berjudi dan bersuka ria. Pagar yang
tidak tertutup rapat dimanfaatkan untuk memboloskan diri tanpa berfikir dua
kali. Ai Nou tidak merancang untuk melarikan diri, dia hanya mengikut kata
hatinya. Gerak hati yang mendorongnya keluar dari penjara mewah itu.
Keluar sahaja dari pintu pagar itu, Ai Nou
tidak berfikir lagi. Pecut langkahnya tanpa sepatu kaki meredahi kebun buah
berdepan dengan banglo. Kaki yang mula pedih berdarah tidak dipedulikan. Dia
tak punya masa! Tercungap-cungap nafas Ai Nou mencari-cari tempat untuk
sembunyi atau sesiapa sahaja untuk memohon bantuan. Di fikirannya kuat
memanggil-manggil dua nama silih berganti. Dua nama yang mengganggu mimpinya.
Dua nama yang menanam tekad untuk Ai Nou pergi. Dua lelaki itu, tolong!
Abang! Arjuna!
"Cari perempuan tu!"
Suara Raden yang sayup-sayup kedengaran
dari jauh mencemaskan lagi langkahnya. Ai Nou tak mahu menoleh ke belakang. Dia
takut! Pertolongan yang dipinta dikabul Tuhan saat melihatkan sebuah trak yang
tersadai di jalan kecil tanpa pemandu. Di belakang trak penuh dengan
buah-buahan yang segar baru dikutip. Kain rentang yang diguna menutupi
buah-buahan tersebut ditarik lalu Ai Nou bersembunyi di sebaliknya. Buah-buahan
yang membukit ditarik-tarik menutupi tubuhnya lalu menyelimutkan diri dengan
kain rentang putih. Bibirnya ditekup. Nafasnya dikawal walaupun degupan jantungnya
bagai mahu pecah!
Dari lubang trak Ai Nou cuba memastikan
tiada yang dapat menghidunya di sini. Dalam liar mengawasi, pandangan Ai Nou
menangkap pada susuk tubuh seorang lelaki gemuk berwajah bengis mencari-cari
sesuatu. Di seluarnya terselit sepucuk pistol. Ai Nou tahu, itu orang suruhan
Raden. Tuhan! Tolong. Matanya dipejam lebih rapat. Tangisan ketakutan ditelan
sedaya upaya. Bibirnya digigit kuat mengawal emosi. Biar pecah berdarah.
Semakin kuat degupan Ai Nou melihatkan lelaki itu semakin hampir ke trak. Tidak
teragak-agak tangan lelaki itu ingin menyelak kain rentang yang menutupi
tubuhnya. Allah! Tolong!
"Hoi! Kau buat apa tu? Mencuri
ka?"
Penyelamat. Lelaki bertopi jerami dan
berbot hitam sampai lutut berlari-lari menjerit ke arah trak. Lelaki gemuk tadi
dimarahi dan dituduh mahu mencuri buah. Bengis lelaki bertopi itu mengusir
lelaki gemuk supaya meninggalkan kebunnya kalau tak mahu kena lapor. Setelah
jauh jarak mereka barulah Ai Nou bernafas lega tapi dia tetap tidak mahu
memunculkan diri. Kalau perlu sembunyi biarlah sampai dia jauh dari tempat ini.
Tukang kebun itu berdiri lama di hadapan Ai Nou menutupi lubang yang dilihat Ai
Nou. Pemisah mereka hanya dinding trak. Dia tahukah?
"Cik tak apa-apa?" Dia tahu! Ai
Nou bisu.
"Jangan risau. Saya cuma tukang
kebun." Seperti dapat mengagak gelisah Ai Nou, kata-kata ditutur lembut.
"To.. tolong se.. selamatkan
saya." Rintih Ai Nou bersuara mengharapkan bantuan.
"Saya mahu ke pekan hantar buah.
Mungkin di sana cik boleh dapatkan bantuan dari balai polis berdekatan. Saya
dah agak dah. Lelaki berpistol itu pasti orang jahat. Cik jangan risau
ye."
Enjin trak mengaum dan kemudiannya
terhentak-hentak tubuh Ai Nou dibawa trak meninggalkan situ. Tidak lama sekitar
20 minit berlalu trak yang dipandu berhenti mencari parking. Kain rentang
ditarik seseorang mendedahkan Ai Nou pada cahaya mentari. Pandangan pertama Ai
Nou terpandang pada wajah seorang lelaki tua yang sedang tersenyum. Ai Nou
dibantu untuk bangun dan turun dari trak.
"Terima kasih."
"Nak pak cik hantarkan cik ke balai
polis?"
"Tak perlu pak cik. Terima kasih sudi
tolong saya. Allah sahaja yang mampu membalas kebaikan pak cik."
Ai Nou menunduk hormat dan melangkah
perlahan meninggalkan tukang kebun bersama traknya. Cuba membiasakan suasana
keliling, Ai Nou mencari-cari arah untuk ke balai polis. Tidak lama bangunan
bercat biru putih samar-samar kelihatan dari jauh. Walaupun agak jauh tapi
tidak terlalu membebankan untuk berjalan kaki. Dalam berhati-hati Ai Nou
melangkah, Ai Nou mengawasi sekelilingnya agar tiada yang mengekori. Namun,
kalau gerak hati itu berdetak risau pasti ada sesuatu yang bakal berlaku.
Telahan bukan lagi telahan. Di depannya tiba-tiba sahaja sebuah Lexus hitam
berhenti mengejut. Dan pemandunya tersenyum sinis melangkah keluar dari kereta.
Raden!
Tidak mahu kembali ke mulut buaya, Ai Nou
berlari seribu langkah meninggalkan Raden. Kesesakan manusia di depannya
dirempuh tanpa peduli dan ucapan maaf. Yang difikir dia harus selamatkan diri.
Air matanya sudah laju merembes keluar bersama raungan ketakutan.
"Tolong saya! Tolong saya! Tolong
saya!"
Kata-kata itu terus diulang sebut biarpun
tiada siapa yang berhenti bertanyakan dia. Ai Nou sendiri tidak mahu berhenti.
Semakin lama semakin laju larian Ai Nou. Balai polis yang menjadi destinasi semakin
jauh dari mata ke arah bertentangan. Menyesal tak sudah kerana menolak pelawaan
tukang kebun tadi untuk hantarnya ke balai polis. Bodoh Ai Nou! Lupakah kau
siapa Raden!
Buk!
Tergolek tubuh Ai Nou di tar panas apabila
tubuhnya dirempuh seseorang. Luka dan lecekan pada tangan dan kaki tidak
dipedulikan. Ai Nou bangkit tanpa ambil tahu siapa yang melanggarnya. Dia harus
selamatkan diri! Tapi, belum sempat langkah disambung tangan Ai Nou ditarik
mendorong tubuh Ai Nou berpusing menghadap gerangan yang menariknya itu.
Bersabung mata mereka.
"Ai Nou?"
Tangisan yang sedia lebat semakin melimpah
keluar. Tak teragak agak tubuh itu dipeluknya erat. Kelegaan sedikit membalut
hatinya yang rawan.
Lelaki itu!
Lelaki yang mengunjungi mimpi-mimpinya!
Helmi Wong. Abang susuan Ai Nou. Anak
sulung mama! Setelah 19 tahun tidak bertemu mata selain bualan di maya,
mereka bertemu semula di sini. Dalam situasi ini. Takdirkah? Jika takdir yang
bahagia, mengapa hati Ai Nou tidak tenang. Kemunculan Helmi lebih merawankan hatinya
secara jujur. Tapi, Ai Nou tidak berkata apa selain menangis.
Helmi mencari-cari gerangan yang mengejar
Ai Nou hingga tidak cukup tanah gadis itu berlari. Adiknya itu sangat tidak
terurus, baju dan seluar kotor, tidak bertudung dan tiada sepatu di kaki. Kusut
masai rambutnya tidak disisir entah berapa hari. Walaupun tidak menangkap wajah
orang yang mengejar Ai Nou, Helmi tahu siapa. Raden! Kerana lelaki itu juga dia
di sini. Kerana lelaki itu dia sanggup meninggalkan tanah airnya. Tekadnya
hanya satu. Adiknya harus dicari! Hasil usahanya bersama Arjuna menjejaki,
tempat terakhir Raden dikesan. Mereka berpisah mencari maklumat. Usaha mereka
menemukan hasil, walaupun tidak Raden sekurang-kurangnya Ai Nou yang hilang
hampir seminggu lalu ditemui.
Tanpa bertanya banyak Ai Nou ditarik
mengikuti langkahnya. Apa-apapun adiknya itu perlu diselamatkan. Ai Nou harus
disembunyikan dari Raden. Tangannya juga tidak lokek menghubungi Arjuna.
Setelah berhubung talian mereka, Arjuna dikhabarkan ke mana arah tujuan mereka.
Turut dipesan agar bawa polis bersama. Walaupun berjaya larikan diri dari Raden
tapi itu tidak membuatkan Ai Nou dan Helmi menghembus nafas lega. Lelaki itu
sangat licik. Kerja kotornya sangat terkenal tapi tertutup kemas kerana ayahnya
yang terkenal di pelosok nusantara.
Kilang kayu yang ligat memproses kayu-kayu
binaan menjadi tempat Helmi dan Ai Nou bersembunyi. Bagi Helmi kilang itu mudah
untuk bersembunyi, susah untuk dicari pastinya. Tapi, sangka Helmi mereka sudah
berjaya bersembunyi ternyata tidak. Tempat yang dituju ternyata perangkap buat
mereka. Raden sudah disitu dengan gelak tawa kejinya
bersama revolver yang sedang ditarik picunya. Cemburu
menguasai. Revolver menyasar mangsa. Tahu sasaran Raden, Helmi yang
mendahului langkah berpaling melindungi Ai Nou.
Bang! Bang! Bang!
Tiga tembakan dilepas.
"Abang!"
"Arghh!" Helmi meraung.
Ai Nou hampir terjelopok jatuh ke tanah
tidak percaya, tapi ditahan Helmi. Risaunya terjawab.
Dengan tenaga yang masih bersisa, Ai Nou
ditarik keluar dari kawasan kilang. Jalan utama dituju. Melihatkan mangsanya
yang masih cuba melarikan diri cemburunya makin membuak. Bengis dan merah padam
air muka Raden menunjukkan amarahnya yang tidak lagi terkawal. Tidak lagi
berfikir lanjut. Sasaran ditarget tepat. Menggila peluru dimuntahkan tanpa
henti.
Semakin kuat jeritan Ai Nou. Helmi yang
semakin hilang kesedaran itu mula memberat tubuhnya terkulai. Tubuh Helmi yang
berlumuran darah itu dipangku. Nama itu ulang-ulang di panggil. Kerana tidak
sempat mengiring tubuh Helmi ke pinggir jalan, di atas jalan raya yang luas itu
menjadi tempat tubuh mereka terjelepok bersama. Terkebil-kebil mata Helmi
memandang wajah Ai Nou yang semakin lebat dengan tangisan. Wajah Ai Nou
dipegang, senyuman diukir paksa.
"Ingat janji abang? Andai nyawa
abang sebagai ganti untuk bahagia Ai Nou. Abang sanggup gadaikan."
"Abang! Tolong jangan tinggalkan Ai
Nou. Jangan pergi. Tolong! Tolong!"
Ai Nou sudah tidak tentu arah
memanggil-manggil sesiapa sahaja untuk menyelamatkan mereka. Malang sekali
suaranya tenggelam kerana kereta yang lalu lalang tiada tanda mahu berhenti.
Mereka di tengah-tengah jalan raya. Tiada siapakah yang sudi?
"Ai Nou.." Wajah Ai Nou dipaksa
memandangnya.
"Janji dengan abang.."
"Abang.. Jangan cakap lagi. Abang akan
selamat. Semua akan selamat."
"Shhh.. janji dengan abang."
"Abang.." Ai Nou sudah tak mampu
berkata lagi.
"Bahagiakan diri.."
Tergeleng-gelang kepala Ai Nou.
"Ai Nou. Berjanjilah.." Tangan
adiknya terkasih itu digenggam erat.
"Ai Nou janji.. tapi abang kena
selamat. Kita akan sel..."
Tidak habis mengusaikan katanya, Helmi
gagahkan diri untuk berdiri menghentikan kata-kata Ai Nou. Tubuh Ai Nou ditarik
paksa. Ai Nou yang menyangka Helmi mahu menyeberangi jalan memeluk tubuh lelaki
itu cuba membantu. Tapi tanpa sempat pelukan dierat, tubuh Ai Nou ditolak kasar
ke seberang jalan tanpa isyarat. Lori yang laju dipandu dari jauh sudah diagak
ke mana perginya akhirnya menghentam tubuh Helmi yang sedia terluka parah itu.
Pemandu yang terlelap terjaga apabila terasa tujahan kuat di depannya. Cermin
depan dipenuhi percikan darah. Mendadak brek ditarik menghentikan panduannya.
Pintu segera dibuka dan berlari keluar melihat apa yang dilanggarkan. Pucat
lesi wajahnya melihatkan tubuh manusia yang patah riuk terperosok ke bawah
lorinya. Ngeri!
"Abang!"
Ai Nou menjerit lepas. Terkejut bukan
kepalang melihat kemalangan maut di hadapan matanya. Mulutnya ditutup tidak
percaya. Baru sahaja kaki yang sudah tidak punya tenaga ingin berlari
mendapatkan Helmi, motosikal RXZ yang dipandu gila dengan pelbagai aksi oleh
mat-mat rempit kini merempuh tubuh Ai Nou pula. Ai Nou yang disangka mampu
diselamatkan melayang tubuhnya hampir 100m dari tempat kejadian.
Raden yang sedari tadi puas menjadi
pemerhati kepada maut ciptaannya, terkejut melihatkan tubuh Ai Nou yang
terdampar di bahu jalan. Segera langkahnya diatur laju mendapatkan gadis yang
dicintai separuh mati. Gadis yang mendorongnya bersikap gila seperti ini. Dia
sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan Ai Nou, termasuk membunuh. Tapi
kematian gadisnya, tak pernah dia impikan. Tak pernah! Tak! bukan ini yang
dirancang!
Tuhan! Baru hatinya terdetik ingin
memanggil Tuhan kala ini.
Ai Nou yang sudah nyawa-nyawa ikan itu
dipanggil berkali-kali. Tubuh Ai Nou dipeluk. Ditampar-tampar pipi Ai Nou berharap
agar mata indah itu terbuka. Meraung lelaki itu menyesal dengan tindakan
gilanya. Kerana kenyataan yang tidak dapat diterima mat-mat rempit yang turut
terdampar di jalan raya dipandang geram. Revolver yang diselit di
poket ditarik. Seperti tadi, tiada fikiran dua kali. Tembakan dilepaskan
menembusi tengkorak dan jantung gerangan yang disasar. Pemandu lori yang
gelisah menghubungi nombor kecemasan juga ditembak rakus.
Orang ramai yang cuba mendekati Ai Nou
tidak lagi berani melangkah. Pucuk pistol di tangan Raden merisaukan mereka.
Silap langkah nyawa mereka jadi taruhan. Polis yang dilapor sudah sampai
mengelilingi kawasan jalan raya itu. Kesesakan semakin berpanjangan. Hon dan
pin bertalu-talu ditekan bagi mereka yang tidak tahu apa yang telah terjadi.
Arjuna yang turut tiba di situ bersama pasukan polis segera berlari untuk
mendapatkan Ai Nou di pelukan Raden. Pantas mata tajam Raden menghentikan
langkah Arjuna.
"Dia dah mati! Haha.."
Tiba-tiba itu yang terlucut dari bibir
Raden diiringi ketawa lepas dan sendu.
"Dia dah mati! Padan muka kau!
Haha.."
"Raden.." Arjuna cuba bermain
kata. Ai Nou dipandangnya risau silih berganti dengan Raden yang masih bersama
pistol di tangan. Risau andainya Ai Nou juga dijadikan mangsa tembakan Raden.
"Aku cakap dia dah matilah! Kau nak
aku tembak dia ke baru kau puas!" Muncung pistol diletakkan pada dahi Ai
Nou.
"Okey baik. Tenang. Aku
berundur." Arjuna mengangkat tangannya tinggi berundur ke belakang.
"Cinta aku mati. Aku bunuh dia.."
Suara yang menengking tinggi semakin kendur kedengaran. Wajah Ai Nou
dipandangnya lagi. Tubuh Ai Nou semakin ditarik ke dalam pelukannya.
Tangisannya tiba-tiba meledak dengan raungan suara.
"Aku bunuh dia.."
"Aku bunuh dia.."
Ayat-ayat yang diulang menggelisahkan Raden
dari duduknya. Wajah Ai Nou yang tiada riak itu diperhati dan dipeluk berulang
kali. Seperti tidak percaya dengan kata-katanya kepala digeleng tanpa arah.
Dengan posisi Ai Nou yang masih di pelukannya, pistol ditangan diacu pada dahi
sendiri. Arjuna terbuntang luas saat mengetahui apa yang ingin dilakukan Raden,
langkahnya dilajukan.
"Aku bunuh dia.."
Bang!
Terkulai kedua-dua tubuh itu di tar yang
sudah sedia basah dengan simbahan darah.
Cinta..
Misterinya dia..
Mendorong hati itu..
Mewujudkan..
Cinta yang gila..
Cinta yang ngeri..
Cintakah yang salah?
atau lelaki itu yang salah?
-----
"Ma! Abang ma! Abang!" Gadis itu
hanya menjerit terlolong sedari tersedar dari lenanya yang panjang. Dia yang
tak mampu bertenang itu terpaksa diberikan ubat penenang untuk stabil sebelum
rebah kembali ke katil.
-----
"Ai Nou bunuh abang ma! Abang mati ma!
Macam mana Ai Nou nak hidup kalau macam ni." Setiap kali jaganya. Matanya
tak akan kering dari rembesan air yang bercucuran. Sudahnya membengkak dan
merah lebam mata cantik si gadis.
"Shhh.. sayang rehat ye." Sang
Bonda tabah melihatkan keadaan anaknya begitu. Jika tidak diberi ubat penenang
begitulah dia. Menangis dan meraung.
-----
"Helmi!"
"Helmi!"
"Helmi!"
Buk!
Tubuh itu jatuh menyembah lantai. Gelisah
dan resah. Imbasan dan gambaran ngeri bermain-main di mindanya. Tubuh yang
terperosok di bawah lori berulang tayang bak pita rosak. Hamis darah
semakin menyucuk deria baunya. Simbahan lekikan merah terlihat di
mana-mana. Tubuhnya yang tidak sempurna itu dipaksa pergi dari bayangan-bayangan
ngeri yang mengejarnya.
Pintu dibuka dari luar meresahkan gadis
yang ketakutan itu. Muncul wajah bengis dengan senyuman sinis
bersama revolver di tangan. Mata si gadis terbeliak kerana terkejut.
Tergeleng-geleng kepalanya mengharapkan belas kasihan. Terasa tubuh dipeluk,
gadis itu mencuba menghalang gerangan yang memeluknya dari menjadi sasaran
lelaki bengis di depannya.
"Tak!"
"Jangan!"
"Jangan bunuh dia!"
Bang!
Jeritan menggila memenuhi ruang bilik.
Menggelupur tubuh si gadis terdampar di lantai ruangan itu.
"Cinta!"
Hamis yang semakin meloyakan menyebabkan
segala isi perut dimuntah keluar. Lemah. Terasa tiada lagi yang mampu
dikeluarkan selain muntah angin.
"Cinta!"
"Abang..."
"Doktor! Nurse!"
-----
Matanya dibuka perlahan saat terdengarkan
bunyi pintu ditutup. Pandangan yang kabur perlahan-lahan semakin jelas setelah
retinanya semakin biasa dengan terjahan cahaya. Kiri dan kanannya dipandang.
Asing. Dia di mana? Baru sahaja mahu menggerakkan tubuhnya, kesakitan yang
menjalar seluruh tubuh hampir membuatkan dia menjerit kuat.
"Aduh!" Tapi hanya itu sahaja
yang terbit keluar dari bibirnya. Berkerut dahinya dengan mata yang tertutup
menanggung kesakitan yang tak terperi. Tangannya cuba digerakkan tapi tiada
rasa yang mampu dikesan. Kaki juga dilakukan yang sama. Namun tetap sama yang
dirasakan pada tangan kirinya. Terasa seperti sesuatu, kepala yang terasa berat
dipanggung sedikit melihat kondisi kaki dan tangannya. Satu keluhan berat
terlepas dari bibirnya.
Mata yang terpejam memikirkan nasib
sendiri. Perlahan-lahan memorinya yang samar-samar menerjah ingatan. Insiden
ngeri itu buatkan Ai Nou kembali membuka matanya luas. Cemas yang tiba-tiba
menyerang buatkan Ai Nou mula gelisah. Wajah itu dicarinya. Harapan diletakkan
tinggi menggunung. Tolong! Tolong katakan! Ini semua hanya mimpi. Kondisi Ai
Nou beberapa hari lalu seperti manusia tidak waras juga semakin jelas di
ingatan. Semakin memberatkan dia pada suatu kesimpulan. Dia tak mimpi. Ini
semua benar-benar terjadi. Buktinya dirinya sendiri.
Mimpi itu. Mimpi yang sama mengetuk
lena-lenanya. Ternyata ia petanda. Insan yang bertahun-tahun tidak ditemui itu
akan diambil pergi buat selama-lamanya. Perpisahan yang dicipta mereka kerana
haluan kehidupan yang berbeza dan juga pilihan keluarga yang difikirkan hanya
sementara akhirnya hilang. Hilang. Tak akan lagi boleh bersua muka selain
memori indah dan pahit sebagai kenangan. Rasa pedih dan sesak pada dada
akhirnya meledakkan tangisan yang semakin murah. Penyesalan. Tiada guna untuk
menyesal. Suratan Qada' dan Qadar sudah tertulis seperti itu. Manusia yang
bertuhan itu hanya punya pilihan. Muhasabah, redha dan teruskan hidup menjadi
hamba Tuhan. Atau menjadi hamba kufur sentiasa menyalahkan takdir yang tidak
diminta. Tidak sedar takdir itu ditentukan untuk menguji bukan didatangkan
kerana diminta.
Oh Tuhan!
Seberat-berat ujian. Mengapa kesayanganku
juga yang Kau ambil pergi.
Pintu bilik yang terkuak mengalihkan
pandangan Ai Nou pada insan yang melangkah masuk. Melihatkan Ai Nou sudah sedar
dari tidurnya langkah wanita yang semakin dimamah usia itu berhenti. Begitu
juga lelaki di belakang Sang Bunda. Kedua-duanya jelas riak kerisauan pada
wajah mereka. Risau andai Ai Nou emosi lagi.
"Ai Nou...?" Berhati-hati Sang
Bunda memanggil Ai Nou. Jika sebelum ini anak gadisnya akan menjerit histeria
setiap kali terjaga dari lenanya. Tangan kanannya yang boleh digunakan akan
mencapai apa sahaja barang untuk dihempas ke lantai. Tak kurang juga cubaan
mencederakan diri sendiri jika ada yang mahu mendekati. Kerana itu Sang Bunda dan
Arjuna berdiri kaku sahaja di pintu.
"Mama.." Melihatkan rintihan
anaknya yang tiada tanda untuk bertindak agresif membuatkan Sang Bunda berlari
mendapatkan Ai Nou lalu dipeluknya erat. Kelegaan menjalar di hatinya. Laku
gadisnya itu menunjukkan, Ai Nou sudah siuman. Hakikat yang dinafikan semakin
boleh diterimanya. Anak gadisnya itu kuat, masa sahaja penentunya untuk dia
tahu kebenaran yang berlaku tidak lagi boleh ditolak.
"Maafkan Ai Nou ma. Kalau Ai Nou tak
jaga diri, Ai Nou tak kena culik. Kalau Ai Nou tak kena culik, Abang Helmi tak
akan terpaksa datang ke Malaysia. Kalau abang tak datang Malaysia, abang tak
akan kena bunuh macam tu. Maafkan Ai Nou maa.." Teresak-esak Ai Nou
memohon maaf dari Sang Bundanya itu. Rasa bersalah yang tak terucap kerana Helmi
merupakan tulang belakang Sang Bunda untuk meneruskan hidup setelah
ditinggalkan suaminya dulu.
"Tak sayang. Ai Nou tak salah. Tiada
yang salah."
"Marahkan Ai Nou ma. Jangan maafkan Ai
Nou."
"Jangan cakap macam tu. Ai Nou
satu-satunya anak perempuan mama. Rugilah andai anak yang mama susukan ini mama
benci hanya kerana ujian sepahit hempedu. Sedangkah anak itu cuma pinjaman buat
mama. Helmi hanya pinjaman untuk mama. Ditariknya pergi kerana mama sudah cukup
dengan nikmat yang diberikan. Mama redha. Siapa mama menyalahkan sayang mama
sendiri hanya kerana satu nikmat yang diambil kembali. Tak ke mama salahkan
Allah yang juga telah menemukan anak secantik Ai Nou. Mama redha jadi Ai Nou
juga kena redha. Biarkan Helmi bahagia di sisi penciptanya. Doakan dia
ditempatkan bersama para syahid dan para soleh. Itu sudah cukup membahagiakan.
Doa Ai Nou buat Helmi sudah cukup mengubat kekecewaan dan kelukaan ini. Sudah
cukup sayang."
Anak yang semakin pulih semangatnya dipujuk
lembut. Ai Nou gadis cerdik. Dia lebih faham akan makna hidup walaupun tiada
yang beritahu. Sudah melalui kehilangan terbesar sedari lahir mengajarkannya
makna tabah. Cuma kadang-kadang Ai Nou terjatuh rebah kerana dia juga manusia,
nasihat dan pujukan sahaja penawar untuk memulihkan semangat Sang Cinta ini.
Ai Nou tidak mampu lagi berkata lanjut.
Ingin membantah sekalipun apa yang dikatakan Sang Bunda semua benar. Menafikan
bermakna menentang takdir Allah terhadapnya. Kecewa dan benci, perasaan biasa
seorang manusia. Luahkan rasa itu semahunya dan kembali pada Tuhan. Muhasabah
dengan ujian. Mungkin ada laku sendiri yang terkurang dan tidak kena di mata
Allah menyebabkan ujian seberat itu ditimpa ke atasnya. Allah tak kejam kerana
cinta terbesar dalam hidup manusia itu cinta dari Allah. Kalau Allah kejam
tidak akan dipedulikan hambanya. Kerana Allah cinta ujian diberi. Kadang-kadang
untuk peringatan pada hambanya yang semakin lupa akan Tuhan. Kadang-kadang
ujian itu tanda Dia mahu hambanya lebih dekat pada-Nya, ingin diangkat darjat
Sang Hamba untuk diletakkan di tempat-tempat istimewa di sisi Allah.
Ai Nou sangat muhasabah panjang dengan
kehilangan yang diragut dari hidupnya sekelip mata. Tiada cinta yang pernah
bertunas buat Sang Adam selepas Atuk selain Helmi. Lelaki kedua yang sangat
dekat dengan Ai Nou. Lelaki kedua yang mengetahui segala-galanya tentang Ai Nou
selepas Atuk. 11 tahun hidup bersama Helmi sudah cukup mengukuhkan rasa
cintanya pada insan yang dipanggil abang itu.
Helmi Wong. Walaupun umur berjarak enam
tahun lebih tua dari Ai Nou, itu tidak menjarakkan hubungan mereka. Malah
Helmilah yang membantu Ai Nou merangkak, berjalan dan berlari. Kisah yang
diulang Mama setiap kali Helmi terlalu ambik berat akan Ai Nou. Apa yang
mengikat hati mereka? Mungkin kerana darah saudara susuan yang mengalir buatkan
mereka saling memahami. Apatah lagi kehilangan yang sama dirasai mereka.
Helmi satu-satunya teman sepermainan Ai
Nou, tangisan Ai Nou dikesat dan tangisan Helmi dikesat Ai Nou. Andai Atuk dan
mama sibuk, Helmilah tempat Ai Nou bermanja dan tempat Ai Nou melepaskan
marah mahupun kecewa. Tiada rahsia antara mereka. Perasaan mereka sentiasa
dikongsi. Selain berkongsi senyuman dan makanan yang sama. Berkongsi Mama
yang sama. Dibesarkan di gelanggang yang sama dari tarbiah Sang Bunda buatkan sikap
mereka hampir serupa. Juga kehilangan dan benci pada lelaki turut buatkan
mereka sentiasa sama.
Abdullah Wong!
Suami kepada Sang Bunda ayah kepada Sang
Budiman, Helmi!
Bahagia keluarga kecil Sang Bunda tak lama.
Kesempurnaan akhirnya dicacatkan oleh kecurangan lelaki.
Ahh kalau lelaki! Sama!
Nafsu sendiri sahaja mahu dipuaskan!
Anak ketiga yang masih menyusu ditinggalkan
Sang Ayah kerana sudah punya pilih lain yang lebih sempurna katanya. Malah
buatkan Sang Budiman itu lebih benci, ayah yang disangka hero, memilih untuk
sekutukan Tuhan. Apatah lagi lelaki itu sanggup meninggalkan mamanya yang masih
berpantang adik keduanya. Semakin marak benci Sang Budiman pada lelaki
dipanggil ayah itu. Datang pula bayi kecil yang dibawa Atuk ke rumah mereka
dahagakan susu seorang ibu. Kisah bayi itu buatkan benci Sang Budiman kepada
setiap lelaki semakin tinggi. Kerana itu kasih sayangnya ditumpahkan sepenuhnya
pada Ai Nou. Dia tak mahu Ai Nou tertipu dengan lelaki lain. Cukuplah dia
satu-satunya lelaki untuk melindungi Ai Nou. Kerana itu juga kebahagiaan Ai Nou
yang menjadi keutamaan Helmi. Hingga nyawa sanggup digadai. Dia mahu adiknya
itu bahagia.
11 tahun bukan waktu yang singkat. Walaupun
terpaksa berpisah di usia Ai Nou 12 tahun namun itu tidak langsung memutuskan
hubungan mereka. Cumanya lebih terhad kerana waktu negara yang berbeza. Helmi
terpaksa sentiasa berada di China kerana kasihnya pada Sang Bunda yang perlu
berkhidmat pada Atuk. Apatah lagi perniagaan yang ditinggalkan ayahnya perlukan
pantauan. Mamanya tak cukup tangan untuk uruskan semuanya. Maka berpisahlah
mereka bertahun.
Hanya cinta..
mendekatkan hati Ai Nou pada lelaki itu..
Tak sangka. Pertemuan yang dinanti ternyata
pertemuan terakhir cintanya. Ternyata pertemuan itu tanda kasih Allah untuk memisahkan
mereka selama-lamanya. Allah sentiasa sayangkannya. Kerana itu peluang bertemu
Helmi diberi walaupun sebentar cuma. Itu sudah cukup. Sampai sekarang pertemuan
perit itu tersangat cukup. Biar berpisah jasad, cinta unik Ai Nou pada Sang
Budiman dipanggil abang itu tetap subur. Cinta yang ada darjatnya sendiri di
hati Ai Nou. Tiada siapa yang mampu menembusi darjat itu selain Atuknya. Kerana
cinta pada Helmi itu juga buatkan cinta para lelaki yang ditagih dan para
lelaki yang menagih cinta padanya tidak mampu membuatkan hati kecil Sang Cinta
ini puas. Buatkan Sang Cinta akhirnya kecewa dengan sikap lelaki. Kerana lelaki
semuanya tak sama sepertimana yang dirasakan pada Sang Budiman.
Usai menghabiskan bacaan yang dihadiahkan
pada cinta yang sudah sebulan diambil pergi, aplikasi Surah Yaasin di telefon
bimbitnya ditutup. Air mata yang menitis dikesat lembut lalu senyuman redha
diukir seikhlasnya. Air mawar disiram di atas tanah yang membukit itu. Batu
nisan yang mengukir nama cintanya diusap perlahan.
Abang..
Cinta Ai Nou..
Sebaik-baik lelaki dalam hidup Ai Nou..
Janji Ai Nou pada abang..
Akan Ai Nou tunaikan..
Bahagia yang abang gadaikan dengan nyawa
abang..
Ai Nou akan cari seumur hidup Ai Nou..
Jadi abang..
Bahagialah di sana..
Allahku..
Bahagiakan cinta Ai Nou ini..
Bahagiakan dia Allahku..
Bahagiakan dia..
Setelah puas meluahkan rasa di hati, Ai Nou
berpamit untuk pergi dan berjanji untuk datang lagi. Tikar sudah digulung
jejaka di sampingnya. Ai Nou hanya memandang Sang Arjuna yang hanya mengikut ke
mana sahaja perginya Ai Nou. Suara lelaki itu juga semakin mahal untuk bergurau
apatah lagi meninggi suara. Gelang pengikat pertunangan masih terikat di
tangan dan cincin juga masih tersarung di jari manis tangan kirinya.
Setelah menyimpan segala peralatan di
bonet, Arjuna kembali mendapatkan Ai Nou. Gadis bertongkat itu dipimpin
perlahan ke Honda Civic. Ai Nou yang berbalut di kepala kerana luka yang parah
dipandang, tangan kiri Ai Nou patah dan kaki kanan pula tulangnya retak. Sangat
mengambil masa yang lama untuk kembali seperti sedia kala. Pernikahan mereka
juga ditangguh lama. Tapi Arjuna. Tiada langsung keluhan mahupun bantahan
malahan Ai Nou dilayan sebaik-baiknya walaupun hobinya yang satu sudah hilang.
Arjuna menjadi seorang pendiam.
Sebelum tubuh diboloskan ke dalam Honda
Civic, tanah kubur bersemadinya Helmi cintanya dipandang lama. Arjuna yang
memandang perbuatan Ai Nou itu akhirnya bersuara perlahan sambil menunduk.
Wajah Ai Nou langsung tidak dipandang.
"Besarnya cinta Cinta terhadap lelaki
itu sehingga memakan masa berminggu demi menyembuhkan hati Cinta. Cemburunya
abang kerana tidak dapat merasainya cinta semahal Cinta. Untuk ke depan ini,
berpeluangkah abang? Jangan katakan, apa yang berlaku buatkan Cinta tidak mahu
lagi mencintai lelaki lain walaupun untuk seorang Arjuna. Masa! Ambillah. Ubati
hati. Selepas itu, cintailah Arjuna ini. Selamanya Cinta tetap cinta abang.
Selamanya, hanya Cinta yang abang tunggu."
Usai berkata, Arjuna sambung membantu Ai
Nou duduk di sebelah pemandu. Tongkat diletakkan di tempat duduk belakang dan
pintu ditutup perlahan. Tempat pemandu diambil lalu meninggalkan tanah
perkuburan Islam dalam keadaan bisu antara keduanya. Tiada suara
hatta celoteh dari radio. Ai Nou hanya menjeling Arjuna di sisinya.
Kata-kata Arjuna sedikit terkesan di hatinya.
Abang.. bahagia itu akan ada pada Arjunakah
andai dia yang Ai Nou pilih?
Bagaimana Ai Nou mahu bahagia dengannya?
Sedangkan Ai Nou tak punya cinta pada dia..
Ai Nou mengaku..
Arjuna tak seperti lelaki yang kita
sama-sama benci dan kecewa..
Tapi Arjuna juga..
Tak seperti lelaki yang Ai Nou cinta..
Tak seperti cinta Ai Nou pada Atuk..
Juga tak seperti cinta Ai Nou pada abang..
Hanya dua lelaki ini yang punya cinta dari
Ai Nou..
Arjuna.. berpeluangkah dia?
Dada Ai Nou disentuh perlahan. Cuba merasai
satu perasaan aneh di hati sendiri. Perasaan yang tidak ada pada Atuk juga
tidak pada Helmi. Apatah lagi perasaan buat lelaki-lelaki yang pernah hadir
dalam hidupnya. Bukan!
Perasaan ini..
aneh!
Cinta..
wujudkah buat lelaki ini?
-----
Keluhan..
Semakin kerap bermain di bibir Sang Cinta
yang dirundung murung.
Sunyi..
Terasa sesuatu yang semakin hilang. Ada
sesuatu yang semakin menjauh.
Cinta yang ingin dicari..
Entah mengapa tiba-tiba Ai Nou disogok
rasa.
Apa itu cinta?
Huhhh..
Keluhan itu meniti lagi di bibir Ai Nou.
Semenjak kehilangan Helmi, rasa takut dan kesunyian semakin membalut hatinya.
Ditambah lagi walang mengenangkan Sang Tua yang semakin merisaukan kesihatan
lelaki itu. Membuatkan cinta yang sentiasa kembang mekar di hati Ai Nou ditimpa
hujan yang berpanjangan. Senyuman apatah lagi mahu diukir, tak mampu ketulusan
itu terus dikoyak di bibirnya.
Ai Nou takut..
Ai Nou risau..
Kehilangan..
Tolong jangan ada lagi yang diambil dariku
Allah!
Mata terpejam berdoa bisu dengan rintihan
kalbu.
Arjuna..
Hakikatnya lelaki itu, turut memberi kesan
pada diri Ai Nou.
Kehilangan yang dirasa sebelumnya terasa
semakin ditimpa bebannya setelah satu keputusan diluahkan pada Sang Tua.
Sudahnya, kehilangan yang mahu dihindar membuatkan dia benar-benar kehilangan.
"Jangan nak merepek! Tiada ikatan yang
akan diputuskan. Cepat atau lambat pernikahan akan tetap diteruskan."
Dan Atuknya tiba-tiba diserang demam panas.
Laporan doktor.. Atuk perlu lebih banyak berehat. Jangan berikan tekanan pada dia.
Jantung perlu diberi rehat dan tekanan darah tinggi juga perlu dikawal. Mungkin
kerana kes Ai Nou diculik ditambah pula pemergian Helmi secara tiba-tiba dan
keadaan Ai Nou yang masih belum sembuh sempurna menyebabkan Sang Tua itu
terusan dilanda kerisauan yang berterusan. Soal kerja lagi. Dan Ai Nou pula
sangat cerdik pergi tambah tekanan Atuknya dengan permintaan tak masuk akal.
Tak ke semakin tertekan Sang Tua itu.
Ai Nou bukan tak tahu mengapa Atuk sangat
inginkan Arjuna dan Ai Nou bersatu. Atuk seperti Helmi. Kerana
cinta, mereka sangat melindungi. Kerana cinta, mereka mahukan lelaki
terbaik buat Ai Nou. Kerana cinta, mereka tidak terlalu percaya akan mana-mana
lelaki semudahnya. Bahagia Ai Nou sangat penting. Mereka tak mahu lelaki yang
salah yang dipilih Ai Nou. Mereka tidak mahu lagi kesedihan terusan dialami Ai
Nou. Cukuplah kekecewaan demi kekecewaan. Cukuplah kehilangan demi kehilangan.
Gadis Cinta mereka layak bahagia. Dan bahagia yang mereka lihat ada pada Sang
Arjuna, lelaki sempurna yang layak bergandingan dengan Ai Nou. Sudah pastinya
dapat bahagiakan Ai Nou.
Sedangkan Ai Nou.. tak tahu. Apatah lagi
belakangan ini sikap Arjuna sangat asing. Lelaki itu menjadi pendiam. Lelaki
itu semakin menjauh. Dan Ai Nou rasa.. kehilangan. Kerana itu Ai Nou mahu
menafikan apa yang dirasa. Kerana itu juga dia khabarkan tekadnya pada Sang
Tua. Tak sangka itu mengganggu kesihatan Sang Tua.
Walau serba salah, tapi Ai Nou kecil hati..
Di hatinya, ego terus merantai..
Atuk, Ainur tak nak yang lain. Ainur hanya
nak Atuk di sisi Ainur. Jika peluang dibuka. Kehilangan itu akan berlaku lagi..
Dan Ainur..
Sangat takut dengan hakikat itu..
Dengan kehilangan..
Kecil hati membawa diri Ai Nou entah ke
mana. Asalnya cuma mahu menyendiri. Sedar-sedar sahaja teksi sudah berhenti di
kawasan masjid yang tidak pernah Ai Nou kunjungi. Mahu memandu sendiri
tangannya belum boleh bergerak sesukanya. Kaki sahaja sudah semakin aktif
berjalan. Kerana itu teksi dipanggil dan diarah untuk terus memandu. Mungkin
sudah jauh dari rumah sewanya. Mungkin juga sudah masuk ke negeri lain..?
Jauhnya!
Solat Asar berjemaah baru sahaja selesai
hampir 30 minit yang lalu. Tidak mahu pula Ai Nou meninggalkan perkarangan
masjid itu. Taman kecil yang dibina cantik di kiri masjid menggamit langkah Ai
Nou ke sana. Ada taman burung. Ai Nou melabuhkan punggungnya di gazebo yang
terletak berdepan dengan taman burung yang bersangkar besar itu. Tak mahu
terus-terusan rasa bosan, Ai Nou memerhatikan gelagat-gelagat manusia yang
berkeliaran di masjid itu. Ada beberapa keluarga sedang berkelah. Selain
pengunjung berpasangan, taman kecil itu didominasi oleh kanak-kanak
kebanyakkannya. Terutamanya di kawasan taman permainan yang hanya beberapa
langkah dari taman burung di depannya itu.
Gelak tawa Sang Kecil..
Terasa sejuk hati Ai Nou buatkan senyuman
yang sudah lama tidak diukir manis terhias. Sejuk melihat keluarga yang
sepertinya sangat bahagia dengan kelengkapan mereka. Punya ayah, punya ibu,
diceriakan lagi oleh Sang Kecil. Ada lelaki ada perempuan. Bahagianya mereka.
Rasa sejuk yang buatkan Ai Nou tiba-tiba
sangat inginkan. Ingin punya keluarga sempurna seperti itu. Ingin punya
pasangan sekasih itu. Ingin punya Sang Kecil secomel itu. Tapi.. prinsipnya?
Takutnya? Risaunya? Kehilangan? Persoalan yang terusan menyerbu perlahan-lahan
mematikan senyuman manis di bibirnya. Kepala ditunduk memandang kayu gazebo.
Buntu!
"Ehem..."
Ai Nou berpaling ke kiri. Seorang lelaki
sedang berdiri di tangga gazebo. Teragak-agak mahu naik ke atas. Sudahnya dia
melabuhkan sahaja duduknya di tangga sambil berpaling ke sisi. Memudahkan dia
melihat Ai Nou. Memudahkan juga mereka untuk berbual panjang setelah sekian
lama perpisahan menjadi titik antara mereka.
"Assalamualaikum." Salam diberi
melihatkan Ai Nou hanya memandang si jejaka tanpa kelip. Salam dijawab, tapi
hanya di dalam hati. Fikirannya masih ligat berfikir. Siapa? Macam kenal.
"Aih, tak
akanlah bestfriend sendiri pun dah lupa kot. Dulu kata
nak forever friend bagai. Ni tak beruban lagi pun dah lupa."
Ramah si jejaka cuba menghilangkan kecanggungan mereka. Senyuman manis diukir.
Wajah Ai Nou diperhati. Semakin cantik temannya yang seorang itu.
Mulut Ai Nou membulat serentak dengan
matanya yang semakin luas dibuka. Telunjuk dinaikkan menuding ke arah lelaki di
depannya. "Shauqie!" Lelaki itu apa lagi, semakin lebarlah senyuman dia
saat namanya disebut Ai Nou.
"Ingat pun. Ingatkan dah lupa. Kenapa?
Muka aku ni berubah sangat ke sampai kau tak kenal? Eh, aku tak pernah buat
pembedahan plastik tau!" Ai Nou hanya tersengih disindir teman lamanya.
Sejarahnya juga. Lelaki yang dia cuba elak hingga kini. Tak sangka akhirnya
orang yang tidak mahu dijumpa didatangkan tanpa dipinta. Mengapakah? Untuk
selesaikan sesuatu yang dia sendiri sakit untuk mengingat.
Mahunya Ai Nou tak dapat mengenali wajah
Shauqie. Lelaki itu sudah pandai penyimpan janggut sejemput dengan kumis nipis
di atas bibir. Rambutnya yang panjang mencecah bahu pula dibiarkan berombak
ditiup angin. Sedangkan dulu, songkok tidak pernah dilepaskan lelaki itu. Rambut
pula sentiasa dipotong pendek dan kemas.
Berseluar jeans dan t-shirt berbelang biru putih agak
sendat tersarung di tubuh. Santai dan aneh pada Ai Nou. Pemakaian yang susah
untuk dilihat pada tubuh lelaki di depannya ini. Shauqie tak pernah
berseluar jeans sedari awal perkenalan mereka. Apatah lagi berpakaian
sendat hingga menampakkan otot kekar lelaki itu. Selalunya pakaian Shauqie
sangat sopan. Sentiasa berslack biasa, denim atau track suit, jubah
atau t-shirt longgar, kemeja mahupun baju melayu dan sudah semestinya
songkok wajib di kepala. Kalau tak, tak dapatlah gelaran ustaz pilihan dekat
sekolah dulu.
Berubahkah dia? Sudah berapa tahun mereka
tidak bertemu hingga perubahan terlalu ketara antara mereka.
"Aih, jangan pandang aku tak berkelip
macam tu. Susah aku nanti." Malu-malu Shauqie mengalihkan pandangannya
sambil mengusap belakang kepalanya kekok. Segan ditenung anak dara orang
sebegitu sekali. Ai Nou hanya mengukir senyuman nipis. Tak terusik langsung
apatah lagi terasa malu. Dibiarkan sahaja Shauqie dengan lagaknya yang tak
senang duduk. Ada sesuatu pada Shauqie. Watak malu-malu itu mengingatkan Ai Nou
pada Shauqie yang dulu. Shauqie ketika di awal-awal perkenalan mereka.
Shauqie di depannya ini.. Shauqie yang
samakah?
"Kenapa dahi kau berbalut? Tangan kau
kenapa?" Melihatkan keadaan Ai Nou sebegitu Shauqie bertanya. Lagipun Ai
Nou macam tak beri sebarang reaksi terhadapnya. Kawan lama kot!
"Eksiden." Sepatah. Aisehhh..
sepatah tanya sepatah jawab. Dah kenapa?
"So, how's
life?" Shauqie cuba memulakan perbualan demi mencantas kebisuan
Ai Nou yang tidak bersuara selain tersenyum sahaja. Masih marahkah temannya
ini?
"Hurmm.. fantastic." Sepatah
kemudian diam. Shauqie telan liur. Macam nak tak nak je menjawab. Aku nak buat
apa ni?
"And you?" Sedang
dia berfikir untuk menarik Ai Nou kedalam perbualan tiba-tiba Ai Nou
memulangkan soalan kepada Shauqie. Shauqie ketawa kecil. Dia faham, Ai Nou
sedang cuba selesakan diri. Maklumlah bertahun tidak bertemu.
"Alhamdulillah. Masih hidup untuk hari
ni. Cita-cita yang pernah aku kongsikan, semuanya tercapai dengan izin Allah. I
got my degree and insyaAllah MA will be mine soon. I got my job. Masih
kerja yang sama hingga sekarang."
"Peguam syariah? MA Bidang Fiqh
Munakahat. Perkahwinan Islam dan budaya Malaysia. Melayu, Cina, India dan
kebanyakkan etnik di Malaysia kan?" Ai Nou meneka sementelah itu yang
pernah dikongsikan kepadanya di zaman belajar dahulu.
"Betul. Tak sangka kau masih ingat.
Pelik ni! Kau jangan! Entah-entah..." Ayatnya dibiarkan bergantung seperti
itu. Berkerut dahi Ai Nou dengan sikap Shauqie yang tiba-tiba diam tanpa
habiskan kata-katanya.
"Apa?"
"Kau suka aku lagi ke?" Shauqie
serkap jarang dengan wajah serius memandang wajah Ai Nou. Membuntang mata Ai
Nou dengan terjahan soalan Shauqie itu. Eee.. tak bagi signal langsung. Kalau
betul tak apa jugak!
"Perasannya kau! Kata kawan. Ingat aku
teruk sangat ke sampai nak lupa ingatan bagai." Mencerut wajah Ai Nou
tidak suka dengan soalan begitu. Hilang sudah senyuman manisnya. Baru elok-elok mood tengah
okey dia terjah macam tu. Tak ke tak fasal-fasal Ai Nou diganggu kenangan lalu
yang bukan menggembirakan malah lagi menyakitkan hatinya. Huh! Lelaki ni.
Peliknya Shauqie tak pula terkejut tapi
dihembusnya lagi nafas lega. Apa yang dia lega sangat pun tak tahu. Siap boleh
senyum lebar dan ketawa lagi. Tadi bukan main serius tanya soalan bukan-bukan.
"Fuh! Lega aku dengar. By the
way, aku dah kahwin!"
Ai Nou ternganga. Lelaki ni! Dah kahwin tu
buat cara dah kahwin la. Ni tak, macam tak matang tanya soalan macam tu dekat
Ai Nou. Ha mana bini dia ni? Jangan cakap Shauqie ni buat perangai tinggal
bini. Nak menggatal dengan perempuan lain. Eh, entah-entah aku perempuan tu? Lelaki
kan bukan boleh percaya.
"Ke kau nak jadi bini nombor dua aku?
Boleh, boleh. Bini aku pun tak kisah kalau aku nak kahwin berapa pun. Sampai
empat pun dia bagi. Kau nak?" Tengok tu. Dia mula dah dengan perangai
mengayat perempuan tu. Ai Nou dah tak mahu melayan. Daripada tiba-tiba isteri
Shauqie muncul menyerangnya lebih baik dia pecut dulu. Baru nak melompat turun,
Shauqie menghalang.
"Tenang Ai Nou. Aku gurau sajalah. Kau
ni macam tak biasa kena usik dengan aku. Tu ha, bini aku dengan anak aku. Tak
akanlah aku nak menggatal depan dia kot. Dia pun tahulah aku nak jumpa kau. Dan
dia kenal siapa kau." Shauqie memuncungkan mulutnya ke arah taman
permainan yang dipenuhi dengan kanak-kanak. Seorang wanita cantik, tinggi
lampai, bertudung labuh dan berbaju kurung sedang mengawasi seorang anak kecil
yang ligat berlari. Dia memandang Shauqie dan membalas lambaian Shauqie yang
sedang melambai ke arahnya.
"Duduklah Ai Nou. Jangan lari lagi.
Dah lama aku cari kau. Dah lama aku cari peluang untuk cakap dengan kau
depan-depan macam ni. Please.. Kau kawan aku kan?" Shauqie
berkata lirih. Seperti sesuatu benar ingin lelaki itu sampaikan. Mahu tak mahu
sahaja Ai Nou kembali melabuhkan duduknya di tempat tadi. Shauqie juga sudah menongkat
kaki di tangga. Santai.
"Aku serius dengan soalan aku tadi.
Kau masih sukakan aku?"
"Shauqie! Stop it!"
"Okey.. okey.. I am serious. Ehem.."
Kotak suaranya dibetulkan mencari kata untuk diluah.
"Tak sangka. Doa aku untuk jumpa kau
balik Allah kabulkan. Bukan sekejap aku cari kau. sembilan tahun Ai Nou. Hampir
putus asa aku cari kau. Alhamdullah, sabar aku tak percuma. Allah dengar
permintaan aku." Ai Nou pandang Shauqie. Mengapa dia di cari?
"Kenapa kau cari aku? Kita bukan ada
apa-apa rasanya untuk bertemu." Balas Ai Nou dingin. Kedengaran Shauqie
mengeluh.
"Andainya tadi kau jawab kau masih
suka aku, sungguh Ai Nou. Sungguh sampai bila-bila aku akan tanggung rasa
bersalah dekat kau. Aku tak sangka tak pernah terfikir, melukakan hati
seseorang itu sangat menyakitkan. Aku minta maaf Ai Nou. Minta maaf atas khilaf
aku."
"Maksud kau?" Ai Nou bertanya pelik.
Mengapa lelaki ini seteguh itu mencarinya demi mendengarkan kata maaf dari dia.
Bukankah melukakan itu sesuatu yang biasa? Manusia boleh teruskan hidup
walaupun tanpa maaf bukan?
Ai Nou dipandang sekilas kemudian Shauqie
menunduk memandang tangan yang ditaut. Setelah nafas ditarik Shauqie
mengisahkan satu peristiwa menghadirkan rasa yang menghimpit perasaannya. Anak
saudara Shauqie, Aniza namanya. Anak sulung along Shauqie. Sebaya umur Aniza
dengan mereka berdua. Aniza seorang gadis yang sangat rapat dengan Shauqie,
mungkin juga kerana mereka sebaya menjadikan mereka rapat. Jika disebut rapat
semestinyalah tiada rahsia antara Shauqie dan Aniza.
Gadis seceria Aniza satu hari pulang ke
rumah nenek dan atuknya untuk bertemu Shauqie. Teresak-esak gadis itu memeluk
Shauqie erat tanpa menceritakan apa-apa. Tiga hari berlalu, Aniza tetap begitu.
Menangis dan murung. Kolej juga tidak mahu pergi. Kerisauan Shauqie akhirnya
terjawab saat Aniza menceritakan dia punya seorang lelaki yang dia suka di
kolej. Namanya Sufian. Mendengarkan karakter lelaki yang diceritakan Aniza
sungguh tidak jauh bezanya dengan Shauqie. Kata Aniza, kerana dia suka peribadi
Shauqie membuatkan dia inginkan lelaki yang berperibadi seperti Shauqie. Tapi
apabila sudah rapat dan mesra tak sangka akhirnya dia dikecewakan. Aniza tak
pernah terfikir lelaki sebaik itu sanggup melukakan hati seorang perempuan.
Seperti apa yang pernah berlaku antara
Shauqie dan Ai Nou, itulah apa yang telah terjadi antara Aniza dan Sufian.
Tiada tokok tambah malah persamaan yang menerbangkan ingatan Shauqie kepada Ai
Nou yang sudah tiga tahun tidak diketahui khabar gadis itu. Kecewa Aniza
bertimpa kerana dia sudah meluahkan rasa cintanya pada Sufian. Melihatkan tiada
penolakan daripada Sufian malah titik itu mengeratkan lagi hubungan mereka
bagai pasangan kekasih. Sangka Aniza, Sufian turut cintakannya walaupun Sufian
tidak membalas luahan Aniza tapi tidak juga menafikan. Tapi siapa sangka
ternyata Sufian sudah punya seseorang yang dia lebih sayangkan. Itupun Aniza tahu
daripada teman-temannya. Lebih patah hati, khabar yang disangka omong kosong
ternyata sungguh terjadi. Sufian bercinta dengan perempuan lain. Siap berpegang
tangan lagi hendak ke mana-mana sedangkan Sufian yang Aniza kenal tidak seperti
itu. Sufian sangat menjaga orangnya seperti Pak Sunya, Shauqie.
Cerita Aniza seperti menampar Shauqie dari
lenanya yang panjang. Terasa dialah manusia yang bertopengkan syaitan itu.
Menggunakan agama dan melanggar agama tanpa rasa bersalah. Malah, sedari
hubungan Shauqie dengan Aimi tiada langsung serba salah bertukar-tukar pasangan
jika sudah tidak sehaluan, sehinggalah ketika itu. Ketika dia mendengar luahan
Aniza yang senasib dengan mereka yang pernah Shauqie kecewakan, Shauqie baru
sahaja putus hubungan dengan teman wanitanya. Jika dia suka dia layan, jika dia
tidak suka dia tinggalkan. Rasa bersalah Shauqie menggunung. Terutama pada
seseorang, seseorang yang langsung tidak diberi penjelasan apa-apa. Ai Nou.
"Aku tak pernah cakap aku suka dekat
kau pun. Yang kau serba salah tu kenapa?" Tempelak Ai Nou kepada Shauqie.
Geram! Tapi sebenarnya cuba menyembunyikan fakta yang tersimpan kukuh.
"Eh, hint yang kau bagi dekat
aku dulu bukan ke maksudnya kau sukakan aku?" Ai Nou sudah mengerutkan
dahinya seribu lapis. Bilakah?
Shauqie yang bagaikan mengerti kelupaan Ai
Nou itu cuba mengingatkan. "Aku tahu masa kau pernah cakap kau
suka aku waktu tertidur dalam kelas. Aku ingatkan kau pura-pura tidur. Aku
boleh tahu juga masa kau pernah cakap seorang diri yang kau suka aku waktu kau
tunggu aku untuk buat rondaan. Aku syak kau cakap macam tu sebab kau nampak aku
datang. Aku tahu masa aku pernah terbaca apa kau tulis. Aku ingatkan kau
memang nak tunjuk dekat aku. Dan paling jelas kebanyakkan buku rujukan kau yang
kau bagi aku pinjam ada tulis perkara yang sama. Aku tahu.."
"Stop!" Ai Nou dah
tak tahu nak cakap apa. Merah padam wajahnya bagai disimbah sebesen cili
giling. Ai Nou menekup wajahnya kerana malu yang teramat. Bodohnya kau Ai Nou.
Tabiat Ai Nou yang satu, kalau dia suka orang dia akan cakap. Tapi bukan depan
orang yang dia suka melainkan bercakap seorang diri mahupun tulis
banyak-banyak. Sudahnya tabiat itu meng'kantoi'kan diri sendiri. Tuhan! kenapa?
Kenapa mesti sekarang?
"Minta maaf. Aku tak bermaksud nak
malukan kau. Tapi aku cuma nak kau tahu, aku lelaki yang tak jujur. Walaupun
aku tahu kau suka aku, aku tak halang kau dari terus suka aku. Aku terus layan
kau lebih daripada yang sepatutnya. Aku seolah-olah menjawab rasa hati kau
dengan setiap layanan aku. Sedangkan aku, aku tak pernah rasa apa-apa selain
suka seorang teman. Teman yang sangat istimewa. Kau seseorang pada aku. Tapi
bukan sampai membuatkan aku jatuh cinta dengan kau..."
"...Kalau aku sayang kau sebagai
teman. Sepatutnya awal-awal lagi aku jujur dengan kau yang sayang aku terhadap
kau hanya sayang seorang teman rapat. Tak lebih daripada itu. Tapi aku ego, aku
terus bagi harapan pada kau. Aku tamak, aku mahu terus dilayan oleh perempuan.
Teman wanita mahupun kawan. Aku mahu semuanya. Aku suka dilayan istimewa oleh
kaum hawa. Sedangkan aku buta, hati manusia khususnya hati wanita sangat lembut
diciptakan. Andai disentuh sedikit dia tetap akan membalas. Apatah lagi kalau
disentuh semua hati itu, jatuh cinta tentunya. Aku khilaf Ai Nou. Maafkan aku.
Tak dapat aku bayangkan kecewanya kau bila kau tahu hubungan aku dengan
Aimi..."
"...Aku sedar sakitnya rasa itu bila
aku tengok sendiri keadaan Aniza. Murungnya berpanjangan, menangis sahaja
kerjanya. Kadang-kadang tu luar alam warasnya hingga sanggup cederakan diri
sendiri. Kalau tak diubat ke pakar entah bagaimana jadinya. Aku tak sangka
wanita serapuh itu, kecewa dia membawa bencana pada diri sendiri. Apatah lagi
wanita yang lemah semangatnya seperti Aniza. Tak boleh terima kenyataan
sayangnya ditipu lelaki. Lakunya seolah dunianya sudah berakhir hanya kerana
kecewa daripada seorang lelaki. Walaupun setelah berubat, walaupun semangatnya
untuk teruskan rutin harian semakin pulih tapi Aniza yang manja dan ceria
semakin hilang. Sikapnya makin dingin pada lelaki, dia susah berurusan sengan
lelaki. Ternyata hatinya tak pernah terubat. Sikap dia sangat macam kau Ai
Nou..."
Baru kau tahu lemahnya hati wanita jika
melibatkan perasaan. Ai Nou terdiam lama mendengarkan luahan Shauqie itu.
"Semenjak itu aku bernazar, setiap
perempuan yang pernah aku kecewakan, yang pernah aku permainkan aku akan cari
semula. Aku mahu memohon maaf sebagai lelaki yang budiman dan lelaki yang punya
Tuhan. Agama mengajar memuliakan wanita, bukan melukakan mereka sesuka hati.
Kecewa mereka moga sahaja terubat dengan kata maaf aku. Aku mahu mereka tahu
tak semua lelaki macam tu. Aku mahu mereka tahu, kecewa itu bukan titik mati.
Masa depan mereka masih jauh. Jangan lukakan diri sendiri. Jangan penjarakan
diri sendiri. Berilah peluang kepada diri sendiri kerana aku mahu mereka tahu,
ada lelaki yang terbaik untuk mengubat hati yang pernah dilukakan itu. Hanya
jangan berhenti berdoa sahaja agar dipertemukan dengan sebaik-baik pasangan.
Yang tidak melukakan dan mengecewakan."
"Jadi, aku jawab soalan kau. Aku cari
kau selama bertahun ni sebab aku nak minta maaf dengan kau. Aku sangat berharap
janganlah lelaki-lelaki seperti aku membuatkan kau terus berjauh diri daripada
menunaikan fitrah kau yang inginkan pasangan. Salah aku, aku sangat mengaku.
Aku malu dengan diri aku sendiri sebab aku orang yang belajar tentang agama.
Tapi laku aku seolah aku sangat jahil tentang agama. Aku lelaki seharusnya
memimpin dan mendidik. Bukan bersikap sebaliknya. Sekali lagi maafkan aku Ai
Nou. Aku sangat-sangat minta maaf."
Lirih suara itu merayu maaf daripada Sang
Sahabat yang pernah dilukainya dulu. Kadang-kadang itu Allah datangkan orang
tersayang untuk kita tahu dosa kita. Allah mahu kita tahu sakitnya orang yang
kita sayang diperlakukan oleh kelakuan yang kita sendiri pernah lakukan.
Sebaik-sebaik teguran yang didatangkan Allah padanya. Mengucap panjang Shauqie
saat tersedar dari semua itu. Taubat sahaja tidak cukup melainkan maaf dipinta
demi menenangkan hati yang bersalah. Walaupun lakunya tidak sampai merosakkan
wanita tapi dia tetap bersalah. Maaf ditagih walau ada yang menerima ada yang
mencaci.
"Kisah lalu Shauqie. Lagipun aku tak
pernah berniat nak kau tahu aku suka kau pun. Tak tahu pulak memang kantoi
dengan kau. Jangan risaulah, suka waktu tu apalah sangat. Hormon remaja
terlebih dos." Balas Ai Nou berseloroh. Entah mengapa, rasa bencinya pada
sikap lelaki dilunturkan dengan maaf tulus yang dipinta Shauqie. Dia rasa bebas
berkongsi tentang perasaan kepada lelaki itu. Mungkin ikatan sahabat itu masih
terasa. Sayang untuk sahabat!
"Tapi hutang maaf tetap kena bayar.
Tak mahu aku kena tanya dalam kubur nanti. Jadi, kau maafkan aku Ai Nou?"
Ai Nou dipandang sayu. Air mukanya benar-benar mengharap. Ai Nou mengukir
senyuman tenang. Perlahan kepalanya dianggukkan.
"Aku maafkan kau Shauqie. Walaupun
jujurnya sakit hati sampai sekarang aku dapat rasa. Aku cuba tepis perasaan aku
banyak kali, tapi layanan kau terhadap aku buatkan aku diberi harapan. Kerana
harapan itu juga buatkan aku terluka. Well, perempuan kan
memang over kalau bab sakit hati ni. Tapi, siapalah aku untuk
menolak maaf setulus ini. Aku juga manusia. Ada silap aku sendiri. Kalau aku
angkuh hari ni, tak mustahil Allah akan datangkan balasan yang sama saat aku
merayu-rayu maaf orang lain. Aku maafkan kau Shauqie. Kita kawan kan?"
"Eh, tak nak jadi bini nombor dua aku
ke?"
"Shauqie!" Terjegil mata Ai Nou.
Hish lelaki ni. Aku tumbuk dengan tangan simen aku ni ha baru tahu. 5kg ni. Nak
merasa ke? Shauqie ketawa lepas. Seperti bahagia benar maaf yang dicari terbalas.
Penantian yang begitu lama terlerai dengan begitu mudah. Shauqie tahu Ai Nou
itu unik. Walaupun tidak suka akan sesuatu, tapi hatinya yang penuh cinta itu
mengatasi segala dukanya. Gadis Cinta yang penuh dengan cinta. Moga kau bahagia
sahabat.
"Aku ingat kau dah berubah sebab
penampilan kau ketara sangat. Ingatkan kau dah jadi pelakon ke apa. Jaga badan
bagai." Shauqie memandang dirinya tersengih.
"Aku malu nak pakai macam dulu. Rasa
orang terlalu meninggikan aku dengan pakaian aku. Gelaran ustaz yang orang
panggil seperti perlian yang tiada henti. Sedangkan diri aku sendiri, kau
sendiri tahu. Cukuplah selagi aku menutup aurat aku, membolehkan aku untuk
solat dan tidak memakai sesuatu yang dilarang Allah. Sekurang-kurangnya andai
aku buat salah, orang tak salahkan agama aku bila tengok pakaian aku. Biarlah
orang kenal aku dengan peribadi aku bukan dengan menilai pakaian aku. Lagipun
kau yang sedarkan aku juga selain Aniza penggerak aku untuk berubah."
"Aku?"
"Eh dah lupa. 'Manusia boleh berubah
kan? Sayangnya berubah kepada sesuatu yang mengundang murka Tuhan! Kalau kau
nak terus macam ni silakan. Tapi ubah pakaian kau. Cukup malukan agama aku
dengan sikap kau. Jangan malukan agama aku dengan pakaian kau.
Sekurang-kurangnya kalau kau ubah pakaian kau. Kau sumbang sesuatu untuk agama.
Elakkan fitnah pada agama. Orang kutuk perangai kau sahaja kalau kau buang
songkok kau tu sebab orang tak tahu kau pelajar jurusan
agama. Finally, waktu ni sampai juga. Aku doa kau bahagia.
Kawan!'"
Ai Nou menggaru kepala sendiri mengingatkan
surat yang diselitkan dalam beg Shauqie di hari terakhir peperiksaan SPM dulu.
Disebabkan geram terbang habis adab dan kata penuh hikmah yang sepatutnya
menjadi prinsip utama orang yang beradab dan berilmu kalau mahu menegur. Malu dengan
kata-kata kesat sendiri. Sebab tu tak berubah si Shauqie ni sampai Allah tunjuk
Aniza tu depan mata baru nak berubah. Kata-kata lembut dan hikmah lebih
mengetuk hati daripada kasar dan kesat. Tapi kalau dah banyak kali berlembut
tak berubah juga, baling terus periuk belanga. Biar sedar diri sikit.
"Abang.”
Isteri Shauqie memanggil sambil mendukung
Sang Kecil yang sudah tertidur berjalan menghampiri mereka dengan senyuman
manis. Cantik! Pandai kawan aku ni pilih. Cantik juga yang dia cari. Kalau dah
lelaki tu. Hurmm.. Sang Kecil beralih ke dukungan Shauqie.
"Kenalkan Hannah. Sayang, nilah Ai Nou
yang selalu abang cerita tu." Hannah menghulurkan tangan bersalam tapi
terkejut Ai Nou tubuhnya ditarik ke dalam pelukan wanita cantik itu.
"Sabar ye kak. Lain kali kalau abang
buat macam tu lagi dekat akak ambil saja kayu balak. Bidas ke kepala dia. Baru
dia tahu perempuan ni tak semuanya lemah tau."
Tergelak Ai Nou dengan celoteh Hannah.
Boleh tahan.
"Hannah salah seorang teman wanita
yang pernah aku kecewakan. Tapi tak tahu pula jodoh kitaorang ni kuat. Nak
minta maaf alih-alih dapat kahwin terus. Nasib baik memang sukakan dia. Tak
adalah rasa macam kena kahwin paksa. Dan Hannah jugalah orang yang bagi
semangat dekat aku untuk terus cari kau sampai sekarang."
Shauqie mengaduh manja saat pinggangnya
dicubit Hannah. Aduhan jadi ketawa akhirnya. Usikan yang membahagiakan. Ai Nou
rasa cemburu. Keinginan yang dia rasa semakin meronta ingin dimiliki sendiri.
Dia mahu semuanya. Pasangan dan keluarga sempurna. Prinsipnya? Mungkin boleh
diubat tentunya. Yang penting Ai Nou tahu apa yang dia mahu.
"Terima kasih kawan. Kau sedarkan aku.
Tak semua lelaki macam tu. Mungkin aku perlu bagi peluang untuk buka hati aku
kan? Aku pun nak bahagia juga. Cemburu aku tengok kau dah beranak."
"Ha tunggu apa lagi. Jadi bini nombor
dua aku cepat."
Membulat mata Ai Nou dan Hannah serentak.
Tak pasal-pasal makan sepatu kami berdua. Tak cukup tanah kena kejar. Nasib
baik Sang Kecil tu baik saja. Tak terusik walaupun ayahnya sedang bersilat
dengan dua wanita yang sedang menyerangnya tanpa ampun.
Bahagia yang Ai Nou inginkan.. wujudkan
peluang itu?
Lelaki..
Siapakah dia untuk mengubat hati ini..
Arjuna..
Diakah..?
-----
Wushhh ~~
Angin kuat menampar kasar ke pipi Ai Nou.
Tapi langsung tidak membuatkan gadis itu terganggu dengan hembusan angin kuat
pada petang itu. Sawah padi yang terliuk-liuk mengikut arah angin dipandang
dengan senyuman kecil. Langit semakin kelam dan gelap sedangkan angka jam masih
awal. Baru melepasi waktu tergelincirnya matahari. Tanda langit hari ini mahu
memuntahkan lagi isinya. Maklumlah, Musim Tengkujuh masih bersisa harinya.
Ai Nou melunjurkan kakinya terjuntai di
pankin belakang rumah pusaka keluarga Shauqie itu. Kerana pujukannya bagai
orang terdesak perlukan tempat berteduh ketika itu, Shauqie dengan paksa rela
menerima paksaan Ai Nou. Itupun lepas dipujuk Hannah. Mujur ada Hannah. Wanita
itu seperti tahu Ai Nou sedang dalam masalah walaupun Ai Nou tidak bercerita.
Kalau tak kerana Ai Nou yang cetek akal pergi jauh dari rumah tanpa persediaan,
sehelai sepinggang dia kecuali Gucci buruknya menjadi peneman, tak ada punya
dia terhegeh-hegeh dengan lelaki orang untuk ikut pulang. Sekali tengok dah
macam ajak kahwin lari pulak. Kahwin lari apanya! Berani buat, depan bini dia
kot. Memang minta masuk kubur awal lah kalau macam tu. Alang-alang kubur memang
dekat waktu tu. Ha, belakang masjid tu. Cakap je kalau nak!
Tapi Hannah lebih memahami gelojak rasa Ai
Nou. Yang sedang mencari ruang membuat keputusan. Lagipula mereka memang tahu
Ai Nou sudah jauh berbatu-batu dari bandar Shah Alam, tak akanlah nak disuruh
pulang ketika itu. Sudahlah hari semakin gelap. Perempuan pula tu. Atas dasar
rasa tanggungjawab, Shauqie menerima pujukan Hannah, dan kini Ai Nou berada di
utara Malaysia, Pulau Pinang kampung keluarga Shauqie. Dan juga negeri Ai Nou
menghabiskan pendidikan sekolah menengahnya dulu. Kata Shauqie, selepas habis
sekolah menengah, dia tak tahu Ai Nou sudah berpindah ke Shah Alam. Kerana
itu susah Shauqie mahu menjejaki di mana Ai Nou tinggal selama sembilan tahun
mencari. Mereka tahu Ai Nou tinggal di Shah Alam pun tidak sampai beberapa
bulan yang lalu. Cuma berpeluang bertemu mata semalam sahaja.
"Apa yang difikirkan tu kak. Tak
berkelip saya tengok." Hannah mendekati pankin bersama sedulang air kopi
dan sepinggan cucur udang beserta sos. Dulang diletakkan sebelum dia turut
bersimpuh di atas pankin. Air dituang dan dihulur kepada Ai Nou. Ai Nou menyambut
lalu dihirup perlahan.
"Macam mana Hannah boleh meletakkan
kepercayaan setelah dikecewakan?" Hannah pandang Ai Nou sebelum tersenyum
nipis.
"Sebab Hannah percaya pada hikmah dan
Hannah medahului kata hati Hannah daripada ego dan emosi."
"Macam mana akak nak buat Hannah? Akak
tak pernah impikan akak akan mendirikan rumah tangga suatu hari nanti. Akak tak
pernah bermimpi akak akan punyai pasangan nanti. Sebagai kekasih apatah lagi
suami isteri. Lelaki, akak sangat susah untuk memujuk diri biasakan hati dengan
dunia mereka. Pahit akak lebih banyak jika melibatkan lelaki. Jadi, bagaimana
akak mahu menerima kehadiran mereka dengan mudah?"
Ai Nou yang lirih bersuara dipandang lama.
Ternyata cerianya hanya sementara dan pura-pura. Di sisi lain, Gadis Cinta ini
punya sesuatu yang merantai dirinya dari didekati. Terutamanya lelaki. Tak ubah
sikapnya itu seperti Aniza, anak saudara suaminya, anak saudaranya juga. Tangan
Ai Nou ditarik lalu digenggam lembut.
"Saya faham akak. Kita perempuan, kita
sangat mudah terluka kerana lembutnya hati kita. Sayangnya, kita lemah. lemah
yang membuatkan kita mudah tanam rasa benci, kecewa dan dendam. Tapi sekiranya
kita buang rasa itu kita boleh terus meninta lembaran baru hidup kita. Kita
layak untuk bahagia. Jadi akak berilah peluang untuk diri akak. Terimalah
seorang dalam hidup akak. Jangan menafikan fitrah hidup kita kak. Saya tahu
kisah silam akak membuatkan akak tak mudah beri percaya, abang sudah ceritakan
pada Hannah semua tentang akak. Sedari lahir, lelaki merupakan seorang mimpi
ngeri buat akak. Saya faham, akak takut. Tapi akak, lelaki jika betul orangnya
derita jadi bahagia. Luka bakal terubat. Syaratnya, peluang. Beri peluang untuk
akak dan peluang untuk lelaki dalam hidup akak. Bukan berkasih yang mengundang
murka Allah, tapi nikah untuk menyempurnakan sunnah nabi."
Ai Nou tersenyum nipis. Genggaman Hannah
dibalas lembut. Bicara wanita ini, tenang memujuk. Seolah-olah ingin beritahu
Ai Nou pilihannya menjauhi lelaki adalah sesuatu yang salah. Ai Nou tak tahu.
Dia tak mahu tahu. Yang dia tahu, dia mahu jauh dari lelaki. Pernikahan salah
satunya. Dia takut. Dia risau.
"Entahlah Hannah. Akak tak tahu. Dalam
fikiran akak ni macam-macam ada. Akak keliru. Serba salah. Takut. Semua
mengusutkan buatkan akak nak lari. Lari dari semuanya."
"Kalau lari tak menyelesaikan masalah."
Celah satu suara.
"Assalamualaikum."
Salam yang diberi menjemput pandangan Ai
Nou dan Hannah ke satu arah. Serentak kedua-duanya menjawab salam seiring
senyuman. Hannah sudah bangun mendapatkan suami dan bapa mentuanya, Pak Cik
Samad yang baru pulang dari kebun. Dalam keadaan masih berbot dan berpeluh,
Shauqie melabuhkan duduknya di pankin. Pak Cik Samad pula sekadar menegur Ai
Nou berbasa basi sebelum menghilangkan dirinya ke dalam rumah. Mencari
isterinya mungkin.
"Macam mana bang?"
"Tak tahulah. Sedih ayah fikirkan
kerugian dia tu. Tak habis-habis dibebelnya siapa yang curi buah-buahan dekat
kebun dia tu. Sudah lapor ke polis. Tunggu sahajalah macam mana nanti. Siapalah
yang baik sangat jolok sarang tebuan Pak Cik Samad ni. Tunggulah, tak aman kampung
ni lagi dia tak jumpa."
Setia Hannah mendengar keluhan Shauqie yang
sedang mengadu kerugian Pak Cik Samad dan kehilangan buah-buahan yang
diusahakan setiap tahun. Tak pernah-pernah buah-buahan Pak Cik Samad dicuri,
tiba-tiba sahaja mereka ditimpa musibah tahun ini. Tak adalah rezekinya mahu
dihantar ke pasar seperti biasa. Berkurang lagi duit poket keluarganya nanti.
Sudahlah ekonomi negara makin gawat kini.
Ai Nou hanya memerhatikan apa yang
dibualkan Shauqie dan Hannah. Ai Nou sedar, ada sesuatu yang menyentuh hatinya
melihatkan hubungan dua merpati itu. Hannah lembut melayani Shauqie, minumnya
disua, peluhnya dilap, penatnya diurut dengan picitan lembut di bahu. Shauqie
pula seperti bahagia sekali dengan layanan isterinya itu. Beruntungnya Shauqie dipertemukan
gadis selembut Hannah.
Hannah pun tak kurangnya, lembut layanan
Hannah mendapat buahnya. Urutan berganti bahu. Shauqie pula tak berhenti
pujiannya buat Hannah menghargai titik peluh si isteri. Memasak, membasuh,
melayan si kecil mereka lagi. Sikap Shauqie dan Hannah diperhatikan Ai Nou
sedari mula dia jejakkan kaki di rumah kampung itu. Mereka seolah-olah saling
menghargai dan saling memahami. Kalau Shauqie marah, Hannah pandai memujuk.
Begitu juga sebaliknya. Marah Shauqie juga tak dikawal emosi. Akal mendahului
nafsu berdeplomasi dalam mendidik Hannah. Penuh dengan tolak ansur dan gurau
senda.
Melihat kehidupan suami isteri antara
Hannah dan Shauqie, Ai Nou terasa malu sendiri. Bahagia yang dipamer buatkan Ai
Nou turut merasa bahagia hingga tersenyum dia tanpa sedar. Bahagia yang
mengetuk membuatkan Ai Nou disogok ingin merasai bagaimana rasanya bahagia
seperti mereka. Dalam hubungan yang sama. Suami isteri. Tapi Ai Nou, entahlah..
Tiba-tiba sahaja raut wajah Arjuna menerpa minda. Hilang senyumannya. Hatinya
berperang. Rasa takut itu lebih menguasai tangkai hatinya.
Fikiran Ai Nou mula terbang mengenangkan
nasib malang ibu kandungnya. Ibunya tak bahagia. Cintanya dinoda. Datang pula bayangan mommy dan daddy Arjuna.
Samada Ai Nou tidak pernah nampak atau memang tak pernah, hubungan mommy dan daddy Arjuna
tak sezahir dan semesra yang dilihat pada Shauqie dan Hannah, mungkin kerana
kesibukan masing-masing. Arjuna kembali mengunjung minda. Bagaimana kiranya
nanti hubungan Ai Nou dan Arjuna? Arjuna akan menjadi orang yang sibuk, begitu
juga Ai Nou. Bahagia dan kemanisan yang diinginkan Ai Nou dalam hubungan suami
isteri akan wujudkah? Kehilangan yang dirisaukan Ai Nou, berjayakah diusir?
"Cemburu sangat ke sampai tengok aku
macam tu?"
Hilang segala yang difikirkan Ai Nou
apabila disergah Shauqie. Berkerut hidung Ai Nou dengan soalan Shauqie sebelum
menjulingkan matanya menyampah. Lelaki ini!
"Gedik la kau. Mana ada aku
cemburunya. Aku tengah bahagia ni tengok jodoh seindah hubungan korang."
"Itulah. Aku ajak jadi bini nombor dua
aku kau tak nak!" Ya Allah, lelaki ni! Ai Nou tak mengagak tuju kepala
Shauqie dengan selipar di kaki. Hannah pula bertalu-talu memutar perut Shauqie.
Geram!
"Wow! Bertenang. Aduhai, merana aku
kalau ada dua bini macam ni. Auch! Hei!"
Lelaki ini, tak serik. Padan muka! Ai Nou
dan Hannah tersenyum puas dapat kotorkan Shauqie dengan tanah lembab yang
dikorek dari lecak. Perang yang sengaja dimulakan. Apa lagi! Mandi selut! Kalau
tak bertempik Pak Cik Samad dengan Mak Cik Aida dari dalam rumah, maka tak
sedar dirilah kanak-kanak tua tiga ekor tu! Mujurlah Sang Kecil seorang tu
tengah tidur. Kalau tak, dengan senang hatinya ikut mak ayah main tanah.
Perangai tak semegah!
Ai Nou tersengih sahaja. Lagipun yang
teruknya Hannah dan Shauqie. Dah macam kerbau berkubang. Ai Nou hanya pelakon
tambahan. Jadi dia biasa-biasa sajalah. Kotor pun sikit. Shauqie tak akan
berani punya melebih-lebih dengan Ai Nou. Sedar yang dirinya suami orang dan
sedar jarak mereka sebagai lelaki dan perempuan ajnabi. Jadi Shauqie tuju dua
kali ke Ai Nou lepas tu banyak perang dengan Hannah. Bukan perang, tapi
menggedik depan Ai Nou. Tahulah dah kahwin. Nak menunjuk depan aku yang suci
lagi ni. Haish!
Lepas membersihkan diri ala kadar, Ai Nou
kembali ke pankin. Tuala yang dihulur Hannah disambut. Hannah pula membantu
Shauqie mengeringkan dirinya yang basah lencun dek disembur Hannah dengan air
paip tadi. Yang peliknya, tak reti-reti betul tiga orang tua ni nak masuk ke
rumah pergi mandi bersihkan diri betul-betul! Ditenggeknya lagi menghabiskan
cucur udang di pankin sambil mengopi. Ai Nou tersenyum lagi melihat bahagia
Shauqie dan Hannah.
"Jadi? Tak mahu cerita dengan aku apa
yang kau runsing sangat? Kau nak lari dari apa?" Kalau Shauqie sudah
bertanya macam tu, tandanya dia serius bertanya.
"Macam lah kau tak tahu masalah
terbesar aku."
"Lelaki?" Ai Nou mengangguk,
membenarkan.
"Let me guess. Ada orang
lamar kau." Shauqie menebak. Dia tahu Ai Nou punya masalah dengan lelaki.
Tapi selalunya Ai Nou akan buat tak tahu hal-hal melibatkan lelaki. Tapi, kalau
dah jadi kemurungan ni mesti bersebab. Ye, sebab lelaki. Sebab lain? Kahwin?
Haaa..
"Lebih kepada paksa tepatnya."
"Alasan kau tolak dia selain sebab dia
lelaki?"
"Tak ada." Shauqie mengeluh.
Menggeleng. Keras hati betul.
"Dia jahat?" Geleng.
"Dia tak solat?" Geleng.
"Dia miskin?" Geleng.
"Dia panas baran?" Angguk,
geleng. Eh, mana satu ni!
"Dia derhaka mak ayah?" Geleng.
"Tak bertanggungjawab? Sosial? Suka
berfoya-foya? Penagih? Pembunuh? Tak bekerja? Hodoh?" Semua Ai Nou geleng.
"Dah tu. Kenapa kau tolak dia?"
Laaa.. Ai Nou menghela nafas. Ish, ingatkan
dia faham. "Kau tak faham lagi ke masalah aku. Dia lelaki. Itu je. Full
stop."
"Dah tu tak kan nak kahwin dengan
perempuan kot. Ish, kau pergi solat taubat sekarang. Nabi tak mengaku
ummat!"
"Ish kau ni. Ke situ pula."
"Dah tu?"
"Aku tak nak kahwin. Aku
takut."
"Kenapa? Apa masalahnya?"
"Aku takut sebab dia lelaki." Itu
juga yang diulangnya.
"Nak takut apanya. Lelaki tu manusia.
Bukannya makan orang pun."
"Tapi, aku hampir kena bunuh sebab
lelaki. Kau tengok tangan aku ni. Kalau tak sebab lelaki tu, aku tak macam ni
tau!" Ai Nou melepaskan geramnya. Benci mengenangkan musibah yang menimpa
diri disebabkan lelaki itu. Raden! Penyebab dia kehilangan. Orang nampak Ai Nou
redha dan pasrah, tapi hakikat sebenar sakit hati dan tak sukanya semakin
bertambah!
"Hish! Kau tengok aku Ai Nou." Ai
Nou pandang Shauqie, terkebil-kebil matanya cuba memahami isyarat Shauqie.
"Kau rasa aku ni gamak ke nak lukakan
perempuan?" Ai Nou geleng.
"Kau tengok sekeliling kau. Atuk kau.
Lelaki yang rapat dengan kau, yang sayang kau. Kau rasa, diorang ni kejam ke
nak rosakkan dan sakitkan perempuan?" Ai Nou mula membayangkan wajah
lelaki-lelaki yang rapat dengannya. Atuk, daddy Arjuna, Arjuna,
Helmi.. Mereka lelaki yang Ai Nou kenal memuliakan perempuan dengan cara
mereka. Ai Nou geleng lagi.
"Jadi kau rasa semua lelaki sama macam
lelaki definisi kau atau lelaki yang dekat dengan kau?" Ai Nou terdiam,
berfikir.
"Tapi aku tetap takut kalau aku buka
peluang dan terima seseorang dalam hidup aku, macam mana kalau dia berubah? Dia
tak ada cinta untuk aku. Kalau aku cintakan dia, lepas tu dia tinggalkan aku
macam mana? Aku takut. Aku tak mahu kehilangan. Aku tak kuat. Boleh gila aku
nanti." Prinsipnya tetap dipertahan.
"Siapa pemilik takdir?"
"Allah."
"Dah tu, kau tak percayakan Dia?"
Ai Nou terdiam sepi.
"Kenapa Allah ciptakan lelaki
perempuan, pelbagai warna kulit dan bahasa?"
"Untuk berkenalan dan berpasangan.
Untuk berlumba-lumba membuat kebaikan." Shauqie tersenyum. Ai Nou bukan
tak tahu. Gadis ini sangat cerdik. Cumanya, dia tak mahu bebaskan dirinya
daripada perasaan sendiri.
"Saat roh ditiup dalam rahim apa yang
telah ditulis Allah untuk si fulan?"
"Jodoh, pertemuan perpisahan, ajal
maut, amalan dan rezeki."
"Dah tu. Kau masih nak tolak apa yang
Allah tetapkan?"
"Aku tak bermaksud nak menolak. Aku..
aku.." Ai Nou bingung untuk mencari kata. Kalau cakap dengan Shauqie,
macam cakap dengan Arjuna. Terkulat-kulat Ai Nou ditimba soalan yang dia
sendiri tak tahu nak jawab.
"Abang, berlembutlah sikit."
Hannah menegur setelah lama menjadi pendengar.
"Berlembutlah ni. Hati dia yang keras
macam dunia nak kiamat kalau dia terima lelaki. Macam Aniza tu, kalau tak kena
provok dengan soalan macam ni, dia tak akan fikir. Bagi dia, telahan dia yang
betul. Seolah-olah memang Allah tu kejam nak terus timpakan kemalangan dalam
hidup dia kalau dia terima lelaki. Buta dengan kecewa dan dendam. Syaitan
seronoklah kalau ada manusia yang macam ni. Berjaya putuskan harapan manusia
terhadap Allah!"
Ai Nou terhenyak. Rasa kena tembak dengan
senapang gajah! Lama mereka terdiam. Masing-masing muhasabah dan mencerna apa
yang dikatakan Shauqie.
"Ai Nou.. kau sendiri cakap dia tak
jahat. Sah-sahlah dia baik. Apa yang nak ditakutnya Ai Nou. Kau tu dah tua. Dah
patut jadi mak budak dah. Umur dah 29, bawa-bawalah sedar diri. Dah orang
minta, terima sajalah. Jodoh ni rahsia Allah. Dah Allah tetapkan, waktu ni
sampai. Kenapa kau nak tolak. Nak tolak takdir ke apa ni?"
"Tapi dia tak cintakan aku. Dia pun
kena paksa." Ya betul! Ai Nou terima pertunangan mereka bukan sebab cinta
tapi sebab atuk. Begitu juga Arjuna. Kemungkinan Ai Nou akan ditinggalkan
sangat besar. Bagi Ai Nou walaupun tak ada cinta, tambahan lagi Arjuna itu
lelaki tapi tekad Ai Nou jika terdetik hatinya untuk berkahwin walaupun dipaksa
atau rela hati, biarlah akad itu hanya sekali seumur hidupnya. Tapi masa depannya,
dia tak tahu. Ai Nou risau!
"Cintakan boleh dipupuk. Mana kau tahu
dia terpaksa. Dia ada cakap ke? Dia ada tunjuk ke macam terpaksa?" Ai Nou
terfikir lagi. Arjuna tiada tanda-tanda macam terpaksa, tapi terlebih bahagia.
Macam mana Shauqie boleh teka ni? Ada ilmu tilik nasib ke apa? Haip, syirik!
Tapi, hati Arjuna siapa tahu. Mungkin dia hanya berpura-pura.
"Kau nak bahagia kan?" Ai Nou
angguk.
"Bahagia yang macam mana yang kau
nak?"
"Cukuplah aku tak kehilangan lagi. Aku
nak hidup dengan Atuk je. Aku tak nak dah yang lain. Sebab tu aku tak nak
kahwin. Kalau aku buka peluang untuk terima seseorang, aku akan kecewa. Aku
akan kehilangan. Aku tak nak. Tapi, dia.. Atuk.. kenapa semua tak faham aku.
Bahagia aku, aku boleh tentukan sendiri. Aku tak perlukan sesiapa selain Atuk
saja."
"Kau tahu tak kau sedang menipu diri
kau sendiri?" Tempelak Shauqie. Ai Nou sudah menikus.
"Itu hanya alasan kau. Sebenarnya, apa
yang ada dalam diri kau, kemahuan kau, kenapa kau sembunyikan? Takut? Sebab tu
kau cuba elak. Menafikan fitrah sendiri. Allah, macam mana nak bagi kau
faham?"
"Aku tak tahu.." Ai Nou menunduk.
Sisinya yang lain mengiakan telahan Shauqie. Tapi egonya menepis.
"Sempurnakan fitrah juga bahagia Ai
Nou."
"Memangnya dengan lelaki je lah aku
boleh bahagia." Ai Nou pula membidas.
"Kalau lelaki tu fitrah perempuan,
bahagialah. Kahwin dulu baru tahu." Ai Nou menjeling. Orang tengah serius,
main-main pula dia.
"Aku cakap betul ni. Sempurnakan
fitrah, kau akan bahagia. Fitrah bukan terhad pada pasangan. Seperti mana
fitrah manusia itu berTuhan. Selagi dia tak jumpa Tuhan, dia akan kosong dan
terkapai-kapai. Lepas jumpa dan kenal Allah, hidup lebih terpandu. Ada
pegangan, ada sandaran, ada harapan. Rasa kosong akan hilang. Bahagia akhirnya
jika seorang manusia itu benar-benar mengenali Allah. Berkasih sayang dengan
Allah. Begitu juga fitrah berpasangan. Kekosongan dalam diri kita jangan
dinafikan. Nabi juga akur dengan fitrah berpasangan. Kenapa kau menolak? Apa
yang kau takutkan Ai Nou? Kalau kau tak lepaskan masa silam kau, selama-lamanya
kau akan macam ni." Shauqie memujuk lagi. Bukan nak paksa kahwin, nak
bersihkan ideologi Ai Nou tentang lelaki.
"Aku tak tahu. Apa yang aku rasa
sekarang, aku takut. Apa yang berlaku terhadap ibu banyak kali berulang tayang.
Benda paling besar yang aku takutkan, kehilangan. Kehilangan ibu, aku cuba
ceria dan redha. Tapi sedari awal aku tahu siapa ibu, cerita itu terus mengejar
aku sampai sekarang. Aku pura-pura tak ada apa. Tapi aku sangat takut aku akan
berada di tempat yang sama. Sakit kehilangan tu, sangat sakit Shauqie. Cukup
satu kehilangan, tapi kenapa aku merasai lagi kehilangan tu. Abang... Helmi...
dia... dia dah tak ada..." Ai Nou sebak, suaranya semakin serak.
"Innalillahiwainnailaihirajiun.." Serentak
Shauqie dan Hannah berkata. Hannah sudah berpindah tempat duduk, besimpuh di
sisi Ai Nou. Belakang Ai Nou diusap cuba meredakan kesedihan gadis itu.
"Cukuplah. Kehilangan dia, cukuplah.
Aku tak mahu kehilangan lagi. Atuk sahaja yang aku ada. Aku tak menafikan
fitrah aku. Tapi andai aku menerima aku perlu kehilangan. Aku bukan tak mahu
terima lelaki, aku cuma takut aku jatuh cinta. Sekali aku jatuh cinta. Susah.
Sangat susah untuk buang rasa itu. Selain kehilangan, aku takut dikecewakan,
aku takut ditinggalkan. Aku takut sangat. Aku tak tahu. Jadi, biarlah aku
begini. Aku rela hidup tanpa lelaki. Aku bahagia dengan cara aku."
"La haula wala quwwata illa billa
hil aliyil azim. Tiada Kekuatan dan Daya Melainkan dari Allah yang
Maha Tinggi lagi Maha Mulia. Kau tak percayakan takdir Allah ke Ai Nou? Kau tak
yakin dengan Dia ke? Allah sangat melarang keras hamba-Nya berputus asa dengan
rahmat Allah. Diumpamakan seperti kafir dan sesat. Istighfar Ai
Nou." Ai Nou diam mendengar suara tegas Shauqie.
"Pandang aku Ai Nou." Perlahan
kepalanya diangkat memandang Shauqie yang serius.
"Senjata orang mukmin apa?"
"Doa."
"Dah tu. Allah cakap doa senjata kita
nak buat apa? Suka-suka?" Ai Nou terhenyak lagi. Shauqie menarik nafas
lalu dihembus perlahan. Dia tahu tak mudah untuk memujuk Ai Nou. Ai Nou yang
melalui, jadi dia lebih tahu perit pahitnya. Shauqie hanya mampu memberi
nasihat. Kata putus, Ai Nou yang perlu tentukan. Tapi, melihat teman yang putus
asa tanpa berusaha dia tak suka. Dia tak mahu temannya hanyut dengan arus
perasaan sendiri.
"Ai Nou.." Lembut panggilan
Shauqie.
"Allah ajar kita doa sebab kita tak
mampu berdiri sendiri. Dalam menghadapi peperangan liku kehidupan. Doalah
satu-satunya senjata kita. Dengan doa tanda kita tak pernah putus asa dengan
rahmat Allah. Doa tanda kita meletakkan takdir kita atas redha Allah. Tujuan
hidup kita beribadah. Itu sebab kita diciptakan. Untuk menguji keikhlasan
ibadah kita, Allah datangkan ujian dalam peperangan kita. Doalah Ai Nou. Jika
kehilangan yang kau takutkan. Jika masa lalu yang kau takutkan. Jika kejinya
sikap lelaki yang kau takutkan. Minta sungguh-sungguh dekat Allah. Minta
dijauhkan semuanya. Minta datangkan sebaik-baik lelaki, yang soleh, yang taat.
Ikhlaskan hati. Sedar matlamat hidup kita dekat dunia ini. Takut biar kena pada
tempatnya. Allah ada. Adu takut dan risau pada-Nya. Lepas tu usaha untuk
dapatkan yang terbaik. Dan tawakkal pada Allah. Kita dah minta, kita dah usaha.
Macam mana takdirnya nanti Allah ada rancangan yang baik untuk kita. Allah tak
kejam Ai Nou. Hamba-Nya nak bahagia. Dia bagi bahagia. Tinggal kita saja nak
percaya dengan kuasa-Nya."
"Kak, apa yang abang cakap tu ada
betulnya. Akak kena percayakan takdir. Qada' dan Qadar. Kita merancang tapi
Allah tahu segalanya. Kita mengelak, tetapi Allah menghendaki. Kita sakit hati,
tapi yang sakit hati itulah Allah bagi. Sebab apa? Sebab Allah letakkan hikmah.
Kenapa Allah cipta hikmah? Sebab Allah nak kita tahu, setiap perkara baik dan
buruk yang berlaku dalam hidup kita samada kita inginkan atau kita elak Allah
selitkan hikmah pada akhirnya. Tanda hikmah-Nya itu tanda kasih sayang-Nya.
Jadi kak, jangan putus asa dengan perancangan Tuhan. Kita merancang, Allah juga
merancang. Selagi kita yakin perancangan Allah maha baiknya untuk kita, kita
tak mudah kecewa dengan takdir Allah dalam hidup kita."
"Hannah tak menafikan, kecewa akak lebih
sakitnya kecewa Hannah. Hannah tak berada di tempat akak. Tapi Hannah juga
pernah dikecewakan. Bukan hanya disebabkan lelaki. Kawan, adik-beradik, mak
ayah. Semua pernah menjadi penyebab kecewa Hannah apabila apa yang Hannah nak
tak dapat. Bahagia yang Hannah rancang dan impikan terkubur disebabkan mereka.
Kalau Hannah mahu, Hannah benci semua. Tak kiralah mereka darah daging Hannah
mahupun tidak. Tapi Hannah muhasabah, takdir malang bukan sumpah tetapi
perancangan Allah."
"Macam Hannah dikecewakan abang, kita
perempuan jadi sakit kita sangat dalam jika dilukai. Kecewa dengan abang
buatkan Hannah jauhkan diri dari lelaki, Hannah baiki diri Hannah untuk lebih
dekat dengan Allah dan didik diri Hannah untuk jadi lebih baik. Tiga tahun
kemudian Hannah dipertemukan semula dengan abang. Abang datang memohon maaf
atas kelakuan dia dulu. Tapi keluarga tak mahu terima maaf abang melainkan kami
diikat sebab Abang penyebab Hannah berubah. Hannah pada mulanya tak mahu sebab
abang orang yang sakitkan hati Hannah dulu. Tapi melihat kerelaan abang tanpa
bantah dengan lafaz saya terima Hannah kerana Allah, Hannah termangu sendiri.
Benci Hannah Allah lenturkan, Allah nak tunjukkan orang yang Hannah tak mahu
itulah jodoh Hannah. Macam-macam Allah tunjuk kebaikkan abang yang Hannah tak
pernah tahu sepanjang kami berkasih dulu. Benci Hannah jadi sayang. Hannah
buang ego dan benci Hannah, Hannah minta pada Allah hikmahnya. Allah tunjukan,
ternyata tiga tahun itu Allah persiapkan abang juga persiapkan Hannah untuk
menjadi lebih baik. Allah mahu didik kami. Allah tak mahu kami diikat atas
ikatan kekasih sebelum nikah. Melainkan mengikat kami dengan akad suci bukan
berlandaskan nafsu. Allah janji, lelaki baik untuk perempuan yang baik begitu
juga sebaliknya. Ini hikmah Hannah nampak terhadap hubungan kami."
"Malah banyak lagi hikmah akan kita
nampak dan kita rasai andai kita buka mata hati kita. Merasa kasih sayang Allah
dengan iman dan taqwa. Bahagia yang dicari di mana-mana kak. Percayalah. Selagi
kita ikat diri kita dengan dendam, kita tak bahagia. Seolah-olah kita mengikat
kaki kita daripada terus melangkah. Lupakan kisah lalu walaupun peritnya ia
menghantui kita. Ingat, hikmah dan kasih sayang Allah mendahului segala dendam
dan kecewa kita. Bahagia Hannah, Hannah nak akak juga bahagia. Bahagia dengan
fitrah kita. Jangan menolak lagi, lagi kita menolak, lagi kita rasa sakit dan
lemas. Akhirnya kita yang kecewa. Hannah tak nak semua tu terjadi kepada akak.
Macam Hannah cakap, beri peluang kepada diri sendiri. Tanya pada diri apa yang
kita mahu, bahagia seperti apa yang kita impikan. Kemudian tanyakan pada Allah,
dia Maha Mendengar. Jika kita meminta yakinlah, Allah sedang persiapkan yang
terbaik untuk kita."
Ai Nou mendengar patuh pada dua orang teman
di depannya ini. Dan hikmah yang Ai Nou nampak ketika ini, pertemuan semula dia
dan Shauqie. Ternyata Allah mahu sedarkan sesuatu dalam diri Ai Nou. Egonya
yang satu itu ternyata salah. Hikmah dia pergi jauh dari keluarga, menemukan
dia dengan seorang teman yang menjelaskan pada Ai Nou. Apa itu takdir dan
jodoh. Menyedarkan, prinsipnya tentang lelaki tak betul sama sekali!
"Bijak isteri abang." Hannah
ketawa kecil dipuji Shauqie.
"Tengoklah siapa guru Hannah."
Manja jelingan Hannah sebelum kembali halakan anak matanya terhadap Ai Nou.
Gadis yang keliru dengan takdir. Keliru dengan jodoh. Keliru dengan pilihan jika
semua yang melibatkan lelaki.
"Ai Nou, pesan aku satu saja. Kembali
kepada Allah. Tanyakan pada Dia, apa yang terbaik buat kita. Jangan sombong
dengan Allah. Seolah-olah telahan kita yang betul semua. Istikharahlah.
Pasti ada jawaban yang terbaik daripada Allah. Buang ego. Fikir dengan mata
hati, dengan iman. Insya-Allah, hati kita akan tenang walau apapun yang
Allah tetapkan. Okey?"
Pertanyaan Shauqie menggamit Ai Nou memandangan
Hannah dan Shauqie silih berganti. Perlahan senyuman manis terlukis seri. Dia
jelas dengan sejelas-jelasnya. Persoalan yang dicari ternyata di sini jawabnya.
Walaupun Ai Nou belum mampu terima semuanya, dia akan cuba. Allah lebih tahu
segalanya. Dia tak bahagia dan lemas sekarang kerana dia jauh dengan Allah. Dia
tak tanya Allah apakah setiap tindakannya betul mahupun salah. Baginya, Allah
hanya akan ditemui ketika solat lima waktu dan rukun islam yang lain. Itupun
belum betul-betul menghayati maksudnya. Islamkah dia? Berimankan dia? Sedangkan
Qada' dan Qadar sahaja belum diiman dengan sempurna. Allah.. teguran yang
sangat menyentuh hati.
"Insya-Allah. Doakan aku
sahabat?"
"We will.
Always!"
Ai Nou menekur tanah. Berfikir dan muhasabah.
Aku mahu berubah,
Aku mahu lebih dekat dengan Allah,
Aku mahu tenang,
Aku mahu bebas dari belenggu benci dan
dendam,
Biarpun dendamku tidak sampai membalas dan
menyakiti orang lain,
Tapi dendam ini memakan diri aku sendiri,
Aku tak bahagia kerana perasaan ini,
Jadi Allah,
Tolong aku,
Aku mahu tenang,
Lelaki,
Moga benar kata Shauqie,
Allah,
Tunjukkan aku, di dunia ini sememangnya
wujud lelaki yang tidak sekejam mereka yang pernah aku temui..
Aku nampak wujudnya lelaki seperti itu,
Shauqie, Atuk, Helmi..
Cumanya, aku mahu sesorang yang mahu ubati
sakit ini,
Allah, Kau sebaik-baik penyembuh pada
kekecewaan hamba-Mu,
Jika seorang lelaki ditakdirkan untukku,
Sebagai wasilah penyembuh luka ini,
Aku akur, andai itu takdirnya.
Arjuna,
Awakkah orangnya?
Allah,
Hilangkan rasa takut dan ragu-ragu ini.
Redhakanlah hati ini.
Comments
Post a Comment